Sunday, December 30, 2012

CSM : Mint 10



Sebaik sahaja acara memotong kek tamat, Cartaz Amani meninggalkan majlis yang masih lagi meriah. Perlahan-lahan, gadis itu berjalan menyusuri sebuah lorong kecil yang sedikit sunyi di restoran itu. Dia berasa sesak nafas berada di tempat tadi.
Matanya sedikit teruja melihat taman mini yang berada di sebelah kirinya. Kaki gadis itu terus melangkah ke situ. Punggung Cartaz Amani dilabuhkan di atas kerusi kayu berwarna coklat gelap. Matanya leka memerhati air terjun buatan di sudut taman itu. Sebuah keluhan berat Cartaz Amani lepaskan. Kasut tumit tingginya ditanggalkan.
Walaupun semua yang terjadi sukar untuk Cartaz Amani, tetapi dia masih boleh tersenyum dan bergembira bersama kawan-kawan dan ibunya, meraikan ulang tahun kelahirannya.  Namun, kegembiraannya dirampas sewaktu acara memotong kek sebentar tadi.
Semuanya kerana dia terpaksa berdiri rapat di sebelah lelaki yang dibencinya sewaktu memotong kek hari jadi. Siapa lagi kalau bukan si Halifie. Sungguh, Cartaz Amani sukar bernafas sewaktu berdiri rapat dengan Halifie.
Lagi-lagi bila dia terdengar ada orang memujinya dengan Halifie. Kata mereka, dia dan Halifie tampak sepadan seperti pinang dibelah dua. Oh tolonglah… hampir termuntah Cartaz Amani mendengarnya. Dan sebab itu, Cartaz Amani cepat-cepat meninggalkan majlis sebaik sahaja acara itu tamat.
Hanya Tuhan sahaja yang tahu bertapa terseksanya dia berpura-pura tersenyum dan berlakon ceria di hadapan para tetamu terutamanya Encik Iskandar dan Puan Afifa Malina. Dia sedar dan dia tahu dia harus menjaga air muka ibunya. Dia tidak seharusnya menconteng arang ke muka ibunya.
Cartaz Amani mengeluh lagi. Dia mengurut batang lehernya yang terasa letih. Mindanya tiba-tiba terfikir tentang permintaannya untuk berkahwin lain. Argh, kusut! Cartaz Amani buntu. Dia benar-benar dalam dilemma. Haruskah dia membenarkan ibunya berkahwin dengan Encik Iskandar? Bisakah dia menerima Halifie sebagai abang tirinya?
Untuk menerima Haiza bukanlah satu masalah bagi dirinya cuma dia berasa sangat sukar menerima Halifie dalam hidupnya. Wajah Cartaz Amani diraup perlahan-lahan.    
Deheman seseorang membuatkan Cartaz Amani mendongakkan wajahnya ke arah suara itu. Wajahnya terus dipalingkan. Dengan wajah yang bosan, Cartaz Amani memandang semula ke arah air terjun. Beberapa ekor ikan laga di dalam kolam lebih menarik minatnya dari melihat wajah orang yang berdeham tadi.
Halifie tersenyum segaris melihat respon Cartaz Amani yang kurang senang dengan kehadirannya. Perlahan-lahan, dia berjalan mendekati gadis itu lalu duduk sedikit jauh dari gadis itu.
“Happy birthday…,” ucap Halifie perlahan sambil meletakkan bungkusan hadiah di atas bangku yang diduduknya lalu menolak bungkusan itu mendekati Cartaz Amani.
Cartaz Amani tidak memberi sebarang respon. Buat seketika, suasana sepi menemani mereka. Cartaz Amani masih lagi leka melihat ikan-ikan yang berenang di dalam kolam kecil. Halifie pula memandang hadapan ke arah pokok-pokok bunga yang menghiasi taman mini sambil mindanya ligat berfikir cara untuk meminta maaf pada gadis di sebelahnya.
Dahi Cartaz Amani berkerut sedikit. ‘Eh, kenapa pulak aku duduk sini dengan dia? Buat semak fikiran aku je. Lebih baik aku berambus,’ kata hati Cartaz Amani.
“Saya nak minta maaf,” kata Halifie sambil memandang wajah Cartaz Amani.
Baru sahaja Cartaz Amani menyarung semula kasut tumit tinggi ke kakinya dan berkira-kira ingin pergi, Halifie meminta maaf padanya. Bicara Halifie yang secara tiba-tiba membuatkan Cartaz Amani sedikit terkejut, matanya tanpa sedar memandang ke arah Halifie. Mereka saling berpandangan buat seketika.
“Pasal kejadian dekat lif hari tu, saya nak minta maaf. Saya sedar saya dah melampau. Saya benar-benar nak minta maaf,” kata Halifie lagi.
Bicara seterusnya daripada Halifie menyedarkan Cartaz Amani. Gadis itu cepat-cepat memandang ke arah lain setelah menyedari dirinya merenung ke arah Halifie tanpa sedar. Sebuah senyuman sinis terlakar di bibirnya.
“Awak ingat saya dapat maafkan awak selepas apa yang awak buat pada saya? Awak ingat apa yang awak buat tu perkara kecil… yang mudah saya maafkan?”
Halifie terdiam. Dia mengetap bibir.
“Seumur hidup saya, saya tak pernah dimalukan sebegitu rupa… dipermainkan oleh seorang lelaki. Mungkin awak biasa buat macam tu dengan perempuan lain… mungkin mereka boleh terima cara awak bergurau… tapi bukan dengan saya. Saya tak boleh terima gurauan kasar awak tu. Awak dah menghina maruah saya,” luah Cartaz Amani dengan nada suara yang cuba dikawal.
Sebaik sahaja Cartaz Amani menghabiskan kata-katanya, dia terus bangkit dan meninggalkan Halfiie di situ. Pemberian Halifie tidak diambil. Dibiarkan di atas kerusi. Hadiah itu hanya dipandang kosong.
Halifie membongkokkan badannya sambil menongkat dagunya dengan kedua-dua tangannya. Sikunya diletakkan di atas paha. Peristiwa beberapa hari lalu terlayar di fikiran Halifie. Sungguh, dia tiada niat ingin menghina maruah Cartaz Amani.
Memang betul dia nampak zip seluar gadis itu terbuka tetapi dia tidak nampak apa-apa pun. Bukannya besar pun bukaan zip seluar gadis itu. Niatnya juga baik… ingin menegur gadis itu tetapi dia sedar caranya sudah melampau.
Halifie meraup wajahnya perlahan. Kemudian, dia memandang bungkusan hadiah yang tidak berusik itu.

Walaupun jam sudah menunjukkan angka dua pagi, ruang tamu rumah Farah masih lagi terang benderang. Tiga orang gadis pingitan masih belum melelapkan mata. Pulang sahaja dari majlis tadi, mereka terus menyegarkan badan dan menunaikan solat.
Kemudian, Emma memaksa mereka untuk berkumpul di ruang tamu. Emma teruja ingin membuka hadiah-hadiah yang diterima Cartaz Amani. Macam hadiah-hadiah itu milik Emma pula lagaknya.
Walaupun  Cartaz Amani terasa letih, namun digagahkan juga dirinya untuk membuka hadiah-hadiah yang diterimanya. Dia rela dalam terpaksa memandangkan Emma menggesanya. Justeru, Farah dan Emma menolong Cartaz Amani membuka bungkusan hadiah.
“Banyaknya hadiah yang kau terima Cartaz,” kata Emma.
“Hmm, tulah… aku tak sangka. Cepatlah tolong aku buka hadiah-hadiah ni. Tadi kau juga beria nak tolong.”
Emma tersengih. “Don’t worry baby… I’ll help you. Tapi kau bukalah dulu hadiah dari bakal ayah tiri kau. Teringin juga aku nak tahu hadiah dia.”
“Yelah Cartaz… aku nak tahu juga,” sokong Farah.
“Okey, okey… Farah, hulurkan aku beg kertas hitam tu,” pinta Cartaz Amani.
Setelah menyambut beg kertas yang dihulurkan Farah, Cartaz Amani terus mengeluarkan  sebuah bungkusan yang dibalut cantik. Dengan penuh hati-hati, bungkusan itu dibuka. Farah dan Emma hanya menjadi pemerhati.
“Oh my God!!” jerit Emma.
“iPhone 4s!! You’re got to kidding me? Wei, Cartaz…. Uncle Is hadiahkah kau iPhone la… Yang latest pulak tu,” teriak Farah pulak.
Jikalau Farah dan Emma terkejut, apatah lagi Cartaz Amani. Tergamam dia dibuatnya. Tidak sangka dia bakal menerima telefon bimbit semahal ini sempena hari jadinya.
“Weh, cantiklah wei… warna putih. Aku baru berangan nak pakai iPhone, tapi kau dah dapat dulu,” beritahu Emma.
“Hah… ibu kau bagi apa pula?” tanya Farah.
Cartaz Amani mengambil bungkusan hadiah daripada ibunya. Seperti tadi, bungkusan hadiah itu dibuka berhati-hati. Puan Afifa Malina menghadiahkan purse berjenama Sembonia buat anaknya. Warna merah menjadi pilihan Puan Afifa Malina membuatkan Cartaz Amani tersenyum lebar. Ya, dia menyukai pemberian ibunya.
Kemudian, Cartaz Amani membuka hadiah-hadiah yang lain. Emma dan Farah turut membantu. Bersepah ruang tamu dengan hadiah-hadiah Cartaz Amani. Haiza memberi Cartaz Amani seutas gelang silver. Izzrinda pula memberinya pencil case yang dibuat sendiri olehnya.
Sehelai kameja dihadiahkan oleh Emma sementara Farah memberinya beg sandang bewarna merah. Ada kain kecil berwarna putih susu terikat pada beg itu membentuk reben yang menampakkan beg itu lebih cantik. Banyak lagi hadiah yang diterima oleh Cartaz Amani.
Semua hadiah yang ada, Cartaz Amani tahu siapa pemberinya kecuali sebuah hadiah. Hadiah yang berbalut cantik bersama reben kecil di atasnya tiada nama pengirim, tiada juga kad ucapan. Apabila Cartaz Amani membuka bungkusan hadiah itu, sebuah jam tangan jenama Guess menjadi tatapan mata Cartaz Amani.
Jam tangan itu dipegang dan diamati. Bibirnya tersenyum di luar kawalan dirinya. “Cantik,” puji Cartaz Amani.
“Memanglah cantik… Jenama Guess tu. Kau agak-agak siapa yang bagi kau jam ni?” tanya Farah.
Cartaz Amani menggelengkan kepalanya. Dia tiada jawapan untuk soalan Farah.
“Hmm… Nampaknya kawan kita ni ada peminat rahsia. Kawan sekelas kau kut?” teka Emma.
Cartaz Amani yang mula rasa mengantuk, menguap tanpa sedar. Cepat-cepat dia menutup mulutnya. “Entahlah wei… Tak tahu aku. Ni hadiah yang terakhir kan? Aku dah mengantuk ni.”
“Aku pun sama. Dah pukul tiga pun… Patutlah berat je mata aku ni,” ujar Farah.
“Jomlah tidur. Sebelum tu, tolong aku kemas sampah-sampah ni dan tolong bawa masuk semua hadiah aku ke dalam bilik, okey?”
“Okey bos!!”
Usai meletakkan mengemas ruang tamu dan mengalihkan hadiah-hadiah ke dalam bilik Cartaz Amani, Emma dan Farah pulang ke bilik masing-masing. Cartaz Amani membiarkan lampu meja terpasang di biliknya. Senyuman bahagia terpamer di wajahnya apabila dia memandang hadiah-hadiah yang dia terimanya. Ini merupakan pertama kali dia terima hadiah sebanyak ini. Riang hatinya.
Kemudian, pandangannya terkunci pada sebuah jam yang tidak diketahui pengirimnya. Pembalut hadiah yang membalut jam ini tadi terbayang di fikirannya. Dia cuba mengingatkan insan yang memberinya hadiah ini tadi. Lama dia berfikir namun tiada jawapan ditemui.
Cartaz Amani mengeluh kecewa. Jam tangan itu diambil dan dipegang. Badannya dibaringkan. Matanya masih lagi merenung jam tangan misteri itu. Sedang dia mengelamun, tiba-tiba dia teringatkan hadiah yang dia biarkan di taman mini. Hadiah pemberian Halifie.
Oh Tuhan!! Cartaz Amani yakin hadiah ini pemberian Halifie. Ya, dia mula mengingati bungkusan hadiah Halifie yang ada reben kecil di atasnya. Reben yang sama diatas kotak hadiah jam ini.
Cartaz Amani mencebikkan bibirnya. Jam tangan itu terus diletakkan ke dalam laci. “Entah bila masa mamat miang tu letak hadiah dia… Dia ingat dengan jam mahal tu dapat beli hati aku?” marah Cartaz Amani.
Dengan kasar, Cartaz Amani menutup lampu meja dan dia terus memejamkan matanya.

“Morning,” sapa Cartaz Amani kepada Farah dan Emma yang sedang makan di meja makan.
Emma mencebikkan bibirnya. “Morninglah sangat Cik Cartaz oi… Dah tengahari tahu tak. Tu… tengok jam… Dah pukul 12.30 tengahari tahu. Lambatnya kau bangun hari ini.”
“Jemput makan…. aku yang masak hari ni,” ajak Farah.
Cartaz Amani tersengih. Dia duduk di sebelah Farah. Hidangan di atas meja dipandang penuh selera. Best betul! Bangun tidur sahaja sudah diajak makan. Melihatkan ketam masak lemak cili padi yang terhidang di atas meja membuatkan selera Cartaz Amani naik. Gadis itu bangun semula dan mengambil nasi.
“Sedapnya tidur… Lepas Subuh tadi, mata aku ni memang tak boleh nak terbuka lagi. Tu yang aku tidur. Kau tak tidur balik ke Farah? Mana kau dapat ketam ni?”
“Belilah… Aku pergi pasar tani pagi tadi, seorang diri je. Malas aku nak kejutkan kau dengan Emma. Dua-dua aku tengok lena je tidur.”
Cartaz Amani duduk semula di sebelah Farah. “Rajinnya… Asal rajin semacam je hari ni? Siap pergi pasar tani, masak lagi…”
“Aku ni memang rajin! Tak macam kau dengan Emma.” Farah memuji dirinya sendiri. Sempat juga dia mengutuk kawan-kawannya.
“Sedapnya mulut kau tu berkata-kata… Eleh, sebenarnya kau tak boleh tidur kan?” Emma meneka.
Farah tersengih-sengih. “Ha… memang aku tak boleh tidur pun.”
“Teringat kat dia la tu.”
Cartaz Amani yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut sedikit terpingga-pingga mendengar perbualan antara Farah dan Emma. “Dia?? Siapa dia tu?”
Emma menjuihkan bibirnya. “Kau nak tahu… semalam si Farah ni sempat pula cuci mata. Kau perasan tak seorang budak… kawan si Lifie. Dia pakai cermin mata bingkai penuh, warna hitam. Pakaian budak tu simple je. Jeans, t-shirt warna putih dan sweater warna coklat. Perasan tak? Dia putih-putih.”
Berkerut Cartaz Amani cuba mencari lelaki yang dimaksudkan oleh Emma. Sungguh, dia tidak ingat mana-mana lelaki yang memakai pakaian seperti yang dimaksudkan sedangkan Emma sudah memberi informasi yang lengkap tentang lelaki itu.
Argh, dia bukannya memberi perhatian sangat kepada teman-teman Halifie. Semalam dia hanya perasan kehadiran gadis yang makan bersama Halifie sewaktu di Wong Solo.
“Tak apalah kalau kau tak perasan. Lelaki tu pun tak menonjol sangat semalam. Dia lebih suka buat hal sendiri. Nampak macam pemalu je. Tapi… for your information, lelaki tu lah yang buat kawan kita ni tak boleh tidur malam.”
Cartaz Amani terus menoleh ke sisi, memandang Farah yang sudah tersenyum manis.
“Aku rasa kan… aku dah jumpa jodoh aku la. Aku pun tak tahu kenapa… the first moment aku nampak dia, aku dah suka. Aku serius ni. Aku suka tengok muka dia. Mungkin sebab specs yang dia pakai. Kau kan tahu aku suka tengok orang pakai specs macam tu. Dia nampak handsome dengan specs tu. Cute je aku tengok muka dia.”
Cartaz Amani ketawa mendengar cerita Farah. “Patutlah kau happy je hari ni… Adui, kenapalah aku tak perasan dia semalam. Patutlah kau tak nak balik bila aku ajak kau balik awal. Rupanya hati kau dah terpaut pada seseorang.”
Farah turut ketawa mengenangkan peristiwa semalam. “Nak tahu tak… Mama aku cakap kalau kita suka seseorang, kita jangan beritahu kat orang tu. Tapi kita beritahu kat Allah dengan berdoa pada-Nya. InsyaAllah jika lelaki itu baik untuk kita, lelaki itu jodoh kita, Allah akan gerakkan hati lelaki itu untuk suka pada kita juga.”
“Tak perlu nak menggoda lelaki itu, menarik perhatian lelaki itu. Cukup dengan berdoa pada Allah. Cepat atau lambat lelaki itu nak suka pada kita, itu urusan Allah. Aturan Allah SWT merupakan yang terbaik. Sebab itu orang kata kita mampu merancang tetapi Allah menentukan segalanya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.”
“Dan kalau lelaki itu tidak menjadi milik kita, mama aku pesan jangan bersedih sebab boleh jadi lelaki yang kita suka itu bukan ditakdirkan untuk kita. Ada seseorang yang Allah simpan untuk kita. So… aku nak beritahu kau orang yang aku dah mula berdoa pada Allah untuk jodoh aku. Aku beritahu Allah yang aku suka lelaki semalam tu. InsyaAllah kalau dia jodoh aku, aku akan bertemu dengan dia lagi. Cuma… tak tahu bila. Aku akan sentiasa berdoa,” ujar Farah panjang lebar.
Cartaz Amani dan Emma memandang Farah dengan wajah yang tidak bisa diungkapkan. Bicara panjang lebar Farah membuatkan mereka tercenggang.
“Wei, kau betul-betul serius ni… First time aku tengok kau serius macam ni. Well, my bestfriend, aku doakan yang terbaik untuk kau,” kata Cartaz Amani.
Cartaz Amani kemudian terus menyuap  nasi ke dalam mulutnya. Hatinya berdetik. Itulah yang aku selalu lakukan, Farah. Aku selalu berdoa pada Allah supaya gerakkan hati dia untuk aku. Supaya dia tak lupa dengan aku. Mudah-mudahan dia akan menjadi suami yang membimbing aku suatu hari nanti. Cartaz Amani mengukirkan senyuman nipis apabila teringat doanya setiap hari.
“Aku pun doakan kau Farah… Hmm, aku pun nak berdoalah. Aku nak doa pada Allah supaya DIA gerakkan hati Lifie buat aku,” ucap Emma bersama senyuman manis.
“I don’t know his name… I don’t know everything about him but I will wait. I’ll know it one day.” Farah berkata dengan yakin.
Cartaz Amani mengangguk setuju. “Exactly… Satu hari nanti kau pasti akan tahu. So, kau berdoa sahaja.”
“Thanks… Oh ya, kau dah beritahu ibu kau yang kau setuju dia berkahwin dengan Uncle Is?”
Soalan Farah membuatkan Cartaz Amani terkaku. Dia terdiam seketika. Selera makannya tiba-tiba mati.   

1 comment:

einaz lynna said...

jadi ke x kawen papa n mama diaorg nie... heheheh