Friday, January 4, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 3


Bangunan berwarna putih di depan mata dipandang bersama perasaan yang sukar untuk dimengertikan. Pelbagai emosi mula menguasai diri sebaik sahaja dia kembali ke tempat ini. Tempat yang memberi seribu satu makna dalam hidupnya.
Entah sudah berapa lama dia berdiri di hadapan bangunan itu. Sekadar memandang tanpa niat untuk melangkah masuk. Pandangan mata dihalakan ke arah papan tanda yang hampir usang.
Sunshine Cafe.
“Because you are my sunshine.”
Heidry memejamkan matanya saat bicara dua puluh tahun yang lalu menyapa telinganya.
Suara mummy…
Senyuman mummy…
Belaian mummy…
Oh Tuhan! Heid rindukan mummy. Rindu sangat, tutur Heidry dalam hati. Lirih.
Mata yang terpejam rapat dibuka semula. Diusir segala rasa yang menyelebungi diri. Dicampak segala rasa sedih yang mula bertapak di hati. Ditepis segala kenangan yang cuba menggamit jiwa.
Wake up, man. You can do this, bisik hati Heidry, menyuntik semangat dalam dirinya.
Nafas ditarik dalam-dalam bagaikan mencari kekuatan lalu dihembus perlahan-lahan bagaikan melepaskan beban yang tertanggung. Perlahan-lahan Heidry mula mengatur langkah. Menuju ke dalam kafe yang sunyi sepi tanpa seorang pelanggan.
Berbeza sungguh suasana kafe saat ini jika dibandingkan dengan satu masa yang lalu. Dulu kafe ini sentiasa dipenuhi dengan penggunjung. Tak pernah putus. Meja sentiasa penuh. Ada yang datang seorang diri. Ada yang datang berpasangan. Ada yang datang dengan keluarga. Tetapi kini? Mana pergi semua orang? Mana pergi pelanggan-pelanggan kafe ini? Adakah mereka juga turut pergi bersama-sama arwah mummynya?
Lima tahun.
Sudah lima tahun mummy pergi meninggalkannya. Meninggalkan kafe ini. Meninggalkan mereka semua. Dan sudah lima tahun juga Heidry tak pernah jejakkan kaki ke kafe ini. Dia tak mampu. Tak sanggup. Tempat ini penuh dengan memori mummynya.
Tapi… hari ini dia sudah kembali. Dia kembali demi mempertahankan satu-satunya kesayangan mummy. Nyawa mummy. Mana mungkin dia biarkan Dato Hamzah musnahkan segala-galanya. Tidak sama sekali. Ini usaha mummy. Titik peluh mummy selama ini.
Langkah Heidry terhenti di hadapan sebuah lukisan bunga matahari yang tergantung di tengah-tengah kafe. Lukisan itu masih tampak segar meskipun sudah berusia lebih daripada sepuluh tahun.
Heidry berdiri tegak. Menatap lukisan itu. Lama. Dan tidak semena-mena memori dia bersama mummy di bilik kecil saat mummy sedang melukis lukisan ini terlayar di ruang minda.
Oh memori…
Kafe ini benar-benar penuh dengan memori.
Tidak sampai lima minit dia menjejakkan kaki ke kafe ini, dirinya sudah dihantui dengan pelbagai memori.
“Lukisan tu masih nampak cantik macam dulu.”
Terbang segala lamunan apabila gegendang telinganya disapa satu suara dari arah belakang. Terus dia menoleh.
Sesusuk tubuh yang cukup tidak asing datang menghampirinya bersama senyuman tertampal di bibir.
Welcome back Heidry.”
Heidry menguntum senyum seraya menghulurkan tangan, menyambut huluran salam daripada Razi, pengurus kafe yang sudah lama berkhidmat di situ.
“Hey… How are you?”
I’m good. Macam yang kau tengah tengok sekarang ni.”
Heidry pandang Razi atas bawah dan kemudian menyeringai.
“Kau dah makin…”
Heidry tak meneruskan bicara. Sebaliknya dia membuat gaya yang menunjukkan Razi sudah semakin berisi.
Razi hambur tawa. Sedikit pun tak ambil hati. Itu memang hakikatnya.
“Biasalah Heidry… bila dapat orang rumah yang pandai masak ni, kau faham-faham ajelah.”
Mata Heidry membesar.
“Kau dah kahwin?” soal lelaki itu dalam nada terkejut.
Razi mengherotkan bibirnya bersama sebuah jelingan dihadiahkan kepada Heidry.
“Dah lah. Dah tiga tahun. Anak pun dah nak masuk dua.”
“Sorry bro. I have no idea. Congrats on your marriage walaupun aku tahu dah terlambat untuk aku wish.”
Heidry lepas gelak.
Sorrylah sebab tak jemput. Aku tak tahu macam mana nak contact kau.”
“Tak apa. Aku faham,” balas Heidry.
Mata Razi tertumpu ke wajah Heidry.
So… apa yang membuatkan kau balik semula ke sini?”
Heidry diam. Tidak memberi respons. Pandangan mata dilirikkan ke sekeliling kafe.
“Sebab Sunshine?” tebak Razi.
Perlahan-lahan Heidry menganggukkan kepalanya. Keceriaan di wajah masing-masing semakin menghilang. Diganti dengan riak sugul.
“Macam mana kau tahu?” soal Razi.
“Dhani.”
Razi hela nafas berat.
Sorry bro. I can’t protect Sunshine. Aku tak boleh halang Dato Hamzah daripada jual kafe ni. I’m really sorry.”
“Dia takkan boleh jual Sunshine. Aku tak izinkan.”
Dahi Razi berkerut.
“Bukan hari ni ke Dato Hamzah sign agreement untuk jual kafe ni?”
Heidry menggelengkan kepalanya.
“Aku berjaya stop dia.”
“Oh, wow! So, Dato Hamzah tak jadi jual Sunshine?”
Heidry angguk.
“Tapi dengan syarat.”
“Syarat apa?”
I have to stay here and take over Sunshine,” balas Heidry tanpa memberitahu syarat yang terperinci.
So, kau akan balik sini and take over Sunshine?”
“Yup! Aku akan ambil alih Sunshine. Sekarang ni aku nak kau beritahu aku semua benda yang berlaku dekat Sunshine for the past five years. Aku nak tengok financial report dan juga profile pekerja. Jumpa aku kat atas in ten minutes,” tutur Heidry kedengaran tegas.
Lelaki itu terus menyusun langkah menuju ke tangga spiral yang terletak di sudut tepi kafe. Satu per satu anak tangga spiral dipijak, membawa diri ke ruang atas kafe yang menempatkan dua buah bilik. Satu bilik berdinding kaca penuh. Satu bilik lagi berdinding batu.
Heidry melangkah masuk ke dalam bilik berdinding kaca penuh. Langkah terus dibawa ke meja kerja. Punggung dihenyak ke kerusi empuk berwarna hitam. Matanya melilau memandang sekeliling ofis sebelum sepasang mata itu terlekat ke arah pintu bilik berwarna putih yang tertutup rapat di belah kanan ofis.
Bilik itu…
Heidry pejam mata. Nafasnya hampir sesak. Jiwanya diasak dengan kenangan lalu yang menyesakkan dada. Satu per satu kenangan terimbau di ruang minda.
Dah tiba masanya untuk kau hadapi semua ni, Heid. Lelaki itu berbisik pada diri sendiri.




ERIN… kau tahu tak siapa yang call aku tadi?” soal Farha sebaik sahaja Erin menjawab panggilan telefonnya.
“Siapa?” soal Erin balik. Dengan nada acuh tak acuh. Seolah-olah kurang berminat.
“Abang Razi.”
“Manager kau?”
Hanya bunyi ‘hmm’ sahaja yang keluar dari mulut Farha.
So…?” Erin menyoal lagi. Masih dengan nada yang sama.
“Dia beritahu aku yang aku kena sediakan lima jenis kek yang berbeza esok.”
“Untuk?”
“Eh, boleh tak kau cerita betul-betul tanpa ada stop? Penatlah nak tunggu ke main cerita kau ni,” rungut Erin, mula hilang sabar dengan Farha yang cerita separuh-separuh.
“Dia beritahu aku untuk sediakan lima jenis kek yang berbeza pagi esok untuk dinilai,” cerita Farha lebih jelas.
“Hah? Kenapa pula? Bukan masa dia interview kau, dia dah nilai ke? Lagipun, kau dah sebulan kerja situ. Kenapa tiba-tiba nak nilai pula?”
“Bukan Abang Razi yang nak nilai. Tapi anak bos.”
Datar sahaja nada suara Farha sewaktu memberitahu siapa yang ingin menilainya esok.
Talian sepi seketika. Barangkali Erin sedang memproses bicara Farha.
“Anak bos?”
“Yup.”
“Anak bos as in lifetime crush kau?”
“Yup.”
“Wey, seriuslah? Kita baru aje cakap pasal dia tadi,” teriak Erin penuh keterujaan dan rasa terkejut.
Farha tertawa perlahan mendengar respons Erin.
“Terkejut kan? Aku pun terkejut masa Abang Razi beritahu aku tadi.”
“Eh, tapi bukan kau kata mamat tu tak pernah jejak kaki kat kafe tu sejak mak dia meninggal ke?”
“Ha yelah. Itu yang Abang Razi beritahu aku sebelum ni. Tapi sekarang dia dah balik dan akan ambil alih kafe.”
Oh my God! Aku macam tak boleh percaya. Petang tadi aku rasa mustahil untuk kau dan crush kau tu bersama… tapi sekarang ni aku rasa macam ada potensi je untuk kau dengan dia. Macam kau cakaplah… mungkin dia yang tertulis untuk kau. Kan?”
Farha lepas gelak.
“Kau mesti nervous nak jumpa dia kan?” Erin menyoal lagi.
“Tipulah kalau aku kata tak nervous. Dup dap dup dap jugalah aku sekarang ni. Perut dah rasa macam ada rama-rama. Tak tahulah esok macam mana.”
Kuat Erin hambur gelak.
“Kelakarlah kau Faa… Tapi serius… Aku tak sangka kita akan ada perbualan yang macam ni lagi.”
“Hah? Apa maksud kau?”
“Aku tak sangka kita akan bercakap pasal crush kau, perasaan kau kat crush kau, pasal love life kau...”
“Err… aku tak berapa nak faham lagi,” kata Farha. Sungguh dia blur masa tu. Tak boleh nak hadam kata-kata Erin yang kedengaran seperti ada maksud tersirat.
“Mungkin kau tak sedar selama ni. Tapi kalau kau nak tahu, lepas jadi mama Hafiy, kau terus berubah jadi mature woman. Bila aku cakap dengan kau pun, macam cakap dengan mak-mak. So, aku tak sangka yang kita akan ada perbualan yang macam ni… yang macam remaja sikit. Talking about love… talking about crush…”
Terbit tawa di bibir Farha selepas memahami apa yang ingin kawan baiknya sampaikan.
“Kau cakap aku apa? Macam mak-mak? Oh… inilah tanggapan kau pada aku selama ni?”
Tangan Farha siap cekak pinggang. Macamlah Erin ada di depannya.
“Yelah… sikit-sikit Hafiy. Hafiy itu, Hafiy ini. Semua benda pasal Hafiy. Hari ni baru aku dapat dengar kau cerita pasal crush kau.”
“Kau apa tau… Hafiy tu segala-galanya untuk aku tau. Nanti kau dah ada anak, kau fahamlah.”
“Ha tengok! Mak-maklah kau ni…”
Farha tertawa lagi.
“Eh, by the way, Hafiy macam mana? Dia dah okey ke?” soal Erin merujuk kepada insiden petang tadi.
“Dia okey. Tapi adik aku yang tak okey. Kena marah teruk dengan ibu aku. Lepas kena marah dengan aku, kena marah pula dengan ibu. Padanlah muka dia. Aku dah suruh jaga Hafiy elok-elok. Boleh pula dia sibuk bergayut dengan makwe dia sampai tak perasan Hafiy tak ada kat sebelah. Memang kena semburlah dengan ibu aku. Dah lah ibu aku tak suka awek dia.”
Erin lepas gelak.
“Kesian Fariz. Tapi memang salah dia lah.”
“Aku tak akan bagi dia jaga Hafiy lagi. Nak gugur jantung aku bila dia cakap Hafiy hilang. Tuhan je tahu perasaan aku masa tu.”
And again… you sound so mak-mak,” kata Erin, berseloroh.
“Aku memang dah jadi mak orang pun. Mama Hafiy.”
“Iyalah Faa. Doakan aku cepat-cepat dapat anak. Nanti boleh anak kau boleh main dengan aku.”
“Eh, aku ingat kau nak puas honeymoon dulu dengan Johan.”
“Kalau dah ada rezeki nak dapat anak cepat, takkan kita orang nak tolak.”
“Betul juga. Rezeki jangan ditolak. Tapi bagus juga kalau kau dapat anak cepat. Kalau dapat anak perempuan lagi bagus. Mana tahu boleh jadi jodoh Hafiy,” gurau Farha.
“Aww… so sweet!”



DI HADAPAN sebuah apartmen, Heidry duduk menyandar di dinding dengan kaki yang separuh melunjur. Matanya terpejam rapat. Tubuh yang keletihan dengan urusan seharian, direhatkan seketika. Dadanya berombak kecil, mengikut rentak pernafasannya yang lembut dan teratur.
Saat mula berganti saat.
Minit berganti minit.
Tanpa sedar, sudah hampir satu jam Heidry duduk menanti di situ dengan mata yang masih pejam. Matanya sahaja yang pejam, mindanya tidak. Minda lelaki itu bergerak laju memikirkan perkara-perkara yang berlegar-legar di ruang fikiran.
Dalam keaadaan yang mamai, telinganya menangkap bunyi derapan tapak kaki. Semakin lama semakin hampir. Dan akhirnya derapan itu berhenti di depannya. Perlahan-lahan Heidry buka mata. Sepasang kasut kulit warna hitam berkilat menyapa pandangan mata. Kepala didongakkan, memandang sesusuk tubuh yang sedang memandangnya.
Sorry buat kau tunggu lama.”
Heidry yang masih duduk menyandar di dinding mula bangkit. Berdiri menghadap kawan baiknya yang baru pulang dari kerja.
It’s okay. Lambat kau balik kerja.”
“Ada masalah sikit tadi,” beritahu Dhani seraya mengeluarkan kunci rumah. Pintu gril dibuka.
“Dah lama ke kau tunggu aku?”
Heidry kerling jam di tangan.
“Boleh tahanlah.”
“Asal tak lepak kat mana-mana?”
Pintu rumah pula dibuka.
“Malas. Tak ada mood.”
“Masuklah,” jemput Dhani.
Heidry capai beg sandang, lalu disandang ke bahu. Langkah diatur ke dalam rumah bujang Dhani yang terletak di aras tiga belas.
“Ini je ke beg kau?”
Heidry angguk.
“Sikit je.”
“Aku tak expect akan stay lama kat sini.”
“Tapi kau terpaksa stay lama. Kan?” soal Dhani bersama kening yang terjungkit.
“Nampak gayanya macam tulah.”
Dhani senyum nipis. Jarinya dituding ke satu arah.
“Tu bilik tetamu. Kau duduklah situ. Bilik aku yang hujung tu.”
Heidry mengangguk tanda faham. Beg sandangnya dicampak ke atas sofa sebelum dia menghempaskan tubuh ke sofa yang sama. Tubuhnya disandarkan. Rambutnya dilurut ke belakang.
Bila tengok keadaan Heidry yang macam serabut dan keletihan itu, Dhani susun langkah ke dapur. Air mineral dikeluarkan dari peti sejuk lalu dituang ke dalam gelas. Kemudian dia bawa gelas itu ke ruang tamu. Diletakkan di atas meja kopi, di hadapan Heidry. Punggung dilabuhkan di sofa single memandangkan Heidry dan conquer sofa berkembar.
“So, apa plan kau untuk Sunshine?”
Dhani mula menyoal sebaik sahaja Heidry meneguk minuman yang dia berikan.
Heidry jungkit bahu. Lemah.
“Aku tak tahu. Aku tak boleh fikir.”
“Relakslah. Kau ada enam bulan. Keadaan Sunshine pun tak ada lah teruk mana. Masih boleh diselamatkan. Sebab tu ada orang berminat nak beli.”
“Aku tak ada beritahu kau ke yang orang tu nak beli dan tukar kafe tu jadi butik baju?” soal Heidry kedengaran sedikit sinis.
“Oh…”
Dhani diam sesaat. Sengih ditarik.
“Yeah… kau ada beritahu. Aku yang lupa. Sorry.”
Sebuah jelingan dihadiahkan pada Dhani.
“Tapi aku yakin kau boleh selamatkan Sunshine. Aku boleh tolong kau satu benda.”
“Tolong aku? Tolong apa?”
Dhani senyum meleret. 
As an aspiring interior designer, aku rasa benda pertama yang Sunshine perlukan adalah makeover.”
Makeover as in kau nak ubah suai kafe mummy aku tu?” tanya Heidry bersama pandangan yang serius ke arah Dhani.
Dhani mengangguk.
Dan dengan laju Heidry menggelengkan kepalanya. Tak setuju.
“Kenapa?”
“Kafe tu ada sentuhan mummy aku. Aku tak nak kau kacau.”
“Aku faham. Dan aku akan kekalkan sentuhan mummy kau tu. Jangan risau.”
Heidry tidak beri respons. Tapi riak wajah dia jelas menunjukkan yang dia masih tak bersetuju dengan cadangan Dhani.
“Habis tu kau nak biarkan aje kafe tu nampak usang, nampak tak menarik, tak appealing? Kafe tu dah terlalu lama Heidry. Dah dua puluh tahun. Dah perlukan perubahan. Dekorasi baru. Wajah baru.”
“Aku bagi kau contohlah ya. Kau bayangkan aku ada dua kek. Dua-dua kek yang sama. Rasa yang sama. Resepi yang sama. Tapi satu kek kosong tanpa sebarang hiasan. Satu lagi dihias cantik. Kau rasa orang akan tertarik dekat yang mana?”
“Yang ada hiasan,” jawab Heidry tanpa nada.
See! Inilah maksud aku. Hiasan tu penting Heidry. Waktu kau masuk rumah aku ni, kau terpegun tak dengan hiasan rumah aku?” tanya Dhani bersahaja.
Heidry lepas gelak. Sempat pula Dhani nak puji diri sendiri. Tapi memang tak dapat dinafikan hiasan rumah Dhani memang cantik pun. Cantik, kemas dan teratur. Maklumlah rumah seorang pakar hiasan dalaman.
“Kau tahu apa yang terdetik kat hati aku bila aku masuk rumah kau?”
“Apa dia?” soal Dhani ingin tahu.
“Bersihnya rumah mamat ni,” kata Heidry bersama tawa yang masih bersisa.
“Lepas tu aku macam… oh, lupa mamat ni kan neat freak. Kalau kau tengok bilik sewa aku kat Barcelona, kau mesti pengsan.”
Dhani turut menghamburkan tawa. Bunyi tawa mereka bergabung menjadi satu.
“Kau jangan nak amalkan perangai pengotor dan pemalas kau tu kat rumah aku. Kalau tak, aku halau kau.”
Heidry tarik muncung.
“Sampai hati,” ucap Heidry. Berseloroh.
“Aku serius tau. Aku tak main-main.”
“Ya, ya… aku tahu. Aku dah lama kenal kau.”
“Bagus. Tapi kalau buat perangai juga, kau pergilah balik kat rumah mummy kau.”
Suasana tiba-tiba bertukar sepi. Bunyi tawa dan segala gurau senda terus mati. Dhani telan liur. Bibir diketap perlahan. Dia sudah tersalah kata. Pandangan matanya terus dilarikan ke tempat lain.
Deringan telefon memecahkan kesepian yang baru tercipta. Dhani segera meraba poket seluar slack. Telefon pintar dikeluarkan. Panggilan dijawab.
“Hmm, sekejap…,” tutur Dhani.
Dhani kembali memandang Heidry yang sedang merenung siling rumah. Telefon pintar dihulurkan pada lelaki itu.
“Naura.”
Sebaris nama yang terbit dari bibir Dhani menyedarkan Heidry dari lamunan yang baru sahaja ingin bertapak. Bebola mata bergerak memandang Dhani dan kemudian jatuh ke arah telefon pintar di tangan lelaki itu. Lambat-lambat dia capai telefon itu.
“Hello,” sapa Heidry.
“Heidry… I call you banyak kali. Kenapa you tak jawab?”
Dahi Heidry berkerut. Telefon pintarnya dikeluarkan. Lelaki itu sedikit terkejut bila skrin telefonnya memaparkan lapan belas missed calls daripada nombor yang tidak dikenali.
“Mana you tahu nombor telefon I?”
Heidry kerling Dhani yang sedang tayang muka bersalah. Terus dia hadiahkan sebuah jelingan kepada lelaki itu.
“I minta dari Dhani. Sebab I tak tahu nombor telefon you.”
“You nak apa?”
“Hilman cari you.”
Senyum sinis tersungging di bibir Heidry sebaik sahaja nama Hilman menampar telinganya.
“Hilman dengan I cari you. Kita orang nak tahu you dekat mana.”
“Untuk apa?” tanya Heidry. Malas.
“You tidur mana malam ni?”
“Kenapa? You dengan dia risau I tak ada tempat nak tidur malam ni lepas perempuan tu dah jual rumah mummy I?”
Nada suara Heidry bertukar keras dan sinis. ‘Perempuan’ yang lelaki itu maksudkan jelas merujuk kepada isteri kedua Dato Hamzah, merangkap ibu tiri yang tak pernah dia iktiraf.
“Heid… you tahu kan, kami terpaksa jual rumah tu untuk selamatkan syarikat?”
Heidry melepaskan gelak. Hambar. Tawar. Gelak yang dibuat-buat.
What a bullshit! Tak ada alasan yang lagi logik ke you nak bagi? Cakap ajelah perempuan tu nak hapuskan semua benda pasal mummy I. Dan sekarang dia nak musnahkan Sunshine pula.”
“Auntie Widad tak ada niat macam tu lah, Heid. Dia tak ada kena mengena dengan jual beli Sunshine. Daddy you yang tiba-tiba putuskan nak jual Sunshine. Kami semua terkejut. Auntie Widad pun dah cuba halang daddy you. Dia rasa bersalah sebab terpaksa jual rumah mummy you. Dan dia tak nak Sunshine pula kena jual,” beritahu Naura, ingin menjelaskan perkara sebenar. Tidak mahu Heidry salah faham.
Heidry hanya senyum nipis. Senyuman yang sinis. Tiada respons daripadanya. Diam. Sepi.
“You tak percaya apa yang I cakap eh?”
“I lebih percayakan mata I daripada kata-kata you,” balas Heidry, bersahaja.
“Apa yang mata you nampak?”
“Well apa yang I nampak selama dua puluh sembilan tahun I hidup.”
“Tapi tak semua apa yang kita nampak tu, betul.”
Heidry hela nafas.
“Kita nak cakap pasal benda ni ke sekarang?” soal Heidry seakan memerli.
“Sebab kalau you nak cakap pasal benda ni, I nak letak telefon. I tak nak buang masa dengar cerita dongeng you,” sambung Heidry.
“Okey, kita tak payah cakap pasal hal ni lagi. I pun tak nak kita gaduh dekat telefon. Sekarang ni I nak you jawab soalan I. You tidur mana malam ni?”
“Naura… kat KL ni ada banyak tempat untuk I tidur. You tak perlu nak risaukan I.”
“Hilman offer you tidur kat rumah dia. You pun dah lama tak jumpa dia.”
Heidry tergelak sinis.
“Apa yang buat you rasa I akan tidur dekat rumah lelaki pujaan you tu? You ingat I dengan dia rapat ke?”
“Dia kan famili you juga. Abang you. Tak salah kan kalau you tidur dekat rumah dia? Dia pun tinggal sorang je. At least, you boleh temankan dia.”
Whoa! Hati Heidry terus terbakar. Bicara terakhir Naura jelas menunjukkan sikap pentingkan diri gadis itu.
At least, you boleh temankan dia.
Huh! Dia nak aku temankan Hilman? Heidry mendengus dalam hati. Bengang dengan sikap Naura yang tak pernah nak faham dia.
 “I tidur rumah Dhani.”
Talian terus dimatikan. Malas dia nak dengar suara Naura lagi. Terasa rimas.
Pandangan mata dihalakan ke arah sofa yang Dhani duduk sebentar tadi. Nak pulangkan telefon. Tapi kosong. Entah bila Dhani menghilangkan diri pun dia tak sedar. Telefon pintar lelaki itu diletakkan di atas meja kopi.
Heidry menyandarkan tubuh ke sofa. Matanya dipejam semula. Segala emosi yang tengah membuak cuba diredakan. Dia cuba merehatkan diri. Hari ini dia terlalu penat.
Terlalu penat.
Dari Sepanyol ke Malaysia. Kemudian dia terus pergi Hussien Holdings. Bertemu pula dengan Naura. Lepas tu, dia pergi Sunshine dan cuba buat apa yang patut untuk kafe itu.
Ya. Dia sangat penat.
Penat duduk dalam kapal terbang salama berjam-jam. Penat bertemu Naura yang sering mendera perasaan. Penat memikirkan soal Sunshine.
Dan sehingga sekarang dia masih tak tahu pilihan apa yang perlu diberikan pada Dato Hamzah sebelum tengah hari esok. Dia tak tahu.



No comments: