Thursday, February 13, 2014

Teman Lelaki Upahan 2



Suasana di luar rumah Haidar yang terletak di Perak kelihatan meriah seperti sedang meraikan sebuah majlis perkahwinan. Kyra Lydia mengerutkan dahinya sedikit. Siapa yang kahwin? Kenapa Haidar tidak menjemputnya? Kakak Haidar ke yang berkahwin? Soalan demi soalan berlegar-legar di ruang minda gadis itu.
Kyra Lydia terus mengatur langkah. Matanya meliar mencari Haidar, kekasih hatinya yang sudah dua minggu tidak menghubunginya. Semua tetamu yang berada di luar rumah Haidar tidak dikenalinya.
“Akak cari siapa?” tegur satu suara di sisinya.
Kepala Kyra Lydia ditoleh ke kiri. Keningnya sedikit terangkat. Seorang gadis muda memandangnya sedikit pelik. Barangkali kerana pakaiannya yang tidak sesuai dengan majlis yang sedang berlangsung. Pada hari itu, Kyra Lydia hanya berbaju T dan berseluar jeans. Walaupun pakaiannya ringkas, kecantikan wajahnya tetap terserlah.
“Err, akak… akak cari kawan akak.”
“Kawan akak tu tinggal kat rumah ni ke?”
Kyra Lydia sekadar mengangguk.
“Oh… Akak ni kawan abang saya ke? Ni rumah saya kak…”
“Akak cari Haidar.”
Gadis muda itu tersenyum. “Abang long? Hmm, abang long ada kat dalam tu. Tengah sanding. Jomlah masuk, kak. Boleh jumpa dengan dia.”
Bicara bersahaja gadis itu membuatkan Kyra Lydia terpanar. Sanding? Haidar tengah bersanding? Adakah ini bermaksud majlis perkahwinan yang sedang berlangsung ini merupakan majlis Haidar? Jika ini majlis perkahwinan Haidar, siapa pula pengantinnya? Yang pasti, bukan dia!
Jantung Kyra Lydia mula berdegup laju. Dengan sisa kekuatan yang ada, dia mengekori langkah gadis muda yang mengaku sebagai adik Haidar. Menggigil kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.
Saat matanya terpandangkan wajah kekasih hati yang dia rindui, hatinya dihambat perasaan sayu. Kolam matanya mula panas. Fikirannya terasa kosong. Di hadapannya kini, Haidar sedang duduk di pelamin bersama seorang gadis yang tidak dikenalinya. Melihat senyuman Haidar, air mata Kyra Lydia terus gugur di pipi.
Bersama mata yang merenung tajam ke arah Haidar, Kyra Lydia mendekati pengantin baru yang sedang tersenyum bahagia. Wajah Haidar terus berubah tatkala terpandangkan dirinya. Suasana yang riuh tiba-tiba bertukar sepi. Semua mata tertumpu pada pasangan pengatin dan juga Kyra Lydia. Masing-masing menantikan drama yang akan berlaku tidak lama lagi.
Kyra Lydia berhenti melangkah tatkala dia sudah berada betul-betul di hadapan Haidar. “What is this, Haidar? What the hell is this?” tanya Kyra Lydia dengan nada meninggi.
Haidar terkedu. Dia menoleh ke arah isteri yang baru dikahwininya. Isterinya kelihatan terkejut. Dia memandang Kyra Lydia pula.
“Lydia… I’m sorry. I’m married now.”
“What? Just like that? Dua minggu you hilangkan diri, dua minggu you tak contact I and then suddenly you cakap kat I you are married. What the hell, Haidar? Who’s the girl?”
Haidar dan isterinya sama-sama mendekati Kyra Lydia dengan niat ingin menyelesaikan masalah yang sedang berlaku.
“Nama saya Syamila kak. Saya isteri abang Haidar.” Isteri Haidar memperkenalkan dirinya dengan baik. Tangan dihulur untuk bersalam dengan Kyra Lydia. Namun huluran itu dibiarkan tidak bersambut.
“So you la perempuan yang rampas Haidar daripada I? Perempuan tak guna!” ucap Kyra Lydia dengan penuh emosi sambil menghayunkan penamparnya ke muka Syamila.

Kyra Lydia terus terjaga dari tidurnya. Badannya sudah basah dengan peluh. Nafasnya sedikit tidak teratur. Posisi tubuhnya diubah dari berbaring kepada duduk. Peluh di dahi dilap dengan tangan. Buat seketika dia menekup tangan ke wajahnya. Fuh, selamat mimpi je, detik gadis itu dalam hati. Gadis itu mengeluh lega. Jam di meja sisi katil di pandang. Pukul 9.30 malam.
Suasana di dalam penthouse mewah milik Kyra Lydia yang dibeli sebelum pulang ke Malaysia sunyi sepi. Maklumlah, hanya dia sahaja yang tinggal di situ. Mata Kyra Lydia kemudian terarah pada telefon pintarnya. Dengan lemah, dia menyentuh skrin telefon, ingin melihat jika ada panggilan tidak berjawab daripada si dia.
Kyra Lydia mengeluh perlahan. Tiada! Tiada panggilan mahupun mesej daripada lelaki yang dicintainya. Dua minggu sudah berlalu. Lelaki itu tiba-tiba sahaja menghilangkan diri, diam seribu bahasa tanpa sebarang khabar berita. Jangan-jangan mimpinya tadi itu betul! Jangan-jangan Haidar berkahwin dengan gadis lain.
Kepala gadis itu terus digeleng laju. Tak! Tak mungkin Haidar akan mengkhianati cinta mereka. Kyra Lydia tahu Haidar sangat mencintai dia. Jika tidak, masakan lelaki itu sanggup memikatnya walaupun dia sudah menolak cinta lelaki itu lebih daripada sepuluh kali. Sikap playboy Haidar terus hilang apabila lelaki itu mengenali Kyra Lydia. Oleh itu, tidak mungkin Haidar akan berkahwin dengan gadis lain.
Mata Kyra Lydia dihalakan pula pada sebuah patung beruang yang bersaiz sederhana besar. Patung beruang itu diberikan oleh Haidar sewaktu dia menerima lamaran Haidar untuk menjadi teman wanita lelaki itu. Patung beruang ditarik dengan kasar. Wajah patung beruang dipandang dengan masam. Tidak lama kemudian, dia mula memukul-mukul patung beruang semata-mata untuk melepaskan rasa geramnya dengan Haidar.
“Where on earth are you, Haidar?” Sebuah tumbukan diberi pada muka patung beruang.
 “Why you’re not contacting me?” Badan patung beruang pula dijadikan mangsa tumbukan Kyra Lydia.
 “You tahu tak I risaukan you? Call tak angkat. Mesej tak reply. You cakap you akan cari I after one week? Ni dah dua minggu… mana you?”
Telefon pintar yang berbunyi menarik perhatian gadis itu. Dengan tergesa-gesa, telefon pintar dicapai dan nama pemanggil dilihat. Wajahnya kembali masam. Bukan Haidar tetapi Dato Azham, daddynya. Dengan rasa malas, Kyra Lydia menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum, Lydia…,” sapa suara di hujung talian.
“Waalaikumsalam, Dato Azham,” balas Lydia dingin.
Sebuah keluhan perlahan dilepaskan oleh Dato Azham tatkala mendengar panggilan hormat daripada anaknya.
“Panggil daddy, Lydia… Tak perlu nak formal. Ni kan daddy Lydia. Kenapa susah sangat nak panggil daddy?” soal Dato Azham lembut.
Kyra Lydia membuat muka bosan sambil memandang siling di biliknya. “Kenapa dato call I ni? Ada hal penting ke?”
“Salah ke daddy call anak daddy?”
Ketawa sinis terhambur dari bibir  Kyra Lydia. “Since when do you care, dato?”
“Lydia! Sampai bila Lydia nak marah daddy? Sampai bila Lydia tak nak balik rumah kita? Sampai bila Lydia nak merajuk?” Nada suara Dato Azham sudah naik sedikit.
“I tak merajuk, dato. You salah faham. Okeylah, if nothing important, I will hang up the phone now.”
“Wait, Lydia,” tahan Dato Azham.
“Yes, dato… What do you want?”
Dato Azham menarik nafas dalam lalu dihela perlahan-lahan. Layanan dingin anaknya cukup menghiris kalbunya.
“Daddy tahu Lydia dah balik Malaysia. Daddy tahu dah dua minggu Lydia balik. Daddy nak Lydia datang office esok for annual general meeting. Our company secretary dah bagi notice kan?”
“Hmm….,” balas Kyra Lydia acuh tak acuh.
“You must be there, daughter. Kali ni please attend this meeting. Daddy nak appoint Lydia as a director for our company as well as I want to appoint you as chief operating officer.”
Kata-kata Dato Azham menarik minat Kyra Lydia untuk meneruskan perbualan. Jika tadi dia rasa mahu cepat-cepat putuskan talian, kini tidak lagi. Sesungguhnya, dia memang inginkan jawatan dalam syarikat Dato Azham, Casa Furniture & Design Sdn. Bhd.
“Duly noted!”
Talian terus dimatikan tanpa sempat Dato Azham berkata apa-apa. Kyra Lydia terus merebahkan badannya. Matanya merenung siling. Perlahan-lahan, bibirnya membentuk senyuman sinis.
Kyra Lydia tidak akan sesekali melepaskan haknya terhadap syarikat yang didirikan oleh mummynya bersama-sama dengan Dato Azham. Dia tidak akan sesekali membiarkan pengaruh mama tirinya berleluasa di syarikat itu.

Dato Azham memandang telefon bimbitnya, lama. Hatinya terluka dengan layanan dingin daripada Kyra Lydia, anaknya dengan isteri pertama, Puan Azlina. Kyra Lydia menyimpan perasaan benci padanya sejak dia bercerai dengan Puan Azlina, kira-kira 19 tahun yang lalu. Waktu itu, Kyra Lydia baru sahaja berusia lima tahun.
Kebencian anaknya bertambah apabila dia mengambil keputusan untuk berkahwin lain selepas sepuluh tahun hidup menduda. Sehingga kini, hubungan dia dengan Kyra Lydia tidak pernah baik. Anaknya itu menyalahkan dia seratus peratus di atas penceraian dia dan Puan Azlina. Dato Azham terpaksa memendam rasa walaupun hakikatnya dia tidak bersalah.
“Apa yang abang menungkan tu?” soal Datin Izzati, isteri Dato Azham.
Dato Azham berpaling ke belakang, memandang isterinya. Senyuman hambar terlakar dibibirnya.
“Tak ada apa-apa lah. Adik dah tidur?” soal Dato Azham tentang anak perempuannya, Khalishah yang baru sahaja berusia lima tahun.
“Sudah. Izza baru sahaja tidurkan dia. Abang fikirkan anak abang ya?” soal Datin Izzati yang memahami kemelut perasaan suaminya.
Lambat-lambat Dato Azham mengangguk. Dia melangkah mendekati isterinya yang sedang duduk di birai katil. Punggungnya dihempas perlahan berhampiran isterinya.
“Abang tak tahu sampai bila dia nak hukum abang, Izza…”
Datin Izzati menghela nafas perlahan. “Izza pun dah tak tahu nak cakap apa, bang. Lydia tu degil sangat. Bertahun-tahun dia simpan dendam dia pada abang. Hmm, abang dah ingatkan dia pasal meeting esok?”
Kepala Dato Azham dianggukkan.
“Baguslah! Izza harap, bila dia kerja dengan syarikat abang, hubungan dia dengan abang akan bertambah baik. Abang have to use this opportunity as good as possible tau. Jangan sia-siakan peluang yang ada,” nasihat Datin Izzati.
“Thanks Izza… Abang akan gunakan peluang yang ada sebaik mungkin. Abang harap dia dapat terima kita sekeluarga dalam hidup dia.”
Datin Izzati mengukirkan senyuman manis. Kepalanya dilentokkan di bahu suaminya. “Izza sentiasa doakan untuk kebahagiaan keluarga kita, bang.”



2 comments:

baby mio said...

best...

Anonymous said...

best congratulation