Wednesday, March 12, 2014

Teman Lelaki Upahan 7



Sudah seminggu Kyra Lydia tidak masuk ke pejabat. Dalam tempoh masa seminggu itu, Kyra Lydia meluangkan masanya di banglo lamanya. Banglo di mana dia pernah tinggal bersama ibu kandungnya, Puan Azlina dan juga Dato Azham. Kekecewaan dan kelukaannya cuba di rawat namun usahanya hanya sia-sia. Air mata kerap menemaninya tatkala dia berada di banglo lamanya.
Kenangan manisnya bersama Haidar kerap terlayar di mindanya. Terlalu banyak memori indahnya bersama Haidar. Sungguh, dia masih tidak boleh terima hakikat bahawa dia sudah kehilangan Haidar buat selama-lamanya.
Walaupun hati Kyra Lydia belum pulih, dia terpaksa pulang awal ke Selangor untuk menghadiri mesyuarat penting bersama semua pengurus syarikat petang esok. Mesyuarat itu tidak boleh dibatalkan seperti mesyuarat-mesyuarat sebelum ini. Dia sedar dia tidak seharusnya hanyut melayan kelukaan perasaannya sehingga mengabaikan tanggungjawabnya pada syarikat.
Sebelum pulang ke penthouse, gadis itu singgah sebentar untuk makan malam di sebuah restoran. Restoran yang selalu dia kunjungi bersama Haidar. Restoran The Spices. Dia sedar hatinya akan bertambah luka apabila berada di restoran ini. Namun, hati kecilnya degil! Tetap mahu ke sini.
 Kyra Lydia mula mengatur langkah masuk ke dalam restoran yang bertemakan alam semulajadi. Selain keenakan makanan yang disediakan, hiasan di restoran itu yang unik telah membuatkan gadis itu dan Haidar kerap berkunjung ke sini. Mata gadis itu memerhati setiap sudut restoran. Wajah Haidar semakin berlegar-legar di ruang mindanya. Tanpa sedar, dia tersenyum sinis. Barangkali mengejek dirinya sendiri.
Sedang Kyra Lydia memerhati ruang restoran, matanya terpaku di satu arah. Kakinya juga secara automatik berhenti. Dari jarak lebih kurang sepuluh langkah, Haidar sedang enak menjamu selera dengan seorang gadis. Tubuh Kyra Lydia terus kaku. Matanya masih lagi memandang pasangan itu. Kemesraan mereka umpama pisau yang menikam jiwa Kyra Lydia.
Saat matanya yang mula berair bertemu dengan sepasang mata milik Haidar, dia terus berpaling ke belakang. Kesan daripada gerakannya yang spontan, satu pelanggaran berlaku di antara dia dan seorang pelayan yang sedang menatang dulang berisi mee kari. Tanpa dapat dielak, dulang jatuh ke lantai dan sebahagian besar mee kari terkena pada baju Kyra Lydia. Baju putihnya sudah bertukar warna. Dia terpempan. Mencerlung matanya memandang pemuda di hadapannya.
Kejadian yang tidak disangka itu menarik perhatian para penggunjung. Semua mata tertumpu pada mereka. Tidak terkecuali Haidar dan juga gadis yang bersamanya.
“Lydia…”
Kyra Lydia yang baru sahaja ingin memarahi pelayan di hadapannya terus terdiam tatkala mendengar panggilan Haidar. Badannya terkaku. Sedikit pun tidak berpaling ke belakang. Dengan kasar, dia terus menarik tangan pelayan yang telah mengotorkan pakaiannya ke luar restoran. Kyra Lydia berjalan tanpa arah. Laju sahaja langkahnya. Pemuda yang ditarik oleh Kyra Lydia hanya mengikut. Dia masih lagi terkejut dengan kejadian tadi.
Apabila mereka sudah berada di tempat yang sunyi, Kyra Lydia melepaskan tangan pemuda di belakangnya. Dia terus berpaling bersama matanya yang tajam merenung pemuda itu.
“Cik, saya nak …”
Pang!
Belum sempat pemuda itu ingin meminta maaf, pipinya ditampar kuat. Tindakan Kyra Lydia membuatkan pemuda itu tergamam. Tangannya melekat ke pipi yang ditampar. Wajahnya mula tegang. Dia yang mulanya rasa bersalah, mula marah dengan gadis di hadapannya.
“Cik, saya tahu saya salah… dan saya nak minta maaf. Tapi yang cik tampar saya ni, kenapa?” jerkah pemuda itu kuat.
“Hey, you tak ada hak nak marah I, okay!” Kyra Lydia menuding jarinya ke arah wajah pemuda itu dengan wajah yang bengis. “Tengok apa yang you dah buat ni… Habis kotor baju I. You ingat baju ni murah ke?” jerkah Kyra Lydia pula, membalas jerkahan pemuda itu.
“Saya tak ada hak nak marah? Cik dah tampar saya, kemudian cik kata saya tak ada hak? Kalau pasal baju cik ni, cik nak marah saya, saya boleh gantilah,” marah lelaki itu bersama bahasa tangan. Sekejap dituding ke arah dirinya sendiri. Sekejap dituding ke arah Kyra Lydia.
“You nak ganti baju I?” soal Kyra Lydia bersama gelakan sinis. Tubuh pemuda itu dipandang daripada atas sampai bawah. Jarinya ditudingkan ke arah pakaian pemuda itu. “Mampu ke? Gaji you setahun pun belum tentu mampu bayar balik baju I tau. Bukan setakat baju I je yang kotor… seluar, kasut I pun kotor sekali tau. You mampu nak ganti?”
“Berlagaknya! Cik yakin ke saya ni tak mampu? By the way, pelanggaran tadi tu, bukan salah saya seorang je tau. Cik pun salah. Tiba-tiba je cik pusing ke belakang.”
“Yang you jalan kat belakang I tu kenapa?” bidas Kyra Lydia.
Pemuda itu tergelak mengejek. “Cik ni nampak je pandai. Tapi bodoh juga ya. Akal letak kat mana? Saya nak hantar pesanan. Mestilah saya lalu kat situ. Jalan kat situ bukannya besar mana.”
“You jangan nak bagi banyak alasan eh. Give me your contact number. I tak kira. You kena bertanggungjawab for the mess you had done.”
Tiba-tiba pemuda itu menghulurkan tangan. Kyra Lydia mengerutkan dahinya, tidak faham.
“Meh la sini handphone cik. Saya nak save phone number saya,” terang pemuda itu dengan nada bersahaja. Tidak mahu memanjangkan hal. Ingat dia tak mampu nak bayar ke?
Kyra Lydia mendengus. Dia terus meraba-raba telefon pintarnya di dalam beg. “Give me your number. I tak rela tangan kotor you pegang phone I.”
Bicara Kyra Lydia yang cukup angkuh membuatkan pemuda itu mencebik benci. Pemuda itu menyelukkan tangannya ke dalam poket seluar sambil menyebut nombor telefonnya.
“Nama you?”
“EL.”
Kyra Lydia memandang depan semula. Pelik mendengar nama pemuda itu. “L as in alphabet  L?”
Pemuda itu menggeleng. “EL as in E. L.”
“Peliknya nama,” komen Kyra Lydia sambil menyentuh skrin telefon, menyimpan data EL. “I’ll call you.”
“Err, cik…,” panggil EL menghentikan langkah Kyra Lydia yang ingin pulang ke keretanya. “Saya nak minta maaf bagi pihak restoran. Saya harap cik tak akan trauma untuk ke sini lagi. Saya akan pastikan hal seperti tadi tak akan terjadi lagi. Jangan lupa call saya. Saya akan ganti balik baju cik yang mahal tu.” EL tersenyum segaris, berpura-pura memaniskan wajahnya. Walau apapun, Kyra Lydia itu pelanggannya dan hati pelanggan kena jaga… meskipun gadis itu amatlah menjengkelkan.
Setelah Kyra Lydia hilang daripada pandangan mata EL, lelaki itu kembali semula ke restoran. Langkah diatur menuju ke sebuah bilik VIP. Sebelum itu sempat juga dia menyuruh pekerjanya membersihkan mee kari yang tertumpah tadi. EL tersenyum sewaktu diberitahu kotoran itu sudah pun dibersihkan. Bagus sekali pekerjanya. Pantas bertindak. Tidak disuruh sudah buat.
Langkah EL semakin lama semakin lemah. Dari jauh dia mengintai sepasang kekasih yang sedang bergelak tawa di dalam bilik itu. Sebelum melangkah masuk, EL menenangkan dirinya buat seketika, mencari kekuatan untuk memulakan lakonan. Wajahnya dimaniskan.
“Abang long, Zarra… sorry sebab lambat,” ucap EL dengan nada ceria sambil masuk ke dalam bilik. Dia terus mengambil tempat di hadapan abangnya. “Abang ngah dah masakkan dah mee kari abang long dengan Zarra. Tapi tadi ada accident sikit. Mee kari tumpah ke lantai.”
“Lah…macam mana boleh jatuh? Yang pipi tu… kenapa merah? Macam kena tampar je...,” ucap Yazeed.
Automatik tangan EL melekap ke pipi. “Merah ke? Hesy… ni semua pasal minah berlagak tu. Macam ni… Tadi masa abang ngah bawa mee kari, ada seorang minah pusing tiba-tiba. Abang ngah tak sempat nak elak… dan mee pun jatuh. Minah tu bengang la. Baju dia kotor. Tak sempat abang ngah nak minta maaf, dia dah tampar. Free je dapat penampar ni.”
“Mesti kuatkan dia tampar abang ngah. Kalau tak, takkan merah pipi abang ngah tu,” komen Zarra yang duduk di sebelah Yazeed seraya memandang ke arah kesan tapak tangan di pipi EL.
“Kuat jugaklah. Sakit tau. Hmm, abang long dengan Zarra boleh tunggu kejap tak? EL masakkan semula mee kari tu.”
“Eh, tak payahlah. Kami tak kisah pun... abang ngah tu yang beria-ia nak masakkan untuk kami. Dah tak ada rezeki nak makan, nak buat macam mana. Biarlah lantai tu makan masakan adik abang hari ini. Kami datang ni sebenarnya nak sampaikan satu berita gembira,” tutur Yazeed sambil memandang Zarra.
Zarra mengangguk laju bersama senyuman manis. Dia terus menunjukkan jarinya. Sebentuk cincin tersarung di jari manis gadis itu. “We’re getting married!” Zarra memberitahu dengan nada yang cukup gembira, seakan menjerit.
EL terkedu buat seketika. Namun cepat-cepat dia memaniskan wajahnya. “Seriously? Wah… tahniah! Nampaknya tak lama lagi dapatlah abang ngah makan nasi minyak ya. Bila majlis?”
Tersengih-sengih Zarra mendengar komen daripada EL. “Kalau ikut perancangan tiga bulan lagi. Abang ngah kena datang tau. Dah la majlis tunang kami tak datang. Kali ni, jangan nak bagi alasan eh. Kalau tak, siap abang ngah,” ugut Zarra.
“Betul tu. Lagipun abang ngah kan dah lama tak balik rumah. Umi dah bising tau. Bilalah abang ngah nak balik sana. Asyik kami saja ke sini. Macamlah jauh sangat Kuching tu,” rungut Yazeed.
EL tersenyum segaris. Dia menggaru tengkuknya yang tak gatal. “Nanti abang ngah baliklah. Raya abang ngah balik kan… majlis abang long dengan Zarra pun abang ngah akan cuba balik. Masa abang long tunang tu, bukannya abang ngah tak nak pergi. Tapi masa tu abang ngah ada urusan dekat Singapore.”
EL memberi alasan palsu. Sejujurnya dia memang tidak mahu menghadiri majlis pertunangan abangnya dan Zarra. Ya, memang dia sudah lama tidak balik ke Sarawak. Dia hanya berjumpa dengan keluarganya bila mereka berkunjung ke Semenanjung. Umi EL kerap juga ke sini, menemani babah EL mesyuarat di Kuala Lumpur.
“Hmm, lagi satu… bila nak mula kerja dengan syarikat kita ni? Sampai bila abang ngah nak uruskan restoran ni? Serahkan je pada Adam.”
Sekali lagi EL menggaru tengkuknya. Ni yang dia malas ni. Setiap kali jumpa ahli keluarganya, soalan yang sama juga diajukan. “Satu hari nanti abang ngah tetap akan bekerja dengan syarikat kita. Buat masa ni, abang ngah nak cari pengalaman.”
 “Kalau abang ngah tak bersedia nak kerja dekat hotel, apa kata abang ngah cuba uruskan syarikat sarang burung kita? Or maybe you can handle our plantation… Supermarket ke…”
“Hisy, tak naklah handle syarikat sarang burung kita tu. Abang ngah manalah pandai pasal sarang burung tu. Babah yang pandai. Boleh lingkup syarikat tu kalau abang ngah yang jaga. Plantation is totally out of my list. Supermarket tu bolehlah ditimbangkan tapi abang ngah dah selesa stay kat sini. Rumah pun dah ada.”
Zarra senyum nipis. “Hah, kalau macam tu, apa kata abang ngah uruskan hotel kita kat KL? Great idea, isn’t it?”
“Sayang, dah berbuih mulut kami suruh abang ngah kerja dekat situ tau, tapi macam-macam alasan dia bagi. Too big la... Tak yakin boleh handle lah… Too many excuses.” Yazeed mengeluh. EL hanya mampu sengih. Kepala Yazeed digeleng perlahan. Sukar benar nak pujuk adiknya supaya bekerja dengan syarikat mereka.

Malam itu, Kyra Lydia tidak dapat melelapkan matanya. Kejadian di The Spices lewat petang tadi bermain-main di mindanya. Kyra Lydia tidak sangka akan bertemu Haidar di situ… bersama seorang gadis. Pasti gadis itu bakal isteri Haidar. Najwa. Kenapa perlu dia bawa perempuan itu ke restoran kegemaran mereka? Kenapa? Tiada restoran lain ke? Sekali lagi, Kyra Lydia terasa dikhianati.
Melihat keintiman Haidar dan Najwa membuatkan Kyra Lydia nekad untuk merampas Haidar semula. Dia yakin perasaan cinta Haidar padanya masih ada. Masih dia ingat lagi pandangan mata Haidar yang redup sewaktu mata mereka bertentangan walaupun hanya untuk seketika cuma. Dia yakin Haidar hanya terperangkap dengan permintaan keluarganya. Kyra Lydia membulat tekad. Lantas, dia menyuruh pembantu peribadinya menyiasat latar belakang bakal isteri Haidar. Dia ingin bertemu muka dengan gadis itu.
Selain Haidar, fikiran Kyra Lydia diganggu dengan perkara lain. Perbualannya bersama Dato Azham sebentar tadi membuatkan dia agak tertekan. Dato Azham ingin berjumpa dengan bakal suaminya Sabtu ini. Masalahnya sekarang… macam mana dia nak bawa bakal suaminya berjumpa dengan Dato Azham jika Haidar sudah memutuskan hubungan mereka?
Permintaan Dato Azham yang dianggap mudah mula membelenggu dirinya. Kenapa Haidar perlu buat hal waktu-waktu macam ni? Kenapa Haidar mengkhianti cintanya? Kalau Haidar tidak buat hal, dengan mudah dia akan menunaikan permintaan Dato Azham. Dengan mudah juga dia dapat syarikat keluarganya. Sekarang, semuanya menjadi sukar. Pening kepala Kyra Lydia memikirkan jalan penyelesaian masalanya.
Tiba-tiba satu idea muncul di fikirannya. Idea yang bernas bagi gadis itu. Rasa-rasanya dia dah jumpa satu penyelesaian yang baik. Dia akan meminta tolong Haidar untuk pura-pura menjadi kekasihnya Sabtu ini. Haidar pasti tidak akan ragu-ragu untuk membantunya. Lelaki itu tahu kisah dia dan Dato Azham dan lelaki itu juga tahu tentang impiannya untuk memiliki syarikat keluarganya. Dalam masa yang sama, dia akan cuba tawan semula hati Haidar. What a perfect idea, omel Kyra Lydia dalam hati.

Sudah sejam EL duduk termenung di atas sebuah bukit yang sudah menjadi tempat dia melepak bila dia inginkan ketenangan. Peristiwa petang tadi bermain-main di mindanya. Dia membaringkan badannya ke rumput. Tangannya diletakkan di atas dahi, menutup sedikit matanya. Di luar sedar, ada air jernih yang mengalir di pipi lelaki itu.
Yazeed dan Zarra datang ke restorannya membawa satu berita gembira. Berita gembira bagi mereka tetapi berita buruk bagi EL. Berita yang menghancurkan sekeping hatinya. Kehadiran Zarra bersama abang longnya membuka semula luka yang cuba dia sembunyikan. Sesungguhnya sudah lama EL tidak bertemu dengan Zarra. Dia cuba mengelakkan diri daripada bertemu gadis itu dan disebabkan itu dia jarang pulang ke Sarawak.
Zarra masih cantik seperti dulu. Malah makin berseri-seri. Perasaan cinta EL terhadap Zarra yang cuba dihapuskan hadir semula apabila bertemu kembali dengan gadis itu. EL mula berperang hebat dengan perasaannya.
Saat pasangan itu mengumumkan majlis perkahwinan mereka tidak lama lagi, EL hanya mampu berlakon, memainkan watak adik lelaki yang gembira melihat abangnya berkahwin dengan pilihan hati. Sebaik mungkin EL melayan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga itu.
EL mengesat air matanya. Pernah dia terfikir alangkah indahnya jika Zarra menyimpan perasaan padanya, bukan Yazeed. Namun fakta tetap fakta. Hakikatnya, semua itu tidak mungkin akan terjadi. Zarra tidak mungkin akan jadi miliknya. Gadis itu bakal menjadi isteri abang longnya. Dia hanya mampu mencintai Zarra dari jauh. Biarlah dia simpan cinta dia pada Zarra dalam hatinya dan bila sampai satu masa nanti akan dia kuburkan perasaan itu.
Kebahagiaan Zarra sangat penting buat EL walaupun EL bukan sebahagian daripadanya. Jika bersama abangnya, Zarra dapat mencapai kebahagiaan hidup, EL redha. Dia akan cuba untuk membuang jauh perasaan ini walaupun sukar. Dia akur dengan pepatah, cinta tidak semestinya memiliki.


3 comments:

eija said...

cian EL agap jer lah xde jodoh..

Anonymous said...

bunga bukan sekumtum...hehehe... x pe kyra kan ada....

Anonymous said...

erm.... kyra menantimu... el