Wednesday, January 16, 2013

CSM : Mint 16



Hidangan di atas meja begitu membuka selera Cartaz Amani. Berselera sekali dia makan. Kalau boleh, mahu sahaja dia tambah nasi sedikit lagi tetapi malu pula dengan Halifie yang sedari tadi tersenyum sinis melihat dia makan. Cartaz Amani mendengus kecil. Macam tak pernah tengok orang makan jelah si Halifie ni, kutuk gadis itu di dalam hati.
Malam ini, mereka makan malam di sebuah Restoran Thai. Restoran ini simple sahaja, tidaklah mewah seperti Steak House yang mana pemilik dia ialah Encik Iskandar. Satu fakta yang baru sahaja Cartaz Amani ketahui.
Terkejut juga Cartaz Amani apabila masuk ke dalam restoran ini. Sangkanya, Encik Iskandar yang macam kaya tu (atau memang kaya pun) tidak makan di restoran biasa-biasa macam Restoran Thai ni. Ternyata sangkaannya meleset.
Malah, makanan-makanan yang dipesan oleh Encik Iskandar, semuanya kegemaran Cartaz Amani. Tomyam Seafood, Ikan Siakap 3 Rasa, Telur Bungkus, Kailan Ikan Masin, Kerabu Mangga dan Sotong Goreng Kunyit. Macam tahu-tahu sahaja Encik Iskandar yang dia memang suka makan semua tu. Jangan-jangan ibu yang beritahu, fikir Cartaz Amani.
“Berseleranya anak ibu ni makan,” komen Puan Afifa Malina.
Cartaz Amani menyeringai. “Mestilah ibu… Ni kan makanan favourite along. Sedapnya ikan siakap tu. Dah lama along tak makan.” Gadis itu kemudian memandang Encik Iskandar. “Terima kasih uncle sebab bawa kami makan kat tempat yang sedap ni.”
Encik Iskandar tersenyum senang. Pandangan matanya kemudian dihalakan pada Halifie lalu ditepuk bahu anak muda itu. “Bukan uncle yang cadang nak makan sini. Tapi Lifie. Lifie memang suka makan kat sini. So, uncle rasa orang yang layak dapat ucapan terima kasih daripada Cartaz ialah Lifie, bukan uncle.”
Cartaz Amani tersengih lagi cuma sengihan dia kali ini lain macam. Dia dan Halifie saling berpandangan. Melihat gaya Cartaz Amani yang macam susah je nak berterima kasih padanya, Halifie turut tersengih sama. Dan seperti Cartaz Amani, semacam sahaja sengihannya itu. Sengih ada makna.
“Lah… kenapa tersengih-sengih pula ni? Susah sangat ke nak berterima kasih pada Lifie, along?” soal Puan Afifa Malina yang duduk di sebelahnya.
Cartaz Amani menggarukan kepalanya yang tak gatal. “Eh, taklah ibu… Terima kasih Lifie,” ucap gadis itu akhirnya dengan nada yang tidak ikhlas.
“Sama-sama Cartaz,” balas Halifie dengan nada yang sama.
Melihat gelagat Cartaz Amani dan Halifie membuatkan Encik Iskandar melepaskan tawa. Kepala lelaki itu digeleng kecil.
“Along… Cubalah berbaik sikit dengan Lifie. Tak lama lagi kita akan jadi satu keluarga. Jangan nak bermusuh pulak,” nasihat Puan Afifa Malina.
Alamak, ibu tahu ke pasal aku dengan Lifie, detik hati Cartaz Amani. Gadis itu kemudian berdeham. Dia cuba memaniskan wajahnya sebaik mungkin. “Eh, ibu ni… mana ada kami bermusuh. Kan Lifie kan? Kan?”
Halifie cuba menyembunyikan tawa. Kelakar juga minah ni, puji Halifie di dalam hati. “Ya, ibu… Kami tak bermusuh pun.”
Encik Iskandar mencebik. “Yelah tu… ingat ibu dengan ayah tak tahu ke yang kau orang berdua benci sama benci. Entah apa lah yang Lifie buat sampai Cartaz benci dengan Lifie,” komen Encik Iskandar.
“Eh… ayah nak salahkan Lifie pula. Lifie mana pernah benci dengan perempuan. Tapi si Cartaz ni… dia yang buat Lifie bencikan dia,” kata Halifie cuba memenangkan dirinya.
Berasap sahaja telinga Cartaz Amani mendengar kata-kata Halifie. “Dah saya pulak yang salah… Bila masa pula saya buat awak bencikan saya?”
“Awak yang...”
“Astaghfirullahal Adzim budak bertuah dua orang ni. Sempat pula bertekak. Along, cubalah belajar mengalah sikit. Tak kiralah salah siapa, tapi ibu nak along cuba berbaik dengan Lifie. Ibu tak sukalah kau orang benci sesama sendiri,” luah Puan Afifa Malina, memotong bicara Halifie.
“Betul kata ibu tu. Lifie pun sama. Cuba bertolak ansur. Jangan nak ikut kepala sendiri je,” tambah Encik Iskandar.
Halifie dan Cartaz Amani menundukkan kepala mereka sedikit. Kononnya patuh dengan perintah ibu dan ayah mereka. “Baiklah ayah, ibu…,” kata mereka berdua serentak.
Cartaz Amani dan Halifie saling berpandangan. Dalam hati Cartaz Amani, dia sudah memasang niat untuk menyambung pertengkaran mereka di dalam kereta.
“Ayah jadi ke pergi kampung ibu Sabtu ni?” soal Halifie, mengubah topik perbincangan.
Encik Iskandar dan Puan Afifa Malina tersenyum sesama sendiri mendengar soalan Halifie. “Mestilah jadi… Tapi mungkin kami pergi petang Jumaat. Tengoklah dulu macam mana.”
Cartaz Amani terus teringat sesuatu. “Oh ya, ibu… Sorrylah, along rasa along tak dapat ikut ibu balik kampung. Isnin minggu depan, along ada dua test. Hari Selasa pun ada. So, along ingat nak study weekend ni. Maklumlah, nak cuti mid term… Sebelum cuti, mestilah ada test.”
“Tak apalah kalau macam tu, along… Ibu pun tak nak kacau along studi. Belajar rajin-rajin ya,” pesan ibu Cartaz Amani.
“Okey! Nanti ibu kirim salam dengan tokma. Rindunya dengan tokma. Tapi tak apa, cuti mid term nanti, along jumpa tokma. Tidur sana sekali. Boleh tak ibu?”
Puan Afifa Malina tersenyum. “Boleh, sayang… Apa salahnya. Lagipun ibu kan kerja. Kesian pula along tinggal seorang diri kat rumah.”
“Terima kasih ibu.”
Halifie menjeling jam di pergelangan tangannya. “Hmm, ayah… jomlah balik. Dah pukul 10 ni. Lifie ada kerja sikit nak buat.”
“Kerja apa tu, Lifie? Kamu nak merayau ya?” teka Encik Iskandar.
“Hisy, ayah ni… Suka je fikir negatif tentang Lifie. Lifie nak siapkan assignment la.”
Serentak, ketiga-tiga orang menghamburkan tawa, geli hati melihat wajah Halifie yang cemberut bersama bibir yang dimuncungkan.
Tidak lama kemudian, setelah Encik Iskandar membuat bayaran, mereka berempat sama-sama berjalan menuju ke kereta. Halifie sudah berjalan di hadapan bersama Encik Iskandar. Cartaz Amani pula berjalan lambat sedikit sambil memeluk lengan ibunya.
“Ibu nampak gembira sangat,” komen Cartaz Amani dengan berbisik pada telinga Puan Afifa Malina.
Sedari tadi dia perasan kegembiraan yang terpancar pada wajah ibunya. Cartaz Amani senang melihat keceriaan di wajah ibunya yang sudah lama hilang sejak abahnya meninggal dunia. Kecerian yang ada pada ibunya ini tidak sama seperti keceriaan yang ibunya pamerkan sejak abah pergi meninggalkan mereka.
Puan Afifa Malina tersenyum. “Memanglah gembira… hati tengah berbunga-bunga. Sebenarnya, Uncle Is nak meminang ibu Sabtu ni. Sebab tu kami balik kampung.”
Terkejut Cartaz Amani mendengar bicara ibunya. Dia tidak sangka. Terus dia memeluk bahu ibunya. “Tahniah ibu… Alah sayangnya, along tak ada masa tu,” keluh Cartaz Amani.
“Along nak ikut ibu balik kampunglah kalau macam tu.” Cartaz Amani mula ubah fikiran.
“Eh, tak payahlah… along kan ada test. Ibu nak along skor betul-betul. Lagipun, meminang aje. Bukan bertunang.”
Cartaz Amani pamerkan wajah kecewanya. “Hmm… yelah, ibu.”

“Bila masa saya buat awak bencikan saya?” soal Cartaz Amani yang masih tidak berpuas hati.
Saat itu, kereta Halifie baru sahaja berada di atas jalan besar. Nampaknya, Cartaz Amani ingin menyambung semula pertengkaran mereka yang diberhentikan sebentar tadi. Halifie tergelak sinis.
“Awak ni… tak puas hati lagi kan?”
“Memang pun! Memang saya tak puas hati dengan awak. Suka je cari pasal dengan saya depan ibu dengan Uncle Is. Dia orang pun dah tahu yang kita ni tak suka sesama sendiri tau!” bebel Cartaz Amani.
Halifie tergelak lagi. Matanya dihalakan ke arah depan, fokus pada pemanduannya. Pun begitu, dia dapat bayangkan mimik wajah Cartaz Amani sewaktu menuturkan bicaranya sebentar tadi.
Cartaz Amani menjeling Halifie geram. “Gelak pulak mamat ni…”
“Salah ke saya gelak Cik Cartaz Amani oi…”
“Salah tu… taklah… tapi gelak awak tu menyakitkan hati saya.”
Makin galak Halifie tergelak. “Itu yang saya suka. Saya suka bila berjaya buat awak sakit hati. Rasanya macam baru je menang peraduan gores dan menang, dapat kereta free sebijik.”
“Ha… Tengok! Awak yang buat saya benci awak. Awak suka je sakitkan hati saya… macam mana saya tak benci dekat awak.”
“Tapi...”
Bicara Halifie terus mati apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dengan menggunakan tangan kiri, Halifie mencapai iPhone 4s miliknya. Nama pemanggil dia lihat. Kegembiraan mengusik Cartaz Amani sebentar tadi terus hilang melihat nama yang tentera.
‘Alahai… old school betul ringtone si Lifie tu.’ Sempat pula Cartaz Amani mengutuk lelaki di sebelahnya yang sedang menjawab telefon. Cartaz Amani memandang ke luar tingkap. Perbualan Halifie dengan pemanggil di hujung talian tidak menarik perhatian Cartaz Amani tetapi gadis itu tahu Halifie sedang bercakap tentang sesuatu yang serius melalui nada suara lelaki itu.
Sebaik sahaja menamatkan perbualan, Halifie terus menambahkan kelajuan keretanya. Cartaz Amani yang sedang mengelamun, terkejut kerana kereta yang dia naiki tiba-tiba sahaja bergerak laju. Dia terus memalingkan wajahnya, memandang Halifie.
“Awak ni dah kenapa? Bawa kereta laju-laju… Dah tak sayang nyawa ke?” marah Cartaz Amani.
 Halifie tidak memberi sebarang respon. Malah, makin laju dia membawa keretanya. Panggilan telefon daripada Ivy benar-benar membuatkan perasaannya bercampur baur. Marah dan juga sedih.
Cartaz Amani mendengus geram melihat kedegilan Halifie. Entah siapa yang call mamat tu… tiba-tiba je nak mengamuk, kutuk Cartaz Amani dalam hati.
“Eh… awak nak pergi mana ni?” tanya Cartaz Amani apabila menyedari mereka bukan melalui jalan untuk pulang ke rumah.
Kebisuan Halifie benar-benar membuatkan Cartaz Amani geram dengan lelaki itu. Rasa macam nak tendang-tendang je lelaki di sebelahnya ini. Sudahlah bawa kereta laju yang amat, lepas tu tak nak beritahu mereka nak pergi mana.
“Saya nak balik Lifie… Saya tak nak ikut awak. Tak boleh ke awak hantar saya dulu, then baru awak pergi tempat yang awak nak pergi?” soal Cartaz Amani cuba berlembut.
Seperti tadi, Halifie masih lagi diam. Soalan Cartaz Amani langsung tidak dijawab. Makin mendidih darah si Cartaz Amani.
“Saya nak baliklah! Hantar saya balik sekarang!” pekik Cartaz Amani yang sudah hilang sabar.
Halifie mendengus. Dia memandang Cartaz Amani sekilas. Pandangannya cukup mengerunkan. “Awak diam boleh tak?! Membebel tak habis-habis. Sakit telinga dengar suara awak tahu tak!” herdik Halifie garang.
Zapp! Terkedu Cartaz Amani apabila diherdik oleh Halifie secara tiba-tiba. Terguris juga hatinya bila diherdik. Dia memang tidak suka diherdik oleh orang. Abah dan Tokbah pun tidak pernah mengherdiknya. Apatah lagi ibu. Rasa macam nak menangis aje si Cartaz Amani. Padahal, dalam hati mengutuk si Halifie. Yelah… yang si Halifie tu herdik Cartaz Amani dah kenapa?
Sesudah diherdik, Cartaz Amani terus menutup matanya. Mulutnya dikunci supaya tidak bersuara. Dalam hati, dia berharap lelaki disebelahnya akan meminta maaf. Tapi… sekian lama menunggu, sepatah perkataan pun tidak kedengaran dari bibir lelaki itu.
Beberapa minit kemudian, kereta berhenti bergerak. Cartaz Amani membuka matanya. Dia memandang ke luar, ingin tahu dia berada di mana. Halifie sudah membuka pintu kereta, berura-ura ingin keluar.
Cartaz Amani yang baru sahaja ingin membuka tali pinggang keledar sedikit terkejut apabila Halifie mendekatkan tubuhnya. Terus kaku Cartaz Amani dibuatnya. Nafasnya pula terasa tersekat. Selepas lelaki itu menjauh, baru Cartaz Amani dapat bernafas semula. Rupanya lelaki itu mengambil kotak rokok di dalam dashboard. Hmm, merokok rupanya si Halifie ni.
“Awak nak ikut ke?” tanya Halifie sambil memandang Cartaz Amani yang sudah keluar dari kereta.
“Habis tu… Awak nak suruh saya duduk dalam kereta, tunggu awak,” balas Cartaz Amani kasar.
Halifie menggaru kepalanya. ‘Betul jugak. Takkan aku nak biarkan dia dalam kereta. Adoi, masalah betul. Lantaklah… Biar jelah dia tengok apa yang akan terjadi.’
Kemudian, tanpa sepatah kata, Halifie terus berjalan menuju ke dalam sebuah restoran mewah sebaik sahaja mengunci kereta. Cartaz Amani terpaksa membuka langkah besar untuk mengejar Halifie yang sudah menjauh. Laju benar lelaki itu jalan.
Cartaz Amani mula rasa sedap hati. Apalah yang Halifie nak buat dekat restoran mewah ni. Tak kan nak makan lagi? Cartaz Amani berasa tidak selesa bila menyedari dirinya dipandang pelik oleh penggunjung di restoran ini.
Dari jauh, Cartaz Amani nampak Halifie sedang bersalaman dengan seorang gadis cina. Seksi betul gadis cina tu. Skirt pendek dan baju tanpa lengan. Amboi… sempat pula dia jumpa awek dia. Tapi… gadis tu macam pekerja di restoran ini, gerutu hati Cartaz Amani.
Setelah berbual seketika dengan gadis itu, Halifie menuju ke sebuah meja di bahagian luar restoran. Cartaz Amani mengekori langkah Halifie. Sebaik sahaja dia berada di luar restoran, Cartaz Amani terpaku seketika melihat permandangan. Dia tidak menyangka yang dia berada di atas bukit saat ini. Dari kedudukannya sekarang, dia dapat lihat kemeriahan lampu yang menyinari Kuala Lumpur. Sungguh menakjubkan! Cartaz Amani terpegun. Lambat-lambat dia menuju ke arah Halifie.
“Kita nak buat apa kat  sini?” tanya Cartaz Amani sebaik sahaja duduk di meja yang sama dengan Halifie.
Halifie kembali dingin seperti tadi. Mata lelaki itu memandang ke satu arah, memandang sebuah meja yang diduduki oleh seorang wanita dan seorang lelaki muda. Tajam sekali pandangan Halifie. Jelas ketegangan di wajah lelaki itu.
Tumpuan Halifie seratus peratus pada meja yang dipandangnya sehingga dia tidak sedar kehadiran Cartaz Amani. Sepuntung rokok dikeluarkan dari kotak rokok yang dia bawa. Beberapa saat kemudian, Halifie mula menghisap rokok sambil matanya masih lagi memerhatikan wanita dan lelaki muda di meja yang paling hujung.
“Ya Allah… takkan awak datang sini semata-mata nak hisap rokok?” marah Cartaz Amani dengan nada mendatar.
Cartaz Amani mengetap bibir. Geram benar hatinya bila Halifie tidak menjawab pertanyaannya sejak tadi. Gadis itu menoleh ke arah yang dipandang Halifie, ingin tahu apa yang buat lelaki itu ralit sampai tak boleh jawab soalan dia.
Seorang wanita yang mungkin sebaya dengan ibunya dan seorang lelaki muda lewat 20-an yang duduk di sebuah meja menyapa mata Cartaz Amani. Pelik! Kenapa Halifie asyik pandang mereka?
Cartaz Amani mengecilkan matanya, cuba fokus pada ragam pasangan yang dipandangnya. Baru gadis itu perasan, wanita itu mabuk. Pergerakan wanita itu menunjukkan dia berada di bawah pengaruh alkohol. Botol arak di atas meja pasangan itu membuat Cartaz Amani beristighfar panjang.
Matanya diliarkan memandang ke arah meja yang lain dan baru dia sedar restoran ini memang menyediakan arak. Seram sejuk Cartaz Amani dibuatnya. Dia mula rasa tidak selesa, rasa tak sedap hati.
“Lifie, saya nak balik. Kenapa awak bawa saya kat tempat macam ni? Gelilah saya tengok orang mabuk. Yang awak pandang je meja tu kenapa? Awak tahu tak saya geli tengok perempuan tu… Dahlah mabuk, lepas tu tergedik-gedik dekat lelaki kat sebelah dia. Nak bermesra pulak. Awak nak tahu tak lelaki tu lebih muda dari perempuan tu. Bukannya muda setahun dua tahun… tapi macam berbelas tahun,” bebel Cartaz Amani, meluahkan apa yang dia rasa tanpa berfikir panjang.
Halifie menelan air liur mendengar bebelan Cartaz Amani. Bicara gadis itu benar-benar menggores hatinya walaupun dia tahu gadis itu tidak berniat. Jika sebentar tadi, pandangan Halifie tajam seperti pisau, kini, pandangan mata Halifie penuh dengan rasa kesedihan dan kekecewaan.
“Ya Allah… Lifie… Awak tengok tu.” Bibir Cartaz Amani terjuih ke arah meja yang diperhati oleh mereka. Mata gadis itu terbeliak melihat aksi mengelikan di hadapan mata. “Tak malu betul perempuan tu. Selamba je cium budak lelaki yang lebih muda dari dia. Yuck, cium mulut pula tu. Budak lelaki tu tak tahu malu. Dia boleh pula cium balik. Isy, gelilah. Kenapalah awak bawa saya kat sini.”
Cartaz Amani menoleh ke sisi, ke arah Halifie. “Eh, mana pula si Lifie ni?”
Mata Cartaz Amani segera meliar ke sekeliling. Sekali lagi dia terkejut. Air liur ditelan beberapa kali. Oh Tuhan, apa yang sedang berlaku? Macam mana tiba-tiba Halifie boleh ada kat situ? Kenapa Halifie menumbuk budak lelaki itu? Sungguh, dia terkejut.
 “Lah… takkan perempuan tu girlfriend dia kut.” Cartaz Amani menggaru kepalanya.
Keadaan menjadi riuh apabila tumbukan Halifie dibalas oleh lelaki muda itu. Semua orang yang berada di luar restoran menjadi penonton tidak rasmi. Cartaz Amani terus mendekati Halifie. Mata gadis itu membesar dan mulutnya terlopong. Pertama kali, dia lihat secara langsung lelaki bertumbuk. Menyeramkan! Berdebar-debar dia melihat aksi dihadapannya.
“What’s your problem, man?!” tengking lelaki muda itu sambil menumbuk pipi Halifie.
Halifie terus membalas tumbukan lelaki itu. “Kau lelaki tak guna…! Yang kau cium tadi tu mama aku, faham. Binatang betul! Kau tak ada kerja lain ke hah? Duit mama aku pun kau nak kikis. Jantan tak guna.”
Sekali lagi Cartaz Amani terkejut. Dia menelan air liur. Seketika kemudian, dia memandang ke arah wanita yang bercium tadi. Itu mama Halifie? Wanita itu mama Halifie? Perempuan yang dia cemuh sebentar tadi itu mama Halifie? Oh Tuhan, sukar untuk dia percaya. Biar betul?
“Lifie… What are you doing with my love? Stop it!” marah wanita itu dalam keadaan mabuk.
Halifie memandang ke arah Puan Melissa dengan wajah yang penuh rasa kecewa. “What?! This bastard guy is your love? Ma… Selama ni, mama selalu minum arak sampai mabuk, Lifie boleh sabar lagi. Tapi… Lifie tak boleh terima mama layan gigolo ni. Mama dah gila ke?” tempik Halifie memarahi mamanya.
Sungguh, hati Halifie sangat terluka saat itu. Kolam matanya mula panas. Dia benar-benar kecewa dengan Puan Melissa. Wanita itu sudah melampau. Sudah keterlaluan! Sedang Halifie melayan kesedihan, tiba-tiba dia ditumbuk tanpa sedar membuatkan dirinya terjatuh ke lantai.
“Mike!! Why did you hit him?”
“He deserves it,” balas lelaki itu sebelum menghilangkan diri.
Puan Melissa mula berasa pening. Dia terduduk semula. Walaupun pening, botol arak di atas meja diambil lalu diteguk begitu sahaja. Keadaan menjadi reda bila lelaki muda tadi pergi dari situ. Yang tinggal, hanya Halifie yang masih terbaring, Cartaz Amani yang masih berdiri kaku dan Puan Melissa yang menghabiskan arak di dalam botol.
Perlahan-lahan, Halifie bangkit dan menuju ke arah ibunya. Bibir Halifie berdarah akibat tumbukan tadi dan dia terasa sakit di seluruh badan. Pun begitu, dia gagahkan diri untuk menarik botol arak dari ibunya. Botol arak itu kemudian, dicampak ke tepi lalu botol itu pecah.
“I’ll take you home now,” ucap lelaki itu lemah.
Puan Melissa menggeleng. “I don’t want.”
Halifie mendengus kasar. Dia terus menarik kasar tangan mamanya, memaksa wanita itu mengikuti langkahnya. Cartaz Amani yang masih lagi terkejut, mengekori Halifie dari belakang. Langkah Halifie terhenti di kaunter.
“Ivy… thanks sebab call I. Berapa bil mama I?” soal Halifie dengan suara yang tersekat-sekat. Sukar untuk dia berbicara kerana rasa perit di bibir.
Gadis cina yang Halifie temui sebentar tadi tersenyum. “No problem. Kita kawan ma. Mama you punya bil, nanti sajalah you bayar. I bayar pakai duit I dulu. Luka you tu teruk… Lebih baik you suruh itu amoi sapukan ubat untuk you,” nasihat Ivy sambil menuding jari ke arah Cartaz Amani.
Halifie mengendahkan nasihat Ivy. Masakan Cartaz Amani ingin menyapukan ubat untuknya. Dia yakin gadis itu sedang mengejeknya saat ini. “Thank you la Ivy. Nanti I bayar pada you.”
Selepas itu, mereka terus menuju ke kereta. Halifie menyuruh mamanya yang hampir terlena duduk di belakang. Kemudian, Halifie memandang Cartaz Amani yang belum masuk kereta lagi.
“Awak boleh drive?” tanya Halifie.
Cartaz Amani segera menggelengkan kepalanya. Tak kan nak suruh aku drive kut. Aku ni mana lah pandai nak bawa kereta. Lesen tu memanglah ada tapi aku ni penakut, kata Cartaz Amani pada dirinya sendiri. Pun begitu, dia bersimpati melihat Halifie yang tidak bermaya. Tapi apakan daya… dia tidak dapat membantu.
“Tak apalah. Masuklah kereta. Saya nak hantar mama saya dulu,” beritahu Halifie, datar.
Pintu kereta terus dibuka dan Cartaz Amani meloloskan dirinya ke dalam kereta. Tanpa membuang masa, Halifie terus menghidupkan enjin kereta. Sepanjang perjalanan, mereka berdua hanya menyepikan diri.
Cartaz Amani berasa mual. Dia rasa ingin termuntah. Bau arak memenuhi kereta membuatkan dia tidak selesa. Bagaikan memahami Cartaz Amani yang tidak selesa dengan bau di dalam kereta, Halifie mematikan penghawa dingin dan membuka tingkap kereta. Tersentuh hati Cartaz Amani dek keprihatinan Halifie padanya.
Adegan sebentar tadi terlayar semula ke fikiran Cartaz Amani yang sedang berkhayal. Sungguh, dia tidak sangka dia bakal menyaksikan adegan tadi. Dia tidak sangka wanita mabuk yang sedang duduk di belakangnya ialah mama Halifie, wanita yang bertanggungjawab melahirkan Halifie ke dunia. Timbul perasaan simpati dalam diri Cartaz Amani buat lelaki yang sedang memandu di sebelahnya.

Tiga puluh lima minit kemudian, Halifie dan Cartaz Amani sudah berada di Kondominium Kristal. Seperti di dalam kereta, mereka masih lagi membisu. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, mereka sama-sama keluar dan menuju ke rumah masing-masing.
“Err… Cartaz,” panggil Halifie tiba-tiba.
Cartaz Amani yang baru sahaja ingin membuka pintu rumahnya terus menoleh memandang Halifie. Saat itu, baru dia teringat luka di bibir Halifie.
“Lupakan apa yang berlaku hari ni,” pinta Halifie dengan wajah sedih. Bukannya dia meminta simpati dari gadis itu tetapi hatinya benar-benar sedih sehingga dia tidak mampu untuk berpura-pura. Dia terlalu kecewa dengan mamanya.
“Selamat malam,” kata Halifie sebelum masuk ke dalam rumah.
Cartaz Amani hanya memandang pintu rumah Halifie yang sudah tertutup. Perlahan-lahan, dia membuka pintu rumahnya, lalu melangkah masuk. Langkah Cartaz Amani terhenti di ruang tamu.
Dia yang pada mulanya ingin masuk ke dalam bilik, terus melencongkan badannya ke arah dapur. Kabinet dibuka. Peti pertolongan cemas dicari. Setelah jumpa apa yang dicari, Cartaz Amani keluar semula dari rumahnya. Niat di hati ingin memberi lelaki itu ubat untuk mencuci luka.
Tatkala Cartaz Amani sudah berada di depan rumah Halifie, dia jadi buntu pula. Tidak tahu bagaimana nak beri Halifie ubat ni. Beberapa saat kemudian, Cartaz Amani mendapat idea. Peti pertolongan cemas diletakkan di atas lantai, betul-betul depan pintu pagar rumah Halifie.
Loceng rumah Halifie ditekan beberapa kali dan bila dia mendengar bunyi dari dalam rumah, cepat-cepat dia melarikan diri ke dalam rumahnya. Sempat juga dia mengintai melalui pintu rumahnya. Ingin memastikan Halifie mengambil ubat itu. Tanpa sedar, bibirnya mengukirkan senyuman.

** Bab terakhir di blog. Novel ini sudah pun diterbitkan. Tengok cover die, comel tak... Kalau awak semua nak tahu kesudahan Halifie dan Cartaz Amani, jemput-jemputlah dapatkan novel ini.  (Ok, saya akan post entry untuk details cerita ini. Sat naa~~~)


3 comments:

Ammar Alias said...

Salam.. mna chapter seterusnya?

Ammar Alias said...

Mna chapter selanjutnya?

Zuera said...

Sorry lambat. Chapter seterusnya kena beli novel. Hehe.