Thursday, January 31, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 15


Farha singgah ke ofis Heidry sebelum turun ke tingkat bawah. Ingin menjenguk anaknya. Melihat Hafiy yang masih tidur lena, gadis itu kembali mengatur langkah. Menuruni anak tangga satu per satu bersama lukisan Hafiy dalam genggaman.
Langkah kaki Farha terhenti di pertengahan tangga saat pandangan matanya mendarat ke arah satu pasangan yang baru sahaja melabuhkan duduk di sebuah meja. Farha tergamam. Riak wajahnya terus berubah pucat. Kakinya bagaikan dikunci. Tidak mampu meneruskan langkah.
Oh Tuhan.
Apa yang dia buat kat sini?
Kenapa dia ada dengan perempuan tu?
 “Farha… tolong panggilkan Heidry.”
Farha tersentak. Tidak sedar Razi sudah berada di depan tangga, memandangnya.
“Apa dia?” soal Farha. Blur.
“Saya suruh awak tolong panggilkan Heidry. Beritahu dia yang abang dengan bakal kakak ipar dia datang,” kata Razi dengan nada yang bersahaja.
Mata Farha membesar. Rahangnya separa terjatuh.
“Abang dengan bakal kakak ipar?”
Bibir Farha menuturkan soalan di luar sedar dengan nada yang cukup perlahan. Seakan terkejut.
Razi yang tidak menyedari perubahan di wajah Farha, tergelak halus.
“Nampaknya puting beliung bakal melanda kafe kita lagi,” seloroh Razi. Masih bersahaja.
Riak wajah Farha masih sama. Sedikit pun tak tercuit dengan seloroh Razi.
“Apa yang awak tunggu lagi? Pergilah panggilkan Heidry,” kata Razi bila Farha masih tidak berganjak.
Dengan langkah yang berat, Farha kembali naik ke tingkat atas. Heidry yang baru keluar dari studio memandangnya bersama kening yang ternaik. Seolah-olah bertanyakan kenapa Farha masih di situ.
Farha ketap bibir. Teragak-agak untuk menuturkan bicara.
“Err… abang dengan bakal kakak ipar awak datang,” tutur Farha, menyampaikan apa yang Razi beritahunya.
Riak wajah Heidry terus berubah. Kosong tanpa sebarang riak. Halkumnya bergerak-gerak seolah-olah sedang menelan sesuatu. Matanya dilirikkan ke ruang bawah kafe, memandang Hilman dan Naura yang sedang berbual mesra.
“Lelaki tu abang awak ke?”
Heidry kembali memandang Farha. Kepalanya mengangguk perlahan, mengiakan.
Farha tergamam. Terkejut mendengar hubungan Heidry dan lelaki itu.
“Dan Naura tu bakal kakak ipar awak?” soal Farha dengan nada yang bergetar.
Heidry diam. Lama. Mengangguk, tidak. Menggeleng pun tidak.
Well… itu apa yang Naura beritahu saya.”
Kepala Farha tiba-tiba terasa berat. Seolah-olah tidak mampu menghadam apa yang baru didengarinya. Dia terlalu terkejut. Tubuhnya terasa lemah. Terasa longlai. Seakan mahu rebah.
Lukisan Hafiy. Kehadiran suami adiknya bersama Naura di kafe ini. Hubungan suami adiknya dengan Heidry. Hubungan suami adiknya dengan Naura. Semuanya sukar untuk dihadam gadis itu.
Gadis itu seolah-olah ingin menidakkan segalanya. Menafikan apa yang baru disampaikan kepadanya.
“Awak turunlah dulu. Saya turun kejap lagi,” kata Heidry. Sedikit pun tidak sedar gelora di hati Farha. Mungkin kerana dia terlalu hanyut dengan perasaan sendiri yang sedang memikirkan Naura.
Farha mengangguk perlahan. Lambat-lambat dia membuka langkah, turun semula ke tingkat bawah. Pandangan matanya dihalakan ke arah pasangan tadi. Memandang bersama emosi yang berselirat di hati.
Gadis itu tak tahu macam nak gambarkan perasaannya bila melihat lelaki yang telah melukakan hati kembarnya bergembira dengan perempuan lain. Dia tak tahu macam mana nak gambarkan perasaannya bila papa Hafiy yang tak pernah ambil tahu pasal Hafiy bermersra-mesraaan dengan perempuan lain.
Hatinya sakit. Pedih. Bagaikan dirobek.



TIDAK LAMA selepas Farha berlalu pergi, Heidry turun ke tingkat bawah. Menghampiri meja Hilman dan Naura dengan riak wajah yang kosong. Tiada riak ceria yang mengalu-alukan kedatangan mereka. Tiada juga riak dingin. Kosong sekosong-kosongnya. Sukar untuk ditebak.
Hilman melemparkan senyuman saat matanya bertemu dengan sepasang mata Heidry yang makin hampir dengan mejanya.
“Hi, Heid…,” ramah Hilman menyapa.
Heidry senyum tawar. Seakan tidak ikhlas dengan senyuman itu. Kerusi ditarik sebelum dia melabuhkan punggungnya. Duduk di antara Hilman dan Naura.
“Buat apa kat sini?”
We’re having lunch here,” jawab Hilman tenang meskipun Heidry menyoalnya dengan nada kurang senang.
Heidry kerling jam di pergelangan tangan.
“Sejak bila pula lunch hour Hussien Holdings tukar pukul dua petang?”
Soalan sinis Heidry mengundang tawa Hilman. Sedikit pun Hilman tidak terasa hati dengan layanan Heidry. Sudah biasa dengan layanan sebegitu.
Meeting kita orang habis lambat. You dah lunch tak? Nak lunch sekali?” soal Naura. 
It’s okay. I prefer lunch sendiri.”
Hilman senyum segaris. Tangannya laju memanggil Razi.
Another Seafood Aglio Olio for my brother,” pesan Hilman. Cukup bersahaja meskipun Heidry sudah menolak untuk makan tengah hari bersama mereka.
“Cancel that.”
Laju Heidry memberi arahan kepada Razi, membatalkan pesanan Hilman.
Razi pandang Heidry dan Hilman silih berganti. Terbit keluhan di hujung bibir. Dia sudah jangka perkara sebegini akan berlaku. Dan seperti biasa, dia juga yang jadi mangsa dalam perperangan dua beradik ini.
Namun, perperangan dua beradik ini lebih aman, tenang dan harmoni daripada perperangan antara Heidry dan Datin Widad minggu lepas. Cukuplah dia terpaksa jadi orang tengah waktu itu. Terpaksa melayan karenah Datin Widad dan Heidry dan dalam masa yang sama terpaksa menjaga hati Datuk Hamzah. Oh, seksanya. Mujur dia dah ada pengalaman dalam hal-hal sebegini. Sudah terlalu biasa. Dan hanya dia sahaja yang mampu berdepan dengan mereka. Awal-awal lagi dia dah pesan staf kafe untuk tidak masuk campur. Tidak mahu merumitkan lagi keadaan.
Oh, come on Heid. Jomlah makan sekali,” pujuk Naura.
Naura pandang Heidry. Sengaja dia buat muka comel depan Heidry, cuba mengambil hati lelaki itu.
Please…,” rayu gadis itu.
Heidry larikan pandangan ke tempat lain. Riak wajahnya masih kekal sama. Tidak berubah.
Naura tayang sengih.
“You buatkan aje Seafood Aglio Olio untuk Heidry, Razi. Nanti dia makan juga,” kata Naura pada Razi.
Razi tersenyum nipis sebelum melangkah pergi. Kali ini, Heidry tidak membantah. Seolah-olah pasrah.
Hilman meliarkan matanya. Memandang sekeliling sehinggalah bebola matanya terpaku ke satu arah. Lama matanya merenung ke arah itu.
“Itu lukisan baru ke? Aku tak pernah nampak pun sebelum ni.”
Heidry melirikkan matanya ke arah lukisan Kota London yang tergantung di sudut kiri kafe.
“Hmm…”
Hanya itu respons Heidry.
“London,” tutur Hilman. Perlahan. Hampir tidak kedengaran.
“Tak tahu kenapa sejak akhir-akhir ni aku selalu mimpi London,” beritahu Hilman dalam keadaan yang cukup bersahaja.
Riak wajah Heidry mula berubah. Naura dikerling. Satu senyuman nakal mula terbentuk di bibir apabila dia melihat wajah Naura sudah bertukar pucat.
“Kau mimpi apa?” soal Heidry, mula menunjukkan minat pada topik perbualan mereka.
Hakikatnya, lelaki itu ada agenda tersembunyi. Agenda yang hanya dia dan Naura sahaja yang faham.
Hilman menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Bahu dijungkitkan.
“Entah. Aku pun tak sure. Tapi… lepas aku jumpa seorang perempuan ni, aku selalu mimpikan London.”
Prang!
Bunyi gelas pecah kedengaran. Semua mata terhala ke arah Naura yang kelihatan terkejut bila gelas yang berisi Iced Hazelnut Chocolate terlepas dari tangannya.
Heidry tersenyum menang. Game over!
“I… I… I minta maaf,” kata Naura, terketar-ketar.
It’s okay. Tak perlu buat apa-apa. Staff I akan bersihkan untuk you,” kata Heidry. Bersahaja.
Heidry mendekatkan wajahnya ke telinga Naura, ingin membisikkan sesuatu.
“You nak I teruskan ke?” soal Heidry berbaur ugutan. Penuh dengan makna tersirat.
Mata Naura terjegil memandang Heidry. Kepalanya digeleng-geleng perlahan.
No! Please stop it,” kata Naura. Tegas. Penuh dengan amaran.
“Kenapa? You takut?”
“I tak nak sakitkan hati dia.”
Saat itu, Hilman sedang sibuk membantu Razi membersihkan serpihan kaca yang bertarburan di lantai. Sedikit pun dia tidak sedar apa yang berlaku di antara Heidry dan Naura.
Such a lame excuse!” Komen Heidry. Cukup sinis.
Heidry menjauhkan dirinya daripada Naura. Lelaki itu kelihatan seronok dapat mempermainkan perasaan Naura. Seolah-olah baru sahaja memenangi sebuah piala. Piala dalam menghuru-harakan emosi seorang Naura. 
“You tak apa-apa kan Naura? Tak ada luka kan?” soal Hilman, prihatin.
Naura menggeleng perlahan. Gadis itu cuba mengukirkan senyuman. Namun, senyuman yang terbentuk di bibirnya kelihatan cukup janggal. Debaran di dada gadis itu masih belum hilang. Dia masih lagi cemas. Cemas dan gementar.
“Aku nak renovate kafe ni.”
Tiba-tiba Heidry buka cerita pasal projeknya bersama Dhani. Semata-mata sebab dia nak buka topik perbualan yang baru. Dia tidak mahu mendera perasaan Naura dengan topik perbualan sebelum ini. Heidry bukanlah seorang yang kejam. Cukuplah dengan apa yang berlaku tadi. Ingin memberi ruang kepada Naura untuk bernafas.
 Naura hanya mendiamkan diri sepanjang perbualan. Cuba menenangkan diri. Gadis itu masih membisu ketika mereka sedang menjamu selera. Dibiarkan aje Hilman berbual-bual dengan Heidry meskipun perbualan mereka hambar. Hilman yang banyak berbicara berbanding Heidry.
“Anak siapa tu?” soal Hilman saat matanya terhala ke arah seorang budak lelaki yang sedang menuruni tangga.
Heidry menoleh ke belakang, memandang ke arah yang sama dengan Hilman. Naura turut memalingkan wajahnya.
“Anak staf kat sini,” jawab Heidry. Ringkas.
Mata Hilman masih memerhati budak lelaki itu. Bola matanya tiba-tiba membesar saat budak lelaki itu dihampiri seorang perempuan. Terkesima.
“Itu ke mak dia?” tanya Hilman lagi.
Heidry menganggukkan kepalanya.
“Oh… tak sangka dia kerja sini,” kata Hilman. Datar.
Kening Heidry ternaik sedikit.
“Kau kenal dia ke?”
Hilman menggeleng perlahan.
“Tak. Tapi aku pernah jumpa dia beberapa kali.”
Saat mata Hilman bertemu pandang dengan mata Farha, lelaki itu melemparkan senyuman. Namun, senyumannya tidak berbalas. Gadis itu terus mengalihkan pandangan ke tempat lain. Berpura-pura tidak nampak senyuman yang dihulurkan Hilman.
Hilman kembali menjamu selera. Begitu juga Heidry dan Naura.
Suasana di meja tiba-tiba bertukar sunyi sepi. Masing-masing diam membisu. Melayan perasaan.
Hilman mencapai tisu dan mengelap bibirnya sesudah menghabiskan spaghettinya.
“I pergi restroom sekejap,” tutur Hilman, ditujukan kepada Naura.
Naura hanya menganggukkan kepalanya.
Sebaik sahaja Hilman menjauh, Naura terus menghalakan pandangan ke arah Heidry. Pandangan yang cukup tajam.
“You sengaja nak buat I marah kan? Sengaja nak sakitkan hati I?”
Heidry kekal tenang. Menyuap spaghetti yang masih berbaki di pinggannya.
“Kenapa you nak marah? Kenapa nak sakit hati? Bukan I yang cakap pasal benda tu dulu,” balas Heidry. Bersahaja.
Naura mendengus.
Heidry menumpukan pandangan ke arah Naura.
“I nak tanya you something. Sampai bila you ingat you boleh rahsiakan hal ni daripada Hilman?”
Jeda.
Well, you jangan salah faham. I bukan nak masuk campur hal peribadi Hilman. I cuma risaukan you. You tak pernah fikir ke apa yang akan jadi pada you kalau isteri dia cari dia balik? Setahu I, Hilman tak pernah ceraikan isteri dia.”
Naura ketawa sinis.
“Perempuan tu takkan cari Hilman balik. You tak perlu risaukan I.”
“You tak dengar ke apa yang Hilman cakap tadi? Dia asyik mimpikan London lepas jumpa seorang perempuan. What if perempuan tu isteri dia?”
“Tak. Tak mungkin,” kata Naura sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Menafikan.
“Auntie Widad kata isteri Hilman dah lama tak ada,” tambah Naura.
Heidry terpempan. Dia terdiam buat beberapa saat.
“Habis tu, kenapa you gelabah tadi? Sampai pecah gelas kafe I,” perli Heidry.
“I cuma terkejut,” balas Naura. Cuba berlagak tenang.
Heidry kembali menumpukan pandangan ke arah Naura.
Let me ask you another questions. What if Hilman dapat ingatan dia balik? You tak pernah terfikir ke apa yang dia akan rasa masa tu? You tak terfikir ke yang dia akan rasa tertipu selama ni?”
Naura melepaskan nafas perlahan.
“Heidry… Kami tak pernah ada niat pun nak tipu Hilman. Apa yang kami buat, demi kebaikan Hilman. Kami tak nak Hilman terseksa… menderita macam dulu. Hati I sakit bila Auntie Widad cerita apa yang perempuan tu dah buat dekat Hilman. Hati I sakit sangat, Heidry. I menangis teruk. I tak sangka isteri Hilman akan buat Hilman macam tu, tinggalkan Hilman dalam keadaan macam tu. Sampai sekarang I tak boleh maafkan perempuan tu.”
Senyuman tersungging di hujung bibir Heidry. Tawar.
No wonder you sanggup tinggalkan I waktu I perlukan you dulu.”
Naura terkesima. Perasaan bersalah mula menguasai diri. Kepalanya ditundukkan sedikit. Tiada keberanian mahupun kekuatan untuk memandang Heidry.
“I minta maaf.”
Hanya itu yang mampu Naura tuturkan. Dia tidak mampu mencipta sebarang alasan. Memang dia memilih untuk bersama Hilman sewaktu Heidry baru sahaja kehilangan mummynya. Sungguh dia tiada pilihan. Hilman berada di tahap kritikal ketika itu. Kalau dia diberi pilihan yang sama sekali lagi, dia tetap akan memilih Hilman.



HILMAN berjalan santai setelah keluar bilik air, ingin kembali ke mejanya. Namun, langkahnya dilencongkan ke ruang dapur apabila dia melihat Farha dan Hafiy di situ. Lelaki itu melemparkan senyuman saat matanya bertemu dengan mata Farha. 
“Hi… tak sangka kita akan jumpa lagi,” sapa Hilman, ramah.
Farha terus berdiri. Terkejut dengan kemunculan Hilman di situ.
“Saya Hilman,” tutur Hilman, memperkenalkan diri.
Hafiy yang sedang makan spaghetti, memandang mamanya dan juga lelaki yang berdiri di muka pintu silih berganti. Bila dia tengok mamanya masih membisu, laju Hafiy membuka mulut.
“Hi uncle… Nama saya Hafiy.”
“Oh… Hafiy. Nama mama Hafiy apa?”
Mata Hilman tertumpu ke arah Hafiy, menanti jawapan budak lelaki itu.
Farha berdeham, mengalihkan tumpuan Hilman. Langkah diatur mendekati lelaki itu.
“Awak buat apa kat sini?”
Dahi Hilman berkerut. Sedikit.
“Saya buat apa kat sini?”
Hilman mengulang semula soalan Farha. Kurang faham. Namun seketika kemudian, dia mula mengerti.
“Oh… ini kafe adik saya. Saya nak jumpa dia. Tapi tak sangka akan jumpa awak pula kat sini.”
Aku tahu ini kafe adik kau. Aku tanya apa yang kau buat kat dapur ni? Apa yang kau nak? Omel Farha dalam hati. Geram.
“Dah lama ke awak kerja dengan adik saya?” soal Hilman, ingin tahu.
“Baru aje,” jawab Farha ringkas. Nak tak nak aje dia jawab.
Hilman mengangguk faham.
“Hmm, okeylah. Saya pergi depan dulu. Jumpa lagi lain kali.”
Farha melepaskan nafas lega. Lega apabila perbualan mereka tamat di situ dan tidak dipanjangkan lagi.
Tiba-tiba Hilman berhenti melangkah. Tubuhnya dipusingkan menghadap Farha. Wajahnya tampak serius.
Are you sure kita tak pernah jumpa sebelum ni?”
Farha tersentak. Riak wajahnya dikawal segera. Cuba berlagak biasa.
“Saya dah bagi jawapan saya sebelum ni.”
“Ya, saya tahu. Tapi… saya nak tanya sekali lagi.”
“Kenapa? Kalau saya jawab kita pernah jumpa, apa yang awak akan buat?”
Kening Hilman ternaik.
So, kita pernah jumpa sebelum ni?”
“Saya tak cakap macam tu. Saya cakap kalau.”
“Kenapa awak macam tak suka saya ya?”
Diam. Tiada balasan.
Hilman senyum segaris.
Sorry kalau saya buat awak rasa kurang selesa,” tuturnya.
Hilman kembali melangkah pergi, meninggalkan Farha.
Farha tersandar lemah. Nafas dihela berat.
Hafiy mula merapati Farha.
“Mama… mama okey ke?” soal Hafiy bila melihat wajah Farha kelihatan pucat.
Farha menoleh ke arah Hafiy.
“Mama okey sayang. Cuma mama pening sikit. Hafiy dah habis makan ke?”
Hafiy menganggukkan kepalanya.

No comments: