Thursday, August 18, 2011

Teman Serumah 8


“Jom lunch,” ajak Eka setelah tamat kelas.

Aku memandangnya sambil mengangguk. Aku mengemas buku di atas meja dan ku letak ke dalam beg. Kemudian, aku dan Eka melangkah keluar dari kelas.

“Nak makan kat mana?” soal Eka.

“Tak kisah. Ikut kau,” ucapku perlahan.

Eka berfikir sebentar. “Beb, dah lama tak makan pizza kan?” soalnya sambil menjongketkan kening. “Jom! Kau belanja.”

“Hmm… Jom,” putusku tanpa banyak soal.

Eka memandangku dengan pandangan yang tidak percaya. “Biar betul, Fir? Bukan selama ni kau berjimat-cermat ke?”

Aku tidak menjawab. Kami masih berjalan menuju ke luar kampus.

“Kau ada problem eh? Dengan Iwan?” duga Eka.

Aku memandang Eka sekilas. “Eka, aku tak ada mood nak cakap sekarang. Kau nak makan ke tak ni? Aku dah nak belanja, kau pula banyak songeh.”

Eka tersengih. “Okay, okay. Jom. Jalan kaki je. Bukan jauh pun.”

Kami beriringan menuju ke Pizza Hut yang terletak berhampiran kampus kami. Eka banyak bercerita itu ini. Sedangkan aku hanya mendengar.

“Eh, Fir… semalam pukul 11, aku nampak laki kau hantar Izyan balik hostel. Dorang asyik keluar je sekarang ni. Ada apa-apa ke?”

Aku tersentak. Air liur yang ku telan terasa berpasir. Izzat keluar dengan Izyan. Mereka ke Kuala Lumpur bersama-sama ke? Pukul 11? Kenapa dia tak sampai rumah lagi pukul 12? Bukan jauh sangat pun. Apa hubungan mereka? Kenapa aku nak tahu?

“Fir….” jerit Eka kuat.

Aku tersentak. Ya Allah! Selamat aku tersedar. Jika tidak pasti aku sudah melintas tanpa menyedari kereta yang sedang lalu lintas di hadapanku kini. Aku berisgtifar. Lenganku ditarik kasar. Aku kini menghadap Eka.

“Kau fikir apa ni, Fir?” marah Eka.

Aku menggeleng perlahan. Aku buntu. Tak tahu apa-apa. Fikiranku kosong. Aku ingin kongsi apa yang aku rasa dengan Eka tapi aku tak tahu macam mana nak cakap.

“Fir, kau okay kan?” soal Eka bimbang.

“Aku… Aku okay. Cuma aku pening sikit. Lapar kot. Jom makan.”

Habis sahaja kelas petang itu, aku terus balik ke rumah. Aku tidak mahu ke mana-mana. Aku hanya ingin berada di rumah. Ingin menenangkan fikiranku yang kusut. Otakku benar-benar berserabut hari ini. Aku hampir kena langgar pagi tadi.

Setelah sampai di rumah, aku terus menuju ke bilik dan mandi. Kemudian, aku menunaikan solat asar. Usai solat, aku berbaring di atas katil.

Kenapa dengan aku ni? Biarlah Izzat nak bercinta dengan Izyan. Apa salahnya. Masing-masing ada hak kan. Aku dah ada Fizwan. Biarlah Izzat dengan Izyan. Tak ada salahnya. Kenapa aku nak sakit hati pula? Entah apa-apa je. Takkan aku tak suka Izzat gembira? Kejamlah aku ni. Kalau Izzat nak ke Kuala Lumpur dengan Izyan pun tak ada salahnya. Aku ni fikir yang bukan-bukan je. Apalah.

Aku menarik nafas. Baik aku keluar jumpa Izzat. Dah balik ke dia? Pagi tadi jumpa dia sekejap je. Setelah menyisir rambut agar kelihatan kemas, aku melangkah keluar. Izzat sudah pulang. Dia sedang menonton tv. Aku tersenyum.

“Hey, dah balik? Tak sedar pun,” ucapku dengan nada yang ceria.

Izzat memandangku sekilas. “Hmm… Baru je.”

Aku duduk di sebelah Izzat. “Pukul berapa sampai malam tadi?” soalku ingin tahu.

“Dua pagi,” jawab Izzat ringkas.

Aku mengerutkan dahi. Dua pagi baru sampai rumah? Apa yang dia buat? “Hmm, kerja apa yang kau kena buat? Macam busy je. Aku suruh call, tapi kau tak call pun. Bila aku call, masuk voice mail pulak.”

“Busy sikit. Sorry, tak call kau.” Izzat berkata dengan nada yang agak dingin.

Aku tersenyum hambar. “Hmm, tak apa. Malam ni nak makan apa?” soalku.

Dia memandangku. “Aku… Aku ada hal malam ni. Aku makan kat luar kot.”

Aku menelan air liur. Kecewa. “Ohh… Tak apalah. Semalam aku ma.. hmm, tak adalah.” Aku tak nak beritahunya yang aku masak untuk dia. Aku rasa tak perlu. Buat apa? Hal dah berlalu.

“Aku ke dapur jap,” beritahuku.

Aku bangun dan menuju ke peti ais. Ingin mengambil ice cream yang aku beli semalam. Setelah membuka penutup, aku bawa ice cream itu ke depan bersama sudu. Aku duduk di sebelah Izzat. Izzat masih kaku di hadapan tv. Pelik! Sikap dia dingin.

Aku menyuap ice cream ke mulutku. “Nak tak?” soalku pada Izzat.

Izzat hanya menggeleng. Aku mencebik. “Malam ni kau nak keluar dengan awek kau eh?” soalku berani.

Izzat diam. Tidak menjawab pertanyaanku. Timbul pula idea nakal di fikiranku. Aku mencalitkan tanganku sedikit ice cream dan aku mencalit ice cream itu pada hidungnya. Izzat terus memandangku tajam. Aku terperanjat dengan reaksinya. Aku menundukkan wajahku. Takut melihat renungan Izzat yang tajam macam pisau itu.

“Izz, janganlah marah. Aku bergurau je,” tuturku perlahan.

Aku memberanikan diriku untuk memandangnya. Pandanganya masih sama macam tadi. Aku menunduk kembali. Dan tanpa aku sedar, air mata mula mengalir.

“Izz, janganlah buat aku macam ni. Kau marah aku eh? Kau diam je hari ni.” Aku menyeka air mataku. “Aku call kau, kau tak angkat pun. Aku suruh kau call balik pun, kau buat tak tahu je. Takkan kau busy sangat sampai tak boleh call aku?”

Izzat diam. Aku menelan air liur. Air mata yang mengalir ku seka. Tiada esakan. Yang ada hanya air mata. Sedih. Aku sedih dengan Izzat.

“Aku tunggu kau balik semalam. Aku masak untuk kau semalam. Semalaman aku tunggu kau. Penat aku masak semalam. Aku tunggu kau. Tapi kau tak balik-balik. Panggilan aku kau tak jawab. Pagi ni, aku buat breakfast, kau tak makan pun. Kenapa kau buat aku macam ni?”[Z1]

Aku mengetap bibir. Kebisuan Izzat membuat aku malu ingin berdepan dengannya. Aku bangun. Lebih baik aku duduk dalam bilik. Baru sahaja kakiku ingin melangkah, lenganku di paut. Izzat menarikku untuk duduk semula.

“Fir…,” panggil Izzat.

Aku hanya menundukkan wajahku. Aku segan. Entah apa yang Izzat fikirkan saat ini. Daguku tiba-tiba disentuh Izzat. Dia menolak daguku ke atas dengan lembut. Kami bertentang mata kini.

“Aku minta maaf. Aku tak tahu pun kau akan sedih macam ni. Sorry okay,” tutur Izzat lembut.

Aku mengetap bibir. “Kau marahkan aku kan? Aku tahu kau marahkan aku. Tapi pasal apa?” soalku ingin tahu.

Izzat tersengih. Hambar saja sengihannya. “Aku tak marah kau pun. Sorry ya. Kau masak untuk aku semalam?” soal Izzat sambil tersenyum kecil.

Aku mengangguk perlahan.

“Sorry. Fir, aku minta maaf sangat.”

Aku memandang Izzat. “Aku pun nak minta maaf kalau ada buat salah kat kau. Kalau aku ada sakitkan hati kau, maafkan aku.”

Izzat mengangguk sambil tersenyum. “Jangan nangis lagi ya. Aku tak suka tengok kau nangis. Jom makan ice cream ni,” pujuk Izzat seperti memujuk anak kecil.

Izzat mengambil ice cream La Cremeria di tanganku. Kemudian dia makan sesuap ice cream itu.

“Hmm, sedapnya. Aku suapkan kau pulak,” ucap Izzat.

Aku membuka mulut. Izzat menyuapkanku. “Kau ni… pujuk aku macam aku ni budak kecik la,” rungutku.

Izzat ketawa. Aku ikut ketawa. Kemudian kami sama-sama menghabiskan ice cream itu. Aku berasa sedikit lega.

“Malam ni kita makan luar ya,” ajak Izzat.

Aku mengerutkan dahi. “Tadi kata ada hal.”

Izzat tarik sengih. “Cancel. Malam ni aku nak keluar dengan kau. Kita makan yong tau fu kat Pantai Puteri, nak tak?”

Laju sahaja aku mengangguk. “Bestnya.”


Izzat menghentikan keretanya di depan pantai setelah kami selesai makan malam. Kenyang sangat malam ni. Aku dan Izzat keluar dari kereta. Kami memandang pantai. Angin agak kuat. Sejuk. Aku duduk di atas kereta Izzat.

Izzat berdehem tiba-tiba. “Kemek kereta aku Fir.”

Aku terus berdiri. “Eleh. Jahatlah kau ni. Macamlah aku berat sangat.”

“Boleh tahanlah,” jawab Izzat.

Aku mencebik. “Mana kau tahu?”

Izzat tergelak kecil. “Semalam aku dukung kau masuk bilik. Aku tahulah.”

Mukaku sudah bertukar warna. Merah! Malunya. Lantas tanganku memukul Izzat. Geram pula bila dia mengenakan ku.

“Eh, Izz… kau dah ada awek eh? Sampai hati tak beritahu…”

Izzat mengangkat keningnya. “Siapa?”

Aku memuncungkan mulut. “Buat-buat tak tahu pula. Izyan lah.”

“Aku dengan dia kawanlah. Kitorang bukan macam kau dengan Iwan.”

Aku berdehem sebentar. “He is my special.” Aku ulang kata-kata Izyan. Mataku memandang Izzat. Ingin melihat reaksinya. Biasa saja. “Kau pergi KL dengan dia pula tu,” kataku lagi.

Izzat mengerutkan dahinya. “Hah?? Bila masa pula aku pergi KL dengan dia?”

“Semalam lah… Eka nampak kau hantar dia. Korang pergi KL sama-samalah tu.”

Izzat menggelengkan kepalanya. “Taklah. Aku pergi KL sorang. Bila aku balik semalam, Izyan nak jumpa aku. Pasal persatuan kami. Urgent. Tu je.”

“Oh… macam tu eh? Aku salah lah ni…,” tuturku bersahaja.

“Lah… betullah.”

“Kawan eh?” soalku lagi. Sengaja ingin mengusiknya.

Izzat mengangguk pasti. Kemudian dia memandangku sambil mengangkat kening. Bibirnya menguntum senyum. Senyuman nakal. “Are you jealous?”

Aku gelak. “Buang masa.”

Izzat turut tergelak. Kemudian kami memandang depan. Memandang laut. Izzat diam. Aku pun diam.

“Asal balik sampai dua pagi semalam?” soalku bila kami hanya sepi.

Izzat tersentak. Kemudian dia mengaru kepalanya. “Err, aku lepak sini jap. Aku suka lepak kat pantai. Best.”

Aku memandangnya. Keningku terangkat. “Sampai dua pagi?”

Izzat tersenyum sambil mengangguk. Aku tergelak melihat reaksinya. “Hey, penatlah berdiri. Bila nak balik ni?”

“Sekejaplah. Aku nak lepak sini jap. Balik rumah pun nak buat apa.”

Aku tarik muncung. “Kalau macam tu, aku nak sandar kat kereta kau.”

“Hmm…”

Kami kembali sepi. Izzat merenung laut. Dia seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Aku tidak mahu menganggunya. Lalu, aku turut mendiamkan diri. Entah apa yang berada di fikiran Izzat. Aku tahu dia ada masalah. Tapi masalah apa? Syarikat abah dia? Study? Entahlah. Aku tiada jawapan. Tapi sikap pelik yang ditunjukkan Izzat beberapa hari ini menunjukkan dia ada masalah. Izzat selalunya tidak macam ini.

“Fir…,” panggil Izzat perlahan.

Aku menoleh ke kanan. Izzat masih memandang laut. Aku menanti bicara seterusnya dari dia. Pandanganku melekap pada seraut wajah Izzat.

“Sorry,” ucap Izzat perlahan.

“Ah? For what?” soalku pelik.

Izzat tarik nafas. “Buat kau tunggu semalam,” jelas Izzat.

“Owhh… No hal. Aku dah maafkan kau,” ucapku yakin.

“Kau masak apa semalam?” soal Izzat. Kali ini dia memandangku.

Aku tersenyum. “Tomyam. Lepas tu, ingat nak masak telur bungkus. Kesian udang dengan sotong tu tau. Terpaksa aku buang. Sayang betul. Membazir je,” omelku.

Izzat menarik hidungku. Auch, sakitnya! Tanganku menyentuh hidung. Sakitlah. Aku memandang Izzat dengan pandangan tidak puas hati.

“Rugi aku tak dapat makan masakan kau. Bila lagi kau nak masak untuk aku?” soal Izzat mengharap.

Aku mencebik. “Tak nak masak lagi!”

“Kenapa?”

“Malas,” jawabku ringkas.

Izzat merenungku. “Alah, masaklah…,” pujuk Izzat.

Aku geleng kepala. “Kau bukannya makan pun,” rajukku.

Izzat memaut bahuku rapat dengannya. “Merajuk rupanya, puteri aku ni. Hmm, macam mana nak pujuk ya?”

Aku bergerak sedikit. Melepaskan diriku dari pelukan Izzat. Tanganku silang sambil bersandar pada kereta Izzat.

“Hisy, buruknya muka bila merajuk macam ni. Fir… janganlah merajuk. Aku tak pandai pujuk lah.”

Aku buat tidak tahu sahaja. Tiba-tiba Izzat sudah berada di hadapanku. Mata kami bertentangan.

“Aku minta maaf. Aku janji lain kali aku akan makan masakan kau. Please! Jangan merajuk lagi.”

Aku membuang pandang. “Tak baik berjanji. Hmm, jomlah balik. Kelas aku pukul 8 esok.”

Izzat mengukirkan senyuman. “Hmm, dah tak marah?”

Aku mengangkat bahu. “Entah.”

“Lah… Takkan kau tak tahu?”

“Aku tak marahlah. Aku tak merajuk pun. Main-main je.”

Izzat mengangkat kening. “Boleh percaya ke?” duganya.

Aku memukul dadanya. “Tak percaya pulak. Lantaklah. Aku nak balik.” Aku melangkah ke pintu kereta.

Izzat hanya memandangku sambil tersenyum. Kemudian dia melangkah ke tempat memandu.

“Masak untuk aku malam esok boleh tak?” pinta Izzat sewaktu dia menghidupkan enjin kereta.

“Malas. Aku busy.”

“Alah… Bolehlah..”

“Tengoklah bila aku free,” putusku.

Izzat tersenyum lebar.

No comments: