Monday, January 7, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 4


Resah.
Gelisah.
Gementar.
Cemas.
Berdebar.
Ini yang dirasakan oleh Farha sejak awal pagi tadi. Semuanya bergaul menjadi satu. Perasaan yang wujud dek kerana seorang lelaki yang dipuja dalam diam sejak tujuh tahun yang lalu. Namun, perasaannya itu berjaya dikawal dan disembunyikan dengan riak tenang di wajah.
Gadis itu buat kerja seperti biasa. Cuba untuk tidak terlalu fikirkan lelaki itu yang entah bila akan muncul. Cuba untuk meredakan gelodak di jiwa.
Sedang Farha menyusun kek di dalam peti sejuk paparan kek, pintu kafe ditolak seseorang. Gadis itu terus menoleh ke arah pintu kafe. Dan pandangan matanya mendarat ke satu wajah yang membuatkan dia mengimbau memori petang semalam.
Bukankah lelaki ini yang dia nampak semalam? Yang telah menolong anaknya?
“Selamat datang Abang Heidry,” ucap pekerja-pekerja di kafe. Ceria dan bertenaga.
Mata Farha terbuntang. Terkejut. Terkesima.
Heidry? Dia Heidry? Lelaki semalam tu Heidry?
Farha telan liur. Matanya masih terlekat ke arah lelaki yang baru sahaja masuk ke dalam kafe. Diamati wajah itu. Wajah yang sangat berbeza daripada wajah yang terpotret di hati dan mindanya tujuh tahun yang lalu. Sangat berbeza sehingga dia tidak mampu nak kenal pasti. Patutlah semalam dia rasa dia macam pernah lihat wajah itu.
Oh Tuhan!
Farha masih terkejut. Masih lagi dalam fasa tak percaya. Tak percaya lelaki yang dia jumpa petang semalam, Heidry. Tak percaya lelaki yang terhantuk kepala dengannya, Heidry. Tak percaya lelaki yang telah menolong anaknya, Heidry. Sungguh, dia tak percaya.  
Tanpa Farha sedar, Heidry sudah berdiri di depannya. Merenung tepat ke dalam anak matanya.
Gulp!
Farha cemas. Debaran di dada semakin memuncak. Matanya terkebil-kebil memandang lelaki di hadapannya. 
“Farha?” soal lelaki itu.
Farha tergamam. Fikirannya tiba-tiba kosong. Tak mampu berfikir apa-apa. Tak mampu memberi sebarang respons. Terkelu. Ini merupakan kali pertama lelaki itu bercakap dengannya dan ayat pertama lelaki itu adalah namanya. Farha.
Razi yang baru muncul di antara mereka berdua, berdeham. Lengan Farha disiku perlahan. Membuatkan Farha tersedar ke dunia nyata. Terus gadis itu melarikan renungan matanya. Satu, sebab malu. Dua, sebab tak mampu bertentang mata dengan lelaki itu.
“Farha… ni Encik Heidry. Macam yang saya beritahu awak semalam, dia akan ambil alih kafe ni,” beritahu Razi.
“Heidry. Panggil aje Heidry,” tutur Heidry. Bersahaja.
Matanya dilirikkan ke arah Razi.
“Aku dah beritahu kau yang aku tak nak pekerja kafe panggil aku encik kan?” soal Heidry bersama jungkitan di kening.
Razi pamer sengih.
“Oh, okay. So, Farha… ni Heidry. Bos baru awak. Dan Heidry, ni Farha… Baker kat kafe ni yang kau tak dapat jumpa semalam sebab semalam hari cuti dia.”
Farha membersihkan tekaknya. Dia cuba menutup segala rasa cemas dan debarnya. Cuba berlagak tenang.
“Hi, Encik–”
Bicara Farha terhenti. Gadis itu telan liur.
Sorry. Hi Heidry.”
Itu sahaja yang mampu Farha tuturkan walaupun dia dah praktis nak kenalkan dirinya dengan lebih panjang. Waktu praktis, semuanya berjalan lancar. Tapi bila lelaki itu sudah berada di depan mata, lidahnya terus jadi kelu. Dan dia sekadar mampu mengucapkan ‘hi’.
“Hi,” balas Heidry bersama senyuman di bibir.
Oh, manisnya senyuman itu.
“Razi ada beritahu apa-apa kat awak?” tanya Heidry ringkas.
Farha segera mengangguk. Faham dengan soalan lelaki itu.
Good! Saya tunggu awak kat sana.”
Lelaki itu terus melangkah pergi. Menghampiri sebuah meja dan melabuhkan punggungnya di situ.
“Awak nervous ke Farha?” soal Razi, pelik melihat gelagat Farha yang lain macam di depan Heidry.
Farha kerling Razi. Laju dia menggeleng. Menidakkan.
Razi cebik bibir. Tak percaya.
“Tipu! Dari muka awak saya dah tahu awak nervous.”
“Hesy, Abang Razi ni. Mana ada. Saya terkejut ajelah.”
“Kenapa pula awak terkejut?”
“Saya tak sangka dia anak bos. Saya ingat customer,” balas Farha. Bersahaja.
Gadis itu sudah mampu mengawal perasaannya.
Razi tergelak kecil.
“Kan saya dah kata dia nak datang hari ni?”
“Iyalah. Tapi mana saya tahu anak bos tu nak datang pukul berapa.”
“Macam-macamlah awak ni. Dah… Pergi hidangkan kek untuk dia. Jangan buat dia tunggu lama pula.”
Farha mengangguk tanda faham.
“Good luck!”
Sempat Razi menitipkan kata semangat kepada Farha. Gadis itu tersenyum nipis.
Good luck, Faa. You can do this. Don’t be nervous, bisik hati gadis itu, memberi semangat kepada diri sendiri.
Farha segera menyediakan kek-kek untuk dinilai oleh Heidry. Lima jenis kek yang berbeza dipotong dan diletakkan di atas piring sebelum diletakkan ke dulang. Kemudian, dulang itu ditatang menghampiri Heidry yang sedang menghirup kopi.
Setiap langkah yang diambil, ditemani dengan debaran yang masih bersisa di dada. Semakin dia hampir dengan lelaki itu, semakin berdebar dadanya. Sungguh, dia sudah lama tidak berperasaan sebegini. Sudah lama tidak cemas dan berdebar hanya kerana seorang lelaki. Entah kenapa, hanya lelaki ini yang mampu buat sekeping hatinya hura-hara.
Heidry mengukirkan senyuman saat matanya terhala ke arah Farha yang semakin hampir dengannya. Dan Farha balas senyuman itu dengan senyuman yang tampak kekok.
“Saya sediakan lima jenis ke yang paling mendapat sambutan dekat kafe ni. Pecan Butterscotch, Pandan Gula Melaka, Red Velvet, Blueberry Cheesecake dan yang paling top, Victoria Sandwich Cake,” kata Farha seraya menghidangkan kek-kek tersebut di depan Heidry.
Mata Heidry mengikut pergerakan tangan Farha yang meletakkan satu per satu kek di depannya. Dipandang satu per satu kek yang terhidang. Dan bila tiba kek yang terakhir, riak wajahnya berubah. Kek itu direnung lama.
Sepi buat seketika.
Farha mula rasa canggung. Bebola matanya digerakkan ke kanan dan kiri, cuba mengurangkan rasa kurang selesanya. Dalam masa yang sama, cuba mengurangkan debaran di dada. Diramas-ramas jari-jemarinya.
Heidry berdeham. Pandangan matanya dilarikan ke tempat lain sebelum ditumpukan ke arah Farha.
“Duduklah,” pelawa Heidry yang sudah beriak biasa.
Farha terus tarik kerusi di depan Heidry dan melabuhkan punggungnya. Matanya dihalakan ke depan, memadang Heidry yang betul-betul berada di depannya dengan jarak yang cukup dekat. Wajah lelaki itu diamati.
Dulu lelaki di depannya kelihatan kebudakkan dan manja. Memang manja pun… Manja dengan Mummy Laily ajelah. Tapi sekarang lelaki itu kelihatan lebih matang dan berkarisma. Cuma... lelaki itu kelihatan serabai berbanding dulu yang sentiasa kelihatan kemas.
“Jangan takut. Saya tak makan orang,” kata Heidry, kedengaran berseloroh.
Hah?
Farha yang sedang mengelamun terpinga-pinga.
Heidry melirikkan pandangan matanya ke arah tangan Farha di atas meja. Senyuman nakal terukir di bibir lelaki itu.
Saat menyedari tangannya yang sedang menggigil, gadis itu cepat-cepat sembunyikan tangan ke bawah meja. Darah merah menyerbu ke muka. Malu.
Farha ketap bibir. Pandangannya ditundukkan, menyembunyikan wajahnya yang sudah kemerahan. Hesy, tangan ni… kenapa derhaka dekat tuan dia? Buat malu aje.
“Jangan risau. Saya cuma nak berkenalan dengan pekerja saya. Dan nak tahu kelemahan serta kekuatan pekerja-pekerja saya,” kata Heidry, cuba mengurangkan rasa cemas Farha.
“Semalam saya dah berkenalan dengan semua orang kecuali awak. Sebab awak tak ada,” tambah lelaki itu.
Farha tayang sengih. Hanya itu respons yang mampu diberikan.
“Awak baru sebulan kerja kat sini kan?” tanya Heidry meskipun dia sudah tahu jawapannya. Sekadar bertanya untuk memulakan sesi perkenalan mereka.
Farha angguk.
“Sebelum ni awak kerja kat mana?”
“Hmm… ini first job saya.”
First job dalam usia awak dua puluh sembilan tahun?”
Senyum dan angguk. Mengeyakan.
“Tapi saya ada buat part time dulu.”
“Oh…”
Jeda sesaat.
“Razi ada beritahu saya yang awak ada bisnes kek sendiri. Awak ambil tempahan kek. Kan?”
“Yup! Sebelum ni, itulah kerja saya. Saya kerja dari rumah aje.”
Then, kenapa tiba-tiba awak nak kerja kat sini?”
Farha terdiam seketika. Mindanya cuba mencari jawapan yang sesuai. Takkan dia nak cakap kafe ini yang dah menyuntik perasaan untuk jadi seorang pembuat kek. Takkan juga dia nak cakap sebab lelaki di hadapannya. Oh ya…. dia dah tahu nak jawab apa.
“Bisnes saya kecil-kecil aje. Lagipun saya nak pengalaman kerja dekat kafe.”
So, apa yang awak rasa setelah sebulan kerja kat sini?”
“Err… okey. Semuanya okey.”
Senyuman tersungging di bibir Heidry.
“Jawapan tu terlalu general. Saya harapkan sesuatu yang lebih daripada itu.”
Farha gigit bibir. Dia tak tahu nak jawab apa. Hanya ‘okey’ sahaja yang mampu dia berikan. Dia tak tahu nak ulas lebih panjang.
It’s okay. Saya faham,” kata Heidry bila Farha diam sahaja.
Farha pamer sengih.
Sorry. Saya tak tahu nak cakap apa. Tapi saya suka kerja sini. Dan saya happy dapat kerja kat sini.”
Heidry senyum.
Since awak ada bisnes sendiri dan kafe kita pun ada terima tempahan kek, awak tak rasa ada conflict of interest ke kat sini?”
Kepala Farha digelengkan.
“Awak jangan risau. Saya takkan curi customer kafe ni.”
Sebab saya sayang kafe ni seperti mana awak sayang kafe ni, sambung Farha dalam hati.
Iya. Kafe ini sangat bermakna buatnya. Di kafe ini, dia dapat berkenalan dengan seorang wanita yang sangat baik hati, yang telah banyak membantunya. Di kafe ini juga, dia dapat berkenalan dengan seorang lelaki yang telah mengetuk pintu hatinya.
“Can I trust you?”
Farha angguk yakin. Senyuman tersungging di bibir Heidry.
Okay. Let me taste your cake. Razi kata sejak awak kerja kat sini, jualan kek kita semakin meningkat.”
 Heidry mula menyentuh kek-kek di depannya. Farha sekadar memerhati. Pandangan matanya difokuskan pada wajah Heidry, ingin membaca reaksi wajah lelaki itu sewaktu merasa kek-keknya.
Satu per satu kek dicuit dan disua ke dalam mulut lelaki itu. Kek Pecan Butterscotch, kek Pandan Gula Melaka, kek Red Velvet, kek Blueberry Cheesecake… dan suapannya terhenti di situ. Kek Victoria Sandwich Cake tidak disentuh. Diabaikan.
Dahi Farha berkerut. Pelik! Pandangan matanya bertaut dengan mata Heidry. Baru dia ingin bertanya, lelaki itu sudah bersuara.
Nice! Sekarang saya faham kenapa Razi asyik puji kek awak. Dia dah suruh saya rasa semalam tapi saya saja nak rasa hari ni sambil berkenalan dengan awak.”
Senyuman terhias di wajah Farha. Lega mendengar pujian lelaki itu.
“Kenapa awak tak rasa Victoria Sandwich Cake tu?”
Riak wajah Heidry berubah sedikit apabila Farha menyebut tentang kek tersebut.
“Err, this is enough.”
“Tapi awak suruh saya prepare lima jenis kek. Dan saya dah prepare pun. Rasalah… itu kek yang paling famous kat sini tau. Rugi awak tak rasa.”
Heidry ukir senyum. Tawar.
“Awak makanlah. Saya tak suka benda manis sebenarnya.”
Farha hela nafas perlahan.
“Hmm, tak apalah kalau macam tu. Mungkin lain kali awak boleh rasa.”
Sepi. Heidry diam. Matanya tertumpu ke arah Victoria Sandwich Cake. Namun, Farha tidak perasan akan renungan mata lelaki itu. Minda gadis itu sedang terkenangkan insiden petang semalam.
“Err, Heidry…,” tutur Farha. Perlahan dan ragu-ragu.
Heidry tersentak. Pandangan matanya kembali tertumpu ke arah Farha.
“Saya nak minta maaf.”
Kening Heidry ternaik. Tidak mengerti.
Farha senyum tipis.
“Mungkin awak tak perasan… atau awak tak ingat. Tapi kita pernah jumpa semalam. Dua kali.”
Mata Heidry membulat.
“Dua kali? Bila? Kat mana?” soal lelaki itu. Terkejut.
Jelas sungguh Heidry tidak mengingati pertemuan tanpa sengaja mereka petang semalam. Terselit rasa terkilan di hati Farha. Namun, gadis itu faham. Dan cukup mengerti. Lelaki di hadapannya ini tidak pernah tahu akan kewujudannya meskipun dia sudah kenal lelaki ini sejak tujuh tahun yang lalu.
“Kali pertama, di kafe. Saya terhantuk kepala dengan awak. Saya dah minta maaf tapi saya minta maaf sekali lagi. Dan kali kedua… masa awak tolong anak saya. Yang ini… saya betul-betul minta maaf sebab dah salah faham. Terima kasih sebab dah tolong anak saya.”
Riak wajah blur Heidry terus berubah. Tanda dia sudah mengingati peristiwa semalam.
“Wow! Saya tak sangka kita dah jumpa semalam. Sorry. Saya betul-betul tak ingat.”
“Tak apa,” balas Farha bersama senyuman nipis.
Saya tahu saya tak penting buat awak, sambungnya di dalam hati.
“Saya tak tahu pula awak ada anak. Dekat profile awak tulis single.”
“Err… yup! Saya ada anak. Dan saya single.”
Mata Heidry mengecil. Cuba memahami maksud Farha. Dan mindanya hanya mampu membuat dua kesimpulan. Kesimpulan pertama, Farha seorang janda yang mungkin sudah kematian suami atau diceraikan suami. Kesimpulan kedua, Farha lahirkan anak luar nikah. Hesy, tapi takkanlah. Tak baik bersangka buruk. Tapi kalau betul pun, siapalah dia nak menghakimi orang?
“Macam mana dengan anak awak? Dia okey?” soal Heidry, cuba mengubah perbualan mereka ke arah yang lebih selesa. Tidak mahu bertanyakan sesuatu yang mungkin sensitif untuk gadis di depannya.
“Dia okey. Terima kasih banyak-banyak sebab dah tolong Hafiy.”
“No big deal.”
“Err… Hafiy ada beritahu yang awak ada bagi duit dekat orang tu. Boleh saya tahu berapa? Saya nak ganti balik.”
It’s okay. Tak perlu. Saya halalkan.”
“Betul ke ni?”
Heidry menganggukkan kepalanya.
“Anggaplah saya sedekah untuk anak awak.”
“Terima kasih Heidry.”



HEIDRY naik ke ruang atas kafe setelah selesai sesi perkenalan dengan Farha. Dipijak satu per satu anak tangga spiral, naik ke tingkat atas. Matanya mengerling bilik di sebelah kanan ofis. Hanya bilik itu sahaja yang belum dia jejak sejak balik dari Barcelona.
Kaki lelaki itu mula teragak-agak untuk menghampiri bilik itu.
Setapak.
Dua tapak.
Tiga tapak.
Dan akhirnya dia berdiri di depan pintu bilik itu. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Jari-jemari mula menyentuh tombol pintu. Perlahan-lahan tombol pintu itu dipulas. Ditolak pintu itu.
Mata Heidry disapa dengan satu pemandangan yang sama seperti lima tahun yang lalu. Tiada apa yang berubah. Susun aturnya masih sama. Lelaki itu melangkah masuk ke dalam bilik. Bilik yang penuh dengan lukisan dan peralatan lukisan.
Bilik ini merupakan studio lukisan arwah mummynya. Dia dan arwah mummynya banyak meluangkan masa di bilik itu. Di bilik ini, dia dapat saksikan arwah mummynya menghasilkan beribu-ribu lukisan yang terjual dalam masa yang singkat. Di bilik ini, dia diajar untuk melukis. Dan di bilik ini juga, dia dan arwah mummynya sama-sama menghasilkan lukisan. Bakat lukisan yang ada di dalam dirinya diwarisi daripada arwah mummynya.
Terlalu banyak memori indah yang tercipta di bilik ini. Satu per satu kenangan lalu mula terimbau di minda. Ruang fikirannya dipenuhi dengan kenangan bersama arwah mummynya. Dan rasa rindu mula mengetuk hati.
Heidry meliarkan pandangan matanya ke sekeliling bilik. Memerhati setiap sudut. Memerhati setiap lukisan yang tergantung. Ada lukisan mummynya. Ada juga lukisannya. Bilik itu kelihatan bersih tanpa sebarang habuk meskipun sudah bertahun-tahun tidak digunakan. Pasti Razi yang menjaga bilik ini. Lelaki itu cukup tahu betapa pentingnya bilik ini buat mereka berdua.
Heidry melabuhkan punggungnya di satu sofa di sudut hujung bilik. Tubuhnya disandarkan. Jam di pergelangan tangan dikerling.
Hampir jam dua belas tengah hari. Bicara Dato Hamzah kembali terngiang-ngiang di telinga.
Tell me your decision by tomorrow, before twelve. Daddy akan jual Sunshine if I didn’t hear anything from you. Muktamad!”
Keluhan kecil terlepas dari bibir. Wajahnya diraup.
I hope I make a good decision,” kata lelaki itu kepada diri sendiri.
Telefon pintar dikeluarkan. Applikasi WhatsApp dibuka. Dan dia mula menaip sesuatu.
I pilih option two.
Itu sahaja yang Heidry taip dan hantar pada Dato Hamzah. Tidak sampai satu minit, dia menerima panggilan telefon daripada lelaki itu. Lambat-lambat, Heidry menjawab panggilan tersebut.
“Daddy ingat you dah balik Spain. I heard you ada art exhibition kat sana.”
Tersungging senyuman sinis di bibir Heidry.
“I patut ada kat sana kalau you tak buat hal,” kata Heidry dengan nada keras. Meluahkan rasa kesalnya. Menjatuhkan kesalahan pada Dato Hamzah.
So, macam mana dengan pameran tu? Masih boleh diteruskan tanpa you atau you tarik diri?”
“You rasa?”
Dato Hamzah diam. Tidak memberi respons. Suasana di talian sunyi seketika.
“You dah hancurkan usaha I selama lima tahun,” marah Heidry.
“Daddy tak suruh you tarik diri dan balik sini,” balas Dato Hamzah tanpa nada.
“Dan you nak I biarkan you jual Sunshine? Cukuplah you dah jual rumah kami. I tak akan bagi you jual Sunshine!”
“Well, you have six months.”
Heidry ketap bibir. Geram dengan sikap ayahnya yang terlalu pentingkan diri.
“Hmm… since you dah buat keputusan untuk pilih option two, I’m expecting you to be in my house tonight. Daddy akan suruh Mak Ita sediakan bilik untuk Heidry.”
“Oh, pasal tu… I rasa buat masa ni I akan stay dengan Dhani.”
“Why?”
“I dengan Dhani nak plan something for Sunshine. So, I rasa lebih baik I stay dengan dia.”
“Ini hanya alasan you kan?”
“Terpulang kalau you nak fikir macam tu.”
Okey. We’ll talk about this later. Tapi malam ni you kena juga datang rumah daddy. Dinner dekat rumah daddy.”
Sorry, I dah ada plan malam ni.”
“Ini alasan you juga kan?”
Heidry diam.
“Hmm, okey. Kali ini daddy bagi you peluang. Tapi lain kali kalau daddy suruh balik rumah daddy, you tak boleh bagi alasan lagi,” tegas Dato Hamzah. Dan talian terus dimatikan.
Heidry melepaskan nafas lega. Sekurang-kurangnya buat masa ini dia tak payah berdepan dengan perempuan yang paling dia benci. Datin Widad.



MALAM ITU, Erin muncul di Sunshine CafĂ© bersama suaminya. Mencari Farha. Kononnya ingin makan malam di situ. Macamlah Farha tak tahu niat sebenar Erin. Kawan baiknya itu sengaja datang ke kafe sebab nak tengok lifetime crush Farha. Tapi sayang… Heidry sudah keluar. Kehampaan Erin.
“Ceritalah macam mana kau jumpa dia tadi,” gesa Erin, teruja saat mereka ditinggalkan berdua. Johan keluar untuk menjawab panggilan telefon daripada kliennya.
“Shhh… perlahanlah sikit. Kau nak satu kafe aku tahu ke yang aku ada hati dekat mamat tu?” tegur Farha dengan nada perlahan.
Erin tarik sengih.
Sorry. Cepatlah cerita.”
Farha mula bercerita tentang pertemuan pagi tadi. Seperti Farha, Erin juga terkejut bila diberitahu mereka sudah bertemu dengan Heidry semalam.
“Alah… aku tak ingatlah muka mamat semalam. Tak ambil kesah pun. Menyesal pula tak tengok betul-betul. Macam mana muka dia sekarang? Masih sama macam dulu ke?”
“Kalau masih sama, aku dah cam semalam. Tapi aku serius tak cam. Cuma aku rasa macam familiar lah muka tu.”
“Kenapa? Apa yang lain dekat muka dia?”
“Taklah… bila aku tengok lama-lama, muka dia sama je macam dulu. Cuma rambut dia dah panjang. Entah berapa lama dia tak potong pun aku tak tahu. Lepas tu, muka dia penuh dengan jambang. Tapi… tapi, tapi, tapi, tapi… dia tetap nampak handsome dan mampu buat aku nervous teruk.”
Terhambur tawa Erin.
Oh my God! Aku doakan dia lelaki yang tertulis untuk kau.”
Farha pula yang tergelak. Tawa mereka bergabung.
“Eh, tadi aku ada tanya-tanya Abang Razi pasal dia. Abang Razi cakap Heidry baru aje balik sini semalam. Selama ni dia dekat Barcelona.”
“Wow! Dia buat apa kat sana?”
Farha jungkit bahu.
“Entah. Mungkin something to do with his painting.”
So, dia akan balik sana semula atau dah tak balik sana?”
“Yang ni aku tak sure. Tapi Abang Razi kata dia dah ambil alih kafe ni. So, aku rasa dia takkan balik sana lagi.”
“Sukalah kau,” usik Erin sambil cuit lengan Farha.
“Apa yang kau orang bualkan?” tanya Johan yang sudah kembali ke meja mereka.
Erin menoleh ke arah suaminya.
“Nanti I cerita.”
“Hesy, janganlah!” tegah Farha.
“Alah Faa… rahsia kau semua ada poket aku. Tak payah nak berahsia sangat.”
Farha cebik bibir.
Mereka bertiga sudah lama berkawan. Sejak zaman sekolah. Dan kini, dua orang kawan baiknya sudah bergelar suami isteri. Entah macam mana mereka boleh terjatuh hati dan menjalinkan hubungan sehingga ke jinjang pelamin. Padahal dulu, Johan dan Erin ni pantang bertemu. Ada aje benda yang boleh buat gaduh. Asyik bertengkar. Tapi… inilah yang dinamakan jodoh. Inilah yang sudah tertulis untuk kedua-dua kawan baiknya. Dan Farha tumpang gembira.



No comments: