Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 4


Ikatan tali kasut diperkemas. Beg tote yang dicampak ke tepi, dicapai lalu digalas ke bahu. Gadis itu mula mengayunkan langkah santai, mendekati Eiyad yang sedang membelek telefon di laman rumah yang berbumbung.
Eiyad menoleh ke belakang apabila deheman Ara menerpa gengendang telinganya. Pandangan mata lelaki itu terus tertumpu ke arah kasut yang tersarung di kaki Ara. Terukir sebuah senyuman di bibirnya.
Ara mengigit bibir. Sedar apa yang bermain di minda Eiyad ketika itu. Pandangan matanya turut dihalakan ke arah yang sama.
You are too gorgeous. I cannot resist, ucap Ara dalam hati.
Malam tadi, beria-ia Ara tekadkan diri untuk pulangkan semula kasut Adidas Yeezy pada Eiyad. Siap dia simpan semula dalam kotak. Tapi bila bangun aje pagi tadi, Ara keluarkan semula kasut itu. Dek kerana kata hati yang meronta-ronta untuk gayakan kasut itu.
Jahat betul hati ni. Tergamak mengkhianati diri. Akal kata jangan terima pemberian daripada Eiyad. Hati pula kata jangan tolak kasut Adidas Yeezy yang menjadi idamannya selama ini.
Nak harapkan dia beli kasut itu untuk diri sendiri, tak tahulah bila. Kalau dia dah kerja dan ada duit sendiri pun, belum tentu dia akan beli. Lebih baik dia gunakan duit itu untuk benda lain yang lebih penting.
“Dah nak pergi kelas?”
Eiyad melontarkan soalan yang boleh dikategorikan sebagai soalan berbasa-basi. Sekadar untuk memulakan perbualan. Dia tahu Ara ada kelas pagi itu. Jadual kelas gadis itu tersimpan kemas dalam memori mindanya. Tidak perlu ditanya lagi.
Ara hanya menganggukkan kepalanya. Pandangan mata dilarikan ke arah lain. Tidak membalas pandangan mata Eiyad.
“Jom!” ajak Eiyad sebelum mengayunkan langkah menuju ke keretanya di garaj.
“Naik kereta ke?”
Eiyad menganggukkan kepalanya.
“Aku nak pergi tempat lain lepas hantar kau,” balas Eiyad. Datar.
Ara akur. Tidak mempertikaikan. Dia tak ada masalah pun kalau Eiyad nak hantar dia naik kereta. Hari ini dia tak kejar masa.
Tanpa membuang masa, Ara meloloskan diri ke dalam kereta. Pintu kereta ditutup rapat. Tali pinggang keledar ditarik namun tersekat. Gadis itu mencuba sekali lagi.
Melihat Ara yang terkial-kial nak pakai tali pinggang keledar, Eiyad terus mendekatkan diri. Ingin membantu. Tindakan lelaki itu yang cukup bersahaja membuatkan Ara terpempan. Kaku di tempat duduknya. Hanya mampu melihat lelaki itu memakaikan tali pinggang keledar untuknya.
Suasana di dalam kereta sunyi tanpa sebarang perbualan sepanjang perjalanan menuju ke kampus. Hanya lagu-lagu yang diputarkan di radio menemani mereka.
Ara menyebak rambutnya ke belakang. Eiyad dikerling melalui ekor mata. Gadis itu sedang berperang dengan dirinya sendiri. Mindanya kini sedang bekerja keras untuk mencari kata putus. Sesekali matanya menjeling ke arah kasut yang dipakainya.
Perlukah dia mengucapkan terima kasih pada Eiyad?
Kalau nak diikutkan, memang Ara patut ucap terima kasih pada Eiyad. Itu yang sepatutnya. Bila orang bagi kita sesuatu, kita mestilah berterima kasih. Takkan tak cakap apa-apa. Macam tak beradab pula. Tapi masalahnya sekarang, Ara tak tahu macam mana nak cakap terima kasih pada Eiyad.
Nak ucap terima kasih tu bukanlah susah mana sebenarnya. Memang tak susah pun. Buka mulut, cakap terima kasih. Itu sahaja. Tapi kena faham yang Ara ni tak pernah cakap terima kasih pada Eiyad.
Tak. Pernah.
Faham tak? Tak pernah! Sebab tulah dia rasa kekok. Rasa berat mulut nak tuturkan ucapan itu. Tapi takkanlah Ara tak nak berterima kasih pada lelaki itu. Kasut orang tu bagi dia dah pakai tapi tak nak cakap terima kasih pula. Macam tak sopan aje.
Ara membersihkan tekak. Bibir gadis itu bergerak-gerak tetapi tiada bicara yang kedengaran.
Hesy, nak ucap terima kasih pun susah sangat ke, Ara? Kutuk gadis itu dalam hati. Mulut dia ni pun satu hal. Tak nak beri kerjasama langsung!
Nafas ditarik perlahan. Tangan digenggam. Cuba mengumpul keberanian.
“Te… terima kasih,” ucap Ara laju-laju. Senafas. Tanpa memandang Eiyad.
Eiyad yang sedang berkhayal dalam pemanduannya terpinga-pinga. Kepala ditoleh ke arah Ara.
“Ha? Apa dia?”
Yad tak dengar ke? Penat aku beranikan diri untuk cakap terima kasih tapi dia tak dengar, rungut Ara. Geram. Bibir diketap.
“Aku cakap terima kasih,” tutur Ara. Mengulang bicaranya. Masih tidak memandang Eiyad.
“Terima kasih untuk…?”
Eh mamat ni! Sengaja nak sakitkan hati aku ke macam mana? Buat-buat tak faham pula. Ara mula bengang.
“Untuk kasut ni lah…”
Nada suara Ara yang sudah berubah.
“Oh… sorry aku tak fokus,” ucap Eiyad dengan wajah tak bersalah.
Minda lelaki itu sedang diganggu sesuatu. Hatinya dihimpit dengan macam-macam rasa yang tidak enak. Bimbang. Takut. Risau. Keliru.
Eiyad menggelengkan kepalanya perlahan. Cuba mengusir perkara yang menghantui fikirannya. Ingin menumpukan perhatian pada pemanduannya dan juga Ara. Lelaki itu menoleh ke arah Ara sekilas.
“Aku tahu kau suka kasut tu,” kata Eiyad, bersahaja.
“Macam mana kau tahu?”
“Instagram.”
Ara memusingkan tubuh, menghadap Eiyad bersama mata yang membulat.
“Kau stalk aku?”
Eiyad koyak senyum apabila dilempar tuduhan sebegitu.
“Aku tak perlu nak stalk profile kau. Setiap kali aku buka IG, aku nampak post kau.”
“Kau follow IG aku? Bila masa aku approve kau?” tanya Ara. Pelik. Setahu dia, dia tak pernah approve follow request daripada Eiyad.
Eiyad tersenyum penuh makna.
“Kau ambil phone aku lepas tu kau approve diri kau sendiri eh?”
Ara menebak apabila dia mula menghidu sesuatu. Matanya dikecilkan.
Gadis itu mendengus kasar apabila Eiyad hanya mendiamkan diri. Diam lelaki itu sudah cukup memberikan jawapan untuk soalannya sebentar tadi. Tak guna! Maknanya selama ni Yad tahulah aktiviti-aktiviti aku. Dia tahulah apa yang aku post kat IG.
Ini memang boleh mendatangkan marah. Bengang pula Ara bila Yad ceroboh privasi dia. Tahu tak Instagram tu tempat privasi Ara. Kononnya kat situ dia bebas tanpa kawalan Eiyad. Tapi rupa-rupanya dia tertipu selama ini.
“Sejak bila?” soal Ara ingin tahu.
Eiyad menjungkitkan bahu.
“Entah. Tak ingat. Masa raya dua tahun lepas kot.”
Oh tidak! Lamanya!
“Apa username kau?”
“Kenapa? Kau nak block aku?”
“Kau rasa?”
Terlepas tawa kecil dari bibir Eiyad.
“Habis tu, kau ingat aku akan bagitahu username aku ke?”
Muka Ara mula masam.
Hey mister, you are invading my privacy. Now, please tell me your username so that I can block you,” kata Ara dengan nada yang masih terkawal.
Privacy?”
Kening Eiyad ternaik sedikit.
“Oh contohnya aktiviti-aktiviti kau dengan boyfriend kau yang acah-acah sweet tu? Surprisekan kau dengan bunga, ajar kau ice skating, teman kau pergi jumpa dentist waktu gigi kau sakit…”
Ara menggenggam kedua-dua tangannya. Kuat. Menahan diri daripada melepaskan bom atom. Sabar, Ara. Sabar. Pujuk hati gadis itu. Eiyad ni kalau tak sakitkan hati aku memang tak sah.
“Eiyad Emran,” tutur Eiyad senafas. Memberitahu username Instagramnya.
I didn’t use fancy username,” tambah lelaki itu sebelum membelokkan kereta ke fakulti Ara.
Dahi Ara berkerut. Kenapa aku tak perasan selama ni? Tanpa membuang masa, dia terus block profile Eiyad.
Eiyad memberhentikan keretanya. Brek tangan ditarik.
I’ll pick you up after class. 12.30 sharp. Hope aku tak perlu tunggu berjam-jam macam semalam,” kata Eiyad. Datar. Tanpa sedikit pun nada menyindir.
Ara berdeham. Pintu dibuka. Sempat dia menghadiahkan sebuah jelingan tajam kepada Eiyad sebelum melangkah keluar.


EMPAT pasang mata tertumpu ke arah kasut Ara sebaik sahaja gadis itu melangkah masuk ke dalam kelas tutorial. Dee, Airin, Faiq dengan Irfan. Wawa tidak kelihatan di mana-mana. Belum sampai lagi agaknya.
“Ara, kau beli juga kasut ni?” tanya Faiq dengan nada tak percaya.
Kawan-kawan gadis itu tahu yang Ara memang dah lama idamkan kasut itu.
Ara menjatuhkan duduk di sebelah Dee. Dia memang selalu duduk sebelah Dee. Kawan yang paling rapat dengannya berbanding yang lain.
“Berapa ribu kau beli ni wey?” tanya Dee. Ingin tahu.
Ara koyak senyum tipis.
“Kau orang ingat aku mampu ke beli kasut ni?”
“Dah tu, mana kau dapat? Ada orang bagi ke?” soal Irfan.
“Jangan cakap dengan aku yang Syaril hadiahkan kau kasut ni… Sumpah, aku jealous nanti,” sampuk Airin.
Ara melepaskan tawa.
“Bukan Syaril lah.”
“Habis tu, siapa yang bagi kau kasut ni? Mama kau?”
Ara diam seketika. Berfikir macam mana nak jawab soalan teman-temannya. Perlukah dia iyakan aje tekaan Faiq? Tapi bukan mama yang hadiahkan dia kasut ni. Eiyad yang hadiahkan. Macam mana aku nak beritahu dia orang pasal Eiyad? Dee memang dah tahu pasal Eiyad tapi Airin, Irfan dengan Faiq tak tahu.
Oh, Ara… kenapa nak kena kusutkan kepala dengan benda remeh ni? Soal hati gadis itu. Tekak dibersihkan. Pandangan dihalakan ke arah kawan-kawannya yang sedang menanti bicara daripadanya.
“Anak angkat mama aku. Dia baru balik dari London. So yeah… dia bagi aku kasut ni.”
“Mama kau ada anak angkat? Kenapa selama ni kita orang tak tahu?” soal Airin.
“Sebab aku tak suka cakap pasal dia,” balas Ara bersahaja.
“Perempuan?”
Ara geleng.
“Lelaki.”
“Banyaknya duit dia,” komen Irfan. Mata lelaki itu terlekat ke arah kasut Ara.  Dia pun ada simpan minat dengan kasut Adidas Yeezy tapi sama macam Ara. Minat aje mampu. Nak miliki tu, tak mampu.
“Keluarga Ara memang kaya,” kata Airin.
Ara mengukirkan senyuman. Hambar. Sebenarnya bukan keluarga dia yang kaya tetapi keluarga Eiyad. Dia hanya menumpang senang kekayaan keluarga lelaki itu.
Dee menyiku Ara yang baru sahaja ingin membelek iPhonenya. Sementara nak tunggu pensyarah masuk, Ara ingat nak buka notifikasi yang diterimanya tetapi diganggu Dee pula. Dee mendekatkan bibirnya ke telinga Ara yang ditutupi dengan beberapa helai rambut.
“Lama abang kau tunggu kau semalam tahu tak. Kesian pula aku tengok dia. Lepas aku balik dari library pun dia ada lagi.”
“Kenapa kau tak suruh dia balik aje?”
“Aku dah suruh tapi dia nak juga tunggu kau. Gigih betul. Tak faham aku… Kau ni pun satu. Kenapa tak beritahu dia kau pergi mana?”
Kening Ara ternaik sedikit. Memang tak lah dia nak beritahu Eiyad. Mana mungkin dia biarkan dirinya berada di dalam kawalan lelaki itu. Tidak mungkin sama sekali.
“Hari ni abang kau datang ambil ke?”
Ara angguk.
“Kereta kau mana? Kenapa kau tak drive?”
“Dah kena jual,” balas Ara. Bersahaja.
Dee terlopong.
“Serius? Siapa yang jual? Kenapa jual?”
“Mamat tulah. Dengan mama aku. Dia orang tak nak aku merayau.”
“Pergh! Dasyat betul. Sampai sanggup jual Lolo kau. Wey, aku minta maaf lah sebab bagi kereta kau pada abang kau. Aku tak tahu pun dia ambil kereta tu sebab nak jual,” kata Dee yang mula dihimpit rasa bersalah.
 “Aku tak salahkan kau lah. Kalau kau tak bagi pun, dia orang akan cari cara untuk jual Lolo aku.”
“Patutlah kau bad mood semalam… macam-macam jadi rupanya.”
Ara senyum kelat.
“Hmm, by the way, Airin dengan Wawa nak pergi Sunway Pyramid lepas habis kelas. Kau nak join dia orang ke?”
“Kau?”
Soalan berbalas soalan.
Dee geleng perlahan.
“Aku nak pergi library.”
Nerd!” ejek Ara bersama tawa nakal.
Dee memang skema pun. Sebab tu dia digelar ‘library girl’. Boleh dikatakan hari-hari Dee pergi perpustakaan. Gadis itu jarang ikut serta aktiviti-aktiviti sosial mereka. Apatah lagi clubbing. Dee memang lain sikit berbanding kawan-kawan Ara yang lain tapi mereka tetap serasi bersama.
Mungkin kerana Dee tu jenis yang berfikiran terbuka dan bukan jenis yang suka hakimi orang. Tapi tak bermaksud Dee tak pernah nasihatkan mereka semua. Dee ada nasihat tapi dengan cara yang baik. Cara yang mereka boleh terima. Apa yang Dee cakap tu memang betul. Tak ada salahnya. Tapi itulah manusia. Suka sangat buat benda yang salah.
Masa Ara nak ikut Wawa dengan Airin pergi ke kelab malam, Dee ada bagi tazkirah kepadanya. Tazkirah panjang. Ara memang dengar tapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sebab masa tu dia fikir dia pergi kelab untuk menari sahaja. Bukan untuk buat benda-benda yang tak senonoh. Kalau Wawa dengan Irfan nak teguk minuman haram tu, biarlah mereka. Itu hak dia orang. Yang penting, Ara tak sentuh minuman tu.
Itu yang Ara fikir selama ni. Berbeza sungguh dengan Dee.
Kalau Dee rasa benda tu salah, Dee akan tegur. Tegur dengan cara baik. Lepas tu, terpulanglah pada diri sendiri sama ada nak terima atau tak. Tapi Dee tetap akan menegur dari semasa ke semasa. Mungkin sebab ini Ara lebih rapat dengan Dee. Lebih selesa. Gadis itu memang seorang kawan yang baik. Yang prihatin.
“Kau nak ikut dia orang ke? Nak biarkan abang kau tunggu lagi?” tanya Dee sekali lagi.
Ara berfikir seketika. Apa yang dia nak buat kalau balik rumah awal? Ada baiknya juga kalau dia ikut Airin dengan Wawa ke Sunway Pyramid. Tapi Eiyad dah janji nak ambil dia. Perlu ke dia call Eiyad dan cakap tak payah ambil?
Hmm, macamlah Eiyad nak izinkan aku keluar. Eiyad tu kan control freak. Balik rumah ajelah. Lagipun, takkan aku nak biarkan dia tunggu aku macam semalam. Dah lah dia bagi aku kasut ni. Tak patut betul. Sungguh tak patut.
“Aku balik rumah ajelah. Nak layan TVD,” beritahu Ara bersama senyuman.
Okey juga kalau dia balik rumah awal. Boleh bermalasan atas katil sambil layan The Vampire Diaries yang dah banyak episod dia tertinggal.
Dah lama juga Ara tak mengikuti drama bersiri The Vampire Diaries ni sebab dia tak suka bila Stefan bersama Caroline. Dia suka Klaus dengan Caroline. Terputus mood gadis itu nak tengok The Vampire Diaries bila Klaus tidak bersama Caroline.
He is your first love. I intend to be the last. No matter how long it takes.’
Itu dialog yang Klaus ucapkan dekat Caroline masa siri keempat drama itu. Sehingga sekarang Ara ingat dialog itu. Dialog yang paling menusuk ke kalbunya. Susah untuk dia lupakan.
Kalaulah ada lelaki yang cakap macam tu dekat dia, memang boleh cair hati Ara. Lebih-lebih lagi kalau lelaki tu spesis macam Klaus. Bad boy!


JAM di pergelangan tangan dikerling entah buat kali ke berapa. Ara mendengus kasar. Mata meninjau-ninjau ke jalan mencari kereta Eiyad. Tahap kesabaran gadis itu semakin menipis dek kerana menunggu Eiyad yang tak kunjung tiba. Posisi tubuhnya sudah beberapa kali diubah. Sekejap berdiri, sekejap duduk mencangkung.
Orang pergi solat Jumaat pun dah balik. Mana pergi si Eiyad ni? Tadi kata tepat jam 12.30 tengah hari dia ada kat sini tapi sampai pukul 2 petang Eiyad tak muncul-muncul. Nombor telefon Eiyad pula tak dapat dihubungi.
Kalau dia tahu, dia ikut aje Wawa dengan Airin ke Sunway Pyramid. Tak adalah dia buang masa tunggu Eiyad berjam-jam kat sini.  Tahu tak dia lapar. Tak makan tengah hari lagi.
Eh… jangan-jangan Yad nak balas dendam dekat aku, fikir hati jahat Ara.
Bibir diketap geram. Sakit pula hati Ara bila terfikir dirinya berkemungkinan dimainkan oleh Eiyad. Skrin telefon ditekan-tekan kasar. Nombor telefon Dee didail.
“Kau kat library lagi ke?”
Ara terus mengajukan pertanyaan sebaik sahaja panggilannya disambungkan.
“Haah.”
Perlahan sahaja suara Dee. Bimbang menganggu pelajar yang lain.
“Dah makan?”
“Dah. Kenapa?”
Bibir Ara sudah muncung ke depan.
“Temankan aku makan, please…,” rayu Ara dengan nada simpati.
“Eh, kau kat mana ni?”
“Kat fakulti lagi. Yad tak ambil aku pun. Hampeh!”
“Hah? Biar betul? Kau dah call dia?”
“Betullah. Takkan aku nak tipu kau. Aku dah call dia tapi tak dapat. Masuk voice mail aje. Kau boleh temankan aku tak?”
“Hmm… aku baru aje masuk library. Tak sampai satu jam…”
“Alah, please…. aku lapar. Tak nak lah makan seorang. Jomlah temankan aku,” rayu Ara lagi.
Bila dah dengar suara Ara yang kesian tu, tak sampai hati pula Dee nak tolak permintaan Ara.
“Yelah, yelah. Kau nak makan kat mana?”
“Airin dengan Wawa ada dekat Sunway kan? Jom kita pergi sana. Boleh jumpa dia orang. Lepas tu, boleh main boling ke, tengok wayang ke, shopping ke… Aku stresslah. Aku tak nak balik rumah. Boleh kan Dee?”
Dee melepaskan nafas perlahan.
“Nasib baik kau ni kawan baik aku tau.”
Yeay!! Thank you Dee. Love you.”



No comments: