Tuesday, January 15, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 8


“Beb, kau dah nak balik ke?” soal Erin sebaik sahaja Farha menjawab panggilan kawan baiknya itu.
“Haah. Baru masuk kereta.”
“Datang rumah aku sekarang. Sekarang tau! Urgent!”
Talian dimatikan.
Farha tercengang. Skrin telefon yang sudah gelap direnung bersama kerutan di dahi. Hati dilambung tanda tanya. Kerisauan mula melanda diri.
“Hesy, kenapa pula dengan minah ni?” soal gadis itu sendirian.
Enjin kereta dihidupkan. Kereta mula dipandu membelah jalan raya, menuju ke kondominium Erin. Lebih kurang empat puluh minit kemudian, gadis itu tiba di kawasan kediaman kawan baiknya.
Langkah diatur laju menuju ke lif. Punat naik ditekan. Gadis itu berpeluk tubuh sementara menunggu lif. Bibir diketap-ketap. Mata melilau di antara empat buah lif yang berada di situ.
Farha kelihatan resah. Risaukan Erin yang tak dapat dihubungi sejak tadi. Begitu dengan Johan. Minda Farha dipenuhi dengan pemikiran negatif. Memikirkan benda buruk telah berlaku pada Erin.
Pintu lif di bahagian hujung kiri terbuka. Kaki Farha terus melangkah ke lif itu. Tidak semena-mena matanya berlaga dengan sepasang mata seorang lelaki yang sudah berada di dalam lif tersebut.
Gadis itu terpaku. Matanya tidak berkelip memandang lelaki yang masih bersut lengkap itu.
Wajah itu…
“Cik nak naik tingkat berapa?” soal lelaki itu bila Farha hanya berdiri tegak tanpa menekan sebarang punat.
Farha tersentak. Tersedar ke dunia nyata. Pandangan matanya terus dilarikan. Jari telunjuk segera menekan punat dua puluh tiga. Dan tika itu dia nampak punat dua puluh satu turut menyala. Menandakan lelaki di sebelahnya akan keluar di tingkat dua puluh satu.
Wajah Farha pucat. Terkejut. Tergamam. Tersentak.
Dari ekor mata dia curi pandang lelaki di sebelahnya. Jari-jemari yang sudah berpeluh diramas-ramas.
“Satu hari nanti kalau along jumpa dia, along akan tuntut keadilan.”
Sebuah janji yang dilontarkan lima tahun lalu terngiang-ngiang di telinga. Itu janjinya. Tapi apa yang dia buat sekarang? Kenapa dia diam? Kenapa dia tak mampu berkata apa-apa?
Pintu lif terbuka di tingkat dua puluh satu. Farha berdiri tegak. Masih tidak mampu berbuat apa-apa pada lelaki di sebelahnya.
Tiada siapa yang keluar. Lelaki di sebelahnya masih berdiri menyandar di dinding lif. Farha kerling lelaki itu.
Melihat mata lelaki itu yang terpejam rapat, jari telunjuk Farha segera menekan punat buka. Menghalang pintu dari tertutup. Wajah lelaki itu diteliti.
Iya, dia cukup yakin lelaki itu lelaki yang tidak mahu ditemuinya sepanjang hayat ini. Kerana dia tak tahu apa yang akan dia lakukan jika mereka ditemukan.
“Encik…,” panggil Farha.
Tiada respons. Sekali lagi Farha memanggil lelaki itu. Lebih kuat. Panggilan keduanya berjaya mengejutkan lelaki yang tampak keletihan itu.
Thanks,” ucap lelaki itu sebelum melangkah keluar.
Mata Farha mengekori setiap langkah lelaki itu sehingga pintu lif tertutup.
Aku dah jumpa dia. Aku dah jumpa dia, bisik hati Farha berkali-kali. Bagaikan cuba menelan apa yang baru dia hadapi.
Farha melangkah keluar saat pintu lif terbuka di tingkat dua puluh tiga. Lemah sahaja langkahnya. Wajah gadis itu masih lagi pucat.
Farha tampak tidak bermaya. Pertemuan dengan lelaki tadi benar-benar memberikan tamparan yang cukup besar pada dirinya. Membuatkan Farha lupa akan kerisauannya pada Erin dalam sekelip mata. Minda gadis itu bercelaru. Macam-macam yang berada di fikirannya.
Langkah Farha terhenti di depan rumah Erin. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Gadis itu cuba menenangkan dirinya. Cuba melupakan peristiwa tadi buat sementara waktu.
Loceng rumah Erin ditekan. Dan tidak lama kemudian pintu rumah dibuka. Pandangan matanya mendarat ke wajah Erin yang redup. Farha kembali berasa risau.
“Kenapa dengan kau ni?”
“Masuklah dulu,” kata Erin seraya membukakan pintu gril untuk Farha.
“Kenapa rumah kau bergelap?” tanya Farha, melangkah perlahan ke dalam rumah Erin yang gelap gelita.
“Kau ga-”
Surprise!!”
Belum sempat Farha ingin menghabiskan ayatnya, dia dikejutkan dengan satu jeritan yang sangat kuat. Keadaan rumah yang tadinya gelap gelita terus bertukar terang.
Farha tenganga. Telapak tangan menekup mulut. Matanya terbuntang melihat Erin, Johan, Fariz dan Hafiy yang sedang berdiri menantinya bersama sebiji kek, sejambak bunga dan belon besar.
Oh.
My.
God.
Sungguh, Farha terkejut. Terkejut dan sebak. Terharu. Lebih-lebih lagi bila mereka semua menyanyikan lagu Happy Birthday dan menghampirinya. Mata gadis itu mula berair.
One, make a wish and blow the candle,” tutur Fariz yang sudah berdiri di depannya bersama kek di tangan.
Farha tersenyum. Matanya dipejam.
Thank you Allah, bisiknya di dalam hati. Lilin ditiup.
Second, hug this flower,” tutur Erin pula seraya menyerahkan sejambak bunga mawar yang digubah indah.
Farha senyum lagi. Bibirnya tanpa henti mengukirkan senyum. Dipeluk jambangan bunga itu sebelum dibawa rapat ke hidung dan dihidu. Wangi. Segar.
Third, hold this giant balloon,” tutur Johan pula.
Farha ambil belon di tangan Johan. Dan kini tinggal giliran Hafiy yang berdiri di depannya bersama senyuman yang cukup manis.
Hafiy menyuruh Farha menundukkan wajahnya dengan isyarat tangan. Farha segera menundukkan kepalanya. Rapat dengan Hafiy.
Chup!
Pipi kananya dicium.
Chup!
Pipi kirinya dicium.
Chup!
Dahinya dicium.
Happy Birthday mama. I love you…,” ucap Hafiy seraya memeluk tubuh Farha.
Farha tersenyum bahagia. Gadis itu turut membalas pelukan anaknya.
“I love you too…”
Dicium-cium pipi lembut anaknya sehingga anak itu kegeliaan. Kemudian, Farha mengalihkan pandangan matanya ke arah kawan-kawanya dan adiknya yang telah memberikan kejutan kepadanya.
Thank you so much. Aku tak expect langsung.”
“Kau mesti sedih aku tak wish kau hari ni kan?” soal Erin.
“Kecik hati sikitlah… Aku ingat kau pun lupa. Fariz pun tak wish aku.”
“Kita orang saja lah tak nak wish. Saja nak buat kau sedih. Kita orang dah lama plan nak buat surprise untuk kau. Sebab kita orang tahu kau teringin nak diberi surprise macam ni. Kan? Kan? Kan?”
Farha tergelak besar.
“Pandai Fariz simpan rahsia daripada along ya…”
Fariz tarik sengih.
Happy birthday long… Fariz doakan along sentiasa diberkati, dirahmati dan cepat-cepat dapat jodoh.”
“Hey!”
Tangan Farha segera mencubit pinggang adiknya. Fariz cepat-cepat mengelak.
“Betullah apa yang Fariz cakap. Fariz doakan along jumpa jodoh along, doakan along happy dengan jodoh along…”
Farha jeling Fariz yang sedang terkekek-kekek ketawa.
“Aku pun doakan benda yang sama Faa. Tak sabar aku nak jumpa bakal suami kau. At least aku ada geng bila kau dengan Erin berpakat serang aku,” seloroh Johan.
“Bagus, bagus… Kau orang memang kena doakan Faa,” kata Erin penuh makna tersirat. Sempat dia kenyitkan mata pada Farha.
Farha jegilkan matanya.
“Eh, jomlah potong kek. Tengok Hafiy tu… Dah terliur nak makan kek aiskrim Baskin Robbins,” ujar Erin, mematikan topik tentang jodoh Farha. Tahu Farha tak suka nak ulas panjang pasal topik itu.
Mereka semua ke meja makan. Bunga dan belon, Farha letakkan di satu tempat.
“Wow! Ada Domino’s,” kata Farha. Teruja melihat piza kegemarannya di atas meja.
“Iyalah. Kegemaran kau. Dan juga Prawn Salted Egg aku yang menjadi kegemaran kau selama ini,” kata Erin seraya menayangkan masakannya.
“Thanks Erin. Ni yang aku sayang kau lebih ni.”



ULANG TAHUN KELAHIRAN Farha pada tahun ini merupakan ulang tahun kelahiran yang paling cukup bermakna buat gadis itu. Gadis itu sungguh bahagia dan gembira di hari ulang tahunnya.
Tahun ini dia menerima dua kejutan. Pertama, kejutan daripada Heidry, lifetime crushnya. Kedua, kejutan dari kawan baiknya, Fariz dan juga Hafiy. Kedua-duanya kejutan daripada orang yang cukup bermakna dalam hidupnya. Sungguh, hari ini merupakan hari yang paling bahagia untuknya.
Tapi…
Minda Farha terkenangkan pertemuannya dengan lelaki bersut di lif tadi. Keluhan kecil terbit di bibirnya.
Kenapa lelaki itu perlu muncul pada hari ini? Kenapa lelaki itu perlu mencacatkan hari bahagianya? Kenapa mereka dipertemukan?
“Kau happy?” soal Erin yang tiba-tiba muncul di balkoni.
Farha yang sedang mengambil angin malam, menoleh ke arah Farha. Kepalanya dianggukkan. Senyuman terlakar di bibir.
I’m so happy. Thank you Erin,” ucap Farha seraya memeluk bahu kawan baiknya. Wajahya dilentokkan ke bahu Erin.
“Manjanya kawan aku ni.”
“Sesekali manja dengan kau tak apa kan?”
Erin tergelak.
“Tak apa. Bukan selalu. Aku happy tengok kau happy.”
Farha dan Erin saling berpandangan sebelum masing-masing menghamburkan tawa.
Ewww! Apa yang aku cakap ni? Geli kan?”
“Gelilah juga. Aku tak pernah dengar kau cakap macam tu dekat aku… dengan nada yang macam tu.”
Mereka sambung gelak.
“Eh, tapi kau tahu aku betul-betul maksudkan apa yang aku cakap kan?”
Farha mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kau nak tahu something tak?”
“Mestilah nak.”
“Kau tunggu sini kejap.”
Farha masuk semula ke dalam rumah. Beg tangannya dicapai lalu dikeluarkan sesuatu sebelum dia kembali ke balkoni.
“Heidry bagi aku,” kata Farha seraya menghulurkan tin silinder kepada Erin.
Erin pandang Farha dengan mata yang terbeliak.
“Heidry bagi kau? Hadiah untuk kau?”
Farha mengangguk-angguk.
Erin tampak teruja. Tin silinder di tangan Farha terus dicapai dan dibuka.
“Wow!”
Erin bagaikan terpukau melihat lukisan Heidry.
“Dia yang lukis?”
Farha angguk lagi.
Oh my God! So sweet. Aku betul-betul harapkan dia lah jodoh yang tertulis untuk kau selama ni Faa. Aku serius.”
Hesy, kau ni… Dia baru bagi aku lukisan ni, kau dah harapkan dia jadi jodoh aku pula.”
“Bukan itu ke yang kau harapkan selama ni? Setahu aku, baru beberapa hari lepas kau cakap dekat aku yang kau tengah tunggu lifetime crush kau lamar kau…”
“Yelah… tapi kalau dia tak suka aku macam mana?”
“Kau buatlah dia suka kau. Kau doalah pada Allah… kalau dia memang jodoh kau, doa pada Allah untuk permudahkan segala urusan kau dengan dia.”
Farha senyum tawar.
“Dia dah ada Naura,” kata Farha perlahan.
“Naura? Siapa Naura?”
Childhood friend dia. Aku pernah cerita dekat kau dulu.”
“Oh… So, dia dengan Naura sekarang ni?”
Farha jungkit bahu.
“Entah. Aku tak pasti. Tapi aku tahu Heidry masih cintakan Naura.”
“Naura cintakan Heidry tak?”
“Aku tak tahu.”
“Hmm… kalau dia orang suka sama suka, memang kau tak ada harapanlah. Tapi kalau Heidry tu bertepuk sebelah tangan, kau masih ada harapan Faa. Kau boleh cuba buat Heidry jatuh cinta pada kau.”
Farha tergelak. Hatinya dicuit rasa lucu mendengar bicara Erin.
“Okeylah. Aku nak balik. Dah lewat ni. Hafiy pun dah terlelap tu.”
“Tidur ajelah sini Faa. Aku tak puas berbual dengan kau. Dah lama tak night talk dengan kau.”
“Eh, kau dah kahwin kan? Pergilah night talk dengan laki kau.”
“Mana sama Faa. Tak sama.”
“Aku kerjalah esok.”
“Tapi kau masuk kerja pukul 10.30 kan? Tidurlah sini dengan Hafiy. Esok aku dengan Johan boleh bawa Hafiy jalan-jalan lepas kau pergi kerja.”
“Habis tu, aku nak pakai baju apa esok?”
“Baju aku kan ada. Macam tak biasa pula pinjam baju aku.”
“Baju Hafiy?”
Erin tayang sengih.
“Sebenarnya aku dah suruh Fariz prepare baju extra untuk Hafiy…”
“Oh… kau dah plan lah nak ajak aku tidur sini?”
Erin sengih lagi. Kepalanya diangguk-anggukan.
“Yelah, yelah. Aku tidur sini,” setuju Farha. Dia pun sebenarnya kalau boleh tak nak balik ke rumah ibu bapanya. Tidak tahu macam mana nak berhadapan dengan mereka pada hari yang cukup bermakna ini. Tidak mahu melihat riak sedih di wajah ibu dan ayahnya yang masih terkesan dengan pemergian Yaya.
“Eh, adik aku macam mana?”
“Dia tak nak tidur sini. Aku dah ajak dah…”
“Seganlah tu. Tak pun dia nak melepak dengan kawan dia kat kedai mamak.”
“Biasalah lelaki… Jom. Aku bawa kau ke bilik tetamu yang aku dah sediakan khas untuk kau.”



No comments: