Thursday, January 3, 2013

CSM : Mint 12


Beberapa hari ini Cartaz Amani berasa aman dan lega. Lega kerana dia tidak perlu lagi memikirkan tentang Halifie yang bakal menjadi abang tirinya sementelah ibunya tidak jadi untuk berkahwin lain. Aman kerana sejak majlis hari jadinya, dia tidak lagi bertemu dengan Halifie.
Hari-harinya ditemani dengan kegembiraan. Rutin hariannya kembali seperti biasa. Rasanya sudah berhari-hari dia lihat rumah Halifie sunyi. Lelaki itu sudah lama tidak balik ke rumah. Barangkali lelaki itu tidur di rumah Encik Iskandar.  
Hmm, lagi bagus kalau lelaki itu tidak balik-balik lagi. Tidak perlu Cartaz Amani bersua muka lagi dengan Halifie. Kini, Cartaz Amani tidak teragak-agak untuk menggunakan lif.   
Petang ini, Cartaz Amani menghabiskan masanya di Kafe Green Mint. Seperti biasa, dia memesan Mint Chocolate Chip Shake. Sekurang-kurangnya, seminggu sekali Cartaz Amani akan datang ke kafe ini semata-mata untuk menikmati minuman kegemarannya. Mint Chocolate Chip Shake di kafe ini acapkali mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang juah di mata tetapi dekat di hati.
Sambil menikmati kelazatan Mint Chocolate Chip Shake, Cartaz Amani membelek-belek kertas di atas meja. Sesekali dia mencatat sesuatu pada buku nota. Dia sedang menganalisa soalan assignment yang diberikan oleh tutornya.
Sedang gadis itu leka, kerusi di hadapan gadis itu diduduki seseorang. Cartaz Amani tersentak lalu secara spontan mendongakkan kepalanya. Malapetaka!! Hilang keamanan yang dia rasai sebaik sahaja melihat lelaki di hadapannya.
Bibir Cartaz Amani diketap geram. Pen di tangan dilepaskan. Keningnya ternaik sedikit dan badannya disandarkan ke belakang. Tangan Cartaz Amani memeluk tubuh.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Cartaz Amani kasar.
 “Saya cari awak… Emma kata awak mungkin ada kat sini,” beritahu Halifie dengan wajah yang tegang.
“Kenapa cari saya? Do I owe you anything?”
Halifie tersenyum sinis. “Nope, you owe me nothing tapi awak dah buat satu kesalahan besar.”
Terhambur tawa Cartaz Amani mendengar bicara Halifie. “Kesalahan? Apa yang saya dah buat sampai awak cari saya kat sini? As far as I concerned, awak yang buat salah kat saya. Sudahlah awak hina maruah saya dulu, sekarang ni awak ganggu ketenteraman saya pula.”
“Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba awak datang sini dengan muka yang macam nak cari gaduh dengan saya.” Cartaz Amani berkata sinis.
“Saya datang kat sini bukan nak cakap pasal kesalahan saya. About my mistake… saya tahu dan saya mengaku. Saya pun dah minta maaf kat awak. I don’t wanna talk about that now. Tujuan saya datang sini cuma nak beritahu awak kesalahan awak,” bidas Halifie dengan nada sedikit kuat.
Mujur kedudukan mereka agak tersorok. Kalau tidak, mungkin mereka sudah menjadi perhatian orang ramai. Cartaz Amani bingung. Apa kesalahan yang telah dia lakukan? Sejujurnya, ini pertama kali dia melihat wajah Halifie yang tegang. Timbul perasaan cuak dalam diri Cartaz Amani.
“Apa yang saya dah buat?” bentak Cartaz Amani tidak puas hati tatkala dirinya seperti dihukum kerana kesalahan yang dia sendiri tidak tahu.
“Jawab soalan saya. Kenapa awak tak izinkan ibu awak berkahwin dengan ayah saya? Padahal Emma cakap awak dah setuju dan awak nak beritahu ibu awak pasal persetujuan awak masa hari jadi awak. So, kenapa tiba-tiba awak ubah fikiran?” soal Halifie dengan nada suara yang cuba dikawal.
Cartaz Amani terkedu. Rupanya hal ini yang membuatkan Halifie berang. Cartaz Amani masih tidak memberi jawapan. Lidahnya kelu tiba-tiba. Dia tidak tahu bagaimana harus dia menjawab soalan Halifie.
“Kenapa awak tak jawab? Atau sebenarnya, awak tak izinkan ibu awak berkahwin dengan ayah saya sebab saya? Betul kan apa yang saya cakap? Sebab saya… Sebab saya awak ubah keputusan… Sebab awak benci saya, sebab awak tak suka saya… awak buat keputusan yang menyeksa orang lain,” bentak Halifie bengang. Tangannya menghentak meja kerana ingin melepaskan kemarahan di dalam dirinya.
“Ya! Memang sebab awak! Saya ubah fikiran saya sebab awak. Saya tak kisah kalau ibu saya nak berkahwin dengan Uncle Is, tapi itu sebelum saya tahu awak ni anak dia.  So, apa masalah awak?” marah Cartaz Amani yang tidak mampu berdiam diri apabila Halifie mula melenting. Dia memang bukan seorang gadis yang lemah lembut apatah lagi penyabar.
Halifie tergamam. Badannya tersandar ke belakang. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Jelas riak kecewa di wajahnya saat itu. Seketika kemudian, Halifie meraup wajahnya. Perasaan marah cuba dikawal.
Halifie sedar dia harus selesaikan masalah ini kerana dia punca segalanya. Dan dia tahu dia harus menyelesaikan dengan cara berlembut. Bukan marah-marah seperti tadi. Dia hanya akan membuat Cartaz Amani bengang dengannya.
“Apa yang awak buat ni, terlalu kebudak-budakkan. Awak selfish. Awak tak fikirkan perasaan orang lain. Perasaan ibu awak. Perasaan ayah saya. Awak cuma fikirkan diri awak je.”
Cartaz Amani tergelak sinis. “Siapa awak nak judge saya? Suka hati sayalah saya nak buat apa. Yang awak sibuk sangat kenapa?”
“Awak ingat saya suka buang masa saya dekat sini, bercakap dengan orang macam awak? Saya buat semua ni demi ayah saya. Keputusan awak membuatkan ayah saya tak ceria macam dulu. Awak menghalang ayah saya untuk mendapatkan kebahagiaan yang dia tidak pernah rasa selama ini. Awak musnahkan impian saya dan adik saya untuk melihat ayah kami mendirikan rumah tangga.”
Cartaz Amani mempamerkan wajah bosan mendengar bicara Halifie yang seolah-olah ingin meraih simpatinya. “Do I look like I care? Awak ingat saya ambil kisah ke tentang impian awak… impian adik awak. Lagipun, kenapa awak beria sangat ayah awak nak kahwin lain? Pelik! Awak tak kisah ke ayah awak kahwin lagi?”
Halifie mengukirkan senyuman nipis. “Mungkin awak belum tahu lagi… Ayah saya tu masih bujang lagi. Seumur hidup dia, dia tak pernah berkahwin.”
Cartaz Amani tergelak kuat. Apa yang didengarinya benar-benar membuatkan dia geli hati. “Apa yang awak merepek ni? Gurauan apa yang cuba awak buat? Nak tipu pun agak-agak la… Awak ingat saya ni bodoh ke? Kalau belum kahwin, awak dengan Haiza tu apa? Takkan anak luar nikah kut,” kata Cartaz Amani bersahaja.
Ayat terakhir Cartaz Amani membuatkan mata Halifie membesar. Kemarahan lelaki itu yang semakin surut naik semula. Giginya diketap kuat menahan geram. Cartaz Amani sudah melampau. Terbakar hatinya apabila mendengar bicara terakhir Cartaz Amani. Lebih-lebih lagi gadis itu berkata dengan nada yang cukup  sinis. Halifie menarik nafas dalam.
“Jangan menuduh kalau awak tak tahu kisah sebenar, Cartaz Amani. Saya hormatkan awak sebab awak anak Auntie Ifa. Kalau tidak, sudah lama saya tampar awak seperti mana awak tampar saya.”
“For your information, Uncle Is yang saya panggil ayah tu sebenarnya pak ngah saya. Dia adik papa saya. Saya dan Haiza cuma anak saudara dia, bukan anak kandung atau anak luar nikah seperti yang awak cakap tadi.”
Cartaz Amani tersentak. Dia terpingga-pingga. Masih tidak dapat memproses kata-kata Halifie.
 “Sejak papa dan mama saya bercerai, ayah yang jaga saya dan adik saya. Ayah membesarkan kami, beri kasih sayang dia pada kami terutama sekali Haiza. Disebabkan sibuk menjaga kami dan bekerja keras membangunkan syarikat yang dia bina sendiri, ayah tak pernah terfikir untuk berkahwin. Ayah kerja keras untuk kami, untuk kesenangan kami. Disebabkan kami, ayah membujang sehingga kini. Awak tahu tak betapa bersalahnya saya pada ayah saya?”
“Ayah seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Dia selalu memastikan kebahagiaan kami tapi kebahagiaan dirinya sendiri diabaikan. Tapi… bila dia jumpa ibu awak, semuanya berubah. Ibu awak membuka hati ayah saya untuk menerima seorang perempuan bergelar isteri dalam hatinya. Saya dan Haiza pun gembira bila tengok ayah yang sentiasa ceria.”
Halifie menceritakan kisah keluarganya pada Cartaz Amani. Pertama kali dia memberitahu orang lain tentang kisah keluarganya. Selama ini, hanya pada Erna dia ceritakan segalanya. Semuanya dia lakukan untuk menyedarkan kesalahan yang telah Cartaz Amani lakukan.
“Tapi awak… sebab keputusan awak yang pentingkan diri, yang bersifat kebudak-budakkan, awak bunuh kegembiraan ayah saya. Saya tak nampak keceriaan pada wajah dia. Dan semuanya awak lakukan sebab saya. Sebab perasaan benci awak pada saya,” keluh Halifie yang benar-benar kecewa. Dia benar-benar rasa bersalah dengan ayahnya.
Halifie memandang ke arah Cartaz Amani yang mempamerkan wajah kosong. “Mungkin awak tak kisah dengan apa yang ayah saya rasa tapi ada awak fikir tentang perasaan ibu awak? Ada awak ambil tahu tentang ibu awak? Awak tahu tak ibu awak turut menderita dengan keputusan kebudak-budakan awak ni? Sampai dia sanggup berhenti kerja.”
“Awak memang pentingkan diri sendiri, Cartaz Amani. Saya harap awak sedar dengan kesalahan yang awak dah lakukan.  Nasihat saya, jangan pentingkan diri sendiri… fikir tentang orang lain juga. Sekali lagi, saya minta maaf kerana menghina maruah awak. But I think we fair enough!”
Halifie terus beredar meninggalkan Cartaz Amani. Lelaki itu benar-benar kecewa dan terkilan. Perasaan bersalah menghantui dirinya. Disebabkan dia, Cartaz Amani mengubah keputusan untuk mengizinkan Puan Afifa Malina berkahwin dengan Encik Iskandar. Semuanya kerana dia.

Tasik di Seksyen 7 Shah Alam menjadi tempat untuk Cartaz Amani mencari ketenangan. Sebaik sahaja Halifie pergi, Cartaz Amani yang masih kebingungan terus mengemas semua barang-barangnya dan dia lari membawa diri ke tasik ini.
Sudah hampir setengah jam Cartaz Amani termenung di hadapan tasik ini. Kata-kata Halifie bermain di mindanya sedari tadi. Sudah banyak persoalan yang bermain di mindanya. Salah ke keputusan yang dia ambil? Adakah dia membuatkan ibunya menderita? Tapi hari itu ibunya sendiri kata dia tidak kisah dengan keputusannya. Adakah dia pentingkan diri sendiri? Benarkah?
Suatu masa dahulu, seorang lelaki pernah juga memberitahunya yang dia pentingkan diri sendiri. Seorang lelaki yang begitu bermakna buatnya. Tidak semena-mena, wajah lelaki itu terlayar di minda Cartaz Amani. Perasaan rindu terhadap lelaki itu mencengkam sanubarinya.
Tanpa sedar, matanya berair. Jika lelaki itu berada di sisinya saat ini, pasti dia akan berkongsi semua masalahnya pada lelaki itu. Dan sudah tentu dirinya akan dibantu keluar dari kebingungan ini.
Sebuah keluhan dilepaskan. Cartaz Amani menundukkan wajahnya lalu tangannya ditekup ke muka. Awak, apa yang perlu saya lakukan? I need you now.. Saya buntu, bingung! Saya rasa bersalah tapi saya tak tahu… saya tak tahu apa yang perlu saya buat, rintih Cartaz Amani di dalam hati.
Sejujurnya, Cartaz Amani berasa simpati terhadap Encik Iskandar. Dan dia rasa bersalah pada lelaki itu. Ya, dia tahu dia kejam. Mungkin benar kata Halifie, dia memang pentingkan diri sendiri.
Cartaz Amani memandang ke tasik semula. Bibirnya diketap. Benarkah ibu berhenti kerja? Tetapi kenapa? Adakah kerana tidak sanggup bekerja di bawah Encik Iskandar lagi? Terseksa ke ibunya dengan keputusan yang dia buat?

Usai menunaikan solat Maghrib, Cartaz Amani menadah tangan, berdoa kepada Allah agar diberi ketenangan dan pertunjuk. Lama dia berteleku di atas sejadah. Sedang dia termenung, Cartaz Amani mendengar pintu biliknya dibuka. Lantas, Cartaz Amani berpaling ke belakang.
“Kami ada hal nak cakap dengan kau… Kita orang tunggu kat depan,” kata Emma dengan nada serius.
Cartaz Amani mengerutkan dahinya. Hatinya mula rasa tak sedap. Perlahan-lahan, dia membuka telekungnya. Beberapa minit kemudian, dia keluar dari bilik. Emma dan Farah sedang menanti dia di sofa. Tiada keceriaan di wajah masing-masing. Entah mengapa, dada Cartaz Amani berdebar.
“Kenapa kau tipu kami?” tanya Emma sambil berpeluk tubuh. Cartaz Amani yang baru sahaja duduk di sofa dipandang dengan wajah yang serius.
Cartaz Amani menelan air liur. “Tipu?”
Emma mengangguk. “Kau cakap, kau dah bagitahu ibu kau yang kau setuju dia kahwin lain. Tapi tadi Lifie cari aku dan dia cakap kau tak izinkan ibu kau berkahwin lain. Apa semua ni, Cartaz?”
Cartaz Amani terkedu. Sebentar tadi dia dimarahi oleh Halifie. Kini Emma pula memarahinya. Semakin tertekan Cartaz Amani dibuatnya. Dia tertekan kerana rasa bersalah. Nampaknya terlalu banyak kesalahan yang telah dia lakukan tanpa dia sedar.
“Kenapa kau tipu kami, Cartaz? Kenapa kau tak bagi ibu kau kahwin dengan Uncle Is? Hari tu kau cakap kau tak kisah ibu kau kahwin lain. Yang penting ibu kau happy. Tapi kenapa tiba-tiba kau ubah fikiran?” soal Farah sedikit lembut, tidak seperti Emma yang marah-marah.
“Mesti sebab Lifie kan? Kau benci dia. Mesti kau tak sanggup terima Lifie dalam keluarga kau kan?” herdik Emma.
Cartaz Amani menekup mukanya dengan tangan. Tidak sanggup dimarahi lagi. Emma dan Farah saling berpandangan. Tidak lama kemudian, dia mendengar esakan dari Cartaz Amani. Farah mengetap bibir.
Cartaz Amani sudah teresak-esak menangis. Tangannya yang menekup muka dialihkan. Air mata yang mengalir di pipi terus diseka.
“Aku minta maaf. Aku tak ada niat nak tipu kau orang. Aku minta maaf,” ucap Cartaz Amani dalam sedu.
“Memang aku buat semua ni sebab Lifie. Aku benci dia. Aku tak boleh terima dia sebagai abang tiri aku. Sebab tu aku ubah keputusan aku,” akui Cartaz Amani.
Cartaz Amani mengesat air matanya. “Aku tahu aku salah. Aku pentingkan diri sendiri. Aku kejam. Aku tak fikirkan perasaan orang lain, perasaan ibu aku… aku… aku…” Cartaz Amani terus menutup mukanya. Dia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Semakin kuat tangisannya. Sungguh, dia tertekan kini.
Farah terus mendekati Cartaz Amani lalu dia memeluk kawan baiknya yang sedang menangis. Jarang sekali mereka lihat Cartaz Amani menangis. Melihat kawan mereka menangis, Emma dan Farah turut berasa sebak. Emma turut mendekati Cartaz Amani dan memeluk gadis itu, ingin menenangkan Cartaz Amani.
“It’s okay… yang penting kau dah sedar kesilapan kau,” kata Farah.
“Betul tu… Aku minta maaf Cartaz sebab marah kau tadi. Sorry wei,” ujar Emma pula. Terbit rasa bersalah dalam diri Emma kerana mengherdik kawan baiknya.
Cartaz Amani meleraikan pelukan. Dia memandang kawan-kawannya. “Aku minta maaf… Aku dah tipu kau orang. Aku minta maaf.”
“Iya, kami maafkan kau… Jangan sedih lagi, ya?”pinta Farah sambil membetulkan rambut Cartaz Amani yang kusut.
Badan Cartaz Amani terhinjut-hinjut akibat menangis. “Macam mana aku tak sedih… aku rasa bersalah pada ibu aku, pada Uncle Is… pada Lifie. Aku dah buat salah.”
“Then… kalau kau dah tahu kau salah, minta maaflah dengan dia orang,” cadang Emma dengan nada suara yang lembut.
“Aku dah call ibu aku… tapi dia tak jawab. Lifie kata ibu aku berhenti kerja. Mungkin ibu tak sanggup kerja dengan Uncle Is,” cerita Cartaz Amani.
Farah menelan air liur. Sampai begitu sekali? Dia tidak sangka kesan perbuatan Cartaz Amani sebegini teruk, sehingga Puan Afifa Malina berhenti kerja. Emma pula hanya mampu menggelengkan kepalanya.
Farah menghulurkan telefon bimbitnya pada Cartaz Amani. “Nah… cuba call ibu kau lagi.”
Cartaz Amani memandang Farah. Dia sedikit teragak-agak untuk mengambil telefon bimbit Farah. Farah mengeluh. Dia terus mendail nombor telefon Puan Afifa Malina, kemudian dia lekapkan telefon bimbit ke telinga Cartaz Amani. Waktu itu baru Cartaz Amani memegang telefon bimbit Farah.
Bersama debaran di dada, Cartaz Amani menunggu panggilannya berjawab. Sebaik sahaja panggilannya disambungkan, Cartaz Amani mendengar ibunya terbatuk-batuk. Cartaz Amani diburu perasaan risau.
“Ibu… Ibu tak apa-apa ke?” tanya Cartaz Amani cemas sehingga tidak memberi salam seperti kebiasaannya.
“Along… Ibu tak apa-apa. Cuma demam sikit.”
“Ibu demam? Kenapa tak bagitahu along? Sejak bila ibu demam?”
Puan Afifa Malina terbatuk lagi. “Along jangan risau. Ibu tahu jaga diri ibu. Cuaca tak menentu ni, kejap panas, kejap mendung… tu yang ibu demam.”
Cartaz Amani menahan tangis. “Ibu… Along balik sana ya malam ni.”
“Eh, tak usah… Esokkan along ada kelas,” tegah Puan Afifa Malina.
Kepala Cartaz Amani digelengkan. “Tak… Along tetap nak balik. Ibu tunggu along tau. Sekarang, ibu rehat dulu dekat bilik.”
Cartaz Amani terus mematikan talian tanpa mendengar balasan ibunya.  Dia kembali menangis. Tangan kanannya kirinya menutup separuh mukanya. “Ibu… ibu aku demam.” Tergagap-gagap Cartaz Amani memberitahu.
“Aku anak yang tak baik… Aku pentingkan diri sendiri. Ibu demam pun aku tak tahu. Aku selalu pentingkan diri aku, tak fikirkan orang lain.” Cartaz Amani mula menyalahkan dirinya sendiri.
Farah dan Emma cuba menenangkan Cartaz Amani yang tertekan. “Cartaz, dengar cakap aku sekarang. Aku nak kau pergi siap. Aku hantar kau balik rumah kau lepas ni. Ibu kau perlukan kau sekarang. Dia duduk seorang diri kat rumah tu. Tak ada siapa jaga dia.”
Cartaz Amani mengangguk laju. Dia terus bangun dan menuju ke biliknya.

No comments: