Wednesday, April 6, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 3

Bab 3

Suasana di luar kediaman Encik Idris kelihatan meriah dengan beberapa buah khemah berwarna putih yang dihias cantik dengan kain satin berwarna kuning dan kelabu. Lagu-lagu rancak yang berkumandang, suara para tetamu yang asyik bersembang dan hidangan makanan yang menyelerakan menambahkan lagi kemeriahan.

Di bawah sepohon pokok mangga yang tidak jauh dari kediaman Encik Idris, Dhira memerhatikan rumah itu bersama satu tanda tanya. Majlis perkahwinan siapakah itu? Abang long atau Faizal? Mata Dhira meliar memandang sekeliling. Banner yang tergantung di satu sudut memberikan jawapan kepada tanda tanyanya. Majlis perkahwinan Faizal. Tak sangka hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk adik bongsunya. Senyuman terukir di bibir tatkala melihat gambar adik iparnya. Manis!

Dhira kemudian mula menumpukan pandangannya ke laman rumah. Mencari Puan Suraya. Sudah lama dia tidak menatap wajah ibunya. Rindu! Teramat rindu. Cermin mata hitam yang dipakainya, dibetulkan sedikit. Tanpa sedar, air mata mula bertakung tatkala wajah Puan Suraya meyapa pandangan. Ya Allah, rindunya dia dengan ibu. Sungguh! Mahu sahaja dia berlari ke arah Puan Suraya dan menarik wanita itu ke dalam dakapannya. Namun, dia masih sedar siapa dirinya. Dia tidak mahu merosakkan majlis yang sedang berlangsung.

Lagipun, memang Dhira tidak berniat untuk bersemuka dengan ibunya. Dia hanya ingin menatap dari jauh. Cukuplah sekadar melihat wajah ibunya yang tersenyum gembira dan mendengar gelak tawa ibunya dengan para tetamu.

“Kenapa auntie menangis?” tegur satu suara anak kecil.

Dhira terkesima. Terus kepalanya ditoleh ke sisi. Seorang budak lelaki memandangnya dengan mata yang membulat. “Mana ada auntie nangis,” balas Dhira perlahan sambil menundukkan tubuhnya.

“Tipu! Tu, ada air mata,” bidas budak lelaki itu sambil menuding jari ke arah pipi Dhira.

Tangan Dhira terus melekap ke pipi. Bibirnya mengukirkan senyuman nipis. Sungguh, dia tidak sedar dia menitiskan air mata. Budak lelaki itu yang perasan. Anak siapalah tu.

“Auntie ni kawan paksu ke?”

“Paksu?”

Budak lelaki itu menganggukkan kepala. Kemudian, dia menudingkan jari telunjuknya ke arah banner yang Dhira lihat sebentar tadi. “Itulah paksu dengan maksu.”

“Itu paksu dengan maksu adik?” soal Dhira ingin kepastian.

“Hesy, kenapa panggil adik? Saya dah besar. Panggil saya Abang Awie.”

Dhira tergelak kecil mendengar celoteh budak kecil yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Awie. “Okaylah Abang Awie… auntie nak tanya, tu paksu dengan maksu Abang Awie ke?”

“Yelah… auntie nak jumpa paksu dengan maksu tak? Abang Awie boleh bawa auntie.”

Segera Dhira menggelengkan kepala. “Abang Awie ni anak Haris ya?”

Awie menganggukkan kepala.

Dhira menahan rasa. Rasa sebak dan gembira bercampur baur. Budak kecil itu merupakan anak buahnya. Anak abangnya. “Boleh auntie peluk?” Suara Dhira terketar-ketar.

Sekali lagi Awie menganggukkan kepala.

Terus Dhira menarik Awie ke dalam pelukannya. Erat. Bagai melepaskan kerinduan kepada keluarganya. Seketika kemudian, Dhira melepaskan pelukan. Matanya terhala ke wajah Awie. Senyuman manis terukir di bibir. Comel anak abang long. Pandai bercakap pula tu, ucap Dhira dalam hati.

“Bye Abang Awie… auntie pergi dulu.”

Awie terkebil-kebil. Tidak faham apa yang berlaku tetapi dia tetap melambai-lambaikan tangannya ke arah Dhira.


Hotel Quayside yang terletak di tebing Sungai Melaka dan di tengah-tengah pusat pelancongan menjadi pilihan Dhira untuk menginap selama satu malam. Sengaja dia pilih hotel itu. Harga berpatutan dan mudah untuk dia bersiar-siar, meneroka negeri kelahirannya yang sudah banyak berubah.

Tubuh Dhira terus dihempaskan ke atas tilam yang empuk sebaik sahaja mendaftar masuk. Ingin merehatkan diri seketika sebelum meneruskan aktiviti yang seterusnya. Selendangnya masih terlekap di kepala. Malas nak buka. Wajah ahli keluarganya mula terlayar di ruang minda. Sebelum dia meninggalkan kediaman Encik Idris, gadis itu sempat menatap buat kali terakhir wajah ahli keluargnya. Ayah, ibu, abang long dan juga Faizal.

Ketukan di pintu bilik menerbangkan lamunan Dhira. Dengan perasaan malas, gadis itu bangkit dari perbaringan dan menuju ke pintu bilik. Mata gadis itu terus membulat sebaik sahaja wajah Fei Fei menyapa pandangan.

“Ya Allah! Apa yang you buat kat sini? Macam mana you tahu I ada kat sini?” soal Dhira dengan nada terkejut.

Fei Fei tergelak besar. “You yang beritahu I semalam you nak check in kat sini,” balas Fei Fei seraya melangkah masuk ke dalam bilik. Fei Fei meletakkan beg pakaiannya di satu sudut sebelum menghempaskan punggung di atas tilam.

“Tapi macam mana you tahu I dekat bilik ni?” tanya Dhira yang masih terkejut dengan kemunculan Fei Fei. Pintu bilik ditutup dan dia melangkah mendekati Fei Fei.

“I dah lama tunggu you kat lobby. Sejak you melangkah masuk ke hotel ni, I dah perhatikan you. Tapi you tak perasan. Fikiran you macam melayang entah ke mana. I malas nak kacau.”

Dhira tergelak kecil. Punggungnya dilabuhkan menghadap Fei Fei. “Tak beritahu pun nak datang padahal malam semalam kita bergayut hampir sejam.”

“Saja nak surprisekan you. You dah jumpa keluarga Anas ke belum?”

Dhira menggeleng perlahan. “Belum lagi. I ingat nak pergi petang-petang sikit.”

“Habis tu, tadi you pergi mana?”

Mata Dhira dihalakan ke arah Fei Fei. “I pergi rumah famili I.”

Fei Fei kelihatan terkejut. Duduknya dibetulkan. Kelihatan teruja untuk tahu kisah seterusnya. “You jumpa dia orang? Seriously? Apa reaksi dia orang?”

“I tak jumpa dia orang. I just nak tengok dari jauh je. Ada kenduri kahwin tadi. Kenduri kahwin adik I. Cantik isteri dia. Abang long pun dah kahwin. Dah ada anak yang comel. I sempat jumpa anak dia tadi,” cerita Dhira. Ringkas dan padat.

“Itu je?” soal Fei Fei seperti tidak berpuas hati.

“Itu jelah. Habis tu you nak macam mana?”

Fei Fei terdiam. Tak tahu nak cakap apa. Bibirnya dimuncungkan.

“I nampak ibu I. Dia happy. Senyum, ketawa… Cukuplah tu. Lepaslah rindu I pada dia walaupun sedikit.”

Fei Fei ukir senyum nipis. “You dah makan?” tanya Fei Fei, menukar topik perbualan mereka. Tidak mahu terlalu mendesak Dhira, lebih-lebih lagi hal yang berkaitan keluarga gadis itu.

Segera Dhira menggelengkan kepalanya. Tangan melekap di perut yang terasa lapar. “You?”

“Belum juga. Selamat kita tak buka tudung lagi. Jom jalan-jalan cari makan.”

“Jom!” Serentak mereka berdua berdiri dan mula bersiap-siap untuk keluar.

“Petang nanti I teman you jumpa keluarga Anas.”

Lebar senyuman Dhira. “Thanks girlfriend!”

“Malam ni teman I jalan-jalan kat Jonker Walk,” pinta Fei Fei sebagai balasan.

“Boleh saja! Melaka dah banyak berubah. I rasa I boleh sesat dekat negeri sendiri sebab semuanya nampak lain dah.”

Fei Fei melepaskan tawa.


Rumah batu berwarna putih yang terletak di Kampung Lereh kelihatan sunyi. Salam yang dihulurkan tidak disambut. Dhira pandang Fei Fei. Fei Fei pandang Dhira. Kemudian, kedua-dua mereka menjongketkan kening masing-masing.

“Tak ada kat rumah kut,” teka Fei Fei.

“I pun rasa yang sama.”

“You nak tunggu?”

Dhira berfikir seketika. Matanya melilau memandang sekeliling rumah. Deruan enjin kereta membuatkan gadis itu menoleh ke belakang. Matanya seakan bersinar apabila melihat sebuah kereta meyusur masuk ke dalam garaj. Gembira barangkali. Dalam masa yang sama, hatinya mula berdebar.

“Dia orang dah balik,” tutur Fei Fei.

“Akak!!!” Jerit seorang gadis sebaik sahaja keluar dari kereta. Gadis itu segera berlari ke arah Dhira. Tubuh Dhira dipeluk erat. “Kak Dhira kan?” tanya Mimi inginkan kepastian.

Terukir senyuman nipis di bibir Dhira. Kepalanya dianggukkan. “Kak Dhira lah ni. Mimi dah lupa akak eh?”

“Mana mungkin Mimi lupakan akak. Dah lama tak jumpa, takut salah orang. Akak nampak lain sangat sekarang ni. Rindunya Mimi dengan akak.”

Senyuman tidak lekang dari bibir Dhira. Lega hatinya apabila dirinya disambut dengan baik. “Akak pun rindukan Mimi. Ni kawan akak. Umairah... tapi akak panggil dia Fei Fei.” Dhira memperkenalkan Fei Fei kepada Mimi.

Mimi mengukirkan senyuman seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Fei Fei.
“Mini Cooper Kak Dhira ke tu?”

“Eh taklah. Kawan akak punya. Mama mana?”

“Alhamdulillah! Anak mama dah balik.” Belum sempat Mimi menjawab pertanyaan Dhira, seorang wanita lewat 40-an sudah pun mendekati Dhira bersama bicara yang kedengaran gembira.

 Dhira mengalihkan pandangannya ke arah Puan Marlina. Terukir senyuman setelah menatap wajah yang dirinduinya. Gadis itu terus mendekati Puan Marlina lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. “Mama sihat?”

“Sihat Alhamdulillah,” balas Puan Marlina seraya menyambut huluran salam Dhira. Gadis itu terus ditarik ke dalam pelukan. Pipi Dhira diciumnya, melepaskan rindu. Setitis air mata mengalir di pipi wanita itu. “Mama tak sangka dapat jumpa Dhira lagi,” luah Puan Marlina bersama senyuman gembira.

Dhira turut mengukirkan senyuman. “Mama dengan Mimi dari mana ni?”

“Mimi bawa mama pergi Mydin tadi. Beli barang dapur,” jawab Mimi.

Fei Fei mendekati Puan Marlina untuk bersalaman. “Mak cik… saya kawan Dhira. Umairah.”

Puan Marlina menyambut huluran salam Umairah bersama senyuman manis. “Marilah masuk, Dhira, Umairah... Kita borak kat dalam. Barang-barang dekat bonet tu biar Mimi yang bawa masuk ke dalam. Tak banyak mana pun,” ucap Puan Marlina cukup bersahaja setelah membuka pintu rumahnya.

“Memang tak banyak pun ma. Setakat dua troli kat Mydin tu, tak adalah banyak mana kan… Lainlah kalau sepuluh troli,” balas Mimi penuh sarkastik.

Terhambur tawa mereka semua mendengar sindiran Mimi. “Mimi nak akak tolong tak?” tanya Dhira ingin menghulurkan bantuan.

Mimi tayang sengih. Kepalanya digelengkan. “Mimi gurau jelah kak. Akak masuklah dalam dengan kawan akak. Mimi boleh uruskan barang-barang dalam bonet ni. Pergilah borak dengan mama. Mesti banyak benda yang nak diborak. Maklumlah, dah bertahun tak jumpa,” seloroh Mimi.

“Kalau macam tu, kami masuk dululah. Hati-hati bawa barang tu,” pesan Dhira dengan nada ingin mengusik. Kemudian, dia mengekori langkah Puan Marlina ke dalam rumah. Punggungnya dilabuhkan berhampiran dengan wanita itu.

“Sunyi je rumah. Pak cik tak ada ke?” tanya Dhira sekadar berbasa-basi.

“Tak ada. Dia ke Pahang. Ada pertandingan memancing. Kamu berdua ni dari mana? Dah lama ke sampai?”

“Pak cik tak habis-habis dengan memancing. Sampai sekarang.” Dhira ukir senyum sebelum menyambung bicaranya. “Kami baru je sampai, ma.”

“Lama Dhira tak jenguk mama. Sampai hati Dhira. Dhira dah lupakan mama ya. Mentang-mentanglah Anas dah tak ada.”

Dhira sedikit tersentak apabila mendengar nama Anas dari bibir Puan Marlina. Wajahnya ditundukkan seketika. “Ma… tak mungkin Dhira lupakan mama. Dhira sentiasa ingat pada keluarga ni. Dhira minta maaf sebab dah lama tak jenguk mama.”

“Tak apalah, Dhira. Mama faham. Mama tak salahkan kamu. Ke mana kamu pergi selama ni? Semua orang tak tahu kamu kat mana. Tiba-tiba je hilang.”

“Dhira kerja kat Singapore, ma. Kerja dengan Umairah. Dia bos Dhira.”

Fei Fei yang duduk di sebelah Dhira, kuntum senyum saat namanya disebut. Sedari tadi, dia hanya menjadi pendengar. Tidak mahu mengganggu perbualan Puan Marlina dan Dhira.

“Oh… masih kerja kat sanalah? Kerja apa?”

Kepala Dhira digelengkan. “Dhira minta transfer kat sini sebab tempat Dhira kerja tu, ada branch kat sini. Dhira kerja sebagai interior designer, ma.”

“Eh, bukan akak ambik nursing ke dulu?” tanya Mimi yang baru tiba bersama dulang yang berisi empat gelas air Milo.

“Akak tak habis belajar pun.” Dhira senyum segaris. “Wah, nampak sedap je air Milo Mimi ni.”

“Milo kotak je ni kak. Beli kat Mydin tadi. Tu yang cepat je hidang untuk akak,” balas Mimi bersama tawa kecil. “Jemputlah minum,” tambah Mimi.

 “Terima kasih, Mimi.”

“Lepas ni, Dhira kerja kat Melaka ke?” Puan Marlina kembali menyoal.

Dhira menggelengkan kepalanya. “Dhira kerja kat KL, ma.”

Wajah Puan Marlina kelihatan hampa. “Ingatkan dekat sini. Bolehlah juga Dhira jenguk kami selalu. Company Dhira kerja tu, tak ada branch kat sini ke?”

Sekali lagi Dhira menggelengkan kepalanya. “Alah, ma… KL dengan Melaka bukannya jauh pun. Insya-Allah, Dhira akan selalu jenguk mama.”

“Singapore dengan Melaka pun tak jauh, Dhira… tapi tak ada pula Dhira jenguk mama. Raya pun Dhira tak datang. Sedih mama… Dah lah Anas tak ada, Dhira pun tak ada. Memang mama terkilan. Mama macam hilang dua orang anak.”

“Dah mula dah… dah mula dah…,” celah Mimi bersama mimik muka. Kepalanya digeleng-gelengkan. “Mama ni kan… tak habis-habis dengan drama air mata dia.”

Mimi kalih pandang ke arah Dhira. “Akak tak payah risaulah. Mama tu sedih sekejap je. Dia dah ada anak angkat baru. Dia sayang sangat dengan anak angkat baru dia tu. Dah tak ingat pun dekat akak. Bukan dekat akak je… Mimi pun sama. Sejak Abang Ali jadi anak angkat mama, mama dah tak ambil tahu pasal Mimi. Asyik-asyik tanya pasal Abang Ali je.”

“Eh, mestilah mama sayang Ali. Dia tu baik, rajin… tak macam Mimi. Pemalas!” Balas Puan Marlina. Nada suara wanita itu sudah kembali normal. Malah, riang hatinya apabila mendengar nama anak angkatnya. “Dhira tahu tak siapa yang bersihkan semak samun kat tepi rumah tu?” Puan Marlina kerling Dhira. “Ali yang buat semua tu. Dah jadi kebun pun. Macam-macam tanaman ada.”

“Amboi, ma… kecik hati papa kalau dengar ni. Papa pun ada tolong Abang Ali,” ucap Mimi dengan niat ingin mengusik ibunya.

“Ha, yelah-yelah… Ali dengan papa yang usahakan kebun tu.”

Terlepas tawa dari bibir Dhira. Lucu. “Oh… mama ada anak angkat baru ya? Habis tu, Dhira macam mana? Dhira masih anak angkat mama, kan?” Dhira buat muka comel. Sudah lama tidak bergurau senda dengan keluarga itu.

“Mama dah ada Ali. Cukuplah seorang je anak angkat mama.” Selamba sahaja Puan Marlina membalas. Sengaja nak kenakan Dhira.

Mimi dan Fei Fei melepaskan tawa. Geli hati dengan riak wajah Dhira. Dhira terus menghadiahkan sebuah jelingan kepada mereka. Jelingan tanda tidak puas hati. Kemudian, dia toleh semula ke arah Puan Marlina. “Eleh… Dhira tahu mama sayang Dhira. Kan? Kan? Kan?”

Giliran Puan Marlina pula menghamburkan tawa. Kali ini Dhira turut ketawa. Riuh jadinya.
“Mestilah mama sayang. Walaupun Dhira dah tak sayang mama, mama akan tetap sayang Dhira.”

“Hisy… ada pulak cakap macam tu,” balas Dhira. “Dhira akan tetap sayang mama. Mama kan mama yang paling cool kat dunia ni. Betul tak, Mimi?”

Laju Mimi menganggukkan kepala. “Setuju seratus peratus!” Mimi menghalakan pandangan ke arah Dhira. “Kak… nak tahu tak kenapa mama suka sangat pada Abang Ali?”

Laju Dhira anggukkan kepalanya.

“Sebab bagi mama, Abang Ali tu ada ciri-ciri lelaki melayu sejati. Tall, dark and handsome,” beritahu Mimi bersama tawa kecil. “Tapi abang Ali tu memang handsome pun, kak. Ada ke patut mama suruh Mimi kahwin dengan dia? Tak habis-habis nak kenenkan Mimi dengan Abang Ali. Mana Mimi nak campak tunang Mimi tu…”

“Mimi dah bertunang?” tanya Dhira sedikit terkejut.

“Dah nak kahwin pun kak.”

Mata Dhira sedikit membulat. “Congratulation! Jangan lupa jemput tau.”

“Of course Mimi akan jemput akak.”

“Dengan Rizal ke?”

Mimi menggelengkan kepalanya. “Mimi dah lama break dengan dia. Nanti Mimi tunjuk akak gambar tunang Mimi. Handsome. Lebih handsome daripada Abang Ali.”

“Handsome je tak cukup Mimi oi… Ali tu bukan setakat muka je handsome… tapi peribadi pun handsome. Mama nak dia jadi menantu mama tapi nak buat macam mana… Si Mimi ni dah terpikat kat orang lain.”

Mimi cebik bibir. “Peribadi tunang Mimi pun handsome juga.” Nada suara gadis itu kedengaran seperti tidak berpuas hati dengan bicara Puan Marlina.

“Sentaplah tu. Yelah… Si Haliq tu pun baik orangnya. Kalau tak, mama tak akan terima dia.” Puan Marlina memandang Dhira. Muncul satu idea di mindanya. Wajahnya terus berseri-seri. “Hmm, apa kata Dhira je kahwin dengan Ali. Nanti mama kenalkan.”

Dhira menggelengkan kepalanya. Laju. “Sudahnya… Dhira pula yang kena. Hisy, tak naklah Dhira. Tak payahlah mama nak kenenkan Dhira dengan anak angkat mama tu. Terima kasih jelah mama.”

“Kalau Dhira tak nak, Umairah nak?”

Fei Fei terkejut apabila namanya disebut. Matanya membulat. Tanpa sedar, kepalanya sudah menggeleng.

“Kenapa? Umairah dah berpunya ke?”

Malu-malu Fei Fei menjawab soalan Puan Marlina. “Dah mak cik. Tak lama lagi kami akan bertunang.”

“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Hmm, Dhira macam mana? Dah berpunya ke?”
“Siapalah nak dekat janda macam Dhira ni, ma.”

“Eleh, mak cik… Sebenarnya ramai je nak dekat Dhira tapi dia yang jual mahal,” sampuk Fei Fei.

Dhira terus kalih pandang ke arah Fei Fei. Tangannya menampar paha kawan baiknya itu. Geram.

“Oh… jual mahal! Tak apa. Jumpa Ali dulu. Confirm tak jual mahal. Mungkin jatuh cinta pandang pertama dengan si Ali nanti.”

Mimi melepaskan tawa. “Padan muka akak! Kali ni akak pula yang jadi mangsa,” ucap Mimi bersama hilai tawa. “Sudah-sudahlah jadi matchmaker, ma… Ni, mama nak masak apa malam ni? Kak Dhira mesti rindukan masakan mama, kan?”

“Of course!” Lebar senyuman Dhira tika itu.

“Mama masakkan lauk kegemaran Dhira, ya. Kebetulan pagi tadi, pak cik kamu ada beli udang laut sebelum ke Pahang.”

“Udang masak lemak cili padi, ya ma?”

Puan Marlina menganggukkan kepalanya. “Umairah boleh makan pedas ke?”

“Boleh mak cik. Sejak kenal dengan Dhira ni, saya dah pandai makan pedas.”

 “Kak Dhira…. Ada apa dalam paper bag tu?” Mimi menyoal sambil menjuihkan bibirnya ke arah beg kertas di sebelah Dhira.

Terus mata Dhira dihalakan ke arah beg kertas tersebut. “Ya Allah… Terlupa pulak!” Dahinya ditepuk perlahan. “Ni… Dhira ada bawakan ole-ole dari Singapore untuk mama, pak cik dengan Mimi.”

Mimi kelihatan teruja. Terus dicapai beg kertas tersebut. “Thank you, kak!! Akak belikan apa untuk Mimi?”

“Tengoklah sendiri.”


Berselera sungguh Dhira menjamu selera bersama keluarga angkatnya. Barangkali kerana dia sudah lama tidak merasai masakan ibu angkatnya. Tambah pula, Puan Marlina masak lauk kegemarannya. Memang makin berseleralah dia. Siap tambah nasi lagi. Sedap sungguh masak lemak cili padi udang dengan nenas yang dimasak oleh Puan Marlina. Fei Fei pun kelihatan berselera malam itu meskipun dia terpaksa tahan pedas.

“Kenapa mama tak makan? Tenung Kak Dhira pula,” tegur Mimi dengan nada selamba sebelum menyuapkan nasi ke dalam mulut.

Suapan Dhira terhenti. Matanya dihalakan ke arah Puan Marlina. Sedikit terkejut dengan kata-kata Mimi. Sungguh, dia tidak sedar dirinya diperhatikan.

“Mama suka tengok Dhira makan. Berselera sungguh,” jawab Puan Marlina bersama senyuman nipis. “Hmm, teringat pula mama kat Ali. Dia pun suka lauk ni. Dia tak jenguk mama ke minggu ni?”

Terus Mimi menjeling mamanya. “Ali, Ali, Ali… tak habis-habis dengan Abang Ali. Akak tengoklah mama tu… hari-hari teringatkan Abang Ali,” adu Mimi bersama mimik muka. Nadanya lebih kepada bergurau. “Ma… tak ada maknanya Abang Ali nak jenguk mama kalau papa tak ada.”

Satu keluhan kecil terlepas dari bibir Puan Marlina. “Tulah pasal… Mesti Ali segan nak datang sini. Rindunya mama dengan dia. Mama nak call dia kejaplah. Nak tanya khabar.”

Dhira dan Mimi hanya memandang Puan Marlina yang sudah mengangkat punggung dan menuju ke ruang tamu. Tidak lama kemudian, wanita itu muncul semula bersama telefon pintar di tangan. Nombor telefon Ali terus didail. Dhira dan Mimi saling berpandangan lalu menjungkitkan bahu sebelum kembali menjamu selera. Dibiarkan sahaja Puan Marlina berbual dengan anak angkatnya.

“Hmm, sayangnya... Kalau Ali ada dekat Melaka, bolehlah mama kenalkan dengan Dhira. Ingat lagi tak Dhira yang mama cerita dulu. Dia dah balik. Rupanya selama ni dia melarikan diri ke Singapore. Habis tu, bila Ali balik sini? Dah lama Ali tak balik. Rindu pula mama dekat Ali.”

Tersentak Dhira apabila dirinya dijadikan topik perbualan oleh Puan Marlina. Termati terus suapannya. Fei Fei gelak kecil.

“Habislah you, Dhira. Mama you dah nak kenenkan you dengan anak angkat baru dia,” usik Fei Fei dengan nada berbisik.

Puan Marlina meletakkan telefon pintar di atas meja makan sebaik sahaja menamatkan perbualan dengan Ali.

“Lepas ni Dhira ada plan nak ke mana-mana ke?” tanya Puan Marlina sekadar ingin tahu.

“Dhira nak ke Jonker Walk, ma. Si Fei Fei ni ajak teman ke sana.”

“Fei Fei?” Dahi Puan Marlina berkerut.

Dhira ukir senyum. “Lupa pula. Dhira panggil Umairah ni, Fei Fei. Nama Cina dia Lin Fei Fei. Dah terbiasa panggil Fei Fei, ma.”

“Dah lama ke Umairah peluk Islam?”

Fei Fei menganggukkan kepalanya. “Lebih daripada enam tahun. Sebelum saya kenal Dhira, saya dah peluk Islam mak cik. Lepas kenal Dhira, kami banyaklah belajar sama-sama pasal Islam.”

Suasana di meja makan bertambah rancak dengan kisah Dhira dan Fei Fei. Puan Marlina memang suka bertanya. Habis semua dia tanya pada Dhira dan Fei Fei. Macam mana kenal, dah berapa lama kenal dan macam-macam lagi. Sampai emak dan abang Fei Fei pun, Puan Marlina sudah tahu.

“Cantik mama tengok Dhira dah bertudung. Tak sangka pula Umairah ni yang buat Dhira tergerak hati nak pakai tudung. Baguslah Dhira berjumpa orang macam Umairah ni. Dia bawa Dhira ke arah kebaikan. Untung Dhira dapat kawan macam Umairah,” ulas Puan Marlina setelah berjaya mengorek kisah Dhira di Singapura.

Fei Fei mula tersenyum-senyum gedik apabila dipuji Puan Marlina. Dhira hadiahkan sebuah jelingan pada kawannya dan Fei Fei hanya membalas jelingan itu dengan sengihan.

Selesai menjamu selera, mereka membantu Mimi mengemas sebelum meminta diri untuk pulang. Puan Marlina berasa berat hati untuk berpisah dengan mereka. Siap suruh mereka tidur di rumah wanita itu. Namun, Dhira menolak dengan cara baik.


Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 pagi, namun Dhira masih lagi berjaga. Entah kenapa dia sukar untuk melelapkan mata. Tubuhnya dikalihkan ke kiri. Fei Fei yang sudah lena direnung kosong. Lama kemudian, gadis itu bangkit dari perbaringan dan menuju ke meja kerja. Punggung dilabuhkan di kerusi berwarna putih. Beg tote dicapai. Sebuah album dikeluarkan. Album itu diberikan oleh Mimi kepadanya sebelum dia bergerak pulang.

Album gambar yang memuatkan gambar-gambar kenangan dia bersama arwah Anas dibuka. Liur ditelan sebaik sahaja matanya tertancap pada gambar arwah.  Lama gambar itu ditatap. Perasaannya mula berbaur. Sukar untuk dia gambarkan perasaannya ketika itu. Rindu. Ya, dia amat rindukan lelaki itu. Meskipun sudah lama lelaki itu meninggalkannya, perasaan cinta pada lelaki itu tidak pernah pudar.

Pandangan Dhira dihalakan ke arah gambar yang seterusnya. Satu per satu gambar diteliti. Mata gadis itu terpaku ke arah satu gambar dirinya bersama Anas. Senyuman nipis terukir di bibir apabila teringat memori sewaktu gambar itu di ambil. Ketika itu, mereka sedang bercuti ke Genting Highlands bersama kawan-kawan yang lain.

Tidak semena-mena, perbualannya dengan Mimi lewat petang tadi kembali terlayar di ruang minda.

“Akak masih tak boleh lupakan along ye?” tanya Mimi lambat-lambat.

Dhira hanya mengukirkan senyuman.

“Mimi faham. Kami pun selalu teringat kat dia. Lebih-lebih lagi waktu raya.”

“Mimi…,” panggil Dhira perlahan.

Mimi menoleh ke arah Dhira, menantikan bicara yang seterusnya.

“Maafkan akak, Mimi. Maafkan akak.”

“Untuk?” Sengaja Mimi bertanya. Dia sebenarnya sudah boleh agak kenapa Dhira meminta maaf dengannya. Dia tahu gadis itu rasa bersalah atas kematian abangnya.

Dhira tarik nafas dalam lalu dihela perlahan-lahan. “Sebab akak, Anas…”

“Sebab akak along mati?” Selamba sahaja Mimi memotong bicara Dhira.

Lambat-lambat Dhira menganggukkan kepalanya. Matanya dihalakan ke bawah. Tidak mampu menentang pandangan Mimi.

“Akak… kami tak pernah salahkan akak. Kematian along tak ada kena mengena dengan akak. Dah sampai ajal dia, kak.”

“Tapi Anas accident masa nak pergi wedding akak. Kalau akak tak ikut cakap ayah akak untuk kahwin dengan pilihan dia, semua ni tak akan terjadi. Anas tak akan tinggalkan kita. Akak tak sempat nak minta maaf dengan dia, Mimi. Akak tak beritahu dia pun yang akak nak kahwin. Dia tahu pun dari kawan akak.”

“Sebab ni ke akak larikan diri, akak? Sebab ni ke akak tak jenguk kami?”

Dhira mendiamkan diri. Tidak mampu menjawab pertanyaan Mimi. Sejujurnya, ada sebab lain kenapa dia melarikan diri ke negara seberang.

“Akak… Akak tahu tak mama sedih sangat bila akak tiba-tiba tak ada. Kami call akak banyak kali tapi tak dapat. Kami dapat tahu akak dah bercerai dengan suami akak. Bertambah risau mama jadinya. Tak sampai sebulan akak kahwin, dah bercerai. Mama betul-betul risaukan akak. Dia tahu pasti suami akak ceraikan akak sebab along.” Mimi melepaskan keluhan kecil.

“Berbulan-bulan kami cuba cari akak. Tanya kawan-kawan akak dengan along tapi semua tak tahu. Lama-lama kami faham. Akak nak mulakan hidup baru. Nak lupakan along. Nak lupakan kami.”

Segera Dhira menggelengkan kepalanya. “Akak tak pernah terniat nak lupakan Mimi dengan keluarga Mimi. Apatah lagi Anas. Akak tahu akak pentingkan diri. Akak pergi tanpa beritahu Mimi dengan mama. Akak minta maaf.”

“Tak apalah kak. Kami pun faham. Akak perlukan masa waktu tu. Cuma… Mimi harap sangat akak tak akan lari lagi. Tak akan hilang lagi. Kami kan keluarga akak juga. Jangan lupa tu! Walaupun along dah tak ada, akak sentiasa dialu-alukan ke rumah kami. Akak kan, anak angkat kesayangan mama,” seloroh Mimi, cuba menceriakan suasana.

Sentuhan di bahu Dhira menyedarkan gadis itu dari khayalan. Dhira segera menoleh. Bibirnya mengukirkan senyuman nipis apabila melihat Fei Fei yang masih mamai.

“Kenapa tak tidur lagi?” tanya Fei Fei sambil menguap.

Perlahan-lahan Dhira menggelengkan kepalanya. “Tak mengantuk.”

“Gambar siapa ni? Boyfriend you?”

Soalan Fei Fei dijawab dengan anggukan.

Fei Fei mendekatkan wajahnya. “Boleh tahan handsome. Patutlah you tak boleh move on,” komen Fei Fei bersahaja. “Pergilah tidur Dhira. Esok kan dah janji nak panjat Bukit St. Paul sama-sama.”

Dhira tersenyum lagi. Album gambar ditutup dan disimpan kembali ke dalam beg tote. Dia bangkit dari duduk. “Baiklah girlfriend. Jom tidur.”



***********   TEASER BAB 4      ************ 


“You are late by fifteen minutes.”
Terkesima Dhira sebaik sahaja melihat lelaki yang berdiri di depannya. Termati terus niatnya untuk meminta maaf atas kelewatannya. Lelaki itu turut terkejut melihat Dhira. Buat seketika, mereka saling berpandangan. Masa seakan terhenti.
“Joyce?”
Bicara lelaki itu menyedarkan Dhira ke dunia nyata. Kepalanya digeleng perlahan. “Tak. I’m Dhira. Pekerja Joyce. Sorry sebab lambat.” Dia tak cam aku ke? Soal Dhira sekadar di dalam hati. Hmm, sengajalah tu. Takkanlah dia tak kenal Joyce. Joyce kata klien baru ni kawan dia, omel Dhira.
“Zafran. Jemput masuk,” pelawa lelaki itu dengan nada yang kurang mesra.
Dhira mengukirkan senyuman nipis sebelum melangkah masuk. Nafas berat dilepaskan. Buat seketika, Dhira cuba mencari kekuatan untuk berurusan dengan lelaki itu. Mata Dhira kemudian diliarkan ke sekeliling, memerhatikan ruang rumah. Puas meneliti, dia menoleh ke belakang. Memandang Zafran yang masih berada di pintu rumah. Terkedu Dhira apabila mata mereka bertentangan. Segera dia melarikan pandangan. Sungguh, dia berdebar melihat pandangan daripada lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Tekak dibersihkan sebelum dia bersuara. “So…” Dhira meleretkan bicaranya. Sedang mencari ayat yang sesuai.
“Yes, you boleh proceed dengan kerja you,” ucap Zafran seolah-olah memahami apa yang ingin dibicarakan oleh Dhira. “Don’t worry. I akan biarkan pintu ni terbuka.”
Dhira mengangguk kecil. “Oh, okay…” Bibir diketap. Oh, janggalnya situasi saat ini. Gadis itu cuba menenangkan dirinya. Telefon pintar dikeluarkan dari beg galas dan dia mula mengambil beberapa keping gambar.
“Dari nursing ke interior designer.”
“Ha?” Dhira sedikit terkejut apabila mendengar suara garau Zafran dicelah kesunyian. Mata gadis itu secara automatik dikalihkan ke arah Zafran. Lelaki itu sedang bersandar di dinding sambil memeluk tubuh. Nampak santai.
Mata Zafran sedikit membesar. Terkesima. Tidak sangka apa yang diucapkan dalam hati, terlafaz di bibir. “Tak ada apa-apa.”

3 comments:

Kim said...

Thank you update. Bestnya.

Nina Aziz said...

bila nak keluar nii??

hhehehehe

Zuera said...

Kim, most welcome

Nina Aziz, i think i remember ur name. dpd dulu follow cete kat sini kan? Hehe. Novel ni kluaran istimewa masa PBAKL 2016. Kalau nak beli kt bookstore, kena tunggu lama lagi. Hehe :)