Wednesday, January 2, 2013

CSM : Mint 11



“Cartaz dah beri kata putus ke Ifa?” tanya Encik Iskandar sambil memandang Puan Afifa Malina di hadapanya. Malam itu mereka makan malam bersama-sama di restoran ikan bakar kesukaan Puan Afifa Malina.
Puan Afifa Malina yang baru sahaja menghabiskan makanannya, mengelap mulut. Soalan Encik Iskandar membuatkan dia kelu buat seketika. Dia tahu lelaki itu memang menantikan jawapan dari anaknya. Dia juga begitu.
“Belum… Saya bagi dia masa seminggu untuk fikirkan. Sepatutnya hari ni dia bagi keputusan tapi… dia tak cakap apa-apa pun. Oh lupa pula saya. Dia ada mesej. Dia suruh saya cakap terima kasih pada awak untuk hadiah yang awak bagi. Itu sahaja.”
Encik Iskandar sedikit kecewa namun dia cuba mengukirkan senyuman.
Puan Afifa Malina mengeluh. Dia perasan riak kecewa di wajah Encik Iskandar walaupun lelaki itu cuba sembunyikan dengan senyuman. Jus oren yang dipesannya disedut perlahan-lahan.
“Entahlah Is… Saya macam dapat rasakan anak saya tak suka dengan hubungan kita.” 
Encik Iskandar menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan-lahan. “Awak janganlah fikir yang bukan-bukan.”
“No… Saya beritahu Cartaz kalau dia tak cakap apa-apa, saya anggap dia tak setuju dengan perkahwinan kita. Sekarang ni dia tak cakap apa-apa. So, that’s mean dia tak suka dengan perkahwinan kita.”
“Kenapa tergesa-gesa Ifa? Awak beri dia masa seminggu untuk fikirkan hal yang melibatkan masa depan dia. Mana cukup, Ifa… Awak tak cakap dengan saya pun hal ni. Kenapa awak buat keputusan tanpa berbincang dengan saya?” tanya Encik Iskandar yang agak kecewa.
Puan Afifa Malina mengetap bibirnya. “I did it because of you. Saya tak nak awak tunggu saya lagi. Kita dah bincang kan dulu. Kalau anak saya tak setuju saya berkahwin lain, saya nak awak cari orang lain. Sampai bila awak nak hidup membujang? Saya nak awak cari orang lain yang dapat bahagiakan awak.”
“There’s no other woman that can make me happy besides you, Ifa.” Encik Iskandar tersenyum kelat sambil berbicara.
“Belum cuba belum tahu… Saya tak nak beri harapan pada awak. Saya tak nak awak tunggu saya.”
“Tapi saya boleh tunggu sehingga Cartaz terima saya,” bidas Encik Iskandar.
Puan Afifa Malina mengeluh. “Sampai bila? Sebulan, dua bulan atau setahun? Sampai bila Is??”
Suasana sedikit tegang detik itu. Encik Iskandar menyepikan diri buat seketika. Matanya jauh memandang ke suatu arah yang dia sendiri tidak pasti. Di mindanya, dia berfikir tentang hubungannya dengan Puan Afifa Malina.
“I love you, Ifa… I really do. Macam nilah… Cuba awak call Cartaz. Ajak dia jumpa dan awak tanya dia apa keputusan dia. Mungkin dia lupa nak beritahu awak,” cadang Encik Iskandar setelah lama berdiam diri.
Puan Afifa Malina menghembus nafas perlahan. “Saya… saya tak berani. Saya tak tahu macam mana nak cakap dengan dia.”
Encik Iskandar mengukir senyuman manis, kemudian dia menganggukkan kepalanya. “You can do it, Ifa… Nothing to be worry.” Encik Iskandar cuba menyakinkan Puan Afifa Malina.
Wajah Encik Iskandar yang tersenyum dipandang lama oleh Puan Afifa Malina. Lama kemudian, baru dia mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangannya lalu mendail nombor telefon Cartaz Amani.
“Along dah makan?” soal Puan Afifa Malina sebaik sahaja menjawab salam anaknya.
“Oh… Tak ada apa-apa… Ibu ingat nak ajak along lunch dengan ibu esok. Along free ke?”
Puan Afifa Malina memandang Encik Iskandar, cuba mencari kekuatan untuk berbicara dengan anaknya.
“Ya, hanya kita berdua je.”
“Hmm, kalau macam tu kita lunch dekat rumah jelah. Ibu masakkan ayam masak merah untuk along.”
Beberapa saat kemudian, talian dimatikan. Puan Afifa Malina menarik nafas dalam. Telefon bimbit diletakkan semula ke dalam tas tangan.
“Saya dapat rasakan anak saya tak setuju, Is…”
Encik Iskandar menelan air liur mendengar kata-kata Puan Afifa Malina. “Kita tunggu sampai esok, Ifa. Jangan fikir negatif,” pesan Encik Iskandar yang cuba menyedapkan hatinya sendiri.
“Masa saya ajak dia lunch dengan saya, dia tanya awak dengan anak awak ada sekali ke… Dari nada suara dia saya dapat agak yang dia tak dapat terima awak dan anak awak. Bukannya awak tak cukup baik untuk saya, Is… tapi saya rasa Cartaz tak dapat terima ahli baru dalam keluarga kami.”
Encik Iskandar meneguk air suam di atas meja. Matanya dilarikan daripada memandang wanita di hadapannya. Hatinya sedikit kecewa melihat Puan Afifa Malina yang seolah-olah sudah berputus asa dengan hubungan mereka sedangkan selama ini mereka bahagia bersama.
Encik Iskandar sedar persetujuan Cartaz Amani amat penting buat Puan Afifa Malina. Wanita itu sudah berkali-kali memesan Encik Iskandar, jika Cartaz Amani tidak membenarkan dia berkahwin lain, wanita itu mahu Encik Iskandar lupakan dirinya.
Pun begitu, bukan mudah bagi Encik Iskandar untuk berbuat sedemikian. Dia bukanlah lelaki yang mudah jatuh cinta, yang mudah sukakan seseorang. Di saat hatinya tertarik dengan seorang wanita, ada pula halangan yang menghalang dirinya daripada mengecapi kebahagiaan.
Wajah Puan Afifa Malina yang tampak tertekan membuatkan Encik Iskandar berasa simpati pada wanita itu. Dia memaksa dirinya untuk tersenyum. Dia tidak mahu menambahkan beban yang ditanggung oleh Puan Afifa Malina.
“Jangan risau, Ifa. Saya faham situasi awak. Saya faham masalah yang awak hadapi sekarang. Okey… Saya… Saya akan buat apa yang awak suruh. Kita tunggu keputusan Cartaz. Kalau dia tak setuju, saya tak akan desak awak lagi. Saya akan terima keputusan anak awak dengan hati terbuka. Saya akan cuba lupakan awak, Ifa. Even though it’s hard.”
Tersentuh Puan Afifa Malina mendengar bicara lembut Encik Iskandar. Lelaki itu terlalu baik. Disebabkan itu, Puan Afifa Malina semakin tertekan kerana dia tidak sanggup melukai hati Encik Iskandar.
Sepanjang perkenalan mereka, banyak yang dia tahu tentang Encik Iskandar. Dia tahu tanggungjawab yang digalas oleh lelaki itu sehingga lelaki itu tidak pernah memikirkan kebahagian dirinya sendiri.
Encik Iskandar ketawa halus melihat wajah sedih Puan Afifa Malina. “Sudahlah, jangan sedih! Saya yang sepatutnya bersedih tahu… Awak jangan risaulah. Saya okey je dengan keputusan Cartaz. Kebahagiaan awak dan anak awak amat penting buat saya.”
“Sudah, sudah… Cuba senyum sikit. Saya tak suka tengok awak sedih macam ni,” pujuk Encik Iskandar yang cuba menceriakan semula suasana.
Hakikatnya, jauh di dasar hati Encik Iskandar, dia sedang terluka. Walaupun dia nasihatkan Puan Afifa Malina supaya tidak berfikir negatif, tetapi dirinya sendiri berfikir negatif. Dia dapat rasakan hubungannya dengan Puan Afifa Malina akan berakhir tidak lama lagi. Mungkin Puan Afifa Malina bukan jodohnya.
Buat masa sekarang, Encik Iskandar akan berusaha lagi, berusaha untuk mempertahankan hubungannya dengan meminta pertolongan daripada Tuhan yang Maha Esa.


Keesokan harinya seperti yang dijanjikan Puan Afifa Malina makan tengahari bersama anaknya di rumah. Keadaan di meja makan sedikit meriah dengan gelak tawa Cartaz Amani yang asyik bercerita. Puan Afifa Malina cuba mempamerkan wajah ceria di hadapan anaknya walaupun hatinya kini berdebar-debar. Keputusan Cartaz Amani amat penting buat dirinya.
“Terima kasih ibu untuk makan tengahari yang lazat ni. Okey, biar along yang kemas dan basuh pinggan mangkuk. Ibu mesti penat masak seorang diri kan... Sekarang, ibu rehat… Serahkan semuanya pada along,” kata Cartaz Amani dengan nada yang ceria.
Puan Afifa Malina melemparkan senyuman. Anaknya kelihatan hyperactive hari ini. “Untungnya ibu dapat anak yang rajin macam along ni… Kalau macam tu, ibu serahkan semuanya pada along. Kemas bersih-bersih ya. Biar berkilat dapur rumah kita ni.”
“Amboi, ibu… demand betul.” Cartaz Amani tertawa. “Sekarang ni, ibu pergi duduk kat depan, tengok tv. Kejap lagi along join ibu.”
Puan Afifa Malina hanya menurut. Kakinya terus melangkah meninggalkan Cartaz Amani di dapur. Di ruang tamu, Puan Afifa Malina berfikir cara untuk bertanya pada anaknya. Televisyen terpasang namun rancangan Melodi di televisyen langsung tidak menarik minat Puan Afifa Malina.
Sepuluh minit kemudian, Cartaz Amani muncul dari dapur. Gadis itu terus memandang ibunya. Perlahan-lahan dia mendekati ibunya.
“Lupalah… Hari ni ada Melodi,” tutur Cartaz Amani.
Dengan selamba gadis itu berbaring di sofa, kepalanya diletakkan di atas paha ibunya. Dia kemudian tersengih sambil memandang Puan Afifa Malina. “Dah lama tak bermanja dengan ibu,” kata Cartaz Amani bersama tawa.
Puan Afifa Malina turut tergelak melihat kelincahan anaknya. Rambut Cartaz Amani diusap lembut. “Anak ibu ni hyper sangat hari ni, kenapa?”
“Tak ada apa-apalah bu… Nak bermanja dengan ibu pun tak boleh ke?”
Hidung Cartaz Amani dicuit oleh Puan Afifa Malina. “Mestilah boleh. Apa salahnya anak ibu nak bermanja dengan ibu. Tapi ibu pelik tengok anak ibu yang hyperactive ni. Kejap, ibu nak teka… Anak ibu ni dah jatuh cinta dengan seseorang ya?”
 Tekaan Puan Afifa Malina membuatkan Cartaz Amani tergelak. “Ibu ni… Tak adalah. Along pun pelik kenapa hari ni along hyper sangat. Farah dengan Emma pun cakap tadi… sampai Emma halau along dari bilik dia.”
“Hah? Kenapa dia halau along?”
Cartaz Amani terkekek ketawa. “Waktu tu baru pukul 7.30 pagi tapi along dah buat bising kat bilik dia, suruh dia bangun… konon nak ajak breakfast. Along dah masak mee hoon goreng. Emma yang tengah sedap tidur, marahlah sebab along kacau tidur dia. Farah pula… Along paksa dia bangun awal untuk temankan along sarapan.”
“Hisy, anak ibu ni… Nakal betul. Kan dah kena halau.”
Cartaz Amani tersengih. Wajah ibunya dipandang lama. Sedari tadi dia perasan ibunya seolah-olah sedang memikirkan sesuatu dan seperti ingin berkata sesuatu dengannya. Secara jujurnya, dia dapat meneka apa yang bermain di minda ibunya.
“Do you have something to tell me, ibu?” soal Cartaz Amani sambil merenung wajah ibunya.
Puan Afifa Malina sedikit tersentak. Kemudian, dia tersenyum nipis. Tangannya masih bermain dengan rambut Cartaz Amani. Mulutnya seakan-akan terkunci, tidak bisa bersuara.
Cartaz Amani mengetap bibir. Dia bangun dari pembaringan. Cartaz Amani sedar dan tahu kenapa ibunya mengajak makan tengahari bersama-sama hari ini. Dia yakin ibunya inginkan jawapan daripadanya tetapi dia sengaja buat-buat tidak tahu.
 Kalau boleh, dia tidak mahu ibunya menyoal. Dia tidak mahu memberi sebarang jawapan kerana dia tahu jawapannya akan mengecewakan Puan Afifa Malina. Tetapi dia juga sedar dia tidak sepatutnya membuat ibunya tertanya-tanya.
Cartaz Amani menyentuh lembut tangan ibunya. Dia kemudian mengukir senyuman nipis. “Along tahu ibu nak tanya pasal keputusan along kan?”
Puan Afifa Malina terdiam. Lama kemudian dia mengangguk. Nafas ditarik dalam dan dihembus perlahan-lahan. Puan Afifa Malina cuba mencari kekuatan untuk mendengar keputusan anaknya. “Ibu nak tahu apa keputusan anak ibu. Along dah buat keputusan?”
Giliran Cartaz Amani pula yang membisu. Dia memandang hadapan. Tidak berani memandang ibunya. Dia pula yang terasa kekok, tidak tahu bagaimana harus dia memberitahu ibunya tentang kemelut yang melanda dirinya.
Dia masih lagi buntu. Masih keliru. Semuanya kerana lelaki miang itu. Jika lelaki miang itu bukan anak Encik Iskandar, pasti dengan mudah dia mengizinkan ibunya berkahwin lain.
Diam Cartaz Amani mengundang sebak di hati Puan Afifa Malina. Melihat wajah Cartaz Amani sudah cukup memberitahu Puan Afifa Malina jawapan anaknya. Dia memaksa dirinya tersenyum. Dia tidak mahu anaknya melihat kesedihan di wajahnya. Tidak mahu anaknya berasa tertekan dan rasa bersalah.
Bahu Cartaz Amani terus dipeluk oleh Puan Afifa Malina. “Along… walau apa pun keputusan along, ibu terima seadanya. Along jangan risau. Anak ibu ni tak setuju ya ibu kahwin lain?”
Cartaz Amani mengetap bibir lalu memandang ibunya. “Ibu tak kisah ke?” Soalan Puan Afifa Malina dibalas dengan soalan.
Puan Afifa Malina senyum nipis. “Ibu tak kisahlah sayang. Along insan yang penting dalam hidup ibu. Sangat penting. Ada along di sisi ibu sudah cukup. Along tak boleh terima ahli baru dalam keluarga kita ya?”
Cartaz Amani hanya mengangguk walau hakikat yang sebenarnya bukan dia tidak boleh terima ahli baru cuma dia tidak boleh terima Halifie.
“Betul ke ibu tak kisah ni? Ibu tak sedih?”
Puan Afifa Malina tergelak. “Tidaklah sayang… Ibu tak sedih. Ibu akan lagi sedih kalau ibu buat anak ibu sedih. Ibu nak anak ibu ni sentiasa happy. Ibu tak nak sebab ibu, along bersedih.”
Cartaz Amani terus memeluk ibunya sambil tersenyum gembira. “Terima kasih ibu.”
Lega Cartaz Amani. Terlepas satu bebanan. Sekarang, dia tidak perlu lagi berfikir tentang Halifie yang bakal menjadi abang tirinya. Ibunya pun nampak tidak kisah dengan keputusannya.
Namun, Cartaz Amani tidak sedar akan tekanan yang dialami ibunya yang sedaya upaya berlakon dan menyembunyikan perasaan sedihnya. Puan Afifa Malina sudah bersedia untuk kemungkinan ini.
Barangkali dia bukan jodoh Encik Iskandar. Pasti ada wanita lain yang sesuai dengan Encik Iskandar. Yang penting, Puan Afifa Malina akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Encik Iskandar. Itulah yang terbaik buat dirinya, Cartaz Amani dan Encik Iskandar.
Puan Afifa Malina sedar, kadang-kadang kita perlu berkorban untuk orang yang kita sayang. Demi anaknya, Puan Afifa Malina rela mengorbankan kebahagiaan dirinya sendiri. Inilah pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya.


3 comments:

pipvz devil said...

alahai sian plak kt ibu dia..cartaz nie..

aya said...

ala~ sedihnya~~~ TT.TT plis2 bagi la si cartaz ni ubah fikiran dya~~ TT.TT

einaz lynna said...

sedeyy yang.... bila anak xmemahami kehendak ibu... cartaz xrase macam pentingkan diri ke