Wednesday, October 4, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 11



Ara pulang ke rumahnya tatkala jam sudah menginjak ke angka sepuluh. Itu pun sebab Huzair paksa dia balik. Atau lebih tepat lagi, Huzair halau dia balik. Kalau ikutkan hati, Ara ingin melepak lagi di studio fotografi yang Huzair kongsi dengan abang dia sehingga lewat malam.
Gadis itu tidak bersedia untuk pulang ke rumah. Tidak bersedia untuk berdepan dengan Puan Yasmeen. Dan yang paling utama, dia tidak bersedia untuk bersua muka dengan Eiyad setelah apa yang berlaku malam tadi dan juga pagi tadi.
“Lambat balik,” tegur Puan Yasmeen tanpa nada sewaktu Ara melintasi ruang tamu.
Automatik Ara berhenti melangkah. Pandangan dikalihkan ke arah Puan Yasmeen yang sedang duduk di sofa panjang bersama sebuah buku.
“Ara pergi mana?” soal wanita itu dengan nada yang bersahaja. Tiada nada marah, mahupun nada yang menjengkelkan. Lembut sahaja wanita itu melontarkan soalan.
“Lepak dengan Huzair,” balas Ara acuh tak acuh.
Puan Yasmeen hanya menganggukkan kepalanya sebelum kembali menumpukan perhatian pada buku di tangan. Tidak bertanya lebih lanjut. Mungkin kerana wanita itu sudah kenal Huzair.
Ara meneruskan langkah. Anak tangga didaki satu per satu dengan langkah yang lesu, tidak bermaya. Langkah gadis itu termati sekali lagi di pertengahan tangga. Pandangan mata tertancap ke arah Eiyad yang baru ingin turun ke tingkat bawah. Buat seketika, mereka saling berpandangan tanpa sebarang bicara.
Ara tergamam. Terpempan. Tubuh terasa kaku. Kaki terasa dipaku. Tidak mampu meneruskan langkah. Pandangan matanya juga bagaikan dikunci ke arah wajah redup Eiyad.
Satu saat.
Dua saat.
Ti…
Belum sempat tiga saat, Eiyad sudah melarikan pandangan matanya. Sekaligus mematikan tautan mata mereka. Dengan cukup bersahaja, Eiyad mengatur langkah. Menuruni anak tangga satu per satu, melepasi Ara yang masih berdiri kaku. Bibir lelaki itu tertutup rapat. Tidak menuturkan sebarang bicara. Tiada sapaan buat Ara. Seolah-olah gadis itu tidak wujud di situ.
Ara hanya mampu memandang Eiyad berjalan melepasinya. Bibir diketap perlahan. Entah kenapa, gadis itu berasa janggal bila Eiyad tidak menegurnya, tidak ambil peduli tentang dirinya, tidak menghiraukan dirinya.
Bukan ini ke yang kau nak Ara? Kau tak nak dia ganggu kau kan? Hati Ara mula mempersoalkan perasaannya.
Masuk sahaja dalam bilik, Ara terus hempas tubuh ke atas tilam. iPhone dibelek. Memeriksa notifikasi yang diterima sejak pagi tadi.
“Banyaknya missed calls daripada Dee. Apa yang dia nak?”
Ara terus hubungi gadis itu. Telefon pintar dilekapkan ke telinga. Menanti panggilannya disambungkan.
“Kau pergi mana Ara?” tanya Dee sebaik sahaja menjawab panggilan.
“Kenapa kau cari aku?”
Soalan berbalas soalan.
“Tak baca WhatsApp ke?”
“Belum lagi. Kenapa?”
Terdengar keluhan di hujung talian.
“Kau okey tak?” soal Dee. Kedengaran mengambil berat.
“Kenapa kau tiba-tiba tanya macam tu?” tanya Ara teragak-agak.
“Airin dah cerita kat aku apa yang jadi kat kau semalam.”
Oh… nampaknya kawan-kawan Ara tahu pasal hal malam tadi.
Ara ketap bibir. Nafas dihela berat.
“Kalau aku cakap aku okey, tu tipu sangatlah kan?”
“Kita orang semua risaukan kau Ara,” beritahu Dee.
Bibir Ara menguntum senyum nipis.
“Tak ada apa-apa pun yang berlaku. Don’t worry. I’ll be okay.”
“Nasib baik abang kau datang semalam… kalau tak, aku tak tahu apa yang jadi kat kau.”
Ara diam. Kepala diangguk sedikit. Ya, dia tahu. Dia sedar dia patut berterima kasih pada Eiyad.
“Kau pergi mana hari ni? Kenapa tak jawab call aku?” soal Dee bila Ara diam sahaja.
Sorry. I need some space.”
“Aku faham… tapi sekurang-kurangnya, text lah aku. Aku risau, tahu tak?”
Thanks Dee…,” ucap Ara tanpa nada. Berterima kasih atas kebimbangan dan keprihatinan Dee.
By the way, esok kau pergi kelas kan?”
“Tak tahu lagi. Tengok mood,” balas Ara. Cukup bersahaja. Sudah dua hari gadis itu tidak ke kelas.
“Hesy, mana boleh. Esok kau kena pergi juga. Lupa ke kita ada presentation esok? Kau nak Professor Zureen marah kau lagi?”
Ara terpinga-pinga. Jari-jemari mula menggaru pipi.
Presentation pasal apa eh?”
Oh my God! Jangan beritahu aku yang kau tak buat lagi?”
“Jap, jap… presentation apa ni?”
Belum sempat Dee nak jawab, Ara sudah menjerit.
“Beb!!! Aku lupa! Aku tak buat lagi.”
Gadis itu mula gelabah.
“Matilah aku wey! Aku tak baca pun soalan lagi. Dah lah individual presentation. Aku orang yang kelima kena present kan?”
“Haah. Kau yang kelima.”
“Alamak! Kena stay up lah aku malam ni. Nasib baik kau ingatkan aku. Huisy, tak sanggup aku nak tahan telinga kena maki dengan dia.”
“Ha, tulah… sebab tu aku call kau banyak kali. Takut kau lupa. Tadi pun prof cari kau. Aku rasa dia dah aim kau. Baik kau jangan buat hal esok.”
Ara melepaskan keluhan berat.
“Hmm, okeylah. Aku cuba yang terbaik untuk esok. Thanks ingatkan aku, Dee.”


JAM sudah menunjukkan pukul dua pagi. Ara yang sedang duduk menghadap komputer riba, mula tersengguk-sengguk. Menghadap case study yang panjang berjela, satu hal. Mata yang mengantuk, dua hal.
Namun, Ara gagahkan diri untuk celikkan matanya. Tugasan yang diberikan oleh Professor Zureen harus disiapkan sebelum matahari terbit walau macam mana cara sekali pun.
Ara menampar-nampar pipinya. Cuba menghilangkan rasa kantuk. Mata dibesarkan. Membaca case study entah buat kali ke berapa. Cuba fahamkan case study tersebut dan dalam masa yang sama cuba cari isu yang boleh dikupas. Tak sampai satu minit, mata Ara kembali layu. Mengantuk sungguh!
Isy, tak boleh jadi ni. Mungkin aku perlukan kopi, bicara gadis itu dalam hati.
Terus Ara angkat punggung. Langkah diayun menuju ke tingkat bawah. Ingin ke dapur untuk membancuh ubat tahan kantuknya, iaitu kopi.
Menurut kajian, kafein di dalam kopi mampu menghilangkan rasa kantuk sementelah kafein akan menstimulasi sistem metabolisma dan juga sistem saraf pusat tubuh sehingga kita rasa lebih bertenaga, tidak mengantuk dan juga meningkatkan konsentrasi kita. Tapi ini semua kajian. Kalau nak tahu sahih atau tidak, nak tahu relevan dengan diri Ara atau tidak, kenalah cuba dulu. Harap-harap relevanlah sebab gadis itu kena jadi burung hantu hari ni untuk siapkan tugasannya.
Cahaya yang terang di ruang makan membuatkan Ara memperlahankan langkah. Hati disapa rasa pelik.
Sepasang mata milik Ara mendarat ke wajah Eiyad sewaku dia sudah hampir dengan ruang makan. Lelaki itu sedang membuat kerjanya di meja makan, ditemani Macbook dan juga beberapa buah fail. Wajah Eiyad tampak serius. Barangkali sedang fokus. Jari-jemari lelaki itu pantas menari di atas papan kekunci, menaip sesuatu.
Ara hela nafas perlahan. Nampaknya bukan dia seorang sahaja yang berjaga malam itu. Eiyad pun sama. Banyak sangat ke kerja dekat ofis sampai Eiyad kena bawa balik ke rumah? Detik hati Ara.
Eiyad mengalihkan tumpuan apabila menyedari dirinya sedang diperhati. Pandangan matanya bertembung dengan mata Ara. Masing-masing terkesima.
“Err… Tak tidur lagi ke?” soal Ara.
Kali ini bibirnya sudah mampu menuturkan bicara. Tidak seperti di tangga tadi. Gadis itu cuba berlagak biasa. Dipamerkan riak wajah yang tenang dan bersahaja.
Eiyad menganggukkan kepala sebelum kembali memberi tumpuan pada kerjanya.
“Aku nak buat kopi. Kau nak tak?” tanya Ara tanpa sedar.
Gadis itu terus gigit bibir. Hesy, rasa nak tampar aje mulut ni? Kenapa tiba-tiba baik hati nak buatkan kopi untuk mamat tu? Kau dah kenapa Ara? Ni mesti sebab dia mengantuk sangat sampai tak boleh berfikir dengan waras.
Eiyad menggelengkan kepalanya. Menolak tawaran Ara tanpa memandang gadis itu, dengan wajah yang beku. Tersentap hati Ara dek respons dingin Eiyad walaupun tawaran yang dia buat itu di luar sedarnya.
Ara tersenyum pahit. Gadis itu meneruskan langkah ke dapur. Kopi dibancuh bersama fikiran yang menerawang memikirkan sikap Eiyad. Hilang terus rasa kantuk Ara bila memikirkan lelaki itu.
Dia marah aku ke? Hati Ara dilambung tanda tanya.
Argh, lantaklah… Ada aku kesah kalau dia nak marah?
Err… tapi… Dia dah selamatkan aku. Dan aku belum ucap terima kasih pada dia.
Hesy, macam mana aku nak cakap terima kasih kalau dia dingin aje dengan aku?
Ara gelengkan kepala. Mematikan suara-suara yang sedang berperang sesama sendiri di minda. Itu semua tak penting. Yang penting sekarang ni, presentation pada pagi esok. 
Bersama secawan kopi yang masih panas, Ara meninggalkan ruang dapur. Mata gadis itu terlekat semula ke arah Eiyad yang masih fokus pada kerjanya.
Tidak semena-mena, muncul satu idea di minda Ara. Terus dia letak cawan yang berisi kopi di hujung meja makan. Jauh sedikit daripada Eiyad. Tidak mahu menganggu lelaki itu. Kemudian, dia naik ke tingkat atas. Mengambil barang-barangnya dan di bawa ke meja makan. Ingin buat kerja sama-sama dengan Eiyad. Sekurang-kurangnya, tidaklah dia terasa sunyi buat kerja seorang diri di dalam bilik.
“Kau tak kesah kan?” tanya Ara apabila Eiyad memandangnya. Ceh, dah duduk baru nak tanya.
Eiyad tidak memberikan sebarang respons. Masih diam seperti tadi.
Ara buat tak tahu. Gadis itu mula menumpukan perhatian pada tugasannya. Eiyad di belah kanan meja. Ara di belah kiri. Duduk di arah yang bertentangan. Sunyi. Sepi.
Masa terus berlalu. Rasa mengantuk Ara semakin menjadi-jadi. Nampaknya, kafein tidak memberi efek kepada gadis itu. Sudahlah Ara sedang buntu untuk menjawab soalan yang diberikan kepadanya, mata pula semakin memberat.
“Yad…,” panggil Ara. Perlahan. Hampir tidak kedengaran.
Bila tiada respon daripada Eiyad, Ara panggil lagi. Kali ni lebih kuat.
Eiyad kalih pandang ke arah Ara dengan wajah yang tidak beriak.
“Kau lama lagi ke? Banyak kerja lagi?” tanya gadis itu.
“Kenapa?” soal Eiyad. Bersuara juga lelaki itu akhirnya.
“Aku nak tidur kejap. Mengantuk. Lagi sepuluh minit, kau kejut aku eh?” pinta Ara. Lembut.
“Kalau mengantuk, pergi ajelah tidur.”
Ara geleng kepala.
“Tak boleh. Aku kena siapkan kerja ni. Esok pagi kena present.”
“Kau boleh tolong kejut tak?” soal Ara bila Eiyad tidak menuturkan sebarang bicara.
Eiyad menganggukkan kepalanya.
Thanks.”
Ara terus letak kepala di atas meja dengan beralaskan lengan. Mata dipejamkan. Cuba untuk melelapkan mata buat seketika. 
“Oh, by the way…”
Ara bersuara semula. Mata dicelikkan. Dalam posisi yang sama, Ara pandang Eiyad.
“Kau buat kerja apa? Kenapa tak siapkan kat ofis?” soal Ara. Tiba-tiba busybody.
“Tadi kata mengantuk. Tidur ajelah,” balas Eiyad dengan nada kurang mesra.
Erk! Ara telan liur. Salah ke aku tanya?
Ara kembali memejamkan mata. Malas nak ambil hati dengan Eiyad. Biarlah. Tak beri kesan pun pada dia kalau Eiyad nak bersikap dingin dengannya.


“ARA…”
Lembut suara itu memanggil nama Ara.
“Bangun, Ara…”
Ara terasa tubuhnya ditepuk-tepuk perlahan. Gadis itu tidak mampu membuka kelopak matanya. Terasa berat.
“Bangunlah, Ara…”
Suara itu mengejutkan Ara lagi.
“Lagi lima minit. Lagi lima minit,” kata Ara tanpa membuka mata.
“Dah Subuh ni Ara. Bangunlah. Solat.”
Dengar aje perkataan Subuh, Ara terus celik mata. Wajah Cik Ina menyapa pandangan. Bukan Eiyad yang mengejutnya tetapi Cik Ina.
“Dah Subuh ke Cik Ina?” tanya Ara. Terkejut. Sangat terkejut.
Cik Ina yang masih bertelekung, menganggukkan kepala. Dahinya berkerut melihat reaksi Ara.
Rahang Ara terjatuh. Matilah aku. Kerja tak siap lagi.
“Yad mana?” soal Ara bila dia tak nampak Eiyad di tempat yang lelaki itu duduk tadi.
“Yad pergi surau.”
“Kenapa dia tak kejut Ara? Ara dah suruh dia kejut. Hesy, tak boleh harap betullah.”
Gadis itu mula merungut. Geram. Diri mula mengelabah saat terkenangkan kerja yang belum siap. Komputer riba yang berada dalam keadaan ‘sleep’ terus dibuka.
“Kalau iya pun, pergilah solat dulu,” tegur Cik Ina.
“Ara tak boleh solat,” jawab Ara. Ringkas.
Mata Ara yang sedang merenung skrin komputer terbeliak. Mulut membentuk huruf O. Ara terus gosok-gosok matanya. Takut jika dia tersalah tengok.
Aku tak salah tengok kan? Macam mana slide aku boleh jadi macam ni? Takkan Yad…
Ara terus toleh ke arah Cik Ina.
“Ada sesiapa sentuh laptop Ara ke?”
Cik Ina terpempan. 
“Err, tak ada rasanya,” kata Cik Ina. Kurang yakin.
“Eh tak…”
Cepat-cepat Cik Ina betulkan ayat bila teringatkan sesuatu.
“Tadi Cik Ina ada nampak Yad guna laptop Ara. Kenapa? Ada benda hilang ke?”
Tak ada benda yang hilang. Tapi...
Ara gigit bibir. Eiyad siapkan assignment aku ke? Tapi kenapa?
Ketika itu, baru Ara perasan ada nota yang ditinggalkan Eiyad di atas buku rujukannya. Nota itu dicapai. Mata mula membaca tulisan tangan Eiyad yang menerangkan lebih terperinci tentang tugasannya.
Ara kehilangan bicara. Kagum dengan jawapan dan penjelasan Eiyad. Padat dan lengkap. Malah ada soalan yang Ara dah jawab tetapi Eiyad betulkan. Susah untuk Ara percaya apa yang Eiyad buat untuknya. Namun, dalam masa yang sama, rasa bersyukur bertapak di hati. Bersyukur dan lega. Satu masalah sudah berjaya ditangani.
“Ada apa-apa yang tak kena ke Ara?” tanya Cik Ina lagi.  
Ara memandang Cik Ina semula bersama senyuman manis tertampal di wajah.
“Tak ada apa-apa lah Cik Ina. Ara naik bilik dulu,” kata Ara dengan nada ceria.
Gadis itu tampak gembira. Gembira kerana assignmentnya sudah siap. Terima kasih pada Eiyad. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan lega dan gembira Ara ketika itu. Sungguh, Ara rasa terharu.



Note: Saya akan update new chapter setiap hari Rabu. :)

No comments: