Thursday, May 18, 2017

Satu Hari Sahaja - Bab 2.2

(read bab 2.1 dulu yer)


Suasana di dalam dewan kuliah sunyi sepi. Hanya ada beberapa orang pelajar sahaja di dewan itu. Hari ini gadis itu tiba terlebih awal. Kawan-kawannya yang lain pun belum sampai. Mungkin sebab dia naik motor ke sini. Itu yang cepat je dia sampai. Kalau naik kereta, belum tentu dia sampai sebelum kuliah mula.
Ara memilih tempat duduk yang paling belakang. Punggung dihempaskan. Kepala dilentokkan ke atas meja, beralaskan lengan. Mata dipejam rapat. Cuba menenangkan diri. Emosi gadis itu tidak stabil saat ini.
Lama gadis itu dalam keadaan begitu sehinggalah tempat duduk di sebelahnya diduduki orang. 
"Awal kau sampai hari ni," tegur Dee yang baru sahaja tiba.
Ara mengangkat kepalanya. Pandangan mata dihalakan ke arah Dee yang berselendang warna krim pada pagi itu.
"Nah, barang-barang kau. Aku tak jumpa calculator kau. Tapi hari ni tak guna calculator kut. Lecture aje."
Ara diam lagi. Dee mula rasa pelik. Dahi gadis itu berkerut.
"Kenapa dengan kau?"
"Kereta aku mana Dee?"
Mata Dee membesar. Seolah-olah baru teringat sesuatu.
"Ha... lupa pula aku nak tanya kau."
Dee memusingkan tubuhnya, menghadap Ara. Tangan bercekak pinggang.
"Kenapa kau tak beritahu aku yang kau ada abang?"
Ara masih lagi tidak beriak.
"Aku tanya kau... mana kereta aku?"
"Dekat abang kau lah..."
"Macam mana kau boleh serahkan kunci kereta aku pada orang yang kau tak kenal? Kalau dia bukan abang aku macam mana?" Datar sahaja nada suara Ara sewaktu menuturkan bicara.
Dee mula kaget.
"Dia tu bukan abang kau ke? Tapi mama kau yang suruh aku serah kunci kereta pada abang kau. Abang kau call mama kau masa dia datang jumpa aku semalam. Eiyad kan nama abang kau?"
Ara melepaskan nafas berat. Rambut disebak ke belakang.
"Wey, kenapa? Kau jangan buat aku cuak?"
Ara menggeleng perlahan.
"Kenapa kau tak pernah beritahu aku yang kau ada abang? Aku ingat kau anak tunggal."
"Aku memang anak tunggal pun."
"Hah? Habis tu, Eiyad tu siapa? Anak angkat ke?"
Ara menganggukkan kepala. Malas dia nak bercerita panjang tentang sejarah keluarga dia.
"Handsome!" Tutur Dee sepatah.
Sebuah jelingan dihadiahkan pada kawan baiknya.
"Kau cakap apa lagi dengan dia?"
"Hmm... dia tanya kau pergi mana? Aku cakaplah kau keluar dengan Wawa semua..."
Oh, patutlah... Dee yang beritahu aku kat situ malam tadi.
"Dee... lain kali kalau dia tanya apa-apa pasal aku dekat kau, kau cakap je tak tahu. Tolonglah jangan jadi information counter untuk dia."
"Kenapa? Kau tak ngam ke dengan dia?"
"Tak!"
Dee melemparkan senyuman.
"Hmm, patutlah kau moody hari ni. Relaxlah Ara... Okey, aku janji lepas ni aku tak akan beritahu apa-apa kat dia."
"Beb!" jerit Wawa yang baru muncul di dewan kuliah bersama-sama dengan Airin. Langkah terus diatur mendekati Ara dan Dee.
"Kau balik dengan siapa semalam? Tiba-tiba je hantar text, kata kau balik sendiri. Apa kes?" tanya Airin.
"Kawan aku. Ada emergency," balas Ara perlahan.
Dee mengecilkan mata. Dia tahu Ara berbohong. Namun, dia diam sahaja.
"Oh... Irfan punyalah risau pasal kau. Dia takut apa-apa benda tak elok jadi kat kau. Nasib baik kau Whatsapp aku," tutur Wawa.
Ara hanya senyum nipis. Aku kena heret semalam, kau orang bukannya perasan, rungut gadis itu dalam hati.
Dewan yang sebentar tadi kosong, sudah dipenuhi dengan pelajar. Riuh-rendah jadinya. Wawa dengan Airin yang duduk di depan Ara dan Dee, rancak berbual sesama sendiri.
Dee mendekatkan wajahnya dengan Ara. Ingin berbisik.
"Semalam kau bukan balik dengan kawan kau, kan?" tebak Dee.
"Kau balik dengan abang kau?" Tebak Dee lagi bila Ara berdiam diri.
Lambat-lambat Ara menganggukkan kepala.
"Dia marah kau ke?"
Ara melepaskan nafas berat.
"Dee... aku rasa tak ada mood nak masuk kelas hari ni. Aku cau dululah."
"Ara... sorry. Aku tak ada niat pun nak buat kau..."
Belum sempat Dee nak habiskan kata-katanya, Ara sudah pintas.
"It's okay, Dee. Bukan salah kau. Tapi lepas ni, kalau dia tanya apa-apa kat kau, cakap je kat kau tak tahu. Okay?"
Dee mengangguk-anggukkan kepala. Siap angkat kelima-lima jarinya, tanda janji.
"Kau nak skip kelas ke hari ni?"
Ara angguk sambil angkat punggung. Sebelum pensyarahnya masuk, lebih baik dia keluar dulu.
Gadis itu membawa diri ke satu sudut. Tubuh disandarkan ke dinding. iPhone dikeluarkan dari poket seluar. Ingin menghubungi seseorang. Seseorang yang cukup akrab dengan dirinya sejak zaman sekolah lagi.
Selepas dua kali deringan, panggilannya gadis itu disambungkan. Suara garau seorang lelaki menyapa gegendang telinga.
"Huzair...," tutur Ara perlahan.
"Hmm, aku ingat kau dah tak nak call aku lagi."
"Kau masih marahkan aku?"
"Aku tak pernah marah kau, Ara..."
Ara mengetap bibir. Tiada bicara yang keluar dari mulutnya. Lidahnya seakan kelu. Dia perlukan Huzair saat ini tetapi dia tidak tahu sama ada lelaki itu akan meluangkan masa dengannya ataupun tidak.
"Hmm, kenapa kau call ni? Boyfriend kau tak marah ke kau contact aku?"
"Kau ada kelas ke hari ni?"
Soalan dibalas dengan soalan. Ara buat tak endah aje soalan kedua Huzair.
"Ada."
"Kalau macam tu, tak apalah. Sorry ganggu kau."
"Aku tak habis cakap lagi. Memang kalau ikut jadual, hari ni aku ada kelas. Tapi kelas aku cancel. Kau nak jumpa aku ke?" tanya Huzair yang sudah menangkap hasrat hati Ara.
"Aku nak buat bungee jumping. Kau boleh temankan aku?"
Huzair terdiam seketika. Bungee jumping? Huzair mula rasa tak sedap hati. Ara hanya akan buat bungee jumping waktu emosi gadis itu tidak stabil dan selalunya berkaitan dengan famili gadis itu.
"Kau gaduh dengan mama kau lagi ke?"
"Nantilah aku cerita. Kau boleh temankan aku tak?"
"Of course boleh. Kau kat mana ni? Kau nak aku ambil kau ke?"
"Aku kat kampus. Kau boleh ambil aku kan?"
"Boleh tu memanglah boleh. Tapi kau tak takut ke kalau boyfriend kau tahu kau naik motor dengan aku?"
"Biarlah dia. Aku malas nak fikir."
"Kalau macam tu, lagi dua puluh minit aku sampai."

No comments: