Wednesday, November 24, 2010

Teman Serumah atau Cinta -Prolog-

-blog version-

Prolog

Nama diberi Musfira Azwany binti Azman. Nama yang diberi oleh arwah mamaku. Aku suka nama aku. Bagi aku unik. Hidupku tidak sehebat orang lain. Hidup aku tidak seindah orang lain. Tiada apa yang ada untuk dibanggakan dalam hidupku. Hidup aku umpama sebatang kara di muka bumi ini. Aku hanya menumpang kasih sayang nenek Rogayah. Emak angkat mamaku. Mamaku sudah lama meninggal dunia kerana menjadi mangsa nahas jalan raya. Waktu itu aku hanya berusia 12 tahun.

Papa? Insan yang bergelar papa kepada aku tidak pernah ambil berat padaku. Sejak kematian mama, papa berubah 360 darjah. Papa selalu pulang lewat. Kemudian, dia berkahwin dengan Masyitah dan mereka dikurniakan dua orang anak. Hidupku semakin tersisih. Tambah pula, papa menghantarku ke asrama sewaktu aku di Tingkatan Satu. Mungkin papa tak suka tengok aku. Kerap kali aku menangisi nasib diri.

Sewaktu aku di Tingkatan Tiga, rakan sekelasku, Fizwan selalu menjadi pendengar setia masalahku. Aku hanya memanggilnya Iwan. Hubungan kami makin rapat dan kami mula bercinta. Biasalah. Remaja sekarang sudah pandai bercinta zaman sekolah. Hubungan kami kekal sehingga kami menamatkan zaman persekolahan. Kami berpisah buat kali pertama sewaktu aku terpaksa menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Fizwan pula berada di Singapura.

Sewaktu di PLKN, nenek Rogayah yang selalu melawatku menyuarakan hasratnya. Hasrat yang membuat aku tertekan. Dia ingin aku bernikah dengan cucu lelakinya, yang tua setahun dariku. Izzat Haikal. Aku kenal dia. Kami kawan. Hanya kawan! Dia baik macam nenek Rogayah. Izzat Haikal merupakan anak kepada usahawan berjaya tanah air yang memiliki beberapa anak syarikat seluruh Malaysia dan luar negara. Walaupun keluarga Izzat kaya, dia tidak pernah bongkak. Dia low profile. Tidak ramai yang tahu identitinya.

Papaku yang sudah mengetahui hasrat nenek Rogayah memaksaku untuk berkahwin dengan Izzat. Kata papa, ini merupakan satu langkah bijak untuk papa memajukan lagi perniagaannya. Aku hilang kata-kata saat mendengar bicara papa ini. Apa? Papa anggap aku barang yang boleh didagangkan ke? Aku ini anaknya. Anak yang tak pernah merasai kasih sayang seorang papa.

Tawaran belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kuantan dalam jurusan asasi undang-undang merupakan satu tiket untuk melarikan diri aku dari kemelut ini. Sudah menjadi syarat untuk pelajar asasi tidak berkahwin sepanjang tempoh pengajian. Namun, sekali lagi aku didesak dengan perkahwinan ini. Semasa semester ketiga iaitu semester akhir, nenek Rogayah yang aku sayang semakin tenat di hospital. Sekali lagi dia menyampaikan hasratnya.

“Fira sayang, nenek harap sangat nenek dapat tengok kamu dan Izzat berkahwin sebelum ajal nenek tiba,” tutur nenek Rogayah sewaktu aku melawatnya.

Aku tidak sampai hati untuk menolak permintaan nenek Rogayah. Papa pula mendesakku dari hari ke hari. Aku rasa tertekan, sedih dan buntu. Macam mana hubungan aku dan Fizwan?

Satu hari, Izzat datang berjumpa denganku di kampus. Izzat memberikan cadangan. Cadangan yang aku anggap karut tapi aku terpaksa setuju. Tiada cara lain. Izzat mencadangkan kami kahwin saja. Gila bukan? Mana mungkin aku kahwin dengan dia sedangkan aku hanya anggap dia kawan. Namun Izzat menyatakan kami hanya kahwin atas kertas sahaja. Selepas setahun, aku bebas dari ikatan ini.

Sudah lima bulan aku menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bernama Izzat Haikal bin Tan Sri Mansor. Isteri di atas kertas. Hanya isteri pada nama. Tidak pernah aku melayan Izzat sebagai suamiku. Izzat pula tidak pernah merungut. Ini janji kami sebelum disatukan. Cadangan Izzat. Bukan cadanganku.

Nenek Rogayah menghembuskan nafas terakhir seminggu selepas kami bernikah. Hubungan aku dan Izzat kekal sebagai kawan malah hubungan kami semakin rapat. Kami bergelak tawa, usik mengusik dan kutuk mengutuk. Aku menghitung hari. Masih ada lagi tujuh bulan. Tujuh bulan lagi sebelum bergelar janda. Janda berhias.

Walaupun sudah berkahwin, aku masih menjalinkan hubunganku dengan Fizwan, teman lelakiku yang aku panggil Iwan. Mulanya, Fizwan tidak dapat menerima perkahwinanku namun setelah dipujuk dan dijelaskan oleh Izzat, Fizwan dapat menerimaku semula.

Setelah berkahwin dengan Izzat, kami menetap di Apartment Delima yang terletak di Klebang, Melaka kerana kami berdua masih belajar di peringkat ijazah sarjana muda di UiTM Kampus Bandaraya, Melaka. Hasrat di hati untuk menyambung belajar dalam jurusan undang-undang terbantut apabila aku hanya dapat Band 3 untuk MUET. Untuk menyambung pelajaran dalam jurusan Bachelor of Legal Studies, MUET perlulah Band 4. Oleh itu, aku memohon untuk menyambung pelajaran dalam jurusan Bachelor of Business Administration (Hons) Business Economics sementara Izzat dalam jurusan Bachelor of Business Administration (Hons) International Business.

Sekarang kami sedang bercuti. Cuti semester. Selepas ini, Izzat akan menyambung ke semester keempat dan aku ke semester dua. Teman lelakiku, Fizwan pula sedang belajar di Multimedia University, Melaka.

3 comments:

beautymei said...

awk....suke sgt novel teman serumah atau cinta nie.....klu da publish,sy nk beli...!

hmy_bcuk said...

Hai,... aper citer ngan novel teman serumah atau cinta?..dah publish ke blm?..citer tu sgt2 best!!mmg saya tggu2 ni...

Zuera said...

Hai... Novel nie belum di publish... mungkin akhir tahun nie... terima kasih ya... sy hargainya... hehe...