Thursday, August 18, 2011

Teman Serumah 14

Aku membuka mata. Terbeliak mata aku tatkala melihat kedudukan tangan dan kaki aku. Secara drastik, aku bangun dan menjauhkan diri. Badanku mengigil. Oh tidak! Apa yang aku dah buat ni? Macam mana boleh sampai macam ni?

Badanku mula berpeluh. Jantung berdegup laju. Kepalaku geleng beberapa kali. Apa yang aku buat ni? Ya Allah! Macam mana boleh jadi macam ni! Aku rasa macam nak jerit je. Pertama kali aku berkongsi katil dengan seorang lelaki. Sudahlah sekatil, macam mana aku boleh peluk dia. Oh tidak! Ini tak mungkin.

Semalam lepas balik dari makan malam dekat pantai sebab umi teringin nak makan asam pedas ikan pari, aku terus masuk bilik. Mengantuk sangat. So, aku terus tidur. Bila masa pula Izzat masuk bilik aku. Eh, memang kami terpaksa sebilik sebab umi dan Husna ada. Tapi kenapa Izzat tidur atas katil? Kenapa dia tak tidur kat permaidani?

Badan Izzat bergerak. Terus sahaja aku bangun dan menuju ke bilik air. Fikiran aku masih memikirkan peristiwa tadi. Seboleh mungkin aku yakinkan diriku yang aku hanya bermimpi. Tapi kenyataan tetap menjadi kenyataan.

Aku keluar dari bilik air. Jam menunjukkan 6.15 pagi. Eh, awal pulak aku mandi. Kelas pukul 9 pagi. Lainlah si Izzat. Kelas pukul 8 pagi. Aku menunaikan solat subuh. Aku menyarungkan telekung ke tubuh. Aku ingin meminta petunjuk dari Allah s.w.t. Sewaktu aku sedang membaca doa, Izzat bangun dari katil dan menuju ke bilik air.

Setelah melipat telekung, aku terus ke dapur. Nak sediakan sarapan pagi dan pada masa yang sama nak larikan diri dari Izzat. Hmm, nak buat apa eh? Goreng sosej, telur hancur dengan roti. Okay la tu kot. Umi pun faham aku. Aku mula membuat kerjaku. Sekali sekala terbayang difikiran gambaran aku memeluk Izzat. Dengan pantas aku menepis ingatan itu dari terus mengkhayalkanku.

“Buat sarapan eh?”

Sudu ditangan untuk membancuh air Neslo terjatuh. Suara itu. Ya, itu dia. Izzat. Dia ada kat dapur. Aku tak berpaling. Tangan aku terus mengambil sudu yan terjatuh itu dan aku letak ke dalam singki. Kemudian, aku mengambil sudu yang baru. Aku pura-pura sibuk. Pandang Izzat pun tak.

“Masak apa?” tanya Izzat.

Aku tersentak. Suaranya begitu hampir denganku.

“Ah? Err… sosej dengan telur je,” balasku gelabah. Tak pandang Izzat.

Kemudian, aku menjarakkan diriku. Seboleh mungkin aku menjauhkan diri dari dia. Tapi jauh mana aku boleh pergi? Dapur ni taklah sebesar dapur bunglo Izzat.

“Fira dah buat sarapan? Umi baru nak tolong.”

Umi. Yes! Terima kasih, umi sebab selamatkan aku. Sayang umi. Aku memandang umi sambil memaksa diri untuk senyum. “Tak apalah umi. Fira boleh buat sendiri. Senang je. Sosej dengan telur hancur. Umi tak kisah kan?”

Umi menggelengkan kepalanya. “Umi tak kisah. Semua umi makan.”

“Roti ada tak Fir?” soal Izzat.

Baru kini aku pandang Izzat. Nafas semakin tak teratur. Dia sudah lengkap berpakaian untuk ke kelas. Izzat merenungku. Aku semakin tidak keruan.

“Fir, ada roti tak?” soal Izzat lagi.

Aku tersentak. “Ah? A..ada… Sekejap eh. Umi dengan Izzat duduk dulu.”

Aku ke dapur dan mengambil sebuku roti kemudian aku bawa ke depan. “Husna tidur lagi ke umi?”

Umi hanya mengangguk. Aku mempelawa umi dan Izzat makan. Baru saja kaki aku ingin melangkah ke dapur, umi dah tahan.

“Fira tak nak makan sekali?” tanya umi.

Aku menelan air liur yang terasa kesat. Lambat-lambat aku duduk di sebelah Izzat sebab umi dah duduk tempat yang biasanya aku duduk iaitu depan Izzat. Namun aku bersyukur. Sekurang-kurangnya aku tak perlu bertentangan dengan Izzat.

“Umi, hari ni Izzat ada kelas pagi.” Izzat memulakan bicara.

Aku hanya diam.

“Hmm… pergilah. Jangan risaukan umi.”

Izzat menyisip minumannya. “Pukul 11, Izzat bawa umi check in dekat hotel.”

“Izz nak bawa umi dengan apa? Kereta kamu? Mana nak campak Husna tu.”

Aku mengiakan kata umi. Inilah keburukan kereta Izzat. Mewah sangat sampai menyusahkan bila waktu macam ni. Kereta aku walaupun biasa je tapi boleh memuatkan lima orang tau. Dia?? Dua orang je.

“Izzat pinjam kereta kawan.”

“Musfira Azwany!”

Aku tersentak! Mataku memandang Eka yang berada di sebelahku. Eka melirik pada Madam Jue yang berada di hadapan kelas. Alamak! Kenapa pula ni? Aku mula gelabah. Aku memberanikan diri untuk memandang Madam Jue.

“Musfira Azwany!” panggil Madam Jue lagi.

“Yes madam,” jawabku kalut.

Madam Jue memandangku. Malah seluruh kelas memandangku. Pipiku mula merah menahan malu. Ni yang aku tak suka ni. Ni semua sebab Izzat. Kenapalah aku asyik ingat pasal pagi tadi?

“Answer my question,” arah Madam Jue.

“Err, what is your question?”

Madam Jue meletakkan pen yang berada di tangannya kasar. Matanya tajam merenungku. Aku mula cuak. Aku dah salah cakap ke?

“How dare you didn’t pay attention in my class, Musfira?” marah Madam Jue. Suaranya nyaring. “Class, what did I asked her just now?”

“What is the weakness in that term paper?” ulang kawan sekelasku. Term paper yang mereka katakan ialah term paper yang ditunjukkan di depan menggunakan projector.

Aku mula resah. Mataku memandang depan. Cuba mencari kelemahan term paper itu. Namun, otakku tidak boleh berfikir buat masa ini. Malunya.

“Tak ada case,” bisik Eka.

Fuh! Selamat Eka tolong aku. “I’m sorry madam. The weakness is the author didn’t support his idea with cases, madam,” jawabku yakin.

Madam Jue tersenyum sinis. “Next time don’t help her, Eka. I will deduct your mark if you help her again. And you, Musfira please pay attention in my class.”

Aku menelan air liur. Madam Jue dah marahlah. Hisy, kenapalah aku berkhayal tadi? Macam tak kenal pula Madam Jue ni. Pantang orang tak berikan perhatian dalam kelas dia.

Eka menepuk bahuku sewaktu kami keluar dari kelas Madam Jue. Aku memandangnya. Mesti nak cakap pasal hal tadi.

“Weh, asal dengan kau tadi? Berangan eh? Berani pula kau berangan time dia ajar. Dia pandang kau macam nak telan je tau,” tutur Eka.

Aku membetulkan tudungku yang senget. “Hmm, tak ada apa-apalah.”

“Eleh! Mesti ada apa-apa kan? Kan?” teka Eka.

Aku memukul lengannya perlahan. “Tak ada apa-apa. Hah! Kau tak cerita lagi pasal boyfriend kau.” Tiba-tiba aku teringat janji Eka untuk meceritakan lelaki yang dia jumpa hari tu.

“Kau nak makan tak?” Eka tukar topik.

“Jangan nak tukar topik. Siapa laki tu? Mana kau kenal dia?” soalku ingin tahu.

Eka buat tak tahu. Dengan selamba, dia berjalan meninggalkan aku sendirian. Aku mengatur langkah mengejarnya. Lengannya aku tarik. Kening terjongket sedikit.

“Okay, okay! Makan dulu boleh tak? Dah pukul 12.30 tengahari ni. Laparlah,” rungut Eka.

Aku tarik sengih. “Yelah. Perut nasi betullah kau ni. Makan je tau. Nak makan kat mana?”

“Tempat biasa.”

Kemudian kami menuju ke Gerai Mak Cik Siti yang berada tidak jauh dari kampus. Nak makan ikan keli goreng. Sedap! Sebenarnya, aku tak pandai makan ikan keli. Memang tak pernah pun makan ikan keli. Sejak belajar kat sini, baru aku makan ikan keli. Itupun setelah beberapa kali Eka memaksaku untuk rasa ikan keli. First time makan, aku rasa ikan keli ni biasa-biasa. Kemudian, aku beli sendiri ikan keli. Aku cakap kat Eka, kalau aku tak boleh makan, dia kena habiskan. Kesudahannya, licin pinggan aku. Tinggal tulang dan kepala je. Memang sedap.

Sewaktu kami ingin menuju ke Gerai Mak Cik Siti, aku ternampak kelibat Izzat. Alamak! Aku tak nak bertembung dengannya.

“Err, Eka… Kita lalu tempat lainlah,” ajakku sambil menarik tangan Eka untuk melalui tempat lain.

Eka yang terperanjat dengan tarikan tanganku hanya mengikut. Aku mula gelabah. Asal nampak dia je, aku teringat peristiwa pagi tadi. Aku geleng kepala beberapa kali. Seolah-olah dengan menggeleng kepala, bayangan itu akan hilang.

“Woi, kau ni kenapa? Pelik betullah kau hari ni,” tegur Eka.

Laju sahaja aku menggeleng kepala.

“Bohong! Dari tadi lain macam je. Ni mesti pasal Izzat kan? Tadi kau nampak dia, lepas tu terus tarik tangan aku… suruh ikut jalan lain.”

Aku tidak menjawab. Diam je. Kaki masih melangkah. Pantas.

“Fir, kalau kau tak nak cerita, aku pun tak nak cerita kat kau,” ugut Eka.

Aku menjelingnya. Eka buat tak tahu saja. Ada aje si Eka ni. Tak adil betul! Dah janji nak cerita tu, cerita jelah. Ini tidak! Boleh pula dia ugut aku.

“Aku serius ni,” tegas Eka.

“Yelah, yelah. Lepas makan aku cerita. Sebelum tu, kau kena cerita dulu.”


No comments: