Tuesday, January 15, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 9


Jam menunjukkan pukul lapan pagi sewaktu Hafiy mengajak Farha ke taman permainan yang disediakan oleh kediaman Erin. Tidak sampai hati nak menghampakan permintaan anak kesayangannya itu, Farha turutkan jugalah. Lagipun dia ada masa dua jam lagi sebelum bersiap-siap ke Sunshine.
Tangan comel Hafiy dipimpin menghampiri lif. Wajah Hafiy kelihatan riang pagi itu. Teruja nak bermain di taman permainan.
“Hafiy suka rumah Auntie Erin?” soal Farha ketika mereka sedang menunggu lif.
Hafiy mendongakkan kepalanya, memandang Farha. Kepalanya diangguk-anggukkan.
“Suka. Hafiy suka. Rumah Auntie Erin cantik.”
“Mama pun nak ada rumah macam Auntie Erin.”
“Tapi Hafiy lagi suka rumah mama....”
Terukir senyuman nipis di bibir Farha. Tangannya menjalar ke rambut anak kecil itu, lalu diusap manja.
“Itu bukan rumah mama lah sayang. Itu rumah atuk dengan nenek. Mama tak mampu nak ada rumah sendiri lagi. Kesian kan mama?” soal Farha dengan nada berseloroh.
“Mama jangan risau. Hafiy akan belikan rumah yang pwetty untuk mama,” kata Hafiy. Kedengaran cukup yakin dan bersemangat.
Pretty lah sayang. Bukan pwetty.”
Sebutan anak kecil itu dibetulkan bersama tawa kecil di hujung bicaranya.
“Hafiy nak belikan rumah yang pretty untuk mama yer?” soal Farha. Melayan angan-angan Hafiy.
Hafiy anguk yakin. Siap dengan mimik muka.
“Bila tu? Tak sabarnya mama… Mama nak rumah macam Auntie Erin tau.”
Jeda sesaat.
“Eh, tak naklah. Mama tak suka duduk kat kondo. Mama nak rumah banglo dua tingkat,” pinta Farha. Sengaja berseloroh dengan anak kecil itu.
“Okey mama. Tapi kena tunggu Hafiy besarlah. Sekarang Hafiy mana ada duit...,” balas Hafiy.
“Okey, sayang… mama tunggu. Jangan lupa tau!”
Pintu lif yang dinanti-nanti terbuka.
Farha menghalakan pandangan matanya ke hadapan, ke arah lif yang sedang menjemput mereka masuk.
Zapp!
Tangkai hati Farha bagaikan direntap. Sisa senyuman yang terukir di bibir terus mati. Riak wajah yang manis sewaktu melayan Hafiy hilang. Diganti dengan riak wajah terkejut. Tubuh badan serta-merta mengeras. Pandangan matanya terpaku ke arah seorang lelaki bersut kelabu yang sedang ralit bermain dengan telefon.
Lelaki semalam.
Lelaki yang tidak mahu ditemui sepanjang hayat ini.
Farha terkaku di situ. Tergamam. Terkejut. Terkesima.
Ini pertemuan yang kedua. Kenapa mereka asyik dipertemukan?
Lelaki bersut kelabu itu mengalihkan tumpuan daripada telefon, memandang Farha yang masih tercegat di depan pintu lif. Pandangan mereka bersatu. Si lelaki dengan riak wajah kosong dan bersahaja sementara Farha dengan riak wajah yang sukar untuk diungkapkan.
“Mama…”
Hafiy yang sudah berlari masuk ke dalam lif, memanggil Farha.
“Mama tak nak masuk ke?”
Mata Farha masih terlekat pada wajah lelaki bersut itu. Lelaki itu menjongketkan sedikit keningnya, seolah bertanyakan soalan yang sama seperti Hafiy. Jari telunjuk lelaki itu sudah menekan punat buka untuk memastikan pintu lif tidak akan tertutup. Sama seperti apa yang dia lakukan malam tadi.
Farha telan liur. Renungan lelaki itu mula buat Farha cemas. Cepat-cepat dia melarikan pandangan ke tempat lain.
Gadis itu mula menyusun langkah. Masuk ke dalam lif. Fikirannya kembali menerawang, memikirkan lelaki bersut kelabu yang kini berdiri di sebelahnya dalam jarak yang tak sampai satu depa.
“Mama, tolong bukakan…,” pinta Hafiy lalu menghulurkan lollipop kepada Farha.
Farha pegun. Tidak memberikan sebarang respons. Dia sudah tenggelam dalam lautan minda. Langsung tidak sedar Hafiy sedang berbicara dengannya. Huluran lollipop tidak diendahkan.
“Mama…,” panggil Hafiy lagi, sedikit merengek.
Farha masih membatu. Masih dengan dunia sendiri. Sedikit pun tidak menoleh ke arah Hafiy.
“Biar uncle tolong bukakan.”
Hafiy merenung lelaki asing yang sedang tersenyum ke arahnya. Lollipop disembunyikan ke belakang badan lalu dia bersembunyi di belakang tubuh Farha.
Sentuhan tangan Hafiy di kaki Farha menerbangkan segala lamunan gadis itu. Tumpuan terus dihalakan ke arah Hafiy.
Uncle nak curi lollipop Hafiy ke?”
Tawa kecil tercetus di bibir lelaki bersut kelabu itu. Kepalanya digeleng-gelengkan.
“Tak, tak… Uncle nak tolong bukakan aje.”
“Betul?”
Lelaki bersut kelabu itu menganggukkan kepalanya.
Uncle dah besar. Uncle dah tak makan lollipop.”
Hafiy senyum riang. Terus dia serahkan lollipop kepada lelaki asing itu.
Thank you uncle,” ucap Hafiy setelah lollipop diserahkan semula kepadanya.
Farha tidak bersuara. Hanya memerhati. Hatinya dijentik satu rasa yang sukar diungkapkan saat lelaki bersut kelabu itu membukakan plastik lollipop untuk Hafiy. Satu rasa yang dia sendiri tidak pasti.
Pintu lif terbuka. Mereka sudah tiba di aras bawah.
Tanpa sebarang bicara, lelaki di sebelahnya terus keluar dari perut lif. Farha hanya mampu memandang belakang tubuh lelaki itu yang semakin menjauh. Lelaki itu kelihatan lebih bertenaga daripada semalam.
Perlahan-lahan Farha menarik tangan Hafiy, keluar dari lif.  Satu keluhan berat dilepaskan. Seolah-olah melepaskan satu beban yang amat besar. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihela perlahan-lahan. Cuba membetulkan rentak pernafasan yang tidak teratur dek kerana lelaki itu.
Di taman, Farha duduk di satu bangku sambil memerhatikan Hafiy yang riang bermain. Matanya melekat pada Hafiy tapi mindanya menerawang memikirkan apa yang terjadi kepadanya malam tadi dan juga sebentar tadi.
Dua kali pertemuan dalam waktu yang cukup singkat. Apakah makna di sebalik pertemuan ini?
Dan tadi… lelaki itu dan Hafiy…
Oh Tuhan.
Apa yang Engkau cuba sampaikan?
Eh, kejap!
Dahi Farha mula berkerut.
Kenapa dia tak terkejut bila jumpa aku? Kenapa aku seorang sahaja yang terkejut? Bukan ke dia yang sepatutnya terkejut tengok muka aku? Takkan dia dah lupakan wajah ni?
Bila difikirkan semula, lelaki itu seolah-olah tidak mengingatinya langsung. Lelaki itu juga seolah-olah tidak mengingati pertemuan mereka malam semalam. Seolah-olah pertemuan itu langsung tidak memberi kesan kepada dirinya. Kenapa hanya Farha yang terkesan?
Farha hela nafas berat. Wajahnya diraup perlahan.
Kenapa aku dipertemukan dengan lelaki itu pada ulang tahun kelahiran kami?
Sayu. Terkilan. Hati Farha terasa perit. Perit mengenangkan peristiwa lalu. Peristiwa yang cukup memeritkan jiwa.
“Mama, mama….,” jerit Hafiy sambil berlari-lari ke arahnya.
“Mama okey ke?”
Anak kecil itu seakan bimbang melihat Farha. Farha tersentuh. Bibirnya mengukirkan senyum.
“Mama okey sayang. Hafiy dah puas main ke?”
Hafiy menggeleng.
“Hafiy nak main lagi, boleh tak mama? Sekejap aje…”
“Boleh sayang. Pergilah main. Mama ada banyak masa lagi untuk temankan Hafiy.”
“Jomlah main sama-sama, mama,” ajak Hafiy sambil menarik tangan mamanya.
Farha tersenyum. Diikutkan sahaja kehendak anaknya. Bermain dan bergelak ketawa bersama-sama.



SEORANG LELAKI SEPARUH ABAD melangkah masuk ke Sunshine Café. Berseorangan. Tanpa sesiapa menemaninya. Matanya meliar memerhati sekeliling. Razi yang menyedari kehadiran lelaki itu, segera menghampiri bersama senyuman tersungging di bibir.
“Assalamualaikum Dato. Lama tak jumpa Dato. Dato buat apa kat sini?” soal Razi, sedikit terkejut dengan kehadiran Dato Hamzah di kafe tengah hari itu.
“Waalaikummusalam. Saya nak jumpa Heidry. Dia ada?” tanya Dato Hamzah tanpa nada. Tidak mesra. Tidak juga dingin.
“Heidry belum masuk lagi, Dato.”
Dato Hamzah kerling jam di pergelangan tangannya.
“Dah pukul dua belas pun dia tak masuk lagi? Dia selalu masuk pukul berapa?”
“Err…”
Razi ketap bibir. Terdiam sesaat. Akal segera mencari alasan.
It’s okay. I’ll wait for him,” kata Dato Hamzah. Langkah terus diatur ke satu meja.
“Dato nak minum apa-apa? Coffee?” soal Razi sebaik sahaja Dato Hamzah melabuhkan duduk.
Lelaki separuh abad itu menggeleng perlahan.
“Bagi saya air suam aje. Saya dah tak minum kopi.”
Razi mengangguk faham dan mula melangkah pergi.
Waktu terus berlalu. Dato Hamzah masih setia menanti bersama segelas air suam yang seakan tidak berusik. Duduk tanpa berbuat apa-apa. Kehadirannya di kafe itu berjaya mencuri perhatian Farha yang baru keluar dari ruang dapur. Hati gadis itu dijentik rasa ingin tahu apabila melihat Dato Hamzah sekadar duduk tanpa membuat sebarang pesanan.
“Siapa tu?” soal Farha kepada Naqi, barista di Sunshine Café. Matanya dilirikkan ke arah Dato Hamzah.
Naqi turut melirikkan matanya ke arah yang sama.
“Kau tak tahu ke?”
Farha geleng dengan riak wajah blur.
“Oh, yelah… kau baru kerja sini. Tu Dato Hamzah. Ayah Heidry,” beritahu Naqi. Bersahaja.
Mulut Farha membentuk huruf ‘O’. Pandangan matanya dikalihkan ke arah Dato Hamzah. Itulah suami Mummy Laily yang pernah diceritakan kepadanya. Itu juga ayah kepada lelaki pujaan hatinya.
“Dia tengah tunggu Heidry ke?”
Naqi angguk.
“Macam dah lama aje dia tunggu. Heidry tak tahu ke?”
Naqi jungkit bahu sebelum menyambung semula kerjanya. Lelaki itu tampak seperti tidak ambil kesah. Berbeza dengan Razi yang sedari tadi kegelisahan bila Heidry masih tidak muncul di kafe. Dia sudah cuba menghubungi Heidry sejak satu jam yang lalu tapi panggilannya tidak pernah berjawab.
Razi kembali menghampiri Dato Hamzah.
“Dato tak nak oder apa-apa ke? Dah waktu lunch ni. Dato belum makan apa-apa lagi. Saya boleh suruh kitchen prepare lunch untuk Dato,” kata Razi, prihatin.
“Tak apa. Saya nak lunch dengan Heidry,” balas Dato Hamzah, masih dengan nada yang sama. Nada yang kosong tanpa sebarang perasaan.
Razi ketap bibir. Diserbu rasa serba salah membiarkan Dato Hamzah menunggu lama. 
“Awak dah call dia?” tanya Dato Hamzah.
“Err… saya dah–”
Bicara Razi terhenti saat matanya terhala ke arah Heidry yang baru sahaja melangkah masuk ke kafe. Riak lega terpancar di wajah lelaki itu.
Heidry kelihatan terkejut melihat Dato Hamzah di situ. Langkah kakinya terus terhenti. Pandangan matanya tertumpu ke arah Dato Hamzah yang kini sedang memandangnya. Dengusan kecil terbit di bibir. Kaki kembali melangkah. Langkah yang malas. Menghampiri Dato Hamzah.
“You buat apa kat sini?” soal Heidry.
Razi terus undur diri. Memberi ruang privasi kepada Dato Hamzah dan anaknya.
“You rasa apa yang I tengah buat kat sini?”
Soalan dibalas dengan soalan. Intonasi suara Dato Hamzah masih sama. Datar. Tanpa emosi. Begitu juga dengan riak wajah lelaki itu. Kosong. Namun terselit ketegesan pada raut wajah itu.
“Tunggu I…,” balas Heidry, bersahaja.
“Yeah. Daddy tunggu you.”
Dato Hamzah berjeda. Jam tangannya dikerling.
“Satu jam dua puluh tujuh minit.”
“I tak suruh pun you tunggu I.”
“You memang tak nak duduk ke? Nak bercakap dengan daddy sambil berdiri?”
Dengusan kecil keluar dari bibir Heidry. Kerusi di depan Dato Hamzah ditarik malas. Punggungnya dihenyak.
“Kenapa baru sekarang you datang? You tahu tak dah pukul berapa? You tak serius ke nak takeover Sunshine?”
Heidry buang pandang ke tempat lain. Soalan Dato Hamzah sengaja tidak dijawab. Tak terasa dia perlu menjawab soalan itu.
Sepi. Sunyi. Senyap.
“Daddy tak makan tengah hari lagi. Apa menu special kat sini?” soal Dato Hamzah apabila anak lelakinya kelihatan tidak berminat untuk menjawab pertanyaannya sebentar tadi.
“Kenapa tak tanya aje Razi tadi? Bukan you dah lama tunggu I ke? Kenapa tak makan?”
“Sebab daddy nak lunch dengan you.”
“I dah lunch,” balas Heidry tanpa emosi.
Senyap semula.
Mata Dato Hamzah masih tertumpu pada wajah anaknya. Cuma mata Heidry sahaja yang melilau tanpa hala, seolah tidak mampu bertentang mata dengan ayah sendiri.
“If you dah lunch, boleh temankan daddy lunch?”
Hanya bunyi ‘hmm’ sahaja yang kedengaran dari bibir Heidry. Kepala lelaki itu mengangguk kecil.
Dato Hamzah terus mengangkat tangan dan memanggil Razi. Razi segera menghampiri, bersedia untuk mengambil pesanan.
One fish and chips for Dato Hamzah.”
Belum sempat Dato Hamzah ingin bersuara, Heidry sudah membuat pesanan bagi pihaknya.
“Kau?” soal Razi, ditujukan kepada Heidry.
Heidry geleng perlahan.
“Aku dah makan.”
“Nak minum apa-apa tak?”
“Bagi aku Hot Latte.”
Usai mengambil pesanan, Razi berlalu pergi. Dato Hamzah dan Heidry kembali berdua di meja itu.
“Daddy tak sangka you masih ingat makanan kegemaran daddy,” tutur Dato Hamzah.
Heidry berdeham. Pandangan matanya segera dilarikan saat matanya itu bertautan dengan mata Dato Hamzah.
So, you datang sini semata-mata nak I temankan you lunch lah?” soal Heidry.
Well, kind of. Daddy ajak you dinner kat rumah daddy, you tak datang.”
Tiada respons.
“Boleh daddy tahu apa reason you tak datang semalam?”
Diam. Heidry menundukkan pandangan. Merenung lantai. Bibir diketap.
“Bila you nak stay kat rumah daddy?”
Masih diam.
“Bila daddy tanya soalan, daddy mengharapkan jawapan. Jangan diam aje,” tegas Dato Hamzah.
Heidry menghela nafas berat. Rambutnya dikuak ke belakang.
“Bagi I masa.”
“Berapa lama?”
“I don’t know,” jawab Heidry bersama gelenggan.
“Okey, daddy faham. Daddy akan bagi you masa. Tapi tak lama.”
Kata-kata Dato Hamzah membuatkan Heidry berasa lega. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi diasak dengan soalan sebegini. Soalan yang dia sendiri tiada jawapan.
“Daddy nak tengok you berbaik dengan Mama Widad dan Hilman. Dia orang famili you juga.”
Wajah Heidry berkerut. Dato Hamzah dipandang dengan pandangan jengkel.
“You tahu itu tak mungkin kan?”
“Tak ada yang mustahil dalam dunia ni, Heidry. Daddy akan pastikan sebelum daddy tutup mata, Heidry dah berbaik dengan Mama Widad dan Hilman.”
Heidry menyeringai. Sinis.
“I ingat you tak pernah ambil kesah pasal benda ni. Dulu, apa yang perempuan tu buat dekat mummy dan I, you buat tak tahu aje.”
Giliran Dato Hamzah pula mendiamkan diri. Tidak memberikan respons pada bicara Heidry.
“You stay kat mana sekarang? Rumah Dhani?”
Dato Hamzah kembali bersuara setelah lama menyepi.
Heidry sekadar menganggukkan kepalanya.
“Macam mana you datang sini? Naik apa?”
“Grab.”
“I dah suruh Naura bagi you kereta dan kad kredit ni. Kenapa you tak nak terima?” tanya Dato Hamzah seraya meletakkan kunci kereta dan kad kredit di atas meja.
“I tak perlukan bantuan daripada you. I boleh survive sendiri.”
Kunci kereta dan kad kredit disimpan semula.
“Well, kalau ini yang you mahu… I tak boleh paksa. Mungkin you lagi suka minta bantuan daripada orang lain berbanding keluarga sendiri,” kata Dato Hamzah penuh dengan makna tersirat. Mungkin lelaki itu merujuk kepada perbuatan Heidry yang suka minta tolong dengan Dhani selama ini.
Memang itu hakikatnya. Satu kenyataan yang tak dapat disangkal. Memang selama ini dia lebih rela minta tolong daripada Dhani daripada lelaki itu.


DHANI pulang ke rumahnya saat jam sudah menginjak ke angka sebelas malam. Kegelapan di segenap ruang rumah menjemput kepulangannya. Tangan segera meraba-raba suis lampu. Dalam sekelip mata, ruang yang gelap bertukar cerah diterangi lampu. Dan pandangan mata Dhani terhala ke arah sekujur tubuh yang sedang duduk di sofanya.
Dhani terpempan. Terkejut. Hampir gugur jantungnya bila nampak Heidry di situ. Sangkanya, tiada siapa di rumah memandangkan suasana rumahnya bergelap saat dia melangkah masuk tadi. Tangan segera mengurut dada.
“Apa yang kau buat dalam gelap ni Heid? Aircond tak pasang. Kipas tak pasang. Tak panas ke?” leter Dhani seraya menekan suis pendingin hawa.
Langkah diayun menghampiri Heidry sambil tangan kanan cuba meleraikan ikatan tali leher yang masih menjerut kemas. Santai sahaja langkahnya. Tali leher dan briefcase dicampak ke atas meja kopi. Punggung dihenyak di sebelah Heidry yang masih diam membatu. Merenung dinding.
“Hey… asal dengan kau ni?” soal Dhani. Lengan Heidry disiku.
Heidry bagaikan baru tersedar dari lamunan panjang. Pandangan matanya dihalakan ke arah Dhani.
“Bila kau balik?”
“Ha? Kau tak sedar aku balik? Aku buka lampu pun kau tak sedar? Apa benda yang kau tengah fikir ni?” tanya Dhani penuh dengan rasa ingin tahu.
Heidry hela nafas berat. Kedua-dua sikunya direhatkan di lutut. Wajah diraup perlahan.
“Cuba kau luahkan apa yang tengah bersarang kat otak kau,” pinta Dhani.
“Aku confuse,” luah Heidry.
Confuse pasal apa?”
Heidry toleh ke sebelah, memandang Dhani.
“Betul ke apa yang aku buat ni?”
Dahi Dhani berkerut.
“Maksud kau, ambil alih Sunshine?”
Sepi seketika. Lambat-lambat Heidry menggelengkan kepalanya.
“Bukan pasal Sunshine.”
“Habis tu?”
Heidry ketap bibir. Kembali meraup wajahnya. Tubuhnya disandarkan ke belakang. Mata kembali merenung dinding. Merenung kosong. 
“Betul ke aku nak stay kat sini dan tinggalkan Barcelona?” soal Heidry, lebih kepada menyoal diri sendiri.
“Kenapa kau tanya macam ni? Apa masalahnya kalau kau stay sini? Dan apa masalahnya kalau kau tinggalkan Barcelona?”
Senyap. Heidry tidak jawab.
“Pasal lukisan kau?”
Heidry mengangguk perlahan. Anggukkannya tampak teragak-agak. Seperti tidak yakin dengan jawapannya.
Senyuman tersungging di bibir Dhani.
“Aku tak rasa pasal lukisan. Well, mungkin lukisan tu cuma sebahagian je. Tapi kau tak perlu risau pun pasal lukisan kau. Kau boleh melukis kat mana-mana Heid. Even kau dah take over Sunshine pun, kau masih boleh melukis. Kau boleh melukis kat studio arwah mummy kau. Kalau kau terkilan pasal pameran kau tu… aku tahu kau boleh usahakan semula lepas semua ni selesai. Kau boleh buat pameran lukisan kat sini juga. Dan aku rasa kau boleh buat pameran solo.”
Mata Dhani yang tertumpu ke arah Heidry semakin mengecil.
“Ini semua pasal Naura kan?” tebak Dhani yang cukup memahami Heidry.
Heidry telan liur. Tidak mampu menafikan tebakan Dhani.
“Biar aku betulkan soalan kau. Soalan kau bukannya ‘betul ke aku nak stay kat sini dan tinggalkan Barcelona?’ tapi sepatutnya ‘betul ke aku dah bersedia nak berdepan dengan kisah lima tahun lalu?’. Kisah yang dah buat kau larikan diri dari Malaysia dan menetap di Barcelona.”
“Aku tak larikan dirilah,” bidas Heidry.
“Jangan tipulah Heid. Macamlah aku baru kenal kau. Kalau tak lari, kenapa kau pergi sana? Dan kenapa kau tak pernah balik sini? Kalau bukan sebab Sunshine, aku berani kerat jari yang kau tak akan balik sini. Kau akan stay kat sana… entah sampai bila. Mungkin bila kau dah tua dan kau dah rindukan Malaysia.”
“Aku pergi sana sebab aku nak mulakan hidup baru. Nak kejar cita-cita aku yang hampir aje tercapai. Kau pun tahu kan? And I have no reason to stay here. Mummy aku dah tak ada. Naura pun dah tinggalkan aku demi Hilman. So, tell me… kenapa aku kena stay?”
Sunshine. Kau masih ada Sunshine. Dan kau masih ada aku. Aku dengan Sunshine tak layak ke untuk dijadikan reason untuk kau stay?”
“Sebab Sunshine lah aku ada kat sini, Dhani.”
Then kenapa kau confuse? Kenapa kau masih ragu-ragu dengan pilihan kau?”
Heidry diam.
“Heid…”
Dhani kembali bersuara.
“Aku tahu kau tak nak duduk kat sini lagi sebab arwah mummy kau dan juga sebab Naura. Aku tahu kau tak nak duduk sini sebab kat sini tak ada benda yang boleh buat happy. Kau hanya akan rasa sakit, rasa sedih bila ada kat sini. Aku faham. Aku faham apa yang kau rasa. Kalau aku jadi kau pun, aku takkan pilih untuk tinggal kat Malaysia yang penuh dengan kisah duka ni.”
“Tapi kau sedar tak, dalam masa yang sama, kau sebenarnya larikan diri daripada kesedihan kau, keperitan kau. Kau tak nak balik Malaysia sebab kau tak bersedia nak berdepan dengan kisah hitam kau. Ini yang dipanggil larikan diri. Kau tak ada kekuatan, tak ada keberanian nak berdepan dengan apa yang dah jadi dekat kau lima tahun lepas.”
“Walaupun dah lima tahun, kau masih tak boleh move on. Kau masih tak boleh lupakan peristiwa tu. Sebab selama ni kau tak pernah cuba heal kesakitan tu. Kau hanya larikan diri.”
Jeda.
“Kau sebenarnya lebih tahu apa yang kau rasa. Walaupun kau cuba nafikan, tapi sebenarnya kau memang cuba larikan diri. Larikan diri daripada memori kau dengan arwah mummy kau… larikan diri daripada Naura… larikan diri daripada family kau. Aku tahu kau sedar. Tapi kau cuba nafikan. Kau tak nak mengaku yang kau larikan diri.”
“Dah lima tahun Heid. Sampai bila kau nak larikan diri daripada semua ni? Aku rasa sekarang ni masa yang terbaik untuk kau berdepan dengan segala ketakutan dan kesedihan kau. Aku nak kau balik sini bukan semata-mata demi Sunshine tapi demi diri kau juga. Dah tiba masa untuk pulihkan hati kau tu. Luka… kalau dibiarkan terlalu lama pun tak elok Heidry. Bernanah nanti.”
Heidry menghamburkan tawa. Tawa yang kedengaran hambar. Sangat jelas dibuat-buat.
Emotional pula kau malam ni,” komen Heidry setelah mendengar hujah panjang lebar Dhani.
Dhani ikut tertawa.
“Itulah… teremosi pula aku malam ni. Tapi apa yang aku cakap, semuanya betul kan?”
Hanya bunyi ‘hmm’ sahaja respons Heidry.
“Langkah pertama untuk kau heal hati dan perasaan kau adalah lupakan Naura.”
Heidry melepaskan keluhan berat.
“Kau ingat aku tak pernah cuba untuk lupakan dia ke?”
“Try harder then.”
Hujung bibir Heidry membentuk senyuman. Senyuman yang seakan mengejek diri sendiri.
“Kau ingat senang ke? Aku suka dia bukan baru setahun dua. Dah bertahun-tahun aku simpan perasaan kat dia. Aku pun tak tahu kenapa hati aku susah betul nak lupakan dia. Walaupun dah berkali-kali dia sakitkan hati aku, aku masih rasa sayang dekat dia.”
“Senang aje kalau nak lenyapkan bayang Naura dalam hati kau. Kau hanya perlu jatuh cinta dekat perempuan lain je. Dan masa tu pffff… Naura akan lenyap dari hati kau.”
“Dan kau pula ingat aku ni senang jatuh cinta,” bidas Heidry.
“Belum cuba belum tahu. Cubalah buka hati kau untuk perempuan lain.”
“Aku tak faham apa yang Naura nampak dekat Hilman tu. Aku tak faham kenapa dia obsess sangat dekat mamat tu. Sampai sekarang dia sanggup tunggu.”
“Samalah macam kau. Dua kali lima aje. Aku pun tak faham apa yang kau nampak kat Naura. Memanglah dia cantik. Tapi ramai aje lagi perempuan cantik kat luar sana. Kau dengan Naura sama-sama degil. Sama-sama tak nak mengalah. Tak nak putus asa.”
“Kau nak suruh aku putus asa ke ni?”
“Lah… kau masih mengharap dekat Naura ke? Sudah-sudah lah tu. Kau lupa apa yang dia buat kat kau?”
Heidry menundukkan wajahnya.
“Aku cakap aje. Kau tak terfikir ke kalau satu hari nanti Hilman jumpa isteri dia balik? Then Naura macam mana?”
“Itu biar hal dia lah. Kau tak payah masuk campur. Lagipun isteri dia yang tinggalkan dia. Takkanlah Hilman nak balik semula kat wife dia. Kau sebenarnya masih mengharapkan Naura kan?”
Sepi. Sunyi.
“Ha, kenapa diam? Betullah tu.”
Dhani geleng kepala.
“Tak fahamlah aku dengan kau ni. Serius, aku tak faham. Beratus kali marah dekat Naura tapi masih sayang dekat minah tu.”
“Nanti kalau kau dah jatuh cinta kat someone, kau fahamlah apa yang aku rasa selama ni. Kau tak faham sebab kau tak pernah jatuh cinta.”
“Ceh! Poyo,” kutuk Dhani.
“Tak nak aku cinta-cinta ni semua. Leceh. Seksa. Buat orang menderita aje.”
“Kau tengah bercakap pasal aku ke?”
“Yelah. Siapa lagi? Cukuplah aku terpaksa tengok hati kau hancur berkali-kali sebab Naura. Tak sanggup aku nak jadi macam kau. Baik aku macam ni. Aman hidup. Tanpa cinta pun, aku boleh hidup gembiralah.”
Heidry cebik bibir.
“Okey. Kita tengok macam mana nanti.”
Dhani tergelak.
“Eh… kau nak makeover Sunshine ke tak ni?” soal Dhani tiba-tiba. Membuka topik baru. Inginkan kepastian daripada Heidry tentang cadangannya beberapa hari lepas.
Heidry menganggukkan kepalanya.
“Nak! Tapi…”
Bicaranya diheretkan. Dhani jungkit kening.
“Tapi apa?”
“Aku belum ada modal nak bayar kau,” balas Heidry bersama sengihan.
“Lah! Pasal ni ke?”
“Yelah. Aku mana ada duit sekarang ni. Duit aku dah habis kat tiket flight nak balik sini. Siap terpaksa jual lukisan kesayangan aku lagi.”
“Tak. Maksud aku, kalau pasal ni, kau tak payahlah risau. Aku boleh kasi pinjam duit aku dulu.”
“Eh, betul ke ni?”
“Betullah. Kau ingat aku main-main ke?”
“Tapi kau tak rasa aku perlukan modal yang banyak ke untuk ubah suai tu?”
“Alah… aku rasa dua lukisan kau aje dah cukup untuk cover ubah suai ni.”
“Banyaklah kau.”
“Eh, betul apa aku cakap… Orang Sepanyol pun tergila-gilakan lukisan kau.”
“Itu kat Sepanyol. Sekarang ni kita kat Malaysia. Market Malaysia tak sama macam sana.”
Dhani cebik bibir.
So, next week kita mulakan projek kita ya. Minggu ni aku busy sikit.”
“Hah? Kau serius ke ni?”
“Aku seriuslah. Next week aku pergi Sunshine.”
Thank you bro. Jasamu dikenang,” kata Heidry dengan nada berseloroh.
“Benda kecil ajelah. Kau dah banyak tolong aku selama ni. Apa salahnya aku tolong kau pula. Lagipun aku tahu kau mampu bayar aku balik. Bukannya tak mampu. Kan?”
Laju Heidry mengangguk.
“Eh, tapi… aku ada nak minta tolong dengan kau satu hal lagi.”
“Apa dia?”
Heidry tarik sengih.
“Aku nak tumpang duduk sini lama sikit.”
“Duduklah selama mana kau nak. Aku tak kesah. Tapi aku ada syarat.”
“Syarat apa? Kau nak aku bayar sewa dengan split bil api air ke?” tebak Heidry.
“Kalau ni syarat kau, don’t worry. I’ll pay. Takkanlah aku nak duduk free pula.”
Dhani pandang Heidry.
“Aku tak terfikir pun pasal ni. Bagus juga cadangan kau ni. Kalau kau nak bayar, aku terima je. I’m a rational person.”
“Ceh! Dah tu, apa syarat kau?” soal Heidry.
Namun, seketika kemudian lelaki itu mula tersenyum. Senyuman panjang.
“Okey, aku tahu. Jangan buat sepah. Lepas guna dapur kena bersihkan. Lepas makan, kena basuh. Jangan tinggalkan pinggan dalam sinki macam ada orang gaji yang akan basuhkan,” kata Heidry, cukup bersahaja.
“Bingo!”
“Thank you tolong basuhkan periuk aku masak maggi semalam. Aku ingat nak basuh pagi tadi tapi kau dah basuhkan. Thank you and sorry. Lepas ni aku janji tak buat lagi.”
We’ll see. Lepas ni kalau buat juga, siap kau.”
“Yelah, neat freak. Aku akan cuba pastikan rumah kau sentiasa dalam keadaan bersih. Tapi bilik aku kalau bersepah tak apa kan?”
“Itu suka hati kau. Jangan sampai bau kepam sudah.”
Mereka sama-sama tertawa.



No comments: