Sunday, May 28, 2017

Satu Hari Sahaja - Bab 4.1


Ikatan tali kasut diperkemas. Beg tote yang dicampak ke tepi, dicapai lalu digalas ke bahu. Gadis itu mula mengayunkan langkah santai, mendekati Eiyad yang sedang membelek telefon di laman rumah yang berbumbung.
Eiyad menoleh ke belakang apabila deheman Ara menerpa gengendang telinganya. Pandangan mata lelaki itu terus tertumpu ke arah kasut yang tersarung di kaki Ara. Sebuah senyuman terus terukir di bibir lelaki itu.
Ara mengigit bibir. Sedar apa yang bermain di minda Eiyad ketika itu. Pandangan matanya turut dihalakan ke arah yang sama.
You are too gorgeous. I cannot resist, ucap Ara dalam hati.
Malam tadi, beria-ia Ara tekadkan diri untuk pulangkan semula kasut Adidas Yeezy pada Eiyad. Siap dia simpan semula dalam kotak. Tapi bila bangun je pagi tadi, Ara keluarkan semula kasut itu. Hatinya meronta-ronta untuk gayakan kasut itu.
Jahat betul hati ni. Tergamak mengkhianati diri. Akal kata jangan terima pemberian daripada Eiyad. Hati pula kata jangan tolak kasut Adidas Yeezy yang menjadi idamannya selama ini.
Nak harapkan dia beli kasut itu untuk diri sendiri, tak tahulah bila. Kalau dia dah kerja dan ada duit sendiri pun, belum tentu dia akan beli. Lebih baik dia gunakan duit itu untuk benda lain yang lebih penting.
“Dah nak pergi kelas?”
Eiyad melontarkan soalan yang boleh dikategorikan sebagai soalan berbasa-basi. Sekadar untuk memulakan perbualan. Dia tahu Ara ada kelas pagi itu. Jadual kelas gadis itu tersimpan kemas dalam memori mindanya. Tidak perlu ditanya lagi.
Ara hanya menganggukkan kepalanya. Pandangan mata dilarikan ke arah lain. Tidak membalas pandangan mata Eiyad.
“Jom!” ajak Eiyad sebelum mengayunkan langkah menuju ke keretanya di garaj.
“Naik kereta ke?”
Eiyad menganggukkan kepalanya.
“Aku nak pergi tempat lain lepas hantar kau,” balas Eiyad. Datar.
Ara akur. Tidak mempertikaikan. Dia tak ada masalah pun kalau Eiyad nak hantar dia naik kereta. Hari ini dia tak kejar masa.
Tanpa membuang masa, Ara meloloskan diri ke dalam kereta. Pintu kereta ditutup rapat. Tali pinggang keledar ditarik namun tersekat. Gadis itu mencuba sekali lagi.
Melihat Ara yang terkial-kial nak pakai tali pinggang keledar, Eiyad terus mendekatkan diri. Ingin membantu. Tindakan lelaki itu yang cukup bersahaja membuatkan Ara terpempan. Kaku di tempat duduknya. Hanya mampu melihat lelaki itu memakaikan tali pinggang keledar untuknya.
Suasana di dalam kereta sunyi tanpa sebarang perbualan sepanjang perjalanan menuju ke kampus. Hanya lagu-lagu yang diputarkan di radio menemani mereka.
Ara menyebak rambutnya ke belakang. Eiyad dikerling melalui ekor mata. Gadis itu sedang berperang dengan dirinya sendiri. Mindanya kini sedang bekerja keras untuk mencari kata putus. Sesekali matanya menjeling ke arah kasut yang dipakainya. Perlukah dia mengucapkan terima kasih pada lelaki itu?
Kalau nak diikutkan, memang Ara patut ucap terima kasih pada Eiyad. Itu yang sepatutnya. Bila orang bagi kita sesuatu, kita mestilah berterima kasih. Takkan tak cakap apa-apa. Macam tak beradab pula. Tapi masalahnya sekarang, Ara tak tahu macam mana nak cakap terima kasih pada Eiyad.
Nak ucap terima kasih tu bukanlah susah mana sebenarnya. Memang tak susah pun. Buka mulut, cakap terima kasih. Itu sahaja. Tapi kena faham yang Ara ni tak pernah cakap terima kasih pada Eiyad.
Tak. Pernah.
Faham tak? Tak pernah! Sebab tulah dia rasa kekok. Rasa berat mulut nak tuturkan ucapan itu. Tapi takkanlah Ara tak nak berterima kasih pada lelaki itu. Kasut orang tu bagi dia dah pakai tapi tak nak cakap terima kasih pula. Macam tak sopan je.
Ara membersihkan tekak. Bibir gadis itu bergerak-gerak tetapi tidak bicara yang kedengaran.
Hesy, nak ucap terima kasih pun susah sangat ke, Ara? Kutuk gadis itu dalam hati. Mulut dia ni pun satu hal. Tak nak beri kerjasama langsung!
Nafas ditarik perlahan. Tangan digenggam. Cuba mengumpul keberanian.
“Te… terima kasih,” ucap Ara laju-laju. Senafas. Tanpa memandang Eiyad.
Eiyad yang sedang berkhayal dalam pemanduannya terpinga-pinga. Kepala ditoleh ke arah Ara.
“Ha? Apa dia?”
Yad tak dengar ke? Penat aku beranikan diri untuk cakap terima kasih tapi dia tak dengar, rungut Ara. Geram. Bibir diketap.
“Aku cakap terima kasih,” tutur Ara. Mengulang bicaranya. Masih tidak memandang Eiyad.
“Terima kasih untuk…?”
Eh mamat ni! Sengaja nak sakitkan hati aku ke macam mana? Buat-buat tak faham pula. Ara mula bengang.
“Untuk kasut ni lah…”
Nada suara Ara yang sudah berubah.
“Oh… sorry aku tak fokus,” ucap Eiyad dengan wajah tak bersalah.
Minda lelaki itu sedang diganggu sesuatu. Hatinya dihimpit dengan macam-macam rasa yang tidak enak. Bimbang. Takut. Risau. Keliru. Eiyad menggelengkan kepalanya perlahan. Cuba mengusir perkara yang menghantui fikirannya. Ingin menumpukan perhatian pada pemanduannya dan juga Ara. Lelaki itu menoleh ke arah Ara sekilas.
“Aku tahu kau suka kasut tu,” kata Eiyad, bersahaja.
“Macam mana kau tahu?”
“Instagram.”
Ara memusingkan tubuh, menghadap Eiyad bersama mata yang membulat.
“Kau stalk aku?”
Eiyad koyak senyum apabila dilempar tuduhan sebegitu.
“Aku tak perlu nak stalk profile kau. Setiap kali aku buka IG, aku nampak post kau.”
“Kau follow IG aku? Bila masa aku approve kau?” tanya Ara. Pelik. Setahu dia, dia tak pernah approve follow request daripada Eiyad.
Eiyad tersenyum penuh makna.
“Kau ambil phone aku lepas tu kau approve diri kau sendiri eh?”
Ara menebak apabila dia mula menghidu sesuatu. Matanya dikecilkan.
Gadis itu mendengus kasar apabila Eiyad hanya mendiamkan diri. Diam lelaki itu sudah cukup memberikan jawapan untuk soalannya sebentar tadi. Tak guna! Maknanya selama ni Yad tahulah aktiviti-aktiviti aku. Dia tahulah apa yang aku post kat IG.
Ini memang boleh mendatangkan marah. Bengang pula Ara bila Yad ceroboh privasi dia. Tahu tak Instagram tu tempat privasi Ara. Kononnya kat situ dia bebas tanpa kawalan Eiyad. Tapi rupa-rupanya dia tertipu selama ini.
“Sejak bila?” soal Ara ingin tahu.
Eiyad menjungkitkan bahu.
“Entah. Tak ingat. Masa raya dua tahun lepas kut.”
Oh tidak! Lamanya!
“Apa username kau?”
“Kenapa? Kau nak block aku?”
“Kau rasa?”
Terlepas tawa kecil dari bibir Eiyad.
“Habis tu, kau ingat aku akan bagitahu username aku ke?”
Muka Ara mula masam.
“Hey mister, you are invading my privacy. Now, please tell me your username so that I can block you,” kata Ara dengan nada yang masih terkawal.
“Privacy?”
Kening Eiyad ternaik sedikit.
“Oh contohnya aktiviti-aktiviti kau dengan boyfriend kau yang acah-acah sweet tu? Suprisekan kau dengan bunga, ajar kau ice skating, teman kau pergi jumpa dentist waktu gigi kau sakit…”
Ara menggenggam kedua-dua tangannya. Kuat. Menahan diri daripada melepaskan bom atom. Sabar, Ara. Sabar. Pujuk hati gadis itu. Eiyad ni kalau tak sakitkan hati aku memang tak sah.
“Eiyad Emran,” tutur Eiyad senafas.
“I didn’t use fancy username,” tambah lelaki itu sebelum membelokkan kereta ke fakulti Ara.
Dahi Ara berkerut. Kenapa aku tak perasan selama ni?
Eiyad memberhentikan keretanya. Brek tangan ditarik.
“I’ll pick you up after class. 12.30 sharp. Hope aku tak perlu tunggu berjam-jam macam semalam,” kata Eiyad. Datar. Tanpa sedikit pun nada menyindir.
Ara berdeham. Pintu dibuka. Sempat dia menghadiahkan sebuah jelingan tajam kepada Eiyad sebelum melangkah keluar. 

Wednesday, May 24, 2017

Satu Hari Sahaja - Bab 3.2 & Bab 3.3

Bab 3.2

Bibir Ara mengukirkan senyuman yang cukup manis sewaktu Syaril datang menghampirinya. Lelaki itu baru sahaja selesai bermain bola di padang. Peluh membasahi tubuh lelaki itu. Ara mengambil tuala kecil di sisinya lalu diserahkan kepada Syaril.
"Wow... tak sangka boyfriend I handal main bola. Dua kali gol," puji Ara dengan nada yang ceria.
Syaril melemparkan sebuah senyuman. Terselit sedikit rasa bangga dengan pujian itu.
"Nak air?" tanya Ara seraya menghulurkan sebotol air mineral.
Syaril angguk. Air mineral diambil lalu diteguk untuk menghilangkan dahaga.
"You dari mana tadi? Kampus?" tanya Syaril. Baru ada kesempatan untuk bertanya.
Lambat-lambat Ara menganggukkan kepalanya. Rasa bersalah pula sebab berbohong. Tapi kalau dia cakap dia bukan dari kampus, banyak pula soalan yang lelaki itu akan tanya. Tak pasal-pasal Syaril tahu dia keluar dengan Huzair tadi.
Bukannya Ara tak nak bersikap jujur dalam hubungannya dengan Syaril. Tapi... kalau pasangan kita ni seorang yang kuat cemburu dan suka menuduh membabi buta, ada baiknya kalau kita bersikap rahsia. Ini pendapat Ara. Dia malas nak semakkan fikiran, malas nak bertengkar dengan Syaril semata-mata sebab dia keluar dengan kawan baik dia.
"I tak nampak pun kereta you. You park kat mana?"
Wajah Ara sedikit berubah apabila Syaril menyebut keretanya. Hati gadis itu masih lagi terkesan dengan perbuatan Eiyad.
"I tak bawa kereta."
Syaril berpaling ke arah Ara. Mata lelaki itu sedikit membesar.
"Dah tu, macam mana you pergi sini?"
"Uber."
"Lah... tadi I nak ambil you, kenapa you tak bagi?"
"I tak nak susahkan you," balas Ara bersama senyuman manis.
Syaril koyak senyum.
"You tak pernah susahkan I lah..."
"Iya ke? Hmm... kalau macam tu, I nak you temankan I dinner malam ni, boleh?"
"Itu memang dah termasuk dalam plan I."
Syaril melirikkan pandangan ke arah iPhone Ara yang sedang bergetar. Sudah beberapa kali telefon itu bergetar tetapi tidak diendahkan.
"Kenapa you tak jawab?" soal Syaril, ingin tahu.
Ara tersentak. Dia ingat Syaril tidak perasan akan panggilan telefon yang diterimanya sedari tadi.
"Err, biar jelah... malas nak jawab."
"Ada orang ganggu you?"
Cepat-cepat Ara menggeleng.
"Orang nak jual insurans. I malas nak dengar."
Mujur akal Ara cepat mencari helah. Gadis itu tersenyum nipis apabila Syaril mempercayai helahnya.
iPhone Ara bergetar sekali lagi.
"Persistent betul orang insurans ni...," komen Syaril bersama gelakkan halus.
"Eh, tak. Kali ni Dee yang call," kata Ara.
iPhone dicapai. Panggilan daripada Dee dijawab.
"Beb, kau kat mana?"
"Aku keluar dengan Syaril. Kenapa?"
"Abang kau cari kau daripada tadi," beritahu Dee.
"Habis tu, kau cakap apa?"
"Aku cakaplah aku tak tahu. Memang aku tak tahu pun."
"Bagus, bagus... kalau kau tahu pun, kau jangan bagitahu," pesan Ara.
"Tapi kan... aku tengok dia macam orang gila cari kau. Kau tak kesian kat dia ke?"
Ara diam seketika. Kesian? Tak langsung... Buat apa nak kesian? Eiyad ni pun satu. Kenapa beria-ia nak cari aku? Mental betullah.
"Biarkan jelah dia...," tutur Ara dengan nada yang bersahaja.
"Hmm... tadi dia suruh aku kemaskan barang-barang kau. Dia nak bawa balik. Kau dah tak tidur rumah aku lagi ke?"
Nafas dihela perlahan.
"Nampak gayanya macam tulah... Tapi nanti kalau aku rasa nak tidur rumah kau, aku ketuk pintu rumah kau. Masa tu, kau jangan halau aku pula."
Dee melepaskan tawa.
"Kau sentiasa dialu-alukan ke teratak kecil aku," seloroh Dee bersawa tawa kecil.

Bab 3.3
Jam menunjukkan pukul 10.30 malam sewaktu Syaril menghantar Ara pulang ke rumah. Usai mengucapkan terima kasih kepada teman lelakinya, Ara melangkah keluar dari kereta. Lambat-lambat dia mengatur langkah ke dalam rumah.
Kereta dan motor Eiyad tersadai di garaj. Menandakan lelaki itu ada di rumah. Ara menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan-lahan. Mempersiapkan diri untuk diherdik dan dimarahi Eiyad. Dia tahu apa yang bakal dia hadapi sebentar lagi.
Tombol pintu ditolak. Sneakers dibuka lalu disimpan ke dalam rak kasut. Stoking dilucutkan dari kaki. Ara mula meliarkan pandangan ke sekeliling. Mencari Eiyad yang dia sangka akan menantinya di ruang tamu. Namun, tiada. Ruang tamu kosong. Tak ada sesiapa.
Gadis itu meneruskan langkah. Menuju ke tangga. Hati mula disapa rasa pelik bila tak nampak bayang Eiyad di mana-mana.
iPhone yang disimpan di dalam poket seluar bergetar. Terus gadis itu mengeluarkan iPhonenya. 
Eiyad?
Dahi Ara sudah berkerut saat melihat nama Eiyad tertera di skrin telefon.
"Aku ingatkan phone kau ada problem."
Ya Allah! Hampir gugur jantung Ara bila tiba-tiba dengar suara orang di celah kesunyian. Spontan, kepalanya menoleh ke arah suara itu.
Eiyad sedang berdiri tidak jauh daripadanya. Sebelah tangan pegang muk, sebelah tangan lagi pegang telefon. Lelaki itu melangkah menghampiri Ara yang masih lagi terkejut. Pandangan mata dihalakan ke arah telefon pintar Ara yang berfungsi dengan baik.
Eiyad mematikan panggilan yang dibuatnya. Sekaligus iPhone Ara berhenti bergetar.
"Kenapa tak jawab call aku?" soal Eiyad.
Datar sahaja nada suara lelaki itu. Tiada langsung nada marah seperti yang Ara sangka. Wajah lelaki itu pun biasa sahaja. Kosong. Tanpa sebarang riak.
Sebuah senyuman terukir di hujung bibir Eiyad.
"It's okay. As long as you are safe," tutur Eiyad sebelum berlalu pergi.
Ara terkesima. Terkebil-kebil matanya. Eiyad yang sedang mendaki anak tangga ke tingkat atas dipandang dengan rasa tidak percaya.
Itu je?
Itu je yang Yad cakap pada dia?
Wow!
Sumpah Ara terkejut. Tak sangka. Biar betul! Tak ada puting beliung malam ni?
Gadis itu mengetap bibir. Kaki kembali melangkah ke tingkat atas. Fikiran masih ligat berfikir tentang sikap Eiyad sehingga gadis itu masuk ke dalam bilik. Punggung dihenyak ke atas tilam.
Lah... buat apa aku nak kusutkan fikiran pasal mamat tu? Kira okeylah aku tak kena marah malam ni kan? Hesy, buat penat je aku sediakan peluru-peluru untuk balas serangan.
Ara bangun dari duduk. Tuala mandi dicapai. Ingin membersihkan diri.
Ketukan di pintu mematikan langkah gadis itu yang ingin menuju ke bilik air. Spontan, mata terhala ke arah pintu bilik.
Itu mesti Eiyad. Apa yang dia nak?
Lambat-lambat Ara melangkah ke pintu bilik. Sebuah kotak yang berbungkus cantik diserahkan kepadanya sebaik sahaja dia membuka pintu.
"Hadiah untuk kau. Dari London."
Ara telan liur. Terkejut. Tergamam.
Lelaki itu mengukirkan senyuman nipis sebelum melangkah pergi. Sekali lagi Ara ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga. Pandangan mata jatuh ke arah kotak yang berada di dalam pelukannya.
Pintu bilik ditutup. Kaki melangkah perlahan sambil membuka bungkusan yang membaluti kotak pemberian Eiyad.
Oh.
My.
God.
Mulut Ara ternganga besar, membentuk huruf 'O'. Matanya tidak berkelip memandang kotak kasut yang berada di tangannya. Bukan kotak kasut sebarangan tau tetapi kotak kasut Adidas Yeezy. Kasut idaman Ara yang selama ini dia mampu tengok sahaja tapi tak mampu nak beli.
Biar betul Yad belikan aku kasut ni? Mahal kut! Eh, jangan-jangan ini kotak je. Kasutnya tak ada, fikir Ara yang masih tidak percaya. Manalah tahu Eiyad nak kenakan dia. Mamat tu bukan boleh percaya sangat. Mustahil lelaki tu nak belikan kasut yang mahal ni untuk dia.
Tanpa membuang masa, Ara terus buka kotak kasut untuk melihat isi di dalam.
Mata Ara membulat. Keterujaan menguasai diri gadis itu.
"Oh my God! This is my favourite colour. Macam mana Yad tahu?"
Kasut dibawa keluar dari kotak lalu dibelek-belek dengan penuh rasa teruja.
"This is my size."
Bibir Ara tersenyum gembira. Perasaannya ketika ini sukar untuk dia ungkapkan. Yang pasti dia teruja dan gembira. Rasa macam nak lompat-lompat je sebab dapat kasut idaman hati.
Sumpah, Ara teruja!
"Eh kejap!"
Senyuman di bibir terus mati. Wajah gadis itu bertukar serius.
"Kasut ni Yad yang bagi. Orang yang dah jual Lolo aku. I should not accept this," kata Ara. Tegas. Seolah-olah nekad untuk tolak pemberian Eiyad.
Mata Ara masih lagi terlekat ke arah kasut di tangan. Mimik mukanya berubah lagi.
"Tapi kasut ni cantik sangat...," tutur Ara dengan nada meleret.
Gadis itu segera menggelengkan kepala.
"Tak. Aku tak boleh terima kasut ni. Mamat tu ingat dia boleh pujuk aku dengan kasut ni? Memang tak lah. Lolo aku lebih berharga tau."
Ara melepaskan keluhan kecil. Susahnya nak buat pilihan. Dengan penuh rasa berat hati, Ara menyimpan semula kasut ke dalam kotak lalu diletakkan ke atas meja.
"Bye kasut. Kita tak ditakdirkan untuk bersama," ucap Ara dengan nada sedih sebelum melangkah ke dalam bilik air.
Dia sudah membulatkan hati untuk pulangkan kasut itu kepada Eiyad esok.
==========================

ps: cuba teka Ara terima pemberian Eiyad atau pulangkan? Ego si Ara ni boleh tahan juga tau... 
pss: nampak x bertapa concern Yad pada Ara. Ngee~~
btw, thank you sebab follow kisah mereka. 

Tuesday, May 23, 2017

Satu Hari Sahaja - Bab 3.1


Ara berdiri tegak di hujung platform. Tangan didepakan. Mata dihalakan tepat ke depan. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan.
"Okay, ready?"
Ara mengangguk perlahan. Wajahnya tampak kosong. Tidak beriak. Sedikit garis cuak pun tidak kelihatan di wajah itu. Bukan gadis itu tidak takut. Bukan gadis itu tidak gentar. Meskipun sudah banyak kali dia melakukan terjunan bungee, rasa gementar itu tetap ada. Cuma rasa itu berjaya ditutupi dengan rasa yang lain. Rasa sedih. Rasa pedih. Rasa perit. Rasa luka.
Dalam kiraan tiga, Ara melakukan terjunan bersama jeritan yang sangat kuat. Gadis itu menjerit sepenuh hati. Melepaskan segala rasa yang terpendam di hati.
Lega! Puas! Itu yang Ara rasa setelah melakukan terjunan. Segala emosi yang berselirat dilepaskan bersama terjunannya sebentar tadi.
"Feeling better?" soal Huzair sebaik sahaja mendapatkan Ara yang baru sahaja turun dari bot.
Ara menganggukkan kepalanya.
"Kalau tak okey lagi, aku boleh teman kau main G-Force X pula."
Gadis itu menggelengkan kepala.
"Bungee jumping is more than enough," ucap Ara sebelum melabuhkan duduk di sebuah bangku kayu.
Huzair mengekori langkah Ara lalu duduk di sebelah gadis itu.
"Dah berapa kali eh kau terjun?"
Bahu dijungkitkan.
"Entah. Tak pernah kira."
"Aku rasa dah lebih daripada sepuluh kali. Tak sangka budak pengecut macam kau ni, berani buat bungee jumping."
"Bila masa pula aku pengecut?"
Terlepas tawa dari bibir.
"Eleh... dulu flying fox pun kau takut. Ingat tak kem yang kita pergi masa Form 1?"
"Itu cerita dulu..."
Sebelum aku kenal rasa sakit kehilangan. Sebelum aku rasa sakit ditinggalkan, sambung gadis itu dalam hati.
Suasana sepi buat seketika. Huzair sengaja memilih untuk mendiamkan diri. Memberi ruang kepada Ara untuk menenangkan fikiran. Rasa ingin tahunya membuak-buak, namun dia tidak akan memaksa Ara untuk bercerita kepadanya. Biarlah Ara sendiri yang buka mulut bila gadis itu sudah bersedia.
Ara melepaskan ikatan getah rambut. Rambutnya disisir dengan jari sebelum dibiarkan lepas. Tubuh disandarkan ke belakang bersama helaan nafas yang berat.
"Yad dah balik."
Mata Huzair membesar. Sedikit terkejut.
"Bila?"
"Entah," balas Ara bersama jungkitan di bahu.
"Semalam aku clubbing. Tiba-tiba je dia..."
"Kejap! Kau pergi clubbing?"
Huzair potong bicara Ara dek kerana terkejut dengan bicara gadis itu.
Ara angguk.
"Sejak bila kau jadi minah clubbing ni? Oh my.... ni mesti boyfriend kau yang ajar kan?"
"Tak ada kena mengena dengan dia lah. Aku yang nak pergi. Sebelum kau fikir yang bukan-bukan..."
Ara jeda seketika. Kepala digelengkan.
"Tak! Aku tak buat benda-benda yang tak senonoh. Aku pergi sana, aku menari je."
"Perlu ke menari kat tempat macam tu? Jangan terpengaruh dengan kawan-kawan kau tu, boleh tak? Dia orang minum kan?"
Ara diam. Angguk tidak. Geleng pun tidak.
Huzair koyak senyum segaris. Sudah tahu jawapan Ara.
"Aku tak kisah pun kau nak berkawan dengan siapa. Tapi cari lah yang elok sikit."
"Yang minum tu dua orang jelah Huzair. Yang lain tak. Sama macam aku. Kita orang menari je."
"Sekarang memanglah dua orang je yang sentuh minuman haram tu. Tak lama lagi, jadi tiga orang. Lepas tu, empat orang. Lepas tu, dengan kau sekali join the club," kata Huzair cukup bersahaja.
"Aku tak akan sentuh minuman tu lah, Huzair. Aku ni memanglah tak baik mana tapi aku masih tahu batas-batas yang aku tak boleh langgar."
Huzair memandang Ara. Wajah lelaki itu kelihatan serius.
"Sekarang ni memang kau cakap kau tak akan sentuh. Tapi esok lusa? Hati kau tu dah cukup kuat ke nak tepis semua godaan? Okey, let me ask you... dia orang pernah offer kau untuk minum tak?"
Ara ketap bibir. Tiada jawapan untuk soalan Huzair. Irfan memang pernah suruh dia minum minuman beralkohol sewaktu dia menjejakkan kaki ke kelab malam buat kali pertama. Namun, dia tolak dengan cara baik dan sehingga sekarang dia masih berpegang dengan prinsipnya.
"See! This is my point. Kalau hati kita belum cukup kuat, kenapa kita nak menempah maut? Selagi boleh elak, kita elak, Ara... Jangan jebakkan diri kau..."
Ara meraup wajahnya.
"Huzair... tolonglah jangan jadi macam Yad yang nak control dengan siapa aku berkawan. Rimaslah."
Mulut Huzair separuh terlopong.
"Ara, kan aku dah cakap yang aku tak kisah kau nak berkawan dengan siapa. Aku bukan nak control kau. Tapi kau tu kawan aku Ara. Kawan baik aku. Aku rasa, tak salah kalau aku nak bagi nasihat kat kau. Atau kau rasa nasihat aku dah tak ada nilai sekarang ni?"
Penuh mendalam kata-kata yang dituturkan Huzair. Ara meraup mukanya. Siku ditongkatkan ke lutut.
"Aku minta maaf. Aku tahu kau sayang aku. Tapi Huzair... kau tak perlu risau. Aku tahu jaga diri aku."
"Okey, fine! Jangan kata aku tak tegur pula nanti."
Ara mengukirkan senyuman nipis.
"Thanks for your concern."
"Hmm, sambunglah cerita kau. Pasal Yad."
"Oh..."
Ara membersihkan tekak sebelum menyambung ceritanya tentang kejadian semalam.
"Semalam dia tiba-tiba muncul kat kelab dan heret aku keluar. Dia paksa aku ikut dia balik. Dia nak kawal aku macam dulu. Such a control freak!" rungut Ara, meluahkan rasa tidak puas hati di dalam diri.
"Tapi bukan ini yang buat emosi aku tak stabil...," sambung gadis itu seketika kemudian.
"Dah tu?"
"Yad jual Lolo," tutur Ara dengan nada sedih.
"Lolo? Kereta kau?" tanya Huzair inginkan kepastian. Setahu Huzair, Lolo tu nama timangan yang Ara beri kepada kereta kesayangannya.
Ara mengangguk lemah.
"Like seriously?"
Gadis itu mengangguk lagi.
"Tu kereta kesayangan aku tau. Sampai hati Yad jual kereta tu. Mama aku yang suruh. Dia nak ikat aku lah tu. Tapi kalau dia tak nak aku merayau, kenapa dia bagi Lolo pada aku? Penat aku jaga Lolo dengan baik selama ni. Senang-senang je Yad nak jual. Tahulah bukan pakai duit aku..."
Huzair terdiam seribu bahasa. Tak tahu nak kata apa. Lidahnya kelu. Dia pun tak sangka mama Ara sanggup jual kereta itu. Tapi mungkin ada baiknya tindakan wanita itu. Sekurang-kurangnya Ara tidak bebas untuk ke mana-mana.
Jauh di sudut hati Huzair, dia lega sebab Eiyad sudah balik dari London. Dia tahu lelaki itu mampu mengawal Ara.
"Aku ni teruk kan Huzair?" soal Ara. Tiba-tiba.
Huzair tersentak. Pandangan dihalakan semula ke arah Ara yang kelihatan sudah lebih tenang.
"Bila aku ada masalah baru aku nak cari kau."
Gadis itu menjelaskan bicaranya. Bibir tersenyum nipis.
"Sorry... Aku tak ada niat pun nak guna-gunakan kau. Tapi kau satu-satunya kawan aku yang aku bebas untuk cerita segala-galanya. Kau tahu kan?"
"Aku tahu Ara... walaupun kau dah ada boyfriend, aku tahu aku tetap special buat kau," kata Huzair dengan senyuman bangga.
"Ini kalau Syaril tahu, memang mengamuk mamat tu," tambah Huzair bersawa tawa kecil.
"Dah lama aku tak contact kau kan? Sekali lagi, aku minta maaf Huzair."
"Tak apa... Aku faham. Susah juga kalau ada boyfriend yang possessive ni."
Ara hanya senyum segaris.
Bukan boyfriend aku je yang possessive tapi girlfriend kau pun, tutur Ara dalam hati.
Iya, memang betul. Bukan Syaril seorang sahaja yang tak suka Ara berkawan rapat dengan Huzair tetapi Faizah pun pernah melarang Ara daripada rapat dengan Huzair. Ara tahu Huzair sayang sangat pada Faizah sebab tu dia malas nak mengadu apa yang Faizah buat pada dia sebulan yang lalu. Dia tak nak rosakkan hubungan Faizah dengan Huzair. Lagipun, dia faham perasaan insecure Faizah.
Tangan Ara segera meraba-raba beg tangan, mencari iPhone miliknya yang sedang berdering.
"Speak of the devil," kata Ara sebaik sahaja melihat nama pemanggil.
"Syaril call. Kau diam je tau. Jangan cakap apa-apa," pesan gadis itu sebelum menjawab panggilan daripada teman lelaki tiga bulannya. Mereka baru sahaja tiga bulan menjadi pasangan kekasih. Baru lagi.
Ara melekapkan iPhone ke telinga.
"Hello...," sapa Ara dengan nada mesra dan lembut.
Huzair mencebikkan bibir. Gatal telinga mendengar sapaan manja Ara. Kotak rokok dikeluarkan dari poket seluar. Sebatang rokok dinyalakan sebelum disumbat ke dalam mulut.
"Tak... I tak lupa. I ingat janji kita."
Ara mengetap bibir. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Hesy, macam mana aku boleh lupa hari ni aku dah janji nak tengok Syaril lawan bola.
"Eh, tak payah ambil I. Nanti I pergi sendiri. Jumpa you petang ni."
Cepat-cepat Ara tegah bila Syaril kata nak jemput dia kat fakulti.
"Okay. Bye sayang. I love you."
Huzair melepaskan tawa mengejek sebaik sahaja Ara mematikan talian. Kepalanya digeleng-gelengkan.
"Bye sayang. I love you," ajuk Huzair dengan riak wajah meluat.
"Eh kau ni dah kenapa? Jealous? Kau dengan Faizah tak macam ni ke?"
"Aku dengan Faizah macam biasalah. Tak ada lah tergedik-gedik macam kau. Bila cakap dengan Syaril je, terus suara kau bertukar lembut. Fake gila. Dengan aku, tak ada pula kau nak cakap lembut-lembut macam tu."
"Ini bukan fake namaya. Inilah beza kau dengan dia. Kau tu kawan aku. Dia tu boyfriend aku. Mestilah aku cakap lembut-lembut dengan dia. Walaupun kau tu special buat aku, tapi dia pun special juga. Kau special lain. Dia special lain," terang Ara dengan wajah yang berseri-seri. Hilang terus rasa sedih setelah menerima panggilan daripada kekasih hati.
Huzair mencebik.
"Entah apa yang kau nampak dekat Syaril pun aku tak tahu. Nak kata handsome, aku tengok biasa je muka dia."
"Kan? Aku pun rasa muka dia biasa je."
Cukup selamba Ara mengutuk teman lelakinya. Tapi itu memang hakikatnya. Syaril tu tak adalah kacak mana. Sebenarnya, bukan paras rupa Syaril yang berjaya menawan hati Ara.
"Tapi... dia tu pandai berkata-kata. Pandai ambil hati aku. Pandai buat aku rasa di awang-awangan. Sebab tu aku sayang dia."
Huzair senyum senget.
"Lelaki yang pandai bermain kata ni bahaya tau Ara... Hati-hati sikit."
"Iya aku tahu..."

Thursday, May 18, 2017

Satu Hari Sahaja - Bab 2.2

(read bab 2.1 dulu yer)


Suasana di dalam dewan kuliah sunyi sepi. Hanya ada beberapa orang pelajar sahaja di dewan itu. Hari ini gadis itu tiba terlebih awal. Kawan-kawannya yang lain pun belum sampai. Mungkin sebab dia naik motor ke sini. Itu yang cepat je dia sampai. Kalau naik kereta, belum tentu dia sampai sebelum kuliah mula.
Ara memilih tempat duduk yang paling belakang. Punggung dihempaskan. Kepala dilentokkan ke atas meja, beralaskan lengan. Mata dipejam rapat. Cuba menenangkan diri. Emosi gadis itu tidak stabil saat ini.
Lama gadis itu dalam keadaan begitu sehinggalah tempat duduk di sebelahnya diduduki orang. 
"Awal kau sampai hari ni," tegur Dee yang baru sahaja tiba.
Ara mengangkat kepalanya. Pandangan mata dihalakan ke arah Dee yang berselendang warna krim pada pagi itu.
"Nah, barang-barang kau. Aku tak jumpa calculator kau. Tapi hari ni tak guna calculator kut. Lecture aje."
Ara diam lagi. Dee mula rasa pelik. Dahi gadis itu berkerut.
"Kenapa dengan kau?"
"Kereta aku mana Dee?"
Mata Dee membesar. Seolah-olah baru teringat sesuatu.
"Ha... lupa pula aku nak tanya kau."
Dee memusingkan tubuhnya, menghadap Ara. Tangan bercekak pinggang.
"Kenapa kau tak beritahu aku yang kau ada abang?"
Ara masih lagi tidak beriak.
"Aku tanya kau... mana kereta aku?"
"Dekat abang kau lah..."
"Macam mana kau boleh serahkan kunci kereta aku pada orang yang kau tak kenal? Kalau dia bukan abang aku macam mana?" Datar sahaja nada suara Ara sewaktu menuturkan bicara.
Dee mula kaget.
"Dia tu bukan abang kau ke? Tapi mama kau yang suruh aku serah kunci kereta pada abang kau. Abang kau call mama kau masa dia datang jumpa aku semalam. Eiyad kan nama abang kau?"
Ara melepaskan nafas berat. Rambut disebak ke belakang.
"Wey, kenapa? Kau jangan buat aku cuak?"
Ara menggeleng perlahan.
"Kenapa kau tak pernah beritahu aku yang kau ada abang? Aku ingat kau anak tunggal."
"Aku memang anak tunggal pun."
"Hah? Habis tu, Eiyad tu siapa? Anak angkat ke?"
Ara menganggukkan kepala. Malas dia nak bercerita panjang tentang sejarah keluarga dia.
"Handsome!" Tutur Dee sepatah.
Sebuah jelingan dihadiahkan pada kawan baiknya.
"Kau cakap apa lagi dengan dia?"
"Hmm... dia tanya kau pergi mana? Aku cakaplah kau keluar dengan Wawa semua..."
Oh, patutlah... Dee yang beritahu aku kat situ malam tadi.
"Dee... lain kali kalau dia tanya apa-apa pasal aku dekat kau, kau cakap je tak tahu. Tolonglah jangan jadi information counter untuk dia."
"Kenapa? Kau tak ngam ke dengan dia?"
"Tak!"
Dee melemparkan senyuman.
"Hmm, patutlah kau moody hari ni. Relaxlah Ara... Okey, aku janji lepas ni aku tak akan beritahu apa-apa kat dia."
"Beb!" jerit Wawa yang baru muncul di dewan kuliah bersama-sama dengan Airin. Langkah terus diatur mendekati Ara dan Dee.
"Kau balik dengan siapa semalam? Tiba-tiba je hantar text, kata kau balik sendiri. Apa kes?" tanya Airin.
"Kawan aku. Ada emergency," balas Ara perlahan.
Dee mengecilkan mata. Dia tahu Ara berbohong. Namun, dia diam sahaja.
"Oh... Irfan punyalah risau pasal kau. Dia takut apa-apa benda tak elok jadi kat kau. Nasib baik kau Whatsapp aku," tutur Wawa.
Ara hanya senyum nipis. Aku kena heret semalam, kau orang bukannya perasan, rungut gadis itu dalam hati.
Dewan yang sebentar tadi kosong, sudah dipenuhi dengan pelajar. Riuh-rendah jadinya. Wawa dengan Airin yang duduk di depan Ara dan Dee, rancak berbual sesama sendiri.
Dee mendekatkan wajahnya dengan Ara. Ingin berbisik.
"Semalam kau bukan balik dengan kawan kau, kan?" tebak Dee.
"Kau balik dengan abang kau?" Tebak Dee lagi bila Ara berdiam diri.
Lambat-lambat Ara menganggukkan kepala.
"Dia marah kau ke?"
Ara melepaskan nafas berat.
"Dee... aku rasa tak ada mood nak masuk kelas hari ni. Aku cau dululah."
"Ara... sorry. Aku tak ada niat pun nak buat kau..."
Belum sempat Dee nak habiskan kata-katanya, Ara sudah pintas.
"It's okay, Dee. Bukan salah kau. Tapi lepas ni, kalau dia tanya apa-apa kat kau, cakap je kat kau tak tahu. Okay?"
Dee mengangguk-anggukkan kepala. Siap angkat kelima-lima jarinya, tanda janji.
"Kau nak skip kelas ke hari ni?"
Ara angguk sambil angkat punggung. Sebelum pensyarahnya masuk, lebih baik dia keluar dulu.
Gadis itu membawa diri ke satu sudut. Tubuh disandarkan ke dinding. iPhone dikeluarkan dari poket seluar. Ingin menghubungi seseorang. Seseorang yang cukup akrab dengan dirinya sejak zaman sekolah lagi.
Selepas dua kali deringan, panggilannya gadis itu disambungkan. Suara garau seorang lelaki menyapa gegendang telinga.
"Huzair...," tutur Ara perlahan.
"Hmm, aku ingat kau dah tak nak call aku lagi."
"Kau masih marahkan aku?"
"Aku tak pernah marah kau, Ara..."
Ara mengetap bibir. Tiada bicara yang keluar dari mulutnya. Lidahnya seakan kelu. Dia perlukan Huzair saat ini tetapi dia tidak tahu sama ada lelaki itu akan meluangkan masa dengannya ataupun tidak.
"Hmm, kenapa kau call ni? Boyfriend kau tak marah ke kau contact aku?"
"Kau ada kelas ke hari ni?"
Soalan dibalas dengan soalan. Ara buat tak endah aje soalan kedua Huzair.
"Ada."
"Kalau macam tu, tak apalah. Sorry ganggu kau."
"Aku tak habis cakap lagi. Memang kalau ikut jadual, hari ni aku ada kelas. Tapi kelas aku cancel. Kau nak jumpa aku ke?" tanya Huzair yang sudah menangkap hasrat hati Ara.
"Aku nak buat bungee jumping. Kau boleh temankan aku?"
Huzair terdiam seketika. Bungee jumping? Huzair mula rasa tak sedap hati. Ara hanya akan buat bungee jumping waktu emosi gadis itu tidak stabil dan selalunya berkaitan dengan famili gadis itu.
"Kau gaduh dengan mama kau lagi ke?"
"Nantilah aku cerita. Kau boleh temankan aku tak?"
"Of course boleh. Kau kat mana ni? Kau nak aku ambil kau ke?"
"Aku kat kampus. Kau boleh ambil aku kan?"
"Boleh tu memanglah boleh. Tapi kau tak takut ke kalau boyfriend kau tahu kau naik motor dengan aku?"
"Biarlah dia. Aku malas nak fikir."
"Kalau macam tu, lagi dua puluh minit aku sampai."