Tuesday, January 15, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 10


Sejak pertemuan dengan lelaki bersut di lif kondominium Erin seminggu yang lalu, jiwa dan hati Farha jadi tidak tenteram. Memori pahit yang telah terkunci sejak lima tahun yang lalu kembali bermain-main di ruang mindanya. Membuatkan luka yang hampir sembuh, kembali terguris. Menghantui diri dengan emosi yang sudah lama terkubur.
Marah. Geram. Sedih. Pilu. Terkilan. Sakit. Perit. Sebak. Sayu.
Segala emosi negatif menguasai diri.
Pagi itu, Farha membawa diri ke bilik kembarnya yang sudah lama dia tidak jejak. Satu per satu laci dibuka dan diselongkar dengan penuh berhati-hati. Kotak-kotak yang ada di bilik itu turut digeledah.
“Faa buat apa kat bilik Yaya?”
Suara garau Encik Nordin mematikan pergerakkan tangan Farha. Liur ditelan. Lambat-lambat gadis itu menoleh, memandang wajah dingin ayahnya di depan pintu bilik.
“Hari ni tak kerja ke?” soal Encik Nordin lagi. Masih dengan nada yang sama.
“Kerja,” jawab Farha sepatah.
"Dah tu apa yang Faa tunggu lagi? Pergilah kerja.”
Tanpa sebarang bicara, Farha mengatur langkah keluar dari bilik Yaya.
“Lepas ni, jangan masuk bilik Yaya lagi,” pesan Encik Nordin sebelum Farha melangkah jauh. Tegas.
Farha hanya mampu mengangguk faham. Dia tahu lelaki itu tidak suka dia masuk ke bilik Yaya. Dan sebab itu dia tidak pernah menjejakkan kaki ke bilik Yaya sejak pemergian kembarnya itu. Sehinggalah hari ini... bila dia ingin mencari sesuatu. Mencari sesuatu demi satu kepastian. Mencari apa sahaja yang boleh membuktikan dan memberi kepastian bahawa lelaki yang ditemui tempoh hari merupakan lelaki yang telah menghancurkan hidup kembarnya meskipun dia sudah cukup yakin.
Pandangan mata Farha bertemu dengan sepasang mata milik ibunya sewaktu dia sedang menuruni tangga ke tingkat bawah. Segera gadis itu menundukkan pandangan. Sejak malam itu, hubungan Farha dan ibunya sedikit renggang. Renggang dan janggal.
Puan Salwa berdeham.
“Fariz pinjam kereta Faa. Faa pergi kerja naik Grab ajelah,” kata Puan Salwa tanpa nada.
Farha tersentak. Matanya segera dilarikan ke luar rumah, memandang ruang letak keretanya yang sudah kosong.
“Kereta Fariz mana?”
“Tak boleh start pagi tadi. Ayah dah panggil kawan dia hantar bengkel. Ibu suruh Fariz bawa kereta Faa sebab dia ada kena pergi JB hari ni.”
Farha kerling kereta Toyoto Vios Encik Nordin yang tersadai elok di garaj.
“Kenapa ibu tak suruh Fariz bawa kereta ayah aje?”
“Eh, takkan Fariz pinjam kereta Faa pun Faa nak berkira?”
Hah? Mulut Farha separa ternganga.
“Tak. Bukan itu maksud Faa…”
Keluhan kecil terlepas dari bibir Farha.
“Tak apalah. Faa pergi dengan Grab aje.”
Farha mengalah. Dia bukannya nak berkira dengan adik sendiri. Dia cuma mempersoalkan kenapa adiknya itu tidak guna aje kereta Encik Nordin. Ayah mereka bukannya selalu keluar rumah.
Oh, jangan tanya kenapa Encik Nordin tidak menghantar Farha ke tempat kerja… Ini adalah sesuatu yang mustahil. Amat mustahil. Dan Farha pun tidak mengharap. Dia cukup sedar kedudukannya di rumah ini.



“WOW!”
Heidry terpegun. Matanya terpaku ke arah kereta Mini Cooper model lama di depannya dengan rahang yang terjatuh.
Mamat ni biar betul, desis hati lelaki itu. Tangan segera mengeluarkan telefon pintar dan mendail nombor telefon seseorang. Tidak sampai dua deringan, panggilannya sudah dijawab.
“Wey, ini ke kereta yang kau nak bagi aku pinjam?” soal Heidry seakan tidak percaya.
“Ha, yelah. Kereta antik aku tu.”
“Sejak bila pula kau ada kereta ni?”
“Aku baru je beli. Ada kawan aku nak jual. Aku belilah. Condition tiptop.”
“Dah tu kenapa kau tak pakai? Kenapa nak bagi aku pinjam pula?”
“Aku kan dah ada HRV aku ni. And since kau tak ada kereta, aku bagilah pinjam,” jawab Dhani mudah.
“Seriuslah?”
“Iya. Aku serius. Pakai ajelah.”
Senyuman terbentuk di hujung bibir Heidry. Hati seakan ingin melonjak girang.
“Wey… ini kereta kegemaran aku… kau jual kat aku ajelah,” kata Heidry penuh dengan nada teruja.
Dhani tergelak.
“Aku boleh jual kat kau. Tapi… kau ada duit ke nak bayar aku?”
Erk! Heidry hambur tawa.
“Ceh! Sekarang memang tak ada. Tapi nanti-nanti mesti ada. Kau tunggu ajelah.”
“Dah tu, nanti-nanti ajelah kita cerita,” seloroh Dhani, masih dengan tawa bersisa.
“Buat masa sekarang ni, kau pakai ajelah kereta tu. Nak anggap tu kereta kau pun boleh. Aku tak kesah,” kata Dhani lagi.
Thank you bro. Kau memang sahabat sejatilah!”
Time macam nilah baru nak ingat sahabat sejati. Selama ni tak nak ingat aku.”
Heidry tertawa.
“Hmm, okeylah. Aku nak jumpa klien. Petang nanti aku jumpa kau kat Sunshine,” beritahu Dhani sebelum menamatkan panggilan.
Heidry simpan telefon pintar ke dalam poket seluar semula. Matanya masih belum puas meneroka setiap inci kereta Mini Cooper di depannya. Pintu kereta dibuka dan dia mula meloloskan diri ke dalam kereta. Wajah lelaki itu kelihatan bersinar-sinar pagi itu. Persis seperti wajah seorang kanak-kanak bila dapat mainan idaman mereka.



“LAMANYA Abang Razi dengan mamat handsome yang datang tadi tu dalam ofis Abang Heidry,” komen Syirah, pelayan di kafe itu, merujuk kepada lelaki yang datang mencari Heidry lebih kurang satu jam yang lalu.
“Akak rasa dia orang tengah bincang pasal apa?” tanya Syirah.
Farha jungkit bahu tanda tidak tahu.
“Syirah rasa Abang Heidry nak jual kafe ni dekat mamat handsome tu. Dan sekarang ni dia orang tengah bincang pasal ni dengan Abang Razi. Apa nasib kita nanti kak? Kita akan hilang kerja ke?”
“Heidry nak jual kafe ni ke?”
“Entah. Tapi Syirah pernah dengar ura-ura kafe ni nak kena jual.”
“Serius?” tanya Farha dengan nada terkejut.
 “Syirah rasa lah. Akak tak nampak ke mamat handsome tadi sibuk ambil gambar setiap penjuru kafe ni. Siap ambil ukuran setiap sudut kafe.”
“Tapi Heidry baru aje ambil alih kafe ni.”
Syira mencuit Farha.
“Abang Razi dah turun tu,” beritahu Syirah.
Mata mereka terhala ke arah Encik Razi yang baru sahaja turun ke tingkat bawah kafe. Lelaki itu berjalan mendekati mereka berdua.
“Farha… tolong hantarkan one slice Pecan Butterscotch ke ofis Heidry,” pinta Razi.
Farha mengangguk tanda faham. Gadis itu terus menyediakan sepotong Kek Pecan Butterscotch dan membawa diri ke tingkat atas.
Pintu bilik Heidry diketuk perlahan sebelum dia menolak pintu itu dan melangkah masuk ke dalam bilik itu. Senyuman dilemparkan ke arah dua orang lelaki yang sedang menumpukan perhatian ke arahnya.
Whoa! Pecan Butterscoth. Favourite aku ni,” kata Dhani sebaik sahaja ternama kek Pecan Butterscotch di tangan Farha.
“Aku tahu. Sebab tu aku suruh Razi hantarkan kek ni.”
Dhani kerling Farha yang sedang meletakkan piring kek di depannya.
“Awak ke yang buat?”
Farha menganggukkan kepalanya.
“Baker baru?”
Farha mengangguk lagi.
Dhani mengecilkan matanya. Wajah Farha ditilik.
“Saya macam pernah nampak awaklah sebelum ni,” tutur Dhani dengan nada yang kedengaran serius.
Farha pandang Dhani. Pandangan mata mereka bersabung.
Heidry berdeham.
“Kut ya pun nak try baker aku, agak-agaklah. Taktik tu dah basilah Dhani,” kata Heidry.
“Tak. Aku serius,” bidas Dhani. Matanya ditumpukan semula ke arah Farha.
“Kita pernah jumpa ke sebelum ni?” soal Dhani. Masih dengan nada serius.
Farha senyum nipis. Kepalanya digeleng-geleng perlahan.
Heidry tergelak.
“Dia baru aje kerja kat sini Dhani. Aku rasa ni first time kau jumpa dia.”
“Oh ye ke? Tapi muka dia familiar. Macam aku pernah nampak sebelum ni.”
Farha hanya tayang sengih.
“Err, kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu,” pinta Farha.
“Kejap. Nama awak apa?”
Farha toleh semula ke arah Dhani.
“Farha.”
“Nice name. Saya Dhani. Nice to meet you.”
Senyuman tersungging di bibir Farha. Gadis itu kembali meneruskan langkah, keluar dari bilik Heidry.
What?” soal Dhani bila Heidry tenung dia macam dia ada buat salah.
“Dengan baker aku pun kau nak flirt?”
“Kenapa? Tak boleh ke? Cantik. Manis. Sesuailah dengan aku yang tampan ni.”
Heidry buat muka.
“Sebab tulah kau guna taktik basi tadi? Konon pernah jumpa sebelum ni.”
Dhani hambur gelak.
“Taklah. Aku memang macam pernah nampak dia tapi aku tak ingat kat mana,” kata Dhani seraya mencuit sedikit kek Pecan Butterscotch dan disua ke dalam mulut.
“Hmm… sedap! Sama macam arwah mummy kau punya.”
Heidry terdiam. Hanya buat beberapa saat.
Victoria Sandwich Cake dia pun macam arwah mummy aku punya,” kata Heidry perlahan.
Mata Dhani membulat.
“Seriuslah? Kau dah rasa?”
Heidry menganggukkan kepalanya.
“Aku ingat kau dah tak makan kek tu…”
“Ya. Aku memang dah lama tak makan. Tapi entah macam mana hari tu aku nak rasa Victoria Sandwich Cake yang baker aku buat…”
“Kau mesti terkejut kan?”
“Sangat!”
“Dan happy?”
“A little bit.”
“Macam mana dia boleh buat kek sama macam arwah mummy kau?”
Heidry jungkit bahu.
“Kau tak tanya ke?”
Heidry geleng.
“Tapi kek kat kafe ni kan semuanya pakai resepi mummy aku.”
“Tapi tak semua baker kau boleh buat kek yang seratus peratus sama macam mummy kau. Entah-entah dia belajar buat kek dari mummy kau.”
“Tak mungkinlah,” sangkal Heidry.
“Mummy kau kan pernah ajar anak angkat dia dulu. Siapa eh perempuan tu? Aku dah lupa.”
“Entah… aku tak pernah ambil tahu.”
“Hisy, teruklah kau ni.”
“Entah-entah Farha anak angkat mummy kau. Sebab tu aku cakap aku macam pernah nampak dia sebelum ni. Aku pernah jumpa anak angkat mummy kau beberapa kali.”
Heidry terdiam. Mindanya mula terfikirkan kemungkinan ini meskipun hatinya cuba menidakkan.

No comments: