Wednesday, October 11, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 12


Pagi itu, Ara berpakaian formal untuk ke kelas memandangkan dia ada presentation. Rambut disanggul kemas. Perlahan-lahan, gadis itu mengatur langkah keluar dari bilik. Mata diliarkan memandang sekeliling. Mencari Eiyad. Dia perlu berterima kasih kepada lelaki itu.
Mengucapkan terima kasih kepada Eiyad merupakan sesuatu yang amat jarang Ara lakukan. Oh, bukan jarang. Tapi tak pernah. Cuma ada sekali sahaja gadis itu meringankan mulut untuk mengucapkan terima kasih. Itu pun sebab Eiyad hadiahkan kasut yang sudah lama menjadi idaman Ara.
Namun, mengenangkan apa yang Eiyad telah lakukan kepadanya beberapa hari ini, Ara jadi tidak sedap hati jika dia tidak berterima kasih kepada lelaki itu. Dia rasa terhutang budi pada Eiyad.
“Ara cari apa?” tanya Puan Yasmeen apabila melihat anak daranya tertinjau-tinjau mencari sesuatu.
Ara tersentak. Spontan, kepala ditoleh ke arah Puan Yasmeen yang muncul entah dari mana. Lambat-lambat Ara gelengkan kepala.
“Tak ada apa-apa.”
“Ha, baguslah Ara dah turun. Jom breakfast sekali. Hari ni mama Ara yang masak tau,” kata Cik Ina yang baru keluar dari ruang dapur. Ceria suara wanita itu.
Mama masak? Macam tak percaya aje.
Pandangan mata Ara dihalakan ke arah Puan Yasmeen semula. Terdetik rasa pelik di hati Ara apabila melihat Puan Yasmeen berpakaian kasual. Mamanya tak kerja ke hari ni?
Persoalan yang mengetuk mindanya, didiamkan sahaja. Tidak dilontarkan. Ara memang begitu. Tak suka bertanya apa-apa mengenai Puan Yasmeen. Dia lebih suka buat andaian sendiri. Sebab itulah dia tak tahu yang Puan Yasmeen sudah lama tidak masuk ofis.
Puan Yasmeen dan Cik Ina sudah duduk di meja makan. Ara sahaja yang masih berdiri macam patung.
“Apa yang Ara tunggu lagi? Jomlah… Cik Ina dah terliur nak makan nasi lemak mama Ara ni,” tutur Cik Ina.
Ara mula mengatur langkah ke meja makan. Duduk di tempat biasanya.
“Err… Yad tak makan sekali ke?” tanya Ara.
Sekali lagi Ara berasa pelik. Tambah-tambah lagi bila Cik Ina duduk di tempat yang biasa Eiyad duduk.
“Yad dah pergi kerja…,” kata Puan Yasmeen. Menjawab soalan Ara.
Ara tersentak.
“Tapi kereta dia ada aje kat luar…”
Assistant Yad datang ambil dia tadi. Yad ada meeting dekat Taiping. Itu yang dia keluar awal. Lepas balik dari surau, dia terus bersiap-siap nak pergi sana,” jelas Cik Ina.
Ara diam. Tidak berkata apa-apa lagi. Minda menerawang teringatkan Eiyad. Fahamlah Ara kenapa Eiyad berjaga malam tadi.
“Nasib baik Zahid yang drive. Boleh juga Yad tidur. Dia tidur satu jam aje semalam,” kata Cik Ina lagi.
 “Patutlah Meen tengok muka dia tak bermaya aje. Dia buat apa malam tadi? Setahu Meen, kertas kerja yang dia kena bentangkan tak banyak sangat.”
Ara menelan liur. Wajah ditundukkan. Hanya dia sahaja yang tahu apa yang Eiyad buat malam tadi. Rasa bersalah mula terbit di hati gadis itu.
Tapi aku tak suruh pun Yad buatkan kerja aku, kata Ara dalam hati. Cuba mengusir rasa bersalah.
Usai bersarapan, Ara membawa diri ke ruang tamu. Jam baru sahaja menunjukkan pukul lapan pagi. Masih terlalu awal dia nak ke kelas. Gadis itu sengaja bersiap awal. Konon nak jumpa Eiyad sebelum Eiyad pergi kerja. Tapi hampa. Eiyad keluar awal pula hari ni.
Skrin iPhone direnung lama. Gadis itu sedang berkira-kira dalam hati sama ada ingin menghantar mesej kepada Eiyad ataupun tidak. Bibirnya digigit-gigit. Lama sungguh Ara nak buat keputusan. Seolah-olah nak buat keputusan antara hidup dengan mati. Padahal nak mesej Eiyad aje.
Ara, Ara… tak tahulah nak kata gadis itu ego ke apa? Mungkin sebab dia jarang berbuat baik dengan Eiyad. Itu yang bila nak mesej Eiyad untuk ucapkan terima kasih, gadis itu rasa kekok. Rasa canggung. Rasa janggal.
Jari-jemari Ara mula menekan-nekan papan kekunci.


Thanks Yad…


Itu sahaja yang gadis itu taip.
Ceh! Fikir punyalah lama tapi itu aje yang dia taip?
Ara merenung skrin telefon. Mesej yang dia taip sebentar tadi belum lagi dihantar. Gadis itu masih teragak-agak. Ada satu lagi perkara yang bermain di mindanya.
Masa terus berlalu dan akhirnya gadis itu menaip lagi.


I owe you.
Let me treat you dinner tonight.  

WhatsApp berjaya dihantar kepada Eiyad.
Jangan terkejut. Ara tak salah taip. Memang dia nak belanja Eiyad makan malam. Itu aje yang dia boleh fikir untuk balas segala apa yang Eiyad dah buat untuknya. Itu sahaja yang dia boleh fikir untuk tunjukkan rasa berterima kasihnya kepada lelaki itu.
Ara menyandarkan tubuhnya ke belakang. iPhone dicampak tepi. Nafas dihela sedikit kuat. Macam tak percaya aje dia nak belanja Eiyad makan malam. Kalau Ara sendiri rasa tak percaya, agak-agak apa reaksi Eiyad bila baca WhatsApp Ara? Terkejut? Atau gembira? Atau tak ada perasaan?


EIYAD mengeluarkan telefon pintarnya sewaktu terdengar nada notifikasi. Matanya sedikit membesar saat melihat nama Ara yang tertera pada kiriman WhatsApp yang diterima.


Thanks Yad…
I owe you.
Let me treat you dinner tonight. 

Perlahan-lahan bibir Eiyad membentuk senyuman. Hati lelaki itu berasa senang dengan ajakkan Ara.
Fikiran Eiyad mula melayang teringatkan peristiwa awal pagi tadi. Saat itu, jam menunjukkan pukul 3.20 pagi. Dia ingin mengejutkan Ara seperti yang diminta oleh gadis itu. Namun, melihat Ara yang kelihatan lena tidur beralaskan lengan di atas meja, Eiyad jadi tak sampai hati nak kejut.
Gadis itu didekati perlahan-lahan. Kertas soalan di tepi komputer riba dicapai dan dibaca. Memandangkan kerja Eiyad sudah selesai, Eiyad memutuskan untuk menyiapkan tugasan gadis itu. Lagipun topik soalan Ara itu tidak asing buatnya.
“Amboi, bos… Pagi-pagi awek dah mesej. Wish good morning ke tu?”
Zahid yang sedang memandu, mengusik nakal.
Eiyad tergelak kecil.
“Bukan aweklah.”
“Habis tu siapa?”
“Ara.”
“Ara? Oh… anak Puan Yasmeen. Eh, kalau anak Puan Yasmeen, maknanya adik bos lah,” kata Zahid sebelum menghamburkan tawa.
Terukir senyuman di bibir Eiyad.
“Saya tak pernah nampak adik bos tu. Cantik tak dia?”
Eiyad berfikir seketika sebelum menganggukan kepalanya. Mengakui kecantikan Ara.
“Dah berpunya ke?” tanya Zahid, cuba masuk jarum. 
Eiyad kerling Zahid yang sedang tayang sengih.
“Kau nak cuba masuk line ke?”
Sengih Zahid makin melebar.
“Kalau dia belum berpunya, apa salahnya. Saya pun single lagi ni.”
Eiyad koyak senyum.
“Lupakan ajelah angan-angan kau tu. Dia dah ada boyfriend.”
“Oh ye ke? Melepaslah saya. Baru berangan nak jadi adik ipar bos,” seloroh Zahid.
“Macam-macamlah kau ni.”


LEGANYA hati Ara setelah selesai membuat pembentangan di hadapan kelas. Professor Zureen pun tak tanya banyak soalan seolah-olah berpuas hati dengan pembentangannya. Mujur Eiyad ada betulkan jawapan Ara.
Great presentation,” puji Dee sebaik sahaja Ara duduk di tempatnya.
Ara senyum senang.
“Sempat pula kau siapkan dalam satu malam. Pukul berapa kau tidur?” tanya Dee.
“Ada pari-pari ajaib tolong aku semalam,” kata Ara. Perlahan. Tidak mahu menganggu pelajar yang sedang membuat pembentangan di depan.
Dee kerut dahi. Didekatkan tubuhnya pada Ara. Ingin meminta penjelasan.
“Kau pernah dengar tak cerita dongeng pasal pembuat kasut dengan pari-pari ajaib?” soal Ara. Masih dengan nada yang sama.
Dee angguk.
“Kisah aku macam tulah,” kata Ara. Bersahaja. Senyuman tertampal di bibir.
“Jap. Aku tak faham,” ucap Dee. Blur.
Ara pandang Dee.
“Aku tidur sekejap masa tengah nak siapkan slide presentation ni. Tapi… tidur sekejap aku tu rupa-rupanya sampai ke Subuh. Dan bila aku bangun, slide aku dah siap. Like… siap sepenuhnya. Tak perlu ditambah atau diubah apa-apa lagi. Semuanya dah perfect.”
Dee terlopong.
“Serius? Pari-pari ajaib mana yang tolong kau ni?” tanya Dee dengan nada yang agak kuat.
Suara Dee menarik perhatian semua orang. Semua mata terhala ke arah Dee termasuk Professor Zureen. Terus Dee tundukkan kepalanya.
If you want to talk about fairy tales, please leave my class,” tegur Professor Zureen. Garang.
Dee diam. Tidak berani nak pandang Professor Zureen. Segan. Segan dan takut nak pandang wajah pensyarah yang terkenal dengan sikap tegas dan garangnya.
Ara menutup mulut. Menahan diri daripada mentertawakan Dee yang kena tegur dengan Professor Zureen.
Kelas berjalan seperti biasa. Ara cuba memberikan tumpuan. Namun, fikirannya menerawang mengingatkan kejadian-kejadian yang menimpanya baru-baru ini. Macam-macam benda bermain di fikiran Ara. Sekejap terfikirkan Eiyad, sekejap terfikirkan Encik Yusof dan kini dia sedang memikirkan hal Wawa.
Kata-kata Wawa sewaktu mereka di kelab malam berlegar-legar di kotak fikiran saat matanya terpandangkan gadis itu di sudut hujung kelas.
Ara melepaskan keluhan kecil di dalam hati. Benarlah kata orang… kalau kita rasa diri kita dah susah, ada orang yang lagi susah daripada kita. Jika nak dibandingkan masalah Ara dan masalah Wawa, Ara tahu masalah Wawa lebih berat daripadanya. Jauh lebih berat.
Sebaik sahaja kelas tamat, Ara terus mendekati Wawa. Namun, gadis itu cepat-cepat keluar kelas bila nampak Ara sedang menghampirinya.
“Wawa…”
Panggilan Ara tidak diendahkan. Wawa terus melangkah tanpa menoleh ke belakang. Ara terpinga-pinga. Kenapa Wawa seolah-olah ingin mengelak daripadanya? Masa Ara sedang buat pembetangan di depan pun, Wawa tak pandang dia.
Irfan menghampiri Ara. Bahu gadis itu ditepuk-tepuk perlahan.
“Biarkan dia. Dia malu dengan kau,” kata Irfan.
“Tapi kenapa?”
“Tak ada siapa tahu pasal hal tu selain aku. Dia memang tak nak orang lain tahu. Tapi malam tu, dia terberitahu kau. Dan sekarang ni dia menyesal. Dia malu nak jumpa kau.”
Ara menghela nafas berat. Dia faham perasaan Wawa. Dia juga tidak suka bercerita tentang hal keluarganya pada orang lain selain Huzair.
“Takkan sampai bila-bila dia nak ignore aku? Tak bestlah macam ni. Nanti budak-budak lain kata apa pula.”
Give her some time. Nanti-nanti okeylah tu. By the way, aku minta maaf pasal hal kat kelab. Aku tak perasan mamat tu cuba buat benda tak elok kat kau.”
Ara senyum nipis.
It’s okay…”
“Kau orang borak pasal apa ni? Nampak macam serius aje…” sampuk Dee yang baru muncul di sebelah Ara.
“Tak ada apa-apalah. Aku gerak dulu,” kata Irfan sebelum berlalu pergi. Sempat dia hantar isyarat mata pada Ara supaya merahsiakan hal Wawa daripada Dee.
Dee pandang Ara. Tubuh dipusingkan menghadap gadis itu. Tangan disilangkan memeluk tubuh.
You owe me an explanation, Ara…,” kata Dee bersama kening yang ternaik.
Explanation apa?” soal Ara blur.
“Siapa yang tolong kau siapkan presentation tadi? Eiyad?” tebak Dee.
Oh… ini yang Dee maksudkan. Lambat-lambat Ara angguk kepala. Pandai betul Dee meneka.
“Patutlah perfect semacam presentation kau. Sampai Professor Zureen tak boleh nak cari salah kau.”
Ara jeling Dee.
“Oh, kalau aku yang buat, tak perfect lah?”
Dee tayang sengih. Kemudian, kepalanya diangguk-anggukkan.
Ara buat muka. Namun, dia tahu memang itu hakikatnya. Dia sedar dia tidak mampu menghasilkan pembentangan yang sesempurna tadi tanpa bantuan Eiyad.
“Agak-agak abang kau tu sudi tak nak jadi tutor aku?” tanya Dee, mengekori Ara yang sudah melangkah keluar dari kelas.
“Dia ambil course apa eh?” soal Dee lagi.
Business,” jawab Ara dengan nada malas.
“Oh… tak jauh mana pun dengan kita yang ambil Finance ni.  Dia ambil MBA eh?”
Ara angguk.
“Kau ni, tak payah nak adore dia sangat boleh tak? Rimas pula aku.”
“Eh, bila masa pula aku adore abang kau? Aku tanya aje…”
“Dah tu, siap nak suruh dia jadi tutor kau, apa kes?”
Dee tersengih-sengih.
“Kalau dia tutor aku, dia boleh tutor kau sekali. Sekurang-kurangnya, tak adalah kau buang masa dengan benda tak berfaedah,” kata Dee, penuh makna tersirat.
Terus Ara hadiahkan sebuah jelingan buat Dee. Sedap betul Dee berbicara. Selamba aje memerli Ara. 
“Oh-oh… boyfriend kau dah tunggu. Kau ada date dengan dia ke?” tanya Dee sebaik sahaja ternampak Syaril di depan fakulti.
Ara tersentak. Terus matanya dikalih ke arah yang dipandang oleh Dee. Dahi gadis itu mula berkerut. Setahu Ara, dia tak ada janji apa-apa dengan Syaril hari ni.
Tanpa sepatah kata, Ara tinggalkan Dee. Langkah diayun menghampiri Syaril yang khusyuk dengan telefonnya.
“You buat apa kat sini?” tanya Ara.
Syaril mengangkat kepalanya. Senyuman terukir di bibir. Sinis. Lelaki itu mula bangkit dari duduk. Berdiri di depan Ara.
“Kenapa tak jawab call I?”
Baru Ara tersedar beratus-ratus missed calls yang dia terima daripada lelaki itu semalam. Bibir diketap. Tak tahu macam mana nak jawab soalan Syaril.
“You pergi mana semalam?” soal Syaril bila Ara hanya mendiamkan diri.
“Tak ada pergi mana-mana,” balas Ara tanpa nada.
Wajah Syaril mula nampak tegang.
“Habis tu, ni apa?” tanya Syaril sambil menunjukkan gambar di telefon pintarnya. Gambar Ara yang sedang menangis di bahu Huzair.
“Mana you dapat gambar ni?”
“Itu bukan persoalannya. Sekarang ni, I nak tahu apa hubungan you dengan Huzair. You yakinkan I yang you tak ada apa-apa hubungan dengan Huzair. Tapi apa semua ni?”
Keras nada suara Syaril.
“You jangan ingat selama ni I tak tahu you keluar dengan Huzair. Kampus ni bukannya besar mana.”
“I tak tipu you. I dengan Huzair memang tak ada apa-apa. Dia kawan baik I.”
“Kawan baik apa dah kalau sampai macam ni?”
Ara tarik nafas lalu dihela perlahan-lahan.
“Okey, sekarang ni apa yang you nak?” tanya Ara. Cuba bertenang.
“I nak tahu hubungan you dengan Huzair.”
“I dah beritahu you banyak kali. Tapi you yang tak nak percaya.”
“You nak I percaya Huzair tu kawan you?”
Ara pandang Syaril. Merenung wajah serius lelaki itu.
Fine. I suka Huzair. We are in love,” kata Ara. Tanpa nada.
Syaril kehilangan bicara. Terkejut dengan pengakuan Ara yang cukup bersahaja.
“Ini yang you nak dengar kan?”
Tiba-tiba lengan Ara ditarik dari belakang oleh seseorang. Kasar. Sebuah tamparan hinggap di pipinya.
Ara terpempan. Terkejut dengan serangan tiba-tiba itu. Mata gadis itu terus tertancap ke arah wajah berang Faizah.
Alamak! Bala dah datang. Apa yang minah ni buat kat sini? Dia dengar ke apa yang aku cakap? Eh, mestilah dengar. Sebab tu dia tampar aku.
“Kau memang tak tahu malu kan? Aku dah suruh kau jangan kacau boyfriend aku, tapi kau tetap nak kacau. Macam tak ada boyfriend sendiri,” marah Faizah.
Huzair tiba-tiba muncul. Ha, baguslah. Sekarang ni, semua orang dah ada. Agak-agak perang dunia ketiga akan meletus tak?
“Apa ni Iza? Kenapa awak tampar Ara?” tanya Huzair yang menyaksikan kawan baiknya ditampar oleh Faizah.
“Awak nak bela perempuan ni? Eh, awak tahu tak dia cakap apa kat Syaril? Dia cakap dia suka awak. Saya dah banyak kali cakap yang hubungan awak dengan Ara bukan takat kawan aje. Awak yang degil. Nak suruh saya percaya awak. Sekarang ni, apa yang awak nak cakap? Awak pun suka Ara kan?”
Huzair pandang Ara. Dia tahu gadis itu tidak memaknakan apa-apa.
“Kau cakap kat Syaril yang kau suka aku ke?” tanya Huzair pada Ara.
Ara angguk. Selamba. Makin bengang Faizah dibuatnya.
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun suka kau.”
What??” jerit Faizah. Terkejut dengan pengakuan Huzair.
“Awak cakap apa ni Huzair?”
Huzair menoleh ke arah Faizah.
“Saya suka Ara. Ini yang awak nak dengar kan? Ini apa yang awak dan Syaril nak dengar. So, yeah… We are in love.  Deeply in love. Puas hati?”
Wajah Faizah sudah berubah. Kolam mata gadis itu mula berair.
“Huzair… awak main-main kan?”
Huzair melepaskan gelak.
“Bila saya cakap saya suka Ara, awak kata saya main-main. Bila saya kata saya dengan Ara kawan aje, awak tak percaya. Hesy, tak fahamlah saya.”
“Jom Ara…,” ucap Huzair seraya menarik tangan Ara. Dibawa gadis itu pergi dari situ. Kesian pula tengok pipi Ara yang sudah berbekas merah dek kerana tamparan Faizah.
“Huzair…,” jerit Faizah, tidak rela ditinggalkan Huzair.
Syaril pula hanya memandang kekasih hatinya di bawa pergi. Masih terkejut dengan pengakuan Ara. Adakah hubungan mereka sudah berakhir?


SUASANA sepi di antara Ara dan Huzair yang sedang mengambil angin di taman botani. Tiada siapa di taman itu melainkan mereka berdua. Ara pandang Huzair. Huzair pandang Ara. Pecah tawa masing-masing. Hati digeletek rasa lucu mengenangkan peristiwa tadi.
“Pipi kau sakit lagi tak?” tanya Huzair.
Terus Ara lekapkan tangan ke pipinya.
“Sakitlah wey! Kalau ikutkan hati, nak aje aku tampar dia balik.”
Huzair ketawa lagi.
Sorrylah. Aku tak boleh buat apa bila minah tu dah naik hantu.”
Girlfriend siapa lah tu,” kutuk Ara.
Correction. Ex-girlfriend. She’s no longer my girlfriend. Please note that,” kata Huzair.
Mata Ara membulat.
“Seriuslah? Bila masa kau break dengan dia?”
“Tadi. Kan aku dah cakap aku suka kau…”
Ara menghamburkan tawa. Dia tahu Huzair tidak bermaksud apa-apa bila lelaki itu cakap dia suka Ara.
“Kenapa kau cakap kau suka aku? Kau memang nak break dengan Faizah ke?”
Huzair mengangguk perlahan.
“Letihlah nak layan perangai cemburu dia tu. Cemburu sikit-sikit, tak apa. Ni kuat sangat. Rimas aku. Tengoklah tadi… sanggup cari kau kat fakulti.”
Ara cebik bibir.
“Dulu, kau juga yang tergila-gilakan dia.”
“Eh, sorry sikit. Dia yang tergila-gilakan aku. Disebabkan dia tu cute, aku layan ajelah. Hmm, yang kau tu… Kenapa kau cakap kau suka aku kat Syaril? Kau pun nak break juga ke?”
Ara terdiam seketika. Nafas dihela perlahan.
“Aku tak terfikir pun nak break dengan dia. Tapi sekarang ni aku dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan lah kan? Dia mesti ingat kita betul-betul tengah bercinta.”
“Yelah. Kau tak nampak muka dia masa aku tarik tangan kau tadi…”
“Hmm, lantaklah. Malas aku nak fikir. Ada benda lain yang lebih penting untuk aku fikirkan.”
“Apa dia? Papa kau?”
Ara pandang Huzair. Perlahan-lahan, dia menganggukkan kepala.
“Aku nak pergi jumpa dia. Kau nak ikut?”
Laju sahaja Huzair menganggukkan kepala. Mana mungkin dia biarkan Ara pergi seorang diri. Dia bimbangkan gadis itu. Kadang-kadang, Ara tu nampak aje macam tenang, macam tak ada masalah tapi sebenarnya hati gadis itu tidak tenang. Dan Huzair cukup faham gelora di hati Ara saat ini. Cukup faham.



2 comments:

Anonymous said...

bestttttttt....x sabr nk tunggu buku...

Zuera said...

Thank you 😊