Tuesday, April 5, 2016

1 Pengakuan 9 Luahan - Bab 2

Bab 2

Zafran memerhatikan gadis yang dirinduinya melalui dinding kaca kafe dari dalam keretanya. Dia masih lagi terkejut dengan pertemuan sebentar tadi. Liur ditelan, membasahkan tekak yang terasa kering. Wajahnya diraup perlahan. Cuba menenangkan hati yang sedang bergelora. Sungguh, dia tidak jangkakan pertemuan sebentar tadi. Pertemuan tadi benar-benar memberi kejutan kepada dirinya. Jantung seakan berhenti berdegup saat mata mereka bertentangan.

Mata Zafran masih terhala ke arah Dhira. Redup sahaja pandangannya. Kenangan lalu mula memenuhi ruang fikiran. Tempikan, herdikan dan bicara sinis gadis itu masih segar di ingatan walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu.

“Pembunuh! Kau memang pembunuh! Kalau bapak dah pembunuh, anak pun dua kali lima saja. Macam manalah ayah boleh kahwinkan aku dengan anak pembunuh yang bunuh isteri dia sendiri? Ayah aku tak takut ke kalau satu hari nanti kau bunuh aku seperti mana ayah kau bunuh ibu kau? Oh lupa…” Nada suara Dhira kedengaran sinis. “Kau dah pun bunuh orang yang paling aku sayang. Tahniah untuk itu. Lepas ni giliran siapa pula? Aku?”

Kata-kata itu diucapkan oleh Dhira dengan nada suara yang lantang bercampur sinis dan pandangan yang amat tajam pada malam pertama mereka enam tahun yang lalu.

“Hebat permainan kau. Patutlah kau tak pernah peduli masa aku merayu pada kau untuk batalkan perkahwinan kita. Kau sengaja nak hancurkan hidup aku. Puaslah hati kau sekarang. Anas dah tak ada. Ayah buang aku. Abang long benci aku. Well, at least, terima kasih sebab lepaskan aku… sebab aku tak nak bersuamikan pembunuh. Aku harap aku tak akan jumpa kau lagi.”

Terlepas keluhan kecil dari bibir Zafran. Telefon pintar dikeluarkan dari poket seluar slack lalu dia menghubungi Wafi. “Kau masih di Singapore?” tanya Zafran dengan nada mendatar sebaik sahaja panggilannya disambungkan.

“Ha’ah. Aku masih siasat pasal dia. Kenapa? Kau nak datang sini ke?”

Mata Zafran dihalakan semula ke arah Dhira. Gerak-geri gadis itu diperhati. “Dia ada kat KL.”

“Ha? KL pula? Baru malam semalam aku nampak dia.”

“Aku baru terserempak dengan dia.” Nada suara Zafran masih lagi mendatar. “Aku tak tahu apa dia buat kat sini. Aku nak kau siasat tujuan dia datang sini dan siasat juga sama ada dia balik sini untuk selama-lamanya atau sementara.”

“Apa? Kau terserempak dengan dia? Cerita panas ni. Apa jadi lepas tu?” tanya Wafi teruja.

“Jadi apanya. Aku blah la,” balas Zafran dengan nada yang sama. Datar.

“Kau blah je? Tanpa ‘hi’?”

“Kau expect apa? Aku tegur dia?” Zafran raup wajahnya perlahan. “Wafi… faham tak, dia tak nak jumpa aku.”

“Tak faham!” Selamba je Wafi balas. “Dia memang tak nak jumpa kau. Tapi tadi tu kan kebetulan. Apa salahnya kalau kau tegur dia? Lagipun, benda tu dah lama berlalu. Takkanlah dia masih maksudkan kata-kata dia? Orang perempuan kalau tengah marah, semua benda dia cakap.” Suis bebel Wafi sudah dihidupkan.

“Sudahlah Wafi. Malas aku nak fikir. Assalamualaikum.”

Talian dimatikan. Zafran mula memandu keretanya pergi dari situ. Lelaki itu cuba menumpukan perhatian pada pemanduannya. Lebih kurang dua puluh minit kemudian, Zafran tiba di firmanya. Lelaki itu terus melangkah ke dalam biliknya. Briefcase diletakkan di satu sudut sebelum dia menghempaskan tubuhnya ke kerusi. Belum sempat dia merehatkan diri, rakan kongsinya sudah muncul.

“Aku dengar meeting dengan syarikat Mega Berhad habis awal. Tapi kenapa kau baru balik sekarang? Kau ada singgah mana-mana ke?”

Zafran menoleh ke arah Haris. Ada sesuatu yang menganggu mindanya ketika ini. Perlukah dia memberitahu Haris tentang kejadian tadi? Zafran mula teragak-agak. “Haris…” ucap Zafran perlahan. Bibir Zafran diketap lembut. “Tadi aku… aku…”

“Tadi kau apa?” tanya Haris apabila Zafran masih teragak-agak.

Nafas berat dilepaskan. “Aku settlekan something tadi. Sebab tu aku lambat.” Briefcase dicapai lalu sebuah fail dibawa keluar. Fail itu kemudian dihulurkan kepada Haris. “Nah… analysis aku untuk kes dekat Sarawak. Kau run through dulu. Lepas tu, kita bincang.”

“Wow! Dah siap… Bila kau buat? Kau baru je balik dari sana.”

“Malam tadi.”

Haris menggelengkan kepalanya perlahan. “Aku sebenarnya tak tahulah nak puji sifat workaholic kau ataupun nak kutuk. Aku tahu kita kena rajin untuk terus maju ke depan. Tapi… takkanlah sampai 24 jam nak hadap kerja. Pada pendapat aku lah kan, kita perlu ada masa untuk relax. Kau pernah dengar tak term work-life balance?”

“Siapa kata aku kerja 24 jam? Semalam aku tak tahu nak buat apa, so aku siapkanlah analysis ni.”

Bibir Haris dicebikkan. Macamlah dia baru kenal Zafran semalam. Sudah lebih daripada sepuluh tahun dia kenal lelaki itu. “Okaylah. Aku blah dulu. Thanks for this super fast analysis.”

Zafran senyum segaris. Tubuhnya disandarkan ke belakang sebaik sahaja bayang Haris hilang dari pandangan mata. Tali leher dilonggarkan. “Adik kau dah balik, Ris. Aku jumpa dia tadi,” ucap Zafran perlahan. Memuntahkan bicara yang tidak mampu diluahkan di hadapan Haris.

Zafran teragak-agak untuk memberitahu Haris insiden di kafe tadi. Dia tidak mampu bayangkan penerimaan lelaki itu. Adakah lelaki itu akan berasa gembira atau sebaliknya? Sejak peristiwa enam tahun lepas, tiada siapa berani menyebut nama Dhira di hadapan Haris dan juga keluarga lelaki itu.


Gerimis senja tadi berlarutan hingga ke malam. Kedinginan malam itu membuatkan Dhira memperlahankan kelajuan kipas. Setelah mengemas barang-barangnya, Dhira merehatkan dirinya di ruang tamu. Televisyen sengaja dipasang walaupun tiada rancangan yang menarik perhatiannya. Tidak mahu diselebungi kesunyian apabila tinggal bersendirian. Di Singapura, Dhira tinggal bersama keluarga Auntie Lin. Keluarga itu telah mengisi ruang kekosongan di hatinya. Auntie Lin melayannya seperti anak sendiri walaupun mereka berlainan bangsa dan agama.

            Telefon pintar dicapai dan dia mula mendail nombor telefon Fei Fei, anak perempuan Auntie Lin. Kakinya digoyang-goyangkan sementara menunggu gadis mualaf itu menyambut panggilannya.
“Fei Fei…,” panggil Dhira manja. Dia melepaskan tawa di hujung bicaranya.

“Ha… dah malam baru nak call,” marah Fei Fei dengan nada bergurau.

Tawa Dhira masih kedengaran. “Alah… kalau I tak call, you tak boleh nak call ke?”

“I tak nak kacau you. Manalah tahu you busy kan. So, how’s Malaysia?”

“How’s Malaysia?” Dhira berfikir sejenak. “Entahlah. I rasa biasa je. Sesak macam Singapore juga. Hey, Fei Fei… bersihnya rumah you. Yelahh, dah berbulan you tinggalkan rumah ni kosong. Tak sangka pula licin berkilat. Tak payah I kemas lagi.”

“Mestilah berkilat. Abang I dah upahkan orang untuk kemas rumah tu since you akan stay kat situ.”

Lebar senyuman Dhira. “Wah… baiknya boyfriend I. Tak suka tak suka pun, dia tetap bersihkan rumah you untuk I. How sweet!”

“Eww… gedik je I dengar,” komen Fei Fei selamba. “You suka tak rumah tu? Kalau you nak ubah design rumah tu, you ubahlah. I tak kisah.”

“Hisy, tak naklah. I ni menyewa je. Lagipun, rumah you dah cantik dah. I suka. By the way, I stay kat bilik nombor dua tau. Master bedroom tu, biarlah you duduk bila you datang sini.”

“I dah tahu dah mesti you puji rumah I. Tengoklah siapa yang design. Miss Lin Fei Fei tau,” ucap Fei Fei bersama gelakan halus. “Eh, kalau you nak duduk bilik master pun, I tak kisahlah. I bukannya selalu balik situ.”

Dhira senyum segaris. “Biarlah I duduk bilik nombor dua tu. I tak kisah pun.”

“Mengandanya… You dah makan ke belum ni?”

“Dah. I masak.”

“You masak??” soal Fei Fei dengan nada tidak percaya.

“Yelah. Masak simple je. Nasi goreng dengan omelette. Tapi omelette I tak jadilah. Tak sedap macam Ken masak.”

Fei Fei gelak kuat. “Tulah… I suruh belajar masak, tapi you tak nak. Ini kalau abang I tahu, habislah you.”

“Janganlah beritahu dia,” tegah Dhira. “Mummy tengah buat apa?” Gadis itu segera menukar topik perbualan. Tidak mahu dirinya diusik lagi.

“Keluar dengan kawan dia. Nanti you call lah dia. Tadi dia cakap, you baru je pergi tapi dia dah rindu,” ucap Fei Fei.

“I pun rindukan dia juga. Rindukan you. Sunyilah duduk sini seorang diri.”

“Tahu pun! Siapa suruh you balik sana,” tembak Fei Fei. “Abang I, you tak rindu ke?”

“Rindulah juga. Dia ada dengan you ke?”

“Kenapa? Kalau dia ada, you nak cakap dengan dia ke?”

Soalan berbalas soalan. Suka betul Fei Fei mengusik hubungan Dhira dengan Ken.

“I tanya je.”

Fei Fei melepaskan tawa nakal. “I seorang je kat rumah ni. Abang I pun keluar. Dating dengan awek baru. Ha, jealous tak?”

“Tak jealous langsung. Awek mana pula kali ni?”

“Klien baru dia.”

“Cantik tak?”

“Ha… Jealous la tu,” tebak Fei Fei.

Dhira mencebikkan bibir. “Tanya pun tak boleh. Tapi I rasa I tak perlu tanya kut. Mestilah cantik, kan. Kalau tak, tak adalah abang you ajak date.”

“Tahu tak apa. Tapi I rasa tak lama kut.” Fei Fei dah mula bergosip. Suka betul dia bergosip dengan Dhira tentang hubungan cinta abangnya.

“Kenapa pula?”

“I kenallah abang I tu. Dia kan cerewet. Perempuan tu macam berlagak sangat. Cantik memang cantik tapi… apa orang malay panggil...” Joyce befikir seketika. “Hidung mancung!” Ucap Joyce sedikit kuat.

Kuat Dhira melepaskan tawa. “Hidung mancung apanya, Fei Fei? You nak cakap dia sombong eh?” teka Dhira bersama sisa tawa.

“Yelah.” Balas Fei Fei tanpa nada. Pelik dengan tawa Dhira.

Sekali lagi Dhira menghamburkan tawanya. “Cik Fei Fei sayang, simpulan bahasa yang sesuai digunakan untuk mengambarkan seseorang itu sombong, bukan hidung mancung tapi hidung tinggi,” jelas Dhira bersama sisa tawa. “Hesy, selamatlah you ni Chinese tau. Kalau Malay, buat malu keturunan jelah.”

Kali ini giliran Fei Fei pula yang ketawa. Baru dia faham kenapa Dhira gelakkannya sebentar tadi. “Alamak, tersalah pula. Selamat tak ada orang lain yang dengar. Ni, kalau Rezza dengar, habislah I kena bahan tujuh hari tujuh malam dengan dia.”

“Padan muka you. Lain kali, kalau tak yakin, tak payah cakap,” kata Dhira masih lagi ketawa.
“Jahatlah you ni. Hmm, you dah jumpa Joyce?” tanya Fei Fei ingin tukar topik.

“Dah… Petang tadi. Cantik opis baru I.”

“Then, bila pula you nak balik Melaka?”

Dhira melepaskan keluhan perlahan. “Entahlah. Lusa kut. Esok I nak jalan-jalan kat sini dulu.”

“Dah bersedia nak jumpa dia orang?”

“I sebenarnya nervous nak jumpa dia orang. Takut dia orang tak boleh terima I. Tapi… I tetap nak jumpa dia orang. Nak tahu khabar dia orang. Dah lama tak jumpa. Rindu sangat.”

“Jangan risaulah. Dia orang mesti excited jumpa you.”

“Hope so.”



No comments: