Thursday, July 22, 2010

Rahsia Hati--- Bab 16


Sejak peristiwa itu, aku tidak keluar rumah. Aku hanya duduk di bilik. Bila mamaku tanya, aku menjawab aku sedang chatting bersama kawan. Buat pertama kali, aku membohongi mamaku. Aku selalu nampak Nina datang ke rumah Naufal. Aku cemburu. Aku tidak tahu kenapa.

Faris pula ada hubungiku. Dia ingin menyambut birthday aku di Burger Kings, tempat aku menjadi girlfriendnya secara rasmi. Memandangkan Naufal tidak mahu keluar denganku, aku bersetuju dengan Faris.

Petang itu, aku tergerak untuk menghubungi Sofea. Namun dia tidak menjawab panggilanku. Aku mengeluh. Hampa. Aku bangun lalu menuju ke meja solekku. Aku melihat cermin. Kusut benar rambutku. Mataku sembap. Kesan menangis. Buruk benar muka ku.

Apa nak jadi denganku? Esok birthday aku dan aku akan keluar dengan Faris. Sepatutnya aku gembira. Aku kena kuat. Namun bila mengenangkan, Naufal yang akan berangkat lusa, aku menangis semula. Aku menarik nafas dalam. Mencari kekuatan. Aku mengelap muka ku. Aku menyisir rambutku rapi. Kemudian, aku menuju ke bilik air, membasuh mukaku.

Sewaktu aku membuka pintu ingin turun ke tingkat bawah, Naufal berada di depanku. Aku terperanjat. Sungguh, aku tak sangka. Ingin juga Naufal bertemu denganku.

“Err, aku nak cakap dengan kau boleh?” tanya Naufal.

Aku mengangguk lalu keluar dari bilik. Aku duduk di sofa yang ada di ruang tamu rumahku. “Ada apa?” soalku perlahan.

“Kau okay ke?” tanya Naufal pula.

Aku pura-pura ketawa. “Aku okay je. Asal?”

Naufal mengeluh. “Mama Farah kata kau menangis aje dalam bilik. Kenapa? Kau ada masalah dengan Faris ke?”

Aku mendengus. Hisy, mama ni. Macam mana mama tahu aku menangis. Naufal pula macam terpaksa datang ke sini. Maybe mamaku yang menyuruh dia berjumpa aku. “Mama aku suruh kau jumpa aku ke?” Aku meneka.

Naufal mengangguk. Aku kecewa. Sangat kecewa. Terlalu kecewa. Aku tidak memandang Naufal. “Kalau mama aku tak suruh, memang kau tak datanglah?” Aku melepaskan geram.

Naufal tersentak. Namun dia tidak cuba mempertahankan dirinya. Dia hanya membisu.

“Kau nak tahu kenapa dengan aku? Aku kecewa. Aku kecewa dengan kawan-kawan aku. Tiba-tiba, kawan-kawan aku hilang. Aku dah tak ada kawan. Kat sekolah, aku makan berseorangan. Tak dihiraukan. Macam tunggul. Korang enjoy jalan-jalan sedangkan aku? Terperap kat rumah. Aku terasa bila korang tak ajak aku keluar lagi. Apa salah aku?” Aku melepaskan segala yang terbuku di hatiku. Air mataku mengalir lagi.

Naufal hanya menunduk. Wajahnya juga tidak ceria. “Kau tahu tak aku nak sangat keluar dengan korang semua macam dulu-dulu. Terutama saat aku jalan-jalan dengan kau. Tapi sejak peristiwa aku lupa janji kita, korang semua benci aku. Sisihkan aku. Sofea marah aku. Aku dan Sofea dah berkawan lama. Macam kau dan Ikram. Cuba kau bayangkan Ikram tak tegur kau langsung. Apa perasaan kau? Kau kata kau dah maafkan aku tapi kau asyik mengelak daripada aku. Kau ingat aku tak tahu.”

Aku menarik nafas. Naufal masih seperti tadi. Diam membisu. “Mana hilang Naufal yang suka bergurau dengan aku. Aku rindu Naufal yang dulu.” Aku sayang Naufal yang dulu. Aku tidak meluahkan bahawa aku sayang Naufal yang dulu. Aku segan.

Aku sudah menangis teresak-esak. Sungguh, aku rindu. Walaupun hubunganku dan Naufal hanya rapat dalam tempoh masa yang pendek, aku tetap mengingati sampai sekarang. Saat kami tonton wayang bersama, makan ice cream bersama, buat homework bersama. Aku rindukan gurau sendanya.

Aku memandang Naufal. Dia meraup mukanya dengan telapak tangannya. Lalu dia mendongak memandangku. “Aku…aku tak ada jawapan untuk itu semua. Aku tak tahu nak cakap apa.” Kemudian Naufal meninggalkan aku menangis sendirian.

Itu sahaja. Aku menangis lagi. Hanya itukah yang mampu Naufal katakan? Aku memeluk kakiku lalu menangis sepuas-puasnya. Segala rasa yang ku pendam selama ini, aku luahkan dengan menangis.

Tiba-tiba bahuku di sentuh. Aku mengangkat muka. Mama. Aku terus memeluk mama. Hanya mama temanku kini. Aku menangis dalam pelukan mama. Mama mengusap belakang badanku perlahan. “Ma, Leya dah tak ada kawan. Naufal dah benci Leya. Sofea pun sama. Anak mama jahat.” Aku menangis lagi.

Semalam, aku menangis sepuas-puasnya dalam dakapan mama. Mama memberikan nasihat yang membina. Lama baru aku dapat bertenang. Dan atas nasihat mama, aku keluar juga bertemu Faris. Pada mulanya, aku ingin membatalkan kerana emosiku yang tak stabil. Tetapi mama menyuruhku enjoy pada ulang tahun kelahiranku.

Tepat jam dua belas malam tadi, papa dan mamaku masuk ke bilikku bersama kek Secret Recipes kesukaanku, Chocolate Fudge. Aku terharu melihat keprihatinan papa dan mama. Hanya mereka yang aku ada sekarang.

Selepas makan di Burger Kings, aku dan Faris window shopping. Aku cuba mengembirakan diriku. Nasib baik Faris tidak sedar muka aku yang sedikit pucat. Sewaktu aku dan Faris sedang berjalan-jalan, aku ternampak kedai Universal Traveller. Semerta aku teringatkan Naufal.

“Kenapa Leya?” soal Faris apabila aku berhenti melangkah.

Aku tersentak lalu memandangnya. “Err, tiba-tiba Leya teringatkan kawan Leya. Dia nak ke London esok.” Aku berfikir-fikir. Haruskah aku membeli hadiah buatnya? “Hmm, Faris boleh tak temankan Leya ke kedai tu?” soalku sambil menunjukkan kedai Universal Traveller.

Faris bersetuju. Kami melangkah ke sana bersama-sama. Setelah beberapa minit melihat, aku memutuskan untuk membelikan Naufal jaket tebal yang berwarna kelabu. Harganya setelah diskaun RM 169. Agak mahal bagi pelajar lepasan SPM sepertiku. Tetapi memikirkan Naufal merupakan kawanku sejak kecil, aku sanggup menggunakan wang simpananku di bank.

Sejak kecil aku suka menabung. Tiap-tiap bulan, papa beriku duit belanja sebanyak RM 200. Kadang-kadang lebih. Tahun lepas papaku membuatkan kad bank. Mudah untuk dia dan untukku. Lagipun aku jarang menghabiskan duit belanjaku. Paling sikit baki yang pernah ku simpan ialah RM 50.

Aku mengajak Faris menemani aku ke mesin ATM yang terletak berdekatan pintu masuk Parkson. Faris mengekoriku.

“Leya nak beli ke baju tadi?” soal Faris.

Aku hanya mengangguk sambil menekan nombor kata laluanku.

“Mahallah jaket tu. Beli lain jelah,” saran Faris.

Aku tidak memberi sebarang komen. Aku melihat screen. Wang simpanan ku berjumlah RM 4026. Jumlah yang cukup besar. Maklumlah, aku tidak suka beli benda yang tidak berfaedah. Semua duit yang aku dapat termasuk duit raya, aku simpan dalam bank. Bila perlu, baru aku keluarkan. Kemudian, aku kembali ke kedai Universal Traveller dan membeli jaket tersebut. Harap-harap Naufal suka.

Aku tiba di rumah pada pukul 6.30. Saat itu, mama sedang berbual dengan mama Hanim di luar rumahku. Aku mengukirkan senyuman ketika memandang mereka. Aku mengambil beg plastik Universal Traveller dari bakul motor. Menyedari tanda harga belum di buang, aku membuka bungkusan plastik itu dan mengoyakkan tanda harga itu.

Kemudian, aku mengatur langkah mendekati mamaku dan mama Hanim. “Mama Hanim… tolong berikan ini kat Naufal, boleh tak?” soalku.

Aku tidak mahu memberinya sendiri. Aku segan dengan Naufal. Aku masih berkecil hati dengannya.

“Kenapa Leya tak bagi sendiri?” soal mama tiba-tiba.

Aku tersentak. Mama..! Hisy, geramnya aku. Aku cuba mengawal diriku. “Tak apalah. Leya penatlah. Leya minta diri dulu ya.” Aku meminta diri setelah meletakkan bungkusan itu di atas meja. Sebelum aku berlalu sempat mama Hanim mengucapkan selamat hari jadi padaku.

Aku memakan kek hari jadiku lagi malam ini. Aku makan di ruang tamu sambil menonton televisyen. Saat itu, papa dan mamaku turut berada di ruang tamu.

“Leya tahu tak papa Riz dan mama Hanim nak pindah KL esok? Lepas hantar Naufal ke airport, mereka tidak balik lagi.” Mama memberitahuku.

Aku tersentak. Aku tidak tahu pun pasal ni. “Kenapa nak pindah?”

“Papa Riz kamu nak buka cawangan baru kat sana. So, terpaksa duduk sana beberapa bulan sehingga cawangan di sana stabil,” jelas mama.

Aku mengangguk. “Habis tu, rumah kat sini?”

“Mama Hanim suruh mama jaga. Esok mereka bertolak pukul 10. Kamu jangan lupa. Jumpa mereka buat kali terakhir. Jumpa Naufal juga. Jangan nak larikan diri,” templak mama.

Hampir tersedak aku dibuatnya.


No comments: