Thursday, January 31, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 14


Farha memimpin Hafiy ke Sunshine Café pagi itu. Semua mata tertumpu ke arah mereka berdua. Senyuman tersungging di bibir masing-masing. Hafiy melambai-lambaikan tangan comelnya pada pekerja-pekerja di kafe.
“Hafiy!”
“Hi, Hafiy.”
“Comelnya Hafiy.”
Macam-macam reaksi yang Farha terima sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam kafe bersama Hafiy. Ini merupakan kali pertama Farha membawa Hafiy ke kafe.  Semua orang kelihatan teruja melihat Hafiy di situ. Barangkali teruja dengan kecomelan Hafiy.
Farha memperkenalkan anaknya kepada semua pekerja di kafe sebelum membawa anaknya itu ke satu meja yang berhampiran dengan dapur bakeri.
“Hafiy duduk sini diam-diam ya. Jangan naughty. Jangan lari-lari. Jangan kacau uncle dengan auntie kat sini. Jangan buat bising,” pesan Farha satu per satu.
Hafiy mengangguk faham. Kelima-lima jarinya diangkat. Bibir kecilnya lancar menuturkan kata.
“Hafiy janji takkan ganggu mama work.”
Farha tersenyum senang. Rambut Hafiy diusap perlahan.
“Good boy!”
Hafiy tayang sengih sebelum melarikan pandangan matanya ke arah pintu kafe. Seorang lelaki yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kafe menarik perhatiannya. Matanya tiba-tiba membesar. Seolah-olah teruja.
Uncle Cool!!” jerit Hafiy separa kuat sambil menuding jari ke satu arah.
“Aip! Baru aje mama pesan duduk diam-diam kan?”
Farha menjegilkan matanya, menegur anaknya.
Uncle Cool… Uncle Cool…,” jerit Hafiy lagi, tidak menghiraukan teguran Farha.
Farha menoleh ke belakang, ingin mencari ‘Uncle Cool’ yang disebut-sebut oleh anaknya. Dahi gadis itu sedikit berkerut. Seakan terkesima.
Ini ‘Uncle Cool’ yang Hafiy maksudkan?
Dalam sekelip mata, memori beberapa minggu yang lalu menjengah ke ruang minda. Sekaligus membuatkan dia faham kenapa Hafiy memberi gelaran ‘Uncle Cool’ pada Heidry.
“Hi Hafiy,” sapa Heidry. Mesra.
“Hi uncle…,” balas Hafiy. Tersenyum gembira.
“Hafiy buat apa kat sini?”
“Hafiy ikut mama work sebab tak ada siapa nak jaga Hafiy kat rumah,” beritahu Hafiy.
Farha membersihkan tekak.
“Ibu dengan ayah saya tak ada. So, saya bawa Hafiy ke sini,” jelas gadis itu.
“Ibu dengan ayah awak pergi mana?”
“Dia orang ikut rombongan bercuti ke Bandung.”
Encik Nordin dan Puan Salwa sudah lama merancang untuk mengikut rombongan percutian ke sana dan masa itu Farha masih bekerja dari rumah. Tapi bila sekarang ni Farha dah kerja di kafe dan tak ada siapa boleh jaga Hafiy, gadis itu terpaksalah bawa Hafiy ke tempat kerjanya.
“Saya dah minta izin Abang Razi untuk bawa Hafiy ke sini,” beritahu Farha.
Farha pandang Heidry. Ingin lihat reaksi lelaki itu.
“Err… awak tak kesah kan?” soal Farha takut-takut.
Heidry tersenyum. Lebar.
Of course saya tak kesah. And in fact, saya boleh tolong awak jaga Hafiy,” tutur Heidry cukup bersahaja. Pandangan matanya dikalihkan ke arah Hafiy.
“Hafiy masih ingat uncle ya?”
Laju Hafiy menganggukkan kepalanya.
Uncle sangat cool,” kata Hafiy sambil angkat ibu jari.
Terbit tawa halus di bibir Heidry dek kerana pujian Hafiy.
“Kenapa Hafiy kata uncle cool?” soal Heidry, sengaja bertanya meskipun dia sudah tahu kenapa Hafiy berkata begitu.
“Sebab uncle baik. Uncle tolong Hafiy. Nanti Hafiy dah besar, Hafiy nak jadi macam uncle. Hafiy nak tolong orang dari nenek kebayan yang jahat tu.”
Heidry tertawa lagi.
Uncle buat apa kat sini? Uncle kawan mama Hafiy ke?”
Ramah Hafiy menyoal.
Heidry menganggukkan kepalanya. Perlahan.
“Ini kafe uncle. Cantik tak?”
Bola mata Hafiy meliar memandang sekeliling. Lambat-lambat dia menggelengkan kepalanya.
“Tak cantik ke Hafiy?” tanya Heidry.
Heidry geleng lagi. Jujur sungguh!
Farha dah ketap-ketap bibir.
“Tak apa. Lepas ni uncle akan cantikkan kafe ni. Hafiy mesti suka.”
Hafiy tayang sengih.
“Hafiy nak buat apa hari ni?” soal Heidry, masih ingin berbicara dengan anak kecil itu.
“Melukis. Hafiy ada bawa buku lukisan Hafiy,” beritahu Hafiy ceria. Beg sandangnya dibuka. Peralatan melukisnya dikeluarkan.
Heidry perhati sahaja anak kecil itu.
“Oh… Hafiy suka melukis ya?”
Laju Hafiy mengangguk.
“Suka!”
Uncle pun suka melukis. Hafiy nak melukis dengan uncle tak?”
“Nak, nak, nak…” Laju Hafiy menjawab.
Farha berdeham. Sudah tiba masa untuknya mencelah perbualan di antara anaknya dan Heidry.
“Tak ganggu awak ke nanti, Heidry?”
“Tak adalah. Hafiy tak akan ganggu saya.”
Jeda sesaat.
“Saya boleh tolong jaga Hafiy untuk awaklah, Faa. Awak jangan risau.”
Farha telan liur. Sedikit tersentuh.
“Betul ke awak nak tolong saya jaga Hafiy? Tak menyusahkan awak ke?”
Heidry senyum segaris.
“Saya tak rasa susah pun. Saya yang volunteer untuk jaga Hafiy.”
Diam. Farha membisu. Tampak seperti teragak-agak untuk membiarkan Heidry menjaga anaknya.
“Hafiy akan rasa bosan kalau dia duduk kat sini sorang-sorang. So, better dia ikut saya naik atas. Saya boleh tunjuk dia studio saya,” kata Heidry.
Betul juga apa yang Heidry cakap, desis Farha dalam hati.
“Jom Hafiy. Ikut uncle naik atas,” ajak Heidry dengan nada bersahaja.
Hafiy terus sambut huluran tangan Heidry. Teruja nak ikut Heidry ke studio.
Farha pandang Heidry.
Thanks Heidry,” tutur Farha.
Not a big deal, Faa…”
Farha tersenyum senang. Pandangan matanya mengekori setiap langkah Hafiy yang dipimpin Heidry ke tingkat atas kafe.



PANDANGAN MATA Heidry terkunci ke arah Hafiy sedari tadi. Merenung si kecil yang sedang leka melukis di sebelahnya. Lelaki itu mula terkenangkan arwah mummynya. Terkenangkan zaman kanak-kanaknya sewaktu dia dan arwah mummynya menghabiskan masa dengan melukis di studio ini.
Dulu, dia dan arwah mummy selalu melukis bersama-sama di studio ini. Duduk sebelah menyebelah. Mummy tak pernah jemu mengajarnya teknik lukisan yang betul. Kini… dia duduk di tempat arwah mummynya dan Hafiy duduk di tempatnya. Persis waktu dulu.
Kehadiran Hafiy di studio benar-benar membuatkan dia mengimbau kenangan lalu. Dia cukup rindu suasana pada waktu dulu. Rindukan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir mummy. Rindukan belaian mummynya setiap kali dia merajuk bila wanita itu tidak beri perhatian padanya. Rindukan pujian mummynya setiap kali dia bejaya menyiapkan lukisan yang sempurna.
Oh, sungguh dia rindu. Kalaulah dia mampu putarkan masa…
Hafiy tiba-tiba menoleh ke arahnya. Senyuman tersungging di bibir kecilnya.
“Kenapa uncle tak melukis?” tanya Hafiy bila dia tengok kanvas Heidry masih sama seperti tadi.
Heidry turut tersenyum, membalas senyuman Hafiy.
Uncle nak tengok Hafiy melukis.”
“Alah… malulah macam ni. Hafiy tak pandai lukis macam uncle…”
“Siapa kata? Cantik apa lukisan Hafiy ni. Uncle suka tengok Hafiy melukis…”
Hafiy tayang sengih bila Heidry memujinya. Tanpa menghiraukan Heidry, dia kembali menyiapkan lukisannya.
Ketukan di pintu mengalihkan perhatian Heidry. Kepalanya ditoleh ke arah pintu, memandang Dhani yang sudah terjengul di depan muka pintu.
“Eh, anak siapa pula ni?” tanya Dhani yang terkejut melihat ada budak kecil di studio Heidry.
“Anak Farha.”
“Sejak bila pula kau jadi babysitter?”
Soalan Dhani diabaikan. Dibiarkan tidak berjawab. Heidry mengalihkan pandangan ke arah Hafiy.
“Hafiy… Uncle ada benda nak bincang dengan kawan uncle. Kalau Hafiy nak apa-apa, Hafiy pergi ofis uncle kat depan tu ya,” beritahu Heidry.
Hafiy mengangguk faham.
Heidry mula mengangkat punggung. Dhani diajak ke ofisnya, ingin berbincang di situ. Lebih selesa.
“Aku tak tahu pun baker terhebat kau tu dah kahwin. Anak pun dah besar,” kata Dhani sebaik sahaja menjatuhkan duduk di depan Heidry.
“Bukan anak dia lah. Anak kembar dia,” jelas Heidry.
“Ohh….”
Panjang bunyi ‘oh’ Dhani. 
So, macam mana dengan projek makeover kita? Dah ada pelan yang baru tak?” tanya Heidry, terus ke tujuan sebenar Dhani datang ke kafenya.
Dhani menganggukkan kepalanya. Fail pelan ubah suai di tangannya dibuka dan ditunjukkan kepada Heidry. Lelaki itu mula menerangkan pelan barunya yang dia reka mengikut cita rasa Heidry.
Lama mata Heidry merenung pelan di tangannya, memerhati segenap inci. Setiap penerangan Dhani didengar dengan teliti.
“Kalau kau setuju, kita dah boleh mulakan kerja-kerja ubah suai macam yang dirancang… iaitu esok.”
Heidry masih membelek-belek fail.
“Hmm… Okey. Lulus.”
Tersungging senyuman lega di bibir Dhani. Lega bila Heidry akhirnya memberikan kelulusan pada pelannya yang telah diubah suai selama lima kali. Tak sangka Heidry seorang yang cerewet.
Finally… kau approve juga pelan aku. Thank you so much!”
“Susah sangat ke berurusan dengan aku?” tanya Heidry sekadar ingin tahu.
Dhani tersengih.
“Sikitlah. Tapi tak apa. Kepuasan klien keutamaan kami.”
Heidry tergelak halus.
“Berapa lama boleh siap?”
“Tak banyak sangat yang perlu diubah. Bahagian hall kafe aje. So, mungkin dua tiga hari.”
So, aku kena tutup kafe aku selama tiga hari?”
Dhani mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Okey. Aku akan inform Razi dan staff aku.”
Jeda.
“Tolong jagakan kafe aku ya. Aku akan fly ke Spain malam esok,” beritahu Heidry.   
“Hah? Kau nak pergi Spain? Kau dah beli tiket ke?” soal Dhani dengan nada terkejut.
Heidry menganggukkan kepalanya.  
“Pergh! Tak beritahu aku pun…”
“Aku tengah beritahulah ni. Lagipun, aku pernah beritahu kau yang aku kena balik sana untuk settlekan barang-barang aku kan?”
“Memanglah… tapi tak sangka pula kau nak pergi secepat ni.”
“Gabriel dah whatsapp aku banyak kali. Dia nak aku clearkan barang aku secepat mungkin. Ada penyewa baru nak masuk. Itu yang aku kena juga pergi sana.”
“Oh… lama ke kau kat sana?”
“Seminggu.”
“Lama juga. Kiranya, waktu kau balik, kafe ni dah berwajah barulah.”
Heidry mengangguk, mengeyakan.
Alright. Rest assured! Serahkan semuanya pada aku. Aku akan pastikan kau tak menyesal dengan pilihan kau.”
Heidry cebik bibir.
“Poyo!”
Dhani tergelak.
“Okeylah. Kalau tak ada apa-apa hal lagi, aku balik ofis dulu.”
Mereka sama-sama bangkit dari kerusi. Berjalan keluar dari ofis Heidry.
“Naura tak ada kacau kau lagi ke?” soal Dhani, cukup bersahaja.
“Ada,” jawab Heidry lemah. “Hari-hari text aku. Malas aku nak layan.”
“Wow! Hari-hari…,” usik Dhani.
Heidry kerling Dhani.
Text untuk ajak aku dinner dengan dia dan Hilman. Kau rasa?”
Terhambur tawa Dhani.
Be strong my friend. Jangan dilayan perasaan tu sangat… Pergilah jatuh hati kat perempuan lain,” nasihat Dhani.
Heidry cebik bibir.
“Sebelum kau nasihatkan aku, baik kau nasihatkan diri sendiri. Pergi cari calon menantu untuk mak kau sebelum dia jodohkan kau dengan mana-mana perempuan.”
“Aku pula yang kena balik. Okeylah bro… Jumpa kat rumah,” ucap Dhani sebelum menuruni tangga ke tingkat bawah.
Heidry kembali ke studio. Ingin menjenguk Hafiy.
“Lah… tertidur pula dia.”
Kesian melihat Hafiy yang tertidur dalam keadaan duduk di depan kanvas lukisan, Heidry terus dukung budak itu dan bawa ke ofisnya. Hafiy dibaringkan ke atas sofa. Lena sungguh Hafiy ketika itu. Sedikit pun tak terjaga waktu dia dukung.
Melihat Hafiy yang sudah lena, Heidry mula menumpukan perhatian pada kerjanya. Laptop dibuka dan dia mula menyibukkan diri merangka strategi pemasaran kafe.



SELESAI menyiapkan tempahan kek daripada pelanggan kafe, Farha naik ke tingkat atas. Ingin menjenguk anaknya yang dibiarkan bersama Heidry sejak pagi tadi. Pintu bilik Heidry diketuk perlahan. Senyuman nipis dilemparkan saat pandangan mata mereka bertemu.
“Cari Hafiy?” soal Heidry. Perlahan.
Farha menganggukkan kepalanya.
Heidry melirikkan pandangan matanya ke arah Hafiy yang masih lena di sofa. Pandangan mata Farha mengekori lirikkan mata lelaki itu.
“Dah lama ke dia tidur?”
“Dalam setengah jam.”
“Sorry ya kalau Hafiy ada susahkan awak,” tutur Farha.
“Sekali lagi awak cakap macam ni, saya suruh awak belanja saya makan,” gurau Heidry.
“Boleh. Tak ada masalah.”
Dengan nada yang naif, Farha membalas. Terhambur tawa Heidry.
“Saya gurau ajelah. Awak jangan risau. Hafiy tak susahkan saya. Dia budak baik. We have a great time together.”
Farha tersenyum. Lega.
“Awak dengan Hafiy melukis ke tadi?” tanya Farha.
Heidry menganggukkan kepalanya. Matanya merenung wajah Farha buat seketika.
“Saya rasa awak perlu tengok lukisan dia,” tutur Heidry datar.
“Kenapa?” soal Farha, sedikit pelik dengan bicara Heidry.
Heidry tidak segera menjawab. Sebaliknya dia bangkit dari duduk dan menghampiri Farha.
“Jom ikut saya…,” ajak Heidry sebelum mengayunkan langkah ke studio.
Farha mengekori lelaki itu dari belakang.
“Awak nak tahu tak… bukan semua orang boleh masuk studio ni tau,” kata Heidry sewaktu mereka sedang berjalan ke studio.
Langkah kaki mereka terhenti di depan pintu studio yang tertutup rapat. Heidry memusingkan tubuhnya, menghadap Farha.
“This is our private room.”
Heidry berjeda sesaat.
“Maksud saya, private room untuk saya dan arwah mummy saya. Saya tak pernah bawa orang masuk ke studio ni kecuali kawan baik saya. Tapi hari ni saya bawa Hafiy dan awak masuk ke studio ni. Err… tapi ni kali kedua awak masuk studio saya kan?”
Farha terdiam. Lambat-lambat dia anggukkan kepalanya.
Dalam memori seorang Heidry, memang ini kali kedua Farha masuk ke studio itu. Tapi dalam memori seorang Farha, sudah berkali-kali ke studio itu. Hanya Heidry sahaja yang tidak tahu. 
“Saya tak pasti sama ada saya perlu gembira dan bangga atau sebaliknya,” kata Farha dengan nada yang berseloroh.
Heidry tergelak perlahan.
“Kenapa awak benarkan saya masuk ke studio ni last week?” soal gadis itu, ingin tahu.
“Dah awak terpacak depan pintu… I don’t know how to say a ‘no’ to a girl.”
Farha mengecilkan matanya. Merenung lelaki di hadapannya.
“Awak tengah mengurat saya ke apa ni?” tanya Farha, berani.
“Well… kalau itu yang awak fikir,” balas Heidry bersama senyuman nakal di hujung bibir.
Farha tertawa. Tahu Heidry sekadar bergurau dan ingin mengusik.
Lelaki itu membuka pintu studio dan mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam studio.
“Ini apa yang Hafiy lukis tadi,” beritahu Heidry seraya menunjukkan lukisan Hafiy yang terpamer di easel kayu bersebelahan dengan lukisannya.
Mata Farha dihalakan ke arah lukisan Hafiy. Gadis itu terdiam. Riak wajahnya terus berubah. Seakan terkesima.
“Saya tanya apa yang dia nak lukis hari ni… dan dia beritahu saya dia nak lukis famili dia. Tapi saya pelik bila dia lukis dua orang perempuan yang sama. Bila saya tanya dia, dia cakap… ini mama dia. Mama yang jaga dia. Ini pula mama dia dekat syurga. Mama yang telah lahirkan dia. Dan lelaki yang tak ada wajah ni, papa dia. Dia cakap dia tak pernah jumpa papa dia, so dia tak tahu macam mana nak lukis,” jelas Heidry.
Farha telan liur. Bibirnya diketap. Kolam mata mula terasa panas. Sebak mendengar bicara Heidry.  Bebola matanya dibesarkan, cuba menahan air mata daripada mengalir.
“Hafiy cakap apa lagi dekat awak?” soal Farha tanpa memandang Heidry. Sedikit terketar-ketar. Pandangan matanya masih tertumpu ke arah lukisan Hafiy.
Nothing much… Cuma dia banyak cakap pasal papa dia. Dia kata papa dia sekarang ada kat satu tempat yang jauh dan sedang berusaha untuk cari dia. Dia yakin yang dia akan jumpa papa dia satu hari nanti.”
Bibir Farha semakin diketap. Kuat. Cuba menahan perasaan. Cuba menepis rasa sebak yang semakin menguasai diri.
Namun, gadis itu gagal. Air mata yang sudah bertakung tubir mata, mengalir laju membasahi pipi. Mimpi Hafiy dan pertemuannya dengan papa Hafiy kembali terlayar di ruang fikiran. Membuatkan gadis itu gagal mengawal perasaannya.
Sedih. Sayu. Sebak.
Hatinya bagaikan dihiris-hiris dengan satu alat tajam. Dia kesiankan Hafiy, kesiankan nasib anak kecil itu.
Melihat Farha yang sudah menangis, Heidry terus capai tisu di meja berhampiran dan hulur pada Farha.
“Saya tak sangka dia akan cerita benda ni dengan awak. Dia tak pernah cerita dengan saya. Saya tak pernah tahu yang dia mengharapkan papa dia datang jumpa dia. Cuma satu malam yang dia demam tu aje dia cakap pasal papa dia. Dia beritahu dia mimpi papa dia jumpa dia.”
Tanpa Farha sedar, dia sudah berkongsi satu kisah yang bersifat peribadi pada Heidry. Barangkali emosi yang tidak stabil membuatkan gadis itu tidak mampu berfikir dengan waras.
“Kalau awak tak kesah, boleh saya tanya mana papa Hafiy?”
Diam. Farha tidak segera memberikan jawapan. Air mata yang mengalir dilap menggunakan tisu yang Heidry berikan.
“Dia tinggalkan adik saya sebelum Hafiy lahir.”
“Awak tak tahu dia kat mana ke? Tak cuba cari dia?”
“Awak rasa perlu ke saya cari dia?” soal Farha yang sudah sedikit tenang. Pandangan matanya dihalakan ke arah Heidry. Menanti jawapan lelaki itu.
Lambat-lambat Heidry menganggukkan kepalanya.
“Demi Hafiy…”
“Tapi kalau papa Hafiy sendiri tak pernah ambil tahu pasal kami, tak pernah nak ambil tahu yang dia anak, tak pernah nak ambil tahu pasal adik saya yang dah meninggal masa lahirkan Hafiy… awak rasa layak ke dia jadi papa untuk Hafiy?” soal Farha. Datar.
Giliran Heidry pula terdiam.
“Awak pernah tengok gambar kembar saya kan? Awak ingat itu gambar saya sebab muka saya sebiji macam dia kan? Tapi awak tahu tak, bila saya terserempak dengan suami adik saya, dia buat tahu aje. Seolah-olah tak kenal saya. Macam saya ni orang asing.”
Farha berjeda. Nafas dihela perlahan.
“Memanglah dia tak pernah jumpa saya sebelum ni, tapi muka saya ni sama dengan isteri dia. Macam mana dia boleh buat tak tahu aje? Sedikit pun dia tak terkejut.”
“Mungkin itu kembar suami adik awak. Mana tahu suami adik awak pun ada kembar. Macam awak.”
Tebakkan Heidry mengundang tawa Farha.
“Saya pernah terfikir benda yang sama tapi…”
Farha menggelengkan kepalanya.
“Suami adik saya tak ada kembar. Itu saya pasti.”
Heidry menyilangkan tangan ke dada. Matanya dilirikkan ke arah Farha.
“Kalau macam tu, mungkin awak yang perlu carikan papa untuk Hafiy.”
Farha pandang Heidry bersama kerutan di dahi.
“Maksud saya papa baru untuk Hafiy.”
Terbit tawa di bibir Farha.
“Maksud awak, awak nak suruh saya kahwin?”
Heidry mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Well, awak bukannya muda lagi… dah nak masuk tiga puluh kan?”
“Eh, eh… cakap kita pula. Yang awak tu?”
“Saya lelaki. Tak apa kalau kahwin lambat. Awak tu perempuan.”
Farha cebik bibir. Menyampah!
“Malaslah nak cakap dengan awak. Saya turun bawah dulu. Lukisan Hafiy ni saya ambil ya,” pinta Farha.
Heidry sekadar mengangguk, memberi keizinan.



No comments: