Saturday, January 12, 2013

CSM : Mint 15



Leganya rasa bila dapat berbaring di atas katil sendiri. Itulah yang dirasai oleh Cartaz Amani. Letih sungguh dia hari ini. Kelasnya penuh hari ini. Sepatutnya, hari ini kelas dia bermula pada jam 10.30 pagi tetapi Madam LY atau nama sebenarnya Linda Yusoff buat kelas ganti pula pada jam 8.30. Empat jam belajar Calculus. Memang stress!
Disebabkan Madam LY membuat kelas ganti, dari pukul 8.30 pagi sehingga pukul 4 petang, Cartaz Amani terpaksa menghadiri kelas. Tamat sahaja kelasnya pada pukul 4 petang tadi, dia terpaksa ke perpustakaan pula bersama Lela, Izzrinda dan Hafiz untuk berbincang tentang projek mereka.
Perpustakaan Tun Abdul Razak 4 menjadi pilihan mereka berempat. Dekat, mudah dan selesa untuk berbuat perbincangan. Lela dan Izzi yang beri cadangan untuk membuat perbincangan di situ. Kata mereka, dekat dengan Kolej Melati, kolej kediaman mereka. Cartaz Amani dan Hafiz hanya mengikut sahaja.
Tanpa sedar, Cartaz Amani sudah terlelap. Baju kurung masih lagi tersarung di badannya. Cuma tudung sahaja yang sudah ditanggal.

“Astaghfirullahal Adzim…”
Farah yang berniat ingin mengajak Cartaz Amani untuk makan malam di luar selepas Maghrib mengucap panjang melihat Cartaz Amani yang sedang terlena.
“Wei, Cartaz… bangunlah anak dara oi. Boleh pulak kau tidur time Maghrib,” kejut Farah. Badan Cartaz Amani digerak-gerakkan apabila mata gadis itu masih tertutup.
“Bangunlah Cartaz oi…,” kejut Farah lagi.
Terpisat-pisat Cartaz Amani membuka matanya. “Pukul berapa ni?” tanya Cartaz Amani antara dengar tak dengar.
“Dah pukul 7.20 minit. Kejap lagi azan. Kau ni… tahulah kau tu tengah cuti. Tapi, tak elok tau tidur time macam ni. Dah… bangun. Pergi mandi,” bebel Farah.
Cartaz Amani menggaru kepalanya. “Hmm, penatlah…”
“Pergi mandi. Kejap lagi, segarlah badan kau tu. Ha… kau nak ikut kita orang makan tak? Lepas solat, aku dengan Emma nak makan asam pedas yang sederet dengan Restoran Hakim tu.”
Cartaz Amani turun dari katilnya. Tuala mandi yang tersangkut di dinding dicapai. “Hmm, yelah… aku ikut,” jawab Cartaz Amani sebelum menghilang ke dalam bilik air.
Farah terus bangkit dari katil dan kembali ke biliknya.
Sementara ingin menunggu Farah dan Emma menunaikan solat, Cartaz Amani yang sudah bersiap duduk melunjur kaki di atas katil sambil membaca buku agama yang dipinjam dari Farah. Sedang dia khusyuk membaca, Emma muncul di muka pintu.
“Beb, Lifie nak jumpa kau,” beritahu Emma.
Berkerut dahi Cartaz Amani. Dah kenapa pula lelaki itu ingin berjumpanya. “Asal wei?”
“Manalah aku tahu. Dia cakap dia nak jumpa kau. Pergilah. Dah lama dia tekan loceng. Kau tak dengar ke?”
“Tak pun,” kata Cartaz Amani yang sudahpun turun dari katil dan meletakkan buku di atas meja sisi katil.
Dengan langkah bersahaja, Cartaz Amani menuju ke pintu rumah. Apabila sudah tiba di pintu rumah Cartaz Amani nampak Halifie sedang memandang ke arah luar, meninjau pemandangan di waktu malam. Lantas, gadis itu terus berdeham. Dia kemudian pura-pura memaniskan wajahnya.
“Ya, Encik Halifie… Ada apa awak nak jumpa saya?” soal Cartaz Amani selembut dan sesopan yang boleh.
Halifie memusingkan badannya. Bibirnya tersenyum kecil mendengar bicara Cartaz Amani. Dia tahu gadis itu tidak menyukai kehadiran dia di sini.
“Awak nak keluar ke?” soal Halifie apabila melihat Cartaz Amani sudah siap bertudung. Soalan Cartaz Amani dibiarkan tidak berjawab.
Cartaz Amani tayang muka bosan. “Kalau saya nak keluar pun… ada masalah ke dengan awak?”
“Eh, mestilah…,” jawab Halifie selamba.
“Dah kenapa pula? Suka hati saya lah kalau saya nak keluar. Apa masalahnya pula?” tanya Cartaz Amani tidak puas hati.
Halifie menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Ayah dan ibu ajak kita makan malam dengan mereka,” beritahu Halifie, berterus terang.
Sebaik sahaja mendengar bicara Halifie, Cartaz Amani terus bercekak pinggang. “Amboi amboi… belum apa-apa lagi, awak dah panggil ibu saya, ibu eh? Banyak cantik!”
“Lah… salah ke Cik Cartaz oi… Ibu awak yang suruh saya panggil dia ibu. Kalau awak ada masalah dengan itu, apa kata awak cakap sendiri dengan ibu awak,” balas Halifie.
Jam dipergelangan tangan dikerling. “Hmm, cepat sikit. Lambat pula kita sampai nanti. Janji nak jumpa kat sana 8.30 malam,” gesa Halifie.
“Eh, siapa cakap saya nak ikut awak? Lagipun ibu tak cakap apa-apa pun. Ha… awak tipu saya eh?”
Halifie sudah mula bosan melayan karenah Cartaz Amani. Suka sahaja bersangka buruk dengannya. Apa kejadah dia nak tipu minah sombong tu.
“Kalau awak tak percaya, awak call ibu awak sendiri,” kata Halifie geram.
Cartaz Amani mencebikkan bibir. Makin berapi si Halifie dibuatnya apabila Cartaz Amani menanyangkan muka selamba dia. Tiada tanda-tanda gadis itu akan mengikutnya.
“Fine! Kalau awak tak nak ikut saya, awak jawab sendiri dengan ibu awak. Malas saya nak jawab kalau dia tanya kenapa awak tak nak ikut saya.”
“Eleh, kereklah awak ni! Cakap jelah saya ada hal, cakap saya keluar dengan Farah dan Emma. Lagipun kita orang memang dah berjanji nak keluar makan,” ujar Cartaz Amani.
Hakikatnya dia malas nak naik satu kereta dengan Halifie lagi. Cukuplah sekali. Selagi dia boleh elak, dia akan elak.
“Kenapa pulak saya nak cakap macam tu? Rasanya lebih menarik kalau saya kata kat ibu awak yang awak tak nak naik kereta dengan saya. Sebab minah sombong macam awak ni memang tak suka naik satu kereta dengan musuh dia kan? Bila terdesak je si minah sombong ni sanggup terima bantuan dari musuh dia. Kalau tak, jangan haraplah dia nak bermanis muka dengan musuh dia,” sindir Halifie selamba.
Terjengil mata Cartaz Amani mendengar sindiran Halifie. Jari telunjuknya terus naik, menuding ke arah Halifie. Reaksi Cartaz Amani hanya mengundang tawa Halifie. Semakin geram Cartaz Amani dibuatnya.
“Lebih baik awak pergi sekarang. Menyakitkan hati betul. Psycho!” marah Cartaz Amani.
“Kenapa tu Cartaz?” teriak Farah sebaik sebaik sahaja mendengar suara Cartaz Amani yang sedang marah-marah.
Halifie masih lagi tergelak. Suka benar hatinya dapat mengenakan perempuan sombong di hadapannya. Tatkala matanya ternampak Farah yang sedang berjalan, dia terus mengukir senyum.
“Kenapa ni?” tanya Farah lagi sebaik sahaja berdiri di sebelah Cartaz Amani.
Cartaz Amani menjeling Halifie. “Mamat ni ha… Suka hati dia...”
“Farah… saya ni datang sini dengan niat yang baik. Ibu kawan awak ni suruh saya bawa kawan awak ni makan dengan kami. Tapi dia tak nak. Dia ingat saya tipu dia. Buat apalah saya nak tipu kan Farah… Saya cakap yang benar aje. Tiada yang benar selain yang benar-benar belaka. Memang ibu dia nak kami makan sekali dengan dia dan ayah saya,” sampuk Halifie. Sempat pula dia bergurau dengan Farah.
Farah tergelak mendengar gurauan Halifie. Kemudian, dia memandang Cartaz Amani. “Lah… asal kau tak nak pergi Cartaz? Pergi jelah. Ibu kau yang ajak kan.”
Erk!! Cartaz Amani rasa nak bunuh diri je bila dengar kata-kata Farah. “Tapi aku kan dah janji nak keluar makan dengan kau.” Dia memberi alasan, cuba melarikan diri daripada mengikuti Halifie.
“Eh… tak apalah. Aku boleh makan dengan Emma. Kau ni pun… Ibu kau yang ajak tu kan, bukannya orang lain,” balas Farah selamba.
Cartaz Amani tersengih sinis. “Ya, Farah… memang ibu aku yang ajak…” Cartaz Amani mendekatkan bibirnya ke telinga Farah. “Tapi aku tak nak naik kereta dengan dia, sengal!” marah Cartaz Amani dengan nada berbisik.
Farah turut tersengih. Kemudian, dia memandang Halifie. “Okeylah, Lifie… Jaga kawan saya ni baik-baik ya. Jangan balik lambat sangat. Bye Cartaz. Have fun!”
Bibir Cartaz Amani diketap geram sambil memandang Farah. Adoi, Farah ni… Cartaz Amani rasa nak cekik-cekik je kepala Farah saat ini. Farah hanya tersengih-sengih.
“Apa yang awak tunggu lagi tu Cartaz? Jomlah… Saya tak nak ibu dan ayah tunggu kita sebab awak yang terhegeh-hegeh ni,” kutuk Halifie.
Dalam keadaan rela dalam terpaksa, Cartaz Amani mengikuti langkah Halifie dengan penuh rasa bengang. Bengang pada Farah, bengang pada Halifie. Cartaz Amani mengeluarkan iPhone 4s dari beg sandangnya. Jari-jemarinya laju menyentuh skrin. Bersama mimik muka yang geram, Cartaz Amani menghantar mesej kepada Farah.
Halifie menjeling Cartaz Amani yang sedang ralit menyentuh skrin telefonnya. Hati kecilnya dicuit rasa lucu melihat riak wajah Cartaz Amani. Tanpa dapat ditahan, dia melepaskan tawa. Waktu itu mereka baru sahaja keluar dari lif.
“Awak ni dah kenapa? Gelak tiba-tiba… dah lah ketawa macam hantu. Scary betul,” luah Cartaz Amani.
Makin galak Halifie tergelak. Langkahnya santai menuju ke kereta. Cartaz Amani berasa jengkel mendengar gelakan Halifie. Pun begitu, dia tetap mengikut langkah Halifie, menuju ke kereta lelaki itu.
“Kesian betul awak ni kan… Terpaksa naik kereta musuh awak ni,” kata Halifie selamba sewaktu mula memandu kereta keluar dari petak parkir.
Cartaz Amani menjeling Halifie tajam. “Awak ni dah kenapa eh? Suka sangat cari fasal dengan saya. Menyakitkan hati!”
Halifie hanya tergelak. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia suka sakitkan hati gadis disebelahnya. Mungkin sebab gadis itu selalu cari fasal dengannya. Ya, mungkin itulah sebabnya. Halifie tersenyum kecil kemudian dia menumpukan pemerhatiannya pada jalan raya.
Sewaktu keretanya berhenti di lampu isyarat, Halifie menjeling ke arah Cartaz Amani. Gadis itu sedang asyik bermain games di iPhone gadis itu.
“Wah, boleh tahan juga minah sombong ni. Pakai iPhone tu. Ni mesti awak beli pakai duit PTPTN kan?” Selamba sahaja Halifie berkata-kata.
Cartaz Amani mencebik. Tak habis-habis lagi nak kenakan aku lah mamat senget ni, gerutu Cartaz Amani dalam hati. Dia terus memusingkan badannya, menghadap Halifie. Sebelum itu sempat dia menekan ‘Pause’ pada skrin iPhone 4s.
“Tolong sikit ya, Encik Halifie. Memanglah saya tahu saya ni tak mampu nak beli iPhone yang mahal ni, tapi saya tak adalah teringin sangat pakai iPhone sampai guna duit PTPTN saya. And for your information, iPhone ni… ayah awak yang bagi saya, hadiah birthday saya.”
Halifie tersenyum mengejek. “Oh… ayah lah yang bagi awak tu. Well, saya pun dapat iPhone juga. Tapi warna hitam.” Lelaki itu terus menunjukkan iPhone 4s miliknya.
Cartaz Amani membuang pandang. Malas nak layan lelaki tu. Dia tak tanya pun, sibuk je nak beritahu.
Kereta kembali meluncur di atas jalan raya sebaik sahaja lampu isyarat bertukar merah. Halifie memandang hadapan. “Speaking of birthday present, awak suka jam tangan yang saya bagi tu?”
Terpinga-pinga Cartaz Amani seketika. Tidak lama kemudian, baru dia teringat jam tangan Guess yang tiada nama pemberinya. Cartaz Amani menelan air liur. Betullah dia yang bagi aku jam tu, kata Cartaz Amani dalam hati.
Tangan Cartaz Amani yang berada di atas paha, dijeling Halifie. “Tak pakai pun… Awak tak suka ke?”
“Isy, tolonglah… malas saya nak pakai jam yang musuh saya bagi. Geli!”
“Amboi! Sedapnya mulut awak tu bercakap eh… Sekurang-kurangnya, saya ada juga bagi awak hadiah. Awak tu… habuk pun tak ada,” kutuk Halifie.
“Hey…! Hello!!” Tangan Cartaz Amani diawang-awangkan ke udara. “Awak tu siapa yang saya kena bagi hadiah? Last I checked, seorang musuh tidak beri hadiah kepada musuh dia. Unless… dia bagi hadiah yang menggelikan. Awak nak ke Lifie? Saya bagi awak katak… nak tak?”
Halifie ketawa sinis. Soalan Cartaz Amani dibiarkan sepi. Terasa penat pula bertekak dengan minah di sebelahnya. Boleh tahan pedas juga bicara si Cartaz Amani ni. Daripada dia seronok mengenakan Cartaz Amani, kini dia pula yang geram. Kalau macam tu, lebih baik dia diam.
Cartaz Amani menghembus nafas panjang. Dia juga turut berasa letih bertekak lidah dengan Halifie. Penatnya petang tadi belum hilang lagi. Cartaz Amani membetulkan posisi duduknya supaya lebih selesa. Tangannya memeluk tubuh dan kepalanya memandang ke luar tingkap.
“Kita nak makan kat mana eh?” tanya Cartaz Amani dengan nada mendatar setelah lama berdiam diri. Bicara gadis itu memecahkan kesunyian di dalam kereta.
“Adalah… Kalau saya cakap pun, awak bukannya tahu,” jawab Halifie dengan nada yang sama.
Kerek betullah mamat ni, kutuk hati Cartaz Amani. “Steak House ke?” teka Cartaz Amani sementelah Halifie melalui jalan yang sama ke restoran Steak House.
Halifie menarik muka masam. “Awak tak bosan ke asyik makan dekat restoran ayah je? Tekak saya ni dah tak boleh terima tau. Sesekali tak apalah jugak.”
“Hah? Restoran ayah? Maksud awak restoran Uncle Is?”
Halifie memandang Cartaz Amani sekilas. Jelas gadis itu terkejut. “Yelah… takkan awak tak tahu kut?”
Cartaz Amani menggelengkan kepalanya. “Tak… Saya tak tahu. Maksud awak, Uncle Is owner Steak House?”
Halifie mengangguk. “Apalah awak ni… hal kecil macam ni pun awak tak tahu. Entah-entah banyak lagi pasal ayah saya yang awak tak tahu kan?”
Cartaz Amani terdiam. Tidak tahu ingin menjawab apa. Rasanya ada betul juga kata-kata Halifie. Masih banyak lagi hal tentang Encik Iskandar yang dia tidak tahu.
 “Cartaz, Cartaz… Cubalah ambil tahu sikit. Tak lama lagi ayah saya bakal jadi ayah awak, sebahagian keluarga awak. Tengok macam saya ni… Saya tahu banyak perkara tentang ibu. Apa yang ibu suka, tak suka…”
Bibir Cartaz Amani diketap. Ya Allah, sempat pula mamat ni puji diri sendiri. Sengal! 

** last chapter on blog will update soon... Jangan lupa dapatkan novel ni di pasaran. InsyaAllah hujung bulan ni mula dijual ;)

No comments: