Wednesday, October 25, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 14


Tangan yang membelai lembut rambut Ara membuatkan gadis itu terjaga dari lena. Dahi gadis itu berkerut sedikit. Hati mula diserbu tanda tanya.
Siapa yang masuk ke dalam biliknya tengah malam macam ni? Setahu Ara, dia sudah mengunci pintu bilik sebelum tidur. Kalau pintu bilik sudah berkunci, tangan siapa pula yang sedang membelai rambutnya?
Takkan…
Ara menelan liur. Mindanya mula berfikiran yang bukan-bukan. Ada hantu ke kat rumah ni? Tapi selama ni dia tidur okey aje. Tak ada apa-apa gangguan. Kenapa malam ni ada yang menganggu?
Tidak semena-mena Ara teringatkan kata-kata yang pernah didengarnya satu ketika dahulu. Orang kata, roh orang mati berlegar-legar di rumah selama 40 hari selepas kematian. Benarkah? Adakah papa yang sedang membelainya ketika ini?
Terus Ara terasa seram. Gadis itu cuba mengusir pergi pemikiran negatifnya. Mana ada roh orang mati akan berlegar-legar di rumah selama 40 hari. Ini semua khurafat. Tiada dalil yang mengatakan sedemikian. Sekadar kepercayaan orang tua-tua zaman dulu dan kemudian menjadi kepercayaan turun-temurun sehingga dipercayai orang Islam. Sebab itu masih ada yang percaya akan hal itu.
“Ara…”
Argh, sudah…. Dia bersuara pula. Ara dalam dilema. Tak tahu sama ada nak pusingkan badan atau terus mengiring kaku. Terus berpura-pura tidur.
Eh, tapi kenapa aku macam pernah dengar suara tu? Bukan suara mama ke? Detik hati Ara.
“Maafkan mama, sayang.”
Ara terkesima. Ya, itu memang suara mama. Tapi apa yang mama buat kat dalam bilik aku? Kenapa nada suara mama kedengaran lain daripada biasa? Sayang? Sejak bila pula mama panggil aku sayang? Dan kenapa mama minta maaf?
Bertalu-talu soalan yang menerjah ruang minda Ara. Bertimpa-timpa rasa pelik di hati gadis itu. Pelik dengan situasi yang dialaminya.
 “Mama tahu mama dah gagal untuk jadi mama yang baik buat Ara. Mama dah gagal untuk jadi isteri yang baik untuk papa. Mama tahu mama dah abaikan keluarga kita. Maafkan mama, sayang. Maafkan mama.”
Dahi Ara dikucup lembut. Penuh kasih sayang.
Ara terus celikkan mata. Kepala ditoleh ke belakang. Namun, gadis itu terkejut apabila tiada siapa-siapa di belakangnya. Mata melingas memandang sekeliling. Kosong. Tiada siapa-siapa di biliknya. Pintu bilik pun tertutup rapat.
Keluhan terlepas dari bibir Ara. Adakah aku bermimpi? Tapi kenapa aku tak rasa aku bermimpi?
Jari-jemari terus melekap ke dahi yang baru sahaja dikucup. Hangat kucupan itu masih terasa. Benarkah dia bermimpi?
Ara duduk memeluk lutut. Bibir diketap. Matanya merenung kosong ke satu arah.
Sudah seminggu Encik Yusof pergi meninggalkannya. Sudah seminggu juga Ara mengurung diri di dalam bilik. Tidak keluar ke mana-mana. Mengunci diri di dalam dunia ciptaannya yang penuh dengan derita dan kesedihan.
Pemergian mengejut Encik Yusof memberi tamparan yang cukup besar buat Ara. Tiada siapa yang berjaya memulihkan semangatnya. Tiada siapa yang berjaya mengurangkan kesedihannya. Tiada siapa yang berjaya memujuknya.
Tiada. Siapa.
Walau Huzair sekali pun.
Tengah hari itu, Dee datang melawat Ara. Cuba memujuk gadis itu lagi. Tidak sanggup membiarkan Ara berterusan begitu. Dia mahukan Ara yang dulu. Ara yang ceria. Ara yang nakal. Dia rindukan kawan baiknya.
Seperti biasa, Ara hanya mendiamkan diri setiap kali ada yang datang melawatnya. Gadis itu berdiri di tepi jendela. Merenung pemandangan di luar tanpa sebarang perasaan. Dibiarkan sahaja Dee berbicara seorang diri daripada tadi.
Dee menghela nafas berat. Ara dihampiri.
“Sampai bila kau nak macam ni, Ara? Dah lama kau tak pergi kelas. Kau nak repeat semester ke?”
“Semua orang dah rindukan kau Ara. Semua orang tanya pasal kau. Bila kau nak masuk kelas semula? Banyak topik yang kau dah tertinggal…,” kata Dee, mengambil berat soal pelajaran Ara.
“Aku tahu kau sedih. Siapa yang tak sedih bila kita kehilangan orang yang kita sayang? Tapi bukan macam ni caranya…”
“Habis tu, macam mana Dee?” soal Ara.
Dee tersentak. Matanya terus dihalakan ke wajah Ara. Tidak sangka Ara akan bersuara. Selama ni, dia bercakap seorang diri sahaja.
“Err…”
Dee kehilangan rentak untuk berbicara. Terkejut bila Ara tiba-tiba beri respons.  Kepalanya digaru-garu.
“Cuba kau beritahu aku macam mana aku nak hilangkan rasa sedih, rasa sakit dalam hati aku ni Dee?”
Dee pandang Ara. Kali ni, wajah Dee nampak lebih tenang. Senyuman terukir di bibir gadis itu.
“Berdoa pada Allah, Ara. Kau adu segala-galanya pada Dia. Kau adu rasa sakit kau, rasa sedih kau, pada DIA.”
Ara diam. Lama.
Dee meneruskan bicara.
“Kau boleh menangis sepuas hati kau Ara. Kau boleh menangis sebab kehilangan papa kau. Aku pun menangis masa ayah aku meninggal. Aku pun sedih. Aku faham perasaan kau. Aku dah rasa apa yang kau rasa. Tapi… kau kena terima takdir Allah. Kau kena relakan pemergian papa kau. Kau kena reda dengan ketentuan Ilahi,” nasihat Dee.
Ara hela nafas perlahan.
“Aku reda, Dee. Tapi aku terkilan. Terkilan dengan hidup papa aku. Terkilan sebab tak sempat nak buat apa-apa untuk dia.”
“Sekarang pun kau boleh buat sesuatu untuk dia, Ara. Kau boleh berdoa untuk dia, memohon keampunan untuk dia…. Jangan putus berdoa untuk papa kau. Doakan kesejahteraan papa kau kat sana. Macam-macam lagi kau boleh buat Ara. Amal kita tak akan pernah putus untuk kedua-dua ibu bapa kita walaupun dia orang dah tak ada.”
Sepi buat seketika. Ara kembali termenung. Lama kemudian, dia kembali bersuara.
“Aku nak cari isteri dengan anak tiri papa aku.”
Kening Dee ternaik.
“Kau nak buat apa?”
“Aku nak tanya dia orang, kenapa dia orang abaikan papa aku,” jelas Ara.
Ya, Ara inginkan jawapan. Dia ingin tahu kenapa papanya dibiarkan menjadi gelandangan.
Dee mengetap bibir. Perlahan-lahan gadis itu menuturkan kata.
“Kau tak akan dapat cari dia orang,” tutur Dee. Perlahan.
“Apa maksud kau?”
Dee menarik nafas dalam lalu dihela perlahan-lahan.
“Isteri dengan anak tiri papa kau dah lama tak ada. Terperangkap dalam kebakaran kat rumah mereka beberapa tahun yang lepas,” kata Dee dengan nada yang sama.
“Macam mana kau tahu?”
“Ada seorang pak cik ni cerita kat aku masa aku agihkan makanan semalam. Papa kau pernah cerita dekat dia. Masa kebakaran tu berlaku, papa kau tak ada kat rumah. Sebab tu dia selamat,” cerita Dee.
Ara terdiam seketika.
“Pak cik tu ada cerita apa-apa lagi kat kau?”
Dee menggelengkan kepalanya.
“Kenapa papa aku tak pernah cari aku?”
Dee hanya memandang Ara. Bibir tertutup rapat. Dia tidak ada jawapan untuk soalan gadis itu.
“Esok kau pergi kelas kan?” tanya Dee bila dia lihat Ara sudah okey sedikit.
Ara pandang Dee. Kepala digeleng perlahan.
“Aku tak tahu lagi…”
“Alah, janganlah macam tu. Kau tak rindukan kita orang ke?”
Ara mengayunkan langkah ke sofa. Punggung dihempaskan.
“Rindulah juga. Sikit.”
Dee tersenyum. Gadis itu turut menghempaskan punggungnya. Duduk di birai katil, menghadap Ara.
“Pergi kelas ya esok…,” pujuk Dee lagi.
“Tengok mood aku dulu. Kalau aku rasa aku dah okey, aku pergi.”
“Ya Allah ya Tuhanku, harap-haraplah esok pagi mood Ara okey. Amin,” doa Dee kuat-kuat. Sengaja nak bagi Ara dengar.
Ara hanya tersenyum melihat telatah kawan baiknya.
“Oh, by the way, tadi aku terserempak dengan abang kau. Muka dia serius giler. Takut aku nak tegur. Kau gaduh dengan dia ke?” tanya Dee.
Ara menggelengkan kepalanya. Tak ada pula dia bergaduh dengan Eiyad. Dia pun sudah lama tidak nampak lelaki itu.
Sejak peristiwa di hospital, Eiyad seolah-olah menjauhkan diri daripadanya. Barangkali terasa dengan kata-kata Ara. Ara tak ambil kesah pun. Kalau Eiyad nak terasa, biarlah. Memang betul apa yang dia kata. Semuanya berpunca daripada lelaki itu.
Hubungan Ara dengan Puan Yasmeen pula sama macam dulu. Cuma makin dingin. Tiba-tiba Ara teringatkan mimpinya pagi tadi. Kenapa dia bermimpikan wanita itu?


RAMBUT yang basah dikeringkan dengan tuala kecil. Langkah diatur menuju ke meja solek. Gadis itu merenung wajahnya di cermin. Wajah yang tampak lesu. Tampak tidak bermaya. Sebuah keluhan kecil terlepas dari bibir.
Apa yang Dee katakan tengah hari tadi, ada benarnya. Sampai bila dia ingin begini? Sampai bila dia ingin bersedih? Yang pergi, tetap akan pergi. Dan yang masih hidup, perlu meneruskan kehidupan di muka bumi ini.
Ara sedar sudah terlalu lama dia memencilkan diri dari dunia luar. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia menjalani kehidupan seperti dulu.
Bunyi notifikasi menyedarkan Ara ke dunia nyata. iPhone dicapai. WhatsApp daripada Huzair dibuka. Mata Ara mula membaca ayat yang tercatat pada gambar yang dihantar oleh lelaki itu.

Tidak ada beban yang berat, jika Allah menghendaki beban berat anda menjadi ringan.
Tidak ada penderitaan, jika Allah menghendaki menjadi kebahagiaan.

Senyuman nipis terukir di bibir Ara. Huzair tidak putus-putus menghantar mesej berbentuk nasihat kepadanya. Dia tahu lelaki itu sudah menemui jalan buntu untuk memujuk hatinya.
Jari-jemari Ara mula menekan-nekan papan kekunci di skrin telefon. Ingin membalas WhatsApp daripada Huzair yang sudah berhari-hari dibiarkan sepi.
Thanks Huzair…
Itu sahaja yang Ara hantar pada Huzair. Cukup sekadar itu. Lagipun dia tak tahu nak taip apa lagi. Cukuplah Huzair tahu yang Ara hargai usaha lelaki itu.
Bunyi ketukan di pintu bilik mengalihkan tumpuan Ara. Lambat-lambat dia atur langkah ke pintu. Pasti Cik Ina yang mengetuk pintu biliknya, ingin mengajak dia makan malam seperti hari-hari sebelum ini. Fikir gadis itu.
 Namun, sangkaan Ara meleset. Wajah Eiyad yang menyapa pandangannya sebaik sahaja pintu bilik dibuka. Renungan tajam Eiyad membuatkan Ara berasa kurang selesa. Liur ditelan, membasahkan tekak yang terasa kering.
Dengan cukup bersahaja, Eiyad menolak pintu bilik Ara yang dibuka separuh sebelum melangkah masuk ke dalam bilik gadis itu.
Ara tergamam. Langkah Eiyad diekori dengan pandangan mata. Raut wajah gadis itu jelas menunjukkan dia kurang senang dengan perbuatan bersahaja Eiyad. 
What are you trying to do?” soal Ara apabila Eiyad membuka pintu almari pakaiannya.
Ara sudah memeluk tubuh. Gaya macam tak puas hati bila Eiyad dengan selamba membuka almarinya.
Eiyad masih mendiamkan diri. Almari pakaian Ara digeledah. Matanya ligat mencari pakaian yang sesuai untuk dipakai gadis itu. Sepasang seluar panjang berwarna kelabu dan juga sweat shirt Adidas berwarna hitam dicapai lalu diserahkan kepada Ara.
Change your clothes,” arah Eiyad dengan nada yang tegas.
“Untuk apa?” tanya Ara. Masih memeluk tubuh. Huluran Eiyad tidak dipedulikan.
“Kau kena ikut aku.”
No! Aku tak perlu ikut kau.”
Eiyad pandang Ara. Tajam. Penuh dengan makna tersirat.
“Kau akan menyesal kalau kau tak dengar cakap aku.”
No, I won’t.”
Eiyad lepas nafas berat.
“Boleh tak kalau kau dengar aje cakap aku?”
“Kenapa pula aku kena dengar cakap kau?”
Soalan berbalas soalan. Mereka kembali seperti dulu. Bertelingkah tidak sudah. Eiyad dengan perangai dominan dia. Ara pula dengan perangai keras kepala dia. Masing-masing tidak mahu mengalah. Tidak mahu berlembut.
“Sekarang ni, aku bagi kau dua pilihan. A, kau tukar baju sendiri. B, aku tukarkan untuk kau. Mana satu yang kau nak?”
I won’t change my clothes.”
Eiyad tegas. Ara pun tegas. Mana mungkin Ara tunduk patuh pada Eiyad.
“Jangan sampai aku tukarkan baju untuk kau, Ara.”
Nada suara Eiyad semakin keras.
“Cubalah kalau berani,” kata Ara, seolah-olah mencabar Eiyad.
Pandangan mata Eiyad ditumpukan ke arah Ara. Gadis itu pamerkan riak wajah berani. Kening dijungkit-jungkitkan. Masih ingin mencabar Eiyad.
Eiyad mendengus kasar. Dia pantang dicabar. Ara terus didekati. Tangan sudah bersedia untuk membuka baju gadis itu.
“Hey, tak malu ke? Pervert!”
Ara terus jauhkan diri daripada Eiyad. Cuak pula gadis itu. Mujur dia cepat mempertahankan dirinya.
Senyuman sinis tersungging di bibir Eiyad.
“Kau yang cabar aku.”
“Keluar dari bilik aku,” halau Ara.
“Sekarang!”
Baju dan seluar yang masih berada di tangan Eiyad, dicampakkan ke atas katil Ara.
“Aku bagi kau masa lima minit untuk kau tukar pakaian kau,” kata Eiyad sebelum melangkah keluar dari bilik Ara. Pintu bilik Ara ditutup.
Ara bengang. Keamanannya diragut dalam sekelip mata. Dia baru sahaja nak pulihkan semangatnya yang sudah lama hilang. Kenapa Eiyad perlu menganggunya lagi? Apa yang lelaki itu nak? Tak puas ke dia seksa Ara selama ni?
“Masa berjalan, Ara,” jerit Eiyad di balik pintu. Mengingatkan gadis itu.
“Kalau kau tak tukar baju lagi, aku akan tukarkan untuk kau.”
Ara mendengus kasar. Pintu bilik dijeling kasar, seolah-olah menjeling Eiyad.
“Suka sangat nak paksa-paksa orang,” omel Ara.
Dalam tak puas hati tu, Ara tukar juga pakaiannya. Terpaksa menurut arahan Eiyad. Selalunya macam tulah. Ara akan tewas dengan ketegasan lelaki itu. Tapi pernah juga Eiyad kalah dengan kedegilannya.
Ara melangkah ke meja solek. Wajahnya dimekap ringkas. Tiada mood untuk mekap beria-ia. Lagipun, dia tak tahu ke mana Eiyad nak bawa dia. 
Dalam kereta, Ara diam sahaja. Tidak bersuara. Masih bengang dengan Eiyad. Masih tak puas hati dengan lelaki itu.
Eiyad turut mendiamkan diri. Fokus pada pemanduan kononnya. Padahal fikiran sudah melayang memikirkan sesuatu. Sedikit pun dia tidak ambil peduli wajah masam Ara di sebelahnya.





No comments: