Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 8


Pagi itu, Ara bangun dengan hati yang gembira. Berseri-seri wajahnya. Siap menyanyi riang lagi. Nak tahu sebab apa? Sudah tentu sebab Lolo sudah menjadi miliknya semula.
Yeay!!!
Gembira sungguh gadis itu bila nampak Lolo depan mata, bila dapat pandu Lolo semula. Gembira yang tak terkata. Hilang segala rasa sedih. Hilang segala rasa kecewa, hampa dan yang sama waktu dengannya. Sebaik sahaja dapat kereta, gadis itu terus bawa Lolo ronda satu KL. Lepas rindu!
Oh, tapi sudah semestinya Eiyad tidak benarkan Ara meronda Kuala Lumpur seorang diri. Lelaki itu ikut sahaja kereta Ara dari belakang. Ke mana Ara pergi, Eiyad ikut. Dilayankan sahaja perangai gila-gila Ara yang memandu tanpa hala tuju.
Ara tak kesah pun Eiyad ikut dia. Tak rasa rimas sebab masa tu dia hanya fikirkan Lolo sahaja. Eiyad tidak dipedulikan. Lantaklah kalau Eiyad nak ikut dia sekalipun.
Gadis itu bersiap-siap ke kelas lebih awal daripada biasa. Bukannya sebab teruja nak dapatkan ilmu ke kelas tetapi teruja nak pandu Lolo ke kelas. Isy, isy, isy…. Teruk betul!
Senyuman terukir di bibir Ara saat melihat dirinya di depan cermin.
“Cantik juga baju ni. Sesuai dengan aku,” kata Ara. Memuji baju yang dibelikan oleh Eiyad semalam, sewaktu Ara temankan Eiyad membeli-belah.
Rambut yang disanggul dibetul-betulkan sedikit agar nampak kemas.
“Okey. Perfect! Let’s go to the class, Lolo,” tutur Ara dengan nada ceria.
Kunci kereta dicapai. Kaki mula melangkah keluar dari bilik.
Morning!” sapa Eiyad sebaik sahaja Ara menjejakkan kaki ke tingkat bawah.
Ara menoleh ke arah Eiyad yang sedang membetul-betulkan tali leher. Matanya sedikit membesar. Terpegun melihat Eiyad bersut lengkap warna kelabu. Nampak segak pula Eiyad pagi itu. Bergetar jantung Ara lima saat.
Morning,” balas Ara. Hari ini mood dia baik. Sebab tu dia rajin balas sapaan Eiyad.
Eiyad ukir senyum. Senang dengan respons positif daripada Ara.
“Jom breakfast,” ajak Eiyad.
Ara angguk. Setuju.
Cik Ina yang sedang menghidangkan makanan di atas meja sedikit terkejut apabila Eiyad dengan Ara berjalan beriringan dengan wajah yang ceria. Satu situasi yang amat jarang untuk Cik Ina lihat. Tambah-tambah lagi wajah ceria Ara tu.
“Wah… berseri-serinya muka masing-masing. Ada apa-apa ke ni?” tanya Cik Ina ingin tahu.
Ara tersenyum nipis. Kerusi ditarik sebelum dia menjatuhkan duduk.
“Ada orang tu excited nak masuk ofis, Cik Ina…,” kata Ara, mengusik Eiyad. 
“Eh, kita pula… padahal dia tu yang excited dapat Lolo balik,” balas Eiyad.
Ara mencebikkan bibir pada Eiyad di depannya.
Cik Ina melepaskan tawa. Hatinya senang melihat kemesraan Eiyad dengan Ara pagi itu.
“Jomlah makan sekali, Cik Ina,” ajak Ara.
“Cik Ina dah makan tadi. Tapi tak apalah… Cik Ina temankan Ara dengan Yad,” kata Cik Ina seraya menarik kerusi di sebelah Ara.
Cik Ina memerhati Eiyad dan Ara bersarapan. Hatinya disapa rasa bahagia. Kalau Yasmeen ada, mesti lagi seronok, tutur Cik Ina dalam hati. Terkenangkan Puan Yasmeen yang sudah beberapa hari tiada di rumah.
“Cik Ina pakai cantik-cantik ni, ada nak pergi mana-mana ke?” tanya Ara.
Cik Ina tersentak. Kepala ditoleh ke arah Ara.
“Oh… Cik Ina nak keluar kejap lagi.”
“Pergi mana?”
Rajin pula Ara bertanya pagi itu. Eiyad sudah beri isyarat mata pada Cik Ina.
“Lawat kawan Cik Ina dekat hospital,” jawab Cik Ina separuh jujur.
Ara hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Sedikit pun tidak sedar isyarat mata Eiyad pada Cik Ina sebentar tadi.
Eiyad berdeham.
“Jangan balik lambat hari ni,” pesan Eiyad pada Ara.
Ara pandang Eiyad dengan wajah tak puas hati.
“Semalam kau dah janji tak nak kawal aku kan?”
“Semalam juga kau dah janji yang kau tak akan buat benda tak senonoh kan?”
Ara mendengus perlahan.
“Tapi dating dengan boyfriend, lepak dengan kawan… tu bukan benda tak senonoh kan? Aku selalu lepak dengan kawan aku lah lepas habis kelas. Balik rumah awal pun nak buat apa? Bosan!”
Eiyad pandang Ara dengan wajah yang tenang.
“Lepak dengan kawan tu, tak ada masalah. Tapi lepak dengan kawan dekat tempat yang tak senonoh, itu yang jadi masalah. Jangan sampai aku heret kau keluar lagi, Ara,” kata Eiyad seakan mengugut.
“Betul cakap Yad tu Ara. Cik Ina pun tak suka Ara pergi tempat-tempat macam tu.”
“Yelah, yelah… Ara tak pergi lagi.”
Ara mengalah. Bukannya sebab dia takut dengan Eiyad. Tapi sebab Ara bukannya kaki kelab malam seperti Wawa, Airin, Faiq dan Irfan. Dia tak kesah kalau tak dapat pergi tempat tu lagi. Tak jadi kudis pun! Boleh dikira dengan jari berapa kali Ara pergi tempat tu.
Tiga kali.
Kali pertama, sebab Ara nak tahu suasana di kelab malam macam mana. Nak tahu apa yang kawan-kawan dia buat dekat kelab malam. Masa tu, teguran Dee tidak diendahkan. Dia ikutkan kata hati.
Kali kedua, sebab Ara nak bersuka ria selepas habis exam. Nak menari sehingga puas.
Kali ketiga, sebab dia nak lepaskan tekanan sebab kena marah dengan pensyarah. Bukan marah sikit-sikit. Tapi marah kaw-kaw punya. Malu Ara bila kena marah satu kelas. Rasa nak nangis masa tu tapi dia tahan aje. Masa kali ketiga ini lah yang Eiyad heret dia keluar dari kelab malam.


“AMBOI! Happynya kau hari ni,” tegur Dee sewaktu Ara baru melangkah masuk ke dalam kelas.
Ara tersenyum manis. Punggung dilabuhkan di sebelah Dee.
“Cuba teka kenapa?”
Kening Dee ternaik sedikit. Gadis itu mula meneliti kawan baiknya.
“Hmm, pasal Syaril? Dia surprisekan kau?” teka Dee.
Ara geleng.
Nope!”
Dee fikir lagi. Jari telunjuk mula bermain dengan bibir.
“Kalau bukan sebab Syaril, sebab apa pula? Apa yang boleh buat kau happy macam ni?”
Ara tayang sengih.
“Kau tak boleh nak teka?”
Dee geleng.
“Kau beritahu ajelah. Malas aku nak perah otak pagi-pagi ni. Kejap lagi nak perah lagi,” kata Dee.
Ara senyum. Tubuhnya dipusingkan menghadap Dee. Dengan penuh rasa teruja, Ara menuturkan bicara.
“Aku dapat Lolo aku balik.”
“Hah? Serious?” tanya Dee tidak percaya.
Laju Ara menganggukkan kepala.
“Macam mana kau boleh dapat Lolo balik? Bukan abang kau dah jual ke?”
Ara tergelak halus.
“Dia saja nak usik aku. Dia tak jual pun Lolo. Tak sampai hati katanya.”
“Baiknya bakal suami aku tu,” kata Dee dengan nada gatal.
Terus Ara hadiahkan penampar di lengan Dee. Tamparan manja aje.
“Kau ni betul-betul dah tangkap cintan dengan Yad ke? Nak jadikan dia suami kau?” tanya Ara. Serius.
“Aku main-main ajelah. Tak payahlah nak serius sangat!”
“Fuh, nasib baik!”
“Eh, tapi kalau aku dah jatuh suka kat dia pun apa salahnya. Kau tak ada hati kat dia kan?”
“Tak langsung! Tapi kan Dee… sementara hati kau belum jatuh cinta pada Yad, aku nasihatkan kau supaya jangan sesekali biarkan hati kau terjatuh cinta pada dia. Tak sanggup aku nak tengok kawan baik aku naik pelamin dengan dia. Tak sanggup!”
Dee mengekek ketawa.
“Benci betul kau pada dia…”
Benci? Iya ke Ara benci Eiyad? Entahlah… Ara sendiri tak pasti. Tapi dia memang tak suka lelaki tu walaupun kadang-kadang Eiyad layan dia dengan baik.
Suasana di dalam kelas terus bertukar sepi apabila pensyarah mereka melangkah masuk ke dalam kelas. Perbualan Ara dengan Dee terhenti di situ. Masing-masing menumpukan perhatian pada pensyarah yang sudah memulakan kelas.
“Beb…”
Dee menyiku lengan Ara sebaik sahaja kelas mereka untuk pagi itu tamat. Ada sesuatu yang ingin dia sampaikan. Dari malam tadi dia ingin beritahu Ara tetapi Dee menanti waktu yang yang sesuai.
Dee tidak mahu memberitahu Ara dengan menghantar WhatsApp kepada gadis itu. Dia ingin bersemuka dengan Ara kerana dia yakin dengan firasatnya. Dee takut kalau Ara tidak boleh terima apa yang ingin dia sampaikan.
“Apa dia?”
Dee menelan liur.
“Aku bukannya nak spoilkan mood happy kau tapi… aku rasa aku perlu tunjuk sesuatu dekat kau.” tutur Dee lambat-lambat.
Ara mengecilkan matanya.
“Kau ni… buat aku cuaklah. Apa yang kau nak tunjuk? Good news or bad news?”
Dee kelihatan teragak-agak untuk menjawab soalan Ara.
“Err… Boleh jadi good news, boleh jadi juga bad news.”
“Tunjuk ajelah,” kata Ara. Malas nak berteka-teki.
Dee menghulurkan Samsung Galaxy Note 5 miliknya kepada Ara. Tanpa membuang masa, Ara terus ambil telefon di tangan Dee. Pandangan mata dihalakan ke arah skrin telefon dan hati Ara terus diserbu rasa yang sukar untuk diungkapkan.



No comments: