Wednesday, May 17, 2017

Satu Hari Sahaja - Bab 1


(unedited)
"Hey, lepaskan aku. Lepaslah!"
Meronta-ronta gadis yang bertubuh genit itu, meminta dirinya dilepaskan. Namun, teriaknya tidak diendahkan. Gadis itu tetap diheret kasar. Berkali-kali Ara cuba menarik tangannya tetapi tidak berjaya. Makin Ara meronta, makin kuat cengkaman lelaki itu.
"Lepaskan aku lah! Sakit tahu tak!" bentak Ara sekali lagi. Lebih kuat. Cengkaman lelaki itu mula menyakitkan lengannya.
Mata Ara mula meliar memandang sekeliling. Cuba mencari teman-temannya di dalam lautan manusia yang sedang seronok menari. Ingin meminta pertolongan daripada mereka.
Mana Wawa? Mana Airin? Mana Faiq? Mana Irfan? Takkan dia orang tak nampak aku kena heret dengan entah mamat mana ni? Rungut Ara dalam hati.
Ara mendengus kasar. Pandangan mata dihalakan semula ke arah lelaki yang sedang mengheretnya. Keadaan kelab yang gelap menyukarkan Ara untuk melihat wajah lelaki itu.
"Kau siapa? Apa yang kau nak?" tanya Ara dengan nada yang tinggi, seakan menjerit. Cuba melawan muzik yang kuat berkumandang.
Lelaki itu muncul secara tiba-tiba sewaktu Ara sedang seronok menari mengikut rentak lagu rancak yang diputarkan oleh deejay kelab. Tanpa sebarang bicara, tanpa sepatah kata, lengan Ara ditarik kasar lalu diheret pergi.
Ara mengetap bibir. Menahan rasa sakit di lengan kanan. Dalam masa yang sama, dia masih cuba menarik lengannya meskipun dia tahu usahanya itu sia-sia. Cengkaman lelaki itu terlalu kuat. Gadis itu tiada daya untuk melawan.
Keluar dari kelab, Ara terus diheret ke tempat parkir. Sorotan cahaya lampu jalan membuatkan Ara mampu melihat dengan jelas lelaki yang menariknya. Namun, dia hanya dapat melihat tubuh belakang lelaki itu. Wajah lelaki itu masih lagi tidak kelihatan.
Ara mula cuak. Siapa lelaki itu? Kenapa dirinya ditarik keluar? Apa yang lelaki itu ingin lakukan pada dia?
"Ini rupanya kerja kau selama ini!" herdik lelaki itu kuat. Tubuh Ara dicampak ke kereta.
Ara terpempan. Matanya terpaku ke arah wajah berang seorang lelaki yang cukup tidak asing buatnya. Buat seketika, gadis itu kelu untuk berbicara. Barangkali terkejut melihat Eiyad di situ.
"Tak malu ke terkinja-kinja kat dalam tu? Macam monyet!"
Ara melepaskan gelakan sinis. Tubuhnya disandarkan ke kereta. Santai. Tangan kiri memicit-micit bahagian lengan yang sakit. Riak wajahnya tampak kosong. Hilang terus rasa cuak yang hadir sebentar tadi setelah melihat wajah lelaki yang mengheretnya keluar dari kelab malam.
"Wow! My bodyguard is back. I should say... err... welcome home, I guess? Yeah, I think so. Welcome home, bro. Bila balik?" tanya Ara dengan nada yang cukup bersahaja. Nada sinis terselit dalam bicaranya.
"Sekarang bukan masa untuk kau welcome me home, Ara. Masuk dalam kereta. Sekarang!" arah Eiyad. Tegas.
"Whoa... Kau tak boleh nak arah-arah aku? Aku bukan budak kecil lagi. Bukan budak sekolah yang kau boleh arah itu ini."
Eiyad tajamkan pandangan.
"Aku bagi kau dua pilihan. A, kau masuk sendiri. B, aku humban kau. Kau nak yang mana satu?"
"Aku pilih C. None of the above," balas Ara bersama sebuah senyuman. Senyuman mengejek.
"Aku datang sini dengan kawan-kawan aku dan aku akan balik dengan dia orang. Bye!"
Gadis itu mula mengorak langkah pergi. Ingin kembali ke dalam kelab malam. Renungan tajam Eiyad sedikit pun tidak membuat Ara gentar. Untuk apa dia takut dengan lelaki itu?
"Kau tinggalkan aku dengan pilihan B, Ara."
Dalam sekelip mata, tubuh Ara dikendong di atas bahu seperti menggalas seguni beras. Tindakan Eiyad yang secara tiba-tiba itu membuatkan Ara terjerit kecil.
"Let me go, Eiyad! Let me go!"
Eiyad buat tak tahu sahaja dengan rontaan Ara. Sama seperti tadi. Pintu kereta dibuka lalu tubuh genit Ara dihumban ke kerusi. Tali pinggang keledar dipakaikan.
"Jangan cabar kesabaran aku."
Eiyad meninggalkan pesanan sebelum melangkah ke tempat pemandu.
Ara mendengus kasar. Hatinya mula panas dengan tindakan Eiyad. Riak wajahnya tampak tegang. Tidak setenang tadi. Bengang! Geram! Sakit hati!
"You can't do this to me," ucap Ara dengan nada yang keras sebaik sahaja Eiyad melabuhkan punggung ke tempat pemandu.
"Why I can't?"
"Kau tak boleh control aku. Kau jangan ingat bila kau dah balik sini, kau boleh control aku macam dulu. Kau tak ada hak."
"Aku ada."
"Hak apa?"
"Hak sebagai abang kau. In case kau terlupa, aku ni abang kau."
"Abang?"
Terlepas gelakan yang cukup sinis dari bibir Ara.
"In case kau terlupa juga, mama aku tak pernah lahirkan seorang abang untuk aku. Dan dia tak pernah lahirkan sesiapa selain aku."
"Even we are not blood related, aku tetap abang kau. Aku ada hak untuk bawa kau balik rumah. Rumah yang dah sebulan kau tak jejak."
Jaket hitam ditanggalkan lalu dicampak ke kaki Ara. Sekaligus menutup paha gadis itu yang terdedah.
Ara melirikkan mata ke arah Eiyad bersama senyuman sinis tersungging di bibir.
"Kenapa? Takut tergoda?" soal Ara seakan mencabar.
"Aku dah selalu tengok Ara. Tak ada maknanya aku nak tergoda dekat kaki keding kau tu."
"Dah tu kenapa tutup? Biar jelah..."
Jaket kulit dicampak semula kepada Eiyad.
Eiyad melepaskan nafas berat. Perlahan-lahan dia mengambil jaket kulit yang Ara campak lalu diletakkan semula ke paha Ara. Bibir menuturkan bicara yang cukup perlahan.
"Sebab aku nak perlihara kehormatan kau."
Tutur bicara Eiyad yang lembut membuatkan Ara terdiam buat seketika. Kali ini dia biarkan sahaja Eiyad tutup kakinya dengan jaket kulit.
"Aku tak tahu apa perasaan mama kalau dia tahu kau pergi tempat macam ni."
"Tak payah nak berlagak baik lah, Yad. Kat sana lagi banyak night club. Takkan kau tak pernah jejakkan kaki kat tempat-tempat macam ni..."
Eiyad diam. Bicara Ara dibiarkan sepi tanpa sebarang respons. Lelaki itu mula memandu kereta, menuju ke rumah.
Terukir senyuman yang cukup sinis di bibir Ara.
"Kenapa diam? Betul kan apa yang aku cakap?"
Eiyad pandang Ara seketika sebelum menganggukkan kepalanya.
"Tapi aku tak menari terkinja-kinja macam kau."
Ara memusingkan tubuh, menghadap Eiyad dengan wajah teruja.
"Wow... sound interesting! Night club dekat London mesti lagi meriah dari sini kan? Kau buat apa kat sana kalau kau tak menari?" tanya Ara. Mindanya mula berfikiran liar.
"Kau tak perlu tahu...," balas Eiyad dengan nada yang bersahaja.
Ara mencemik. Dalam hati, gadis itu mengutuk Eiyad. Dia paling tak suka spesis macam Eiyad ni. Bajet alim. Bajet baik. Tapi sebenarnya lagi teruk.
Sekurang-kurangnya, Ara pergi kelab malam untuk menari sahaja. Itu pun bukan selalu. Sekali sekala. Bila dia terasa bosan, bila dia rasa dia perlukan sesuatu untuk melepaskan tekanan. Dan hari ini dia pergi ke kelab malam untuk melepaskan tekanan. Tekanan disebabkan kena marah dengan Professor Zureen masa dalam kelas International Finance petang tadi.

************************************************
Kereta yang dipandu Eiyad meluncur perlahan ke dalam garaj. Ketika itu, Puan Yasmeen baru sahaja melangkah keluar dari kereta Mazda miliknya. Ara mengerling jam di dashboard kereta. 11.40 malam. Gadis itu tersenyum dalam hati.
Puan Yasmeen masih seperti dulu. Selagi jam tidak menginjak ke angka 12 tengah malam, wanita itu tidak akan pulang ke rumah. Jangan salahkan Ara bila gadis itu tidak pulang-pulang ke 'istana terbiar' ini. Untuk apa dia pulang ke sini jika penghuninya tiada.
Tanpa sepatah kata, Ara buka pintu kereta. Langkah diatur laju menuju ke dalam rumah. Sedikit pun dia tidak pandang mamanya. Seolah-olah wanita itu tidak wujud di situ. Tiada apa yang perlu dibicarakan antara mereka. Tiada.
Pandangan mata Puan Yasmeen mengekori langkah Ara yang berjalan ke arahnya tanpa memandangnya. Wanita itu berdeham.
"Ara dari mana?" soal Puan Yasmeen sewaktu Ara melepasi tubuhnya yang berdiri kaku di situ.
"None of your business," balas Ara cukup selamba.
"Birthday party ma. Ara pergi birthday party kawan dia," bohong Eiyad. Tidak mahu wanita itu tahu ke mana Ara pergi tadi.
Langkah Ara terhenti. Dia berpaling ke belakang, menghadiahkan sebuah jelingan tidak puas hati pada Eiyad.
"Mana Ara pergi selama ni?"
Puan Yasmeen bertanya lagi. Nada suaranya kedengaran tegas.
"Baru sekarang nak tanya ke," balas Ara. Sinis.
"Yad dah balik. Dia akan jaga Ara macam dulu."
Terbantut niat Ara yang ingin kembali melangkah. Pandangan mata dihalakan ke arah Puan Yasmeen.
"Macam dulu? Macam apa? Macam bodyguard mama? Mama nak Yad follow Ara 24 jam?"
Ara menghamburkan tawa. Tawa yang jelas dibuat-buat.
"Ma, Ara bukan budak kecil lagi tau. Ara tak perlukan bodyguard. Ara dah cukup besar untuk jaga diri Ara sendiri."
"Yad bukan bodyguard Ara. Mind your word. Hormat sikit pada Yad."
"Whatever!"
Ara mula melangkah pergi. Malas nak berlama-lama di situ. Makin lama dia di situ, makin panjang pula dia bertikam lidah. Hari ini dia tiada mood untuk bertikam lidah dengan sesiapa.
"Mama dah bagi kebebasan yang cukup untuk Ara selama ni. Sekarang Ara kena dengar cakap mama. Dengar cakap Yad."
Ara buat tidak endah dengan bicara Puan Yasmeen. Kaki tetap melangkah. Kebebasan apa yang Puan Yasmeen maksudnya? Adakah dengan tidak ambil peduli langsung pasal Ara yang Puan Yasmeen maksudkan?
Argh... itu bukan kebebasan tetapi tanggungjawab yang wanita itu abaikan dek kerana sibuk dengan urusan kerja. Dari dulu hingga kini, hanya kerja yang menjadi keutamaan Puan Yasmeen. Kerja, kerja, kerja... sehingga papa... sehingga papa tinggalkan mama sebab papa rasa terabai.
Hati Ara mula disapa rasa sebak saat teringatkan papanya. Kenapa papa tak bawa Ara pergi dengan papa? Kenapa papa tinggalkan Ara dengan mama?
Eiyad!
Semuanya sebab lelaki itu. Semuanya sebab amanah keluarga lelaki itu. Kalau mama tak diamanahkan untuk jaga Eiyad, kalau mama tak diamanahkan untuk jaga syarikat keluarga Eiyad, adakah keluarganya akan berantakan seperti ini?
Dulu mama tak macam ini. Dulu mama seorang yang penyayang. Penuh dengan kasih sayang. Semuanya berubah selepas kedua-dua ibu bapa Eiyad terlibat dalam kemalangan. Mama yang merupakan kawan baik ibu Eiyad, diamanahkan untuk jaga Eiyad sementelah Eiyad tiada saudara mara yang lain. Ibu bapa Eiyad berasal dari rumah anak yatim. Sama macam mama.
Bukan sahaja Uncle Emran dengan Auntie Mastura amanahkan mama untuk jaga Eiyad, tetapi mereka juga amanahkan mama untuk menjaga syarikat mereka. Syarikat yang akan diserahkan kepada Eiyad apabila lelaki itu sudah bersedia.

*****************************************

Usai menyegarkan badan, Ara membawa dirinya ke meja solek. Pakaian tidur sudah tersarung di tubuh. Gadis itu hanya menyarungkan sebuah tshirt dan juga seluar pendek. Seluar pendek yang dipakainya hampir tidak kelihatan, ditutup tshirt yang bersaiz besar.
Argh... kan dah kata. Mesti lebam, tutur gadis itu dalam hati sambil merenung lengannya di cermin.
Ganas betullah Yad ni. Perlu ke heret aku sampai macam tu sekali. Tak guna!
Perlahan-lahan Ara menyentuh kawasan lebam di tangannya.
Aww... sakit!
Ketukan di pintu mengalihkan perhatian Ara. Gadis itu menoleh ke arah pintu. Siapa pula yang ketuk pintu bilik aku malam-malam ni? Mama? Hisy tak mungkin. Takkan Cik Ina pula. Apa yang Cik Ina nak daripada aku. Ni mesti Eiyad. Apa lagi yang dia nak? Tak cukup ke dia dah buat lengan aku lebam macam ni?
Pintu bilik diketuk lagi. Kali ini lebih kuat. Dengan perasaan malas, Ara melangkah ke pintu. Tombol pintu dipulas sebelum ditarik.
"Kau nak apa?" tanya Ara tanpa memandang Eiyad.
"Pergi pakai seluar panjang. Lepas tu, ikut aku."
"Pergi mana? Dah malamlah. Aku nak tidur."
"Kejap jelah..."
Ara mengecilkan pandangan matanya. Mula curiga dengan Eiyad. Tubuhnya masih kaku di depan pintu. Tidak bergerak.
"Cepatlah! Kau nak aku pakaikan seluar untuk kau ke?"
"Jangan harap!"
Pintu terus ditutup. Langkah diayun ke almari pakaian. Mencari seluar panjang. Alah mamat ni... sibuk je nak suruh aku pakai seluar panjang. Macam dulu tak pernah tengok kaki aku. Masa kecik-kecik dulu siap mandi sama-sama. Kecoh je.
Eh, dah tu kenapa aku ikut je cakap dia?
"I'm still waiting Ara. Cepat sikit."
Suara garau Eiyad menerbangkan lamunan Ara. Gadis itu membuka pintu semula. Kali ini dia sudah berseluar panjang.
"Jom!"
Itu sahaja yang Eiyad cakap sebelum mengayunkan langkah ke ruang santai di bahagian atas rumah dua tingkat itu.
"Duduk," arah Eiyad.
Ara mula buat muka. Dia tak suka bila Eiyad arah-arah dia.
"Tunggu aku kejap. Jangan pergi mana-mana."
Eiyad terus menghilangkan diri ke aras bawah.
Apa benda ni? Suruh orang keluar, lepas tu suruh orang tunggu pula. Ara mendengus geram.
Saat berganti saat. Minit berganti minit. Ara sudah tidak betah menunggu lagi. Dia ingin kembali ke bilik. Ingin melelapkan mata. Merehatkan minda. Fikirannya sudah cukup penat dengan apa yang berlaku pada hari ini.
Baru sahaja Ara nak angkat punggung, Eiyad muncul bersama pek ais. Lelaki itu duduk di sebelah Ara.
"Lengan kanan," tutur Eiyad pendek. Meminta lengan kanan Ara. Lengan yang dia cengkam kuat tadi.
Ara yang blur terus hulur. Masih tak dapat tangkap apa yang Eiyad nak buat meskipun dia dah nampak pek ais yang Eiyad bawa.
Perlahan-lahan Eiyad memegang tangan Ara. Pek ais ditekan dengan penuh hati-hati di tempat lebam. Perbuatan bersahaja lelaki itu membuatkan Ara terkesima. Gadis itu terpegun. Bibir tertutup rapat. Lidah kelu untuk menuturkan sebarang bicara.
"Aku minta maaf," ucap Eiyad lembut tanpa memandang Ara.
Ara menelan liur. Emosi yang sedang berkocak hebat cuba dikawal sebaik mungkin. Cuba untuk tidak terkesan dengan bicara lembut Eiyad. Cuba untuk tidak tersentuh dengan perbuatan Eiyad.
"Dah tahu tangan aku sakit, kenapa tak lepaskan aku tadi? Sakit tau!"
Sepi seketika. Eiyad tak segera menjawab. Fokus menuam.
"Kalau aku lepaskan kau, kau akan lari."
"Of course!"
"Ha, dah tu... jangan salahkan aku bila aku berkasar dengan kau."
Ara mengetap bibir. Geram. Pandangan matanya dilarikan ke tempat lain. Memerhati keadaan di sekeliling yang sunyi sepi. Hanya mereka berdua sahaja di ruang santai itu. Eiyad diam. Ara pun diam. Menambah lagi rasa sunyi. Gadis itu mula rasa canggung. Tekak dibersihkan. Mata dilirikkan semula ke arah Eiyad.
"Kenapa kau tipu mama?" tanya Ara memecahkan kesepian yang tercipta di luar sedar.
"Habis tu kau nak aku beritahu mama yang kau pergi clubbing?"
Tanpa memandang Ara, Eiyad membalas soalan Ara dengan soalan.
"Apa salahnya? Dah memang itu hakikatnya."
Eiyad memandang Ara. Buat seketika pandangan mereka bertaut.
"Jangan pernah beritahu mama yang kau pergi clubbing," kata Eiyad. Tegas.
Ara melarikan pandangan. Sekaligus mematikan renungan Eiyad ke dalam matanya. Lengan segera ditarik. Pek ais diambil dari tangan Eiyad.
"Dah lah... aku boleh buat sendiri."
Usai menghabiskan bicara, gadis itu terus mengorak langkah menuju ke bilik. Eiyad membiarkan gadis itu pergi. Tidak menghalang. Hanya pandangan mata yang mengekori langkah Ara yang semakin menghilang.
Tubuh disadarkan ke kerusi. Kaki dilunjurkan. Rambut diselak ke belakang.
"What a long day...," luah Eiyad bersama helaan nafas yang berat. 

No comments: