Thursday, June 15, 2017

Satu Hari Sahaja - Bab 7


“Beb… bangunlah. Aku dah nak balik ni,” kata Dee. Mengejut Ara yang masih belum bangun walaupun jam sudah menunjukkan pukul 9.30 pagi. Sudah lebih daripada lima kali dia mengejut Ara tetapi gadis itu tidak bangun-bangun juga.
Terpisat-pisat Ara membuka matanya. Tangan meraba-raba meja di sisi katil, mencari iPhone miliknya.
“Awalnya kau nak balik. Baliklah tengah hari nanti,” ucap Ara dengan suara baru bangun tidurnya. Mata dipejam semula.
“Lah… boleh pula kau tidur balik. Bangunlah… Takkan aku nak turun sendiri. Seganlah aku.”
Ara buka mata semula. Dee yang sudah lengkap berselendang dipandang dengan rasa kantuk yang masih mengusai diri.
“Kau balik awal pun, kau nak pergi mana?”
“Kan aku ada program hari ni,” beritahu Dee. Pandangan mata dihalakan ke arah Ara yang sudah duduk bersila di atas katil sambil membetulkan rambut yang kusut.
“Kau sure ke tak nak join aku hari ni?”
“Hah?”
Ara yang masih mamai, terpinga-pinga.
“Kau tak nak tengok muka pak cik yang aku cakap macam muka papa kau?”
Ara diam. Memandang kosong ke satu arah. Lama. Dee hanya menanti. Beberapa saat kemudian, Ara mula menggelengkan kepalanya. Perlahan.
“Sure?”
Ara angguk.
Dee menghela nafas sedikit kuat.
“Suka hati kau lah… Dah, pergi basuh muka.”
Dengan penuh rasa malas, Ara mengayun langkah ke bilik air. Wajahnya dicuci. Gigi digosok. Tiba-tiba bicara Dee malam semalam mula menerpa ruang minda. Membuatkan dia termenung lama di depan cermin bilik air.
Ara mengeleng-gelengkan kepala. Cuba mengusir pergi fikiran negatif yang mula singgah di minda.
Tak.
Tak mungkin.
Itu yang Ara asyik ulang berkali-kali di mindanya. Gadis itu tidak percaya apa yang disampaikan Dee. Dari semalam dia cuba menidakkan kata-kata Dee.
Tidak mahu berterusan memikirkan hal itu, Ara cepat-cepat keluar dari bilik air.
“Jom!”
Dee menghampiri Ara. Sehelai seluar panjang dihulurkan kepada Ara. Seluar yang Dee ambil dari almari Ara.
“Nah, pakai ni…,” arah Dee memandangkan Ara hanya berseluar pendek paras paha.
Tanpa banyak songeh, Ara capai seluar di tangan Dee lalu disarungkan ke kaki tanpa membuka seluar pendeknya.
Ara dah lama kenal Dee. Dah faham sangat perangai Dee. Dee bukan jenis yang akan membebel pada dia kalau dia berpakaian yang kurang sopan atau yang boleh dikategorikan sebagai seksi. Sebaliknya Dee akan cari cara untuk menutup keseksian Ara. Kalau Ara nak keluar dengan baju tanpa lengan, Dee akan pinjamkan cardingan pada Ara. Tak pun jaket yang sesuai. Kalau Ara tunjuk kat Dee dress pendek masa dia orang tengah membeli-belah, Dee akan carikan dress labuh yang lebih sopan dan cantik.
Itulah Dee. Kawan yang Ara paling sayang. Ara tak pernah ambil hati pun sebab dia tahu Dee buat semua tu demi kebaikan dia. Kadang-kadang Ara buat apa yang Dee suruh. Kadang-kadang tak. Ikut yang mana Ara rasa okey pada dia.
Masa Ara nak pergi kelab malam minggu lepas, Dee ada ajak dia tengok wayang sebab Dee tak nak Ara ikut kawan-kawan dia yang lain. Tapi Ara tak endahkan ajakkan Dee. Natijahnya, dia diheret balik oleh Eiyad pada malam itu.
“Boleh tak Cik Ina nak ikut Yad hari ni? Cik Ina tak sempat nak melawat lagi…”
Suara Cik Ina yang sedang berbual dengan Eiyad di ruang tamu menyapa telinga Ara yang sedang menuruni anak tangga bersama Dee. Ara menghalakan pandangan ke arah Cik Ina dan Eiyad yang kelihatan seolah-olah sedang berbicara tentang sesuatu yang serius.
“Tapi kita tak boleh tinggalkan Ara seorang kat rumah. Entah apa yang…”
Ara terus berdeham sebelum Eiyad menghabiskan bicaranya.
“Apa salahnya kalau aku tinggal seorang kat rumah?” tanya Ara tanpa nada.
Eiyad menoleh ke arah Ara. Hanya buat dua saat. Soalan Ara dibiarkan tidak berjawab. Tiada mahu mencipta perbalahan yang dia pasti Ara tak akan menyerah kalah. Tak akan mengakui kesilapan diri. Dia dah cukup letih. Letih minda.
Ara jeling Eiyad sebelum menghalakan pandangan ke arah Cik Ina.
“Cik Ina nak ke mana?”
Cik Ina tergamam.
“Err… err…”
Wanita itu teragak-agak untuk menjawab soalan Ara.
“Hari ni Cik Ina ikut Yad. Dan kau…”
Eiyad pandang Ara dan berjeda seketika.
“Jangan mimpi boleh pergi mana-mana,” kata Eiyad tegas.
Usai menghabiskan bicara, Eiyad terus bangkit dari duduk dan naik ke tingkat atas. Ara mula buat muka tak puas hati.
“Kenapa dengan Yad tu Cik Ina? Pagi-pagi dah angin semacam.”
Cik Ina senyum penuh makna pada Ara.
“Sebab Ara lah,” jawab Cik Ina ringkas.
“Dah kenapa pula sebab Ara?”
“Dia tahu Ara keluar semalam. Itu yang dia angin.”
“Macam mana dia tahu? Cik Ina beritahu ya?” tebak Ara.
Pantas Cik Ina geleng.
“Dia nampak cookies Subway yang Ara belikan untuk Cik Ina semalam. Cik Ina tak habis makan. Dia tanyalah mana dapat cookies tu…,” terang Cik Ina.
“Cik Ina punya salah lah ni… Kan dah kantoi,” kata Ara tanpa sebarang perasaan. Tiada riak bersalah di wajah gadis itu. Seolah-olah tidak kisah perbohongannya sudah terbongkar.
Sememangnya... Perlukah dia ambil kisah jika Eiyad tahu dia keluar semalam?
“Baguslah tu. Salahkan Cik Ina pula. Hari ni Ara jangan pergi mana-mana. Dengar je cakap Yad. Duduk rumah. Jangan tambahkan pening dekat kepala Yad tu.”
“Eh, eh Cik Ina ni… Ada ke patut cakap Ara tambahkan pening Yad?” tanya Ara, tak puas hati.
“Dah lah Cik Ina. Ni kawan Ara dah nak balik.”
Pandangan mata Cik Ina dihalakan ke arah Dee yang sedari tadi mendiamkan diri. Sebuah senyuman dihadiahkan buat gadis itu.
“Awalnya Dee nak balik…”
Dee membalas senyuman Cik Ina.
“Saya ada hal sikit hari ni, Cik Ina. Tak boleh nak lama-lama kat sini. Terima kasih bagi saya tumpang tidur semalam.”
“Hal kecil jelah Dee. Kalau nak tidur sini lagi, datang aje. Ada juga Ara ni kawan. Dia selalu terperap je kat bilik tu. Tak tahulah dia buat apa.”
“Insya-Allah Cik Ina…”
“Sebelum balik, sarapanlah dulu,” pelawa Cik Ina.
“Pergi bawa Dee makan, Ara… Cik Ina dah sediakan kat atas meja,” tutur Cik Ina kepada Ara.
Ara hanya menurut. Dee di bawa ke ruang makan.
“Tegasnya abang kau,” bisik Dee sewaktu mereka ditinggalkan berdua.
“Tegas tak bertempat,” balas Ara. Selamba.
“Kenapa dia tak bagi kau keluar? Dah lah dia jual kereta kau…”
Ara sendukkan bihun goreng ke dalam pinggan Dee. Bahu dijungkit sedikit.
“Kau pun rasa dia tu gila kan? Aku pun tak faham kenapa dia nak kurung aku dalam rumah ni. Dia kata aku hanya boleh keluar kalau dia ada. Maknanya dia akan follow aku ke mana-mana aku nak pergi. Entah apa-apa je…”
“Kau pun ada abang kan Dee? Abang kau tak ada pun nak kongkong kau. Si Yad ni… dah lah bukan abang kandung aku. Tapi sibuk-sibuk nak kawal aku. Dari dulu tau.”
Ara mula meluahkan rasa yang terpendam pada Dee memandangkan Dee sudah kenal dengan Eiyad.
“Sebab aku pandai jaga diri aku sendiri kut! Tu yang abang aku percaya pada aku…”
Mata Ara terus dihalakan ke arah Dee.
“Kau nak kata aku ni tak pandai jaga diri?”
“Kind of!” balas Dee bersama senyum nakal.
Ara cebik bibir.
“Tapi kan Ara…”
Dee bersuara semula apabila Ara hanya berdiam diri.
“Walaupun muka abang kau tu tegas semacam, dia tetap nampak handsome.”
Hampir tersedak Ara mendengar bicara Dee. Cepat-cepat dia capai air.
“Apa benda kau merepek ni? Handsome celah mana?”
“Handsome lah wey. Muka melayu. Macho. Dark. Handsome. Tall tu tak berapa lah. Tapi boleh dikategorikan tall jugalah.”
“Aku rasa kau kena jumpa doktor pakar mata ni. Mata kau ada problem.”
Dee ketawa lepas.
“Aku rasa kau yang kena jumpa doktor. Syaril yang tak berapa nak kacak tu, kau kata kacak. Abang kau yang dah jelas-jelas muka hero Malaya, kau kata tak handsome. Mata kau yang ada problem.”
“Aip! Jangan nak kutuk boyfriend aku eh. Jealouslah tu. Aku ada boyfriend, kau ada?”
Dee tayang sengih. Sedikit pun tak terasa dengan bicara Ara yang dia rasakan lucu itu.
“Siapa kata aku tak ada?” soal Dee dengan muka berlagak.
Ara kerut kening.
“Ada ke? Kau tak pernah cakap pun…”
Dee senyum penuh makna. Senyum yang tampak nakal dan gatal.
“Abang kau lah boyfriend aku. Opps! Soon to be…”
“Sengal kau kan? Tak payah nak beranganlah Dee. Nanti tak pasal-pasal aku benci kau pula.”
Dee ketawa lepas.
“Aku main-main je. Tapi kalau betul pun, apa salahnya… So far, abang kau tu memenuhi kriteria yang aku nak untuk bakal suami aku.”
“Kau tak kenal dia lagi, dah sibuk cakap pasal memenuhi kriteria bagai…”
“Sebab tu aku kata so far. Faham tak ‘so far’? Setakat ini…”
Ara tidak memberikan respons. Bihun disuap ke dalam mulut.



Deringan telefon menganggu konsentrasi Ara yang sedang mengulangkaji di meja studi. iPhone segera dicapai. Nama pemanggil yang tertera di skrin telefon membuatkan kening Ara ternaik sedikit.
Eiyad.
iPhone diletakkan semula. Panggilan daripada Eiyad dibiarkan tidak berjawab. Malas.
Gadis itu kembali menumpukan perhatian ke arah tutorial Taxation yang dia cuba selesaikan sebentar tadi. Tutorial itu harus disiapkan hari ini juga. Kalau tidak, habislah dia esok. Manalah tahu kalau nama dia yang akan dipanggil untuk tulis jawapan kat depan.
Baru sahaja Ara nak tekan kalkulator, telefonnya berdering lagi. Terlepas dengusan kecil dari bibir gadis itu. Telefon dicapai semula. Sama seperti tadi, nama Eiyad yang tertera di skrin telefon. Dengan rasa malas yang memenuhi jiwa, Ara jawab panggilan daripada lelaki itu.
“Siap sekarang. Lagi setengah jam aku sampai.”
Pap!
Talian terus dimatikan.
Terjatuh rahang Ara. Terkejut. Terkesima. Tergamam.
“Mamat ni dah kenapa? Call aku tak sampai lima saat lepas tu letak,” rungut Ara.
Jari telunjuk Ara mula bermain dengan bibir.
“Kenapa dia suruh aku siap eh?”
Tanda tanya mula menerjah ke ruang minda.
“Argh, lantaklah...”
Arahan Eiyad yang menyuruh Ara siap tidak diendahkan. Selamba sahaja Ara sambung buat tutorial.
Masa terus berlalu. Ara mula tenggelam dalam dunianya. Tumpuan yang sepenuhnya diberikan. Kejap dia selak soalan, kejap dia tekan kalkulator, kejap dia menulis. Lagu-lagu yang dimainkan oleh playlist MacBook sedikit pun tidak menganggu Ara. Dia memang jenis yang boleh studi dengan lagu.
“Lah… kenapa tak siap lagi?” tanya Eiyad yang tiba-tiba terpacul di depan pintu bilik Ara.
Ara tersentak. Spontan kepala ditoleh ke arah Eiyad.
“Hey, tak reti nak ketuk dulu ke? Suka-suka hati je buka. Buatnya aku tengah tak pakai baju, macam mana?”
“Dah lebih sepuluh kali aku ketuk pintu bilik kau, Ara. Bukan setakat ketuk, hon pun dah berkali-kali. Kau tak dengar ke?”
Erk! Betul ke? Kenapa aku tak dengar? Soal gadis itu dalam hati.
“Dah, pergi siap cepat…,” arah Eiyad.
“Nak pergi mana?”
“Keluarlah.”
Ara mula mendengus.
“Aku tahulah keluar… Tapi keluar ke mana?”
“Bawa kau lunch.”
Dahi Ara mula berkedut.
“Tak nak lah aku lunch dengan kau. Aku rela makan maggi je kejap lagi.”
Eiyad pandang Ara. Nafas ditarik lalu dihela perlahan-lahan.
“Aku ada benda nak cakap dengan kau. Let’s talk over lunch.”
Ara mula berkira-kira dalam hati. Tutorialnya sudah siap. Perutnya pula sudah mula terasa lapar. 
“Okey,” putus Ara.
Gadis itu bangkit dari duduk. Meja dikemas ala kadar. Kemudian dia melangkah ke arah pintu. Eiyad yang masih tercegat di situ, dipandang bersama segaris senyum.
“Excuse me, princess nak bersiap,” kata Ara. Pintu bilik terus ditutup dan dikunci.
“Aku tunggu kau kat bawah. Cepat sikit,” jerit Eiyad di balik pintu.
Ara tidak memberikan sebarang respons. Setengah jam kemudian baru gadis itu turun ke bawah. Lama sungguh Ara nak bersiap. Masa dia turun, Eiyad sudah menunggu dia di kereta. Terus dia ayun langkah keluar. Pintu rumah dikunci. Kasut Yezzy disarungkan ke kaki.
“Cik Ina mana?” tanya Ara sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.
Eiyad menoleh ke arah Ara.
“Lamanya tuan puteri bersiap,” komen lelaki itu tanpa menjawab soalan Ara. Kereta mula dipandu.
Ara jeling Eiyad. Terasa komen Eiyad itu seakan perlian buatnya.
“Sebab tulah aku call kau. Suruh siap.”
“Lain kali, cakap elok-elok sikit. Bukannya call tak sampai lima saat, lepas tu letak. Kau expect aku akan ikut cakap kau?”
“Kalau aku cakap elok-elok pun, belum tentu kau ada dengar cakap aku, kan?”
“Memang pun. Baguslah kalau kau tahu.”
Eiyad senyum senget.
“Kau tak jawab soalan aku lagi,” kata Ara bila Eiyad tidak menuturkan sebarang bicara.
“Soalan yang mana?”
“Pasal Cik Ina. Tadi kan dia keluar dengan kau…”
“Ohh…”
Itu je respons Eiyad sebelum lelaki itu kembali mendiamkan diri.
“Kau tak ada nak tanya aku apa-apa ke?” soal Eiyad setelah lama membisu.
Ara pandang Eiyad. Terpinga-pinga. Soalan jenis apakah itu? Bukan ke dia baru je tanya Eiyad?
“Maksud aku, pasal mama…,” tambah Eiyad, menjelaskan bicaranya.
Giliran Ara pula yang mendiamkan diri. Apa yang Eiyad cuba sampaikan ni?
“Dah beberapa hari mama tak balik. Kau tak curious ke?” tanya Eiyad ingin tahu.
Sebenarnya Eiyad tunggu Ara tanya dia pasal Puan Yasmeen tetapi sehingga hari ini Eiyad tak nampak ura-ura Ara akan bertanya. Sudahnya, Eiyad sendiri yang tanya pada Ara.
Ara masih lagi diam. Bukannya dia tak perasan mama tak balik rumah dari hari Jumaat. Kereta mama pun tak ada kat rumah. Tapi Ara dah faham sangat jadual mamanya.
Kalau Puan Yasmeen dan kereta wanita itu tak ada kat rumah, maknanya Puan Yasmeen ada urusan kerja di luar negeri.
Kalau Puan Yasmeen tak ada kat rumah tetapi kereta wanita itu terletak elok di garaj, maknanya Puan Yasmeen ada urusan di luar negara.
Itu sahaja. Mudah. Ara dah cukup faham. Tak perlu ditanya lagi. Tak ada yang pelik bila Puan Yasmeen tak balik rumah.
“Sampai bila kau nak dingin dengan mama? Sampai bila nak benci mama?”
Eiyad kembali melontarkan soalan apabila Ara masih membisu.
Benci? Ara tak pernah benci mamanya. Cuma… lepas Puan Yasmeen ambil alih perniagaan keluarga Eiyad, wanita itu dah tak macam dulu. Puan Yasmeen jarang luangkan masa dengan Ara sehingga Ara tak tahu macam mana nak berinteraksi dengan mamanya.
Puan Yasmeen makin berubah selepas bercerai dengan Encik Yusof. Ara tak nampak sifat penyayang dalam diri mamanya lagi. Hubungan mereka berdua semakin lama semakin renggang.
“What if satu hari nanti mama tiba-tiba tak ada? Apa yang kau akan rasa? Masa tu, kalau nak menyesal pun dah tak guna.”
Bicara lembut Eiyad menyentap tangkai hati Ara. Bibir diketap. Liur ditelan. Suasana di dalam kereta tiba-tiba terasa serius.
Ara menyebak rambutnya ke belakang. Wajah tanpa perasaan dipamerkan. Tidak mahu Eiyad tahu jiwanya sedang dihimpit perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
“Kau ajak aku keluar sebab nak cakap benda ni ke?” tanya Ara tanpa nada.
Eiyad mengerling ke arah Ara. Hati berasa hampa dengan respons gadis itu. Nafas dihela perlahan.
“Tak… Bukan pasal ni.”
Kesepian mula menguasai suasana di dalam kereta. Masing-masing memilih untuk berdiam diri sehingga tiba di destinasi yang dituju. Eiyad fokus pada pemanduan. Ara pula hanya memandang kosong ke luar tingkap.



Suasana sepi di dalam kereta berlarutan sehingga mereka menjamu selera di Restoran Nando’s tengah hari itu. Eiyad kelihatan tenang mengisi perut. Sedikit pun tidak terasa kekok dengan suasana sunyi antara mereka. Seolah-olah selesa dengan suasana itu. Begitu juga dengan Ara. Gadis itu kelaparan. Tiada masa untuk dia rasa janggal. Lagipun bukannya dia tidak pernah makan berdua dengan Eiyad.
“So… apa benda yang kau nak cakap dekat aku?” soal Ara sebaik sahaja selesai menghabiskan makanannya. Tubuh disandarkan ke belakang. Santai. Menanti jawapan daripada Eiyad.
Eiyad koyak senyum sebelum mengelap bibirnya dengan tisu.
“Nothing much. Saja nak lunch dengan kau,” balas Eiyad. Senyuman masih terukir di bibir lelaki itu.
Hah? Jatuh rahang Ara dibuatnya.
“Saja nak lunch dengan aku?”
Eiyad mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Well, sejak aku balik, kita tak pernah makan bersama…”
Dahi Ara berkerut. Minda mula membuat kira-kira. Bukan ke sehari selepas Eiyad heret dia balik rumah, mereka bersarapan bersama?
“Berdua,” tambah Eiyad setelah menyedari apa yang bermain di fikiran Ara.
Perlu ke nak makan berdua dengan aku? Soal Ara dalam hati.
“Sorry… Aku busy sikit. Tak sempat nak bawa kau keluar makan,” tutur Eiyad dengan nada yang lembut.
“Kau tak payah minta maaf kat aku lah Yad. Aku lagi suka kalau kau tak kacau hidup aku.”
Eiyad senyum tawar.
“Kau ada nak shopping apa-apa tak?” tanya Eiyad.
Ara menggelengkan kepalanya.
“Kalau macam tu, kau temankan aku shopping. Boleh?”
Ara terlopong. Terkejut dengan permintaan Eiyad.
“Aku nak shopping baju kerja. Esok aku dah masuk ofis.”
“Kejap! Kau ajak aku keluar sebab kau nak lunch dengan aku? Lepas tu, kau nak aku temankan kau shopping? Wow!”
Ara mendekatkan dirinya ke arah Eiyad. Kedua-dua siku diletakkan di atas meja.
“You know what? We are not that close… Jangan pura-pura macam kita ni rapat sangat, boleh tak? Meluat pula aku…”
Eiyad tidak beriak. Tampak tenang sahaja. Tangannya mula mengeluarkan sesuatu dari kocek seluar. Kemudian diletakkan di atas meja.
“Lepas ni kita pergi ambil kereta kau.”
Mata Ara membulat. Terkejut melihat kunci keretanya berada di atas meja. Terkejut bila Eiyad cakap lepas ni mereka akan ambil keretanya.
“Kau tak jual?” tanya Ara yang masih tidak percaya kunci keretanya berada di depan mata.
Eiyad geleng.
“Habis tu, kenapa kau cakap kau dah jual?”
“Saja. Nak usik kau…,” balas Eiyad cukup bersahaja.
Apa dia? Saja nak usik aku? Jahatnya Yad! Tahu tak aku pergi buat bungee jumping sebab dia kata dia dah jual Lolo aku. Tahu tak betapa sakitnya hati aku, betapa sedihnya aku bila tahu Lolo kena jual.
Hesy, sakit pula hati Ara. Tergamak Eiyad main-mainkan perasaannya.
“Mama memang nak aku jual kereta tu… tapi aku tak bagi.”
Bicara Eiyad membuatkan Ara tergamam.
“Kenapa?”
Eiyad sungging senyuman.
“That’s your precious, Ara… Macam mana aku nak jual kalau aku tahu kau sayang sangat dekat kereta tu sampai bagi nama Lolo…”
Ara tergamam. Bercampur terharu. Bicara lembut Eiyad berjaya membuatkan dia tersentuh.
“Ma… macam mana kau tahu pasal Lolo?” tanya Ara tersekat-sekat dek kerana rasa terkejut.
“Oh, yeah… Instagram,” tutur Ara apabila teringatkan Eiyad merupakan followernya satu ketika dahulu.
Eiyad angguk kepalanya perlahan-lahan.
“Mama cakap apa bila kau tak bagi mama jual kereta aku?” soal Ara ingin tahu.
“Tak ada apa. Mama okey je.”
Ara menyepikan diri.
“Happy? Esok dah boleh drive Lolo ke kelas…,” kata Eiyad. Ceria.
Ara menyembunyikan senyuman. Mahu tak gembira? Hati Ara sudah menari-nari kegembiraan. Tak sabar nak jumpa Lolo. Rindu.
“Jomlah…”
“Ke mana?” tanya Ara terpinga-pinga.
“Ambil Lolo lah. Kau mesti excited kan?”
“Of course! Tapi tadi kau kata nak shopping baju kerja…”
“Dah kau tak nak teman aku…,” ucap Eiyad dengan nada sedih.
Erk! Rasa bersalah mula menghimpit jiwa.
“Kita dah ada dekat mall kan? Shopping jelah sekali. Takkan kau nak pergi sini dua tiga kali,” kata Ara. Tidak sampai hati nak abaikan permintaan Eiyad.
Eiyad tersenyum suka. Lebar senyumannya. Riang hati lelaki itu bila Ara memberikan persetujuan untuk menemaninya.
Eh, Yad ni… kenapa senyum macam tu? Bergetar pula jantung aku.
Cepat-cepat Ara kalihkan pandangan ke tempat lain. Tak sanggup nak pandang senyuman menawan Eiyad.

No comments: