Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 2


Seawal pukul 7.30 pagi Ara bersiap-siap untuk ke kampus. Gadis itu hanya mekap ala kadar memandangkan set mekapnya berada di rumah Dee. Rumah sewa kawan baiknya yang dia huni selama sebulan. Pakaiannya juga ringkas. Pakai sahaja apa yang masih tinggal di dalam almari. Semuanya baju lama-lama. Baju yang baru semua ada dekat rumah Dee.
Hmm, ini semua sebab Eiyad. Kalau dia tak heret aku ke sini malam tadi, tak adalah aku kena bersiap awal untuk ke kelas. Kalau stay kat rumah Dee, waktu macam ni aku baru aje bangun tidur.
Ara merenung dirinya di cermin besar di sudut bilik. Rambutnya yang dibiarkan lepas dibetul-betulkan agar kelihatan lebih kemas. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, gadis itu melangkah keluar dari bilik.
Mata Ara membesar saat melihat Eiyad berada di depan pintu. Terkejut.
Eiyad menjatuhkan tangan yang ingin mengetuk pintu bilik Ara apabila gadis itu sudah membuka pintu. Wajah terkejut Ara dipandang.
Sorry. I was about to knock.”
Ara membalas pandangan Eiyad. Lengan disilang ke dada.
“Pagi-pagi ni, kau nak apa?”
“Kau nak pergi kampus kan?”
Gadis itu hanya mengangguk.
“Aku hantar kau.”
It’s okay. Aku dah panggil Uber.”
Cancel it.”
Ara pandang Eiyad dengan pandangan tidak puas hati. Dah mula dah… Dah mula dengan arahan mandatori dia. Hesy, rimaslah! Dari dulu sampai sekarang nak kawal aku. Control freak betul. Rungut Ara dalam hati.
“Aku tak nak gaduh dengan kau pagi-pagi ni. Boleh rosak mood indah aku. So please…. Uber aku dah tunggu kat bawah.”
Ara melangkah pergi. Meninggalkan Eiyad. Malas nak buang masa bertikam lidah dengan lelaki itu.
“Tunggu kat bawah. I’ll talk to your Uber,” kata Eiyad sebelum berjalan pantas menuju ke tingkat bawah.
Ara terpinga-pinga. Apa masalah Eiyad ni? Aku nak pergi kampus dengan Uber pun susah. Kenapa dia tak menetap aje kat London? Semak betullah bila dia dah balik sini. Tak aman hidup aku.
“Ara…” panggil satu suara sebaik sahaja Ara menjejakkan kaki ke tingkat bawah.
Gadis itu terus berpaling. Memandang Cik Ina yang tersenyum manis ke arahnya.
“Jom breakfast. Mama Ara pun tengah tunggu tu,” ajak Cik Ina.
“Tak apalah Cik Ina. Ara breakfast kat kampus aje.”
“Jomlah… Cik Ina ada masak lontong kegemaran Ara.”
Lontong? Ara telan liur. Lontong Cik Ina memang sedap. Tidak dinafikan. Mana-mana kedai pun tak boleh kalahkan lontong Cik Ina. Jam di pergelangan tangan dikerling.
“Tak sempatlah Cik Ina. Ara takut lambat sampai kampus. Jalan nak ke kampus tu hari-hari jammed.”
“Awal lagi ni Ara. Baru pukul lapan. Kampus Ara tu tak adalah jauh mana. Cuma jammed aje. Kalau Ara takut lambat, suruh aje Yad hantar Ara naik motor.”
Ara tersengih-sengih saat mendengar cadangan Cik Ina.
Naik motor dengan Eiyad? Memang taklah. Cik Ina ni macam tak faham-faham pula.
“Memang Yad nak hantar Ara naik motor pun. Malas Yad nak bawa kereta,” kata Eiyad yang tiba-tiba muncul di ruang tamu.
“Oh, by the way, aku dah settlekan Uber kau. Lepas breakfast aku hantar kau ke kampus.”
“Jomlah breakfast Ara… Ara dah tak suka lontong Cik Ina ke?” soal Cik Ina dengan nada sayu.
Tak sampai hati pula Ara nak tolak ajakkan Cik Ina. Lambat-lambat gadis itu melangkah ke ruang makan. Puan Yasmeen sudah duduk di kepala meja. Sedang membelek iPad.
Melihat Eiyad dan Ara sudah berada di meja makan, wanita itu terus simpan iPad dan menumpukan pandangan mata ke arah anak gadisnya.
“Lepas ni Ara tak payah nak menumpang dekat rumah kawan. Duduk aje sini. Hari-hari Yad akan hantar dan ambil Ara dekat kampus.”
“Ara ada kereta ma. I can drive my own car,” tutur Ara dengan nada yang bersahaja.
Usai membaca doa makan, gadis itu terus menyuap lontong ke dalam mulut.
Eiyad memandang Ara bersama senyuman penuh makna.
“Kereta? Kereta yang mana? Kereta Polo kau?”
Ara menganggukkan kepala dengan riak wajah yang bersahaja.
“Aku dah jual kereta tu. So basically sekarang ni kau dah tak ada kereta,” kata Eiyad cukup selamba.
“Hah??”
Ara terpempan. Namun seketika cuma. Bibir gadis itu mula menghamburkan tawa.
“Jangan nak merepeklah. Macam mana pula kau boleh jual kereta tu? Kunci kereta ada dengan aku. Kereta tu pun kau tak tahu aku park kat mana.”
“Kereta tu ada kat rumah kawan kau. Kunci kereta pun ada dengan kawan kau. Aku hanya perlu minta kawan kau. Kalau kau tak percaya, kau boleh call kawan kau.”
Hah? Biar betul? Aku baru aje call Dee pagi tadi. Nak suruh dia bawakan buku aku. Dee tak ada cakap apa-apa pun. Lagipun, macam mana Eiyad tahu pasal kawan aku? Eiyad tak pernah jumpa Dee.
Oh lupa… Dia kan Eiyad. Tak ada yang mustahil untuk lelaki bernama Eiyad.
Selera makan Ara sudah hilang. Sekarang ni dia risaukan kereta dia. Biar betul Eiyad jual kereta tu? Okey, tahulah kereta tu bukan pakai duit dia. Pakai duit mama. Dan secara teknikalnya, duit mama tu duit Eiyad juga. Harta mama harta Eiyad. Mama dengan aku menumpang senang aje. Tapi… takkanlah kereta aku pun Eiyad nak jual? Dia tu dah kenapa? Stresslah macam ni…. Baru balik dah buat hal.
“Kenapa kau jual kereta aku?” tanya Ara. Masih dengan nada terkawal. 
“Mama yang suruh Yad jual kereta tu.”
Terjatuh rahang Ara. Terkejut dengan bicara Puan Yasmeen. Hati mula dibanjiri dengan rasa sedih. Tahu tak itu kereta kesayangannya. Kereta pertamanya. Kereta yang dah banyak berbakti dengannya. Ke mana-mana dia dengan kereta itu.
Ara menyandarkan tubuhnya ke belakang.
If you’re going to take that car from me, why bother to give me in the first place?”
Lemah sahaja bicara Ara. Jelas kekecewaan dalam nada suara gadis itu. Tanpa menunggu lama, dia bangkit dari duduk.
“Aku dah lambat. Aku tunggu kau kat luar,” tutur Ara tanpa memandang sesiapa.
Pandangannya ditundukkan ke bawah. Langkah diayun perlahan menuju ke luar rumah. Menunggu Eiyad di situ. Kolam ikan direnung kosong tanpa sebarang perasaan.
Tidak lama kemudian, Eiyad muncul bersama dua helmet di tangan. Ara didekati. Helmet dihulurkan kepada gadis itu. Tanpa sepatah kata, Ara ambil helmet dari tangan Eiyad lalu disarungkan ke kepala.
Ara diam. Eiyad pun diam. Sudahnya sehingga ke kampus, mereka berdua tidak berbicara sepatah kata pun.
Eiyad memberhentikan motor besarnya di depan dewan kuliah Ara. Kalau Eiyad boleh tahu pasal Dee, tak mustahil juga Eiyad tahu kat mana dewan kuliah Ara. Sedikit pun Ara tak rasa pelik bila melibatkan Eiyad. Tiada apa yang lelaki itu tak tahu.
“Pukul empat nanti aku ambil kau dekat sini.”
Itu bicara pertama Eiyad selepas insiden di meja makan tadi.
Jadual kelas aku pun dia tahu, tutur Ara dalam hati bersama senyuman sinis.



SUASANA di dalam dewan kuliah sunyi sepi. Hanya ada beberapa orang pelajar sahaja di dalam dewan itu. Hari ini Ara tiba terlebih awal. Kawan-kawannya yang lain pun belum sampai. Mungkin sebab dia naik motor ke sini. Itu yang cepat aje dia sampai. Kalau naik kereta, belum tentu dia sampai sebelum kuliah mula.
Ara memilih tempat duduk yang paling belakang. Punggung dihempaskan. Kepala dilentokkan ke atas meja, beralaskan lengan. Mata dipejam rapat. Cuba menenangkan diri. Emosi gadis itu tidak stabil saat ini.
Lama Ara dalam keadaan begitu sehinggalah tempat duduk di sebelahnya diduduki orang.
“Awal kau sampai hari ni,” tegur Dee yang baru sahaja tiba.
Ara mengangkat kepalanya. Pandangan mata dihalakan ke arah Dee yang berselendang warna krim pada pagi itu.
“Nah, barang-barang kau. Aku tak jumpa calculator kau. Tapi hari ni tak guna calculator kot. Lecture aje.”
Ara diam lagi. Dee mula rasa pelik. Dahi gadis itu berkerut.
“Kenapa dengan kau?”
“Kereta aku mana Dee?”
Mata Dee membesar. Seolah-olah baru teringat sesuatu.
“Ha… lupa pula aku nak tanya kau.”
Dee memusingkan tubuhnya, menghadap Ara. Tangan bercekak pinggang.
“Kenapa kau tak beritahu aku yang kau ada abang?”
Ara masih lagi tidak beriak.
“Aku tanya kau… mana kereta aku?”
“Dekat abang kau lah…”
“Macam mana kau boleh serahkan kunci kereta aku pada orang yang kau tak kenal? Kalau dia bukan abang aku macam mana?” Datar sahaja nada suara Ara sewaktu menuturkan bicara.
Dee mula kaget.
“Dia tu bukan abang kau ke? Tapi mama kau yang suruh aku serah kunci kereta pada abang kau. Abang kau call mama kau masa dia datang jumpa aku semalam. Eiyad kan nama abang kau?”
Ara melepaskan nafas berat. Rambut disebak ke belakang.
“Wey, kenapa? Kau jangan buat aku cuak?”
Ara menggeleng perlahan.
“Kenapa kau tak pernah beritahu aku yang kau ada abang? Aku ingat kau anak tunggal.”
“Aku memang anak tunggal pun.”
“Hah? Habis tu, Eiyad siapa? Anak angkat ke?”
Ara hanya menganggukkan kepala. Malas dia nak bercerita panjang tentang sejarah keluarga dia.
Handsome!” Tutur Dee sepatah.
Sebuah jelingan dihadiahkan pada kawan baiknya.
“Kau cakap apa lagi dengan dia?”
“Hmm… dia tanya kau pergi mana? Aku cakaplah kau keluar dengan Wawa semua…”
Oh, patutlah… Dee yang beritahu aku kat situ malam tadi.
“Dee… lain kali kalau dia tanya apa-apa pasal aku dekat kau, kau cakap aje tak tahu. Tolonglah jangan jadi kaunter pertanyaan untuk dia.”
“Kenapa? Kau tak ngam ke dengan dia?”
“Tak.”
Dee melemparkan senyuman.
“Hmm, patutlah kau moody hari ni. Relaxlah Ara… Okey, aku janji lepas ni aku tak akan beritahu apa-apa kat dia.”
“Beb!” jerit Wawa yang baru muncul di dewan kuliah bersama-sama dengan Airin. Langkah terus diatur mendekati Ara dan Dee.
“Kau balik dengan siapa semalam? Tiba-tiba aje hantar text, kata kau balik sendiri. Apa kes?” tanya Airin.
“Aku balik dengan kawan aku. Ada emergency,” balas Ara perlahan.
Dee mengecilkan mata. Dia tahu Ara berbohong. Namun, dia diam sahaja.
“Oh… Irfan punyalah risau pasal kau. Dia takut apa-apa benda tak elok jadi kat kau. Nasib baik kau WhatsApp aku,” tutur Wawa.
Ara hanya senyum nipis. Aku kena heret semalam, kau orang bukannya perasan, rungut gadis itu di dalam hati.
Dewan yang sebentar tadi kosong, sudah dipenuhi dengan pelajar. Riuh-rendah jadinya. Wawa dengan Airin yang duduk di depan Ara dan Dee, rancak berbual sesama sendiri.
Dee mendekatkan wajahnya dengan Ara. Ingin berbisik.
“Semalam kau bukan balik dengan kawan kau, kan?” tebak Dee.
“Kau balik dengan abang kau?” tebak Dee lagi bila Ara berdiam diri.
Lambat-lambat Ara menganggukkan kepala.
“Dia marah kau ke?”
Ara melepaskan nafas berat.
“Dee… aku rasa tak ada mood nak masuk kelas hari ni. Aku cau dululah.”
“Ara… sorry. Aku tak ada niat pun nak buat kau…”
Belum sempat Dee nak habiskan kata-katanya, Ara sudah pintas bicaranya.
It’s okay, Dee. Bukan salah kau. Tapi lepas ni, kalau dia tanya apa-apa kat kau, cakap aje kau tak tahu. Okey?”
Dee mengangguk-anggukkan kepala. Siap angkat kelima-lima jarinya, tanda janji.
“Kau nak skip kelas ke hari ni?”
Ara angguk sambil angkat punggung. Sebelum pensyarahnya masuk, lebih baik dia keluar dulu.
Gadis itu membawa diri ke satu sudut. Tubuh disandarkan ke dinding. iPhone dikeluarkan dari poket seluar. Ingin menghubungi seseorang. Seseorang yang cukup akrab dengan dirinya sejak zaman sekolah lagi.
Selepas dua kali deringan, panggilannya gadis itu disambungkan. Suara garau seorang lelaki menyapa gegendang telinga.
“Huzair…,” tutur Ara perlahan.
“Hmm, aku ingat kau dah tak nak call aku lagi.”
“Kau masih marahkan aku?”
“Aku tak pernah marah kau, Ara…”
Ara mengetap bibir. Tiada bicara yang keluar dari mulutnya. Lidahnya seakan kelu. Dia perlukan Huzair saat ini tetapi dia tidak tahu sama ada lelaki itu sudi meluangkan masa dengannya ataupun tidak.
“Hmm, kenapa kau call? Boyfriend kau tak marah ke kau contact aku?”
“Kau ada kelas ke hari ni?”
Soalan dibalas dengan soalan. Ara buat tak endah aje dengan soalan kedua Huzair.
“Ada.”
“Kalau macam tu, tak apalah. Sorry ganggu kau.”
“Aku tak habis cakap lagi. Memang kalau ikut jadual, hari ni aku ada kelas. Tapi kelas aku cancel. Kau nak jumpa aku ke?” tanya Huzair yang sudah menangkap hasrat hati Ara.
“Aku nak buat bungee jumping. Kau boleh temankan aku?”
Bungee jumping?
Huzair terdiam seketika. Dia mula rasa tak sedap hati. Ara hanya akan buat bungee jumping waktu emosi gadis itu tidak stabil dan selalunya berkaitan dengan famili gadis itu.
“Kau gaduh dengan mama kau lagi ke?”
“Nantilah aku cerita. Kau boleh temankan aku tak?”
Of course boleh. Kau kat mana ni? Kau nak aku ambil kau ke?”
“Aku kat kampus. Kau boleh ambil aku kan?”
“Boleh tu memanglah boleh. Tapi kau tak takut ke kalau boyfriend kau tahu kau naik motor dengan aku?”
“Biarlah dia. Aku malas nak fikir.”

“Kalau macam tu, lagi dua puluh minit aku sampai.”


No comments: