Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 3


Ara berdiri tegak di hujung platform. Tangan didepakan. Mata dihalakan tepat ke depan. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan.
Okay, ready?”
Ara mengangguk perlahan. Wajahnya tampak kosong. Tidak beriak. Sedikit garis cuak pun tidak kelihatan di wajah itu. Bukan gadis itu tidak takut. Bukan gadis itu tidak gentar. Meskipun sudah banyak kali dia melakukan terjunan bungee, rasa gementar itu tetap ada. Cuma rasa itu berjaya ditutupi dengan rasa yang lain. Rasa sedih. Rasa pedih. Rasa perit. Rasa luka.
Dalam kiraan tiga, Ara melakukan terjunan bersama jeritan yang sangat kuat. Gadis itu menjerit sepenuh hati. Melepaskan segala rasa yang terpendam di hati.
Lega. Puas. Itu yang Ara rasa setelah melakukan terjunan. Segala emosi yang berselirat dilepaskan bersama terjunannya sebentar tadi.
Feeling better?” soal Huzair sebaik sahaja mendapatkan Ara yang baru sahaja turun dari bot.
Ara menganggukkan kepalanya.
“Kalau tak okey lagi, aku boleh teman kau main G-Force X pula.”
Gadis itu menggelengkan kepala.
Bungee jumping is more than enough,” ucap Ara sebelum melabuhkan duduk di sebuah bangku kayu.
Huzair mengekori langkah Ara lalu duduk di sebelah gadis itu.
“Dah berapa kali eh kau terjun?”
Bahu dijungkitkan.
“Entah. Tak pernah kira.”
“Aku rasa dah lebih daripada sepuluh kali. Tak sangka budak pengecut macam kau ni, berani buat bungee jumping.”
“Bila masa pula aku pengecut?”
Terlepas tawa dari bibir Huzair.
“Eleh… dulu flying fox pun kau takut. Ingat tak kem yang kita pergi masa Form 1?”
“Itu cerita dulu…”
Sebelum aku kenal rasa sakit kehilangan. Sebelum aku rasa sakit ditinggalkan, sambung gadis itu dalam hati.
Suasana sepi buat seketika. Huzair sengaja memilih untuk mendiamkan diri. Memberi ruang kepada Ara untuk menenangkan fikiran. Rasa ingin tahunya membuak-buak, namun dia tidak akan memaksa Ara untuk bercerita kepadanya. Biarlah Ara sendiri yang buka mulut bila gadis itu sudah bersedia.
Ara melepaskan ikatan getah rambut. Rambutnya disisir dengan jari sebelum dibiarkan lepas. Tubuh disandarkan ke belakang bersama helaan nafas yang berat.
“Yad dah balik.”
Mata Huzair membesar. Sedikit terkejut.
“Bila?”
“Entah,” balas Ara bersama jungkitan di bahu.
“Semalam aku clubbing. Tiba-tiba aje dia…”
“Kejap! Kau pergi clubbing?”
Huzair potong bicara Ara dek kerana terkejut dengan bicara gadis itu.
Ara angguk.
“Sejak bila kau jadi minah clubbing ni? Oh my…. ni mesti boyfriend kau yang ajar kan?”
“Tak ada kena mengena dengan dia lah. Aku yang nak pergi. Sebelum kau fikir yang bukan-bukan…”
Ara jeda seketika. Kepala digelengkan.
“Tak! Aku tak buat benda-benda yang tak senonoh. Aku pergi sana, aku menari aje.”
“Perlu ke menari kat tempat macam tu? Jangan terpengaruh dengan kawan-kawan kau tu, boleh tak? Dia orang minum kan?”
Ara diam. Angguk tidak. Geleng pun tidak.
Huzair koyak senyum segaris. Sudah tahu jawapan Ara.
“Aku tak kesah pun kau nak berkawan dengan siapa. Tapi carilah yang elok sikit.”
“Yang minum tu dua orang ajelah Huzair. Yang lain tak. Sama macam aku. Kita orang menari aje.”
“Sekarang memanglah dua orang aje yang sentuh minuman haram tu. Tak lama lagi, jadi tiga orang. Lepas tu, empat orang. Lepas tu, dengan kau sekali join the club,” kata Huzair cukup bersahaja.
“Aku tak akan sentuh minuman tu lah, Huzair. Aku ni memanglah tak baik mana tapi aku masih tahu batas-batas yang aku tak boleh langgar.”
Huzair memandang Ara. Wajah lelaki itu kelihatan serius.
“Sekarang ni memang kau cakap kau tak akan sentuh. Tapi esok lusa? Hati kau tu dah cukup kuat ke nak tepis semua godaan? Okay, let me ask you… dia orang pernah offer kau untuk minum tak?”
Ara ketap bibir. Tiada jawapan untuk soalan Huzair. Irfan memang pernah suruh dia teguk minuman haram itu sewaktu dia menjejakkan kaki ke kelab malam buat kali pertama. Namun, dia cepat-cepat tolak dan sehingga sekarang dia masih berpegang dengan prinsipnya.
See! This is my point. Kalau hati kita belum cukup kuat, kenapa kita nak menempah maut? Selagi boleh elak, kita elak, Ara… Jangan jebakkan diri kau…”
Ara meraup wajahnya.
“Huzair… tolonglah jangan jadi macam Yad yang nak control dengan siapa aku berkawan. Rimaslah.”
Mulut Huzair separuh terlopong.
“Ara, kan aku dah cakap yang aku tak kesah kau nak berkawan dengan siapa. Aku bukan nak control kau. Tapi kau tu kawan aku Ara. Kawan baik aku. Aku rasa, tak salah kalau aku nak bagi nasihat kat kau. Atau kau rasa nasihat aku dah tak ada nilai sekarang ni?”
Penuh mendalam kata-kata yang dituturkan Huzair. Ara meraup mukanya. Siku ditongkatkan ke lutut.
“Aku minta maaf. Aku tahu kau sayang aku. Tapi Huzair… kau tak perlu risau. Aku tahu jaga diri aku.”
Okay, fine! Jangan kata aku tak tegur pula nanti.”
Senyuman nipis tersungging di bibir Ara.
Thanks for your concern.”
“Hmm, sambunglah cerita kau. Pasal Yad.”
Ara menghela nafas perlahan.
 “Semalam dia tiba-tiba muncul kat kelab dan heret aku keluar. Dia paksa aku ikut dia balik. Dia nak kawal aku macam dulu. Such a control freak,” rungut Ara, meluahkan rasa tidak puas hati di dalam diri.
 “Tapi bukan ini yang buat emosi aku tak stabil…,” sambung gadis itu seketika kemudian.
“Dah tu?”
“Yad jual Lolo aku,” tutur Ara dengan nada sedih.
“Lolo? Kereta kau?” tanya Huzair inginkan kepastian. Setahu Huzair, Lolo tu nama timangan yang Ara beri kepada kereta kesayangannya.
Ara mengangguk lemah. 
Like seriously?”
Gadis itu mengangguk lagi.
“Tu kereta kesayangan aku tau. Sampai hati Yad jual kereta tu. Mama aku yang suruh. Dia nak ikat aku lah tu. Tapi kalau dia tak nak aku merayau, kenapa dia bagi Lolo pada aku? Penat aku jaga Lolo dengan baik selama ni. Senang-senang aje Yad nak jual. Tahulah bukan pakai duit aku…”
Huzair terdiam seribu bahasa. Tak tahu nak kata apa. Lidahnya kelu. Dia pun tak sangka mama Ara sanggup jual kereta itu. Tapi mungkin ada baiknya tindakan wanita itu. Sekurang-kurangnya Ara tidak bebas untuk ke mana-mana.
Jauh di sudut hati Huzair, dia lega sebab Eiyad sudah balik dari London. Hanya lelaki itu yang mampu mengawal Ara.
“Aku ni teruk kan Huzair?” soal Ara. Tiba-tiba.
Huzair tersentak. Pandangan mata dihalakan semula ke arah Ara yang kelihatan sudah lebih tenang.
“Bila aku ada masalah baru aku nak cari kau.”
Gadis itu menjelaskan bicaranya. Bibir tersenyum nipis. 
Sorry… Aku tak ada niat pun nak guna-gunakan kau. Tapi kau satu-satunya kawan aku yang aku bebas untuk cerita segala-galanya. Kau tahu kan?”
“Aku tahu Ara… walaupun kau dah ada boyfriend, aku tahu aku tetap special buat kau,” kata Huzair dengan senyuman bangga.
“Ini kalau Syaril tahu, memang mengamuk mamat tu,” tambah Huzair bersama tawa kecil.
“Dah lama aku tak contact kau kan? Sekali lagi, aku minta maaf Huzair.”
“Tak apa… Aku faham. Susah juga kalau ada boyfriend yang possessive ni.”
Ara hanya senyum segaris.
Bukan boyfriend aku aje yang possessive tapi girlfriend kau pun, tutur Ara dalam hati.
Iya, memang betul. Bukan Syaril seorang sahaja yang tak suka Ara berkawan rapat dengan Huzair tetapi Faizah pun pernah melarang Ara daripada rapat dengan Huzair.
Ara tahu Huzair sayang sangat pada Faizah sebab tu dia malas nak mengadu apa yang Faizah buat pada dia sebulan yang lalu. Dia tak nak rosakkan hubungan Faizah dengan Huzair. Lagipun, dia faham perasaan insecure Faizah.
Tangan Ara segera meraba-raba beg tangan, mencari iPhone miliknya yang sedang berdering.
Speak of the devil,” kata Ara sebaik sahaja melihat nama pemanggil.
“Syaril call. Kau diam aje tau. Jangan cakap apa-apa,” pesan gadis itu sebelum menjawab panggilan daripada teman lelaki tiga bulannya. Mereka baru sahaja tiga bulan menjadi pasangan kekasih. Baru lagi.
Ara melekapkan iPhone ke telinga.
“Hello…,” sapa Ara dengan nada mesra dan lembut.
Huzair mencebikkan bibir. Gatal telinga mendengar sapaan manja Ara.
“Tak… I tak lupa. I ingat janji kita.”
Ara mengetap bibir. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Hesy, macam mana aku boleh lupa hari ni aku dah janji nak tengok Syaril lawan bola.
“Eh, tak payah ambil I. Nanti I pergi sendiri. Jumpa you petang ni.”
Cepat-cepat Ara tegah bila Syaril kata nak jemput dia kat fakulti.
“Okay. Bye sayang. I love you.”
Huzair melepaskan tawa mengejek sebaik sahaja Ara mematikan talian. Kepalanya digeleng-gelengkan.
“Bye sayang. I love you,” ajuk Huzair dengan riak wajah meluat.
“Eh kau ni dah kenapa? Jealous? Kau dengan Faizah tak macam ni ke?”
“Aku dengan Faizah macam biasalah. Tak ada lah tergedik-gedik macam kau. Bila cakap dengan Syaril aje, terus suara kau bertukar lembut. Fake gila. Dengan aku, tak ada pula kau nak cakap lembut-lembut macam tu.”
“Ini bukan fake namaya. Inilah beza kau dengan dia. Kau tu kawan aku. Dia tu boyfriend aku. Mestilah aku cakap lembut-lembut dengan dia. Walaupun kau tu special buat aku, tapi dia pun special juga. Kau special lain. Dia special lain,” terang Ara dengan wajah yang berseri-seri. Hilang terus rasa sedih setelah menerima panggilan daripada kekasih hati.
Huzair mencebik.
“Entah apa yang kau nampak dekat Syaril pun aku tak tahu. Nak kata handsome, aku tengok biasa aje muka dia.”
“Kan? Aku pun rasa muka dia biasa aje.”
Cukup selamba Ara mengutuk teman lelakinya. Tapi itu memang hakikatnya. Syaril tu tak adalah kacak mana. Hakikatnya, bukan paras rupa Syaril yang berjaya menawan hati Ara.
“Tapi… dia tu pandai berkata-kata. Pandai ambil hati aku. Pandai buat aku rasa di awang-awangan. Sebab tu aku sayang dia.”
Huzair senyum senget.
“Lelaki yang pandai bermain kata ni bahaya tau Ara… Hati-hati sikit.”
“Iya aku tahu…”



BIBIR Ara mengukirkan senyuman yang cukup manis sewaktu Syaril datang menghampirinya. Lelaki itu baru sahaja selesai bermain bola di padang. Tubuhnya dibasahi peluh. Ara mengambil tuala kecil di sisinya lalu diserahkan kepada Syaril.
“Wow… tak sangka boyfriend I handal main bola. Dua kali gol,” puji Ara dengan nada yang ceria.
Syaril melemparkan sebuah senyuman. Terselit sedikit rasa bangga dengan pujian itu.
“Nak air?” tanya Ara seraya menghulurkan sebotol air mineral.
Syaril angguk. Air mineral diambil lalu diteguk untuk menghilangkan dahaga.
“You dari mana tadi? Kampus?” tanya Syaril. Baru ada kesempatan untuk bertanya.
Lambat-lambat Ara menganggukkan kepalanya. Rasa bersalah pula sebab berbohong. Tapi kalau dia cakap dia bukan dari kampus, banyak pula soalan yang lelaki itu akan tanya. Tak pasal-pasal Syaril tahu dia keluar dengan Huzair tadi.
Bukannya Ara tak nak bersikap jujur dalam hubungannya dengan Syaril. Tapi… kalau pasangan kita ni seorang yang kuat cemburu dan suka menuduh membabi buta, ada baiknya kalau kita bersikap rahsia.
Ini pendapat Ara. Dia malas nak semakkan fikiran, malas nak bertengkar dengan Syaril semata-mata sebab dia keluar dengan kawan baik dia.
“I tak nampak pun kereta you. You park kat mana?”
Wajah Ara sedikit berubah apabila Syaril menyebut keretanya. Hati gadis itu masih lagi terkesan dengan perbuatan Eiyad.
“I tak bawa kereta.”
Syaril berpaling ke arah Ara. Mata lelaki itu sedikit membesar.
“Dah tu, macam mana you datang sini?”
“Uber.”
“Lah… tadi I nak ambil you, kenapa you tak bagi?”
“I tak nak susahkan you,” balas Ara bersama senyuman manis.
Syaril koyak senyum.
“You tak pernah susahkan I lah…”
“Iya ke? Hmm… kalau macam tu, I nak you temankan I dinner malam ni, boleh?”
“Itu memang dah termasuk dalam plan I.”
Syaril melirikkan pandangan ke arah iPhone Ara yang sedang bergetar. Sudah beberapa kali telefon itu bergetar tetapi tidak diendahkan.
“Kenapa you tak jawab?” soal Syaril, ingin tahu.
Ara tersentak. Dia ingat Syaril tidak perasan akan panggilan telefon yang diterimanya sedari tadi.
“Err, biar ajelah… malas nak jawab.”
“Ada orang ganggu you?”
Cepat-cepat Ara menggeleng.
“Orang nak jual insurans. I malas nak dengar.”
Mujur akal Ara cepat mencari helah. Gadis itu tersenyum nipis apabila Syaril mempercayai helahnya.
iPhone Ara bergetar sekali lagi.
Persistent betul orang insurans ni…,” komen Syaril bersama gelakkan halus.
“Eh, tak. Kali ni Dee yang call,” kata Ara.
iPhone dicapai. Panggilan daripada Dee dijawab.
“Beb, kau kat mana?”
“Aku keluar dengan Syaril. Kenapa?”
“Abang kau cari kau dari tadi,” beritahu Dee.
“Habis tu, kau cakap apa?”
“Aku cakaplah aku tak tahu. Memang aku tak tahu pun.”
“Bagus, bagus… kalau kau tahu pun, kau jangan bagitahu,” pesan Ara.
“Tapi kan… aku tengok dia macam orang gila cari kau. Kau tak kesian kat dia ke?”
Ara diam seketika. Kesian? Tak langsung… Buat apa nak kesian? Eiyad ni pun satu. Kenapa beria-ia nak cari aku? Mental betullah.
“Biarkan ajelah dia…,” tutur Ara dengan nada yang bersahaja.
“Hmm… tadi dia suruh aku kemaskan barang-barang kau yang ada kat rumah aku. Dia nak bawa balik. Kau dah tak tidur rumah aku lagi ke?”
Nafas dihela perlahan.
“Nampak gayanya macam tulah… Tapi nanti kalau aku rasa nak tidur rumah kau, aku ketuk pintu rumah kau. Masa tu, kau jangan halau aku pula.”
Dee melepaskan tawa.
“Kau sentiasa dialu-alukan ke teratak kecil aku,” seloroh Dee bersama tawa kecil.



JAM menunjukkan pukul 10.30 malam sewaktu Syaril menghantar Ara pulang ke rumah. Usai mengucapkan terima kasih kepada teman lelakinya, Ara melangkah keluar dari kereta. Lambat-lambat dia mengatur langkah ke dalam rumah.
Kereta dan motor Eiyad tersadai di garaj. Menandakan lelaki itu ada di rumah. Ara menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan-lahan. Mempersiapkan diri untuk diherdik dan dimarahi Eiyad. Dia tahu apa yang bakal dia hadapi sebentar lagi.
Tombol pintu ditolak. Sneakers dibuka lalu disimpan ke dalam rak kasut. Stocking dilucutkan dari kaki.  Ara mula meliarkan pandangan ke sekeliling. Mencari Eiyad yang dia sangka akan menantinya di ruang tamu. Namun, tiada. Ruang tamu kosong. Tak ada sesiapa.
Gadis itu meneruskan langkah. Menuju ke tangga. Hati mula disapa rasa pelik bila tak nampak bayang Eiyad di mana-mana.
iPhone yang disimpan di dalam poket seluar bergetar. Terus gadis itu mengeluarkan iPhonenya.
Eiyad?
Dahi Ara sudah berkerut saat melihat nama Eiyad tertera di skrin telefon.
“Aku ingatkan phone kau ada problem.”
Ya Allah! Hampir gugur jantung Ara bila tiba-tiba dengar suara orang di celah kesunyian. Spontan, kepalanya menoleh ke arah suara itu.
Eiyad sedang berdiri tidak jauh daripadanya. Sebelah tangan pegang muk, sebelah tangan lagi pegang telefon. Lelaki itu melangkah menghampiri Ara yang masih lagi terkejut. Pandangan mata dihalakan ke arah telefon pintar Ara yang berfungsi dengan baik.
Eiyad mematikan panggilan yang dibuatnya. Sekaligus iPhone Ara berhenti bergetar.
“Kenapa tak jawab call aku?” soal Eiyad.
Datar sahaja nada suara lelaki itu. Tiada langsung nada marah seperti yang Ara sangka. Wajah lelaki itu pun biasa sahaja. Kosong. Tanpa sebarang riak.
Sebuah senyuman terukir di hujung bibir Eiyad.
It’s okay. As long as you are safe,” tutur Eiyad sebelum berlalu pergi.
Ara terkesima. Terkebil-kebil matanya. Eiyad yang sedang mendaki anak tangga ke tingkat atas dipandang dengan rasa tidak percaya.
Itu aje?
Itu aje yang Eiyad cakap pada dia?
Wow!
Sumpah Ara terkejut. Tak sangka. Biar betul! Tak ada puting beliung malam ni?
Gadis itu mengetap bibir. Kaki kembali melangkah ke tingkat atas. Fikiran masih ligat berfikir tentang sikap Eiyad sehingga gadis itu masuk ke dalam bilik. Punggung dihenyak ke atas tilam.
Lah… buat apa aku nak kusutkan fikiran pasal mamat tu? Kira okeylah aku tak kena marah malam ni kan? Hesy, buat penat aje aku sediakan peluru-peluru untuk balas serangan.
Ara bangun dari duduk. Tuala mandi dicapai. Ingin membersihkan diri.
Ketukan di pintu mematikan langkah gadis itu yang ingin menuju ke bilik air. Spontan, mata terhala ke arah pintu bilik.
Itu mesti Eiyad. Apa yang dia nak?
Lambat-lambat Ara melangkah ke pintu bilik. Sebuah kotak yang berbungkus cantik diserahkan kepadanya sebaik sahaja dia membuka pintu.
“Hadiah untuk kau. Dari London.”
 Ara telan liur. Terkejut. Tergamam.
Lelaki itu mengukirkan senyuman nipis sebelum melangkah pergi. Sekali lagi Ara ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga. Pandangan mata jatuh ke arah kotak yang berada di dalam pelukannya.
Pintu bilik ditutup. Kaki melangkah perlahan sambil membuka bungkusan yang membaluti kotak pemberian Eiyad.
Oh.
My.
God.
Mulut Ara ternganga besar, membentuk huruf ‘O’. Matanya tidak berkelip memandang kotak kasut yang berada di tangannya. Bukan kotak kasut sebarangan tau tetapi kotak kasut Adidas Yeezy. Kasut idaman Ara yang selama ini dia mampu tengok sahaja tapi tak mampu nak beli.
Biar betul Yad belikan aku kasut ni? Mahal kot! Eh, jangan-jangan ini kotak aje. Kasutnya tak ada, fikir Ara yang masih tidak percaya. Manalah tahu Eiyad nak kenakan dia. Mamat tu bukan boleh percaya sangat. Mustahil lelaki tu nak belikan kasut yang mahal ni untuk dia.
Tanpa membuang masa, Ara terus buka kotak kasut untuk melihat isi di dalam.
Mata Ara membulat. Keterujaan menguasai diri gadis itu.
Oh my God! This is my favourite colour. Macam mana Yad tahu?”
Kasut dibawa keluar dari kotak lalu dibelek-belek dengan penuh rasa teruja.
This is my size.”
Bibir Ara tersenyum gembira. Perasaannya ketika ini sukar untuk dia ungkapkan. Yang pasti dia teruja dan gembira. Rasa macam nak lompat-lompat aje sebab dapat kasut idaman hati.
Sumpah, Ara teruja!
“Eh kejap!”
Senyuman di bibir terus mati. Wajah gadis itu bertukar serius.
“Kasut ni Yad yang bagi. Orang yang dah jual Lolo aku. I should not accept this,” kata Ara. Tegas. Seolah-olah nekad untuk tolak pemberian Eiyad.
Mata Ara masih lagi terlekat ke arah kasut di tangan. Mimik mukanya berubah lagi.
“Tapi kasut ni cantik sangat…,” tutur Ara dengan nada meleret.
Gadis itu segera menggelengkan kepala.
“Tak. Aku tak boleh terima kasut ni. Mamat tu ingat dia boleh pujuk aku dengan kasut ni? Memang tak lah. Lolo aku lebih berharga tau.”
Ara melepaskan keluhan kecil. Susahnya nak buat pilihan. Dengan penuh rasa berat hati, Ara menyimpan semula kasut ke dalam kotak lalu diletakkan ke atas meja.
Bye kasut. Kita tak ditakdirkan untuk bersama,” ucap Ara dengan nada sedih sebelum melangkah ke dalam bilik air.

Dia sudah membulatkan hati untuk pulangkan kasut itu kepada Eiyad esok. 


No comments: