Saturday, September 30, 2017

Pelangi Untuk Ara - Bab 10


Terpisat-pisat Ara membuka mata. Kepalanya terasa berat. Perlahan-lahan, gadis itu meliarkan pandangan. Memerhati sekeliling.
Wajah Ara terus berubah apabila menyedari dia kini berada di bilik hotel. Gadis itu mula cuak. Terus dia melihat tubuhnya di bawah selimut. Ada rasa lega apabila pakaian yang dia pakai semalam masih tersarung elok di tubuh. Namun, rasa cuak masih ada.
Apa yang aku buat kat sini? Macam mana aku boleh ada kat sini?
Gadis itu mula memerah otak, cuba mengingat semula apa yang berlaku malam tadi. Cuba mencari punca bagaimana dia boleh ada di bilik hotel ini.
Pergi kelab. Menari. Wawa. Irfan. Tengku Farid.
Rahang Ara terjatuh. Tengku Farid ada pesan minuman untuk dia dan lepas tu Ara tak ingat apa-apa. Jantung Ara mula berdegup laju. Wajah Ara bertukar pucat.
Apa yang berlaku lepas tu? Kenapa aku tak ingat apa-apa?
Bunyi orang ingin membuka pintu bilik menambah debar di hati Ara. Gadis itu ketakutan. Benar-benar ketakutan. Tubuhnya mengigil. Mata melekap ke arah pintu bilik. Tubuh kaku, tidak mampu bergerak ke mana-mana. Degupan jantung Ara semakin laju apabila pintu biliknya ditolak dari luar.
“Kau??” soal Ara. Cukup terkejut.
“Apa yang kau dah buat dekat aku?”
Ara sudah duduk bersila atas katil. Matanya tajam memandang Eiyad yang sedang berjalan ke arah sofa di sudut hujung bilik.
Eiyad menghempaskan punggung di sofa. Beg kertas yang dijinjing tadi, diletakkan di atas meja kopi.
“Tanyalah diri kau sendiri,” kata Eiyad tanpa nada.
Pandangan tajam Ara dibalas dengan pandangan kosong. Pandangan tanpa perasaan.
“Tanya diri kau, apa yang kau dah buat semalam,” kata Eiyad lagi.
Ara terdiam. Bibir digigit perlahan. Macam mana aku nak tanya diri aku kalau aku sendiri tak ingat apa-apa?
Suasana sepi buat seketika. Mereka hanya merenung sesama sendiri.
I thought we had come into an agreement. I return your Lolo. I give you freedom. And you promised me not to go to that place again,” tutur Eiyad satu per satu.
But… you broke that promise.”
Jelas kekecewaan Eiyad dalam nada suaranya.
“Kalau…”
Eiyad jeda. Membersihkan tekak.
“Kalau aku lambat seminit semalam, aku tak tahu apa yang dah jadi dekat kau. Mungkin hari ni kau bangun tanpa sehelai baju kat tubuh kau.”
Ara terpempan. Apa maksud Eiyad?
Tidak semena-mena, wajah gatal Tengku Farid terlintas di fikiran Ara. Sekelip mata, kejadian semalam terlayar di ruang minda gadis itu seperti sebuah rakaman video.
Selepas Ara meneguk minuman yang dipesan oleh Tengku Farid, kepala Ara terasa berat dan seolah berputar-putar. Tengku Farid menghulurkan bantuan untuk memapahnya. Ara tidak tahu ke mana hala tuju mereka tetapi yang pasti sebelum sempat Ara masuk ke dalam kereta lelaki itu, Eiyad muncul dan menarik tangannya sebelum melepaskan tumbukan padu ke wajah Tengku Farid.
Ara menelan liur. Pandangannya terus dijatuhkan ke bawah. Merenung selimut putih yang membaluti kakinya bersama hati yang bergelut dengan emosi.
 “Ini baju kau,” kata Eiyad sambil menolak sedikit beg kertas di atas meja kopi.
“Aku beritahu mama kau tidur rumah Dee. Aku tak sanggup nak biar mama tengok keadaan kau semalam.”
Eiyad bangkit dari duduk. Kunci kereta Ara dikeluarkan dari poket seluar.
“Kunci kereta kau, aku letak kat sini.”
Eiyad letak kunci kereta Ara di sebelah beg kertas. Kemudian, dia kembali memandang Ara. Wajah gadis itu tidak beriak.
“Aku pergi kerja dulu.”
Nafas ditarik lalu dihela perlahan. Eiyad mula melangkah pergi. Namun, baru beberapa tapak, lelaki itu mematikan langkah. Ara dipandang semula. Ingin meninggalkan pesan yang terakhir.
By the way, aku dah pesan room service. Kau makanlah dulu sebelum keluar.”
Ara tidak beriak. Sedikit pun tidak tersentuh dengan keprihatinan Eiyad. Wajahnya tampak kosong. Seolah-olah tiada perasaan.
Setitis air mata gugur di pipi Ara sebaik sahaja Eiyad meninggalkan bilik itu. Gadis itu mula memeluk lutut. Air mata makin deras mengalir. Segala rasa yang dia pendam sebentar tadi, dihamburkan dengan tangisan yang tidak berbunyi. Tubuh gadis itu menggigil ketakutan dek kerana insiden semalam.
Sungguh, Ara takut. Takut memikirkan kemungkinan yang berlaku ke atas dirinya jika Eiyad tidak muncul malam tadi.
Timbul rasa kesal di hati Ara. Kesal kerana terlalu mengikut kata hati. Kesal kerana melanggar janjinya pada Eiyad. Kesal kerana mengikut kawan-kawannya ke kelab malam. Kesal kerana menerima pelawaan lelaki yang tidak dikenalinya.
Ya Allah… Apa yang telah aku lakukan?
Ara menangis lagi. Hati gadis itu mula dibanjiri dengan pelbagai rasa yang sukar untuk diungkapkan.


LORONG kecil disusuri dengan langkah penuh berhati-hati. Pandangan dililaukan mencari seseorang. Dicekalkan hati untuk mencari Encik Yusof di tempat yang selalu Dee agihkan makanan kepada gelandangan. 
Setelah lama mengurung diri, menghamburkan kesedihan di bilik hotel, Ara memutuskan untuk mencari papanya. Gadis itu kelihatan lebih tenang daripada pagi tadi. Insiden malam tadi cuba dilupakan. Dilenyapkan dari kotak ingatan. Dia ingin fokus dalam pencariannya. Mencari tanpa arah yang pasti.
Langkah diatur mendekati seorang pak cik tua yang tidur beralaskan kotak di belakang kedai yang terbiar. Diamati wajah lelaki itu yang terlindung sedikit dengan helaian surat khabar lama.
Hampa. Itu bukan Encik Yusof.
Ara kembali melangkah. Meneruskan pencarian. Ada rasa takut sewaktu menyusuri lorong kecil yang sunyi itu. Namun, Ara beranikan diri demi mencari papanya.
Hati Ara disapa rasa sebak saat melihat kehidupan gelandangan yang ada di situ. Tak ramai tapi ada lah dalam dua tiga orang. Ada yang tidur. Ada yang sedang duduk sambil mencari barang-barang terbuang. Ada yang duduk termenung tanpa berbuat apa-apa. Pilu hati Ara. Begitulah agaknya kehidupan papanya.
Auch!
Ara mengadu kesakitan saat kakinya tersadung batu. Tidak perasan ada batu besar di situ. Mujur dia tidak jatuh.
“Woi! Jangan lari,” jerit sesorang.
Ara terus menoleh ke belakang. Terkejut dengan jeritan itu. Pandangan matanya terhala ke arah seorang lelaki tua yang sedang melarikan diri bersama sebiji pau di tangan.
Rahang Ara terjatuh. Matanya bertaut buat seketika dengan lelaki tua yang sedang melarikan diri sebelum lelaki itu berlari melepasinya. Bibir Ara terketar-ketar. Cuba menuturkan sesuatu tetapi kelu.
Papa. Itu papa. Dia yakin walaupun dia hanya nampak wajah lelaki tua itu buat beberapa saat.
“Tak guna! Hari-hari datang mencuri makanan dekat kedai aku,” bentak lelaki lewat 30-an yang menjerit tadi. Wajahnya kelihatan bengang.
Ara terkesima. Rasa sebak semakin menghimpit jiwa.
“Encik…,” panggil Ara.
Lelaki itu menoleh ke arah Ara.
“Err… pak cik tadi tu curi makanan dekat kedai encik ke?”
“Ha, yelah. Hari-hari. Pantang aku lepa sekejap. Ada aje yang dia nak curi. Hari ni dia curi pau pula. Entah bila majlis bandaraya nak halau dia orang,” rungut lelaki itu bersama dengusan kasar.
Ara mengeluarkan dua keping not RM 50 dari beg duitnya lalu dihulurkan kepada lelaki di sebelahnya.
“Encik ambillah duit ni untuk bayar balik makanan yang pak cik tadi ambil dari kedai encik,” kata Ara. Lembut.
Pandangan mata lelaki itu terlekat ke arah wang kertas yang dihulurkan Ara.
“Betul ke kau nak bayarkan untuk pak cik tadi?” soal lelaki itu, sedikit teragak-agak untuk mengambil duit itu.
Ara angguk. Pasti.
Lelaki itu terus mengambil duit di tangan Ara dan berlalu pergi tanpa sepatah kata. Malas nak tanya lebih-lebih. Orang dah bagi, dia ambil sahaja.
Ara melepaskan nafas berat. Matanya kembali melilau, mencari Encik Yusof yang melarikan diri sebentar tadi. Langkah diatur laju. Cuba menjejaki papanya.
Jauh melangkah, akhirnya Ara ternampak Encik Yusof di satu sudut. Sedang mengunyah pau yang dibawa lari tadi. Pilu hati Ara melihat keadaan papanya. Pau sahaja yang Encik Yusof makan tengah hari itu.
Bersama perasaan yang berbaur, Ara mendekati Encik Yusof.  Tangan digenggam, cuba mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan seorang ayah yang sudah bertahun-tahun meninggalkannya.
“Assalamualaikum…,” ucap Ara antara dengar tak dengar. Suara gadis itu hampir tidak keluar.
Ara duduk mencangkung di hadapan Encik Yusof. Mata dihalakan tepat ke wajah lelaki itu.
“Papa… Ini Ara. Papa masih ingat Ara?” tanya gadis itu, penuh mengharap.
Encik Yusof menggeleng-gelengkan wajahnya.
Ara mengetap bibir. Menahan rasa.
“Ini Ara… anak papa. Papa tak ingat ke?”
Gadis itu mencuba lagi.
“Oh, mungkin papa tak boleh cam muka Ara. Ara kan dah besar sekarang,” seloroh gadis itu.
Sekeping gambar yang sentiasa tersimpan elok di dalam purse, dikeluarkan lalu ditunjuk kepada Encik Yusof.
“Cuba papa tengok gambar ni. Ini papa. Ini Ara. Ini mama,” tunjuk Ara satu per satu.
Encik Yusof masih menggeleng-gelengkan kepalanya. Tangan Ara yang sedang menunjukkan sekeping gambar lama, ditepis kasar.
Ara terpempan. Gambar yang sudah jatuh ke lantai, dikutip semula.
“Aku bukan papa kau. Pergi… pergi,” halau lelaki itu. Kasar.
Tak. Tak mungkin lelaki itu bukan papa Ara. Ara yakin. Tanda lahir di belakang tapak tangan lelaki itu membuktikan lelaki itu ialah Encik Yusof. Tapi… kenapa Encik Yusof tidak ingat dia?
“Papa tak ingat Ara ke? Ini Ara… Ara anak papa. Nadya Fahara binti Yusof. Papa yang bagi nama ni dekat Ara.”
Nada suara Ara sudah berubah. Kedengaran lirih.
“Aku tak ada anak nama Ara. Kau pergi dari sini. Jangan kacau aku.”
“Pa… janganlah cakap macam tu. Ara ni anak papa. Ara nak bawa papa balik. Jom ikut Ara pa. Papa lapar kan? Ara bawa papa makan dulu.”
Encik Yusof menggeleng lagi.
“Aku tak nak ikut kau. Aku tak kenal kau.”
Ara melepaskan keluhan berat. Gadis itu buntu. Tak tahu macam mana nak pujuk Encik Yusof lagi.
“Kenapa papa tak nak ikut Ara? Ara boleh bagi papa tempat tinggal. Ara boleh bagi papa baju baru, seluar baru… Ara boleh sediakan makanan untuk papa,” tutur Ara dengan nada yang sama.
Encik Yusof menolak Ara sehingga gadis itu jatuh terduduk.
“Pergi dari sini. Jangan ganggu aku.”
Ara tergamam. Tidak sangka Encik Yusof akan menolaknya dengan kasar. Mutiara jernih mula mengalir di pipi tanpa dapat dikawal.
Ara sedih. Ara hampa. Ara kecewa. Hati bagai dicarik-carik dengan pisau yang tajam.
Encik Yusof dipandang bersama perasaan yang berbaur-baur. Bersama luka yang semakin menghiris jiwa, Ara melangkah pergi. Diayun langkah, mencari restoran berhampiran dengan niat untuk membelikan makanan tengah hari buat papanya. Hanya itu yang mampu Ara lakukan buat saat ini.


ARA mara ke depan. Langit biru yang berawan putih dipandang kosong. Satu per satu kejadian yang menimpa dirinya terlayar di ruang minda.
Bermula dari Dee melihat gambar papanya di bilik, berganti dengan saat Dee menunjukkan gambar Encik Yusof sewaktu mereka di dalam kelas, diganti pula dengan tautan mata antara dirinya dan Puan Yasmeen di ruang tamu, kejadian di kelab malam, insiden pagi tadi dan seterusnya pertemuan Ara dan Encik Yusof.
Ara pejam mata. Rapat. Nafas ditarik dan dihela perlahan-lahan.
“Cik okey tak ni?”
Ara hanya menganggukkan kepala.
Ready?”
Gadis itu angguk lagi. Tangan didepakan.
“Okey. Five, four, three, two, one…”
Terjunan dilakukan. Terjunan yang tiada perasaan. Tiada jeritan. Tiada pekikkan. Sunyi. Sepi. Sayu.
“Kenapa diam aje? Takut ke?” tanya seorang lelaki yang datang bersama bot untuk menurunkan Ara yang masih tergantung ke bawah.
Ara hanya tersenyum nipis. Tawar. Dibiarkan sahaja lelaki itu menanggalkan tali di badannya.
Dari tempat bungee jumping, Ara berjalan tanpa hala tuju. Bersendirian. Dia tak tahu nak ke mana lagi. Sudahnya dia hanya melangkah tanpa arah yang pasti. Melangkah dan terus melangkah.
Wajah Ara tampak kosong. Namun, raut kesedihan tetap terpamer di wajahnya. Luka di hati gadis itu masih lagi berdarah. Keperitan yang ditanggung masih lagi bersisa. Mana mungkin dia lupakan segala-galanya dalam sekelip mata?
“Ara…”
Suara yang memanggil lembut namanya, mematikan langkah Ara. Pandangan mata dihalakan ke depan.
Huzair.
Lelaki itu menghampiri Ara dengan wajah yang penuh kerisauan.
“Kenapa aku call kau asyik tak dapat aje?” tanya lelaki itu sedikit cemas.
Ara tidak memberikan respons. Memang dia tidak jawab panggilan daripada sesiapa pun hari ni. Panggilan daripada Dee, panggilan daripada Syaril, panggilan daripada Eiyad, semuanya dibiarkan tidak berjawab.
“Macam mana kau tahu aku ada kat sini?” soal Ara tanpa nada.
“Yad call aku. Dia kata kau mungkin perlukan aku. Dan bila aku tak dapat call kau, aku cari kau kat sini. Thought that you would do that crazy bungee jumping thing again.”
Yad call Huzair? Ara sedikit terkejut. Dalam masa yang sama, tersentuh dengan keprihatinan lelaki itu.
Kenapa? Kenapa Eiyad buat semua ini?
Huzair mendekatkan jaraknya dengan Ara. Berdiri betul-betul di hadapan gadis itu. Kedua-dua tangan diseluk ke dalam poket jaket. Pandangan mata merenung tepat ke dalam anak mata Ara.
“Kenapa kau tak call aku? Kenapa kau buat terjunan gila tu seorang diri? Selalunya aku yang akan temankan kau, kan? Kau dah tak perlukan aku lagi ke?” soal Huzair satu per satu dengan nada perlahan.
Ara membalas renungan Huzair. Bicara lembut lelaki itu menyentuh tangkai hatinya. Kolam mata mula terasa panas. Tidak sampai sesaat, tangisan Ara pecah di hadapan Huzair. Tangisan yang kuat. Terhinggut-hinggut bahu gadis itu.
Di hadapan Huzair, Ara menangis sepuas-puasnya. Tidak ditahan-tahan. Tidak dikawal. Mata-mata yang memandang tidak diendahkan.
Huzair mula gelabah. Tak tahu nak buat apa bila Ara sudah menangis macam orang gila. Malu pada yang mata-mata yang memandang pun iya juga. Mesti dirinya dipersalahkan.
Tidak mahu menarik lebih banyak mata yang memandang, Huzair tarik tangan Ara dan dibawa ke tempat yang sunyi.
Ara hanya mengikut tanpa sebarang bantahan. Punggung dilabuhkan di sebuah bangku yang disediakan di situ. Tangisan masih lagi dihamburkan. Segala kesedihan dan keperitan yang dipendam, diluahkan dalam bentuk tangisan.
Entahlah… bila nampak Huzair sahaja, Ara terus tidak mampu memendam rasa. Mudah sahaja dia lepaskan segala-galanya.
Huzair duduk di sebelah Ara tanpa sebarang bicara. Memberi ruang kepada Ara untuk menangis sepuas-puasnya. Lelaki itu berdeham. Kemudian, bahu belah kirinya ditepuk-tepuk. Memberi tanda supaya Ara boleh melepaskan tangisan di bahunya.
Bila Huzair dah bagi lampu hijau, Ara terus menyembamkan muka ke bahu Huzair. Sambung nangis di bahu lelaki itu. Huzair biarkan aje jaketnya basah dengan air mata Ara.
Lama kemudian, tangisan Ara mula reda. Gadis itu menjauhkan wajahnya dari bahu Huzair. Diseka-seka air mata yang membasahi pipi. Teruk sungguh wajah Ara ketika itu.
“Lap ajelah kat jaket aku. Dah alang-alang basah,” kata Huzair.
“Lepas ni, aku kena sediakan tisu sebelum jumpa kau,” seloroh lelaki itu dengan nada yang bersahaja.
Ara tergelak halus.
“Aku ada tisulah,” ucap Ara seraya mengeluarkan tisu muka dari beg tangannya.
Huzair melemparkan senyuman nipis. Diperhati sahaja gerak-geri Ara.
“Kau tak nak tanya apa-apa ke?”
“Aku tunggu kau bersedia nak cerita,” balas Huzair. Santai.
Ara koyak senyum. Huzair benar-benar memahami dirinya. Ini yang buat dia sayang lelaki itu. Sayang sebagai seorang kawan. Tidak lebih daripada itu.
“Yad ada beritahu kau apa-apa?” tanya Ara sambil membetulkan rambutnya.
Huzair geleng.
“Dia cuma cakap kau mungkin perlukan aku.”
Ara mengetap bibirnya. Nafas ditarik lalu dihela perlahan-lahan. Huzair dipandang redup.
“Aku tak tahu nak cerita dari mana Huzair. Macam-macam berlaku kat aku…”
Huzair memusingkan sedikit tubuhnya. Menghadap Ara.
“Ceritalah satu per satu. Lepas kau jumpa aku semalam, kau pergi mana?”
“Aku merayau-rayau. Cuba cari ketenangan. Tapi tak jumpa. So, aku balik rumah. Dekat rumah, aku ternampak mama aku. Terus aku rasa marah kat dia. Marah kat Yad. Semua yang berlaku sebab dia orang. Lepas tu, Airin call. Ajak clubbing dan aku setuju.”
“Apa jadi lepas tu?”
Ara pandang Huzair. Tidak tahu macam mana dia nak ceritakan apa yang terjadi kepadanya semalam.
Something happen kat kelab kan?” tebak Huzair.
Ara hanya mampu menganggukkan kepalanya. Wajahnya ditunduk. Tidak mampu membalas pandangan serius Huzair. Rasa bersalah. Rasa kesal. Bersalah sebab tak dengar nasihat Huzair. Kesal sebab ikutkan kata hati.
So, what exactly happened?”
A random guy puts something in my drink and I lost my consciousness,” beritahu Ara tanpa memberitahu tentang hatinya yang terdetik untuk cuba meneguk minuman keras yang ditawarkan oleh Irfan. Biarlah dia rahsiakan hal itu.
Huzair meraup wajahnya. Lelaki itu beristigfar panjang di dalam hati.
“Apa yang dia buat dekat kau?”
Ara menjongketkan bahunya.
“Aku tak tahu. Tapi rasanya dia tak sempat buat apa-apa sebab Yad datang selamatkan aku.”
And what if Yad tak ada malam tu?” soal Huzair sambil pandang tepat ke dalam mata Ara.
Ara ketap bibir. Hati kembali dirundung rasa sedih saat mendengar soalan Huzair.
Huzair menghela nafas berat. Rambutnya disebak ke belakang.
“Kenapa kau kena pergi tempat macam tu Ara? Nak cari ketenangan? Nak lupakan masalah kau?”
Huzair menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kau silap! Bila hati kita tak tenang, kita kena ingat pada Allah. Dekatkan diri pada-Nya. Bukan jauhkan diri. Kadang-kadang Tuhan sengaja uji kita supaya kita ingat pada dia.”
Ara terdiam.
“Lepas apa yang jadi semalam, kau nak pergi tempat macam tu lagi?” soal Huzair, ingin tahu.
Laju Ara menggelengkan kepalanya.
“Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya, kejadian semalam dah sedarkan kau.”
Iya. Ara tahu. Kejadian semalam cukup memberi pengajaran buatnya. Memberi tamparan yang cukup besar padanya.
“Ada lagi yang aku belum cerita,” tutur Ara. Perlahan.
“Apa dia?”
Ara menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dihela perlahan-lahan.
Pertemuan dengan Encik Yusof tengah hari tadi diceritakan pada Huzair. Air mata gadis itu kembali mengalir. Kesedihannya masih belum surut. Apabila teringatkan kejadian tengah hari tadi, air mata Ara automatik mengalir.
“Aku harapkan dia akan gembira bila nampak aku. Peluk aku. Tapi… dia kata dia tak kenal aku. Aku tahu dia tipu. Aku tahu dia sengaja buat-buat tak ingat aku. Sebab masa dia lari dari orang yang kejar dia, dia nampak terkejut bila nampak aku.”
Gadis itu berjeda seketika. Membersihkan tekak. 
“Aku nak bawa dia balik. Aku nak dia tinggalkan tempat tu. Kalau dia tak nak balik ke rumah aku, aku sanggup sewa rumah untuk dia. Aku sanggup Huzair. Aku sanggup jaga dia. Aku tak nak dia hidup susah lagi. Kau faham tak perasaan aku bila tengok papa aku terpaksa mencuri untuk makan sebiji pau?” tanya Ara bersama linangan air mata.
Dengan selamba, Huzair buka beg Ara. Tisu dicapai lalu dihulurkan kepada Ara.
Ara sambut tisu yang dihulurkan Huzair lalu diseka air matanya.
“Mungkin dia terkejut tengok kau. Bagilah dia masa… Kau tak boleh expect yang dia akan terus ikut kau.”
Masa. Huzair kata aku kena bagi masa pada papa? Tapi faham tak yang aku dah tak sanggup tengok papa hidup macam tu. Apa guna aku hidup senang kalau papa sendiri hidup merempat? Ara bermonolog dalam hati.



No comments: