Wednesday, December 26, 2012

CSM : Mint 7


Pagi Sabtu, Cartaz Amani, Emma dan Farah bergotong-royong mengemas rumah. Hari Sabtu dan Ahad sahaja yang mereka ada untuk mengemas rumah. Sapu sampah, mop lantai, mengelap… semuanya dilakukan bersama-sama.
Hari ini juga menjadi sejarah apabila buat pertama kalinya mereka masak bersama-sama untuk makan tengahari. Lauknya hanya udang masak lemak cili padi dan sayur campur. Minuman pula disediakan oleh Emma, jus mangga.
“Pukul berapa kau nak balik rumah kau, Cartaz?” tanya Emma sewaktu mereka sedang menjamu selera di meja makan.
“Lepas Zohor…”
Cartaz Amani memandang ke arah kawan-kawannya yang duduk bertentangan dengannya. Tangan kirinya menongkat dagu. “Aku peliklah dengan ibu aku ni…”
“Kenapa?” soal Farah.
Cartaz Amani menyedut minumannya. “Ibu aku asyik call aku je… Okey, aku tahu ni tak pelik. Tapi setiap kali ibu aku call, suara dia happy semacam je. Aku tak pernah dengar suara ibu aku seceria tu sejak abah aku meninggal.”
“Lepas tu, dia asyik ingatkan aku je untuk balik rumah minggu ni. Ibu aku cakap dia ada kejutan untuk aku. Kau rasa apa kejutan tu eh? Aku macam tak sedap hatilah.”
Farah dan Emma tersengih mendengar bicara Cartaz Amani.
“Suspennya… Kejutan apa ibu kau nak bagi?” tanya Emma.
“Aku tanya kau, kau tanya aku pulak!”
Sebaik membalas soalan Emma, Cartaz Amani menyuap suapan terakhir ke mulutnya, lalu dikunyah perlahan-lahan. Farah yang sudah habis makan meletakkan tangan kirinya ke dagu sambil mengusap-gusap dagunya, gaya orang sedang berfikir. Matanya merenung ke siling. Mindanya mula membayangkan kejutan yang Puan Afifa Malina ingin lakukan.
Beberapa saat kemudian, kepalanya digelengkan dan kemudian dia tergelak pula. Gelakannya mengundang kerutan di dahi Cartaz Amani dan Farah.
“Kau dah kenapa?” Seretak, Cartaz Amani dan Emma menyoal. Pelik dengan Farah yang tiba-tiba sahaja gelak.
Farah menutup mulutnya dengan tangan kiri. Dia menyeringai. “Kau nak tahu apa yang aku fikirkan?”
Laju Emma dan Cartaz Amani mengangguk.
“Kejap aku nak basuh tangan.”
Cartaz Amani mendengus. Dia dan Emma turut bangkit dan membuntuti Farah, menuju ke singki bersama pinggan. Selepas masing-masing membasuh pinggan mereka dan juga tangan, mereka duduk semula di meja makan.
“Okey, listen… Andaian pertama aku… Kau balik rumah kau, lepas tu ibu kau sambut kau dengan gembira bersama senyuman semanis gula, kissing hugging, kemudian ibu kau cakap dengan penuh kasih sayang, Cartaz sayang… ibu ada belikan kereta baru untuk Cartaz.”
“Waktu tu, instead of kau peluk ibu kau sebab terharu, kau tarik muncung sedepa sambil hentak-hentak kaki macam budak kecil dan cakap kat ibu kau… Ibu!! Sampai hati ibu.. Ibu sengaja nak ejek Cartaz kan? Ibu tahu kan Cartaz takut nak drive. Kemudian, kau pun masuk bilik. Merajuklah kononnya,” cerita Farah bersama gelakkan.
Emma bantai gelak sebaik sahaja mendengar andaian Farah. Andaian yang mengarut. Sempat pula si Farah ni mengutuk Cartaz Amani yang tidak berani memandu kereta padahal sudah dapat lesen. Macam mana dia dapat lesen pun, Emma tak tahu.
Cartaz Amani membuat muka bosan. Tidak ambil hati pun dengan kutukan Farah. “Mengarut! Andaian kau tak boleh dipakai langsung. Tak ada maknanya ibu aku nak belikan aku kereta. Kau ingat aku akan drive? Jangan haraplah… Kalau dah ada andaian pertama, mesti ada andaian kedua… so, apa andaian kedua kau?”
Farah terus tersengih-sengih apabila membayangkan andaian keduanya yang bermain di minda sebentar tadi. “Andaian kedua aku… kau balik rumah, ibu kau sambut dengan gembira, lepas tu ibu kau kenalkan kau dengan kawan dia yang dah lama tak jumpa. Kawan ibu kau tu lelaki dan ada seorang anak lelaki yang kacak. Sangat kacak.”
“Kemudian, ibu kau dengan kawan dia rancang nak satukan korang. Itulah kejutan ibu kau untuk kau malam ni. Ibu kau nak kahwinkan kau dengan anak kawan dia. Kau pun dengan perangai gila kau, bantah sekeras-kerasnya rancangan gila ibu kau. Siap ugut ibu kau lagi.”
“Tiba-tiba, kawan lelaki ibu kau masuk hospital. Dekat hospital, kawan ibu kau buat permintaan kat anak dia supaya bernikah dengan kau. Anak lelaki dia yang handsome tu pun terpaksa setuju padahal ayah dia buat-buat sakit je. Bukan sakit betul pun.”
“Akhirnya, kau pun terpaksa kahwin. Suprisingly, suami kau tu budak UiTM Shah Alam dan dia ialah Halifie. Kebetulan… Kau yang memang benci tahap gaban kat Lifie, buat syarat-syarat perkahwinan. Awal perkahwinan korang, korang asyik gaduh je, macam anjing dengan kucing. Kalau tak bertengkar, tak sah.”
“Lepas tu… dah lama-lama, kau jatuh cinta pada Lifie. Lifie pula dah lama sukakan kau tapi dia tak nak mengaku. Dan endingnya, kau hidup dengan Lifie happily ever after. Eh, kejap… tak, tak… tak boleh. Senang sangat. Before kau dapat kebahagian kau, rumah tangga kau akan diganggu oleh Emma. Emma akan...” Cerita Farah yang panjang lebar terhenti apabila Emma menampar peha Farah sedikit kuat.
“Ouch… Sakitlah wei. Main kasar nampak,” marah Farah sambil mengosok-gosok pahanya. Farah sedikit bengang apabila Emma menghentikan ceritanya. Dia sedang seronok berangankan Cartaz Amani dan Halifie sebagai suami isteri.
“Mengarutlah kau ni. Asal kau nak babitkan Lifie aku pulak!” marah Emma.
“Too much drama, my friend… Over betul andaian kau. Tolonglah… Tulah, aku cakap. Otak kau ni dah terpengaruh dengan drama kat tv dan novel sampai tak dapat bezakan antara realiti dan fantasi. Kau ingat hidup ni semudah dalam drama tu?”
Farah memasamkan wajahnya. Mulutnya dimuncungkan. Tangannya pula memeluk tubuh. “Aku bayangkan je… mana tahu betul andaian aku tu.”
“Cukup, cukuplah Cik Farah ya… Andaian kau satu pun tak boleh pakai. Mengarut! Tak payahlah kau fikirkan andaian ketiga eh. Buang masa kau je. Malam ni, aku tahu juga kejutan ibu aku tu.”
“Hmm, cuba kau tengok muka Emma tu, muncung panjang sedepa. Tulah, yang kau kaitkan si Lifie tu, kenapa?” Tambah Cartaz Amani.
Wajah Emma dipandang Farah bersama sengihan. Farah terus memeluk Emma. “Alahai, Emma sayang… Janganlah marah. Aku main-main jelah. Si Cartaz ni kan benci si Lifie. Aku saja je nak kenakan dia. Janganlah marah.”
“Aku tak marah tapi aku geram!”
Farah tertawa lagi. Cartaz Amani hanya mampu tersenyum nipis melihat sikap Farah yang hyperactive hari ini.
“Tapi kan Emma… Hmm… Err…”
“Kau ni dah kenapa? Tergagap-gagap pula,” sergah Emma.
Tersengih-sengih Farah apabila disergah Emma. “Hmm, kalau kan… Kalau lah si… Aku cakap kalau tau… KALAU…”
“Iyalah… aku tahu. Kalau… So, kalau apa?” Hilang sabar Emma melihat Farah yang seperti takut-takut ingin bersuara.
“Kalau si Cartaz ni bercinta dengan Lifie, apa yang kau nak buat? Kau akan rampas dia juga ke macam yang kau cakap tu?”
Hampir tersembur air yang diminum oleh Cartaz Amani. Seboleh mungkin dia menghalang dirinya dari menyemburkan air ke wajah Farah yang sedang tersenyum kambing. Seketika kemudian, dia terus memandang Farah bersama mata yang terjengil.
“Kau dah gila ke apa?” marah Cartaz Amani dengan nada yang kuat dek terkejut dengan kata-kata Farah.
“Sengallah kau Farah. Dah terang-terang si Cartaz ni benci dekat Lifie. Takkanlah Cartaz nak bercintan cintun dengan Lifie,” sokong Emma.
Farah menggaru kepalanya perlahan. “Sebab tu aku kata KALAU! Kau orang yang sengal.”
Emma menyandarkan badannya ke belakang. Rambutnya yang panjang diselak ke belakang. “Hmm, okeylah… let me answer your question even though aku tahu benda tu tak akan terjadi.”
Senyuman kecil terhias di bibir Farah sementara Cartaz Amani pula sudah buat muka bosan. Tidak suka topik yang diutarakan.
“Aku memang suka Lifie. Muka dia serius sama dengan Blue Lan. Memang aku pernah cakap yang aku akan pastikan dia jadi milik aku walaupun dia tu dah berpunya. Tapi bila kenal si Lifie tu… Entahlah. Aku macam tak yakin boleh dapat dia. Tapi… aku akan tetap berusaha.”
“Berbalik pada soalan kau, Farah… kalau Cartaz bercinta dengan Lifie… hmm, I’m not so sure. Mungkin aku akan lepaskan Lifie untuk Cartaz atau mungkin aku akan jadi perempuan jahat yang cuba pisahkan dia dengan Lifie,” jawab Emma dengan penuh bersahaja.
Farah memandang Cartaz Amani dan Emma silih berganti. “Cuaknya aku dengar.”
Emma terus menghamburkan tawanya.

Usai menunaikan solat Zohor, Cartaz Amani bersiap-siap untuk pulang ke rumah Puan Afifa Malina di Damansara sambil menyanyi kecil. Tidak lama kemudian, dia keluar dari bilik bersama beg galas dan terus ke bilik Farah dan Emma untuk mengucapkan selamat tinggal.
Kemudian, tanpa membuang masa, Cartaz Amani terus keluar dari rumahnya. Sewaktu dia sedang mengunci pintu rumah, matanya terpandangkan seorang gadis memakai evening dress paras lutut melangkah keluar dari rumah sebelah, rumah Halifie. Cartaz Amani sedikit terpaku. Matanya membesar memandang gadis itu. Gadis itu pula menghadiahkan senyuman mesra buat Cartaz Amani, kemudian, terus berlalu meninggalkan Cartaz Amani.
Lambat-lambat Cartaz Amani mengatur langkah menuju ke arah lif. Gadis tadi yang berjalan di hadapannya, dipandang lagi dengan seribu satu pertanyaan di minda. Cartaz Amani mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Hari tu, dia lihat Halifie ingin menaiki lif bersama gadis di Restoran Wong Solo. Hari ini pula, gadis lain keluar dari rumah Halifie.
“You tak nak masuk ke?” tegur gadis tadi yang sudah pun berada di dalam perut lif.
Cartaz Amani yang bagaikan baru tersedar dari lamunan yang panjang terus masuk ke dalam perut lif. Dia tersengih-sengih memandang gadis tadi. “Sorry…”
Gadis tadi melakarkan senyuman segaris. “You tinggal kat sini ke?”
Cartaz Amani hanya mampu mengangguk. Dia masih lagi kebingungan.
“Kita ni jiranlah… I duduk kat sebelah rumah you. Nama I Haiza.”
Cartaz Amani seakan terkedu mendengar bicara gadis itu. Biar betul? Gadis itu tinggal di situ. Maksudnya, Halifie dan gadis yang bernama Haiza tinggal sebumbung. Cartaz Amani terus beristighfar panjang. Tidak sangka Halifie dan gadis yang bernama Haiza sanggup melanggar larangan Allah. Tidak semena-mena, Cartaz Amani teringatkan Emma. Emma harus tahu hal ini.
“So… you?”
“Hah?” Cartaz Amani terpingga-pingga.
Haiza tergelak kecil. “Nama you siapa?”
“Cartaz…”
“Hmm, nice name! First time I dengar nama Cartaz. Okeylah, I pergi dulu. See you soon!” Haiza terus keluar apabila pintu lif terbuka.
Cartaz Amani mengurut dadanya. Sungguh, dia terkejut. Dan sekarang dia amat risaukan kawan baiknya. Emma harus tahu. Baru sahaja dia ingin naik semula lif untuk kembali ke rumahnya, telefon bimbitnya berdering.
“Assalamualaikum, ibu…”
“Waalaikumussalam . Along kat mana? Masih kat rumah ke?”
“Ha… Along baru nak gerak.”
“Nak ibu jemput tak? Ibu baru keluar pejabat ni.”
“Tak apalah bu. Along balik rumah naik motor je.”
“Hati-hati ya, Along… Cepat sikit pulang. Jangan singgah mana-mana.”
Cartaz Amani melangkah menuju ke motornya sambil berbual dengan ibunya. Cartaz Amani cuba mengorek rahsia tentang kejutan malam ini di telefon dan perbualan itu membuatkan gadis itu lupa tentang agendanya sebentar tadi.
“Okey, okey… Along tunggu malam ni. Ibu ni suka je buat along suspen. Hmm, okeylah ibu. Along nak gerak dah ni. Assalamualaikum.”

Terpegun Cartaz Amani melihat ibunya yang sedang menantinya di dalam kereta. Wajah ibunya dipandang lama. Matanya kemudian dilarikan ke arah dress muslimah yang tersarung pada tubuh ibunya.  
“Lambatnya along bersiap,” rungut Puan Afifa Malina sambil mengundurkan kereta.
“Sorry… Ibu cantik sangat malam ni. Buat along makin nak tahu apa kejutan ibu malam ni. I’m so curious, ibu… Sampai suruh along pakai dress ni. Apa yang specialnya ibu?”
Puan Afifa Malina menguntum senyum. Dengan penuh berhemah, dia memandu kereta Personanya menuju ke sebuah restoran. “Along jangan fikirkan sangat. Tak ada yang special pun malam ni. Ibu saja je cakap macam tu. Sebenarnya, ibu nak kenalkan along dengan kawan ibu. Anak dia pun ada sekali.”
Cartaz Amani yang sedang memandang bulan dari tingkap kereta sedikit terkejut. Anak? Andaian kedua Farah bermain di minda. Cartaz Amani menelan air liur. Ibu nak suruh akukahwin dengan anak kawan dia ke, fikir Cartaz Amani dalam hati. Kepala Cartaz Amani menggeleng laju. Tak mungkin! Tak mungkin!
“Ibu nak along kenal dulu dengan dia… Dia kawan ibu. Kami satu tempat kerja,” beritahu Puan Afifa Malina bersama senyuman meniti di bibir.
Semakin berdebar Cartaz Amani dibuatnya. Tangannya sudah berpeluh. Andai kata andaian kedua Farah menjadi kenyataan, Cartaz Amani akan bantah sekeras-kerasnya. Dia tidak mahu berkahwin pada usia yang muda. Lagi-lagi dengan lelaki yang dia tidak kenal. Dan sebab utama dia akan menentang agenda ibunya ialah dia sedang menunggu seseorang. Seseorang yang amat dicintai dan dirindui.
Beberapa minit kemudian, kereta Puan Afifa Malina memarkirkan kereta di hadapan sebuah restoran mewah. Cartaz Amani memandang restoran di hadapannya tanpa kelip. “Bu, kita nak makan kat sini ke?”
Puan Salina hanya mengangguk sambil membetulkan tudungnya. Cartaz Amani memandang ibunya. “Macam mahal je makanan kat sini… Ibu tengok tu… semua kereta mewah-mewah. Yang keluar masuk restoran tu pun macam orang kaya je…”
“Hisy, along ni… suka je fikir bukan-bukan. Dah, jom… kawan ibu dah tunggu kat dalam. Malam ni, kita makan dengan dia ya…”
Puan Afifa Malina mencapai tangan Cartaz Amani lalu memimpin anaknya melangkah masuk ke dalam restoran. Sesekali, Cartaz Amani menjeling ibunya sekilas. Nyata ibunya bersikap pelik. Langkah mereka terhenti di sebuah meja.
Meja itu sedikit tersorok dari meja-meja yang lain. Alas mejanya pun lain. Cartaz Amani memerhati sekeliling dan dia terkedu tatkala matanya memandang ke arah suatu papan tanda yang tertulis VIP ROOM.
Mata Cartaz Amani kemudian terarah pada seorang lelaki segak lingkungan 40-an.  Apabila menyedari lelaki itu menghadiahkan senyuman buatnya, Cartaz Amani terus tersenyum nipis. Dia kemudian mengikuti langkah ibunya, mendekati lelaki itu.
“Hai, Is… Inilah anak saya, Cartaz Amani. Panggil Cartaz je.” Puan Afifa Malina kemudian memandang anaknya. “Along, ini kawan ibu kat tempat kerja. Iskandar. Along boleh panggil Uncle Is,” beritahu Puan Afifa Malina bersama senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.
Cartaz Amani cuba memaniskan wajahnya. Dia menghadiahkan sebuah senyuman buat Encik Iskandar.
“Inilah Cartaz ya… Comel budaknya. Cantik macam ibunya juga,” puji Encik Iskandar kedengaran ikhlas.
Puan Afifa Malina tersipu malu mendengar pujian Encik Iskandar. Cartaz Amani pula menjadi pemerhati.
“Duduklah… Cartaz jangan segan-segan dengan uncle,” kata Encik Iskandar ramah.
Cartaz Amani tersenyum. Kemudian, dia duduk di sebelah Puan Salina. Saat itu, Cartaz Amani benar-benar kekok. Dia tidak biasa dengan situasi ini. Tambah pula mereka berada di restoran yang kelihatan mewah. Err, silap. Bukan kelihatan mewah tetapi memang ternyata mewah.
Encik Iskandar menepuk tangannya sekali. Tidak lama kemudian, muncul seorang pelayan lelaki sambil membawa menu. Cartaz Amani memandang Encik Iskandar tanpa kelip. Wow! Cool! Tepuk tangan je pelayan datang. Kalau aku kat kedai, kena panggil banyak kali baru pelayan sampai. Memang macam ni kut layanan kat restoran mewah, detik hati Cartaz Amani.
Cartaz Amani membuka menu di hadapannya. Matanya sedikit membesar melihat harga makanan di restoran ini. Mahal sungguh. Nasib baik bukan dia yang akan membayar bil. Sudah tentu Encik Iskandar yang membayarnya. Patutlah ibunya tak kisah makan di restoran mewah.
“Awak nak order apa, Ifa? Macam biasa?” tanya Encik Iskandar sambil memandang Puan Afifa Malina di hadapannya.
Puan Afifa Malina menganggukkan kepalanya. Cartaz Amani menelan air liur. Macam biasa? Mesti ibu dah banyak kali makan kat sini, fikir Cartaz Amani dalam hati.
“Along nak makan apa?”
Cartaz Amani tersengih, kemudian dia mendekatkan wajahnya ke wajah Puan Afifa Malina. “Ibu order apa? Along tak tahu nak order apa. Mahal sangat,” bisik Cartaz Amani.
Puan Afifa Malina tersenyum. “Ibu orderkan ya?”
Cartaz Amani terus mengangguk. Lebih mudah jika ibunya yang memesan untuknya. Lagipun, ibunya tentu tahu apa yang dia suka dan tak suka.
“Is, awak orderkan set biasa tigalah.”
Encik Iskandar terus memesan makanan. Tidak lama kemudian, pelayan itu meninggalkan mereka.
“Eh, saya tak nampak pun anak awak. Mana dia?” tanya Puan Afifa Malina sedikit pelik. Sedari tadi dia mencari-cari kelibat anak Encik Iskandar.
Cartaz Amani turut menanti jawapan dari Encik Iskandar. Dia juga ingin tahu kenapa anak Encik Iskandar tiada di situ sedangkan tadi ibunya cakap anak Encik Iskandar turut serta makan malam ini.
“I’m sorry Ifa… Mungkin saya kena aturkan hari lain untuk awak berjumpa dengan dia. Baru sekejap tadi dia call. Ada hal penting nak uruskan. Sorry ya, Ifa.” Encik Iskandar memohon maaf seikhlas hati. Dia tahu sepatutnya malam ini keluarganya dan keluarga Ifa bertemu.
Puan Afifa Malina mengukir senyuman. “It’s okay… Maybe some other time.”
Encik Iskandar membalas senyuman Puan Afifa Malina. Dia berasa lega kerana wanita itu memahaminya. Kemudian, matanya beralih ke arah Cartaz Amani yang tampak malu-malu. Encik Iskandar terus memancing minat gadis itu untuk berbual. Hakikatnya, dia ingin mengenali Cartaz Amani dengan lebih dekat.
Cartaz Amani yang mula-mula rasa kekok, dapat membiasakan diri apabila dirinya dilayan dengan mesra oleh Encik Iskandar. Kadang-kadang dia dan ibunya tertawa mendengar lawak Encik Iskandar.
Mereka terus berbual sehingga makanan yang dipesan habis dimakan. Cartaz Amani sudah dapat sesuaikan diri dengan suasana. Namun, terselit juga tanda tanya di benaknya. Apa kejutan yang ibunya maksudkan?

Halifie meraup wajahnya. Lama. Badannya disandarkan di kerusi yang berdekatan dengan katil Puan Melissa. Wajah Puan Melissa dipandang dengan pandangan yang sukar diungkapkan. Wajah Halifie mempamerkan riak kosong.
Namun, jauh di dasar hati lelaki itu, dia sedang bersedih, berduka. Rambut Halifie dikuak ke belakang. Hatinya sedikit lega apabila doktor memberitahu keadaan Puan Melissa sudah stabil.
Halifie menarik nafas dalam kemudian dihembus perlahan-lahan. Kemudian, dia bangkit dan keluar dari wad di mana Puan Melissa ditempatkan. Sebaik sahaja dia keluar, matanya memandang Haiza yang sedang memeluk tubuh. Wajah gadis berusia 19 tahun itu masam mencuka. Bibirnya muncung sedepa.
Senyuman nipis terukir di bibir Halifie. Dia mendekati gadis itu lalu duduk di sebelahnya. Hidung Haiza dicuit mesra. Namun, perbuatan Halifie tidak memberi kesan pada Haiza. Dia masih lagi seperti tadi. Dengan bersahaja, Halifie memeluk bahu Haiza dan kepala gadis itu dibawa rapat ke dadanya.
“I’m sorry,” bisik Halifie pada telinga Haiza.
“I’m so sorry.”
Bibir Haiza diketap. Hatinya tersentuh mendengar suara lirih Halifie. Tidak jadi dia ingin memarahi lelaki itu. Lagipun dia tahu bukan salah Halifie. Wanita di dalam wad itu yang salah. Argh, disebabkan dia, rosak agenda mereka malam ini.
Haiza mencuri pandang ke arah Halifie yang sedang memandang ke hadapan dengan pandangan kosong. Bagi Haiza, abangnya terlalu berlembut hati dengan wanita itu dan Haiza yakin Halifie sedang bersedih sekarang ini. Kesian Haiza melihat Halifie.
Tangan Halifie yang terletak di atas pahanya diusap lembut. Lama mereka berkeadaan begitu. Tiada bicara yang terluah. Masing-masing melayan perasaan.
“Jom balik!” ajak Haiza setelah lama mereka berkeadaan sebegitu.
Halifie mengangguk setuju. Kemudian, dia dan Haiza berjalan beriringan menuju ke kereta.

No comments: