Saturday, January 12, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 6


Heidry mengurung diri dalam studio lukisan selepas Naura keluar dari biliknya. Menenangkan dirinya dengan melukis. Tangannya lincah bergerak ke sana sini di atas kanvas putih, melukis sesuatu yang Heidry sendiri tidak pasti. Jari-jemarinya bergerak mingkut kata hati.  Fikiran lelaki itu terlalu serabut sehingga dia tidak sedar apa yang dia lukis.
Pergerakkan tangan Heidry terhenti. Seakan tahu yang lukisannya sudah siap. Mata lelaki itu merenung kanvas di depan mata. Dan tidak semena-mena mata lelaki itu berair.
Mummy.
Wajah itu yang terhias di kanvas lukisannya. Lukisan yang dilukis ikut gerak hati dan di luar sedarnya. Cukup jelas menunjukkan rasa rindunya pada wanita itu.
“I tak takut. You yang takut. Sebab tu you suka larikan diri. Dan sekarang ni you marah I pasal kereta you sebab you takut nak berdepan dengan kebenaran. You takut nak berdepan dengan apa yang berlaku lima tahun lalu. Kan? You takut nak tengok, nak pandu kereta yang dah ragut nyawa mummy you.”
Heidry ketap bibir kuat saat bicara Naura menerpa ruang minda. Tangannya digenggam kuat. Peristiwa hitam yang berlaku lima tahun lalu kembali terlayar.
Gelap.
Malam.
Hujan.
Treler.
Dan….
Nafas Heidry mula tidak teratur. Dadanya berombak kuat. Peluh sudah merecik di dahi. Tubuhnya menggigil.
Heidry pejam mata. Kepalanya digeleng-gelengkan. Cuba mengusir banyangan lama. Tidak mahu memori yang cuba dilenyapkan kembali.
Ya, Naura. I takut. I takut nak tengok kereta yang dah ragut nyawa mummy I. I tak nak tengok kereta tu. I tak nak ingat apa yang berlaku lima tahun lalu.
Heidry hela nafas berat. Matanya yang pejam dibuka semula. Wajah mummynya di kanvas lukis menyapa pandangan. Senyuman di bibir wanita itu menenangkan hatinya yang sedang huru hara.
Heid rindukan mummy, bisik hati Heidry. Lemah.
Lelaki itu bangkit dari duduk. Keluar dari studio. Kembali ke ofis. Pandangan matanya terhala ke arah Victoria Sandwich Cake yang masih terletak elok di atas meja. Masih tidak berusik.
Lambat-lambat dia menghampiri kek itu. Piring kek dicapai. Kek itu direnung lama. Tanpa lelaki itu sedar, tangannya sudah mencuit kek itu dan disua ke dalam mulut. Mata Heidry membulat. Tersentak. Kek itu disua lagi ke dalam mulut.
Satu kali.
Dua kali.
Tiga kali.
Dan sehingga ke suapan yang terakhir.
Mata Heidry kelihatan bersinar-sinar. Tampak teruja. Entah kenapa, hatinya disapa rasa bahagia. Nikmat.



TELEFON PINTAR di poket seluar Farha bergetar. Tangan yang mengelap kaunter kek terus terhenti. Diseluk tangan ke dalam poket lalu telefon pintar dikeluarkan. Nampak sahaja wajah Hafiy di skrin telefon, bibir gadis itu terus melakarkan senyuman.
Mata meliar ke sekeliling sebelum dia menghilangkan diri ke dapur bakeri. Panggilan video daripada Hafiy dijawab bersama hati yang riang. Meskipun baru sahaja berpisah beberapa jam, dia sudah rindu pada si comel itu.
“Hello, anak mama…,” sapa Farha. Ceria. Dengan nada yang terkawal.
Hafiy melompat kegirangan apabila Farha menjawab panggilannya.
“Hello mama…,” balas Hafiy.
“Mama tengah buat apa?”
“Mama tengah kerja sayang.”
“Bila mama nak balik?”
“Macam biasalah. Malam nanti mama balik. Hafiy ada nak pesan apa-apa tak?”
Hafiy berfikir seketika. Kejap tangan dia sentuh dagu. Kejap tangan dia sentuh kepala.
“Hafiy nak aiskrim,” jerit Hafiy.
“Eh, kan baru aje Hafiy makan aiskrim? Mana boleh makan aiskrim selalu Hafiy.”
“Alah… hari tu Hafiy dapat makan sikit je. Aiskrim Hafiy jatuh,” adu Hafiy dengan raut wajah sedih.
Terus Farha teringat insiden dua hari yang lalu. Timbul rasa kasihan pada anak kecil itu. Hari tu dia ada juga offer aiskrim baru untuk Hafiy. Tapi Hafiy tak mahu. Merajuk agaknya.
“Kesiannya anak mama. Okeylah… mama belikan sebelum mama balik. Hafiy nak aiskrim apa?”
“Strawberry!”
Wajah Hafiy kembali ceria.
“Mama cepat-cepat balik tau. Hafiy nak main dengan mama.”
“Mainlah dengan nenek. Kalau nenek sibuk, main dengan atuk.”
“Tak naklah. Tak best. Main dengan mama juga best.”
Farha tertawa halus. Ada ada aje si Hafiy ni. Kalau dengar dek ayah dan ibu dia, mahu dia orang kecil hati.
“Ma… tadi kan ada uncle datang rumah. Dia belikan mainan untuk Hafiy. Atuk kata uncle tu akan jadi papa Hafiy. Betul ke ma?”
Farha terpempan. Rahangnya terjatuh. Mulalah hati dia rasa tak sedap. Siapa pula yang datang rumah? Ayah dia pun satu… kenapa cakap macam tu dekat Hafiy?
“Atuk tipu kan ma?”
Hafiy bertanya lagi bila Farha tak beri respons.
“Atuk gurau aje tu, Hafiy.”
“Betul ke mama nak kahwin?”
Sekali lagi Farha terpempan. Kepalanya digaru-garu perlahan.
“Siapa cakap dengan Hafiy ni? Atuk ke?”
“Taklah. Nenek. Nenek kata dah tiba masa untuk mama kahwin. Nanti kalau mama kahwin, mama tinggalkan Hafiy ke?”
“Hafiy… dengar apa yang mama nak cakap ni. Mama tak akan tinggalkan Hafiy. Dan buat masa sekarang ni, mama tak akan kahwin dengan siapa-siapa. Hafiy kan boyfriend mama. Mama mana boleh kahwin dengan orang lain…”
Hafiy tergelak bila Farha cakap dia tu boyfriend Farha.
“Hafiy jangan risau ya sayang.”
“Okey mama. Love you mama.”
Senyuman manis terhias di wajah Farha.
Love you too,” balas Farha seraya melayangkan satu flying kiss pada anaknya.
“Tunggu mama balik ya. Nanti mama bacakan buku cerita untuk Hafiy. Sekarang mama kena sambung buat kerja.”
Hafiy mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.
Bye ma!”
Tangan kecil itu melambai-lambai di skrin telefon. Farha turut melambai-lambaikan tangannya sebelum panggilan video itu dimatikan.
Gadis itu menghela nafas berat sebaik sahaja skrin telefon bertukar gelap. Hatinya terasa berat seperti ada beban yang menghimpitnya. Dia ada masalah baru. Lepas ayah dia sibuk suruh dia cari kerja tetap, sekarang ni ayah dia dah sibuk dengan isu kahwin pula.
Argh! Serabut!
Farha memusingkan tubuhnya. Ingin kembali ke ruang depan kafe. Terbeliak matanya apabila melihat Heidry sedang bersandar di pintu sambil berpeluk tubuh dan merenungnya. Ya, merenungnya. Telefon di tangan hampir terlepas.
Gadis itu mula gugup. Jantung berdegup laju. Terkejut dan cuak. Cuak dengan renungan mata Heidry. Kenapa lelaki itu merenungnya sebegitu? Adakah kerana dia menjawab panggilan video daripada Hafiy? Erk!
Farha garu tengkuk. Cuba berlagak biasa. Tekak dibersihkan sebelum dia memulakan bicara.
“Dah lama ke awak kat situ?”
Heidry hanya mengangguk. Renungan matanya masih pada Farha.
“Err… saya minta maaf.”
“Kenapa awak minta maaf?” soal Heidry. Nada suara lelaki itu kedengaran dingin.
“Sebab saya jawab call daripada anak saya.”
“Oh… It’s okay. I don’t mind.”
Kali ini nada suara Heidry kedengaran lebih relaks.
Habis tu kenapa awak pandang saya macam nak marah je? Soal Farha sekadar di dalam hati. Tidak berani melontarkan kepada lelaki itu.
Victoria Sandwich Cake tu… Awak ke yang buat?”
Hah! Farha terpinga-pinga. Wajahnya tampak blur. Kurang dengar bicara Heidry.
Heidry bersihkan tekak. Soalannya diulang semula.
“Awak ke yang buat Victoria Sandwich Cake tu?”
Farha terus teringat pesanan Naura. Gadis itu kembali cuak. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya.
“Ada lagi?”
“Ada.”
“Bungkuskan semua kek tu,” arah Heidry sebelum menyusun langkah untuk pergi.
Farha tercengang. Heidry suruh dia bungkuskan semua kek tu? Biar betul! Bukan ke Naura kata Heidry takkan makan?
Pelik! Dia makan ke kek yang aku bagi tadi?
Hati Farha dipenuhi tanda tanya. Pun begitu, dia tetap menurut perintah. Tetap membungkus Victoria Sandwich Cake untuk Heidry.



“AYAH mana, bu?” soal Farha seraya melabuhkan punggungnya ke sofa.
“Pergi surau. Tak balik-balik lagi. Lepak kat kedai kopi lah tu,” jawab Puan Salwa tanpa mengalihkan pandangan matanya dari kaca tv.
Farha pandang sekeliling. Ingin pastikan line clear sebelum dia memulakan topik sebenar meskipun dia tahu Hafiy sudah lelap di biliknya.
“Ibu… Faa nak cakap sikit, boleh?”
Puan Salwa mengerling anaknya. Duduknya disengetkan sedikit menghadap Farha.
“Bunyi macam serius aje.”
“Memang serius pun,” balas Farha.
“Hmm, cakaplah… Apa dia?”
Farha tarik nafas lalu dihela perlahan.
“Siapa yang datang petang tadi?”
“Siapa pula yang datang… Oh! Anak Pak Majid… Dia ada singgah sekejap tadi. Pak Majid kamu baru balik umrah. Dia ada bagi ole-ole sikit. Zaid yang hantar. Siap dia belikan mainan untuk Hafiy.”
Bila dengar sahaja nama anak Pak Majid, terus Farha rasa lemah. Hilang separuh tenaga daripada tubuhnya. Kenapa mesti lelaki itu? Takkan ayah nak jodohkan aku dengan dia?
“Mana Faa tahu? Siapa yang bagitahu?” tanya Puan Salwa.
“Hafiy,” jawab Farha sepatah. Lemah sahaja nada suaranya.
“Oh… Hafiy ada cakap apa-apa lagi ke?”
Farha pandang ibunya. Raut tidak puas hati terpamer di wajah gadis itu.
“Ada. Kenapa cakap macam tu dekat Hafiy?”
“Cakap apa?”
“Ayah cakap pasal papa Hafiy lah, pasal Faa nak kahwinlah… Bila masa pula Faa nak kahwin?”
“Habis tu takkan sampai ke tua Faa tak nak kahwin?” bidas Puan Salwa.
“Tak ada lah macam tu. Nanti kalau dah tiba masa, dah tiba jodoh Faa… Faa kahwinlah. Tapi bukan dengan cara ibu dengan ayah desak Faa macam ni.”
“Faa sedar tak yang Faa tu dah nak masuk tiga puluh tahun? Faa nak tunggu sampai bila? Sampai umur dah cecah empat puluh?”
“Kalau dah jodoh Faa sampai waktu tu, Faa terima aje,” jawab Farha, bersahaja.
Puan Salwa mengjengilkan matanya.
“Bu… Faa tak sukalah ibu atau ayah cakap pasal benda ni dekat Hafiy. Janganlah cemarkan otak Hafiy dengan benda-benda macam ni. Buatnya dia tanya pasal asal usul dia, tanya pasal papa dia… Apa yang Faa nak jawab?”
“Cakap ajelah yang bapak dia dah tinggalkan dia,” balas Puan Salwa bersahaja.
“Ibu…! Apa ni? Tak baik tau.”
“Betul apa ibu cakap? Bapak dia tu tak bertanggungjawab langsung. Ada ke patut tinggalkan isteri yang tengah mengandungkan anak dia. Sampai sekarang tak nampak batang hidung. Minta maaf dekat ibu dengan ayah pun tak. Dah lah ambil anak ibu diam-diam. Tak ada adab langsung. Lepas tu, buat anak ibu macam tu pulak,” kata Puan Salwa, mula beremosi bila terkenangkan peristiwa lalu.
“Dah lah bu. Tak payahlah ungkit cerita lama. Nanti ibu juga sakit hati.”
“Sakit kat hati ibu ni tak pernah sembuh Faa. Sampai sekarang ibu rasa sakit. Ibu takkan lupa apa yang dia dah buat kat anak ibu. Kalau ibu jumpa dia, siaplah dia ibu kerjakan.”
Farha hela nafas perlahan.
“Bu… tolong sampaikan kat ayah yang Faa tak nak ayah pandai-pandai carikan suami untuk Faa. Faa boleh cari sendiri,” kata Farha. Kembali ke topik asal. Dia tak mahu ibunya tenggelam lebih jauh ke dalam lautan memori lima tahun lepas.
“Faa cakaplah sendiri dekat ayah. Ayah tu mana nak dengar cakap ibu. Dia nak Faa kahwin tahun ni juga. Lagipun, ibu tengok Zaid macam ada hati aje dekat Faa.”
“Ayah tu pun mana nak dengar cakap Faa. Cakap dia aje yang betul. Cakap dia aje yang kita kena dengar. Lepas satu, satu… Mula-mula dia bising suruh Faa cari kerja tetap. Faa dah cari, dah kerja… Dia bising pula pasal kahwin. Lepas dah kahwin, dia nak bising pasal apa pula? Pasal anak?”
“Tak baik cakap ayah Faa macam tu. Dia suruh Faa cari kerja untuk kebaikan Faa juga. Dah dua tahun Faa menganggur.”
“Faa tak menganggurlah bu. Faa ada bisnes sendiri kan?” balas Farha.
Nafas ditarik dalam dan dilepaskan perlahan.
“Okeylah. Faa tak kesah pasal tu. Tapi pasal kahwin ni… Ayah ingat soal kahwin boleh paksa-paksa ke? Ini soal hati dan perasaan Faa tau.”
“Faa tak suka Zaid ke?”
Diam. Farha garu kepala.
“Bukanlah tak suka. Faa dengan dia biasa-biasa aje. Tak ada lah suka sampai nak jadikan dia suami Faa. Tak pernah terfikir pun lah bu.”
“Kenapa? Sebab dia duda?”
Hah? Farha terlopong.
“Bukan sebab tu lah… Tak ada kena mengena.”
Puan Salwa hela nafas berat.
“Pak Majid dengan Mak Siti kamu pernah cakap nak jodohkan anak dia dengan Faa. Siap dia orang berdoa lagi kat depan kaabah. Ibu pun tak tahu nak cakap apa. Ayah Faa pula macam setuju aje.”
Farha tergamam. Mulutnya semakin terngaga. Ini dah kes serius!
“Tolonglah jangan paksa Faa macam ni bu. Selama ni Faa tak kesah ayah nak suruh Faa buat apa-apa. Faa ikut aje cakap dia. Tapi bukan soal kahwin, bu. Faa tak boleh ikut cakap ayah.”
Sebuah jelingan sinis dihadiahkan pada Farha.
“Jangan nak membohonglah Faa. Dari dulu Faa suka bantah cakap ayah. Ayah suruh ikut jejak Yaya, Faa tak nak. Degil. Buat keputusan sendiri. Mana Faa pernah nak ikut cakap ayah. Kerja Faa dari dulu membantah aje. Lain betul perangai Faa dengan Yaya.”
Dah mula dah… dah mula.
Dah mula sesi perbandingan antara dia dengan Yaya. Memang topik ni tak pernah hilang dari rumah ni. Tak keluar dari mulut ayah, keluar dari mulut ibu pula.
“Kenapa ibu nak ungkit cerita bertahun-tahun yang lalu?”
“Ibu tak ungkit. Ibu nak Faa sedar yang selama ni Faa suka bantah cakap ayah.”
“Faa tak membantah bu. Faa tak tahu berapa kali Faa beritahu ibu dengan ayah. Dah beratus kali agaknya. Faa bukannya tak nak ikut jejak Yaya, tapi Faa tak layak. Result Faa tak sama dengan dia.”
“Apa sebabnya Faa tak layak? Sebab Faa tak dengar cakap ibu dengan ayah. Orang suruh belajar, tapi Faa asyik main aje. Kalau Faa dengar cakap macam Yaya, Faa tak jadi macam sekarang ni. Mesti Faa dah ada kerja yang elok sikit.”
Hmm… dah agak. Mesti perbualan mereka akan menjurus ke arah ni.
Farha sebak rambut ke belakang.
“Ibu… Ibu sebenarnya masih tak boleh terima yang Yaya dah tak ada kan? Masih tak boleh terima apa yang Yaya dah buat kat ibu dengan ayah kan? Kalau Faa yang pergi… kalau Faa yang buat semua tu, ibu takkan macam ni… takkan terkilan macam sekarang ni. Ibu akan terima. Ibu akan reda. Sebab Faa tahu Faa ni bukan anak kesayangan, bukan anak emas ibu. Bukan anak yang boleh buat ibu bangga.”
“Faa dah banyak menyusahkan ibu dan ayah, kan? Sebab tu ayah tak sabar nak Faa kahwin. Dia nak lepaskan tanggungjawab dia dekat Faa.”
Farha terus angkat punggung. Melarikan diri ke dalam bilik. Tidak betah berada di situ lagi. Tanpa sedar, dia telah meluahkan apa yang terpendam di hati selama ini.
Ya, dia tahu ibu dan ayahnya terkilan dengan apa yang anak kesayangan mereka dah buat. Dan mereka tak boleh terima bila anak kesayangan mereka menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang sangat memilukan.
“Kenapa mesti Yaya, bang? Kenapa Yaya sanggup buat kita macam ni? Kenapa Yaya tinggalkan kita? Wa tak kesah kalau Faa buat kita macam ni. Wa tak kesah kalau Faa yang pergi. Tapi kena Allah pilih Yaya? Kenapa Allah tak ganti aje tempat Yaya dengan Faa? Allah nak uji kita ke bang?”
Kolam mata Farha mula terasa panas saat kata-kata lima tahun yang lalu kembali menerjah ruang minda. Kata-kata yang dia dengari tanpa sengaja sebaik sahaja dia tiba di hospital setelah diberitahu tentang pemergian Yaya. Kata-kata yang telah merobek hatinya. Yang telah membuat dia sedar kedudukan dirinya di dalam hati ibu dan ayahnya.



No comments: