Thursday, December 27, 2012

CSM : Mint 8



Dengan langkah yang lemah, Cartaz Amani melangkah menuju ke lif selepas mengunci motornya. Penat! Sungguh dia terasa penat. Bukan penat secara fizikal tetapi mentalnya penat. Mindanya letih. Letih memikirkan kata-kata ibunya sewaktu makan tengahari tadi. Semuanya berlaku dengan pantas. Dia tidak sangka.
Sejujurnya dia tidak sangka detik ini akan tiba. Saat di mana dia harus membuat pilihan untuk kebahagian ibu kesayangannya. Beberapa saat selepas menekan punat naiak, pintu lif terbuka. Dengan sisa tenaga yang ada, Cartaz Amani melangkah masuk ke dalam perut lif.
Sewaktu pintu lif ingin tertutup, satu tangan sasa menghalang. Cepat-cepat Cartaz Amani menekan punat buka. Mata Cartaz Amani terus membesar apabila melihat dua figura di hadapannya.  Dia mengundur ke belakang beberapa tapak secara spontan.
Halifie dan Haiza, gadis yang Cartaz Amani temui petang semalam. Yang buat Cartaz Amani terkejut, Halifie sedang mengendong Haiza di belakang badannya. Ya Allah, apa yang sedang berlaku?
Halifie hanya mampu mengeluh apabila sekali lagi bertemu Cartaz Amani di dalam lif. Stress juga Halifie apabila setiap kali nak naik lif atau turun lif, dia pasti bertemu Cartaz Amani. Macam tak ada orang lain pula. Halifie hanya mempamerkan muka bosan. Hari ini dia malas nak beramah mesra dengan sesiapa.
Halifie keletihan. Letih menguruskan Puan Melissa di hospital dan penat melayan karenah Haiza. Untuk mengembirakan Haiza, dia terpaksa mengikuti gadis itu berseronok di Genting Highlands. Terkejar-kejar Halifie dibuatnya. Dari hospital dia terpaksa pula bawa Haiza yang merengek-rengek mahu berseronok ke Genting Highlands.
Haiza begitu manja dengannya. Setiap permintaan Haiza akan dia cuba tunaikan selagi mampu kerana dia amat sayangkan Haiza. Haiza merupakan insan yang paling bermakna dalam hidupnya.
“Baby, abang penatlah… Baby tak boleh jalan sendiri ke?” tanya Halifie perlahan. Tak larat rasanya nak mengendong Haiza yang seberat 51 kg itu dibelakangnya.
Haiza mengeleng. Dia yang sedang memeluk Halifie dari belakang mendekatkan pipinya dengan pipi Halifie. “Baby penatlah… Seharian baby jalan dengan kasut tinggi ni tau. Lagipun, abang dah lama tak gendong baby…”
Haiza memandang gadis yang seakan menyorok di belakangnya. Dia terus tersenyum apabila melihat Cartaz Amani. “Hai, Cartaz… Meet you again,” ucap Haiza yang masih ingat lagi nama Cartaz Amani.
Cartaz Amani hanya mampu tersengih. Dia sedikit terperanjat apabila Haiza menegurnya. Tidak sangka gadis itu masih mengingati namanya sedangkan dia pun ingat-ingat lupa nama Haiza.
Halifie memalingkan wajahnya ke belakang, kemudian memandang Cartaz Amani seketika sebelum memandang ke hadapan semula. “Baby kenal dia ke?”
Laju kepala Haiza mengangguk. “Baby jumpa dia semalam. Dia jiran kita lah, bang. Opps, kasut baby jatuhlah abang. Ambilkan.”
Halifie mendengus. “Macam mana abang nak ambil? Mengada-ngadalah baby ni. Turun sendiri.”
Tanpa sedar, Cartaz Amani mengambil kasut tumit tinggi milik Haiza, kemudian diserahkan semula kepada Haiza. Halifie menjeling tindakan Cartaz Amani. Dia tersenyum sinis.
“Baik pula hati awak hari ni kan?” sindir Halifie bersahaja.
Haiza menampar bahu Halifie. “Abang… Apa cakap macam tu? Tak baik tau. Thanks ya Cartaz.”
“Sama-sama,” ucap Cartaz Amani perlahan.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Halifie cepat-cepat keluar. Sungguh, dia sudah tidak tahan mengendong Haiza, lalu dia menurunkan Haiza walaupun Haiza seakan tidak mahu melepaskan dirinya. Waktu itu, Cartaz Amani sudahpun jalan jauh ke depan.
“Dah dekat dah rumah kita. Jom, jalan sama-sama. Abang pimpin. Baby tu berat tau,” rungut Halifie.
Haiza mencebik. “Nanti abang nak gendong isteri abang macam mana? Baby yang kecil ni pun abang tak larat.”
Halifie menarik hidung Haiza. “Isteri abang, abang layan lain sikit. Special treatment. Mana boleh sama dengan baby.”
Haiza tarik muncung sedepa. Halifie hanya menggeleng melihat perangai Haiza yang masih kebudak-budakan. Lalu, dia memeluk bahu Haiza dan mereka sama-sama menuju ke rumah.

“Welcome home!” teriak Emma sebaik sahaja Cartaz Amani melangkah masuk ke dalam rumah.
“Kau dah kenapa, Cartaz? Muka kau macam nampak hantu je,” tegur Farah yang waktu itu sedang membuat air kopi di dapur.
Cartaz Amani melangkah ke sofa dan menghempaskan punggungnya sedikit kasar. Dia terus memandang Emma. Tudung di kepala ditanggalkan sedikit kasar. “Aku bukan nampak hantu. Apa yang aku nampak lagi worse dari nampak hantu tau!”
Farah cepat-cepat mengisi air kopi yang dibuatnya ke dalam mug untuk dia, Emma dan Cartaz Amani. Cerita panas ni! Kemudian, dia menatang dulang mendekati sofa. Dulang itu terus diletakkan ke atas meja lalu dia duduk bersebelahan Cartaz Amani. Waktu itu Emma juga sudah duduk di sofa.
“Jemput minum! Cartaz, kau nampak apa?” soal Farah sedikit teruja.
“Aku nampak Lifie gendong seorang perempuan dan perempuan tu ikut Lifie masuk ke dalam rumah Lifie. Semalam masa aku keluar rumah, aku nampak perempuan tu juga. Dia dengan selamba cakap dia duduk kat rumah sebelah kita ni. Maksudnya, Lifie dengan perempuan tu duduk sebumbung. MasyaAllah! Dia orang dah tak kenal dosa pahala ke?”
“Kau biar betul Cartaz…” kata Farah sedikit terkejut.
Ketawa Emma yang memenuhi ruang tamu membuatkan pandangan Cartaz Amani dan Farah terarah padanya. Emma tergelak sakan sehingga menekan-nekan perutnya. “Lawaklah kau orang ni!”
“Emma!! Ni bukan lawak tau! Kau ingat aku reka cerita ke?” marah Cartaz Amani yang sedikit geram.
Emma cuba menghentikan tawanya dengan menutup mulutnya. Terhinggut-hinggut badannya menahan tawa. “Kau ni Cartaz, suka je fikir bukan-bukan… Nama budak perempuan tu Haiza kan?”
“Macam mana kau tahu?”
Emma tergelak lagi. “Dahlah… tak payah nak risau… Dia orang tak buat dosa pun.”
“Kenapa kau cakap macam tu, Emma? Kau tahu sesuatu yang kami tak tahu ke?” Farah mengajukan soalan.
Kepala Emma dianggukkan. “Perempuan yang kau nampak tu… adik Lifie la. Baru balik dari Korea.”
Sebaik sahaja Emma menghabiskan bicaranya, Farah terus melepaskan tawa. Emma ikut sekali ketawa. Bergema ruang tamu rumah Farah dek gelakan dari mereka berdua. Cartaz Amani termalu sendiri. Pun begitu, dia sedikit geram apabila kawan-kawannya mentertawakannya.
“Manalah aku tahu.” Cartaz Amani mempertahankan dirinya bersama bibir yang terjuih.
“Itulah… jangan nak buat andaian. Lain kali cuba ringan mulut sikit, tanya siapa perempuan tu… Kawan dia ke, girlfriend dia ke, tunang ke, adik ke… Ini tak… selamba je kau buat spekulasi sendiri,” tegur Emma.
Farah berdeham beberapa kali. “So, case closed! Hmm, Cartaz… apa surprise ibu kau?”
Cartaz Amani terus terdiam. Dia teringat semula kata-kata ibunya. Wajahnya terus berubah. Reaksi Cartaz Amani membuatkan Farah dan Emma saling berpandangan. Kemudian, masing-masing mengangkat bahu.
Farah mencapai mug di atas meja. Dengan penuh hati-hati, dia meneguk air kopi yang dibancuhnya. Kemudian, dia menjeling Cartaz Amani yang masih mendiamkan diri.
“Kau dah kenapa Cartaz? Muram pulak! Jangan-jangan betul tak andaian si Farah… Ibu kau suruh kahwin. Tapi yang pasti bukan dengan Lifie.” Emma tertawa di hujung tawanya.
“Wah, aku dah bau nasi minyak ni,” usik Farah bersahaja, cuba mengundang respon dari Cartaz Amani.
Lambat-lambat kepala Cartaz Amani dianggukkan. Lemah sahaja anggukkannya. Farah dan Emma yang sebenarnya hanya bergurau, terlopong. Tidak percaya!
“Beb, biar betul? Ibu kau suruh kau kahwin ke? Dengan siapa? Betul tak andaian kedua aku semalam? Ya Allah, seriously aku tak sangka. Aku main-main je semalam.” Farah bersuara lantang akibat terkejut.
Cartaz Amani menumbuk lembut bahu Farah. “Bukan akulah… Tapi ibu aku…,” beritahu Cartaz Amani lemah.
Sekali lagi, Farah dan Emma terkejut. Ini berita sensasi. Emma yang berada sedikit jauh dari kedudukan Cartaz Amani terus bangun dan duduk betul-betul di sebelah Cartaz Amani.
“Biar betul? Maksudnya kau akan dapat ayah baru? Kau dah jumpa bakal ayah kau?” Emma menyoal dengan nada teruja.
Cartaz Amani tersenyum nipis sambil mengangguk kecil. Air kopi diminum perlahan-lahan.
“So, macam mana?” Emma bertanya lagi.
“Dia okey. Kelakar. Aku baru je kenal dia sekali tapi dia dah buat aku selesa berbual dengan dia. Well, frankly speaking, dia ada ciri-ciri ayah yang baik. Ini apa yang aku perhatikan masa kami dinner sama-sama malam semalamlah.”
“Apa nama dia?” Giliran Farah pula mengajukan soalan.
“Iskandar.”
“Handsome tak?”
Sekali lagi, Cartaz Amani tersenyum nipis. Cartaz Amani melepaskan keluhan. Farah turut melepaskan keluhan. “So, apa masalah kau sekarang? Kenapa kau tak happy?”
Cartaz Amani meraup wajahnya. “Entahlah… Aku tak tahu. Aku keliru. Aku… aku sebenarnya tak sangka ibu aku akan berkahwin lain. Tak ada angin, tak ada ribut, ibu aku cakap dia nak kahwin dengan Uncle Is.”
Emma menepuk lembut peha Cartaz Amani. “Mungkin kau perlukan masa untuk terima semua ni. Ibu kau cakap apa? Bila dia nak kahwin dengan Uncle Is?”
“Entah… ibu aku cakap, kalau aku tak suka, dia tak akan kahwin. Dia dengan Uncle Is dah suka sama suka. Cuma sekarang ni, ibu nak persetujuan aku. Macam tu juga Uncle Is. Kalau aku setuju, mereka kahwin. Kalau tak, mereka pun akan kekal menjadi kawan.”
“Ibu aku bagi aku tempoh seminggu untuk beri jawapan pada dia. Kalau aku tak cakap apa-apa lepas seminggu ni, dia assume yang aku tak setuju. Sekarang ni, aku serba salah. Kalau aku tak setuju, aku rasa kesian pulak kat ibu dengan Uncle Is. Tapi… kalau ibu aku kahwin lain, macam mana dengan aku? Aku takut ibu aku sisihkan aku,” luah Cartaz Amani.
“Cartaz… cuba kau fikir. Ibu kau masih fikirkan kau. Dia nak restu dari kau. Kalau tak, dia tak akan kahwin. Itu buktinya dia sayangkan kau. Kau tu penting buat ibu kau. Tak ada maknanya ibu kau nak sisihkan kau,” balas Farah.
Emma dah Farah memandang ke arah Cartaz Amani yang tampak keliru. “Kau fikirlah masak-masak Cartaz. Ini masa depan kau, masa depan ibu kau… kebahagiaan ibu kau. Mungkin kau perlu berkorban untuk buat ibu kau happy. Sekarang ibu kau dah suruh kau buat keputusan, so… kau kena buat keputusan yang bijak. Rasional!” nasihat Emma ikhlas.
“Betul kata Emma tu Cartaz. Kalau susah sangat, minta je petunjuk dari Allah. Buat solat istikharah.”
Cartaz Amani memaksa dirinya untuk tersenyum manis. “Thanks kawan.”

Jam loceng di atas meja kecil berdekatakan dengan katil dijeling oleh Cartaz Amani yang tika itu baru keluar dari bilik mandi. Dia mendengus. Asal hari Isnin je dia akan terlewat bangun. Tergesa-gesa Cartaz Amani menyarung seluar slack bewarna kelabu. Hari ini dia memutuskan untuk berkemeja sahaja ke kelas memandang ada kameja yang sudah digosok di dalam almari. Dia sudah tiada masa untuk menggosok baju kurung.
“Haisy, asal tak boleh zip ni? Aku dah gemuk ke?” tanya Cartaz Amani kepada dirinya sendiri.  
Sedaya upaya Cartaz Amani cuba menzipkan seluarnya. Bibirnya mengukirkan senyuman apabila dia berjaya. Kemudian, dia terus bersiap ala kadar. Dengan langkah yang tergesa-gesa, Cartaz Amani keluar dari rumah dan menuju ke lif.
Cartaz Amani mengetap bibir. Dia lagi, rungut hatinya. Cartaz Amani berlagak selamba. Wajah Halifie yang sedang menunggu pintu lif terbuka, tidak dipandangnya.  Beberapa saat kemudian, pintu lif terbuka dan Cartaz Amani terus melangkah masuk.
Halifie tersenyum sinis melihat kesombongan Cartaz Amani. Dia mengikuti langkah Cartaz Amani dengan langkah yang bersahaja walaupun waktu itu jam sudah menunjukkan jam 8.50 pagi. Mereka sudah dua puluh minit terlewat ke kelas.
Bibir Cartaz Amani diketap. Dia berasa seram sejuk tiba-tiba. Mana tidaknya, dari ekor matanya dia perasan Halifie sedang merenungnya bersama senyuman nakal. Terus dia memalingkan wajahnya ke sisi.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?”
Makin lebar senyuman Halifie. “Tak boleh ke? Mata saya. Suka hati sayalah nak pandang mana.”
Cartaz Amani mendengus kasar. Dia memandang ke hadapan semula. Namun, dia semakin rasa tidak selesa. Berderau darah Cartaz Amani tatkala dia menyedari Halifie sedang mendekatinya.
Kakinya terus berundur ke belakang sehingga tubuhnya sudah terlanggar dinding lif. Matanya membesar memandang Halifie yang masih lagi tersenyum nakal. Fikiran Cartaz Amani blank! Tidak dapat memikirkan apa-apa.
“Awak nak buat apa ni?” tanya Cartaz Amani kedengaran takut-takut sewaktu Halifie meletakkan kedua-dua tangannya di dinding lif, mengunci pergerakkannya.
Halifie tidak menjawab soalan Cartaz Amani. Malah dia makin mendekatkan wajahnya ke wajah Cartaz Amani sehingga dia dapat merasakan hembusan nafas Cartaz Amani yang tidak teratur.
Cartaz Amani semakin ketakutan. Dadanya berdebar-debar. Entah mengapa dia tidak dapat memikirkan langkah yang harus dia lakukan. Dia buntu! Fikirannya kosong. Matanya terus dipejamkan apabila Halifie makin mendekatinya.
“Zip seluar awak terbuka,” bisik Halifie perlahan, rapat ke telinga Cartaz Amani.
Spontan Cartaz Amani membuka matanya. Cepat-cepat dia menzipkan seluarnya. Ya Allah, malunya dia! Sungguh! Dia tak tahu mana dia nak letak muka. Malu sangat! Mukanya sudah merah menahan malu.
Halifie melepaskan tangannya yang melekap di dinding sambil menghamburkan tawa yang kuat. Gembira hatinya kerana dapat mengenakan gadis itu. Idea nakalnya muncul sewaktu ternampak zip seluar gadis itu terbuka sedikit tetapi dia bukannya nampak apa-apa pun. Melihat gadis itu yang sedang dilanda perasaan malu, membuatkan Halifie semakin galak ketawa.
Cartaz Amani memandang tajam ke arah Halifie. Pandangannya tajam dan seolah-olah berapi. Detik itu pintu lif sudah pun terbuka namun, Cartaz Amani masih lagi memandang Halifie dengan pandangan yang sama.
Pandangan Cartaz Amani yang tajam bagaikan pisau membuatkan Halifie berhenti ketawa. Dia memandang gadis di hadapannya dengan selamba. Pun begitu sengihan masih tersungging di bibirnya.
Pang!!
Tanpa rasa bersalah, Cartaz Amani menampar pipi Halifie dengan sekuat hati. Badan Halifie yang menghalangnya terus ditolak. Kemudian, dia meninggalkan Halifie yang sedang menahan sakit. Dengan mata yang berair, Cartaz Amani berlari menuju ke motornya. Halifie sudah melampau. Lelaki itu telah mempermainkannya.
Di dalam lif, Halifie terkedu. Dia melekapkan tangannya ke pipi yang terasa pijar. Pasti ada kesan tapak tangan di pipinya.  Tidak semena-mena, timbul rasa bersalah dalam dirinya. Dan tanpa sedar, dia terus keluar untuk mengejar Cartaz Amani. Namun, dia sudah terlewat apabila dia ternampak Cartaz Amani sudah pergi dengan motornya.
Halifie memejamkan matanya. “Aku dah keterlaluan ke?”
Rambut Halifie dikuak ke belakang. Wajahnya kemudian diraup kasar. Dia menjeling jam dipergelangan tangan. Sudah jam sembilan pagi. Hilang moodnya untuk ke kelas. Lantas Halifie memutuskan untuk pulang semula ke rumah.             

 Senyuman semanis gula terukir di bibir Haiza. Wajah wanita di hadapannya ditatap dengan penuh rasa gembira dan bersyukur. Wanita itu masih nampak muda walaupun sudah berusia 40 tahun. Cantik! Haiza suka melihat wajah wanita itu, tenang sahaja dia rasa. Akhirnya, dapat juga dia bertemu jodoh ayahnya.
Kemudian, pandangannya dihalakan pula pada ayahnya. Dia rasa sungguh bersyukur kerana ayahnya bakal menamatkan zaman bujangnya.  Inilah impian dia dan abangnya selama ini. Ingin melihat ayah mereka mendirikan rumah tangga. Ingin melihat ayah mereka mencapai kebahagiaan untuk dirinya sendiri. Lelaki itu sudah banyak berkorban untuk mereka.
“Amboi… tersenyum lebar dari tadi,” usik Halifie yang duduk di sebelah Haiza.
Haiza masih lagi senyum. “Mestilah… Auntie Ifa ni cantiklah. Sudahlah cantik, baik dan ramah pulak tu. Kalau macam ni, Haiza luluskan ayah untuk berkahwin dengan Auntie Ifa. Ayah dengan Auntie Ifa macam pinang dibelah dua,” puji Haiza ikhlas.
Ketawa besar Halifie dan Encik Iskandar mendengar bicara Haiza. Puan Afifa Malina pula malu-malu. Tidak sangka begitu mudah anak Encik Iskandar menerima dirinya.
“Baby ni… buat Auntie Ifa malu je. Tengok tu, dah merah pipi Auntie Ifa,” tegur Halifie.
Puan Afifa Malina tersenyum. Secara jujurnya, dia menyenangi sikap anak-anak Encik Iskandar. Pada pendapat wanita itu, Haiza seorang anak perempuan yang manja. Walaupun baru mengenalinya, gadis itu tanpa segan silu sudah bermanja dengannya dan Halifie merupakan seorang abang yang baik. Sepanjang mereka menjamu selera sebentar tadi, Halifie rajin melayan karenah Haiza.
“Sayangnya tak dapat jumpa dengan anak auntie. Mesti dia cantik macam auntie,” ucap Haiza.
Sememangnya daripada tadi, suara Haiza sahaja kedengaran. Encik Iskandar dan Halifie sekadar menjadi pendengar. Mereka sengaja biarkan gadis itu memanapoli pertemuan mereka malam itu.
“Haiza ni terlalu memuji auntie. Naik segan auntie dengan Haiza. Hmm, maaflah. Anak auntie tak dapat datang. Ada discussion dengan kawan katanya. Lain kali, auntie bawa dia jumpa Haiza dan Lifie ya.”
“Okey… Auntie janji tau! Berapa umur dia auntie?”
“InsyaAllah. Umur dia 20 tahun. Tua setahun dari Haiza kan?”
Haiza mengangguk laju. “Wah, tak sabarnya nak dapat kakak baru.”
Tiba-tiba, muncul satu idea di fikiran Puan Afifa Malina apabila teringatkan sesuatu. Kemudian, dia memandang lelaki di sebelahnya. “Is, baru saya ingat… Jumaat ni birthday anak saya.”
Encik Iskandar menjungkitkan keningnya. “Jumaat ni? Eh, samalah dengan Lifie. Birthday Lifie Jumaat ni jugak! Kan, Lifie?”
Halifie tersenyum sambil mengangguk. Dia berasa sedikit terharu kerana Encik Iskandar mengingati tarikh lahirnya. Tidak seperti papa yang tersalah tarikh. Halifie teringat kejadian dua bulan lepas di mana tiba-tiba sebuah kereta Volkswagen Polo tiba di rumahnya.
Rupanya kereta itu pemberian Encik Hamdan untuk hari jadinya. Papanya terawal dua bulan. Jauh di sudut hatinya, dia berasa sedikit kecewa dengan sikap kurang prihatin papanya.
“Great! Apa kata kita buat birthday party untuk anak kita?” soal Encik Iskandar sambil memandang Puan Afifa Malina.
Puan Afifa Malina sedikit tersentak apabila mendengar Encik Iskandar menyebut ‘anak kita’. Dia diserbu rasa bahagia. “Bagus juga idea tu. Awak nak buat kat mana?”
Encik Iskandar berfikir sebentar. “Nak buat kat rumah atau kat sini?”
“Kat sini!” Segera Haiza menjawab. “Buat party tu dekat restoran ni je. Ayah kena tutup restoran ni on Friday untuk party abang dan anak Auntie Ifa. Eh kejap, siapa nama anak Auntie Ifa? Lupa pulak nak tanya.”
Puan Afifa Malina tergelak kecil melihat respon daripada Haiza. “Cartaz Amani.”
Halifie yang sedang meneguk Jus Tembikai hampir tersedak. Dia terbatuk-batuk kecil. Tidak semena-mena dia teringatkan seorang gadis yang juga bernama Cartaz. Dan peristiwa dia dilempang pagi tadi terlayar di mindanya.
Dahinya sedikit berkerut. Adakah Cartaz yang dikenalinya dan Cartaz Amani anak Auntie Ifa merupakan orang yang sama? Cepat-cepat Halifie menggelengkan kepalanya. Tak mungkinlah. Mungkin nama mereka sahaja yang sama.
Haiza tersenyum nakal melihat abangnya yang terbatuk. Dia juga teringat kejadian pagi tadi di mana abangnya pulang semula ke rumah bersama kesan tapak tangan di pipi. “Nak tahu tak… pagi tadi, ada orang kena tampar,” beritahu Haiza sambil menjeling abangnya.
Halifie terus memandang Haiza dengan mata yang terjengil. Tidak sangka adiknya akan membuka mulut tentang peristiwa pagi tadi.
“Kena tampar??” soal Encik Iskandar yang jelas terperanjat. “Dengan siapa?”
“Seorang gadis yang comel!”
Encik Iskandar menggelengkan kepalanya. “Apa yang Lifie dah buat?”
Halifie menggaru dahinya. Dia berasa sedikit malu dengan Puan Afifa Malina. “Tak ada apa-apalah ayah. Salah faham je.”
“Mesti Lifie dah buat sesuatu yang keterlaluan ni. Kalau tak, tak kan dia tampar Lifie. Dah minta maaf kat dia?”
“Belum lagi,” jawab Halifie bersama sengihan. Haiza yang berada disebalah dijeling tajam. Habislah Haiza lepas ni.
Jelingan tajam Halifie, sedikit pun tidak menggerunkan Haiza. Gadis itu masih beriak selamba. Mulutnya kembali becok bercerita itu dan ini. Mereka berbual sehingga restoran ditutup. Kemudian, Haiza mengikut abangnya pulang ke kondominium. Puan Afifa Malina pula dihantar pulang oleh Encik Iskandar.

3 comments:

pipvz devil said...

sgt best cite nie..xsabo nk tunggu n3 strusnye.. :)

pipvz devil said...

sgt best..i like cite ni..xsabo plak nk tunggu n3 strusnye..hehehe..zuera karya hang mng best laaa..

Zuera said...

hi pipvz devil..
welcome back...
sy masih ingat awak...

thanks sbb suka cerita ni.
ok, will update soon dear

btw, novel ini akan berada di pasaran selewat2nya ujung bulan depan ;)