Wednesday, March 5, 2014

Teman Lelaki Upahan 5



Kuala Lumpur, 2013
Bersama langkah yang perlahan, Kyra Lydia menuju ke ofisnya setelah berjumpa dengan pelanggan di luar. Letih! Itu yang dia rasa saat ini. Berurusan dengan pelanggan di luar dari awal pagi tadi. Kebelakangan ini, gadis itu agak sibuk menguruskan syarikat keluarganya dan kesibukannya makin bertambah apabila Casa Furniture & Design membuka kilang baru di Johor Bahru. Kadang-kadang gadis itu tidak sempat makan.
Walaupun letih, dia gembira melihat kejayaan syarikat keluarganya. Sejak dia mula bekerja, keuntungan syarikat mula meningkat. Ramai juga pelabur dan lembaga pengarah yang memuji hasil kerjanya. Malah, perabot-perabot rekaan mereka semakin laku di Singapura dan Indonesia.
Kyra Lydia menyandarkan badannya ke kerusi. Dia berehat buat seketika. Cuaca di luar yang panas membuatkan dia sedikit pening. Matanya dihalakan ke arah sebuah foto. Foto dia bersama Haidar sewaktu mereka masih lagi belajar di Perth. Senyuman nipis terus terukir di bibir gadis itu. Perasaan rindu mula mengusik jiwa.
Telefon pintar dikeluarkan dari tas tangan. Laju sahaja dia menghubungi Haidar. Kesibukannya membuatkan dia sudah jarang meluangkan masa bersama Haidar. Rasa-rasanya sudah  dua minggu dia tidak bertemu lelaki itu. Bercakap di telefon pun sudah jarang. Sungguh, dia tidak sempat ingin menelefon kekasihnya. Haidar pun tidak ada hubungi dia. Mungkin lelaki itu juga sibuk.
Wajah gadis itu bertukar kelat setelah gagal menghubungi Haidar. Dia melepaskan keluhan kecewa. Saat dia ada waktu untuk menghubungi lelaki itu, panggilannya pula tidak dijawab. Telefon pintar diletakkan semula ke dalam beg dan dia kembali berehat. Matanya dipejamkan.
Beberapa minit kemudian, rehatnya diganggu dengan deringan telefon pejabat. Mata gadis itu dicelikkan semula. Panggilan telefon dijawab.
“Malam ni dinner di rumah daddy ya,” ajak Dato Azham.
“I tak free malam ni, dato.” Kyra Lydia membalas dengan malas.
“Lydia jangan nak tipu daddy. PA Lydia cakap malam ni Lydia tak ada apa-apa appointment.”
“Business appointment memanglah tak ada, dato. I ada personal appointment. Sorry, I can’t make it. Enjoy your dinner with your family,” ucap Kyra Lydia sedikit sinis.
“I’ve important thing to discuss with you Lydia. Pasal business. Datang rumah daddy malam ni... or else daddy tak akan bagi peluang pada Lydia lagi.” Dato Azham mula berkata dengan nada tegas. Sudah malas mahu melayan gelagat anaknya yang suka mengelak setiap kali bila diajak datang ke rumah.
Kyra Lydia berfikir sejenak. Bila terdengar pasal bisnes je, terus dia jadi segar. “Okay then. But I tak dinner kat sana. I datang after you have dinner dengan your family.”
“No. You have to dinner with us. Lydia jangan nak degil ya. Be there at 8.”
Kyra Lydia mula mendengus kasar. Dengan rasa sebal, dia setuju dengan permintaan Dato Azham. Kebencian dia terhadap Dato Azham bukannya makin berkurangan, tetapi makin bertambah dari hari ke hari. Lelaki itu suka mengugutnya dengan hal yang berkaitan dengan syarikat kerana lelaki itu tahu Casa Furniture & Design merupakan kelemahannya.

Suasana di ruang tamu banglo Dato Azham agak sepi. Hanya suara tv sahaja yang kedengaran. Kyra Lydia asyik membaca dokumen di iPad sementara Datin Izzati dan anaknya duduk menonton tv. Tiada perbualan antara mereka. Jelas sungguh tiada keharmonian di dalam keluarga itu.
Geram betul Kyra Lydia dengan Dato Azham. Lelaki itu sengaja melengah-lengahkan perbincangan penting mereka. Sebaik sahaja dia sampai, dia terpaksa makan malam bersama keluarga Dato Azham. Kyra Lydia hanya menyepikan diri sewaktu menjamu selera. Makan pun nak tak nak sahaja. Apabila Dato Azham mengajukan soalan, dia hanya menjawab dingin. Malas dia nak bermesra dengan lelaki itu.
Usai makan, Dato Azham menyuruh dia duduk di ruang tamu pula. Kata Dato Azham, dia mahu menunaikan solat Isyak dulu. Huh, macamlah tak boleh solat lepas dia balik. Sengaja je nak suruh dia duduk di rumah ini lama-lama. Mujurlah dia membawa iPadnya. Boleh jugalah dia buat kerja. Kalau tidak, terpaksalah dia tayang muka tak ada perasaan dia dan pura-pura menonton tv padahal rancangan yang disiarkan, langsung tidak menarik minat.
Kalau ikutkan kata hati, mahu sahaja dia pulang ke penthousenya sekarang juga. Malas dia mahu duduk di rumah Dato Azham. Namun, mengenangkan perkara yang Dato Azham mahu berbincang dengannya, Kyra Lydia terpaksa sabarkan hatinya.
Sepanjang tempoh dua tahun ini, jarang sungguh dia datang ke rumah Dato Azham. Lebih kurang lima kali sahaja. Kalau tiada hal penting, jangan haraplah dia mahu jejakkan kaki ke rumah ini. Hari Raya Aidilfitri pun dia tidak beraya dengan keluarganya. Dia hanya menyambut sendirian. Beraya dengan kerja-kerja di pejabat.
Di hujung sofa, Datin Izzati mula rasa canggung dengan suasana di ruang tamu rumahnya. Khalishah yang selalu kuat berceloteh pun turut diam. Anaknya itu hanya duduk diam di sisinya sambil memeluk anak patung. Kebiasaanya, apabila Kyra Lydia datang ke rumah, Khalishah akan terus jadi pendiam.
“Hmm, saya buat air kejap ya. Cik Lydia nak minum air apa?”  tanya Datin Izzati memecahkan tembok kesunyian.
Walaupun sudah dua tahun berlalu, Datin Izzati masih lagi memanggil Kyra Lydia dengan panggilan Cik Lydia. Gadis itu yang meminta dipanggil sebegitu. Hubungannya dengan gadis itu masih seperti dulu. Tiada langsung ruang untuk dia berbaik dengan anak tirinya.
Soalan Datin Izzati dibiarkan sepi. Dia masih lagi meneliti kertas kerjanya. Kyra Lydia leka dengan dunianya. Seolah-olah dia hanya bersendirian di ruang tamu itu. Datin Izzati tersenyum hambar. Dia terus bangun dan menuju ke dapur. Khalishah ditinggalkan di situ. Sebaik sahaja Datin Izzati berlalu, Khalishah mendekati Kyra Lydia.
“Hai kak long. Nama saya Khalishah. Kak long boleh panggil saya adik,” tutur Khalishah memperkenalkan diri lalu terus duduk di sebelah Kyra Lydia. Senyuman manis terukir di bibir, menyerlahkan lesung pipit di pipi kirinya. Setelah beberapa kali bersua muka dengan gadis itu, baru kini Khalishah berani untuk menegur.
“Daddy cakap, akak ni anak dia. Lepas tu, daddy suruh adik panggil akak, kak long. Bestnya ada kakak. Tapi kenapa kak long jarang datang sini?” Khalishah bercakap lagi apabila dia tidak menerima respon daripada Kyra Lydia.
Kyra Lydia tidak memandang langsung wajah adik tirinya yang cuba bermesra dengannya. Hakikatnya, dia tidak mahu bermesra dengan keluarga baru Dato Azham. Kepala gadis itu ditolehkan ke arah tangga sewaktu dia ternampak kelibat Dato Azham melalui ekor mata.
“Can we discuss now, dato? Dah lama I tunggu.”  Tegas sungguh nada suara Kyra Lydia.
Dato Azham mengangguk perlahan. “Kita discuss dekat kolam ikan ... Adik duduk sini ya. Daddy nak cakap dengan kak long kejap,” ucap Dato Azham sebelum berlalu menuju ke kolam ikan.
Kyra Lydia menyimpan iPad ke dalam tas tangannya. Dia mula bangkit dan mengikut langkah Dato Azham.
“Prestasi kerja Lydia semakin bagus. Daddy suka dengan usaha Lydia dalam memajukan syarikat. Tapi daddy nak pesan. Jangan terlalu leka dengan kerja. Jangan obses sangat. Lydia dah 26 tahun. Dah boleh kahwin dah. Bila Lydia nak bawa bakal suami jumpa daddy ni?” soal Dato Azham setelah mereka berdua duduk di bawah gazebo berdekatan dengan kolam ikan. Tanpa sebarang mukadimah, lelaki itu terus menyuarakan tujuan dia menyuruh Kyra Lydia datang ke rumah.
 “You suruh I datang sini untuk bincang pasal hal ni ke? Ini ke yang you panggil bisnes, dato?” soal Kyra Lydia sinis. Dia memeluk tubuh. “Macam nilah, dato… I nak kahwin ke, tak kahwin ke… It’s none of your business.”
Dato Azham menghela nafas perlahan. Dia sudah biasa dengan respon anaknya yang biadap. Tiada apa yang mampu dia lakukan untuk mencairkan hati anaknya yang keras macam batu selain daripada berdoa kepada Tuhan yang Maha Esa. Buat masa ini, dia hanya mampu bertenang.
“You are my daughter, Lydia. Daddy tak kira. Daddy nak Lydia kawhin selewat-lewatnya hujung bulan Jun. Daddy tahu Lydia dah ada boyfriend. Bawa dia jumpa daddy secepat mungkin.”
Kyra Lydia tergelak sinis. “Whoa… Dato dah pandai nak mengarah I… Could you please give me a valid reason kenapa I kena ikut cakap you?”
“Sebab lepas Lydia kahwin, daddy akan serahkan syarikat sepenuhnya kepada Lydia. Is this attract your attention, young lady?” Kening Dato Azham ternaik sedikit. Dia tersenyum lebar. Tahu umpannya mengena. Dato Azham sedar itulah yang Kyra Lydia mahukan selama ini.
Kyra Lydia terdiam. Mindanya ligat berfikir dan tidak lama kemudian, dia mula menguntum senyum. “Are you sure, dato?”
“Yeah, I’m very sure. Daddy nak jumpa bakal suami Lydia secepat mungkin. I want to know him.”
“Okay, no problem!”
Hati Kyra Lydia mula berbunga riang. Akhirnya, Casa Furniture & Design akan jatuh ke dalam genggamannya. Inilah saat yang dia tunggu-tunggu. Bukannya susah mana pun syarat Dato Azham. Dia bukannya dipaksa kahwin dengan pilihan lelaki itu. Syaratnya hanya berkahwin sebelum bulan Jun. Walaupun dia belum bersedia untuk berkahwin, peluang yang diberikan oleh Dato Azham tidak akan dia sia-siakan. Wajah Haidar mula bermain di kepalanya. Nampaknya dia akan mengusulkan hal kahwin dengan cinta hatinya. Agak-agaknya apa reaksi Haidar jika dia mengajak lelaki itu kahwin dalam masa yang terdekat ini?

No comments: