Saturday, January 12, 2019

Yang Tertulis Untuk Kita - Bab 7


Keesokkan harinya, Farha pergi ke Sunshine Café lebih awal daripada kebiasaan. Dua jam lebih awal. Semata-mata untuk menggelakkan diri daripada Puan Salwa. Setelah apa yang terjadi malam tadi, dia tak tahu macam mana nak berdepan dengan ibunya. Kekok. Canggung.
Suasana di kafe ketika itu sunyi sepi. Tiada siapa di kafe melainkan dia. Sejak tiga puluh minit yang lalu, Farha duduk di meja bar tanpa berbuat apa-apa. Sekadar merenung sepotong kek Chocolate Fudge di depannya. Satu renungan yang sarat dengan emosi. Emosi yang terbawa-bawa dari semalam.
Satu wajah mirip sepertinya berlegar-legar di ruang mindanya. Menerbitkan rasa rindu yang semakin menebal dalam jiwa. Membuatkan jiwanya dihimpit dengan pelbagai rasa. Sedih, terkilan, rindu, kecewa, sayu… semuanya bergaul menjadi satu.
Saat Farha sedang hanyut dibawa perasaan, Heidry melangkah masuk ke dalam kafe. Lelaki itu sedikit pelik melihat Farha duduk termenung di sudut hujung kafe. Namun, dia biarkan sahaja dan buat tidak endah.
Langkah kaki terus diatur ke kaunter minuman. Tangan laju membancuh kopi. Tingkah laku lelaki itu kelihatan sangat bersahaja dan tidak kekok. Seolah-olah sudah biasa di situ. Sudah biasa dengan mesin kopi dan susun letak semua benda.
Sesekali Heidry melirikkan matanya ke arah Farha. Memerhati gadis itu yang masih dalam posisi yang sama. Tidak ubah seperti sebuah patung.  Duduk tegak, menghadap dinding putih yang dipenuhi dengan hiasan foto-foto polaroid. Foto-foto pelanggan yang pernah mengunjungi kafe itu. Langsung tidak menyedari kehadirannya di kafe itu.
Aneh!
Apa yang bermain di fikiran gadis itu sehingga langsung tidak menyedarinya di situ? Kek di depan gadis itu pun tidak bersentuh. Hati Heidry dilambung tanda tanya.
Kopinya siap. Cawan kopi dibawa rapat ke hidung. Menghidu aroma kopi yang semerbak. Kemudian, perlahan-lahan dia menyisip minuman yang masih panas itu. Nikmat. Senyuman nipis tersungging di bibir. Sudah lama dia tidak bru sendiri kopi menggunakan mesin kopi di kafe ini. Tidak sangka skil membuatkan kopinya masih ada. Masih sedap seperti dulu. Tidak terlalu pekat. Tidak terlalu pahit.
Mata sesekali mengerling Farha. Kali ini pandangan matanya tertancap lama pada wajah redup itu. Cuba membaca apa yang bermain di fikiran gadis itu. Dan tidak semena-mena mindanya teringatkan perbualan yang dia dengar tanpa sengaja semalam. Perbualan antara Farha dan anak lelakinya. Adakah itu yang menganggu fikiran Farha?
Cawan kopi di tangannya diletakkan di atas kaunter. Satu lagi cawan putih dicapai. Kopi dibru kopi sekali lagi. Santai dan relaks.
Lelaki itu mula mengatur langkah menghampiri Farha bersama dua cawan kopi di tangan. Saat dirinya hanya tinggal beberapa jengkal sahaja daripada gadis itu, langkahnya terhenti. Tubuhnya terkaku dan mengeras. Matanya terpaku ke wajah Farha, terkesima melihat mutiara jernih yang tiba-tiba mengalir tanpa sebarang amaran di pipi mulus gadis itu.
Oh-oh. Wrong timing, desis hati Heidry.
Lelaki itu masih terkaku. Tak tahu nak buat apa. Haruskah dia berundur dna membiarkan Farha bersendirian? Atau pura-pura tak nampak air mata itu dan menegur gadis itu seperti biasa?
Haisy, Heid… kenapa kau gatal-gatal nak buatkan air untuk pekerja kau ni? Kenapa concern sangat? Rungut Heidry dalam hati.
Sedang Heidry teragak-agak apa yang perlu dia lakukan, Farha mula menyedari kehadiran lelaki itu dari ekor mata. Pantas jari-jemarinya naik ke pipi, menyeka air mata. Tekaknya yang terasa kesat dibersihkan. Riak wajahnya cuba dikawal. Cuba pamerkan riak wajah yang kosong dan bersahaja sebelum dia menoleh ke arah Heidry dan menegur lelaki itu.
Hi. Morning…,” sapa Farha, tanpa memandang tepat ke anak mata Heidry.
Hi…,” balas Heidry. Menyambung semula langkahnya yang terhenti Kopi yang baru dibru diletakkan di hadapan Farha.
“Untuk awak,” kata lelaki itu. Ringkas.
Farha kembali menoleh ke arah Heidry.
“Terima kasih.”
Heidry senyum segaris.
“Boleh saya join awak?”
Farha hanya mengangguk. Anggukkan yang kelihatan separuh rela.
Heidry terus jatuhkan duduk di sebelah Farha bersama kopinya. Buat seketika, dia memilih untuk mendiamkan diri. Sekadar menikmati air kopinya. Disisip sedikit demi sedikit. Matanya mula memerhati satu per satu foto polaroid yang tertampal di dinding.
Farha kembali hanyut dalam lautan memori. Kembali mengelamun. Kopi yang Heidry berikan kepadanya tidak disentuh. Sama seperti kek di depannya. Sesekali kelihatan gadis itu mengetap bibirnya, seakan sedang menahan tangisan.
“Kenapa awak tak makan kek tu?” soal Heidry, meruntuhkan tembok kesepian.
Farha tersentak. Terkejut apabila tiba-tiba lelaki disebelahnya melontarkan soalan. Lambat-lambat dia menggelengkan kepalanya.
Kening Heidry ternaik sedikit. Kurang faham maksud gelenggan Farha.
“Kenapa awak geleng? Awak tak nak makan kek tu?”
Hanya bunyi ‘hmm’ yang keluar dari bibir Farha. Mata gadis itu masih tegak memandang dinding. Sedikit pun tidak menoleh ke arahnya.
Baru Heidry ingin menyoal lebih lanjut, Farha sudah bersuara.
“Itu kek birthday saya.”
Dan juga adik saya, sambung gadis itu dalam hati. Mindanya menerawang teringatkan kembarnya yang sudah pergi menghadap Ilahi lima tahun yang lalu.
Iya. Hari ini merupakan ulang tahun kelahirannya dan juga kembarnya, Farha Aleeya yang lahir lima minit lewat daripada dia. Dan kek Chocolate Fudge di depannya merupakan kek kegemaran kembarnya.
Insiden malam tadi di antara dia dan Puan Salwa, ditambah pula dengan hari ulang tahun kelahiran dia dan Yaya membuatkan emosi Farha kurang stabil. Dihimpit dengan satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan.
“Oh! Hari ni birthday awak?”
Farha mengangguk.
“Happy birthday!”
 “Terima kasih.”
Senyuman tersungging di bibir Farha. Sedikit tawar. Wajah gadis itu masih tampak redup. Tidak terlihat riak ceria di wajah itu.
Bukankah sepatutnya dia gembira bila crush sendiri ucap happy birthday? Tapi… entahlah. Sekarang ni otak Farha tak boleh nak fikir apa-apa. Sudah tenggelam dalam lautan emosi.
“Tapi kenapa awak nampak macam tak happy? Ada masalah ke?”
Sepi. Tiada jawapan.
Sorry kalau saya tanya soalan yang terlalu personal.”
Sepi lagi.
Heidry mula rasa kekok. Terasa kehadirannya di situ seakan menganggu. Terus lelaki itu bangkit.
“Saya naik atas dulu. Kalau awak rasa tak sihat, awak ambillah cuti.”
Usai menghabiskan bicaranya, Heidry mengorak langkah pergi. Meninggalkan Farha. Memberi ruang kepada gadis itu yang barangkali ingin bersendirian.



NAURA muncul lagi di Sunshine Café. Bertemu dengan Heidry. Tapi kali ini dia ajak Heidry berbual di bawah dengan alasan dia nak minum Hazelnut Chocolate kegemarannya. Padahal dia tak nak berbual dekat ofis.
Takut kejadian seperti semalam berulang. Takut mood Heidry tiba-tiba berubah dan dia ditengking lagi. Sekurang-kurangnya kalau kat bawah ni, amarah lelaki itu terkawal sedikit. Takkan Heidry nak marah dia depan pelanggan kafe dan juga depan pekerja kan?
Mereka duduk di satu meja yang agak tersorok. Duduk bertentangan tanpa sepatah bicara. Diam membisu untuk satu tempoh yang agak lama. Bibir masing-masing tertutup rapat. Tiada tanda-tanda untuk memulakan perbualan.
“You datang sini untuk pandang I aje ke?”
Akhirnya, Heidry buka mulut. Tak sanggup terkurung dalam suasana sepi antara mereka. Marah pada Naura pasal kejadian semalam masih bersisa.
Dengan selamba, Naura menganggukkan kepala.
“Tapi I tak nak pandang you.”
“Tipu! Macam I tak nampak you curi-curi pandang I tadi.”
Bicara Naura masih lagi bersahaja.
“You tak kerja ke?” tanya Heidry dengan nada yang malas nak layan Naura.
Tapi… malas-malas pun, dia tetap tak rasa nak blah dari situ. Masih setia duduk depan Naura, melayan gadis itu. Entahlah… Susah Heidry nak cakap. Waktu macam ni, dia setuju dengan equation I hate you = I love you. Meskipun dia benci dengan kehadiran Naura di kafe ini, tetapi dia tak boleh tipu perasaan dia sendiri. Jauh di sudut hati, ada perasaan suka bila wajah itu berada di depan mata.
Susah nak buang perasaan cinta pada first love kita kan?
Iya. Naura cinta pertama Heidry. Tapi dia tahu dia bukan cinta pertama Naura.
Sedih. Sadis.
Dia cintakan Naura. Naura cintakan Hilman. Dan Hilman... cintakan orang lain. Bukan Naura. Cuma lepas apa yang jadi lima tahun lepas, Naura seolah-olah percaya yang Hilman akan jadi miliknya.
“Kerja,” balas Naura ringkas.
Then, apa yang you buat kat sini? Kat ofis tu dah tak ada kerja ke sampai you ada masa nak datang sini hari-hari?”
“Eh, you tak tahu ke? Sekarang I ada skop kerja baru tau.”
Naura lempar senyum yang paling manis buat Heidry.
“Iaitu… jaga you.”
Mata Heidry merenung anak mata Naura. Tajam.
“Kalau you nak jaga I, you kena jaga I betul-betul.”
“Apa maksud you?”
“You buat-buat tak tahu atau you memang tak tahu?” soal Heidry, kedengaran seperti mencabar.
Naura berdeham. Pandangan matanya dilarikan ke tempat lain.
“Oh well, I datang ni sebab nak bagi kunci kereta ni dekat you. Don’t worry. Ini bukan kereta lama you. Tapi kereta lama daddy you yang dia jarang pakai. Buat masa ni, you pakailah kereta ni.”
Heidry menyeringai. Sinis.
“Hmm… tukar topik. Ini ajelah yang you tahu buat.”
No, I’m not,” nafi Naura dengan wajah naifnya.
“I tak akan ambil kereta ni,” kata Heidry seraya menolak kunci kereta yang diletakkan di depannya.
“Dan I tak akan ambil kad kredit ni,” sambung lelaki itu, mengeluarkan kad kredit yang Naura tinggalkan di atas mejanya dari dompet dan diletakkan di hadapan Naura, bersama-sama kunci kereta.
Naura hela nafas berat. Tangan sudah silang dada.
“Kenapa you tak nak terima kereta dan kad kredit tu? Sebab daddy you yang bagi? You jangan ego sangat boleh tak?”
Riak wajah Heidry terus berubah. Berdesing telinganya mendengar bicara terakhir Naura.
I know about your financial Heid. I tahu you perlukan kereta. Dan I tahu you perlukan kad tu. Kalau you tak nak guna untuk tujuan personal, at least you boleh gunakan untuk Sunshine. I dengar you nak make over Sunshine.”
Heidry ketap bibir. Egonya tercalar. Naura cukup selamba memperlekehkannya.
“I tak ego, Naura.” tegas Heidry. Keras.
“Kalau bukan ego, apa namanya? Macamlah I tak tahu yang you selama ni tak nak sentuh duit daddy you. Sanggup bersusah, pinjam duit orang daripada guna duit daddy you. Itu daddy you lah, Heid. Bukan orang lain.”
Heidry diam. Malas nak bertekak dengan Naura pasal isu lapuk. Isu yang sudah bertahun-tahun dipertikaikan oleh Naura.
“Okey. Kalau you tak nak kereta dan kad kredit ni, I akan bagi pada daddy you semula. Apa-apa hal, you cakap sendiri dengan daddy you.”
Heidry masih diam. Memandang sepi ke arah Naura.
“Oh lagi satu…  Malam ni kita ada family gathering. Daddy you suruh invite you.”
“Kita?”
Naura angguk.
“Ya. Kita. You, I, Hilman, Auntie Widad dan daddy you.”
Heidry tergelak. Gelak yang jelas dibuat-buat dan kedengaran sinis.
“You tak habis-habis nak anggap diri you famili Dato Hamzah kan?”
Riak wajah Naura terus berubah. Barangkali terasa dengan gelak Heidry yang kedengaran cukup kejam.
“Heidry, I tahu you nak cakap apa. But stop it. I tak nak kita gaduh lagi. And I nak minta maaf pasal semalam.”
Buat beberapa saat, Heidry mendiamkan diri. Wajahnya tidak beriak. Kosong. Sukar untuk Naura tebak apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu.
Enjoy your dinner with your so called family,” ucap Heidry sebelum bangkit dari duduk dan mula melangkah pergi.
“Heidry, you akan pergi kan?”
Cepat-cepat Naura melontarkan soalan. Ingin dapatkan kepastian daripada Heidry walaupun dia tahu potensi untuk Heidry pergi sangatlah tipis.
Heidry menggelengkan kepalanya dan kembali mengatur langkah.
Naura hanya mampu memandang bersama perasaan hampa yang menghimpit jiwa. Entah bila Heidry akan berdamai dengan keluarganya. Dari dulu lelaki itu cukup dingin dengan Dato Hamzah. Apatah lagi Datin Widad, mama tiri lelaki itu.



MENJELANG PETANG, Farha kelihatan lebih tenang. Tidak terlalu beremosi seperti pagi tadi. Meskipun Heidry sudah memberikan dia lampu hijau untuk ambil cuti, Farha lebih rela menyibukkan dirinya dengan kerja daripada terperangkap dalam permainan jiwa yang cukup menyeksakan.
Ketukan di pintu dapur bakeri mengalihkan tumpuan Farha daripada menghias kek di depannya. Pandangan matanya terhala ke satu raut wajah yang sedang menghulurkan senyuman nipis kepadanya. Bibir gadis itu turut tersenyum, membalas senyuman yang diberikan.
“Hey… awak tengah buat apa?” soal Heidry santai. Sekadar bertanya untuk memulakan perbualan meskipun dia sudah tahu apa yang sedang gadis itu lakukan.
Deco kek.”
Heidry mengatur langkah menghampiri Farha. Matanya dilirikkan ke arah kek di atas kaunter kabinet. Mata lelaki itu kelihatan bersinar.
Victoria Sandwich Cake,” tutur lelaki itu perlahan.
Pandangan matanya dikalihkan ke arah Farha.
“Boleh saya makan sepotong?”
Farha sedikit terkejut mendengar pertanyaan Heidry. Pesanan Naura terngiang-ngiang di telinganya.
“Tak boleh ke?” soal Heidry bila Farha hanya diam.
“Eh, mestilah boleh. Awak duduklah kat depan. Nanti saya hantar,” balas Farha sedikit gugup. Tersentak.
“Tak payah hantar ke depan. Saya makan kat sini je,” kata Heidry.
Dengan cukup selamba, Heidry tarik kerusi yang berhampiran dan duduk di sebelah Farha.
“Oh… okey.”
Tangan Farha laju mencapai pisau dan memotong kek di depannya. Sepotong kek diletakkan di atas piring putih sebelum dihulurkan kepada Heidry.
“Awak tak nak makan sekali?” soal lelaki itu.
Farha sekadar menggeleng.
Heidry kembali menumpukan perhatian pada kek di depannya. Farha memerhatikan lelaki itu. Memandang Heidry menyua kek yang lelaki itu tidak mahu sentuh beberapa hari yang lalu. Tangkai hati gadis itu digaru-garu rasa pelik dan ingin tahu. Lagi bertambah pelik bila dia tengok Heidry betul-betul menikmati kek itu.
“Sedap. Pandai awak buat. Macam arwah mummy saya,” tutur Heidry seraya menoleh ke arah Farha yang sedari tadi merenungnya. Mata mereka berlaga.
Farha terkesima. Terkelu saat mata mereka berlaga. Terkelu mendengar kata-kata Heidry.
“Awak buat saya teringatkan arwah mummy saya,” tutur Heidry lagi dengan mata masih melekat ke mata Farha.
“Dan awak dah ubat kerinduan saya pada kek arwah mummy saya.”
Jeda.
“Terima kasih Farha.”
Bibir Farha tertutup rapat. Tidak mampu menuturkan sebarang bicara. Situasi ini membuatkan jiwanya mula berasa resah. Hatinya dihimpit dengan satu rasa yang sukar untuk ditafsirkan. Panahan mata Heidry membuatkan dadanya mula berdebar.
“Saya tak sangka saya dapat makan lagi Victoria Sandwich Cake sesedap Victoria Sandwich Cake mummy saya.”
Senyuman tersungging di bibir Heidry. Senyuman yang cukup manis. Dan senyuman itu menambahkan rasa yang aneh dalam diri gadis itu. Terasa seperti ada rama-rama yang berterbangan di perutnya.
Heidry pandang Farha. Lama. Lelaki itu kelihatan seperti risau.
Are you okay, Farha?” soal Heidry bila Farha diam sahaja dan memandangnya tanpa berkelip.
Farha tersentak. Cepat-cepat dia tundukkan pandangan.
“Saya okey.”
Bibir Heidry kembali tersenyum. Lelaki itu kelihatan gembira. Barangkali gembira dapat makan kek itu lagi.
“Awak nak balik awal ke hari ni?”
“Hah?”
Farha terpinga-pinga. Blur.
“Yelah… hari ni kan birthday awak. Awak mesti nak celebrate kan?”
Farha terdiam. Kembali menunduk. Bibir diketap perlahan.
“Saya tak celebrate birthday.”
“Oh… saya pun tak celebrate birthday.”
“Kenapa? Awak tak teringin ke nak celebrate macam orang lain? Tak jealous tengok orang celebrate birthday? Ada kek, ada hadiah…”
Gadis itu tidak mampu menahan diri daripada melontarkan soalan itu.
“Awak jealous ke?”
Heidry kembalikan soalan itu kepada Farha. Dan Farha mengangguk perlahan.
“Habis tu, kenapa awak tak celebrate?”
Sebab birthday saya sama dengan kembar saya, balas Farha sekadar di dalam hati.
Sejak Yaya pergi menghadap Ilahi, keluarga Farha tidak pernah meraikan hari jadinya. Ibu bapa Farha seolah-olah tidak mahu mengingati hari ulang tahun kelahiran Farha dan Yaya. Hanya adik lelakinya sahaja yang akan mengucapkan selamat hari jadi dan memberikan hadiah kepadanya. Itu pun secara curi-curi. Tidak mahu ibu bapa mereka tahu. 
Heidry tiba-tiba berdeham. Mematikan lamunan Farha.
Let’s celebrate your birthday,” tutur Heidry.
Mata Farha membulat. Terkejut dan terpinga-pinga. Heidry bangkit dan mula menggeledah laci kabinet seolah-olah mencari sesuatu. Senyuman terukir di bibir lelaki itu bila lelaki itu jumpa lilin dan pemetik api di laci kedua.
“Apa kek kegemaran awak?”
Pecan Butterscotch,” balas Farha di luar sedar.
Dengan cukup bersahaja, Heidry keluarkan Pecan Butterscotch dari peti sejuk. Beberapa batang lilin dicucuk di atas kek itu.
“Eh, itu kek customer.”
“Tak apa. Awak boleh buat yang baru. Ini kek birthday awak.”
Heidry bawa kek yang sudah dinyalakan lilin itu menghampiri Farha. Berdiri betul-betul di depan gadis itu. Matanya dihalakan tepat ke anak mata Farha. Dan bersama senyuman yang cukup manis, Heidry mula menyanyikan lagu Happy Birthday.
Farha tergamam. Kolam matanya mula terasa panas. Terharu. Terharu dengan apa yang lelaki di depannya sedang lakukan. Naluri perempuannya tersentuh.
“Selamat Hari Jadi Farha,” tutur Heidry setelah menamatkan nyanyiannya.
“Tiuplah lilin,” arah lelaki itu.
Farha teragak-agak. Sudah lama dia tidak meniup lilin birthday. Kepalanya didekatkan dengan kek yang berada di tangan Heidry. Dengan sekali tiupan, semua lilin terpadam. Senyuman terbentuk di bibirnya. Gadis itu kembali memandang Heidry.
Thanks Heid.”
Heidry terkesima. Hatinya dijentik dengan satu rasa yang aneh apabila gadis di depannya menyebut namanya dengan Heid sahaja. Gadis itu bukan orang pertama yang memanggilnya sebegitu tetapi entah kenapa hatinya berasa lain. Barangkali kerana ini kali pertama dia mendengar Farha memanggilnya Heid.
Thank you so much,” kata Farha lagi. Benar-benar terharu.
“Ada lagi satu yang tak cukup.”
“Hah?”
Heidry senyum. Kek diletakkan di atas kabinet. Tangan mula menyeluk poket seluar. Satu tin kecil berbentuk silinder dikeluarkan.
“Ini hadiah untuk awak.”
Mata Farha membesar.
“Awak sediakan hadiah untuk saya?”
“Hadiah kecil aje.”
Farha ambil tin kecil itu dari tangan Heidry.
“Boleh saya buka?”
Heidry angguk.
Penutup tin dibuka. Satu kertas kecil dikeluarkan dari tin itu dan dibuka. Satu lukisan wajahnya yang sedang termenung jauh pagi tadi terlakar di atas kertas itu. Dan di bawah lukisan itu tertulis, ‘Smile. You look gorgeous with a smile.’
Senyuman yang cukup manis terukir di bibir Farha sesudah gadis itu membaca pesanan Heidry.
See? Kan saya dah cakap… you look gorgeous with a smile,” kata Heidry. Bibir lelaki itu turut tersenyum.
Farha tergelak halus. Tercuit dengan hadiah daripada Heidry yang cukup istimewa buatnya.
Thank Heid.”
Sekali lagi Farha memanggil Heidry dengan Heid sahaja. Dan sekali lagi juga hati Heidry digaru satu rasa aneh.
Nice drawing. Saya suka. Pandai awak lukis.”
“Saya seorang pelukis,” kata Heidry.
Ya, saya tahu, kata Farha sekadar di dalam hati.
“Sama macam arwah mummy saya,” kata Heidry lagi.
“Saya akan simpan hadiah awak ni baik-baik. Mahal tau hadiah ni. Cukup mahal.”
Heidry tersipu malu.
Thanks buat saya happy hari ni.”
Thank juga buat saya happy dapat makan Victoria Sandwich Cake yang sama macam arwah mummy saya.”
Senyuman tersungging di bibir masing-masing.

1 comment:

elina said...

Seperti biasa best.. harap keluaran 2019