Tuesday, January 1, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Prolog


Seokchon Lake Cherry Blossom Festival, Korea Selatan.

Seokchon Lake dibanjiri dengan lautan manusia yang hadir untuk menyaksikan keindahan rimbunan bunga sakura yang sedang mekar indah pada musim bunga itu. Satu pemandangan yang cukup memukau pandangan mata.
Seorang gadis berhijab pink lembut berdiri di bawah satu pohon sakura. Memandang kelopak bunga sakura yang menghujaninya. Perlahan-lahan, telapak tangannya dibawa ke paras dada, menadah guguran kelopak bunga.
Indah.
Cukup indah.  
Terukir sebuah senyuman di bibir si gadis saat telapak tangannya dipenuhi dengan kelopak bunga. Sungguh dia tidak sangka dia berpeluang menikmati detik ini.
Puas dihujani bunga sakura, gadis itu meneruskan langkah. Menyusuri laluan di sepanjang Seokchon Lake yang dipenuhi dengan pokok sakura.
Matanya melilau memandang sekeliling. Memerhati keindahan di sekelilingnya dan dalam masa yang sama, memerhati ragam manusia yang berkunjung ke situ. Rata-rata di situ pergi bersama kekasih. Hanya dia sahaja yang bersendirian. Sendiri menyusuri keindahan cherry blossom.
Kalau… Kalaulah dia ada di sini… mungkin aku akan tersenyum bahagia seperti gadis-gadis yang lain. Bergambar berdua di bawah pohon sakura.
Si gadis menggeleng perlahan. Menghalau pergi bisikan di hati. Langkah kaki masih diteruskan. Perlahan-lahan. Matanya masih melilau tanpa arah yang pasti.
Satu.
Dua.
Tiga.
Pandangan mata terkunci ke satu arah. Langkah kaki terus termati dengan sendirinya. Berdiri kaku di tengah-tengah laluan di antara lautan manusia yang sedang berjalan. Liur ditelan.
Dalam jarak yang tak sampai sepuluh tapak daripadanya, berdiri seorang lelaki yang turut memandangnya dengan riak yang sama. Terkejut. Terkesima. Barangkali tidak menjangka pertemuan ini akan berlaku.
Di sini.
Di bumi Korea.
Di bawah guguran bunga sakura.
Persis dalam lukisan itu…
Seorang gadis berambut panjang dan beralun yang muncul di belakang lelaki itu mengalihkan perhatiannya. Sekaligus menamatkan renungan mata yang tercipta di luar sedar bersama lelaki itu. Dan saat matanya mendarat ke arah tangan si gadis yang melingkar di lengan lelaki di hadapannya, hatinya terus ditusuk sesuatu yang tajam.
Sakit.
Pedih.
Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu berasa begitu sedangkan dua tahun yang lalu dia sudah sedar apa yang tertulis untuk mereka.
Bukankah ini apa yang sudah tertulis untuk kita? Namun, kenapa perlu ada rasa terkilan dan sedih?



No comments: