Friday, January 25, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 11


Jam menunjukkan pukul sebelas malam sewaktu Heidry keluar dari studio. Sunshine Café ketika itu hanya diterangi satu lampu malap. Semua pekerjaya sudah pulang ke rumah masing-masing. Hanya tinggal dia.
Langkah diatur menuruni anak tangga satu per satu. Usai memastikan semua pintu sudah berkunci dan semua suis sudah bertutup, lelaki itu melangkah keluar. Sesusuk tubuh yang sedang bersandar di tiang kedai menyapa pandangan mata.
“Kenapa tak balik lagi?” soal Heidry.
Farha tersentak. Suara garau Heidry mengalihkan tumpuannya dari applikasi Grab yang terpapar di skrin telefon. Pandangan matanya dihalakan ke arah Heidry yang sedang berjalan menghampirinya.
“Awak tunggu apa? Orang lain semua dah balik.”
Heidry bersuara lagi.
“Err… saya nak baliklah ni.”
Mata Heidry diliarkan memandang sekeliling.
“Saya tak nampak pun Myvi awak. Awak tak drive ke hari ni?”
Farha mengeleng perlahan.
“Adik saya pinjam kereta saya.”
“Oh… so, awak tengah tunggu adik awak ke?”
Farha mengeleng lagi bersama hujung bibir yang tersenyum nipis. Fariz masih lagi di Johor Bahru. Mungkin esok baru adiknya itu balik.
“Saya balik dengan Grab.”
“Hah? Malam-malam macam ni awak nak naik Grab? Tak bahaya ke? Awak tu perempuan tau,” soal Heidry dengan nada terkejut dan penuh dengan rasa bimbang.
“Saya dah biasalah naik Grab. Awak janganlah takut-takutkan saya. Rumah saya pun tak jauh mana. Insya-Allah tak ada apa-apa yang buruk akan berlaku kat saya.”
Heidry pandang Farha. Riak wajah lelaki itu jelas menunjukkan dia tidak bersetuju dengan gadis itu.
“Jom. Saya hantar awak balik,” putus Heidry.
Farha tersentak.
“Eh, tak payahlah. Menyusahkan awak aje.”
“Apa pula susah? Awak sendiri kata rumah awak dekat.”
Sepi. Farha kelihatan teragak-agak.
“Saya tak nak tanggung rasa bersalah kalau apa-apa jadi kat awak, Faa,” ucap Heidry. Lembut. Perlahan.
Gulp! Farha telan liur. Tiba-tiba lutut terasa lemah.
Cair.
Tersentuh.
Degup jantung sudah berubah rentak.
Saya tak nak tanggung rasa bersalah kalau apa-apa jadi kat awak, Faa.
Bicara lembut Heidry terngiang-ngiang di telinga. Memberi kesan yang mendalam pada dirinya. Membuatkan naluri perempuannya terusik. Lebih-lebih lagi bila Heidry memanggilnya ‘Faa’ di hujung bicara. Bukan Farha. Ini kali pertama dia dengar lelaki itu memanggil nama panggilannya. Dan dia amat suka.
“Faa… Faa…”
Heidry mengawang-awangkan tangannya di depan Farha.
Farha tersentak. Segala lamunan perasaannya lenyap. Gadis itu kembali menumpukan perhatian pada Heidry di depannya. Debaran di dada cuba dikawal sebaik mungkin.
“Jomlah. Saya hantar awak balik.”
Farha mengangguk. Memberi persetujuan.
“Terima kasih Heidry.”
Heidry lempar senyum. Lelaki itu mula mengatur langkah menghampiri Mini Cooper yang diparkir di depan kafe. Farha mengekorinya dari belakang.
“Comelnya kereta awak,” komen Farha.
“Bukan kereta saya. Kereta Dhani. Saya pinjam aje.”
Hanya bunyi ‘oh’ yang keluar dari bibir Farha. Gadis itu membuka pintu kereta dan melabuhkan punggungnya di kerusi penumpang.
“Nah!”
Tiba-tiba Heidry hulur telefon pintarnya pada Farha. Farha terpinga-pinga. Dia pandang Heidry dengan riak wajah yang blur.
Set location ke rumah awak.”
“Oh…”
Baru gadis itu mengerti. Tangannya laju mengambil telefon pintar dari tangan Heidry dan menetapkan lokasi rumahnya di applikasi Waze.
“Kenapa kawan awak datang kafe tadi?” soal Farha. Ingin tahu.
Heidry yang sedang memandu menoleh sekilas ke arah Farha.
“Err… maksud saya, kenapa dia ambil ukuran setiap sudut kafe?”
Farha memperbetulkan soalannya.
“Untuk ubah suai kafe. Kawan saya tu interior designer.”
Oh… ubah suai. Bukan nak juallah, desis Farha dalam hati.
“Bila nak ubah suai?”
“Tak tahu lagi. Saya dengan Dhani baru berbincang.”
Jeda.
“Mungkin nanti saya akan tutup kafe untuk beberapa hari.”
Farha sekadar mengangguk faham. Gadis itu melemparkan pandangan ke luar tingkap. Memandang kereta-kereta yang bertali arus di atas jalan dengan perasaan yang kosong. Suasana di dalam kereta bertukar sunyi. Hanya suara dari applikasi Waze yang memberi tunjuk arah sesekali kedengaran.
“Farha…”
Kepala Farha terus menoleh ke arah Heidry apabila namanya meniti di bibir lelaki itu. Jauh di sudut hati, ada rasa kecewa dan hampa apabila lelaki itu kembali memanggilnya Farha. Bukan Faa seperti tadi.
“Err… tak ada apa-apa lah.”
Dahi Farha berkerut.
“Awak nak cakap apa? Cakap ajelah.”
Heidry menyeringai sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. Hmm… tak mungkin. Tak mungkin Farha anak angkat arwah mummynya. Hati lelaki itu menidakkan meskipun dia tak pernah kenal dengan anak angkat mummynya itu. Tidak pernah bercakap. Tidak pernah bertemu.
Sudah banyak kali arwah mummynya ingin dia bertemu dengan anak angkat wanita itu, tapi ada aje alasan yang Heidry beri. Lelaki itu tahu mummynya ada agenda lain.  Dia tahu mummynya dah jatuh suka pada anak angkatnya sehingga ingin dijadikan menantu. Dan masa itu pula Heidry tengah sibuk kejar cinta Naura. Memang taklah dia nak layan permintaan mengarut mummynya itu. Dia tahu pertemuan pertama akan membawa kepada pertemuan seterusnya, dan seterusnya.
“Rumah saya belok kiri ni,” beritahu Farha sewaktu mereka sudah hampir sampai ke rumahnya.
Heidry membelokkan keretanya dan berhenti di depan rumah Farha.
“Terima kasih tolong hantarkan saya,” ucap Farha.
Heidry senyum dan mengangguk kecil, bagaikan menerima ucapan terima kasih Farha.
“Betul ni tak nak tanya saya apa yang awak nak tanya tadi?” soal Farha sebelum melangkah keluar dari kereta.
Heidry mengangguk lagi bersama senyuman yang masih bersisa di bibir.
“Okeylah. Saya keluar dulu. Jumpa esok. Terima kasih sekali lagi.”
Pay me with Victoria Sandwich Cake esok. Boleh?” pinta Heidry kedengaran nakal.
Farha yang sudah bersedia nak keluar kereta, menoleh ke arah Heidry.
“Boleh. No problem.”
“Great! See you tomorrow.”
Farha lempar senyum. Pintu kereta dibuka dan dia mula melangkah keluar.
Bye Heidry. Good night,” tutur Farha.
Heidry membalas ucapan Farha dengan lambaian tangan. Entah kenapa Farha berasa senang dengan situasi mereka sekarang. Terasa seolah-olah dirinya baru dihantar pulang oleh seorang kekasih.



“SIAPA yang hantar Faa balik?”
Suara Encik Nordin mematikan langkahnya yang baru sahaja masuk ke dalam rumah. Nada suara lelaki itu kedengaran tegas. Farha menoleh ke arah ayahnya yang sedang berdiri tegak di ruang tamu sambil berpeluk tubuh.
“Bos Faa.”
“Kenapa dia yang hantar Faa balik?”
Farha ketap bibir. Kalau ikut hati, mahu sahaja dia jawab, ‘dah ayah tak nak ambil Faa.’ Tapi dia tak mahu berkurang ajar dengan ayah sendiri.
“Esok Faa tak payah kerja. Ambil cuti.”
Nada suara Encik Nordin lebih kepada memberi satu arahan.
“Kenapa?” soal Farha.
“Pak Majid sekeluarga nak datang makan tengah hari dekat rumah kita.”
Hah? Rahang Farha terjatuh. Ayah nak aku ambil cuti semata-mata untuk ini? Soal Farha dalam hati, seakan tidak percaya.
“Faa mana boleh ambil cuti sesuka hati, ayah.”
“Call bos Faa sekarang. Cakap esok Faa ada hal.”
Riak muka Farha sudah berubah. Dia tak suka bila ayahnya pandai-pandai nak atur hidup dia.
“Apa yang ayah cuba buat ni? Kenapa Faa kena ambil cuti bila Pak Majid nak datang rumah kita?”
“Sebab dia orang nak jumpa Faa.”
Farha menghela nafas berat.
“Faa tahu apa yang ayah cuba buat. Tapi benda tu tak akan terjadi. Ayah tak boleh paksa Faa. Esok Faa akan pergi kerja macam biasa,” putus Farha.
Tegas.
Sedikit pun Farha tidak gentar pada ketegasan ayahnya. Kalau ayahnya bertegas, dia pun akan ikut bertegas. Dia tidak akan mengalah.
Gadis itu terus berjalan menuju ke biliknya. Tidak diendahkan wajah tegang ayahnya. Biarlah… dia sudah biasa melihat wajah tegang, wajah berang ayahnya itu. Sudah terlalu biasa.
Tubuh kecil Hafiy yang sudah lena di atas katil menjamu pandangan mata. Meredakan segala gelodak perasaan. Hatinya berasa tenang saat melihat wajah Hafiy. Perlahan-lahan dia menghampiri anaknya itu. Pipi gebu Hafiy dikucup lembut.
Rindunya nak bermain dengan Hafiy. Sejak dia kerja, dia banyak habiskan masa di tempat kerja. Dah jarang bermain dengan anaknya itu. Kesian Hafiy. Mesti dia pun rindukan Farha.




No comments: