Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 13



Lorong kecil itu disusuri sekali lagi. Kali ini, Ara tidak berseorangan. Ada Huzair yang sudi menemaninya. Kali ini juga, Ara tidak datang dengan tangan kosong. Ada makanan dan baju baru dibawanya. Untuk diberikan kepada Encik Yusof.
Ara ingin memujuk papanya lagi. Memujuk supaya mengikutnya. Huzair pun ada tawarkan untuk menumpangkan Encik Yusof di rumahnya sementara Ara carikan rumah sewa untuk Encik Yusof.
“Kau sure ke papa kau kat sini?” tanya Huzair. Masih mencari Encik Yusof.
Ara menganggukkan kepalanya.
“Tapi dah nak setengah jam kita kat sini. Tak nampak pun papa kau.”
“Semalam aku nampak papa aku kat situ,” kata Ara sambil menuding jari ke satu arah.
“Dia dah pergi tempat lain kot.”
Ara terkesima. Ada kemungkinan juga apa yang Huzair cakap tu. Gadis itu mula berasa gusar. Macam mana kalau papanya sudah pergi tempat lain? Macam mana dia nak cari lelaki itu?
“Kita cari lagi ye, Huzair? Cari sampai dapat.”
Nada suara Ara sudah berubah. Kerisauan di hati tidak dapat diusir pergi. Gadis itu risau sekiranya dia tak dapat bertemu Encik Yusof lagi.
Huzair mengangguk-anggukkan kepala.
“Jom cari kat situ pula,” ajak Huzair dan Ara hanya menurut sahaja.
Huzair kerling Ara. Garis kerisauan jelas terbentuk di dahi gadis itu.
“Jangan risau. Kalau kita tak dapat jumpa papa kau hari ni, aku akan tolong cari kat tempat lain. Aku akan cari papa kau Ara,” tutur Huzair, cuba menenangkan hati Ara.
“Huzair…”
Tiba-tiba Ara berhenti melangkah. Matanya terpaku ke satu arah.
Huzair turut berhenti melangkah. Ara dipandang.
“Kenapa?”
“Itu.”
Ara menuding jarinya ke satu arah.
“Itu papa aku,” kata Ara lagi dengan nada kelegaan. Senyuman terukir di bibir gadis itu.
Huzair mengalihkan pandangan. Memandang ke arah yang ditunjuk oleh Ara. Lelaki itu turut berasa lega.
“Apa yang papa aku tengah menungkan tu ya?” soal Ara. Masih memerhatikan Encik Yusof yang sedang duduk bersandar di dinding sambil merenung sesuatu.
Ara mula mendekati Encik Yusof dengan langkah yang cukup berhati-hati. Tidak mahu lelaki itu sedar akan kehadirannya. Dia ingin tahu apa yang Encik Yusof sedang renung, apa yang membuatkan wajah papanya tampak sedih.
Huzair hanya mengekori Ara dari belakang. Hatinya disapa rasa sedih saat melihat keadaan papa Ara. Kalau Huzair sendiri sudah rasa sedih, apatah lagi Ara. Anak mana yang sanggup tengok keadaan papanya sebegitu?
“Papa masih simpan gambar kita sekeluarga?” tanya Ara riang sewaktu ternampak gambar mereka sekeluarga di tangan Encik Yusof.
Encik Yusof terpempan apabila Ara tiba-tiba muncul di situ. Segera dia sembunyikan gambar di tangannya. Air mata diseka.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Encik Yusof dengan nada keras. Seolah-olah tidak suka dengan kehadiran Ara.
Ara ukir senyum. Cuba tidak ambil hati dengan bicara kasar Encik Yusof. Gadis itu duduk mencangkung di hadapan Encik Yusof.
“Jumpa papa lah. Papa nak ikut Ara balik tak?”
Encik Yusof tidak memberikan sebarang respons. Wajahnya dikalihkan ke tempat lain. Tidak mahu memandang Ara.
“Ini kawan Ara. Huzair. Papa boleh tumpang rumah dia dulu sementara Ara carikan rumah untuk papa.”
Huzair mendekati Encik Yusof, ingin bersalam. Namun, huluran tangan Huzair tidak bersambut.
“Tangan aku kotor,” kata Encik Yusof. Masih dengan nada yang sama.
Huzair tarik semula tangannya.
“Jom ikut kami balik, pak cik. Pak cik boleh mandi kat rumah saya. Lepas tu, boleh pakai baju yang Ara belikan untuk pak cik,” pujuk Huzair.
“Aku tak nak ikut sesiapa. Aku nak duduk sini. Jangan kacau aku.”
“Kenapa papa tak nak ikut Ara? Papa tak rindukan Ara ke? Papa tahu tak Ara rindukan papa? Sangat sangat rindukan papa,” tutur Ara bersungguh-sungguh.
Encik Yusof pandang Ara dengan wajah yang tidak beriak.
“Aku bukan papa kau. Aku tak ada anak perempuan. Aku ada anak lelaki aje.”
Ara terkesima. Liur ditelan. Gadis itu terasa hati dengan bicara Encik Yusof. Ara tahu anak lelaki yang papanya maksudkan. Tapi, mana lelaki tu? Kenapa dibiarkan papa menjadi gelandangan di sini?
“Ya, papa memang ada anak lelaki. Ara tahu. Tapi dia tu anak tiri papa. Bukan anak kandung. Ara ni anak kandung papa. Kenapa papa tak mengaku yang Ara ni anak papa? Kenapa papa tinggalkan Ara dekat mama? Papa tahu tak yang Ara tak happy hidup dengan mama? Papa tahu tak lepas papa pergi, Ara asyik mimpikan papa. Ara menangis tiap-tiap hari sebab Ara rindukan papa. Papa tahu tak? Kenapa papa tak pernah cari Ara? Papa tak rindukan Ara ke? Papa tak sayangkan Ara?”
Air mata sudah membasahi pipi Ara. Sedih dengan nasib diri. Mamanya begitu, papanya begini. Mengapa keluarganya tidak bahagia seperti orang lain?
Encik Yusof mula berdiri. Wajah sedih Ara tidak dipandang. Tidak sanggup. Hatinya mula disapa rasa sebak. Dia ingin pergi dari situ. Tidak betah mendengar rintihan anaknya. Dia tahu dia bukanlah papa yang baik. Bukanlah papa yang sempurna. Dia tak layak untuk bergelar seorang papa kepada Ara. 
“Papa nak pergi mana? Papa nak tinggalkan Ara lagi ke?” soal Ara seperti anak kecil yang akan ditinggalkan.
Ara turut bangkit. Diseka air matanya dengan tangan. Nafas ditarik lalu dihela perlahan-lahan. Wajah kosong Encik Yusof dipandang dengan rasa sebak yang cuba dikawal. 
“Tak apalah, pa. Ara tahu bukan senang nak pujuk papa untuk ikut Ara. Sebab tu, Ara dah belikan makanan untuk papa. Papa makanlah. Ni, baju untuk papa,” kata Ara seraya menghulurkan plastik berisi makanan dan juga baju kepada Encik Yusof.
Encik Yusof mengatur langkah pergi tanpa menyambut huluran plastik di tangan Ara.
Keluhan berat terlepas dari bibir Ara. Kenapa papa keras kepala? Kenapa papa tak nak terima pemberiannya? Hati Ara mula terasa perit. Perit dan pedih.
Huzair hanya mampu memandang sepi. Dia faham kekecewaan Ara tetapi dia tidak mampu memujuk gadis itu.
Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan dentuman yang sangat kuat dari arah kanan mereka. Ara dan Huzair saling berpandangan sebelum menoleh ke arah datangnya bunyi dentuman tadi.
Mata Ara membulat. Mulut terlopong. Jantung bagaikan berhenti berdegup. Tubuh terasa lemah.
Allahuakbar! Papa…. papa…
Ara terus belari ke arah papanya yang sudah terbaring di atas jalan raya setelah dilanggar oleh lori. Berlari mendapatkan papanya. Masa tu Ara dah tak fikir apa-apa. Dia hanya fikirkan papanya. Plastik di tangannya juga sudah dicampakkan entah ke mana.
Encik Yusof terus dipangku. Menggigil tangan Ara apabila tangannya sudah dipenuhi darah pekat. Terketar-ketar bibir gadis itu. Air mata mula mengalir deras.
“Papa…. papa….”
Ara mula meraung-raung memanggil papanya. Sedikit pun dia tidak hirau pada orang awam yang berada di situ.
Encik Yusof memandang anaknya dengan penuh rasa bersalah.
“Maafkan papa, Ara… maafkan papa,” tutur Encik Yusof tersekat-sekat.
Bicara Encik Yusof membuatkan raungan Ara semakin menjadi-jadi. Meraung hiba.  Akhirnya papa mengaku juga Ara ni anak papa.
“Ara sayang papa… papa jangan tinggalkan Ara. Jangan tinggalkan Ara…,” rintih gadis itu.
“Huzair…”
Ara mula memanggil Huzair apabila papanya sudah memejamkan mata.
“Huzair…,” jerit gadis itu lagi sambil mencari Huzair.
Huzair mendekati Ara apabila terdengar gadis itu menjerit-jerit memanggilnya.
Call ambulance, Huzair. Call ambulance,” gesa Ara.
“Aku dah call. Kita tunggu ambulance sampai,” beritahu Huzair dengan nada yang lembut.
“Kenapa papa aku pejam mata? Kenapa Huzair?” tanya Ara seperti orang yang sudah hilang kewarasan.
Huzair cuba menenangkan Ara. Tubuh gadis itu dibawa ke dalam pelukan. Lidahnya kelu untuk menuturkan sebarang kata. Tidak tahu bagaimana ingin menenangkan gadis itu. Dia sendiri masih terkejut dengan apa yang berlaku.


DUNIA Ara tiba-tiba terasa kosong. Jiwanya kosong. Fikirannya juga kosong. Gadis itu terduduk lesu di atas kerusi yang disediakan oleh pihak hospital. Huzair setia menemaninya di sebelah. Lelaki itu hanya berdiam diri. Memberi ruang kepada Ara untuk menerima takdir Tuhan.
Ara menundukkan pandangan. Merenung kosong ke arah lantai hospital. Gadis itu seolah-olah berada dalam fasa penafian. Menafikan apa yang pihak hospital maklumkan kepadanya. Menafikan apa yang telah berlaku.
Semuanya berlaku terlalu pantas. Sukar untuk Ara percaya dia baru sahaja kehilangan papanya. Papa yang baru dia temui setelah bertahun-tahun terpisah. Boleh faham tak perasaan Ara ketika ini?
Pipi gadis itu yang sedari tadi basah, kini sudah kering. Tiada lagi air mata yang mengalir. Gadis itu mula bermain dengan kukunya. Perlahan-lahan menyakiti kuku sendiri tanpa sedar.
“Sempat lagi kalau kau nak buat bungee jumping. Aku boleh bawa kau,” tutur Huzair.
Lambat-lambat Ara menggelengkan kepala. Saat ini, bungee jumping tidak memberi kesan kepadanya. Tiada apa yang mampu merawat jiwanya ketika ini.
“Salah aku ke Huzair?” tanya Ara tanpa nada.
Huzair kerut dahi. Tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Ara.
Ara menoleh ke arah Huzair. Wajahnya masih tidak beriak.
“Kalau aku tak jumpa papa aku, mesti dia tak kena langgar dengan lori kan?”
Huzair beristigfar di dalam hati.
“Ara… kau tak boleh salahkan diri kau. Kau kena ingat, ajal dan maut di tangan Tuhan. Bukan di tangan manusia.”
Ara kembali mendiamkan diri. Suasana kembali sepi.
“Aku baru aje dapat jumpa dia, Huzair.”
Ara kembali bersuara. Lirih sahaja nada suaranya.
“Sembilan tahun aku tak jumpa dia. Sembilan tahun aku tak dengar khabar dari dia. Aku hanya tahu dia dah ada famili lain.”
Gadis itu berjeda lagi.
“Aku sempat jumpa papa aku dua kali aje Huzair. Semalam dengan hari ni. Itu pun sekejap sangat. Aku tak sempat nak peluk dia. Aku tak sempat nak bawa dia makan kat tempat yang sedap-sedap. Aku tak sempat tengok dia pakai baju yang aku belikan untuk dia.”
Huzair mendiamkan diri. Memberi ruang kepada Ara untuk meluahkan apa yang ingin gadis itu luahkan. Dia hanya menjadi pendengar.
“Papa minta maaf, Ara… Papa minta maaf.”
Ara menuturkan semula apa yang Encik Yusof ucapkan kepadanya tadi.
“Itu yang dia cakap kat aku, Huzair. Dia minta maaf kat aku. Dia bahasakan diri dia papa. Kau tahu tak aku rindu nak dengar dia bahasakan diri dia papa? Aku rindu nak dengar suara mesra dia. Kenapa sekejap sangat aku dapat dengar suara mesra dia? Kenapa sekejap sangat Tuhan temukan aku dengan papa aku?”
Huzair menyentuh tangan Ara. Lembut. Sekaligus mematikan tindakan Ara yang sedang menyakitkan tangan sendiri.
“Aku tahu kau nak cakap apa Huzair. Kau nak suruh aku bersyukur kan? Ya, aku memang bersyukur. Aku bersyukur sebab aku sempat jumpa papa aku. Sempat dengar suara dia. Aku bersyukur, Huzair. Cuma aku terkilan. Kenapa? Kenapa sekejap sangat?”
Ara mematikan niat untuk terus meluahkan perasaannya saat matanya terpandangkan dua wajah yang paling dia tidak mahu lihat ketika ini. Eiyad dan Puan Yasmeen. Ara palingkan wajah ke arah lain. Macam mana dia orang tahu Ara ada kat sini?
Huzair bangkit dari duduk. Tangan dihulur untuk bersalaman dengan Eiyad.
Thanks Huzair sebab call aku,” kata Eiyad.
Ara mendengus geram dalam hati. Kenapa Huzair beritahu Eiyad?
Eiyad menumpukan pandangan ke arah Ara. Cuba membaca raut wajah gadis itu.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Ara kasar sambil membalas pandangan Eiyad.
“Kenapa kau bawa mama datang sini?”
Puan Yasmeen cuba mengawal riak wajahnya. Dipamerkan wajah tak ada perasaannya untuk menutup perasaan yang sebenar.
Cik Ina berdiri rapat di sebelah Puan Yasmeen. Bimbang sekiranya wanita itu pengsan di situ. Kesihatan wanita itu masih belum pulih sepenuhnya.
“Papa kat mana Ara?” soal Puan Yasmeen dengan nada yang dikawal sebaik mungkin.
Ara melepaskan tawa. Sinis.
“Mama tanya papa kat mana? Mama nak buat apa? Mama nak tengok muka bekas suami yang mama abaikan dulu?”
“Ara…,” tegur Cik Ina. Tidak suka gadis itu berkasar dengan Puan Yasmeen.
Ara pandang Cik Ina dengan wajah tidak bersalah.
“Apa dia? Salah ke apa yang Ara cakap?”
Gadis itu mula bangkit dari duduk. Puan Yasmeen didekati.
“Kalau mama tak abaikan papa, tak abaikan tanggungjawab mama pada keluarga kita, papa tak akan tinggalkan mama. Tak akan tinggalkan Ara. Semuanya sebab amanah keluarga Yad. Mama lebih pentingkan syarikat kawan baik mama daripada keluarga mama sendiri.”
Usai menghabiskan bicaranya, Ara berlalu pergi. Tidak betah berlama-lama di situ. Hatinya sakit. Hatinya perit.
Wajah Eiyad sudah berubah. Hati lelaki itu dihimpit dengan rasa yang sukar untuk diungkapkan. Sedih barangkali. Atau mungkin rasa bersalah.

Eiyad tahu selama ni Ara salahkan dia atas penceraian papa dan mama gadis itu. Dia tahu walaupun Ara tidak pernah cakap. Tingkah laku Ara sudah cukup memberitahunya. Namun, hatinya tetap terguris apabila mendengar kata-kata itu dari mulut Ara sendiri. Adakah selama ini dia telah meragut kebahagiaan Ara? Kebahagian keluarga gadis itu?

No comments: