Friday, January 25, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 13

Keesokkan harinya, Farha bekerja seperti biasa memandangkan suhu badan Hafiy sudah kembali normal. Mujur demam Hafiy tidak lama. Mujur juga Hafiy tidak menyebut pasal papanya lagi. Kalau tidak, Farha tak tahu nak jawab apa.
Sedang Farha menyusun kek di kaunter, ekor matanya menangkap kelibat Heidry yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kafe. Gadis itu terus menoleh, memandang lelaki itu. Sebuah senyuman yang cukup manis tersungging di bibir.
“Morning.”
Farha menyapa ceria.
Namun, sapaan dan senyumannya tidak bersambut. Heidry berjalan laju menuju ke tangga tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
Farha ketap bibir. Terkesima dengan kedinginan Heidry pagi itu.
“Abang Heidry bad mood daripada semalam,” beritahu Syirah, memberi penjelasan tentang sikap Heidry pada pagi itu.
Farha menumpukan pandangan ke arah Syirah.
“Kenapa?”
“Malam tadi family dia datang dinner dekat sini.”
So….?” soal Farha bersama kerutan di dahi. Tidak faham hubung kait pada bicara Syirah.
“Abang Heidry tak suka. Sebab mak tiri dengan abang dia pun ada sekali.”
“Oh…”
Terus Farha faham. Dia tahu hubungan Heidry dan keluarga tirinya tidak berapa baik.
Fikiran Farha mula terkenangkan hubungannya dengan ayah dan ibunya. Hubungan dia dan ibu bapanya juga kurang baik. Sama seperti Heidry. Cuma situasi mereka berbeza. Pun begitu, sedikit sebanyak dia boleh faham apa yang Heidry rasa.
“Muka Abang Heidry tegang giler semalam. Suasana kat meja dia orang masa tu sangat menyeramkan. Syirah tak berani nak ambil oder. Nasib baik Abang Razi ada. Dia yang layan,” cerita Syirah dengan nada perlahan. Seakan berbisik.
“Lepas tu, tiba-tiba Abang Heidry blah. Keluar terus dari kafe. Syirah tak tahu lah dia orang cakap pasal apa tapi Abang Heidry nampak bengang.”
Farha diam. Membisu.
Kisah hidup Heidry lebih rumit daripadanya. Ayah lelaki itu berkahwin lain selepas beberapa bulan bernikah dengan Mummy Laily. Beberapa bulan ya. Bukan selepas beberapa tahun. Setahun pun tak sampai.
Tidak semena-mena, Farha terbayangkan wajah lembut Mummy Laily. Wajah yang penuh keibuan. Yang telah menganggapnya seperti anak sendiri. Yang menyayanginya seperti anak sendiri.
Farha tak faham kenapa wanita sebaik dan secantik Mummy Laily dimadukan. Sungguh, dia tidak faham. Sehingga sekarang dia tidak faham. Dan Mummy Laily tak pernah bercerita kepadanya kenapa dia dimadukan. Farha juga tidak pernah bertanya. Tidak mahu menyentuh hal-hal yang sensitif.
Gadis itu melepaskan keluhan di dalam hati. Mummy Laily dimadukan selepas beberapa bulan pernikahan. Kembarnya pula ditinggalkan selepas beberapa bulan pernikahan. Dia tak tahu mana satu yang lebih sadis. Bagi Farha kedua-duanya sadis.
Farha faham kenapa hubungan Heidry dengan Dato Hamzah kurang baik. Barangkali Heidry menyimpan perasaan benci pada lelaki itu. Farha tak salahkan Heidry jika lelaki itu ada perasaan yang sedemikian. Dia faham. Dan sebab itu Farha memilih untuk merahsiahkan tentang papa Hafiy daripada Hafiy. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan lelaki durjana itu.
Farha tak ada pilihan lain. Apa yang boleh dia cerita dekat Hafiy tentang papa Hafiy? Takkan Farha nak cerita dekat Hafiy yang papa dia dah tinggalkan mama dia masa mama dia tengah mengandungkan dia? Tak. Farha tak akan beritahu. Dia tak sanggup nak lukakan hati Hafiy.
Deringan telefon mematikan lamunan Farha yang semakin jauh. Gadis itu menyeluk poket seluar jeansnya. Telefon pintar dikeluarkan.
“Faa…!!”
Jeritan Erin menyapa gegendang telinga Farha sebaik sahaja dia menjawab panggilan telefon.
“Apa benda kau ni? Sakit telinga aku.”
Tawa halus kedengaran di hujung talian.
“Boleh tolong aku tak?”
“Tolong apa?”
“Hmm… kau kerja ke hari ni?”
“Kerjalah. Kenapa?”
“Mak mertua aku nak datang rumah aku kejap lagi. Dia suka Victoria Sandwich Cake kau. Dah banyak kali dia sebut.”
Erin berjeda sesaat.
“Kafe kau ada tak kek ni?”
“Ada. Tinggal sebiji.”
Great! Kau boleh tolong hantarkan kat rumah aku tak? Aku tengah berkungfu kat dapur ni. Tak sempat nak pergi kafe kau.”
“Okey. Boleh aje.”
Thank you Faa. Love you.”



SELESAI membuat penghantaran kek ke kediaman kawan baiknya, Farha bergerak pulang ke kafe. Gadis itu melangkah santai menuju ke tempat parkir. Mindanya jauh melayang teringatkan peristiwa di kafe sewaktu dia sedang membungkuskan kek untuk dihantar ke rumah Erin.
Victoria Sandwich Cake tak ada ke?” soal Heidry yang tiba-tiba muncul di belakangnya.
Farha terus menoleh ke belakang. Memandang Heidry yang sedang memerhatikan kek-kek yang terpamer di dalam kaunter kek berkaca.
“Ada customer beli kek tu. Awak nak ke?”
Heidry menghalakan pandangan matanya ke arah Farha. Riak wajahnya ketika itu kelihatan kosong. Dan sedikit hampa.
“Tak apalah.”
Datar sahaja nada suara Heidry. Lelaki itu terus mengorak langkah pergi. Meninggalkan Farha dalam keadaan serba salah.
Farha tahu kek itu merupakan kek kegemaran Heidry. Farha tahu kek itu membuatkan Heidry teringatkan arwah mummynya. Selepas apa yang Syirah ceritakan kepadanya, Farha rasa tak sedap hati pula bila Heidry tak dapat makan kek itu. Perlukah dia buatkan kek yang baru untuk Heidry?
Ya. Mungkin ini jalan penyelesaian yang terbaik untuk dia mengurangkan rasa bersalahnya pada lelaki itu. Rasa bersalah, rasa tak sedap hati dan rasa terkilan. Lagi pula, dia masih berhutang kek itu dengan Heidry.
Gadis itu mempercepatkan langkah. Ingin segera pulang ke kafe. Namun, saat kedua-dua biji matanya mendarat ke satu raut wajah, langkahnya terus terhenti. Kaku. Pegun. Fikiran tiba-tiba jadi kosong. Hilang segala apa yang dia fikirkan sebentar tadi. Degup jantung gadis itu mula berubah rentak.
Farha terkesima.
Ini pertemuan mereka yang ketiga.
Kenapa mereka sering dipertemukan?
Lelaki itu turut memandang Farha. Senyuman tersungging di bibirnya. Dan lelaki itu mula mengatur langkah menghampiri Farha.
Farha makin berdebar.
Kenapa lelaki itu mendekatinya? Adakah lelaki itu sudah mengingati wajah ini?
“Hi. We meet again.”
Farha tergemap.
We meet again? Apa maksud dia? Adakah kata-kata itu ditujukan kepada Yaya yang masih bergelar isterinya? Atau ditujukan kepada pertemuan mereka beberapa minggu yang lalu?
“Kita pernah jumpa ke sebelum ni?” soal lelaki itu.
Farha diam. Masih lagi tergamam. Tubuhnya berdiri kaku di depan lelaki itu.
Lelaki itu membersihkan tekaknya sebelum kembali bersuara.
“Maksud saya… sebelum kita jumpa dekat lif tempoh hari, kita pernah jumpa ke?”
Rahang Farha terjatuh.
Serius dia tak ingat? Muka aku ni sebiji sama macam Yaya tapi dia tak ingat? Dia tak ingat isteri yang dia tinggalkan lima tahun yang lalu? Wow! Lima tahun tu dah cukup untuk buat orang lupa pada wajah isteri dia ke?
Fuh! Panas pula hati Farha. Tak boleh nak hadam apa yang baru berlaku.
“Kenapa awak tanya? Awak pernah jumpa saya ke?” balas Farha dengan nada yang keras bersama pandangan mata yang cukup tajam.
Lelaki itu mengecilkan matanya. Berfikir seketika.
“Saya tak sure tapi saya rasa kita pernah jumpa sebelum ni.”
Wow! Tak sure. Naifnya.
Lelaki jenis apa yang kau pilih sebagai suami kau ni Yaya? Kenapa kau pilih untuk kahwin senyap-senyap dengan lelaki macam ni dan belakangkan famili kau? Apa yang kau fikir Yaya?
Api kemarahan di hati Farha semakin membara. Namun, dalam masa yang sama perasaan sedih dan terkilan turut menguasai diri. Sedih dan terkilan dengan pilihan suami adiknya.
Apa yang Yaya nampak dekat lelaki ni? Wajah yang tampan?
Oh Yaya… wajah yang tampan tak cukup menjamin kebahagiaan, adikku. Kenapa kau pilih untuk seksa perasaan sendiri untuk lelaki macam ni? He does not deserve it.
Hati Farha meleter panjang. Bertimpa-timpa rasa simpati dan sedih buat adiknya.
Farha tarik nafas dalam-dalam dan dihembus perlahan-lahan. Cuba mengawal gelodak perasaan yang semakin menyakiti hati.
“Tak. Kita tak pernah jumpa,” tegas Farha.
Tanpa menunggu respons daripada lelaki itu, Farha melangkah pergi. Laju dia berjalan menuju ke kereta. Ingin segera menjauhkan diri daripada lelaki jahanam itu. Meluat tengok wajah naif lelaki itu.
Tubuhnya dihempas ke kerusi. Pintu kereta ditutup kasar. Farha sandarkan tubuhnya ke belakang. Dada berombak-ombak dek rasa marah dan juga semput sebab berjalan laju.
Farha tatap wajah comelnya di cermin. Ingin memastikan wajahnya cukup seiras dengan Yaya meskipun dia sudah cukup arif tentang persamaan wajah mereka. Bila dia masih rasa tak puas hati, dia keluarkan telefon pula. Erin dihubungi. Ingin dapatkan jawapan daripada kawan baiknya pula.
“Aku ada benda nak tanya kau.”
Laju Farha menuturkan bicara sebaik sahaja panggilannya berjawab.
“Apa dia?”
“Ada possibility tak untuk orang ingat aku ni Yaya kalau dia tak tahu yang Yaya dah tak ada?”
“Apa benda yang kau tanya ni Faa… aku busy lah.”
“Jawab ajelah soalan aku,” gesa Farha.
“Kenapa kau tiba-tiba tanya ni?”
“Jawab aje…”
Farha menggesa lagi.
“Kau ni peliklah. Tadi aku tengok kau okey aje. Kenapa tiba-tiba tanya pasal Yaya pula?”
“Nanti aku ceritalah. Sekarang ni aku nak kau jawab soalan aku. Kalau orang yang kenal Yaya tapi tak kenal aku, ada possibility tak untuk dia ingat yang aku ni Yaya?”
“Hmm… aku rasa tak mustahil. Muka kau dengan Yaya kan tak banyak beza. Ramai je orang tersalah panggil kau dengan Yaya dulu.”
“Kan? Memang ada kemungkinan yang dia fikir aku ni Yaya kan?”
“Iya. Tapi siapa yang kau maksudkan ni? Kenapa macam serius aje suara kau?”
“Tak ada apalah. Nanti aku cerita.”
Farha matikan talian.
Kini, dia sudah berpuas hati. Malah, Heidry pun pernah tersalah anggap gambar Yaya sebagai gambarnya.
Farha raup wajah. Dia tak dapat bayangkan kalau Yaya masih hidup. Dia tak dapat bayangkan perasaan Yaya bila jumpa suami yang dah tak kenal dia.
Oh Tuhan…
Kenapa dunia ini kejam sangat? Tak cukup ke penderitaan yang Yaya tanggung selama ini? Dan Hafiy…
Air mata Farha mula mengalir saat dia teringatkan Hafiy. Kesiannya anak kecil itu. Kenapa Hafiy perlu lalui semua ni?
Aku perlu rahsiakan benda ni daripada Hafiy. Aku perlu rahsiakan daripada semua orang lebih-lebih lagi ibu dengan ayah, tekad Farha di dalam hati. Dia tak mahu Encik Nordin dan Puan Salwa tahu tentang papa Hafiy. Tidak mahu melukakan hati ayah dan ibunya lagi.  



PULANG sahaja dari rumah Erin, Farha terus menenggelamkan diri di dapur bakeri. Memberi tumpuan sepenuhnya pada Victoria Sandwich Cake yang dibuat khas untuk Heidry. Dalam masa yang sama, cuba melupakan pertemuan dengan suami adiknya.
Emosi gadis itu sudah semakin stabil. Jiwanya sudah semakin tenang dan harmoni. Kadang kala berada di dapur dan menghidu bau adunan kek dapat menenangkan hati gadis itu. Umpama sebuah terapi diri.
Namun, wajah gadis itu tetap nampak sugul dan tidak bermaya. Masih jelas riak sedih dan kecewa di wajahnya. Syirah yang ingin datang menganggu dan bergosip pun tak jadi nak duduk lama di dapur bila tengok wajah Farha sebegitu.
Selesai menghias Victoria Sandwich Cake dengan taburan Strawberry, Farha membawa kek itu ke kaunter kek di depan kafe. Kek itu dipotong kepada lapan bahagian sebelum dia meletakkan sepotong kek di atas piring. Lebihan kek disimpan ke dalam peti sejuk kaca bersama-sama dengan kek yang lain.
“Heidry ada kat atas kan?” soal Farha pada Naqi sewaktu dia sedang menyediakan Vienna Coffee di kaunter minuman.
“Ada. Kau nak bagi dia ke?”
Farha sekadar menganggukkan kepalanya.
Gadis itu menyusun langkah menuju ke ofis Heidry bersama dulang yang berisi sepotong Victoria Sandwich Cake dan secawan Vienna Coffee. Matanya dililaukan ke arah ofis Heidry yang berdinding kaca penuh.
Kosong. Heidry tiada di dalam ofis.
Pandangan mata dikalihkan ke arah pintu studio yang terbuka sedikit. Kakinya terus melangkah ke situ. Pintu studio diketuk perlahan sebelum dia menjengah ke dalam.
Heidry yang sedang tekun melukis, menoleh ke arah pintu.
“Boleh saya masuk?” soal Farha meskipun dia tahu tiada siapa dibenarkan masuk ke dalam studio ini kecuali Razi.
“Kenapa?”
Soalan berbalas soalan.
“Saya ada bawa kek dengan kopi untuk awak,” tutur Farha seraya menunjukkan dulang yang berada di tangannya.
“Awak kata kek tu dah habis.”
Farha menyeringai.
“Saya buatkan yang baru.”
“Untuk saya?”
Gadis itu mengangguk.
“Untuk bayar upah awak hantar saya balik dua hari yang lepas.”
“Saya ingat awak dah lupa,” tutur Heidry bersama senyuman nipis.
“Masuklah. Letak kat situ.”
Lelaki itu bersuara lagi. Jari telunjukknya dituding ke arah meja kopi di sudut hujung bilik.
Senyuman tersungging di bibir Farha. Kaki gadis itu mula melangkah masuk. Ini bukan kali pertama dia jejakkan kakinya ke studio. Dia pernah ke sini satu ketika dahulu. Bertahun-tahun yang lalu.
Gadis itu meliarkan pandangannya ke sekeliling studio. Tidak banyak perubahan. Semuanya hampir sama seperti dulu.
Setelah meletakkan kek dan kopi di atas meja, Farha menghampiri Heidry yang sudah kembali fokus pada lukisannya. Mata gadis itu dihalakan ke arah kanvas yang sudah dipenuhi dengan warna-warna yang gelap.
“Awak lukis apa?” soal Farha dengan nada yang bersahaja.
Pergerakkan tangan Heidry terhenti. Lelaki itu merenung lukisan di depannya. Lama.
Suasana sepi seketika. Mata masing-masing tertumpu ke arah yang sama. Ke arah kanvas lukisan.
Farha cuba fahamkan lukisan Heidry. Tapi sebagai seorang yang buta seni, dia tak tahu apa yang Heidry sedang lukis. Lukisan itu tampak berserabut. Barangkali ini yang dipanggil lukisan abstrak.
Tiba-tiba Heidry bersuara. Dengan nada yang cukup perlahan.
“Perasaan saya.”
Farha pandang Heidry.
“So… lukisan ni menggambarkan perasaan awak?”
Heidry mengangguk perlahan.
Bibir Farha tersenyum tawar.
“Untungnya… Awak dapat luahkan perasaan awak dalam bentuk lukisan yang cantik macam ni.”
Heidry tidak memberikan sebarang respons.
“Boleh saya tengok-tengok lukisan yang ada kat sini?” tanya Farha. Tidak mahu beredar dari studio itu lagi.
Heidry sekadar mengangguk, memberi keizinan.
Farha terus melangkah ke arah kanvas-kanvas yang tersusun di sudut hujung bilik. Satu per satu lukisan dibelek dan diperhati. Lukisan pemandangan, lukisan bangunan, lukisan abstrak…
Tiba-tiba pergerakkan tangan Farha kaku. Pandangan matanya tertumpu ke arah satu lukisan portret. Hati gadis itu tersentak. Satu rasa yang kurang enak mula menyelinap ke tangkai hati.
“I think you've seen enough.”
Suara Heidry mematikan suara di minda Farha. Gadis itu tersentak. Terkejut dengan nada suara Heidry yang keras.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, awak boleh sambung kerja awak dekat bawah.”
Farha telan liur. Lambat-lambat dia mengangguk-anggukan kepalanya.
“Err… saya keluar dulu. Maaf menggangu,” tutur Farha tanpa memandang Heidry.
Gadis itu mula menyusun langkah, keluar dari studio.
Thank you for the cake and coffee,” ucap Heidry sebelum Farha beredar.
Farha hanya mengukirkan senyuman nipis.
Heidry melepaskan nafas berat sebaik sahaja dia ditinggalkan bersendirian. Rambutnya disebak ke belakang.
“Macam mana lukisan Naura boleh ada kat sini?” keluh Heidry

No comments: