Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 1



“Hey, lepaskan aku. Lepaskan aku...,” jerit Ara seraya meronta-ronta meminta dirinya dilepaskan.
Namun, rontaan dan teriaknya tidak diendahkan. Tubuh genitnya tetap diheret kasar. Berkali-kali Ara cuba menarik tangannya dari cengkaman lelaki asing itu tetapi tidak berjaya. Makin dia meronta, makin kuat cengkaman lelaki itu. 
“Lepaskan aku lah… Sakit tahu tak!” bentak Ara sekali lagi. Lebih kuat. Tangan sasa yang mencengkam lengannya mula menyakitkan.
Mata Ara ligat memandang sekeliling. Cuba mencari teman-temannya di dalam lautan manusia yang sedang seronok menari. Ingin meminta pertolongan daripada mereka.
Mana Wawa? Mana Airin? Mana Faiq? Mana Irfan? Takkan dia orang tak nampak aku kena heret dengan entah mamat mana ni? Rungut Ara dalam hati.
Gadis itu mendengus kasar apabila dia gagal mencari teman-temannya. Pandangan mata dihalakan semula ke arah lelaki yang sedang mengheretnya. Keadaan kelab yang kelam menyukarkan Ara untuk melihat wajah lelaki itu.
“Kau siapa? Apa yang kau nak?” tanya Ara dengan nada yang tinggi, seakan menjerit. Cuba melawan muzik yang kuat berkumandang.
Lelaki itu muncul secara tiba-tiba sewaktu Ara sedang seronok menari mengikut rentak lagu rancak yang diputarkan oleh deejay kelab. Tanpa sebarang bicara, tanpa sepatah kata, lengannya ditarik kasar lalu diheret pergi.
Ara mengetap bibir. Menahan rasa sakit di lengan kanan. Dalam masa yang sama, dia cuba menarik lengannya meskipun dia tahu usahanya itu sia-sia. Cengkaman lelaki itu terlalu kuat. Dia tiada daya untuk melawan.
Keluar dari kelab, Ara terus diheret ke tempat parkir. Sorotan cahaya lampu jalan membuatkan Ara mampu melihat dengan jelas lelaki yang menariknya. Namun, dia hanya dapat melihat tubuh belakang lelaki itu. Wajah lelaki itu masih lagi tidak kelihatan.
Ara mula cuak. Siapa lelaki itu? Kenapa dirinya ditarik keluar? Apa yang lelaki itu ingin lakukan pada dia?
“Ini rupanya kerja kau selama ini!”
Satu herdikan kuat menampar telinga Ara. Tubuhnya dicampak ke kereta.
Ara terpempan.  Matanya terpaku ke arah wajah berang seorang lelaki yang cukup tidak asing buatnya. Buat seketika, gadis itu kelu untuk berbicara. Barangkali terkejut melihat lelaki di hadapannya.
“Tak malu ke terkinja-kinja kat dalam tu? Macam monyet!”
Ara melepaskan gelakan sinis. Tubuhnya disandarkan ke kereta. Santai. Tangan kiri memicit-micit bahagian lengan yang sakit. Riak wajahnya tampak kosong. Hilang terus rasa cuak yang hadir sebentar tadi setelah melihat wajah lelaki yang mengheretnya keluar dari kelab malam.
“Wow! My bodyguard is back. I should say… err… welcome home, I guess? Yeah, I think so. Welcome home, Mr. Control Freak. Bila balik?” tanya Ara dengan nada yang cukup bersahaja. Namun sinisnya tetap ada.
“Sekarang bukan masa untuk kau welcome me home, Ara. Masuk dalam kereta. Sekarang!” arah Eiyad. Tegas.
Whoa… Kau tak boleh nak arah-arah aku. Aku bukan budak kecil lagi. Bukan budak sekolah yang kau boleh arah itu ini.”
Eiyad tajamkan pandangan.
“Aku bagi kau dua pilihan. A, kau masuk sendiri. B, aku humban kau. Kau nak yang mana satu?”
“Aku pilih C. None of the above,” balas Ara bersama sebuah senyuman. Senyuman mengejek.
“Aku datang sini dengan kawan-kawan aku dan aku akan balik dengan dia orang. Bye!”
Usai menghabiskan bicara, Ara mengorak langkah pergi. Ingin kembali ke dalam kelab malam. Renungan tajam Eiyad sedikit pun tidak membuat gadis itu gentar. Untuk apa dia takut pada lelaki yang bernama Eiyad itu?
You left me with option B, Ara.”
Dalam sekelip mata, tubuh Ara dikendong di atas bahu seperti menggalas seguni beras. Tindakan Eiyad yang secara tiba-tiba itu membuatkan Ara terjerit kecil.
Let me go, Eiyad! Let me go!”
Ara kembali meronta.
Namun, Eiyad buat tak tahu sahaja dengan rontaan gadis itu. Sama seperti tadi. Pintu kereta dibuka lalu tubuh genit Ara dihumban ke kerusi. Tali pinggang keledar dipakaikan.
“Jangan cabar kesabaran aku,” pesan Eiyad dengan nada keras sebelum melangkah ke tempat pemandu.
Ara mendengus kasar. Hatinya mula panas dengan tindakan Eiyad. Riak wajahnya tampak tegang. Tidak setenang tadi. Bengang. Geram. Sakit hati.
“Kau tak boleh buat aku macam ni,” tengking Ara sebaik sahaja Eiyad melabuhkan punggung ke tempat pemandu.
“Kenapa tak boleh?” balas Eiyad. Bersahaja.
“Kau tak boleh control aku. Kau jangan ingat bila kau dah balik sini, kau boleh control aku macam dulu. Don’t you dare...” tekan Ara.
“Kau tak ada hak,” tambahnya lagi.
“Aku ada.”
“Hak apa?”
“Hak sebagai abang kau. In case kau terlupa, aku ni abang kau.”
“Abang?” soal Ara bersama kening yang ternaik.
Seketika kemudian, terlepas gelakan yang cukup sinis dari bibir gadis itu.
In case kau terlupa juga, mama aku tak pernah lahirkan seorang abang untuk aku. Dan dia tak pernah lahirkan sesiapa selain aku.”
Even we are not blood related, aku tetap abang kau. Aku ada hak untuk bawa kau balik ke rumah yang dah sebulan kau tak jejak.”
“Bukan rumah aku pun,” gumam Ara seraya memeluk tubuh.
Eiyad buat-buat tak dengar. Jaket hitam ditanggalkan lalu dicampak ke kaki Ara. Kasar. Sekaligus menutup paha Ara yang terdedah.
Ara melirikkan mata ke arah Eiyad bersama senyuman sinis tersungging di bibir.
“Kenapa? Takut tergoda?” soal Ara seakan mencabar.
“Aku dah selalu tengok Ara. Tak ada maknanya aku nak tergoda dekat kaki keding kau tu.”
“Dah tu kenapa tutup? Biar ajelah…”
Jaket kulit dicampak semula kepada Eiyad.
Eiyad melepaskan nafas berat. Perlahan-lahan dia mengambil jaket kulit yang Ara campak lalu diletakkan semula ke atas paha Ara. Bibir menuturkan bicara yang cukup perlahan.
“Sebab aku nak perlihara kehormatan kau.”
Tutur bicara Eiyad yang lembut membuatkan Ara terdiam buat seketika. Kali ini dia biarkan sahaja Eiyad tutup kakinya dengan jaket kulit. Malas nak bertelagah lagi.
“Aku tak tahu apa perasaan mama kalau dia tahu kau pergi tempat macam ni.”
“Tak payah nak berlagak baik lah, Yad. Kat sana lagi banyak night club. Takkan kau tak pernah jejakkan kaki kat tempat-tempat macam ni…”
Eiyad diam. Bicara Ara dibiarkan sepi tanpa sebarang respons. Lelaki itu mula memandu kereta, menuju ke rumah.
“Kenapa diam? Betul kan apa yang aku cakap?”
Eiyad pandang Ara seketika sebelum menganggukkan kepalanya.
“Tapi aku tak menari terkinja-kinja macam kau.”
Ara memusingkan tubuh, menghadap Eiyad dengan wajah teruja.
“Wow… sound interesting! Night club dekat London mesti lagi meriah dari sini kan? Kau buat apa kat sana kalau kau tak menari?” tanya Ara. Mindanya mula berfikiran liar.
“Kau tak perlu tahu…,” balas Eiyad dengan nada yang bersahaja.
Ara mencemik. Dalam hati, gadis itu mengutuk Eiyad. Dia paling tak suka spesis macam Eiyad ni. Bajet alim. Bajet baik. Tapi sebenarnya lagi teruk.
Sekurang-kurangnya, Ara pergi kelab malam untuk menari sahaja. Itu pun bukan selalu. Sekali sekala. Bila dia terasa bosan, bila dia rasa dia perlukan sesuatu untuk melepaskan tekanan. Dan hari ini dia pergi ke kelab malam untuk melepaskan tekanan. Tekanan disebabkan kena marah dengan Professor Zureen masa dalam kelas International Finance petang tadi. 


KERETA yang dipandu Eiyad meluncur perlahan ke dalam garaj. Ketika itu, Puan Yasmeen baru sahaja melangkah keluar dari kereta Mazda miliknya. Ara mengerling jam di dashboard kereta. 11.40 malam.
Gadis itu tersenyum sinis dalam hati. Puan Yasmeen masih seperti dulu. Selagi jam tidak menginjak ke angka 12 tengah malam, wanita itu tidak akan pulang ke rumah. Jangan salahkan Ara bila gadis itu tidak pulang-pulang ke ‘istana terbiar’ ini. Untuk apa dia pulang ke sini jika penghuninya tiada.
Tanpa sepatah kata, Ara buka pintu kereta. Langkah diatur laju menuju ke dalam rumah. Sedikit pun dia tidak pandang mamanya. Seolah-olah wanita itu tidak wujud di situ. Tiada apa yang perlu dibicarakan antara mereka.
Ti-a-da. Noktah.
Pandangan mata Puan Yasmeen mengekori langkah Ara yang berjalan ke arahnya tanpa memandangnya. Wanita itu berdeham.
“Ara dari mana?” soal Puan Yasmeen sewaktu Ara melepasi tubuhnya yang berdiri kaku di situ.
None of your business,” balas Ara cukup selamba.
Birthday party ma. Ara pergi birthday party kawan dia,” bohong Eiyad. Tidak mahu wanita itu tahu ke mana Ara pergi tadi.
Langkah Ara terhenti. Dia berpaling ke belakang, menghadiahkan sebuah jelingan tidak puas hati pada Eiyad.
“Mana Ara pergi selama ni?”
Puan Yasmeen bertanya lagi. Nada suaranya kedengaran tegas.
“Baru sekarang nak tanya…” balas Ara. Sinis.
“Yad dah balik. Dia akan jaga Ara macam dulu,” kata Puan Yasmeen. Masih dengan nada tegas.
Terbantut niat Ara yang ingin kembali melangkah. Pandangan mata dihalakan ke arah Puan Yasmeen.
“Macam dulu? Macam apa? Macam bodyguard mama? Mama nak Yad follow Ara 24 jam?”
Ara menghamburkan tawa. Tawa yang jelas dibuat-buat.
“Ma, Ara bukan budak kecil lagi tau. Ara tak perlukan bodyguard. Ara dah cukup besar untuk jaga diri Ara sendiri.”
“Yad bukan bodyguard Ara. Mind your words. Hormat sikit pada Yad.”
Hormat Yad? Ara mencebik.
Whatever!”
Ara mula melangkah pergi. Malas nak berlama-lama di situ. Makin lama dia di situ, makin panjang pula dia bertikam lidah dengan wanita itu. Hari ini dia tiada mood untuk bertikam lidah dengan sesiapa.
“Mama dah bagi kebebasan yang cukup untuk Ara selama ni. Sekarang Ara kena dengar cakap mama. Dengar cakap Yad.”
Ara buat tidak endah dengan bicara Puan Yasmeen. Kaki tetap melangkah. Kebebasan apa yang mama maksudkan? Adakah dengan tidak ambil peduli langsung pasal aku yang mama maksudkan?
Argh… itu bukan kebebasan tetapi tanggungjawab yang mama abaikan dek kerana sibuk dengan urusan kerja. Dari dulu hingga kini, hanya kerja yang menjadi keutamaan mama. Kerja, kerja, kerja… sehingga papa… sehingga papa tinggalkan mama sebab papa rasa terabai.
Hati Ara mula disapa rasa sebak saat teringatkan papanya. Kenapa papa tak bawa Ara pergi dengan papa? Kenapa papa biarkan mama yang jaga Ara?
Eiyad.
Satu nama yang menjadi punca segala-galanya.
Semuanya sebab lelaki itu. Semuanya sebab amanah keluarga lelaki itu. Kalau mama tak diamanahkan untuk jaga Eiyad, kalau mama tak diamanahkan untuk jaga syarikat keluarga Eiyad, adakah keluarganya akan berantakan seperti ini?
Dulu mama tak macam ini. Dulu mama seorang yang penyayang. Penuh dengan kasih sayang. Semuanya berubah selepas kedua-dua ibu bapa Eiyad terlibat dalam kemalangan. Mama yang merupakan kawan baik ibu Eiyad, diamanahkan untuk jaga lelaki itu sementelah Eiyad tiada saudara mara yang lain. Ibu bapa Eiyad berasal dari rumah anak yatim. Sama macam mama.
Bukan sahaja Uncle Emran dengan Auntie Dahlia amanahkan mama untuk jaga Eiyad, tetapi mereka juga amanahkan mama untuk menjaga syarikat mereka. Syarikat yang akan diserahkan kepada Eiyad apabila lelaki itu sudah bersedia.


USAI menyegarkan badan, Ara membawa dirinya ke meja solek. Pakaian tidur sudah tersarung di tubuh. Gadis itu hanya menyarungkan sebuah tshirt dan juga seluar pendek. Seluar pendek yang dipakainya hampir tidak kelihatan, ditutup tshirt yang bersaiz besar.
Argh… kan dah kata. Mesti lebam, tutur gadis itu dalam hati sambil merenung lengannya di cermin.
Ganas betullah Yad ni. Perlu ke heret aku sampai macam tu sekali. Tak guna!
Perlahan-lahan Ara menyentuh kawasan lebam di tangannya.
Aww… sakit!
Ketukan di pintu mengalihkan perhatian Ara. Gadis itu menoleh ke arah pintu.
Siapa pula yang ketuk pintu bilik aku malam-malam ni? Mama? Hisy tak mungkin. Takkan Cik Ina pula. Apa yang Cik Ina nak daripada aku? Atau mungkin Eiyad. Apa lagi yang dia nak? Tak cukup ke dia dah buat lengan aku lebam macam ni?
Pintu bilik diketuk lagi. Kali ini lebih kuat. Dengan perasaan malas, Ara melangkah ke pintu. Tombol pintu dipulas sebelum ditarik.
“Kau nak apa?” tanya Ara tanpa memandang Eiyad.
“Pergi pakai seluar panjang. Lepas tu, ikut aku.”
“Pergi mana? Dah malamlah. Aku nak tidur.”
“Kejap ajelah…”
Ara mengecilkan pandangan matanya. Mula curiga dengan Eiyad. Tubuhnya masih kaku di depan pintu. Tidak bergerak.
“Cepatlah! Kau nak aku pakaikan seluar untuk kau ke?”
“Jangan harap!”
Pintu terus ditutup. Langkah diayun ke almari pakaian. Mencari seluar panjang. Alah mamat ni… sibuk aje nak suruh aku pakai seluar panjang. Macam dulu tak pernah tengok kaki aku. Masa kecik-kecik dulu siap mandi sama-sama. Kecoh aje.
Eh, dah tu kenapa aku ikut aje cakap dia?
I’m still waiting Ara. Cepat sikit.”
Suara garau Eiyad menerbangkan lamunan Ara. Gadis itu membuka pintu semula. Kali ini dia sudah berseluar panjang.
“Jom!”
Itu sahaja yang Eiyad cakap sebelum mengayunkan langkah ke ruang santai di bahagian atas rumah dua tingkat itu.
“Duduk,” arah Eiyad.
Ara mula buat muka. Dia tak suka bila Eiyad arah-arah dia.
“Tunggu aku kejap. Jangan pergi mana-mana.”
Eiyad terus menghilangkan diri ke aras bawah.
Apa benda ni? Suruh orang keluar, lepas tu suruh orang tunggu pula. Ara mendengus geram.
Saat berganti saat. Minit berganti minit. Ara sudah tidak betah menunggu lagi. Dia ingin kembali ke bilik. Ingin melelapkan mata. Merehatkan minda. Fikirannya sudah cukup penat dengan apa yang berlaku pada hari ini.
Baru sahaja Ara nak angkat punggung, Eiyad muncul bersama pek ais. Lelaki itu duduk di sebelah Ara.
“Lengan kanan,” tutur Eiyad pendek. Meminta lengan kanan Ara. Lengan yang dia cengkam kuat tadi.
Ara yang blur terus hulur. Masih tak dapat tangkap apa yang Eiyad nak buat meskipun dia dah nampak pek ais yang Eiyad bawa.
Perlahan-lahan Eiyad memegang tangan Ara. Pek ais ditekan dengan penuh hati-hati di kawasan lengan Ara yang lebam. Perbuatan bersahaja lelaki itu membuatkan Ara terkesima. Gadis itu terpegun. Bibir tertutup rapat. Lidah kelu untuk menuturkan sebarang bicara.
“Aku minta maaf,” ucap Eiyad lembut tanpa memandang Ara.
Ara menelan liur. Emosi yang sedang berkocak hebat cuba dikawal sebaik mungkin. Cuba untuk tidak terkesan dengan bicara lembut Eiyad. Cuba untuk tidak tersentuh dengan perbuatan Eiyad.
“Dah tahu tangan aku sakit, kenapa tak lepaskan aku tadi? Sakit tau!”
Sepi seketika. Eiyad tak segera menjawab. Fokus menuam.
“Kalau aku lepaskan kau, kau akan lari.”
Of course!”
“Ha, dah tu… jangan salahkan aku bila aku berkasar dengan kau.”
Ara mengetap bibir. Geram. Pandangan matanya dilarikan ke tempat lain. Memerhati keadaan di sekeliling yang sunyi sepi. Hanya mereka berdua sahaja di ruang santai itu. Eiyad diam. Ara pun diam. Menambah lagi rasa sunyi.
Suasana itu mula buat Ara rasa canggung. Gadis itu membersihkan tekaknya. Mata dilirikkan semula ke arah Eiyad.
“Kenapa kau tipu mama?” tanya Ara memecahkan kesepian yang tercipta di luar sedar.
“Habis tu kau nak aku beritahu mama yang kau pergi clubbing?”
Tanpa memandang Ara, Eiyad membalas soalan Ara dengan soalan.
“Apa salahnya? Dah memang itu hakikatnya.”
Eiyad memandang Ara. Buat seketika pandangan mereka bertaut.
“Jangan pernah beritahu mama yang kau pergi clubbing,” kata Eiyad. Tegas.
Ara melarikan pandangan. Sekaligus mematikan renungan Eiyad ke dalam matanya. Lengan segera ditarik. Pek ais diambil dari tangan lelaki itu.
“Dah lah… aku boleh buat sendiri.”
Usai menghabiskan bicara, Ara terus mengorak langkah menuju ke bilik. Eiyad membiarkan gadis itu pergi. Tidak menghalang. Hanya pandangan mata mengekori langkah Ara yang semakin menghilang.
Tubuh disandarkan ke kerusi. Kaki dilunjurkan. Rambut diselak ke belakang.
What a long day…,” luah Eiyad bersama helaan nafas yang berat. 



Note:

Hi semua. Cerita ni sama dengan cerita Satu Hari Sahaja yang saya pernah upload dulu (dan saya dah privatekan chapter tu). This is the final version of my new manuscript (8th mss) and the final title. Saya dah hantar ke publisher mss ini dan in shaa Allah akan diterbitkan dalam masa terdekat (which is saya pun belum tahu bila. Paling lewat tahun depan). Saya ada ubah sikit2 manuskrip saya. Feel free to re-read. If nak sambung pembacaan dari bab yang terhenti dulu, boleh terus baca bab 8 nanti.

Saya jarang buka komen kat sini, so feel free to DM me on my instagram @azura_rasiddin or my FB Page Azura Rasiddin.

No comments: