Thursday, January 3, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 2


Pap!
Auch!
Farha mengadu kesakitan apabila kepalanya terhantuk dengan kepala orang di belakangnya. Salah dia. Terlebih ganas menyandarkan tubuh sehingga terhantuk kepala orang. Gadis itu segera menoleh ke belakang, memandang mangsa hantukan kepalanya bersama bibir yang menuturkan ungkapan maaf.
“So –”
Farha terkesima. Bicaranya terhenti. Gadis itu seolah-olah terkejut melihat lelaki di belakangnya.
“– rry…,” sambung Farha. Perlahan. Hampir tidak kedengaran.
Mata Farha masih tertancap ke arah yang sama. Cuma mengamati wajah itu. Wajah yang seakan dia kenali tetapi dia tak dapat mengenalpasti pemilik wajah itu.
Lelaki itu sekadar mengangguk kecil tanda menerima maaf Farha dan kembali memandang depan. Reaksi lelaki itu cukup berbeza dengan Farha. Tampak santai dan bersahaja. Tak ambil peduli dengan insiden kecil tadi.
Hanya Farha seorang sahaja yang kelihatan terkejut melihat wajah lelaki itu. Bersama kerutan di dahi, Farha kembali menumpukan pandangan ke arah kawan baiknya.
Erin jungkit kening.
“Asal?”
“Hah?”
Farha terpinga-pinga. Blur seketika.
“Asal kau kerut dahi?” soal Erin lebih jelas. 
Farha menggeleng.
“Tak ada apa-apa. Kau tanya apa eh tadi?” soal Farha, merujuk kepada soalan Erin sebelum dia terhantuk kepala dengan lelaki di belakangnya.
“Aku tanya pasal tempahan kek beratus-ratus Datin Maznah tu. Dah siap ke?”
“Ohh….”
Farha menganggukkan kepalanya.
“Dah. Aku baru lepas buat delivery ke rumah dia lah ni. Kalau belum siap, tak ada maknanya aku jumpa kau.”
Erin tergelak halus.
“Aku ingat lepas kerja kat kafe tu, kau dah tak ambil tempahan kek lagi.”
“Aku ambil aje oder kalau ada yang nak tempah. Tapi dah tak seaktif dulu lah. Sekarang aku dah tak ada banyak masa macam dulu.”
“Kenapa kau tak fokus aje kat bisnes kek kau? Kenapa kau nak kerja dekat kafe tu?”
Erin mengajukan soalan yang sudah lama tersimpan di mindanya. Dia tak faham kenapa Farha tiba-tiba nak kerja sebagai baker sedangkan bisnes online gadis itu sudah semakin terkenal selepas viral di laman sosial. Viral yang positif, bukan negatif.
“Ayah aku lah. Dia yang nak aku kerja. Katanya Hafiy dah besar, dah tak perlu perhatian sepenuhnya daripada aku. So, dia nak aku kerja. Secure sikit. Dapat fix income. Biasalah berniaga. Mana ada sentiasa untung.”
“Hmm, betullah juga. Tapi… Hafiy okey tak bila kau dah kerja ni? Ada merengek? Dia kan asyik berkepit dengan kau.”
“Mula-mula tu… merengek jugalah. Nasib baik Fariz tengah cuti sem sekarang. Budak tulah yang pujuk Hafiy.”
Erin berdeham. Riak nakal mula terpancar di wajahnya.
“Kau tak nak carikan papa untuk Hafiy ke?” soal Erin dengan nada mengusik.
Farha yang tengah sedut jus oren hampir tersedak. Terbatuk-batuk gadis itu.
“Papa untuk Hafiy as in papa dia atau…”
Sengaja Farha tidak menghabiskan bicaranya. Suaranya dileretkan.
Of course as in suami kau. Kau kan mama Hafiy,” balas Erin. Bersahaja.
So, bila kau nak carikan papa untuk Hafiy?” Erin menyoal lagi.
Farha jungkit bahu.
“Entah.” Cukup mudah Farha beri jawapan.
“Entah? Kau memang tak ada fikir pasal kahwin ke?”
Farha jeling Erin bersama bibir yang diherotkan ke kiri.
“Amboi! Mentang-mentang baru naik pelamin, sibuk pula nak tanya pasal aku,” perli Farha dalam nada bergurau.
Terlepas tawa di bibir Erin. Senyuman terhias di wajahnya.
“Sebab kau kawan baik aku. Mestilah aku kena sibuk. Aku pun nak makan nasi minyak kau. Kau nak aku tolong carikan jodoh untuk kau tak? Cousin husband aku ramai yang single and available tau.”
“Tak payahlah Erin. Buat masa sekarang, aku memang tak fikir pun pasal kahwin. Aku selesa macam ni. Aku dah ada Hafiy. Aku dah cukup happy dengan dia.”
“Kau takut bakal suami kau tak boleh terima Hafiy ke?” tebak Erin dengan nada rendah.
Farha terdiam seketika. Lambat-lambat dia anggukkan kepala. Iya, ini salah satu sebab kenapa dia malas nak fikir soal kahwin. Dia takut kalau bakal suaminya tak boleh terima Hafiy. Hafiy segala-galanya untuk dia.
“Tapi takkan sampai bila-bila kau nak macam ni? Hafiy pun nak ada papa.”
“Eh, eh… pandai-pandai kau aje gunakan Hafiy. Budak tu tak pernah sebut pun nak papa. Fariz boleh jadi papa dia. Aku mama, Fariz papa.”
Erin geleng kepala.
“So, kau memang tak fikir pasal kahwin la ni? Memang kau tak nak kahwin?”
“Hisy, tak ada lah sampai macam tu. Hmm… anggap ajelah aku tengah tunggu lifetime crush aku datang melamar,” kata Farha, sekadar mencipta alasan.
Mata Erin membulat besar.
Lifetime crush? Siapa? Kenapa aku macam tak tahu?” soal Erin dengan nada terkejut.
Farha tersenyum simpul. Jari-jemarinya bermain dengan straw minuman.
Erin mengecilkan matanya.
Oh no! Tolong jangan bagitahu aku lifetime crush kau tu, anak auntie kedai kek tu. Please… don’t tell me that.”
Farha tergelak. Gadis itu mengangguk-anggukkan kepalanya. Mengeyakan dakwaan yang cuba kawan baiknya sangkal.
Oh my God! Seriuslah Faa?”
“Iya. Serius,” balas Farha bersama sisa gelaknya.
Erin telan liur. Duduknya dibetulkan. Duduk tegak menghadap Farha.
“Tak. Aku boleh terima dia lifetime crush kau sebab dulu kau asyik cerita pasal dia. Tapi… kau seriuslah tengah tunggu dia lamar kau?”
Tawa Farha terhambur lagi. Geli hati melihat reaksi Erin. Kepalannya diangguk lagi.
“Tapi kau tak pernah jumpa dia. Maksud aku, jumpa face to face. Bercakap dengan dia pun tak pernah.”
“Eh, pernah lah. Sekali.”
“Bila?” soal Erin dengan kening yang ternaik.
“Masa aku call mak dia tapi dia yang jawab,” balas Farha sambil tarik sengih.
“Hah?”
Terjatuh rahang Erin mendengar jawapan Farha. Kepalanya digeleng-gelengkan.
“Aku rasa dia tak tahu pun kewujudan kau.”
“Well… kalau dah tertulis dia jodoh aku, kalau dah tertulis dia diciptakan untuk aku, dia akan jadi milik aku juga satu hari nanti.”
Erin menghela nafas perlahan. Duduknya dibetulkan, rapat ke meja. Pandangan mata dihalakan tepak ke wajah Farha.
“So, maknanya selama ni kau bukan tak nak fikir pasal kahwin sebab takut bakal suami kau tu tak boleh terima Hafiy, tapi sebab kau tengah tunggu lifetime crush kau?”
Farha sekadar mengangguk. Riak wajah gadis itu tampak cukup bersahaja.
Erin menyeringai.
“Patutlah kau beria nak kerja dekat kafe tu. Kau tengah tunggu anak dia lah ni?”
Farha tayang sengih.
“Kenapa selama ni kau tak pernah beritahu aku?”
“Sebab kau tak suka bila aku cerita pasal mamat tu.”
“Yelah… dulu hari-hari kau cerita pasal mamat tu padahal kau tak pernah jumpa pun. Rimaslah aku. Aku tak sangka pula kau serius macam ni. Dah tujuh tahun kut Faa...”
Farha hanya senyum.
Tujuh tahun, lapan bulan, sepuluh hari. Ini tempoh penantiannya. Satu penantian yang tercipta di luar sedarnya. Mungkin sebab dalam tempoh tujuh tahun ini, dia tak jumpa mana-mana lelaki yang boleh buat hati dia teruja.
Mata Farha terhala ke arah lelaki di meja belakangnya yang sedang berjalan keluar dari kafe. Hati gadis itu bagaikan disapa satu rasa yang aneh apabila melihat wajah itu.
Kenapa muka mamat tu macam familiar? Do I know him? Hati Farha tertanya sendiri.  
Deringan telefon mematikan lamunan Farha. Telefon pintar dikeluarkan dari beg tangan. Panggilan daripada adik bongsunya dijawab.
“Along, Hafiy hilang.”
Berderau darah Farha. Wajahnya terus berubah pucat.



SEBAIK sahaja Heidry menoleh ke belakang, matanya terkunci pada seraut wajah seorang gadis berselendang biru lembut yang turut menoleh ke arahnya.
“So-rry,” tutur gadis itu, berjeda tiga saat di suku kata.
Heidry sekadar mengangguk dan kembali memandang depan. Kedudukan kerusinya dibetulkan agar tidak begitu hampir dengan gadis di belakangnya. Memberikan ruang yang lebih selesa untuk gadis itu.
Kedua-dua lengan direhatkan di atas meja. Heidry buang pandang ke luar tingkap. Memerhati suasana di luar yang mendung dan berangin. Mindanya mula menerawang jauh, memikirkan keputusan yang perlu dibuat sebelum dua belas tengahari esok.
Apa yang perlu dia lakukan?
Soalan itu kerap berlegar-legar di ruang minda. Soalan yang masih tiada jawapan. Heidry tahu pilihan kedua Dato Hamzah adalah pilihan yang terbaik. Dan sesungguhnya dia tiada masalah dengan pilihan kedua itu kecuali kena tinggal di bersama keluarga Dato Hamzah.
Heidry sanggup tinggalkan Barcelona, tinggalkan kariernya di sana. Dia sanggup kembali ke Malaysia. Tapi dia tak sanggup nak hadap muka perempuan yang dah hancurkan keluarganya setiap hari. Tak sanggup nak hadap muka lelaki yang dah ragut kebahagiaannya lima tahun lalu.
Keluhan berat terlepas dari bibir lelaki itu. Rambutnya diraup ke belakang. Hot Latte disisip lagi. Tangan mula meraba telefon pintar di poket seluar. Mod penerbangan yang ditetapkan sejak di Lapangan Terbang El Prat ditukar ke mod biasa.
Berderu-deru notification yang masuk selepas mod telefon pintarnya ditukar. Pesanan WhatsApp daripada Gabriel, tuan rumah merangkap teman rapatnya di Barcelona mencuri perhatiannya.
Hey dude!
Are you in Malaysia right now?
You crazy or what?
The event will start tomorrow.
It is your lifetime wish for God’s sake!!
Satu lagi keluhan terbit di bibir Heidry. Mindanya terus teringatkan pameran lukisan yang akan bermula pada hari esok di Barcelona. Untuk menyertai pameran itu, bukanlah sesuatu yang mudah. Dan Heidry sudah lama bekerja keras dan menanti peluang untuk mempamerkan lukisannya di pameran itu.
Namun, kini dia terpaksa lupakan impiannya. Terpaksa menarik diri dari pameran itu. Terkilan. Sedih. Tipulah kalau dia kata dia tak rasa apa-apa. Menarik diri dari pameran itu bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat. Tapi dia akan rasa lebih terkilan dan sedih jika dia tidak menghentikan perjanjian jual beli Sunshine.
Dia boleh berusaha untuk menyertai pameran lukisan itu pada tahun seterusnya. Tapi kalau Sunshine sudah dijual pada orang lain, belum tentu dia boleh dapatkan semula.
Jari-jemari Heidry mula menaip mesej balas untuk Gabriel.
Yeah, I know.
But I have something more important to do in Malaysia.
I’ll be here for quite a long time.
Please take care of my stuff.
Anything, update me.
Selesai membalas mesej Gabriel, Heidry memeriksa notification yang lain, membalas mana yang perlu. Lama kemudian, lelaki itu menyimpan semula telefon pintar ke dalam poket seluar dan bangkit dari duduk. Kaki mula menyusun langkah keluar dari kafe. Menuju ke satu arah yang dia sendiri tidak pasti. Dia tak tahu nak pergi mana.
Tangisan seorang budak kecil menarik perhatian Heidry. Pandangan matanya terus terhala ke arah tangisan itu. Sekali gus melihat drama yang sedang berlaku.
“Hisy, anak siapa ni? Habis kotor seluar dengan kasut I,” tempik seorang wanita yang sudah agak berusia. Barangkali dalam lingkungan 40-an.
Budak lelaki tadi masih lagi menangis. Entah menangis sebab kena marah atau menangis sebab aiskrimnya sudah jatuh mendarat ke tanah. Itu Heidry kurang pasti.
“Tak reti ke nak makan betul-betul? Yang berlari ke sana sini tu kenapa? I ada meeting lagi tau lepas ni. Parents you mana? Macam mana dia boleh biarkan you main dekat sini sorang-sorang?” jerkah wanita berambut perang itu.
Heidry hela nafas dengan kuat. Kaki mula melangkah mendekati wanita dan budak lelaki itu. Tidak betah melihat si kecil dimarahi sebegitu rupa. Mak cik tu pun satu... gaya marah macam tengah marah orang dewasa aje. Tak tahu ke yang dia marah itu budak lagi?
Heidry mematikan langkah di hadapan wanita yang sedang cuba membersihkan kotoran di seluar. Dia berdeham.
“How should I pay you for the mess?” soal Heidry tanpa nada.
Wanita itu mengangkat wajahnya. Memandang Heidry.
“You siapa? Ayah budak ni?”
Heidry geleng perlahan.
“Lima puluh ringgit cukup? Atau puan nak lebih?” tanya Heidry yang sudah mengeluarkan walletnya.
“Puan? I ni doktor tau. Please address me accordingly.”
Heidry mula jengkel. Huh! Buat apa belajar tinggi-tinggi kalau adab tak ada. Macamlah aku tahu dia tu doktor, gumam Heidry dalam hati.
Sorry… my bad. Biar saya betulkan ayat saya. Lima puluh ringgit cukup tak untuk doktor? Atau doktor nak lebih?”
Wanita itu menghadiahkan sebuah jelingan tajam kepada Heidry.
“Hisy, apalah malang nasib I hari ni,” rengus wanita itu sebelum melangkah pergi.
Namun langkahnya terhenti selepas beberapa tapak. Dia patah balik ke arah Heidry. Not lima puluh ringgit di tangan Heidry diambil. Kasar.
“You yang nak bagi... I tak minta.”
Heidry hanya senyum. Senyum yang penuh rasa jelek.
Sebaik sahaja wanita itu pergi meninggalkan mereka, Heidry mendekati budak kecil yang masih tidak berhenti menangis. Tubuhnya ditundukkan sedikit. Rambut budak lelaki itu diusap perlahan. Bagaikan cuba memujuk.
“Dah... jangan menangis lagi. Nenek kebayan tadi dah tak ada. Uncle dah halau dia,” kata Heidry dengan nada berseloroh. Cuba menenangkan budak itu.
Selamba aje dia bagi geleran nenek kebayan dekat wanita tadi. Ha tulah... siapa suruh berhati busuk lagi. Dengan budak kecik pun nak berkira.
Tak berjaya. Heidry gagal mematikan tangisan budak lelaki itu.
“Hmm... uncle belikan aiskrim yang baru nak tak?”
Tiada respons. Masih lagi menangis.
Err... Heidry garu kepala. Tak tahu nak buat apa. Satu masalah juga ni. Mana pula pergi mak bapak budak ni? Heidry meliarkan matanya ke sekeliling.
“Hafiy!!” Jerit satu suara.
Terus Heidry berpaling ke arah jeritan itu. Matanya mendarat ke arah seorang perempuan yang sedang berlari mendapatkan budak lelaki di depannya. Perempuan itu terus memeluk tubuh anak lelakinya yang masih menangis. Tiba-tiba perempuan itu menoleh ke arahnya dan merenungnya tajam.
“Apa yang awak dah buat kat anak saya, hah?” jerkah perempuan itu. Garang.
Mata Heidry membulat. Tergamam. Terkelu seribu bahasa. Tak pasal-pasal dia pula yang dipersalahkan.
“Awak cuba apa-apa kan anak saya ya?”
“Mama... mama...,” panggil Hafiy sambil mengoncang-goncangkan tangan mamanya.
Uncle ni tak jahat... uncle ni tolong Hafiy. Tadi ada nenek kebayan marah Hafiy.”
“Ha? Nenek kebayan? Mana datang nenek kebayan ni Hafiy? Hafiy jangan macam-macam...”
Sekali lagi Heidry menjadi mangsa panahan mata emak budak lelaki itu.
“Apa yang awak dah buat kat anak saya ni?”
“Ada nenek kebayan marah Hafiy. Hafiy terjatuhkan aiskrim dekat dia. Dia marah-marah Hafiy. Hafiy takut. Dia garang. Uncle ni tolong Hafiy.”
Hafiy kembali bersuara. Menjelaskan situasi sebenar.
Heidry lempar senyum. Senyum yang seakan sinis. Dia mula mengatur langkah pergi tanpa memberi peluang kepada emak budak lelaki itu untuk meminta maaf kepadanya.



No comments: