Tuesday, January 8, 2013

CSM : Mint 14



Hujan lebat membasahi bandar Shah Alam pagi itu. Cartaz Amani termenung sambil memandang hujan yang turun. Dalam hati dia berfikir bila hujan akan berhenti. Tidak seperti hari Isnin yang lain, hari ini Cartaz Amani bersiap awal untuk ke kelas.
Pertama, kerana dia tidur awal semalam. Lepas sahaja pulang dari rumah Puan Afifa Malina, Cartaz Amani terus tidur kerana keletihan. Kedua, kerana dia takut dimarahi oleh Madam Asmah lagi.
Sudah banyak kali dirinya diherdik di hadapan kelas sehingga malu dibuatnya. Pun begitu, dia bernasib baik kerana dia hanya dimarahi. Sesetengah pensyarah suka mengunci pintu sebaik sahaja kelas bermula.
Cartaz Amani mengeluh. Walaupun dia sudah bersiap awal, nampaknya dia tetap juga akan sampai ke kelas lambat. Matanya masih lagi memandang ke arah hujan yang turun. Dia hanya mampu berdoa kepada Allah. Mudah-mudahan segala urusannya pada hari ini dipermudahkan.
Tanpa Cartaz Amani sedari, dirinya sedang diperhatikan seseorang. Halifie. Lelaki itu baru sahaja keluar dari lif dan dia terpandang Cartaz Amani yang sedang duduk bercangkung berdekatan dengan tempat letak motor.
Sesaat kemudian, Halifie memandang ke arah hujan yang semakin lebat. Kata-kata ayahnya semalam terngiang-ngiang di telinga. Dengan langkah bersahaja, Halifie mengorak langkah menuju ke arah Cartaz Amani.
Sebaik sahaja telinga Cartaz Amani mendengar alunan lagu dari Bruno Mars, gadis itu terus mencari telefon bimbitnya di dalam beg sandang. Kini Cartaz Amani tidak lagi menggunakan Sony Ericsson Hazel. Dia sudah memakai iPhone 4s pemberian bakal ayah tirinya.
“Woi, mak cik… Jangan cakap dengan aku kau lambat lagi hari ini,” teriak Lela sebaik sahaja Cartaz Amani menjawab panggilan.
Telefon dijauhkan sedikit dari telinga apabila mendengar teriakan Lela. Sakit telinga dibuatnya. “Kau ni kan… Salam tak bagi, tiba-tiba nak jerit-jerit… Hisy, tak senonoh betul,” rungut Cartaz Amani.
Di hujung talian, Lela tergelak besar. “Sorry, sorry… Assalamualaikum, Cartaz.”
“Waalaikumussalam. Hah, kan bagus ni… Sedap sikit telinga aku mendengarnya.”
Lela masih lagi tergelak. “Ni ha… si Izzi suruh aku call kau. Mana lah tahu kau lambat lagi hari ni. Bad mood pulak Madam Asmah nanti. Berkedut muka dia sebab marahkan kau,” gurau Lela bersama gelak yang semakin kuat.
Cartaz Amani turut tergelak. “Aku dah bangun awallah hari ni sebab takut kena marah lagi. Tapi… kan hujan ni. Macam mana aku nak pergi kelas, bro?”
“Apa susah… kau redah jelah, bro.”
“Memang basahlah baju aku hari ni, kan? Aku pakai baju baru ni..”
Hari ini dia memakai baju kurung yang baru dibeli oleh ibunya. Baju kurung moden bewarna biru tanpa corak. Kerawang bewarna merah jambu yang menghiasi di hujung lengan baju itu menaikkan seri pada warna baju kurung itu. Sayang pula jika baju ini dibasahi hujan.
“Fuyoo… Baju baru eh bro… Tak sabar aku nak tengok. Alah bro, kau tak payah naik motorlah. Jalan kaki je, pakai payung… Awal lagi ni. Sempat je kalau kau jalan kaki ikut pintu belakang Kristal tu. Bukan jauh mana pun rumah kau dengan fak (fakulti) kita,” cadang Lela.
Cartaz Amani mencebikkan bibirnya. “Jauhlah senget! Kalau aku jalan kaki pun…baju aku still akan basahlah bro. By the way, kau kat mana ni? Dah sampai kelas ke?”
Lela ketawa. “Belum. On the way la ni.”
“Chett! Apa barang ni, bro? Aku ingat kau dah ada kat kelas.”
“Relaxlah… Melati dengan fak bukannya jauh pun.”
Cartaz Amani tersengih. “Dahlah Lela. Aku nak fikir alternative lain untuk ke kelas. Kalau bukan kelas Madam Asmah, dah lama aku ponteng. Hmm… jumpa kau kat kelas nanti. Kirim salam sayang dekat Izzi.”
“Okey bro… jumpa kau nanti. Jangan lambat.”
Sebelum talian dimatikan, sempat lagi Lela memesan Cartaz Amani.  Hujan yang masih lagi turun dipandang oleh Cartaz Amani sebelum gadis itu melepaskan sebuah keluhan.
 “Nak pergi kelas ke?” tegur satu suara dari arah belakang.
Cartaz Amani segera menoleh akibat terperanjat. Kepalanya sedikit mendongak. Wajahnya terus bertukar masam apabila Halifie berada di belakangnya. Dia terus memandang hadapan semula sambil mengubah posisi. Dari duduk bercangkung, kini Cartaz Amani mula berdiri.
Halifie berdiri di sebelah Cartaz Amani. Matanya turut memandang hujan lebat yang turun. Kemudian, matanya mengerling Cartaz Amani di sebelah kanannya. “Awak nak pergi kelas ke?” tanya Halifie sekali lagi.
Cartaz Amani mempamerkan wajah bosan. Soalan Halifie dibiarkan sepi. Matanya masih lagi memandang depan. Dalam hati dia berdoa agar lelaki disebelahnya segera pergi. Dia tiada masa nak layan lelaki disebelahnya. Daripada dia melayan Halifie yang sudah jelas tiada faedahnya, lebih baik dia fikirkan alternatif lain untuk pergi ke kelas.
Halifie yang pada mulanya berniat baik mula berasa geram apabila dirinya tidak dilayan. Pun begitu, dia cuba menyabarkan dirinya. “Cik Cartaz Amani, kalau awak nak pergi kelas, saya boleh hantar kan. Saya pun nak pergi kelas. Hujan lebat macam ni… entah bila redanya. Lebih baik awak naik kereta dengan saya. Kalau tak, lambatlah awak ke kelas.”
Bibir Cartaz Amani diketap perlahan. Tubuhnya dipusingkan menghadap lelaki disebelahnya. Kemudian, dia sengaja ketawa sinis. “Mimpi apa awak semalam sampai ada hati nak berbuat baik dengan saya? Atau awak ada plan sesuatu untuk kenakan saya?”
“Lah… salah ke saya offer awak pergi kelas sekali dengan saya? Saya pun nak pergi kelas. Apa masalah awak ni? Suka je fikir bukan-bukan,” bidas Halifie yang sudah mula bosan.
Cartaz Amani mencebikkan bibirnya. Lelaki tu bukannya boleh dipercayai pun. Cartaz Amani masih lagi ingat bagaimana Halifie boleh mengutuknya di hadapan Puan Afifa Malina dan Encik Iskandar di dalam kereta. Memang dasar lelaki tak guna! Suka je cari pasal dengannya.
Halifie mengangkat tangannya, menyerah diri. “Okey, fine! Kalau awak tak nak ikut saya, tak apa. Saya cuma berbudi bahasa saja. Cuba menolong orang yang dalam kesusahan walaupun orang itu sombong. Tapi sayang… dah kalau sombong tu, tetap sombong juga. Orang dah nak tolong tapi dia jual mahal pulak.”
Cartaz Amani membiarkan sahaja Halifie meninggalkannya. Dia mendongak ke langit. Tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Jam di pergelangan tangan dikerling. 8.00 pagi. Dia ada setengah jam lagi untuk ke kelas.
Takkan dia ingin mengejut Farah yang sedang tidur untuk menghantarnya dengan kereta? Kalau Farah hantar pun, dia tetap akan lambat ke kelas. Maklumlah, masa hujan macam ni, jalan sesak di UiTM. Takkan dia nak ponteng kelas Madam Asmah pula. Hisy, memang tak beranilah. Cartaz Amani mendengus kasar. Dia terus berpaling ke belakang.
“Halifie,” jerit Cartaz Amani sedikit kuat, melawan bunyi hujan.
Langkah Halifie terhenti. Dia menoleh ke belakang. Waktu itu Cartaz Amani sedang berjalan ke arahnya.
“Tolong hantarkan saya,” pinta Cartaz Amani dengan wajah yang selamba.
Walaupun gadis itu nampak biasa sahaja, dalam hati dia hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa malu dirinya saat itu. Baru beberapa saat tadi, dia menolak pelawaan Halifie mentah-mentah, kini dia pula yang meminta pertolongan. Malunya!
Halifie mencebikkan bibirnya. Gaya Cartaz Amani meminta tolong padanya cukup menjengkelkan. “Macam ni cara awak minta tolong dengan saya?”
Bibir Cartaz Amani diketap geram. Makin bertambah perasaan malu pada dirinya. “Kalau awak tak nak tolong, tak apalah,” kata Cartaz Amani sedikit lemah. Gadis itu terus membelakangkan Halifie. Buang masa je aku minta tolong dengan mamat miang tu, rungut hati Cartaz Amani.
Halifie mendengus kasar. “Ada ke saya cakap tak nak tolong. Cepat ikut saya kalau awak nak naik kereta saya. Jalan mesti jam ni. Cepat sikit,” gesa Halifie dengan nada yang datar.
Cartaz Amani tersengih. Selesai satu masalah. Nampak gayanya, terpaksa dia naik satu kereta dengan lelaki yang dia benci. Pilihan apa lagi yang dia ada. Nak tak nak, dia terpaksa juga menerima bantuan lelaki itu.
“FSKM (Fakulti Sains Komputer dan Matematik) kan?” tanya Halifie sebaik sahaja kereta mula bergerak.
Kepala Cartaz Amani dianggukkan. “Macam mana awak tahu?”
Soalan Cartaz Amani dibiarkan sepi oleh Halifie. Cartaz Amani memeluk tubuh. Sebal dengan sikap Halifie yang kerek tahap gaban. Terus Cartaz Amani tidak bersuara. Suasana di dalam kereta sedikit hambar. Hanya radio yang terpasang.
“Ibu awak yang beritahu,” jawab Halifie tiba-tiba. Baru kini dia nak jawab soalan yang diajukan oleh Cartaz Amani beberapa minit yang lalu. Di saat mereka tersangkut dengan kesesakan jalan raya, baru Halifie ingin menjawab.
Cartaz Amani yang sedang leka termenung, sedikit terpinga-pinga. “Hah?”
“Ibu awak yang beritahu saya, awak budak matematik. So, saya tahulah fakulti yang mana satu,” terang Halifie tanpa memandang Cartaz Amani.
Cartaz Amani hanya menangguk faham.
“Fak saya yang tu… Fakulti Kejuteraan Elektrik. Tak jauh pun dengan fak awak,” beritahu Halifie tanpa disoal.
Cartaz Amani tidak memberi sebarang reaksi. Aku tak tanya pun. Sibuk je nak beritahu fakulti dia yang mana satu, gerutu Cartaz Amani dalam hati.
 “Balik nanti, awak nak balik dengan saya ke?”
Segera Cartaz Amani menggeleng. Sekarang ni pun dia dah terseksa. Malas dia nak balik sekali dengan Halifie. Dia boleh jalan kaki pulang ke rumah.
Halifie kembali membisu apabila Cartaz Amani memberi respon yang kurang memberangsangkan. Sebentar tadi, dia sengaja cuba berbual dengan gadis itu. Mana tahu mereka dapat berbaik seperti yang diharapakan oleh Encik Iskandar.
“Terima kasih tumpangkan saya,” kata Cartaz Amani sebaik sahaja tiba di fakultinya.
“Sama-sama. By the way, cantik baju kurung awak.”
Tanpa sedar, Halifie memuji baju kurung yang dipakai oleh Cartaz Amani. Lelaki itu menutup mulutnya. Nasib baik dia hanya puji baju, bukannya puji tuan punya badan. Kalau tidak, pasti sahaja dia akan dicop jantan miang lagi.

Wajah Cartaz Amani masam mencuka. Bengkak hatinya menahan rasa geram di dalam hati. Dia berpeluk tubuh sambil memandang Izzi dan Lela.
“Just nice! Penat-penat aku bangun awal, bersiap awal, tumpang kereta lelaki yang paling aku benci semata-mata nak pergi kelas and suddenly, class rep (class representation) called, cakap kelas cancel! What the hell!” bentak Cartaz Amani, kuat.
Mana mungkin Cartaz Amani tidak mengamuk. Hari ini dia gagahkan diri untuk bangun awal walaupun rasa letih masih belum hilang, terpaksa tebalkan muka dengan Halifie, minta tolong dengan lelaki tu suruh hantar dia ke kelas, terpaksa menahan diri duduk di sebelah Halifie, campur dengan jammed tadi dan tiba-tiba kelas batal.
“Cartaz… kau janganlah marah-marah. Dah tak sweet aku tengok, tahu tak? Baju yang kau pakai hari ni, cantik sangat. Manis je aku tengok kau ni. Comel. Tapi… dah kalau kau marah macam ni, tak sweet la sayang oi,” pujuk Izzrinda,
“Yelah bro… Relaxlah. Okey apa kelas batal. Boleh kita lepak-lepak. Jom, sarapan kat kafe,” ajak Lela.
Cartaz Amani mendengus geram. Dia masih tidak puas hati. “Class rep pun satu. Dah pukul 8.50 baru nak bagitahu kelas cancel. Yang kita ni penat je menunggu kat sini. Penat aku terkejar-kejar tahu tak. Kalau aku tahu kelas hari ni cancel, tak ada maknanya aku nak datang. Buat tahi mata pun bagus.”
“Wei, kau jangan salahkan Apis aku. Dia pun baru je tahu, bro. Madam Asmah baru je mesej dia,” kata Lela yang cuba back-up kekasih hatinya merangkap ketua kelas bagi kelas mereka.
“Yelah, Cartaz. Kau janganlah marah si Apis. Dahlah… jom kita sarapan. Lagipun, pukul 10.30 nanti, kita ada kelas lagi kan?”
Akhirnya, Cartaz Amani mengalah. Dia mengekori Lela dan Izzi menuju ke kafe untuk bersarapan.
“Wei, by the way, lelaki mana yang tumpangkan kau?” tanya Lela ingin tahu.
“Lelaki miang!” jawab Cartaz Amani selamba.

Malam itu, Cartaz Amani sudah berjanji untuk makan malam bersama Farah dan Emma di Restoran Wong Solo. Sudah lama mereka tidak menikmati kelazatan ayam penyet dan ayam bakar. Setelah bersiap, mereka bertiga turun ke bawah dan menuju ke kereta Farah.   
“Wei… scarf aku hilanglah,” kata Cartaz Amani sewaktu kereta mula bergerak keluar dari pintu pagar Kristal.
“Scarf kau yang mana?” tanya Emma sambil membetulkan rambutnya menggunakan jari.
“Scarf yang diikat dekat beg merah yang Farah bagi kat aku tulah.”
 “Oh, scarf warna putih susu tu eh? Bila hilangnya?” soal Farah pula.
Cartaz Amani menjungkitkan bahunya. “Entah. Aku baru perasan masa nak turun tadi. Entah kat mana la scarf tu terjatuh.”
“Beli jelah yang baru. Tak pun, tak payah letak scarf kat beg tu. Semak je,” kritik Emma.
“Eh, biarlah… baru cantik sikit beg aku. Lagipun, tu kan hadiah Farah. Sayanglah, kalau hilang. Alamak, ada orang call pulak,” kata Cartaz Amani sebaik sahaja terdengar lagu Bruno Mars. iPhone 4s miliknya memang sudah berada di tangan, lantas dia terus menjawab panggilan dari ibunya.
“Assalamualaikum, ibu.”
“Waalaikumussalam . Cartaz kat mana tu?”
“Dalam kereta, nak keluar makan. Ibu dah makan?” tanya Cartaz Amani mesra.
“Belum. Ibu call ni nak beritahu Cartaz… Hujung minggu ni ibu nak balik kampung dengan Uncle Is. Cartaz nak ikut tak?”
Senyuman lebar terus terukir di bibir gadis itu. “Nak, ibu… Cartaz nak ikut. Rindunya dengan tokma.”
“Hmm, ibu dah agak dah. Okeylah Cartaz, ibu letak dulu.”
“Bestnya… Aku nak balik kampung hujung minggu ni,” beritahu Cartaz Amani pada teman-temannya sebaik sahaja mematikan talian.
Farah menjeling Cartaz Amani. “Amboi, amboi… Asyik bercuti aje kerja kau ya. Baru je balik dari Pulau Perhentian, nak pergi Balok pulak.”
“Biarlah… dah kampung aku dekat Balok.”
“So, macam mana percutian kau? Lifie okey tak? Dah lama aku tak jumpa dia. Rindunya,” kata Emma dengan nada gediknya.
Cartaz Amani mencebikkan bibirnya. “Okey apanya? Mamat tu betul-betul menyakitkan hati aku.”
“Kau ni Cartaz… sudah, sudahlah tu. Tak payah nak bermusuh dengan Lifie aku tu. Tak lama lagi kau orang akan jadi satu keluarga. Hmm… InsyaAllah, kalau ada jodoh aku dengan Lifie, kau akan jadi adik ipar aku,” gurau Emma sambil ketawa.
Farah turut tergelak. Cuma Cartaz Amani sahaja tidak memberi sebarang reaksi.
“Tak sabarnya nak tunggu mid term break. Aku dah lama tak balik Kuching. Kamek rindu mama kamek.” Farah cuba mengubah topik perbualan.
“Relax lah kawan… dua minggu je lagi. Jumaat minggu depan kau dah boleh balik dah. Kau dah beli tiket ke belum?” soal Emma.
“Sudah! Mama aku belikan. Nanti aku bawa balik perencah bubur pedas. Lepas tu, aku masakkan untuk kau orang.”
Cartaz Amani dan Emma melebarkan senyuman. “Tak sabarnya nak rasa bubur pedas kau. Dari dulu kau selalu sebut, tapi tak pernah nak bagi kami rasa,” rungut Cartaz Amani.
Farah hanya tergelak.
Tidak lama kemudian, mereka tiba di Restoran Wong Solo. Waktu itu, restoran dipenuhi dengan pelanggan. Cartaz Amani, Farah dan Emma berdiri di hadapan restoran sambil meliarkan mata mereka, mencari tempat kosong.
“Alah… penuh pulak. Aku dah tak sabar nak makan ayam penyet ni,” keluh Cartaz Amani apabila semua meja dipenuhi pelanggan. Ada nada kecewa pada bicaranya.
Emma yang masih memerhati tiba-tiba tersenyum apabila ternampak sebuah meja panjang yang diduduki seseorang yang amat dia kenal, yang dia rindui. Halifie. Dia mendapat satu idea apabila ada tiga tempat kosong di meja Halifie. Barangkali memang dikhaskan untuk mereka.
“Wey, ada tempat kosong kat meja Lifie. Kita join dia orang nak?” cadang Emma.
Cartaz Amani terkesima. Halifie! Dia tidak nampak pun lelaki itu. Matanya terus mencari lelaki itu.
“Kejap, aku tanya si Lifie,” kata Emma lagi tanpa mendapatkan persetujuan Farah dan Cartaz Amani. Lalu, Emma terus berjalan menuju ke meja Halifie.
Waktu itu baru Cartaz Amani perasan meja yang diduduki Halifie. Lelaki itu sedang bersembang dengan kawan-kawannya. Barangkali mereka sedang menunggu makanan yang dipesan tiba.
“Ya Allah!”
Cartaz Amani terus berpaling ke arah Farah. Gadis itu seakan terpaku memandang sesuatu. Cartaz Amani terus menepuk bahu Farah. “Kau dah kenapa?”
Farah memalingkan wajahnya, memandang Cartaz Amani. Wajah Farah saat itu sangat ceria seolah-olah gadis itu baru sahaja mendapat Anugerah Dekan. “Wei, aku nampak jodoh aku. Tak sangka doa aku dimakbulkan Allah, wei…”
“Hah? Mana jodoh kau?”
Farah mendekatkan dirinya dengan Cartaz Amani. “Tu ha… Dia duduk sebelah Lifie. Itulah lelaki yang aku jumpa masa birthday party kau. Specs dia cantik kan? Macam specs aku…”
Cartaz Amani terus memandang lelaki yang duduk di sebelah Halifie. Boleh tahan kacak juga lelaki itu. Opps, mungkin kacak kurang sesuai untuk lelaki tanpa nama itu. Comel lebih sesuai. Ya, lelaki itu nampak comel dengan specs bingkai penuh yang dipakainya.
“Guys, jom… Lifie tak kisah kita join dia. Lagipun, semua meja masih penuh lagi ni,” beritahu Emma yang sudah kembali semula pada teman-temannya.
Farah memandang Cartaz Amani, cuba memujuk gadis itu supaya bersetuju.
“By the way Farah… Lelaki yang kau suka, ada kat situ. Have fun,” bisik Emma.
Farah tersenyum suka. “Please Cartaz!! Jom kita makan dengan dia orang.”
Cartaz Amani menghembuskan nafasnya. “Okey, jom.”
Jawapan positif dari Cartaz Amani membuatkan Farah terus memeluk gadis itu. Kemudian, mereka sama-sama menuju ke meja Halifie.
“Hai…,” sapa Farah ramah sementara Cartaz Amani hanya mendiamkan diri.
Halifie tersenyum. “Hai… duduklah.”
Emma memberi isyarat pada Farah, supaya gadis itu duduk di sebelah lelaki yang dia minat itu. Kebetulan, tiada siapa duduk di sebelah kiri lelaki itu. Cartaz Amani pula duduk di sebelah Farah. Hmm… Cartaz Amani di hujung sebelah kiri sementara Halifie di hujung sebelah kanan. Emma pula duduk berhadapan dengan Cartaz Amani.
“Hai Cartaz…,” tegur gadis di sebelah Emma.
Cartaz Amani terkedu. Gadis itu dipandang lama untuk mengenalpasti sama ada dia kenal gadis itu atau tidak. “Oh hai… Awak girlfriend Lifie kan?” tanya Cartaz Amani tanpa sedar.
Gadis itu tergelak kecil, diikuti dengan ketawa besar dari seorang lelaki di sebelah gadis itu. Cartaz Amani sedikit terpinga-pinga.
“Tu lah Erna… Kau dengan Lifie rapat sangat, sampai orang lain pun cakap kau orang couple,” ujar lelaki di sebelah Erna. “Hai, Cartaz… Saya Syahir. Tapi boleh panggil saya Caex.” Sempat pula Syahir memperkenalkan diri.
Halifie yang berada di hujung meja berdeham. “Cik Cartaz Amani… sebelum awak fikir yang bukan-bukan, let me introduce my friends… Perempuan yang awak cakap girlfriend saya tu, nama dia Erna… dan dia bukan girlfriend saya but she is my bestfriend. Sebelah Erna, Syahir… Yang depan saya ni Zainal. Kami panggil Jenal je. Dan yang dekat sebelah saya ni, Fariz.”
Cartaz Amani terus menjeling Halifie. Perlu ke kenalkan semua orang kat dia? Macamlah dia nak tahu sangat. Pun begitu, Cartaz Amani tetap memaniskan wajahnya dan menghadiahkan senyuman buat kawan-kawan Halifie.
Emma terus tersenyum sambil memandang kawan-kawan Halifie. “Hai… Saya Emma. Depan saya ni… mesti dah kenalkan. Cartaz. Sebelah Cartaz tu, nama dia Farah.”
Farah tersenyum apabila namanya disebut.
“Eh, pesanlah makanan. Nanti lambat pula sampai,” kata Zainal.
Cartaz Amani dan kawan-kawannya terus memesan makanan. Selepas itu, Emma terus berbual mesra dengan kawan-kawan Halifie. Emma tu memang selambanya berbual dengan orang yang baru dia kenal. Farah dan Cartaz Amani pula buat hal sendiri. 

** [A/N] Dua bab terakhir yang akan di upload dekat blog. Novel ini sudah pun masuk proses printing dan InsyaAllah akan berada di pasaran hujung bulan ni. Apa-apa pun saya akan update perkembangan novel ini di blog dan juga FB. ;)

1 comment:

einaz lynna said...

wah2... xsabar nak tgu kuar..