Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 5


Anak tangga dituruni satu per satu dengan gaya yang santai. Mata meliar memerhati sekeliling. Sunyi. Sepi. Suasana yang cukup lazim buat rumah banglo dua tingkat yang dihuni empat orang itu.
Ara senyum senget. Inilah sebab dia tak suka duduk di rumah. Bosan. Dia lebih suka menumpang di rumah sewa Dee. Sekurang-kurangnya, ada juga teman untuk berborak dan bergurau senda. Lagipun Dee sewa satu bilik. Tak adalah dia menganggu sesiapa.
Morning Cik Ina!”
Ceria sungguh Ara menegur Cik Ina yang sedang mengelamun di laman rumah. Langkah diatur mendekati wanita itu dengan niat ingin menyakat.
“Amboi! Pagi-pagi dah termenung jauh. Teringatkan siapa? Buah hati ke?”
Cik Ina menoleh ke arah Ara. Wajah wanita itu tampak rungsing.
“Hisy, Ara ni… Cik Ina mana ada buah hati…”
Terkekek-kekek Ara ketawa sambil mengikat rambutnya.
“Habis tu, apa yang Cik Ina buat kat luar ni?”
Cik Ina tersentak.
“Err… Cik Ina ambil angin kat luar kejap.”
Dahi Ara berkerut. Pelik. Namun, dia tidak terasa nak bertanya lebih lanjut. Matanya dihalakan ke arah garaj.
“Awalnya mama pergi kerja,” komen Ara bila dia tengok garaj kosong.
Puan Yasmeen tu, hari Sabtu pun pergi kerja. Tak ada yang pelik. Kadang-kadang Ahad pun wanita itu tak ada kat rumah. Jumpa klien sana sini. 
“Eiyad pula ke mana?”
Gadis itu menyoal sementelah kereta Eiyad juga tiada di garaj. Dari semalam dia tak nampak lelaki itu.
Deruan enjin kereta mengalihkan perhatian mereka berdua. Cik Ina melepaskan nafas lega saat melihat Eiyad sudah pulang. Tanpa sepatah bicara, wanita itu menerpa ke arah Eiyad. Ara hanya memerhati. Hati disapa rasa aneh dek kerana tingkah laku Cik Ina yang tampak seperti bimbangkan Eiyad. Atau ada benda lain yang Cik Ina risaukan?
Kening Ara ternaik sedikit apabila melihat pakaian yang tersarung di tubuh Eiyad sama dengan semalam. Lelaki tu tak balik ke malam tadi? Dia tidur kat mana? Minda Ara mula berfikiran liar.
“Yad… Kenapa Cik Ina call tak dapat? Macam mana dengan…”
Eiyad berdeham. Memberi isyarat supaya Cik Ina mematikan bicara.
“Phone Yad habis bateri. Sorry.”
Eiyad melemparkan senyuman nipis. Senyuman yang tampak hambar. Cik Ina didekati. Kepala ditundukkan sedikit.
“Semuanya okey. Cik Ina jangan risau,” bisik Eiyad cukup perlahan.
Ara mengecilkan mata. Cuba membaca gerak bibir Eiyad. Namun tidak berjaya. Bibirnya diketap perlahan.
Eiyad mengangkat semula wajahnya. Dikerling Ara yang berdiri tidak jauh daripadanya. Mata mereka bertaut buat seketika.
Ara melarikan pandangan. Tangan disilangkan memeluk tubuh. Gadis itu memilih untuk menanti Eiyad memberikan penjelasan kepadanya. Penjelasan tentang kenapa Eiyad tak muncul dekat kampus tengah hari semalam.
Eiyad menjatuhkan pandangan. Nafas dihela perlahan. Langkah mula disusun menuju ke dalam rumah. Sedikit pun tidak mempedulikan Ara yang masih berdiri kaku, menanti penjelasan daripadanya.
What? Dia blah macam tu aje? Tak ada nak explain pasal semalam? Hati Ara mula terasa panas bila Eiyad berjalan melepasinya tanpa sebarang bicara.
“Ara…”
Senyuman terbentuk tanpa sedar di bibir saat Eiyad menuturkan namanya. Cepat-cepat Ara sembunyikan senyuman itu. Tidak mahu Eiyad mahupun Cik Ina nampak.
Aku tahu Yad tak akan blah macam tu aje, bisik hati gadis itu.
Ara matikan senyuman. Wajah kosong dipamerkan sebelum dia menoleh ke arah Eiyad. Sengaja pamer wajah tanpa perasaannya. Konon-konon tak terkesan dengan insiden semalam.
Kononnyalah. Padahal hati meronta inginkan penjelasan. Dia tidak boleh terima bila Eiyad biarkan dia tunggu lama semalam.
Ceh! Padahal dia dah buat Eiyad tunggu dia dulu. Lebih lama daripada dia tunggu Eiyad semalam.
“Err… tak ada apa-apalah,” ucap Eiyad bersama gelengan sebelum kembali melangkah ke dalam rumah.
Ara terpempan. Mata tidak berkelip memandang belakang tubuh Eiyad. Mulut separuh terlopong.
Oh Tuhan! Mamat tu dah kenapa? Tak boleh ke dia cakap sorry kat aku? Kalau dia tak nak explain, cakaplah sorry. At least! Ini tak. Rungut Ara dalam hati.
Eh tapi… aku pun buat benda yang sama kat dia. Aku pun tak minta maaf. Yad nak balas dendam dekat aku ke?
“Ara… jomlah masuk dalam. Breakfast,” ajak Cik Ina. Sekaligus mematikan peperangan di dalam minda Ara tentang Eiyad.
“Cik Ina tunggu Yad ke tadi? Kenapa dia tak balik semalam?”
Laju sahaja mulut Ara melontarkan soalan kepada Cik Ina.
Wajah Cik Ina berubah. Namun seketika cuma. Wanita itu berjaya kawal riak wajahnya sebelum dikesan Ara. Sebuah senyuman nipis diukirkan. Senyuman yang kelihatan nakal. Senyuman mengusik.
“Sejak bila pula Ara concern pasal Yad ni?”
Ara tersentak. Liur ditelan.
“Eh, mana ada. Ara tanya aje… dah dia pakai baju yang sama dengan semalam. Dia tidur kat rumah perempuan mana semalam?” soal Ara dengan nada yang makin perlahan. Seakan ingin berbisik pada Cik Ina.
“Hesy Ara ni… apa pula cakap macam tu?” marah Cik Ina bersama satu tamparan di lengan Ara.
Percuma aje Ara dapat tamparan. Itulah… mulut tak ada insurans. Selamba aje tabur fitnah.
Ara muncungkan bibir. Lengan yang kena tampar, digosok-gosok perlahan. Sakit tau tamparan Cik Ina tu. Bukan tamparan manja.
“Alah… Ara tanya aje. Yad tu kan dah lama belajar kat London. Dia mana kenal halal haram ni semua.”
Mengucap panjang Cik Ina mendengar bicara Ara. Kepala digeleng-gelengkan.
“Cik Ina tak payahlah ingat Yad tu suci sangat. Dia pun pernah masuk kelab. Tapi dia bukan pergi kelab untuk menari macam Ara. Dia sendiri yang cakap. Cik Ina fikirlah sendiri apa yang dia buat kalau dia tak menari. Hesy, Ara tak sanggup nak bayangkan… ”
Cik Ina menarik nafas dalam lalu dihela perlahan-lahan. Wajahnya kelihatan tenang. Sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata Ara.
“Cik Ina yang besarkan Yad dari dia kecil. Cik Ina lebih kenal dia daripada Ara.”
Ara senyum sinis.
“Memanglah Cik Ina yang besarkan Yad. Tapi Cik Ina tahu ke apa yang dia buat masa dia dekat London? Empat tahun Cik Ina… Manusia boleh berubah dalam masa yang singkat. Apatah lagi empat tahun.”
“Tapi kalau Cik Ina rasa Cik Ina betul-betul kenal Yad, terpulanglah… Jangan nanti Cik Ina terkejut pula bila dah tahu perangai sebenar Yad. Masa tu, jangan cakap Ara tak bagitahu Cik Ina pula.”
Cik Ina senyum sahaja. Masih kekal tenang.
“Ara tak kenal Yad… Dari dulu lagi, Ara asyik nampak buruk Yad. Ara tak nampak pun baik Yad.”
“Apa yang baiknya tentang Yad kalau dia asyik kongkong Ara aje Cik Ina? Ini tak boleh, itu tak boleh. Semua tak boleh. Rimas tau. Macam diktator. Mama pula bagi aje Yad buat macam-macam kat Ara. Tahulah Ara ni menumpang aje kat rumah dia tapi dia ingat Ara nak ke semua ni? Kalau Ara diberi pilihan, Ara nak keluarga Ara semula. Biarpun kita orang hidup dalam kesederhanaan. Ara tak perlukan kemewahan ini.”
“Ara…”
Lembut Cik Ina menuturkan nama gadis itu. Seakan ingin memujuk.
“Tak ada istilah menumpang di sini. Ini rumah Ara. Ini juga rumah Yad. Kita tak perlu cakap pasal hal ni lagi ye,” tutur Cik Ina dengan nada yang sama. Tidak mahu panjangkan perbicaraan yang tak mungkin ada penghujung ini.
Wanita yang berusia lewat 40-an itu tahu apa yang terbuku di hati Ara. Seperti mana dia kenal Eiyad, seperti itu jugalah dia kenal Ara walaupun bukan dia yang melahirkan mereka berdua. Dia sudah bekerja dengan keluarga Eiyad bertahun-tahun lamanya. Dia yang jaga Eiyad dari kecil. Ara pula dia jaga sejak Puan Yasmeen sekeluarga berpindah masuk ke dalam rumah ini. Kedua-duanya sudah dianggap seperti anak sendiri.
“Jom kita masuk ke dalam. Hari ni Cik Ina buat nasi goreng aje. Ara tak kesah kan?”
“Ara memang tak kesah tapi Ara tak ada selera nak makanlah Cik Ina…”
Sebenarnya Ara turun bawah tadi sebab dia nak sarapan. Perut terasa lapar selepas solat Subuh tadi. Tapi selepas perbualannya dengan Cik Ina yang suka sangat sebelahkan Eiyad, mati terus selera gadis itu. Hilang rasa lapar.
“Ara ambil hati dengan apa yang Cik Ina cakap ke?” tebak wanita itu.
Ara menggeleng perlahan. Menafikan untuk jaga hati Cik Ina.
“Tak adalah Cik Ina. Ara nak keluar kejap lagi…”
“Keluar ke mana?”
Datinglah Cik Ina,” balas Ara bersama sebuah senyuman. Cuba memulihkan suasana dengan senyuman manisnya.
“Hmm, kalau macam tu, Ara tolong panggilkan Yad. Suruh dia breakfast.”
Ara buat muka. Cik Ina nak aku panggilkan Yad? Tolonglah… memang tak! Hati aku masih panas dengan mamat tu.
“Tak naklah. Cik Ina pergilah panggil dia.”
“Alah… Lepas ni Ara nak naik ke bilik kan? Alang-alang tu panggilkan lah Yad. Cik Ina banyak kerja ni. Kat dalam tu, tak menyapu lagi. Tolong ye Ara…,” pinta Cik Ina dengan wajah meminta simpati.
Ara melepaskan nafas sedikit kuat.
“Yelah, yelah… Tapi kalau dia tak nak turun breakfast, Ara tak tahu ye. Tak ada kuasa Ara nak pujuk-pujuk dia untuk breakfast macam yang Cik Ina selalu buat.”
“Alah… pujuklah dia kalau dia tak nak turun. Kesian Yad. Entah dia makan ke tidak semalam.”
“Sayang betul Cik Ina dekat Yad kan,” perli Ara dalam nada gurau.
Cik Ina senyum lebar.
“Mestilah sayang…”
“Cik Ina tak sayang Ara pun!”
“Eh, siapa cakap? Dua-dua Cik Ina sayang tau.”
Terhambur tawa masing-masing dek kerana gurau senda pada pagi itu.


ARA terkesima. Mata tidak berkedip. Tubuh berdiri kaku. Degupan jantung mula tidak teratur.  Pipi terasa panas.
Segan.
Ara segan.
Faham tak perasaan Ara bila dia dah penat ketuk pintu bilik Eiyad beratus-ratus kali lepas tu Eiyad buka pintu dalam keadaan baru lepas keluar dari bilik air? Dengan tuala melilit di pinggang. Tangan kanan pegang tombol pintu. Tangan kiri tengah lap rambut basah dengan tuala muka. Badan pula terdedah. 
Ini merupakan kali pertama. Diulang. Kali pertama. Kali pertama Ara tengok Eiyad dalam keadaan macam ni meskipun mereka sudah duduk sebumbung bertahun-tahun lamanya.
Kenapa tiba-tiba aku rasa Yad ni hot? Oh, Ara… Sila tampar diri sendiri laju-laju. Kau dah kenapa? Tak pernah tengok orang lelaki tak pakai baju ke?
“Kau nak apa?” soal Eiyad apabila Ara berdiri tegak tanpa sepatah bicara. Sedikit pun dia tidak mengesyaki apa-apa. Ralit mengeringkan rambutnya yang basah.
Ara tersentak. Cepat-cepat dia kosongkan fikiran. Diusir segala benda yang menganggu.
“Err, Cik Ina panggil breakfast.”
“Okey.”
Ara masih berdiri tegak seperti tadi. Tiada ura-ura untuk melangkah pergi. Kakinya bagaikan dipaku di situ.
Kening Eiyad ternaik sedikit. Dia berhenti mengelap rambut.
Anything else?”
Sekali lagi Ara tersentak. Liur ditelan. Riak wajahnya cuba dikawal. Tidak mahu Eiyad tahu apa yang menganggu fikirannya sebentar tadi. Gadis itu berdeham sebelum memuntahkan bicara.
“Kau tak rasa kau ada benda nak beritahu aku ke?”
“Beritahu apa?” tanya Eiyad. Cukup bersahaja. Tanpa rasa bersalah sedikit pun pasal hal semalam.
Ara mula silang tangan. Peluk tubuh.  
“Pasal semalam?”
“Oh…”
Eiyad diam seketika. Ada riak bersalah di wajah lelaki itu tetapi tidak lama. Diganti dengan sebuah senyuman penuh makna. Senyuman nakal.
So, kau dah rasa apa yang aku rasa?”
Cukup selamba Eiyad berbicara.
Rahang Ara jatuh. Tak sangka Eiyad betul-betul nak balas dendam padanya.
“Lain kali jangan buat aku tunggu kau,” kata Eiyad bersama tawa kecil yang kedengaran hambar.
Pintu bilik ditutup.
Terkulat-kulat Ara dekat depan pintu. Tangan sudah mengepal penumbuk. Bersama hati yang panas, Ara melangkah ke bilik. Tubuh terus dihempas ke atas tilam. Bantal kecil dicampak sesuka hati, melampiaskan rasa marah.
“Tak guna!”
Satu bantal lagi dicampak.
“Aku baru aje nak buat baik semalam tapi ini balasan yang aku dapat? Kalau macam ni, baik tak payah nak buat baik langsung!”
Tok! Tok! Tok!
Ketukan di pintu mematikan niat Ara untuk campak bantal yang seterusnya. Wajah ditoleh ke arah pintu bilik yang tertutup rapat. Sedikit pun tiada niat untuk bangun dan buka pintu. Dia tahu siapa yang ketuk.
Eiyad!
“Kau nak apa?” jerit Ara. Kasar.
Dengan selamba, Eiyad buka pintu bilik Ara yang tak berkunci. Terlepas tawa dari bibir lelaki itu saat melihat bantal-bantal bersepah di atas lantai kayu. Tahu sangat Ara sedang marahkannya.
Tawa Eiyad membuatkan Ara semakin sakit hati. Rambut panjangnya yang sudah tidak berikat dikibas ke belakang. Matanya memandang ke arah pintu. Lebih tepat lagi ke arah Eiyad.
Eiyad menghela nafas perlahan. Kepala digeleng perlahan.
“Aku minta maaf,” ucap Eiyad. Ikhlas dari hatinya.
Tanpa dijemput masuk, Eiyad melangkah ke dalam bilik Ara. Dikutip satu per satu bantal yang Ara campak tadi lalu diletakkan semula ke atas tilam. Punggung dijatuhkan di atas sofa di tepi tingkap. Menghadap Ara yang tidak lagi memandangnya.
“Lama ke kau tunggu aku semalam?” tanya Eiyad. Lembut.
Ara diam. Tak nak jawab. Masih marah dengan lelaki itu.
Sorry. Aku ada hal penting nak diuruskan,” beritahu Eiyad.
Wajahnya ditundukkan sedikit. Tidak mampu nak pandang Ara tanpa menyatakan hal sebenarnya. Tidak mampu menatap wajah itu di saat dia terpaksa merahsiakan apa yang berlaku semalam.
Eiyad berdeham.
“Aku nak keluar lepas ni. Kau jangan pergi mana-mana. Duduk aje rumah.”
Terus Ara kalih pandang ke arah Eiyad apabila lelaki itu mengeluarkan perintah berkurung kepadanya.
“Kenapa kau boleh keluar tapi aku tak?” tanya Ara. Tidak puas hati.
“Sebab kau hanya boleh keluar bila ada aku,” jawab Eiyad selamba.
Hah? Jawapan jenis apa tu?
Ara melepaskan tawa. Tawa yang dibuat-buat.
“You do not own me, okay!”
Ara bingkas dari duduk. Berdiri depan Eiyad dengan wajah yang serius. Marah sebab hal semalam dah hilang bila Eiyad minta maaf dengan cara yang baik walaupun tadi lelaki tu ketawa mengejek dekat dia. Sekarang ni, datang marah lain pula. Marah sebab Eiyad suka-suka aje nak aturkan hidup dia.
Eh, hello… ini hidup dia okey. Eiyad tak ada hak nak kawal hidup dia. Kalau dulu tu, bolehlah Eiyad bagi alasan sebab dia bawah umur tapi sekarang ni? Dia dah dua puluh dua tahun. Dah layak mengundi pun.
“Tapi selagi kau belum kahwin, kau di bawah jagaan aku.”
“Oh really? Siapa yang cakap eh? Setahu aku, aku ni di bawah jagaan papa aku.”
And since papa kau tak ada, aku dipertanggungjawabkan untuk jaga kau.”
Ara menarik nafas lalu dihela perlahan. Gadis itu mara setapak ke depan. Semakin menghampiri Eiyad yang sudah berdiri.
“Siapa yang buat aku tak ada papa? Siapa yang buat aku kehilangan papa aku?” tanya Ara dengan nada terkawal.
Eiyad menelan liur. Pandangan dikalihkan ke tempat lain. Riak wajahnya dikawal sebaik mungkin. Wajah kosong dipamerkan.
Whatever it is, kau tetap tak boleh keluar hari ini. Titik.”
Usai menghabiskan bicara, Eiyad terus berlalu pergi. Ara hanya mampu tersenyum sinis.

Kau tak boleh nak halang aku, Eiyad. 

No comments: