Wednesday, December 19, 2012

CSM : Mint 3



Langkah Cartaz Amani diatur sedikit tergesa-gesa apabila menyedari dia sudah terlewat untuk bertemu Farah dan Emma di Kafe Kasturi. Semalam, mereka sudah berjanji untuk makan sama-sama pada jam enam petang.

Bersama langkah yang diatur laju menuju ke arah motor, Cartaz Amani menjeling jam di pergelangan tangan. Ah, sudah sepuluh minit dia lewat. Pasti Emma akan membebel kepadanya.

Bukannya Cartaz Amani sengaja lewat, tetapi dia singgah ke kedai buku yang terletak berhampiran dengan Perpustakaan Tun Abdul Razak 1 (PTAR 1) untuk membeli buku-buku yang akan digunakan pada semester ini.

Tangan Cartaz Amani pantas menyeluk ke poket seluar untuk mengambil telefon bimbitnya apabila dia terasa getaran pada telefon bimbit itu. Tanpa melihat nama pemanggil, Cartaz Amani terus menjawab panggilan.

Dia tahu pasti Emma atau Farah yang menelefonnya. Tepat seperti yang dijangkanya. Sebaik sahaja dia melekapkan telefon bimbit ke telinga, dia mula mendengar bebelan dari Emma. Sedar akan kesilapan diri, dia hanya mampu menadah telinga.

“Okey, okey… Aku tahu aku lambat. Sorry. Kau orang orderlah dulu. Orderkan aku punya makanan sekali. Aku nak Nasi Goreng Kampung. Air… biar aku order sendiri nanti. Kalau makanan...”

Papp!!

Tanpa sebarang amaran, bahu Cartaz Amani dilanggar seseorang membuatkan bicaranya terhenti, telefon bimbit Sony Ericcson Hazel miliknya jatuh menyembah tanah dan begitu juga buku-buku yang baru dibeli.

Kuat juga perlanggaran itu. Mana tidaknya jika lelaki yang melanggarnya turut berjalan laju, sama sepertinya. Kepala Cartaz Amani terus terarah kepada tubuh yang melanggarnya tadi.

Seorang lelaki turut memandangnya dengan rasa bersalah. Namun, wajah itu tiba-tiba berubah riak. Seperti terkejut. Dan tanpa sepatah kata, lelaki itu terus berlalu dengan wajah selamba.

Cartaz Amani terlopong. Mulutnya membentuk huruf ‘O’. Dahinya sedikit berkerut. Pelik dengan sikap lelaki itu. Terselit juga perasaan marah dan geram.

Sudahlah tidak menolong dia mengemaskan buku-buku yang dah terkeluar dari plastik, lelaki itu sedikit pun tidak meminta maaf. Lagak lelaki itu seperti dia tidak bersalah padahal dia yang langgar Cartaz Amani.

Dengan pantas dan sedikit kasar, Cartaz Amani menyumbatkan semula buku-buku ke dalam plastik dan mengambil telefon bimbitnya. Kemudian, dia mengejar lelaki tadi yang sudah pun menjauh. Apabila kedudukannya sudah dekat, dia terus halang perjalanan lelaki itu. Dia berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu sambil mendepakan tangannya.

Lelaki yang tidak bermoral itu sedikit terkejut dengan tindakan Cartaz Amani. Namun, riak wajah lelaki itu masih selamba. Keningnya ternaik seolah-olah bertanya tujuan Cartaz Amani menghalang jalannya. Wajah lelaki itu sungguh menjengkelkan.

Cartaz Amani menarik nafas dalam. Nafasnya sedikit tidak teratur akibat lariannya tadi. Dia sedikit tercunggap-cunggap. Tidak lama kemudian, dia mula bersuara dengan nada sinis. “Assalamualaikum… Awak langgar saya tadi.”

Lelaki itu mengetap bibir. Namun, entah mengapa Cartaz Amani dapat rasakan lelaki itu sedang tersenyum sinis di dalam hati. Lelaki itu memandang sekeliling sebelum memandang Cartaz Amani semula. “Sorry… Are you talking to me?” soal lelaki itu sambil menunjukkan jari ke arah diri sendiri.

Cartaz Amani mengukirkan senyuman nipis, sedikit jelek dengan sikap lelaki biadap di hadapannya. “Ya, saya sedang bercakap dengan awak… Saya bagi salam tadi, dosa kalau awak tak jawab…”

Lelaki di hadapan Cartaz Amani menfokuskan pandangannya pada Cartaz Amani yang belagak bagus. “Waalaikumussalam. So, apa masalah awak?” tanya lelaki itu acuh tak acuh. Padahal dia tahu kenapa gadis itu mengejarnya.

“Masalah saya… Tadi awak langgar saya, sampai buku-buku saya jatuh, sampai handphone saya jatuh. Dan awak pergi macam tu saja tanpa minta maaf. Itu masalah saya.”

Lelaki di hadapan Cartaz Amani mengurut batang hidungnya. “So, awak nak saya buat apa?”

Sebuah jelingan tajam dihadiahkan buat lelaki biadap itu. “Saya nak awak minta maaf pada saya.”

Lelaki itu terdiam seketika. Tidak lama kemudian, dia tergelak. Gelak lelaki itu kedengaran sinis sekali seolah-olah mengejek Cartaz Amani. “Saya minta maaf pada awak? Kenapa pula saya kena minta maaf dengan awak?”

“Yelah, awak dah langgar saya tadi. Takkan tu pun nak kena ajar?”

“Oh… minta maaf? Saya memang diajar untuk minta maaf kalau saya buat salah, tapi…saya tak diajar untuk minta maaf pada orang yang sombong macam awak!” kata lelaki itu kasar sambil menuding jarinya ke arah Cartaz Amani.

Cartaz Amani terkedu. “What?? Saya sombong.”

Gadis itu mula tidak puas hati. Bengang pula apabila dikatakan sombong. Lelaki itu yang melanggarnya. Apa kes pula dia dikatakan sombong?

“Ya! Awak sombong. Dua hari lepas, awak hampir jatuh, tapi saya selamatkan awak. Dan awak tak cakap terima kasih pun. Malah awak panggil saya jantan miang. Mungkin awak dah lupa apa yang berlaku dua hari lepas. Tapi saya tak akan lupa, minah sombong!”

Lelaki itu tergelak sinis sebelum menyambung bicaranya. “Eh, awak ingat saya nak sangat ke peluk awak, hah? Dah lah awak jeling-jeling saya, senyum sinis pada saya sebelum awak jatuh… Saya tak tahulah apa masalah awak dengan saya. Yang penting, saya tahu awak sombong. Dan sebab itu, saya rasa saya tak perlu nak minta maaf pada perempuan sombong macam awak. Fair enough!”

Lelaki itu terus berlalu pergi setelah menghabiskan ayatnya. Sempat juga dia menghadiahkan senyuman jelingan tajam kepada gadis itu. Puas hatinya dapat membalas dendam, membalas rasa sakit hatinya dua hari lepas. Secara jujurnya, dia tidak sangka akan bertemu semula dengan gadis sombong itu lagi.

Cartaz Amani terpempan. Kata-kata lelaki di hadapannya cuba dicerna sebaik mungkin. Dia yang masih kebingungan cuba memahami kata-kata lelaki tadi.

Oh Tuhan, dia Blue Lan Emma rupanya. Lelaki miang yang dia jumpa sewaktu makan ayam penyet di Restoran Wong Solo dua hari lepas. Sungguh, dia tidak cam tadi. Kata-kata lelaki tadi terngiang-ngiang di telingannya.

Kurang ajar!! Dia panggil aku sombong! Hisy, jantan miang tu memang suka naikkan darah aku! Bentak Cartaz Amani dalam hati.



“Cuba teka aku jumpa siapa tadi?” Cartaz Amani mengajukan soalan dengan nada kasar pada Farah dan Emma sebaik sahaja dia menghempaskan punggungnya ke kerusi. Marahnya masih membara.

Emma yang sedang menyedut minuman Honey Dew yang dipesannya hampir tersedak apabila Cartaz Amani tiba-tiba sahaja muncul di depannya dengan wajah yang masam. Pasti ada yang tidak kena. Farah pula mengerutkan dahi. Pandangannya ditumpukan pada wajah Cartaz Amani.

“Siapa?” soal Farah dengan nada bersahaja.

“Even aku tak tahu siapa yang kau jumpa, tapi aku yakin seyakinnya, budak tu dah buat kau sakit hati. Betul tak?” teka Emma.

Cartaz Amani merapatkan kerusinya ke meja. Dengan selamba, dia menyambar minuman Emma lalu disedut air itu dengan rakus, ingin menghilangkan dahaga dan juga rasa sakit hati.

Emma hanya mampu melihat sahaja minumannya yang hampir habis. Nampak gayanya, terpaksa dia memesan air lain. Tanpa membuang masa, Emma terus memanggil seorang pelayan yang kebetulan sedang berjalan berdekatan dengan meja mereka.

“Kau nak air apa, Cartaz?” tanya Emma.

“Milo Ais.”

Emma terus membuat pesanan setelah pelayan yang dipanggil menghampiri meja mereka.

 “Aku jumpa Blue Lan kau!”

“What?? Kat mana? Macam mana kau jumpa dia?” Dek rasa terkejut, Emma mengajukan soalan bertubi-tubi.

Cartaz Amani mendengus kasar. “Kat Menara SAAS.”

“Wow!! Itu maknanya dia budak UiTM juga kan?” Emma bertanya lagi dengan nada teruja. Terbeliak matanya.

Cartaz Amani membuang pandang. Dia malas nak pandang wajah Emma yang jelas teruja dengan berita yang dia sampaikan. Sedangkan, detik ini hatinya berasa begitu sebal dengan lelaki yang dikatakan seiras dengan Blue Lan itu.

“Apa lelaki tu buat kat kau?” soal Farah selamba tanpa rasa takut. Perasaan ingin tahu membuatkan dia berani bertanya.

Nasi Goreng Kampung yang sudah terhidang di depan mata Cartaz Amani menaikkan nafsunya untuk makan. Soalan Farah dibiarkan tidak berjawab buat seketika. Tanpa menghiraukan dua pasang mata memandangnya, Cartaz Amani mula menjamah nasinya.

Faham dengan perangai Cartaz Amani, Farah dan Emma membiarkan sahaja. Mereka turut menjamah makanan masing-masing.

“Kau nak tahu, dia langgar aku masa aku tengah cakap dengan kau orang dalam phone. Dan sebab dia langgar aku, buku-buku aku jatuh, handphone aku pun jatuh sekali. Aku tahulah handphone aku ni tak canggih mana, tapi yang aku geram, dia boleh blah macam tu je… dengan muka yang kerek dia. Minta maaf pun tak padahal dia yang langgar aku. Jalan kat situ punyalah besar. Entah-entah dia sengaja nak langgar aku.” Cartaz Amani mula bercerita.

“Owh, patutlah tiba-tiba talian terputus. Kita orang ingat handphone kau habis bateri,” ucap Farah.

Emma mengecilkan matanya. Jari telunjuknya diletakkan di hujung bibir.  Dengan nada sedikit suspens, Emma bersuara, “Knowing you, aku tahu kau tak akan lepaskan dia macam tu aje. Apa yang kau buat?” Kening Emma ternaik sedikit apabila dia menyoal Cartaz Amani.

Senyuman sinis terukir di bibir Cartaz Amani. “Of course aku tak akan lepaskan dia macam tu je. Aku kejar dia. Then aku suruh dia minta maaf. Kau tahu apa dia cakap kat aku?”

Emma jungkit bahu. “Tapi mesti kata-kata dia buat kau sakit hati kan?”

“Dia cakap… dia tak nak minta maaf pada orang sombong macam aku. Psycho!! Dia panggil aku sombong. Dia tak puas hati sebab aku panggil dia jantan miang dan tak cakap terima kasih masa dia peluk aku…”

“Kononnya dia selamatkan aku dari jatuh terlentang kat atas lantai. Sengal punya jantan. Serius, aku tak cam pun muka dia. Aku tak ingat pun dia lelaki miang yang ambil kesempatan kat aku. Aku tak ingat wei… Bila dia cakap, baru aku ingat pasal Blue Lan Emma.”

Emma melepaskan gelak. Tawanya yang kuat membuatkan Cartaz Amani semakin geram. “Cerita aku tak kelakar, okey!”

Farah menepuk bahu Emma dengan tujuan ingin menyuruh kawannya berhenti ketawa. Wajah Cartaz Amani yang masam mencuka membuatkan dia rasa saat ini bukan saat yang sesuai untuk gelak walaupun hakikatnya dia pun ingin tergelak mendengar cerita Cartaz Amani.

Pada pandangan Farah, memang patut lelaki tu cakap macam tu. Salah Cartaz Amani juga sebab berlaku biadap sewaktu lelaki itu membantunya.


Di sebuah banglo mewah, dua orang lelaki sedang leka makan malam sambil berbual mesra. Hidangan malam itu seperti biasa disediakan oleh Mak Lijah, isteri kepada Pak Hadi merangkap pembantu rumah yang setia berkhidmat lebih dari sepuluh tahun.

Encik Iskandar memandang Halifie yang sudah selesai menjamu selera. “Lifie, ayah ada hal nak cakap sikit. Lepas ni kita berbual kat taman, ya.”

“Macam serius je bunyinya ayah. Hal apa tu?”

“Adalah… Kejap lagi ayah beritahu. Kak Lijah, nanti bawakan White Coffee ke taman ya,” pinta Encik Iskandar ternampak Mak Lijah yang baru keluar dari dapur.

“Baik, Is,” balas Mak Lijah mesra.

Hakikatnya, Mak Lijah dan suaminya, Pak Hadi memang mesra dengan Encik Iskandar sekeluarga. Encik Iskandar baik orangnya.

Halifie bangkit dari kerusinya. “Kalau macam tu, Lifie tunggu kat luar dulu. Cepat sikit, ayah. Lifie tak sabar nak tahu hal yang ayah nak sampaikan.”

Senyuman nipis menghiasi bibir Halifie. Dia mula mengatur langkah ke taman. Dalam hati, dia sudah mengagak apa yang bakal diberitahu ayahnya. Mungkin apa yang disyaki selama ini betul.

Sejak beberapa bulan yang lalu, Halifie dapat melihat perubahan sikap ayahnya. Kelakuan ayahnya persis seorang lelaki dilamun cinta. Serius! Mungkin, ayahnya sudah jumpa jodohnya. Pernah juga beberapa kali Halifie mengusik, namun ayahnya selalu menafikan. Mungkinkah hari ini Encik Iskandar sudah bersedia untuk berterus-terang?

Deheman seseorang dari belakang membuatkan Halifie memalingkan kepalanya. Dia tersengih sambil memandang Encik Iskandar yang duduk di sebelah kanannya. Tidak lama kemudian, Mak Lijah muncul bersama dulang di tangan.

“Jemput minum, Is, Lifie… Mak Lijah masuk dalam dulu.”

Kata-kata Mak Lijah dibalas dengan senyuman oleh kedua-dua lelaki yang sedang bersantai di taman.

Sebaik sahaja Mak Lijah berlalu, Halifie menepuk tangan. Wajahnya tampak gembira. Dia mendekatkan kerusinya ke meja, ingin merapatkan kedudukannya dengan Encik Iskandar.

“So, ayah… Apa yang ayah nak beritahu Lifie?” Jelas nada teruja pada suara Halifie.

Encik Iskandar melepaskan tawa melihat reaksi Halifie. “Kenapa excited semacam je nie?”

“Mestilah excited… Lifie tahu ayah nak sampaikan good news. Betul tak?” teka Halifie dengan nada yang sama.

Anggukan di kepala Encik Iskandar membuatkan Halifie tersenyum lebar. Yes!! Dia sudah agak! Semakin teruja Halifie dibuatnya. Berdebar-debar pula dia menantikan bicara seterusnya seperti ingin mengambil keputusan SPM.

Encik Iskandar menggelengkan kepalanya. “Memanglah ayah nak sampaikan good news tapi… ayah pelik lah tengok Lifie ni. Excited semacam je.”

“Ayah… cepatlah… Beritahu Lifie. Lifie tengah tunggu ni,” gesa Halifie.

Gesaan Halifie membuatkan Encik Iskandar mengukirkan senyum nipis. Dengan lagak selamba, dia menghirup minuman yang disediakan oleh Mak Lijah. Sengaja dia melambatkan masa, ingin membuat Halifie panasaran.

“Ayah cuma nak cakap company ayah baru je dapat projek 10 juta,” kata Encik Iskandar dengan nada bersahaja.

Hah?? Berubah terus wajah Halifie. Jika sebentar tadi, muka Halifie manis macam gula tetapi sekarang masam macam cuka. Tekaannya salah. Ayahnya cuma nak cakap pasal perniagaannya yang baru dapat projek sepuluh juta. Hampa betul hati Halifie.

“Hah… Kenapa pula ni? Masam je tiba-tiba. Tak suka bila company ayah dapat projek besar?”

Bibir Halifie terjuih. Dia menghirup air seketika. “Suka… Siapa tak suka. Murah rezeki ayah. Alhamdulillah.”

“Kalau suka, kenapa muka tu masam? Tadi excited… sekarang tak excited pulak.”

Halifie menggaru kepalanya. “Tak adalah… Tadi Lifie ingat ayah nak cakap pasal hal lain. Rupanya nak cakap pasal company. Ayah, ayah… macamlah tak boleh cakap masa makan tadi. By the way, congratulation, ayah! Bisnes ayah makin kukuh. Tapi Lifie nak nasihat satu perkara. Lifie nak...”

“Lifie nak ayah luangkan masa untuk diri ayah sendiri kan? Cari jodoh ayah kan? Ayah dah hafal dah nasihat Lifie tu,” potong Encik Iskandar bersama gelakan kecil.

Halifie turut tergelak. “Ayah ni… Lifie serius tau. Ingat Lifie main-main ke?”

“Yelah, yelah… Ayah tahu Lifie serius. What if ayah kata ayah mungkin dah jumpa jodoh ayah?” soal Encik Iskandar sambil memandang tepat ke wajah Halifie. Keningnya ternaik sedikit.

“YES!!!” jerit Halifie sambil mengenggam tangannya. Wajahnya bertukar ceria semula. Halifie membalas pandangan Encik Iskandar. “Siapa ayah? Who’s the lucky woman?”

Encik Iskandar melepaskan tawa kuat. Hatinya tercuit melihat reaksi anaknya. “Lifie, ayah cuma cakap ayah mungkin dah jumpa dengan jodoh ayah. Mungkin!”

“Sudahlah ayah. Buang jelah perkataan mungkin ayah tu. Dari gaya ayah, Lifie yakin dia jodoh ayah. Cepatlah, beritahu Lifie pasal dia.”

Encik Iskandar mengerutkan dahi. “Dari gaya ayah? Apa maksud Lifie?”

Halifie tersengih. “Lifie dah dapat agaklah yang ayah sedang dilamun cinta. Bila Lifie tanya, ayah nafikan. Mana ada konon! Hmm… Tadi, Lifie ingat ayah nak cakap pasal hal ni. Tu yang Lifie excited terlebih.”

Sekali lagi taman itu bergema dengan tawa Encik Iskandar. “Memang itu pun yang ayah nak cakap. Tujuan asal ayah suruh Lifie tunggu ayah kat sini sebab nak cakap pasal jodoh ayah ni tapi ayah tengok Lifie macam dah tahu je, ayah sajalah nak kenakan Lifie.”

“Hisy, ayah ni. Permainkan Lifie pulak! Tak baik tau tipu Lifie.”

“Mana ada ayah tipu. Memang betul pun company ayah baru je dapat projek 10 juta.”

“Yelah, yelah ayah… Sekarang jangan nak ubah topik. Beritahu Lifie pasal jodoh ayah. Tell me everything. Nama dia, umur dia, kerja dia, mana ayah jumpa dia, kenapa ayah suka dia… Tell me ayah! Lifie tak sabar ni. Akhirnya, ayah jumpa juga dengan jodoh ayah!”

“Banyaknya soalan… Okey, ayah jawab mana yang mampu je ya. Nama dia Ifa. Umur dia 40 tahun, muda setahun dari ayah. Dia janda, suami dia meninggal dunia sebab accident. Ada seorang anak perempuan. Dia senior manager di syarikat ayah.”

Halifie mengoyak senyum. “Syarikat ayah? Serius?”

Encik Iskandar mengangguk. “Tapi ayah tak pernah perasan pun. Kami jumpa waktu dia langgar kereta ayah. Beberapa kali dia hubungi ayah untuk bayar ganti rugi kereta. Then, suddenly ayah dapat tahu dia pekerja ayah. But, dia dah tahu ayah ni bos dia. Big boss. Cuma dia sengaja tak nak cakap dia tu pekerja ayah.”

“Macam mana ayah boleh tahu?”

“Jumpa kat ofis.”

“Wow!! Menarik juga kisah cinta ayah ni. Bila nak kenalkan dia dengan Lifie?”

“One fine day. Nanti ayah aturkan dinner.”

Senyuman Halifie semakin melebar. “Syukur, Alhamdulillah… Gembira betul Lifie bila ayah cakap ayah dah jumpa jodoh ayah. Macam mana ayah boleh jatuh cinta dengan dia?”

“Apa Lifie ni… Malulah ayah. Dah tua-tua nak bercinta. Ayah cuma nak beritahu Lifie yang ayah dah jumpa jodoh ayah. Ayah tak ada niat pun nak kongsi kisah cinta ayah dengan Lifie.”

Halifie menarik muka masam. “Kedekutlah ayah ni…”

“Nantilah… Lain kali ayah cerita…”

“Bila??”

“Bila Lifie dah jumpa jodoh Lifie,” jawab Encik Iskandar selamba.

Halifie menepuk dahi. “Alamatnya lambat lagi lah ayah oi…”

Tertawa Encik Iskandar mendengar respon Halifie.  “Hmm, Lifie ada jenguk mama?” soal Encik Iskadar ingin tahu, sekaligus ingin mengubah topik perbualan. Malu pula bila berbicara lebih-lebih tentang perasaannya.

Kecerian di wajah Halifie hilang apabila Encik Iskandar menyoalnya tentang mamanya. “Ada, minggu lepas,” jawab Halifie acuh tak acuh.

“Dia apa khabar? Sihat?”

“Hmm… dia masih macam dulu. Tak berubah. Sudahlah ayah… Malas Lifie nak cakap pasal mama. Spoil je mood Lifie. Apalah ayah ni. Orang tengah gembira pasal jodoh dia, dia boleh pulak cakap pasal mama.”

Encik Iskandar menarik cuping telinga Halifie. “Tak baik tau cakap macam tu. Dia kan mama Lifie. Dia yang lahirkan Lifie.”

“Ya, ya… Lifie tahu. Kalau ikutkan perasaan, Lifie malas nak ambil tahu pasal dia. Dia bukannya kisah pasal Lifie pun. Tapi sebab dia mama Lifie lah, Lifie ambil berat pasal dia.”

“Hmm, ayah… Lifie ingat esok Lifie pindah balik ke rumah sewa Lifie. Semester baru dah mula. Senang sikit Lifie nak ulang alik dari rumah ke U (universiti).”

“Hisy, awalnya… Siapa nak temankan ayah nanti?”

“Alah, mengada-ngadanya. Macam tak biasa pulak. Tak lama lagi adalah orang lain temankan ayah.”

“Siapa?”

Halifie mencebik. “Buat-buat tak tahu pulak. Jodoh ayahlah!”

Dan serentak, ketawa mereka bergabung memecahkan suasana malam yang sunyi.




A/N : Novel ini akan berada di pasaran pada Januari 2013. 

1 comment:

einaz lynna said...

xsabar nak dapatkan...