Sunday, June 11, 2017

Satu Hari Sahaja - Bab 6

Eiyad melangkah lemah menuju ke dalam rumah. Letih. Tak cukup rehat dari semalam. Uruskan itu, uruskan ini. Semuanya dilakukan sendiri. Dari menguruskan hal syarikat sehinggalah menguruskan hal mamanya. Mujur semua urusannya dipermudahkan.
Mata Eiyad sedikit membesar tatkala ternampak Ara di ruang tamu. Terkejut melihat gadis itu. Jarang sungguh Ara nak duduk dekat ruang tamu di tingkat bawah. Ruang tamu di tingkat atas pun jarang. Gadis itu selalu terperap dalam bilik sahaja.
“Kau tunggu aku ke?” soal Eiyad tanpa nada.
Ara yang sedang ralit membelek telefon, tersentak. Tidak sedar bila Eiyad balik. Kepala secara spontan berpaling ke arah Eiyad.
“Tunggu kau?”
Tawa mengejek dilepaskan.
“Dalam mimpi jelah…,” tambah Ara.
“Dah tu, apa mimpi kau duduk kat bawah ni?”
“Tunggu Dee,” jawab Ara ringkas.
Dahi Eiyad berkerut.
“Kau nak pergi mana pula malam-malam ni?”
Ara pandang Eiyad, senyum sinis dan kemudian pandang telefon. Soalan Eiyad tidak diendahkan. Malas nak jawab. Malas nak layan Eiyad yang tak habis-habis nak mengawal dirinya.
“I’m questioning you, Ara.”
Wajah Eiyad mula nampak tegang. Nada suaranya juga sudah naik satu oktaf. Sudahlah letih, nak kena hadap perangai Ara yang keras kepala pula.
Ara masih diam. Wajah tak ada perasaan dipamerkan. Tumpuan masih terhala ke arah telefon. Melihat gambar-gambar di Instagram.
“Ara!”
Eiyad mula menempik. Namun tempikkannya itu masih terkawal. Tidaklah sampai tingkat atas boleh dengar suara Eiyad. Eiyad pun tak adalah nak tinggikan suara lebih-lebih pada Ara.
“Apa?”
Ara pula membentak. Baguslah tu. Eiyad menempik, Ara membentak.
“Susah sangat ke nak jawab soalan aku? Kau tahu tak sekarang dah pukul berapa?”
“Belum pukul 12 tengah malam lagi…,” balas Ara, cukup bersahaja.
“Lagi satu jam je nak pukul 12, Ara. Aku tak izinkan kau keluar. Masuk bilik sekarang.”
Eiyad mengeluarkan arahan keras.
“Sampai bila kau nak kawal aku ni, Yad?” tanya Ara perlahan.
Gadis itu melepaskan keluhan kecil.
“Dee nak tumpang tidur malam ni. So, aku tunggu dia. Aku tak ada nak keluar pergi mana-mana pun,” jelas Ara tanpa nada.
Ara tidak berbohong. Dia memang tengah tunggu Dee yang nak menumpang tidur di rumahnya malam ini. Dee lupa nak bawa kunci rumah dan tak ada siapa kat rumah Dee sekarang ni. Ada yang balik kampung. Ada yang pergi bercuti.
Riak tegang di wajah Eiyad mula kendur. Nafas dihela perlahan. Lega.
“Pagi tadi kau ada pergi mana-mana tak?”
Ara ketap bibir. Pandangan dilarikan ke tempat lain. Lambat-lambat dia geleng kepala.
“Betul ni?” soal Eiyad seakan sukar untuk percaya.
“Betullah. Kalau tak percaya tanya Cik Ina…”
Selamba je Ara petik nama Cik Ina yang baru muncul di ruang tamu. Terpinga-pinga wanita itu dibuatnya.
“Betul ke Ara tak keluar hari ni, Cik Ina?” soal Eiyad pada Cik Ina.
Cik Ina padang Eiyad. Kemudian pandang Ara yang sedang buat isyarat dengan mimik muka.
“Betul Yad. Ara tak pergi mana-mana hari ni. Yad baru balik ke?” tanya Cik Ina. Cukup prihatin tentang lelaki itu.
Eiyad angguk.
“Dah makan? Kalau belum, Cik Ina boleh panaskan lauk tadi.”
“Tak apa Cik Ina. Yad dah makan kat luar.”
“Macam mana keadaan…”
Cik Ina tidak jadi meneruskan bicara.
“Err, macam mana urusan Yad?” tanya Cik Ina, penuh makna tersirat. Cukup untuk dia dan Eiyad faham.
“Semuanya okey, Cik Ina...”
Cik Ina tersenyum lega. Hilang sedikit rasa bimbang yang menghimpit jiwa.
“Yad naik bilik dululah Cik Ina. Selamat malam…”
Cik Ina hanya pandang Eiyad yang sudah berlalu pergi. Kemudian, dia mengalihkan pandangan ke arah Ara yang sudah tersengih-sengih nakal.
“Thank you Cik Ina,” ucap Ara dengan nada manja. Senyuman terukir di bibir gadis itu.
“Ara ajar Cik Ina menipu pula ye?”
Cik Ina menjengilkan matanya. Ara ketawa mengekek. Geli hati pula tengok Cik Ina jengilkan mata sebegitu.
“Yad tu kecohlah Cik Ina. Entah apa-apa je tak bagi Ara keluar. Dia tu keluar pagi balik malam boleh pula. Ara yang keluar lambat dari dia pun dah balik dulu tau.”
“Yad keluar bukan untuk bersuka ria. Dia ada hal nak kena uruskan.”
Seperti biasa, Cik Ina membela Eiyad.
“Iya ke? Cik Ina yakin? Entah-entah dia berfoya-foya… kita mana tahu, Cik Ina.”
“Ara ni tak habis-habis nak fikir yang bukan-bukan, kan? Kalaulah Ara tahu apa yang Yad buat…”
Kening Ara ternaik.
“Apa yang dia buat?”
Cik Ina terdiam. Kepala digeleng laju.
“Tak ada apa-apalah… Ara buat apa kat bawah ni?” soal Cik Ina. Tukar topik.
“Tunggu kawan Ara. Hari ni dia nak tumpang tidur sini.”
“Oh… kawan yang mana?”
“Kalau Ara cakap pun, Cik Ina bukannya kenal.”
“Betul juga tu. Ara mana pernah kenalkan kawan-kawan Ara pada Cik Ina. Huzair je Cik Ina kenal.”
Ara tayang sengih. Telefon pintar gadis itu berdering. Cepat-cepat Ara capai. Panggilan daripada Dee segera dijawab.
“Beb, aku dah sampai.”
“Okey.”


Dee berdiri tegak di depan pintu bilik Ara dengan mulut yang terlopong dan mata yang membulat. Terpegun melihat bilik Ara. Dengan penuh rasa teruja, gadis itu melangkah masuk ke dalam bilik. Mata melilau memandang segenap sudut bilik yang berkonsepkan warna merah jambu cair dan putih.
“Masha-Allah Ara…. cantiknya bilik kau. Besar pula tu. Tiga kali ganda lebih besar daripada bilik sewa aku,” kata Dee yang masih teruja dengan kecantikkan bilik Ara.
Ara tidak beriak. Reaksi Dee yang pertama kali menjejakkan kaki ke biliknya tidak memberikan sebarang kesan kepada gadis itu.
“Kalau kau dah ada bilik yang super best macam ni, buat apa kau menyibuk dekat bilik sewa aku yang serba sederhana tu?”
Dee menghempaskan punggung di atas tilam berhampiran dengan Ara. Selendang satin masa melilit elok di kepala gadis itu. Tidak diendahkan untuk membuka selendang itu terlebih dahulu dek kerana rasa teruja yang masih belum hilang.
“Sebab kat sini tak ada kau…,” balas Ara bersahaja.
“Oh, so sweet… maksudnya, aku ni pentinglah buat kau kan? Kan? Kan?”
Dee sudah mula menggedik. Ara tertawa kecil.
“Mestilah penting. You are my best buddy. Ever.”
“Best buddy yang tak tahu sangat pasal kau sebab kau suka berahsia dengan aku,” kata Dee bersama muncung di bibir.
“Mana ada aku berahsia sangat dengan kau…”
“Yelah tu… Dah lama kita kawan tapi baru hari ni kau bawa aku ke bilik kau. Itu pun sebab aku yang minta nak tumpang tidur.”
Ara melepaskan gelak. Apa yang Dee cakap tu, sangatlah merepek. Tak ada kaitan langsung. Ara memang jarang ajak kawan-kawan dia ke rumah. Dari dulu lagi. Sebab ini bukan rumah dia. Huzair pun pernah masuk sampai anjung rumah je. Tapi memang betul apa yang Dee cakap. Ara banyak berahsia. Dia tak suka bercerita pasal keluarga dia pada sesiapa kecuali Huzair.
Dee kembali membuat rondaan di bilik Ara. Langkah diayun ke meja studi Ara yang kelihatan kemas dan teratur. Pandangan mata terjatuh ke arah sebuah bingkai gambar berwarna putih. Lama matanya memerhati gambar seorang lelaki yang sedang mendukung seorang kanak-kanak. Kanak-kanak itu pasti Ara. Tapi lelaki di dalam gambar itu….
Hati Dee mula dilambung tanda tanya. Bingkai gambar dicapai. Kepala dipalingkan memandang Ara yang masih duduk di tilam.
“Siapa lelaki ni Ara?” tanya Dee, ingin tahu.
Ara menghalakan pandangan ke arah bingkai gambar di tangan Dee. Terkesima dengan soalan Dee yang tidak diduga. Liur ditelan.
“Err… tu… papa aku,” beritahu Ara lambat-lambat bersama nafas yang tersekat-sekat.
Dee kembali merenung gambar di tangannya. Cuba mengamati wajah itu.
“Aku rasa aku macam pernah nampak papa kau…”
Wajah Ara terus berubah. Terkejut.
“Kat mana?”
Dee membetulkan posisi tubuhnya. Berdiri menghadap Ara sambil bersandar di meja studi. Gadis itu kelihatan teragak-agak untuk menuturkan kata.
“Kat mana Dee?” tanya Ara sekali lagi.
Dee gigit bibir.
“Err… masa aku agih makanan dekat homeless person,” tutur Dee. Perlahan.
“Papa aku pun join aktiviti tu?”
Ara tidak terkejut sebab papanya memang suka buat kerja-kerja amal.
Lambat-lambat Dee menggelengkan kepala.
“Tak. Aku bagi makanan kat papa kau.”
Wajah Ara terus berubah. Gadis itu tampak keliru.
“Kejap! Kau nak kata papa aku homeless dan kau bagi makanan kat dia. Macam tu?”
Dee pandang Ara. Lama. Kemudian, perlahan-lahan dia menganggukkan kepala.
Ara menghamburkan tawa. Tawa yang kuat. Yang tidak dibuat-buat. Hatinya dicuit rasa lucu.
“Ridiculous! Papa aku tak mungkin homeless. Tak. Mungkin.”
Ara berkata dengan nada yang cukup yakin. Siap ditekankan perkataan ‘tak mungkin’. Memang tak mungkin pun!
“Kau salah tengok orang kut Dee… Lagipun macam mana kau boleh ingat muka semua orang yang kau bagi makanan tu.”
Dee tarik nafas lalu hela perlahan-lahan.
“Aku mungkin silap… tapi Ara… aku memang ingat muka pak cik tu. Sebab setiap kali aku join program bagi makanan dekat homeless, dia mesti ada. Dan aku yang bagi makanan kat dia. Kita orang pernah berbual kejap. Muka pak cik tu sama macam muka papa kau.”
“Dee… Papa aku tak mungkin homeless, okey. Mungkin muka pak cik tu ada iras macam muka papa aku.”
“Mana kau tahu Ara… kau sendiri cakap kat aku yang kau tak pernah jumpa papa kau lepas papa dengan mama kau bercerai.”
“Iya, aku memang tak pernah jumpa papa aku tapi aku tahu papa aku dah ada keluarga lain. Dia happy dengan keluarga tu.”
Ara masih tidak mempercayai apa yang disampaikan Dee. Masih yakin Dee tersilap orang.
“Okey… Apa kata kau ikut aku esok? Jadi volunteer… sebab esok memang aku nak pergi sana,” cadang Dee.
“Hesy, tak naklah aku… Aku mana rajin nak buat benda-benda macam tu…”
“Apa salahnya buat kerja amal sekali-sekala? Dapat pahala tau. Aku nak kau tengok pak cik tu dengan mata kau sendiri.”
“Tak nak lah… Aku yakin pak cik tu bukan papa aku.”
“Hesy, degillah kau ni. Aku suruh kau tengok sendiri pun tak nak. At least, kau boleh confirmkan.”
Ara mendengus kecil.
“Dah lah… malas aku nak cakap pasal hal ni.”


No comments: