Monday, January 7, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 5


Pintu bilik Heidry diketuk perlahan sebelum Farha melangkah masuk bersama dulang yang berisi sepiring kek dan secawan kopi panas. Pandangan matanya terhala ke arah Heidry yang sedang menyemak sebuah fail. Senyuman nipis terukir di bibir.
“Hi…,” tegur Farha.
Heidry mengalihkan tumpuannya ke arah Farha. Memandang gadis yang sedang menghampirinya. Dahi lelaki itu berkerut.
“Saya rasa saya tak ada oder apa-apa,” kata Heidry.
“Yup! Tapi saya saja bawakan hi tea untuk awak. Cuma saya tukar tea kepada coffee lah sebab saya tahu awak lebih suka kopi daripada teh,” balas Farha, bersahaja.
Mata Heidry melirik ke arah kek yang dihidangkan di atas meja kerjanya. Riak wajah lelaki itu terus berubah. Keras. Kejung. Namun, perubahan itu tidak disedari Farha. Gadis itu selamba meneruskan bicara.
“Dan saya bawakan Victoria Sandwich Cake untuk awak since awak belum rasa lagi kek ni.”
Sepi. Sunyi.
Farha melirikkan matanya ke arah Heidry yang diam seribu bahasa. Renungan mata lelaki itu terhala ke arah kek yang dibawanya. Merenung tanpa ada tanda-tanda untuk menyentuh kek tersebut. Gadis itu mula berdeham, ingin menarik perhatian Heidry.
“Hmm… saya keluar dulu. Jangan lupa makan tau.”
Heidry pandang Farha dan hanya bunyi ‘hmm’ keluar dari bibirnya. Itu pun perlahan dan hampir tidak kedengaran. Tangkai hati Farha dijentik rasa pelik.
Kenapa wajah lelaki itu berubah setiap kali dia hidangkan Victoria Sandwich Cake? Adakah Heidry membenci kek itu? Tapi setahu Farha, itu kek kegemaran Heidry.
Usai Farha meninggalkan bilik Heidry, mata lelaki itu kembali terlekat ke arah Victoria Sandwich Cake yang dihias dengan strawberi dan krim putar. Minda lelaki itu kembali mengimbau kenangan lama. Hatinya kembali terusik acap kali melihat kek itu. Kek kegemaran yang sudah lima tahun tidak dijamah mahupun disentuh.
Tak ada siapa yang boleh buat kek ini sesedap mummy. Tak ada siapa, detik hati Heidry. Dia hanya memandang sepi kek itu. Seperti semalam, kek itu dibiarkan tidak bersentuh. Lelaki itu kembali menumpukan perhatian pada kerjanya.
“Hi Heid!”
Tidak sampai lima minit Heidry kembali fokus, Naura muncul di ofisnya dengan wajah yang ceria. Gadis itu dengan selamba duduk di depan Heidry.
Heidry terkesima. Terkejut melihat kemunculan Naura di kafenya. Tidak menjangkakan kehadiran gadis itu.
“Wow! Ada kek. Ni baker baru yang buat ya?”
“You buat apa kat sini?” soal Heidry tanpa menjawab soalan Naura.
Naura melemparkan pandangan ke arah Heidry.
“Jumpa you. I tahu you ada kat sini,” balas Naura, kedengaran bersahaja. Seolah-olah tiada pentengkaran atau persengketaan yang berlaku di antara mereka sebelum ini.
Tapi kalau nak diikutkan, memang tiada sengketa di antara mereka. Cuma hubungan mereka terlalu rumit.
“You nak apa lagi Naura?” tanya Heidry dengan nada malas.
Naura tarik muncung.
“Sombonglah you ni. Takkan I nak jumpa you pun tak boleh.”
“Sebab I tahu kalau you jumpa I mesti you akan cakap pasal benda yang I tak suka.”
Then, cubalah untuk suka apa yang I nak cakap ni.”
Heidry hela nafas.
“Cakaplah apa you nak cakap.”
Senyuman tersungging di bibir Naura. Tangan mula meraba beg tangan. Lalu dia keluarkan sesuatu dari beg tangan dan ditanyangkan di depan Heidry.  
Surprise! Masih ingat lagi kunci kereta ni?” tanya Naura.
Raut wajah Heidry bertukar keras.
“Siapa bagi you kebenaran untuk sentuh kereta I?” marah Heidry. Garang.
Naura terlopong. Matanya membulat.
“Heid… seriously?” tanya Naura dengan nada terkejut. Tangan yang berada di awangan bersama kunci kereta terus dijatuhkan ke atas meja.
“Takkan dengan I pun you nak berkira?” soalnya lagi.
“Ini bukan soal berkira ke tak. Ini soal kenapa you sentuh kereta I? Kenapa you bawa kereta tu datang sini? Kenapa?” jerkah Heidry. Kuat.
“Heid!!” jerit Naura. Geram. Bila Heidry dah mula naik suara, dia pun sama naik suara.
“You ni dah gila ke apa? Tak boleh ke you cakap terima kasih kat I? You tahu tak, I yang jaga kereta you selama ni? Sebab I tahu you akan balik sini… dan I akan serahkan kereta ni semula pada you.”
“Siapa yang suruh you jaga kereta I? I tak suruh pun Naura. Dan I tak suruh pun you bawa kereta tu datang sini.”
Suasana semakin tegang. Mereka saling berbalas renungan. Renungan yang cukup tajam. Cuma renungan di mata Naura semakin lama semakin lembut. Gadis itu akhirnya menundukkan pandangan. Nafas dihela perlahan.
“Okey. Kalau you tak nak kereta you, I boleh bagi kereta I. You nak kereta baru pun, I boleh belikan,” kata Naura dengan nada yang mengendur. Tidak setegang tadi. Tidak sekeras tadi.
Kali ini Heidry ketawa pula. Tawa yang kedengaran sinis.
“You nak belikan kereta untuk I? For what? I bukan pengemis Naura.”
“You ni memang tak pernah berubah kan? Bila I cakap I boleh bagi kereta I, boleh belikan kereta baru untuk you… you ingat I fikir you pengemis pula. I buat semua ni untuk you. Untuk memudahkan you pergi mana-mana.”
“Salah ke apa yang I cakap? Kenapa you pula yang sibuk nak belikan kereta untuk I?”
We are family. Salah ke kalau I nak belikan kereta untuk you?”
You are not my family Naura. You dengan I tak ada hubungan keluarga langsung. You mimpi ke apa ni?”
Soon. I akan jadi family you tak lama lagi.”
“How? By marrying Hilman? My half brother.”
Naura angguk yakin.
Heidry lepas gelak.
“Bila you nak sedar dari mimpi indah you ya Naura?”
Sinis.
“Heidry stop it. I tak nak dengar you mengarut. Kita tengah cakap pasal kereta sekarang ni.”
“Kenapa? You takut dengan kebenaran?”
“I tak takut. You yang takut. Sebab tu you suka larikan diri. Dan sekarang ni you marah I pasal kereta you sebab you takut nak berdepan dengan kebenaran. You takut nak berdepan dengan apa yang berlaku lima tahun lalu. Kan? You takut nak tengok, nak pandu kereta yang dah ragut nyawa mummy you.”
“Naura!” tempik Heidry. Sangat kuat.
Wajah lelaki itu tampak tegang.
“Enough. I said enough!”
Kerusi rodanya terus dipusingkan ke belakang. Membelakangi Naura. Ingin menyembunyikan diri daripada gadis itu.
Naura terdiam. Bibir diketap. Bagaikan baru tersedar yang dia sudah tersalah kata. Rasa kesal mula membaluti diri.
“Heid… I… I minta maaf. I betul-betul minta maaf. I terlepas cakap,” kata Naura, penuh dengan rasa bersalah.
“Keluar.”
I’m so sorry, Heid. I’m so sorry,” ucap Naura lagi. Masih tidak mahu berganjak dari tempat duduknya.
“I cakap keluar, keluarlah. You buat apa kat lagi kat sini?” Heidry kembali menempik.
Ternaik bahu Naura dek kerana terkejut. Dah lama dia tak tengok Heidry marah macam ni. Dia tahu dia yang salah. Bicaranya sudah keterlaluan. Dia sendiri tidak sedar apa yang keluar dari mulutnya.
“Baik you pergi sebelum I buat benda yang lagi teruk dekat you, Naura.”
Heidry memberi amaran keras.
Naura reda. Dia tahu dalam situasi sekarang, dia perlu mengalah. Gadis itu mula angkat punggung. Sebelum beredar dia meninggalkan kad kredit pemberian Dato Hamzah di atas meja lelaki itu.
“Daddy you suruh I bagi kad ni dekat you. I letak kat atas meja,” tutur Naura sebelum beredar.



MATA Farha mengekori langkah seorang gadis yang sedang naik ke tingkat atas. Dia cukup kenal dengan gadis berambut panjang dan beralun itu.
Naura.
First love lifetime crush dia. Merangkap childhood friend.
Tujuh tahun yang lalu, Farha sudah tahu hubungan Heidry dan Naura. Mereka sangat akrab. Setiap kali dia nampak Heidry, Naura pasti ada sekali. Farha juga tahu perasaan Heidry pada Naura. Dan sebab itu, dia hanya anggap Heidry sebagai crush. Crush yang dia tahu tidak mungkin akan ada perasaan yang sama sepertinya.
Tujuh tahun kemudian, saat dia bertemu semula dengan crushnya, dia turut bertemu dengan rivalnya. Rival in love. Dan entah kenapa, perasaan aneh yang kurang menyenangkan mula menyelinap dalam diri. Kurang senang dengan kehadiran gadis itu.
Apakah hubungan mereka setelah tujuh tahun berlalu? Adakah mereka masih dalam fasa kawan baik atau mereka sudah ke fasa pasangan kekasih? Atau mungkin sudah ke fasa tunang. Tapi yang pasti mereka belum ke fasa suami isteri. Farha tahu Heidry belum berkahwin.
Farha tersenyum dalam hati. Senyum yang hambar. Nampak gayanya, Heidry akan kekal sebagai lifetime crush sahaja. Mustahil untuk dia menantikan saat lelaki itu melamarnya seperti yang dia beritahu Erin.
It’s okay Faa. Serahkan aje pada takdir… pada apa yang sudah tertulis untuk kau, bisik gadis itu, memujuk diri sendiri.
Tiba-tiba satu tempikkan yang kuat kedengaran dari ruang atas kafe. Semua tersentak. Masing-masing pandang ke ruang atas. Termasuk Farha.
Satu lagi tempikkan kedengaran.  Tidak lama kemudian, Farha nampak Naura keluar dari bilik Heidry dan turun ke tingkat bawah. Gadis itu melemparkan senyumaan apabila dia menyedari semua mata tertumpu ke arahnya.
Sorry. I dah buat Heidry bad mood. Kalau boleh, you jangan kacau dia hari ni ya. You faham-faham ajelah Heidry tu,” kata Naura pada Razi yang berdiri tidak jauh dari Farha.
Razi mengangguk faham. Cukup faham dengan apa yang berlaku. Bukan sekali dua dia tengok Heidry dan Naura bertengkar meskipun mereka berdua berkawan baik.
Mata Naura melirik ke arah Farha.
“Pekerja baru ke?” soal Naura, ditujukan kepada Farha.
Farha mengangguk perlahan.
“Dia baker kat sini,” jelas Razi.
“Oh…”
Naura menghampiri Farha.
“I Naura. You?”
“Farha.”
“Tadi I nampak Victoria Sandwich Cake dekat meja Heidry. You ke yang bagi?”
Farha mengangguk. Hati mula dijentik rasa pelik dengan soalan yang diajukan kepadanya.
Naura senyum nipis.
“Heid takkan makan kek tu. Dia hanya makan yang arwah mummy dia buat.”
Hanya bunyi ‘oh’ yang keluar dari mulut Farha. Baru gadis itu faham kenapa Heidry tidak menyentuh keknya.
“Lain kali you tak payah bagi kek tu. Kalau boleh jangan tunjuk kek tu depan dia.”
“Heidry tak ada cakap apa-apa pun, Naura. Takkanlah dia tak nak makan kek tu. Itu kan favourite dia?” Razi kembali bersuara.
“You tengok dia ada makan ke kek tu? Tadi pun kek tu tak bersentuh. I lebih kenal Heid lah. Dia takkan makan selain yang mummy dia buat. Dan kek tu akan buat dia teringat arwah mummy dia.”
Farha ketap bibir.
Sorry Cik Naura. Lepas ni saya akan ingat pesanan cik.”
It’s okay. Razi pun tak tahu pasal benda ni.”
Razi senyum nipis.
“Hmm, okeylah Razi. I balik ofis dulu. Tolong tengok-tengokkan Heid,” pesan Naura sebelum meninggalkan kafe.
“Err… Abang Razi..,” panggil Farha.
Razi toleh ke arah Farha.
“Perlu ke saya ambil balik kek yang saya bagi tadi?” tanya Farha ragu-ragu.
“Tak payah. Jangan bagi sesiapa naik atas. Heidry kalau dah naik angin, tak ada siapa berani kacau.”
Farha mengangguk faham. Dia tak pernah tengok Heidry naik angin. Ini kali pertama. Dan dia tak dapat menepis rasa ingin tahu kenapa lelaki itu naik angin. Pasti ada kaitan dengan Naura. Tapi apa? Apa yang mereka bicarakan?
Argh! Jangan menyibuklah Faa.



No comments: