Sunday, December 16, 2012

CSM : Mint 1


Shah Alam, 2011.

Suasana di Restoran Wong Solo di Seksyen 7, Shah Alam yang terkenal dengan kelazatan Ayam Bakar dan Ayam Penyet sedikit riuh dengan suara-suara para pelanggan yang sedang menikmati makanan mereka.

Tiga orang gadis awal 20-an melangkah masuk ke dalam restoran itu sambil mencari tempat duduk yang masih kosong. Mujur sahaja mereka datang pada waktu sebegini dan bukannya pada waktu puncak. Kebiasaannya, pada waktu puncak, restoran ini penuh. Full House! Sampai pelanggan yang baru sahaja sampai terpaksa berdiri, menunggu kekosongan meja.

Baru beberapa minit mereka melabuhkan punggung, seorang pelayan lelaki menghampiri mereka sambil menghulurkan menu. Sungguh efisyen! Tidak perlu mereka menunggu lama untuk memesan makanan. Masing-masing sedang kelaparan. Maklumlah, mereka baru sahaja habis mengemas rumah.

“Satu set Ayam Penyet, bahagian thigh dan Teh O’ Ais,” pesan Cartaz Amani tanpa melihat menu. Dari rumah lagi dia sudah tahu apa yang ingin dia pesan.

“Saya nak satu set Ayam Penyet juga tapi nak bahagian dada. Air… Saya nak Milo Ais,” pesan Farah yang duduk di sebelah kiri Cartaz Amani.

Pelayan yang berdiri terus mencatat pesanan kedua-dua gadis itu. Kemudian, dia memandang pula seorang gadis berambut panjang dan lurus paras pinggang yang duduk berhadapan dengan Farah. Menunggu pesanan dari gadis tersebut.

“Bagi saya satu set Ayam Bakar dan Teh Ais,” ucap Emma sambil memandang pelayan lelaki itu. Sebuah senyuman nipis terlakar dibibirnya. Rambutnya yang berjuntaian disebak ke belakang.

Cartaz Amani menyandarkan badannya ke kerusi setelah pelayan yang mengambil pesanan mereka berlalu. Matanya  memandang Emma dan Farah.

“Akhirnya, berjaya juga kita mengemas rumah. Ni first time aku kemas rumah. Sumpah! Penat gila,” akui Emma selamba sambil menunjukkan tapak tangannya, tanda sumpah.

Cartaz Amani tersenyum sinis. “Lepas ni, kau kena rajin mengemas ye, Cik Emma. Kalau malas sangat, at least, bilik kau tu biar bersih sikit. Jangan nak bersepah macam kat hostel dulu. Sakit mata aku.”

“Betul tu… Kalau tak, aku tendang kau keluar dari rumah,” tambah Farah.
Wajah Emma bertukar masam. “Pergh!! Kejam betul… Tahulah tu rumah kau…,” kata Emma yang agak terasa dengan kata-kata Farah.

Farah tergelak halus sambil memukul lengan Emma yang berada di atas meja. “Aku gurau jelah. Tu pun nak ambil hati. Relaxlah… Tak ada istilah rumah aku. Itu rumah kita. Okey?”

“Tapi kami tak bayar apa-apa pun. Kau serius ke tak nak kami bayar sewa ni?” tanya Cartaz Amani yang tidak sedap hati.

Sejujurnya, Cartaz Amani tidak berasa selesa tinggal secara percuma di Kondominium Kristal. Disebabkan permohonan kolej Farah ditolak, gadis itu memutuskan untuk menyewa di rumah mak ciknya yang terletak di tingkat 13, Kondominium Kristal. Kebetulan mak ciknya terpaksa berpindah ke Sarawak semula.

Namun, ibu bapa Farah secara tiba-tiba membeli rumah tersebut daripada mak cik Farah dan mengajak Cartaz Amani dan Emma tinggal bersama anak mereka secara percuma tanpa perlu membayar sewa kerana mereka tahu hubungan akrab anak mereka dengan Cartaz Amani dan Emma.

Apa yang mahu dihairankan, Farah tu anak perempuan tunggal dalam keluarganya. Oleh itu, Farah selalu dimanjakan oleh ibu bapanya.  Walaupun Farah nampak seperti orang biasa, tetapi dia sebenarnya anak orang berada.

“Berapa kali aku nak cakap… Tak payah bayar. Kan kita dah setuju… kau orang kena bayar bil-bil bulanan je. Api, air, internet… Dah, aku tak nak dengar lagi pasal ni. Makanan pun dah sampai. So, lebih baik kita isi perut yang dah bergendang ni. Lagu apa dia main pun aku tak tahu.”

Serentak, mereka bertiga ketawa lepas, respon dari gurauan selamba Farah. Kemudian, mereka memandang makanan yang baru sahaja dihidangkan sebentar tadi. Masing-masing sudah terliur melihat ayam di pinggan.

“Jom makan,” ajak Emma yang sudah tidak dapat menahan nafsu.

Setelah membaca doa makan, mereka terus mengisi perut yang sedang kelaparan. Keadaan yang sedikit bising dengan suara mereka sebentar tadi terus menjadi sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah suara-suara di meja berdekatan mereka. Masing-masing leka menyuap nasi ke dalam mulut, menikmati keenakan makanan yang mereka pesan.

Emma mengambil gelas dihadapannya, lalu menyedut minumannya mengunakan straw. Hakikatnya, dia bukan seorang yang makan pedas. Walaupun sambal yang dimakan itu tidak sepedas sambal Ayam Penyet, dia masih terasa pedas. Buat seketika, dia berhenti menjamu makanannya. Matanya melilau melihat sekeliling.

Sewaktu dia memandang sebelah kirinya, matanya terbeliak. Air liur ditelan. Rasa pedas terus hilang. Matanya membesar. Secara drastik, dia memandang hadapan semula. Nafasnya mula tidak teratur.

“Oh my God!!” ucap Emma seakan terjerit. Terserlah keterujaan Emma di dalam nada suaranya.

Cartaz Amani yang sedang mencubit isi ayam, memandang Emma bersama kerutan di dahi. “Kau dah kenapa?”

Emma seolah-olah hilang suara. Matanya membulat, memandang Farah dan Emma. Dia seakan-akan tidak keruan. Bibirnya bergerak-gerak seperti ingin ucapkan sesuatu tetapi tidak mampu diluahkan. Tangan Emma mengipas-gipas wajahnya yang terasa panas tiba-tiba.

“Cool down, babe… Kenapa ni?” Giliran Farah pula bertanya.

Melihat keadaan Emma yang macam cacing kepanasan, terliuk sana, terliuk sini, Cartaz Amani dan Farah berhenti makan seketika. Tumpuan mereka seratus peratus buat Emma. Cartaz Amani meliarkan pandangan ke sekeliling. Mencari punca ketidakwarasan kawan baiknya, Emma.

Bahunya ternaik sedikit. Keadaan sekeliling tampak biasa. Cuma… dia perasan seorang lelaki yang tersengih-sengih memandang mejanya.

“Kau orang ingat tak statement aku?” soal Emma selepas dapat menenangkan dirinya.

“Statement kau yang mana?” tanya Farah semula.

“Alah… statement aku yang kau kata mengarut tu. Ingat tak?”

Serentak, Cartaz Amani dan Farah menggeleng. Mereka langsung tidak ingat. Sungguh!

Emma mendengus kecil. “Hisy, kau orang ni… Boleh lupa pulak. Statement aku yang… kalau aku jumpa lelaki Melayu, Islam, yang seiras macam Blue Lan Cheng Long, aku akan kejar dia sampai dapat. Aku akan pastikan dia jadi milik aku. Ingat tak?”

“Oh….” Panjang ‘Oh’ Cartaz Amani dan Farah. Tiada nada teruja langsung. Datar saja nada mereka.

Blue Lan Cheng Long! Seorang pelakon Taiwan yang amat digemari Emma. Menurut Emma, Blue Lan sungguh kacak. Lebih kacak daripada Mike He. Kata Farah pula, Blue Lan langsung tak handsome. Mike He lebih handsome. Namun, bagi Cartaz Amani, dua-dua tak handsome. Buah hatinya lagi kacak!

“Tu je respon kau orang?” tanya Emma sedikit kecewa. Tidak berpuas hati dengan respon yang diberikan.

Cartaz Amani tayang sengih. “So, kenapa dengan statement kau tu?” tanya Cartaz Amani sekadar ingin mengambil hati Emma semula.

“I found him already!!” Keterujaan Emma kembali semula setelah mendengar soalan Cartaz Amani walaupun gadis itu bertanya acuh tidak acuh.

“What?? Really?? Mana, mana?? Aku nak tengok sikit muka Blue Lan Malaysia.”  

Kali ini Farah pula teruja sambil menoleh wajahnya ke kiri dan ke kanan, cuba mencari lelaki yang seiras dengan Blue Lan. Cartaz Amani hanya mampu tersenyum melihat gelagat kedua-dua kawan baiknya.  Perlahan-lahan, kepalanya digelengkan. Sengal betul kawannya.

Emma tergelak mendengar kata-kata terakhir Farah. Blue Lan Malaysia. Pandai-pandai saja Farah memberi nama pada lelaki yang seiras dengan Blue Lan itu.  “Look at your 9 o’clock.”

Pantas Farah menoleh ke kiri. Dalam masa sesaat, matanya sudah menangkap wajah seorang lelaki berbaju T warna kuning. Lama matanya terpaku di situ. Pertama, sebab lelaki itu kacak! Kedua, lelaki itu punya iras seperti Blue Lan! Ya, dia ingat lagi wajah Blue Lan dalam drama P.S. Man yang baru sahaja dia tonton semasa cuti semester lalu.

“Wei… betullah. Seiras wei. Serius, aku tak sangka. Impian kau jadi kenyataan. So, what’s your plan?” tanya Farah, memandang Emma semula bersama sengih yang tersungging di bibir.

Giliran Cartaz Amani pula menoleh ke arah kirinya. Ingin melihat sejauh mana kebenaran kata-kata Emma dan Farah. Benarkah lelaki itu seiras dengan Blue Lan?

Sedang Cartaz Amani memandang Blue Lan Malaysia a.k.a Blue Lan Emma a.k.a lelaki yang tersengih-sengih tadi, tidak semena-mena, pandangan matanya bertaut dengan lelaki itu. Dan secara tiba-tiba, lelaki itu mengukirkan senyuman yang Cartaz Amani klasifikasikan sebagai senyuman sinis sambil mengenyitkan matanya.

Aksi tidak dijangka lelaki itu mengundang perasaan meluat dan menyampah di hati Cartaz Amani. Lalu, dia terus menghadiahkan sebuah jelingan buat lelaki itu sebelum membuang pandang.

Emma dan Farah leka berbual tentang Blue Lan Malaysia mereka tanpa menyedari perbuatan Cartaz Amani. Bibir Cartaz Amani dijuihkan melihat kawan-kawannya yang teruja dengan lelaki miang tadi. Tanpa menghiraukan mereka berdua, Cartaz Amani menyambung semula mengisi perutnya. Nasi di pinggannya sudah tinggal separuh.

“Wei, kau rasa dia budak U kita juga ke?” soal Emma pada Farah.

“Entah! Kau ingat semua orang yang makan kat sini budak UiTM ke?”

Emma melepaskan keluhan kecil. “Macam mana aku nak dapatkan dia?”

“Dah la tu Emma… Dia dah ada girlfriend okey. Tak nampak ke perempuan yang duduk depan dia tu?” tegur Cartaz Amani dengan nada mendatar.

Emma gelak sinis. “Hello!!” Tangan Emma diawang-awangkan ke udara, kegedikan. “Kau dah lupa ke… Kan aku dah cakap, aku akan pastikan lelaki seiras Blue Lan jadi milik aku walaupun… WALAUPUN… lelaki tu dah ada girlfriend ke, tunang ke, isteri ke… I don’t care! Aku akan pastikan dia jadi milik aku. Faham!” luah Emma, nekad!

Farah dan Cartaz Amani hampir terlopong melihat Emma yang nekad itu. Wajah Emma saat itu sangat serius, beerti dia tidak main-main. Melihat respon kawan-kawannya, Emma tergelak lagi.

Kemudian, Emma memandang ke meja Blue Lan semula. Nasi bersama Ayam Bakar yang tinggal separuh dibiarkan tidak berusik. Melihat wajah Blue Lan-nya, terus dia terasa kenyang. Senyumannya bertambah mekar apabila melihat ada respon dari lelaki itu.

Cartaz Amani dan Farah berpandangan sesama sendiri buat seketika. Farah menjungkitkan keningnya pada Cartaz Amani. Cartaz Amani kemudian mencebikkan bibirnya sambil menjungkit bahu.

“Dahlah… jom makan,” kata Cartaz Amani pada Farah. “Biarkan jelah si Emma ni dengan angau dia.”

Tanpa menghiraukan sikap gila bayang Emma, Cartaz Amani dan Farah menyuap kembali makanan di pinggan masing-masing. Kalau nak layankan perangai Emma, sampai esok tak habis. Emma tu degil, keras kepala. Manalah dia dengar nasihat orang.

Cartaz Amani bangun dari duduknya sesudah menghabiskan nasi dan ayam di pingan, ingin membasuh tangan. Pinggannya sudah licin dan dia kekenyangan. Untuk pergi ke sinki, Cartaz Amani terpaksa melepasi meja yang diduduki oleh Blue Lan Emma. Dia hanya berlagak biasa dan di luar sedar, Cartaz Amani menghadiahkan sebuah jelingan buat lelaki itu.

Argh, dia sendiri tidak tahu kenapa dia bereaksi sebegitu. Benci dengan lelaki itu, mungkin. Setelah membasuh tangan, Cartaz Amani menuju ke tandas yang disediakan untuk membuang air kecil.

Tidak sampai lima minit, Cartaz Amani keluar dari tandas dan mengatur langkah ke arah mejanya.  Tiba-tiba dua orang budak kecil berlari-lari di hadapannya, dan salah seorang budak yang berlari tadi terlangarnya. Kesan dari perlanggaran yang sedikit kuat itu, ditambah pula dengan selipar Cartaz Amani yang licin membuatkan dia hampir jatuh ke belakang.

Mata Cartaz Amani terus terpejam akibat terkejut. Ya Allah, malunya aku! Ni mesti sebab aku jeling lelaki tadi. Ampunkan aku, Ya Allah, doa Cartaz Amani dalam hati, meminta keampunan di atas perbuatannya sebentar tadi.

Erk, Cartaz Amani sedikit pelik. Kenapa dia tak jatuh ke lantai? Bahunya seperti bersandar pada sesuatu. Tapi dia bersandar pada apa? Setahunya tiada apa dibelakangnya tadi. Tiada dinding untuk menahan badannya daripada jatuh.

Dia mula rasa sesuatu di pinggangnya. Air liur ditelan berkali-kali. Degupan jantungnya sudah tidak menentu. Tiba-tiba dia berasa seram sejuk.

“Hmm… kena peluk pun pengsan ke?”

Cartaz Amani terkedu mendengar suara yang seakan berbisik dengannya. Suara itu begitu rapat di telinganya sehingga membuatkan bulu romanya tegak berdiri. Badannya mula  mengigil. Secara automatik, matanya yang terpejam tadi terus terbuka.

Membulat mata Cartaz Amani setelah menyedari dia kini sedang bersandar pada bahu Blue Lan Emma dan pinggangnya sedang dipeluk oleh lelaki tadi. Tidak berkelip matanya memandang lelaki itu. Sungguh, dia terkejut!

Apabila dia mula tersedar, cepat-cepat dia menegakkan tubuhnya semula. Tangan lelaki itu yang melekap di pinggangnya ditepis kasar.

“Jantan miang!!” ucap Cartaz Amani kasar sambil menjeling lelaki itu tanpa rasa bersalah. Wajahnya waktu itu kelihatan tegang.

Cartaz Amani terus berlalu meninggalkan Blue Lan Emma. Dia benci pada lelaki itu yang telah mengambil kesempatan padanya. Dia lebih rela jatuh daripada dipeluk oleh lelaki itu. Sungguh!! Dasar lelaki tak tahu malu! Lelaki miang!

Cartaz Amani terus kembali ke mejanya, namun dia tidak duduk. Wajahnya yang kelihatan bengang memandang kedua-dua kawannya yang sedang memandangnya tanpa riak. Masih terkejut barangkali dengan aksi sebabak tadi.

“Aku nak balik! Bayarkan dulu nasi aku. Jumpa kau orang kat kereta.”

Usai menghabiskan bicaranya, Cartaz Amani terus berlalu dari situ. Dia sudah tidak betah berlama-lama di situ. Pipinya sudah terasa kebas kerana malu. Kini, dia rasakan seolah-olah semua orang yang berada di restoran ini memandangnya. Ya Allah, malunya!




No comments: