Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 9



Suasana di kafe The Coffee Bean & Tea Leaf pada pagi itu tidak begitu sesak. Barangkali masih terlalu awal untuk penggemar kopi meluangkan masa di kafe itu. Ara membuang pandang ke luar kafe. Termenung jauh memikirkan gambar yang Dee tunjuk padanya semalam.
Wajah gadis itu tampak sayu. Hilang segala raut keceriaan di wajahnya. Diganti dengan raut kesedihan. Sejak semalam hati Ara resah dan gelisah tanpa henti. Perasaan yang menghimpit jiwanya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Ara tidak ke kelas pagi itu. Mindanya tidak mampu untuk fokus. Dia perlukan seseorang. Seseorang yang boleh dia kongsi apa yang dia rasa ketika itu, yang boleh dia luahkan segala-galanya. Dan seseorang itu sudah semestinya Huzair. Hanya Huzair.
Ara mengalihkan pandangan. Memerhati suasana kafe sambil mencari-cari kelibat Huzair. Hot Latte dicapai dan dibawa ke bibir sebelum disisip perlahan-lahan.
Gadis itu melambai-lambaikan tangannya ke arah Huzair yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kafe. Senyuman diukirkan nipis.
 “Hey, what’s up?” tanya Huzair seraya menjatuhkan duduk di hadapan Ara.
Coffee?”
Huzair geleng. Tidak berminat.
So, kenapa kau nak jumpa aku pagi-pagi ni? Aku baru ingat nak bangun lambat…”
Sorry,” ucap Ara. Rasa bersalah.
Huzair koyak senyum.
It’s okay. Demi kau, aku sanggup bangun awal. So, spill the beans,” pinta Huzair. Tidak sabar ingin tahu.
Ara menarik nafas lalu dihela perlahan-lahan. iPhone dicapai lalu ditekan-tekan sebelum dihulurkan kepada Huzair.
Huzair mengambil iPhone dari tangan Ara.
Suasana sepi buat seketika. Huzair menumpukan perhatian pada skrin telefon.
“Itu bukan papa aku kan, Huzair?” tanya Ara dengan nada suara yang tidak yakin.
Huzair masih lagi mendiamkan diri. Dia ingin menidakkan tetapi gambar itu jelas menunjukkan Encik Yusof, papa Ara yang berpakaian lusuh.
Ara mengetap bibir. Reaksi muka Huzair sudah menjawab pertanyaannya. Wajah segera ditekup.
“Aku macam tak boleh terima tu papa aku,” kata Ara, kembali memandang Huzair. Nada suaranya kedengaran lirih.
 “Aku ingat dia happy dengan famili baru dia. Aku ingat dia abaikan aku sebab famili baru dia. Tapi…”
Ara menyebak rambutnya ke belakang. Mata gadis itu sudah mula berair. Menanti masa sahaja untuk tumpah.
“Kenapa? Kenapa Huzair? Kenapa papa aku kena hidup merempat macam tu? Mana pergi famili dia? Kenapa dia tak cari aku?”
“Kau boleh bayangkan perasaan aku tak Huzair? Aku hidup senang. Ada rumah besar untuk berlindung. Ada kereta mewah untuk pergi mana-mana. Ada pakaian yang cantik. Ada makanan yang cukup. Tapi… papa aku? Papa aku tak ada semua tu Huzair… Aku tak boleh bayangkan hidup papa aku selama ni.”
Mutiara jernih mula mengalir di pipi Ara. Dibiarkan sahaja. Tidak mampu ditahan. Gadis itu tidak segan untuk menangis di depan Huzair. Dia pernah menangis lebih teruk daripada ini di depan lelaki itu. Waktu tu, papa dan mamanya baru sahaja bercerai dan papa Ara pergi tanpa ucapan selamat tinggal.
Huzair memberi ruang kepada Ara untuk menenangkan diri. Matanya diliarkan ke sekeliling. Mencari sesuatu. Tanpa sebarang bicara, Huzair bangkit dari duduk dan melangkah ke kaunter. Beberapa helai tisu dicapai sebelum dia kembali ke meja. Tisu dihulurkan kepada Ara.
“Mana kau dapat gambar ni?” tanya Huzair bila Ara sudah sedikit tenang.
“Dee yang bagi.”
Huzair mengangkat keningnya, meminta Ara bercerita lebih terperinci. Ara mula bercerita tentang Dee yang rajin membuat kerja amal, memberi makanan kepada gelandangan.
“Kau tak nak jumpa papa kau ke?”
Ara terdiam. Lama. Nafas dihela berat.
“Aku belum bersedia, Huzair.  Aku takut aku tak mampu kawal diri aku nanti. Aku tak tahu macam mana nak bersemuka dengan papa aku setelah bertahun-tahun kita orang tak jumpa,” kata Ara, kembali mengalirkan air mata.
Gadis itu menyeka air mata yang baru mengalir dengan tisu pemberian Huzair.
Huzair hanya mampu memandang Ara bersama rasa simpati. Dia faham perasaan Ara. Dia tahu Ara masih lagi terkejut. Dia sendiri tidak tahu macam mana nak menenangkan hati gadis itu.
“Kau ambillah masa kau, Ara. Kalau kau dah bersedia nak jumpa papa kau, kau beritahu aku. Kita pergi sama-sama,” kata Huzair.
Ara menganguk-anggukkan kepalanya.
Thanks Huzair…”
Huzair lemparkan senyum.
Anything for you…”


KERETA Puan Yasmeen dan Eiyad tersusun elok di garaj lewat petang itu. Menandakan mereka berdua ada di rumah. Ara melepaskan keluhan berat. Nafas dihela berat. Enjin kereta dimatikan. Lambat-lambat dia atur langkah ke dalam rumah. Wajahnya nampak tidak bermaya.
Di ruang tamu, Puan Yasmeen dengan Eiyad sedang berbual dengan wajah yang serius. Eiyad masih berpakaian pejabat sementara Puan Yasmeen berpakaian kasual. Kepulangan Ara mematikan perbualan mereka. Masing-masing menumpukan pandangan ke arah gadis itu.
Pandangan mata Ara dan Puan Yasmeen bertaut tanpa sedar. Serta-merta Ara teringatkan Encik Yusof yang berpakaian usang dan lusuh. Rasa benci mula bertapak di hati. Benci pada mama. Diri mula menyalahkan mama. Menjatuhkan hukuman pada wanita itu.
Pandangan redup Puan Yasmeen tidak mampu memujuk kelukaan di hati Ara walau sedikit pun.
Ara membuang pandang. Tanpa sepatah kata, gadis itu naik ke tingkat atas.
“Ara…”
Panggilan Eiyad tidak diendahkan. Ara meneruskan langkah. Laju. Pintu bilik dihempas kasar lalu dikunci. Tidak mahu ada yang menganggu.
Saat ini, diri Ara dipenuhi dengan rasa marah dan benci pada Puan Yasmeen.
Semuanya salah mama. Kalau mama tak berpisah dengan papa, papa tak akan hidup merempat. Tak akan jadi gelandangan. Tak akan hidup susah.
Eh, tak!
Semuanya sebab Eiyad. Eiyad punca segala-galanya. Semuanya berpunca daripada lelaki itu.
Kalau mama tak perlu jaga Eiyad, kalau mama tak perlu ambil alih syarikat Eiyad, mama tak akan berubah. Mama dan papa akan hidup bahagia seperti dulu. Keluarga mereka akan bahagia seperti dulu.
Ara mula menyalahkan Eiyad tanpa menyedari keperitan yang Eiyad kena tanggung selepas kehilangan kedua-dua orang tuanya di usia yang muda.
Tubuh dihempaskan ke atas tilam. Cuba meredakan kemarahan di hati.
Baru hati nak rasa tenang, pintu biliknya diketuk. Gadis itu mendengus rimas.
“Jangan kacau aku,” jerit Ara.
“Buka pintu ni, Ara,” arah Eiyad.
Ara mengetap bibir. Geram.
“Jangan kacau aku lah…”
Pintu bilik Ara diketuk lagi. Ara mula naik angin. Gadis itu turun dari katil. Kaki melangkah ke pintu. Dengan kasar, Ara buka pintu bilik.
“Kau tak faham bahasa ke?” jerkah Ara. Kuat.
Eiyad terpempan. Terkejut dengan jerkahan Ara.
“Kenapa dengan kau ni?” tanya Eiyad.
Ara jeling Eiyad. Penuh dengan rasa benci.
“Mulai hari ni, jangan ganggu hidup aku,” kata Ara tegas.
“Sekejap Ara.”
Tangan kanan Eiyad menahan pintu daripada ditutup Ara.
“Okey, aku tak akan kacau kau lagi,” kata Eiyad. Tenang.
“Tapi aku minta… untuk kali ni aje… aku minta kau untuk turun bawah, makan sama-sama dengan mama.”
Like I care.”
Sekali lagi Eiyad tahan Ara daripada tutup pintu.
“Ara, please…”
Eiyad mula merayu. Lelaki itu tidak mahu menghampakan hati Puan Yasmeen.
“Hari ni, mama yang masak. Dia masak lauk kegemaran kau. Ketam masak lemak cili padi. Jomlah kita makan sekali. Early dinner.”
Ara tersenyum sinis dalam hati. Apa mimpi mama masak hari ni? Ketam masak lemak cili padi memang kegemaran Ara. Namun, gadis itu tidak terliur langsung.
“Kalau macam tu, kau cakap kat mama yang aku tak ada selera nak makan makanan yang dia masak,” kata Ara cukup selamba.
“Ara!”
Eiyad mula hilang sabar. Entah kenapa, perangai Ara hari ini sangat mencabar kesabarannya. Padahal baru semalam mereka berbual mesra.
“Yad… Biarkan aje kalau Ara tak nak makan,” kata Puan Yasmeen yang muncul entah dari mana.
Ara menjeling Puan Yasmeen sebelum menutup pintu biliknya. Gadis itu mendengus kasar. Tak aman betul duduk dalam rumah ni, bentak gadis itu.
Telefon yang berdering segera dicapai. Panggilan daripada Airin dijawab.
“Hello, beb… Nak ikut tak?”
“Pergi mana?”
“Tempat biasa…”
Bebola mata Ara bergerak ke kiri dan ke kanan. Gadis itu berfikir seketika sebelum membuat keputusan.
“Okey.”


SUASANA di kelab malam bingit dengan bunyi muzik yang kuat dan memekakkan telinga. Namun, sedikit pun tidak menganggu para penggunjung kelab hiburan itu. Mereka lagi suka. Inilah keseronokkan yang mereka cari. Inilah kepuasan yang mereka inginkan.
Di satu sudut, Ara sedang asyik melenggok-lenggokkan badannya mengikut irama lagu yang diputarkan oleh deejay tanpa henti. Ara puas. Puas bila dapat menari sesuka hati tanpa ada yang menganggu, tanpa ada yang menghalang. Segala masalah yang membebankan fikiran cuba diusir jauh. Hati yang luka cuba dipadam dengan keseronokkan sementara ini.
“Wow babe… you look so sexy today.”
Pujian daripada Airin yang baru sahaja menghampirinya, membuatkan Ara tersenyum senget. Tubuhnya masih dilenggok-lenggokkan. Sesekali dia bermain-main dengan rambutnya yang panjang beralun, tidak berikat.
Airin yang menari di sebelah Ara, mendekatkan bibir ke telinga Ara.
“Ada seorang mamat ni asyik perhatikan kau aje... dari awal kau menari tadi.”
Kening Ara ternaik sedikit.
Your 10 o’clock,” beritahu Airin.
Mata Ara terus terhala ke arah yang diberitahu Airin. Sekelip mata, pandangan mata Ara menangkap seorang lelaki yang sedang merenung ke arahnya. Lelaki itu mengukirkan sebuah senyuman saat mata mereka bertemu.
Ara senyum sinis sebelum melarikan pandangan. Tanpa sepatah kata, Ara tinggalkan Airin yang masih rancak menari. Langkah diayun menuju ke sofa panjang di mana Irfan dengan Wawa sedang duduk sambil bergelak tawa. Entah apa yang mereka bualkan. Tapi dari gaya mereka berdua, Ara tahu Irfan dengan Wawa sudah mabuk. Entah berapa gelas arak yang mereka teguk.
“Hey, kenapa stop? Pergilah menari lagi…,” kata Wawa sewaktu Ara menjatuhkan duduk.
Wawa dalam keadaan separuh sedar, mendekatkan diri dengan Ara.
You attract so many guys with your sexy dance, don’t you know that?”
So what?” balas Ara tanpa perasaan. Dia tak heran pun dengan tumpuan yang diberikan. Dia menari bukan untuk tarik perhatian orang.
Irfan melepaskan gelak.
“Tak nak try mana-mana lelaki yang dari tadi usya kau ke? Ada yang dari keluarga kaya raya tau… You should try your luck,” kata Irfan.
“Aku dah ada Syaril…”
But your Syaril is not that rich Ara… why not you dump him and seduce some rich guy here? Senang hidup kau lepas ni. Nak Yeezy berapa pasang pun mampu,” sampuk Wawa yang sekadar berkata kosong. Tidak memaknakan kata-katanya.
Ara menghamburkan tawa. Faham sangat perangai nakal kawan-kawannya. Air Coke yang dipesannya diteguk sehingga habis. Menghilangkan rasa dahaga.
“Kau ni… asyik minum juice aje. Tak nak try yang ni ke?” tanya Irfan sambil mengoyang-goyangkan gelasnya.
Mata Ara merenung arak yang tinggal separuh di dalam gelas Irfan. Selalunya bila Irfan tawarkan Ara minuman keras itu, Ara akan menggeleng laju. Tapi kali ni…
“Sedap ke?” tanya Ara dengan wajah yang serius. Seakan benar-benar ingin tahu.
Irfan terkejut dengan respons Ara. Pertama kali Ara memberikan respons sedemikian. Wawa turut terkejut. Mata masing-masing terlekat ke wajah serius Ara.
Hati Ara rapuh saat ini. Begitu juga dengan imannya yang selama ini tidaklah kuat mana. Dia tahu minuman itu dilarang keras oleh Allah tetapi mindanya ketika itu tidak mampu berfikir dengan wajar.
Faham tak perasaan di mana kita tahu benda tu salah tetapi kita tetap buat juga? Hati Ara terdetik untuk mencuba saat Irfan menawarkan minuman itu kepadanya.
“Aku tak tahu nak jawab soalan kau macam mana. Kau kena try baru kau tahu. Kau nak try ke?” tanya Irfan.
“Jangan Ara,” larang Wawa. Nada suara Wawa terus bertukar serius.
“Kenapa? Biarlah dia nak try…”
Laju Wawa menggelengkan kepalanya. Wawa memusingkan tubuh, menghadap Ara.
Trust me, kau akan menyesal... Aku tak tahu apa yang bermain kat otak kau hari ni tapi…”
Wawa berjeda seketika. Perkataan ‘tapi’ ditekankan.
“Jangan sesekali kau cuba minum benda ni. Faham?”
“Tapi kau minum boleh pula. Kau ingat kau seorang aje nak lupakan masalah keluarga kau? Habis aku?”
You have a happy family, Ara. Apa yang kau nak, kau dapat. Masalah keluarga apa yang kau ada? Kalau ada pun, tak seteruk aku… Kau tak faham apa yang aku kena hadap selama ni Ara.”
Ara gelak sinis.
“Dan kau tak faham apa yang aku kena hadap, Wa. Kau hanya nampak benda indah aje pasal famili aku. Kau tak nampak lagi the darkest side.”
Wawa pegang kedua-dua tangan Ara. Pandangan mata dihalakan tepat ke anak mata Ara.
Then, tell me… pernah tak kau kena jadi pelampias nafsu ayah kau sendiri? Pernah tak ayah kau masuk bilik kau setiap malam dan suruh kau layan dia? If yes, we are on the same boat.
Ara terpempan. Terkejut dengan kata-kata Wawa. Berubah terus wajah gadis itu.
“Sejak aku empat belas tahun, aku kena jadi hamba seks ayah aku sendiri. Sekarang kau boleh faham apa yang aku pendam selama ni?”
Ara terdiam. Lidah kelu untuk berkata-kata.
Wawa memejam matanya, menahan air mata daripada mengalir. Gadis itu bangkit dari duduk dan mula melangkah tanpa hala tuju. Meninggalkan Ara dengan Irfan. Dia ingin bersendirian.
Irfan melepaskan keluhan berat. Pandangan matanya mengekori langkah Wawa yang semakin menjauh.
“Kau tahu ke pasal ni?” soal Ara kepada Irfan.
Irfan menoleh ke arah Ara. Lambat-lambat lelaki itu mengangguk.
“Dia tak nak beritahu orang lain sebab dia tak nak buka aib keluarga dia. Lagipun dia malu. Nanti kalau kau jumpa dia, kau buat macam biasa ajelah. Jangan tanya dia pasal hal ni. Dia tak suka.”
“Kenapa dia tak report polis?”
“Mungkin dia masih ada sedikit perasaan sayang pada ayah dia. Tak sanggup nak ayah dia sendiri masuk penjara.”
 “Hah? Lepas apa yang ayah dia buat kat dia, kau boleh kata yang dia masih ada sedikit perasaan sayang dekat ayah dia? Wawa tu bodoh ke apa?”
Beremosi sungguh Ara saat menuturkan bicaranya.
“Atau mungkin juga dia kena ugut dengan ayah dia. Entahlah. Aku tak tahu. Aku pernah tanya dia tapi dia tak macam cuba mengelak daripada soalan aku.”
“Mak dengan adik-adik dia tak tahu ke?”
Irfan geleng seraya angkat punggung.
“Aku pergi cari Wawa,” beritahu Irfan. Risau akan Wawa.
Ara ditinggalkan bersendirian. Wajahnya ditekup. Gadis itu beristighfar panjang. Menyedari kekhilafan diri sebentar tadi. Kalau bukan sebab Wawa beria-ia melarangnya, sudah tentu Ara sudah menyentuh minuman haram itu. Entah apa yang merasuk dirinya ketika itu. Tiba-tiba dia terasa nak cuba teguk minuman yang menjadi kegemaran Irfan dan Wawa.
Sekarang ni memang kau cakap kau tak akan sentuh. Tapi esok lusa? Hati kau tu dah cukup kuat ke nak tepis semua godaan?
Kata-kata Huzair satu ketika dahulu terngiang-ngiang di telinga Ara. Gadis itu melepaskan nafas berat. Dia beristigfar lagi.
Terima kasih Wa… Betul cakap kau. Aku mesti menyesal. Sekarang ni pun aku dan menyesal, bicara Ara dalam hati.
Deheman seseorang menarik perhatian Ara. Kepalanya dikalih ke arah seorang lelaki yang berdiri di hujung meja. Senyuman manis tertampal di wajah lelaki itu. Lelaki yang Airin tunjuk kepadanya sebentar tadi.
“Boleh I join you?”
Belum sempat Ara nak jawab, lelaki itu sudah duduk di sebelah Ara. Rapat.
Excuse me!” ucap Ara. Tidak selesa.
A drink with me would do you no harm, right?”
Do I know you?”
Get to know me then. I’m Farid. Tengku Farid,” balas lelaki itu cukup bersahaja.
Ara pandang tempat lain. Bibir dicebikkan. Ingat aku heran dengan Tengku dia? Kutuk Ara dalam hati.
Ara kembali memandang Tengku Farid. Senyuman dilemparkan. Senyuman yang tidak ikhlas.
Sorry, I dah ada boyfriend.”
 “I’m not looking for a girlfriend,” kata lelaki itu bersama kenyitan di mata.
“You nak apa sebenarnya?”
Tengku Farid tersenyum menggoda. Tubuh disandarkan ke belakang. Santai.
Have a drink with me.”
“Okey. One drink and that’s it.”
Cool.”


No comments: